Mahkamah bergerak – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Sat, 06 Jun 2026 09:09:45 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.1 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png Mahkamah bergerak – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 600 penduduk Kota Belud terima manfaat Program Mahkamah Bergerak https://sabahmedia.com/2026/06/06/600-penduduk-kota-belud-terima-manfaat-program-mahkamah-bergerak/ https://sabahmedia.com/2026/06/06/600-penduduk-kota-belud-terima-manfaat-program-mahkamah-bergerak/#respond Sat, 06 Jun 2026 09:09:40 +0000 https://sabahmedia.com/?p=97796
Read Time:2 Minute, 9 Second

KOTA BELUD: Kira-kira 600 penduduk sekitar daerah ini menerima manfaat menerusi Program Mahkamah Bergerak Fasa 4 Kota Belud yang berlangsung di Pusat Khidmat Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tempasuk, hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tempasuk, Datuk Mohd Arsad Bistari berkata, sambutan yang diterima membuktikan program berkenaan amat signifikan dalam membantu masyarakat luar bandar yang berdepan masalah dokumen pengenalan diri.

Menurutnya, faktor jarak, kekangan kewangan dan kesukaran mengakses perkhidmatan kerajaan antara punca utama ramai penduduk masih berhadapan pelbagai isu berkaitan dokumentasi diri.

“Saya percaya masih ramai penduduk di Sabah, khususnya di kawasan luar bandar seperti Kota Belud, mengalami masalah dokumen pengenalan diri yang menjejaskan akses kepada pendidikan, perkhidmatan kesihatan serta bantuan kerajaan.

“Setiap rakyat berhak mendapat akses kepada perkhidmatan kerajaan dan sistem keadilan tanpa halangan, termasuk mereka yang tinggal di kawasan luar bandar.

“Kehadiran kira-kira 600 orang pada program hari ini jelas menunjukkan keperluan dan kepentingan program seperti ini kepada masyarakat setempat,” katanya dalam satu kenyataan.

Arsad berkata, antara isu utama yang dikenal pasti membabitkan kelewatan pendaftaran kelahiran akibat perkahwinan yang tidak teratur atau tidak didaftarkan secara sah, kesukaran mendapatkan dokumen pengesahan kelahiran bagi kelahiran di rumah, selain kurang kesedaran mengenai kepentingan dokumentasi diri.

Beliau menjelaskan, sebahagian penduduk menghadapi kesukaran mendapatkan dokumen pengesahan kelahiran awal daripada hospital, terutama bagi kes kelahiran di rumah yang dianggarkan melibatkan antara 10 hingga 20 peratus kes.

“Terdapat juga masalah berkaitan perkahwinan yang tidak didaftarkan secara sah sama ada melalui jabatan agama bagi umat Islam atau tanpa pengesahan adat yang lengkap bagi bukan Islam.

“Selain itu, terdapat kes perkahwinan campur yang turut menimbulkan cabaran dalam urusan dokumentasi, termasuk melibatkan warga asing dan penduduk tempatan.

“Malah, ada penduduk yang sudah berusia 19 hingga 20 tahun tetapi masih belum memiliki dokumen pengenalan diri yang sah akibat kurang kesedaran mengenai undang-undang berkaitan sebelum ini,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Arsad berharap Mahkamah Syariah dapat turut serta dalam pelaksanaan program berkenaan pada masa hadapan bagi membantu menyelesaikan isu perkahwinan tidak berdaftar yang memberi kesan kepada proses mendapatkan dokumen kelahiran bagi anak-anak Islam.

“Dalam konteks umat Islam, peranan Mahkamah Syariah amat penting kerana perkahwinan yang tidak didaftarkan dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) sering menjejaskan peluang kanak-kanak mendapatkan sijil kelahiran,” katanya.

Program Mahkamah Bergerak Fasa 4 Kota Belud itu melibatkan kerjasama beberapa agensi termasuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Mahkamah Anak Negeri, JHEAINS, Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS), Jabatan Kesihatan Kota Belud dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Antara perkhidmatan yang disediakan ialah urusan pengesahan dan endosmen sijil kelahiran daftar lewat, penyediaan Surat Akuan serta khidmat Pesuruhjaya Sumpah, selain nasihat perundangan kepada orang ramai.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/06/06/600-penduduk-kota-belud-terima-manfaat-program-mahkamah-bergerak/feed/ 0 97796
Program Mahkamah Bergerak permudah akses perundangan penduduk luar bandar https://sabahmedia.com/2025/05/25/program-mahkamah-bergerak-permudah-akses-perundangan-penduduk-luar-bandar/ https://sabahmedia.com/2025/05/25/program-mahkamah-bergerak-permudah-akses-perundangan-penduduk-luar-bandar/#respond Sun, 25 May 2025 14:18:38 +0000 https://sabahmedia.com/?p=74499
Read Time:1 Minute, 30 Second

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KALABAKAN: Program Mahkamah Bergerak anjuran Mahkamah Kota Kinabalu terus komited dalam memberikan perkhidmatan perundangan kepada masyarakat luar bandar di Sabah, khususnya kawasan pedalaman yang sukar diakses.

Pitrus Lee

Menurut Pegawai Operasi Mahkamah Bergerak Kota Kinabalu, Pitrus Lee, program tersebut yang bermula sejak 2006 telah berjaya melawat lebih 90 lokasi di seluruh negeri dan menyelesaikan kira-kira 80 peratus isu yang dihadapi penduduk setempat.

“Kita menyediakan penyelesaian secara terus dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Setelah proses pengesahan dokumen selesai di mahkamah, pemohon boleh terus ke kaunter JPN yang hadir bersama kami tanpa perlu ke bandar,” jelas beliau.

Sesi Libat Urus Bersama Komuniti Program Mahkamah Bergerak Daerah Kalabakan dihadiri lebih 300 pengunjung di Dewan Terbuka Pejabat Daerah Kalabakan, semalam.

Program kali ini merupakan lawatan ketiga ke Kalabakan, selepas kunjungan terdahulu termasuk di Luasong pada tahun 2015.

Pitrus berkata, antara isu yang sering dihadapi penduduk ialah masalah dokumentasi seperti sijil perkahwinan yang tidak teratur, terutamanya apabila melibatkan pasangan warga asing.

“Apabila perkahwinan tidak sah di sisi undang-undang, status anak biasanya ikut ibu, walaupun bapa merupakan warganegara. Ini menjejaskan hak anak untuk mendapatkan kerakyatan,” tambah beliau.

Program tersebut turut melibatkan pelbagai agensi termasuk pihak peguam yang memberikan khidmat nasihat undang-undang secara percuma.

Selain itu, ia juga menyediakan khidmat bagi pendaftaran kelahiran lewat, isu yang turut dikenal pasti berlaku secara meluas di Kalabakan dan kawasan lain di Sabah.

“Tujuan utama kami adalah untuk membantu masyarakat luar bandar yang menghadapi kekangan dari segi kos, masa dan jarak untuk mendapatkan perkhidmatan mahkamah di pekan atau bandar.

“Program turun padang seperti ini membolehkan kami dapat menyampaikan khidmat yang lebih menyeluruh dan efisien,” katanya lagi.

Menurut beliau, Program Mahkamah Bergerak dijangka akan diteruskan ke lebih banyak lokasi dalam usaha memperkukuh akses kepada keadilan dan hak perundangan di seluruh Sabah.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/05/25/program-mahkamah-bergerak-permudah-akses-perundangan-penduduk-luar-bandar/feed/ 0 74499
Mahkamah Bergerak sasar selesaikan isu dokumentasi penduduk pedalaman Kalabakan https://sabahmedia.com/2025/05/24/mahkamah-bergerak-sasar-selesaikan-isu-dokumentasi-penduduk-pedalaman-kalabakan/ https://sabahmedia.com/2025/05/24/mahkamah-bergerak-sasar-selesaikan-isu-dokumentasi-penduduk-pedalaman-kalabakan/#respond Fri, 23 May 2025 17:52:57 +0000 https://sabahmedia.com/?p=74340
Read Time:1 Minute, 27 Second

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KALABAKAN: Inisiatif Mahkamah Bergerak yang dilaksanakan di Parlimen Kalabakan dijangka memberikan impak besar dalam menyelesaikan pelbagai masalah berkaitan dokumentasi yang dihadapi oleh penduduk di kawasan pedalaman.

Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryadi Bandy berkata, program yang melibatkan penyertaan pelbagai agensi kerajaan itu akan membuka kaunter khidmat nasihat dan penerangan secara terus kepada masyarakat setempat.

“Antara isu utama yang sering dibangkitkan di Kalabakan adalah masalah dokumentasi termasuk kelahiran, perkahwinan dan pengenalan diri.

“Melalui Mahkamah Bergerak ini, ketua-ketua masyarakat diberi peluang untuk memahami secara terus fungsi agensi-agensi kerajaan yang terlibat dan seterusnya menyampaikan maklumat itu kepada komuniti mereka,” katanya ketika ditemui media pada sesi Taklimat Program Mahkamah Bergerak Peringkat Parlimen Kalabakan, di sini semalam.

Menurut beliau, inisiatif ini penting khususnya bagi penduduk luar bandar yang sering terlepas daripada akses perkhidmatan asas kerana kedudukan geografi yang jauh dari bandar.

Setakat ini, Unit Mahkamah Bergerak telah menerima sebanyak 84 permohonan dan lebih ramai dijangka hadir ke program yang akan berlangsung esok (24 Mei) di Dewan Terbuka berdekatan Pejabat Daerah Kalabakan.

“Saya menyeru semua penduduk, khususnya yang menghadapi masalah dokumentasi, untuk hadir. Ini peluang keemasan, tak perlu lagi ke bandar, semua agensi sudah berkumpul di satu tempat. Jimat masa dan tenaga,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa kes-kes seperti pelajar cemerlang yang tidak dapat melanjutkan pelajaran akibat ketiadaan dokumen sah bukan perkara terpencil, sebaliknya kerap berlaku di kawasan Kalabakan dan Tawau.

“Program ini dilakukan secara berkala dan kerajaan berharap masyarakat akan menyambut baik inisiatif ini. Namun yang paling penting adalah hebahan awal supaya penduduk tahu dan tidak melepaskan peluang,” tambah beliau.

Kalabakan menyaksikan pelaksanaan Mahkamah Bergerak buat kali ketiga, dan ia dijangka menjadi platform utama menyelesaikan masalah berakar umbi yang membelenggu penduduk pedalaman sejak sekian lama.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/05/24/mahkamah-bergerak-sasar-selesaikan-isu-dokumentasi-penduduk-pedalaman-kalabakan/feed/ 0 74340