mahkamah – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Wed, 19 Nov 2025 12:29:41 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.0.2 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png mahkamah – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 Dakwaan Zara lesbian hanya cakap-cakap sahaja – Saksi https://sabahmedia.com/2025/11/19/dakwaan-zara-lesbian-hanya-cakap-cakap-sahaja-saksi/ https://sabahmedia.com/2025/11/19/dakwaan-zara-lesbian-hanya-cakap-cakap-sahaja-saksi/#respond Wed, 19 Nov 2025 12:03:23 +0000 https://sabahmedia.com/?p=86412
Read Time:3 Minute, 2 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Isu dakwaan “lesbian” yang dikaitkan dengan Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir sebenarnya hanya persepsi dan gosip dalam kalangan pelajar, berdasarkan tanggapan mereka apabila melihat dua pelajar perempuan rapat.

Perkara itu didedahkan oleh guru Unit Bimbingan dan Kaunseling SMKA Tun Datu Mustapha, Miswati Lundu, 37, ketika memberi keterangan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan dalam prosiding inkues kematian Zara.

Menjawab soalan daripada Pegawai Pengendali Mohd Fairuz Johari, saksi ke-48 itu berkata isu “lesbian” itu bermula dalam kalangan pelajar dan seorang pelajar telah membuat aduan mengenainya.

“Pada mulanya pelajar lain yang menimbulkan isu itu dan (nama pengadu disebut) juga terikut,’’ katanya.

Pegawai Pengendali: Bagaimana boleh timbul isu “lesbian” yang melibatkan Zara ni ya?
Saksi: Isu lesbian ini adalah cakap-cakap daripada pelajar-pelajar apabila melihat Zara ni selalu suka berkawan dengan kawan perempuan.

Pegawai Pengendali: Boleh cikgu jelaskan? Dalam asrama perempuan, memang biasa pelajar berkawan rapat. Jadi bagaimana isu ini boleh timbul?
Saksi: Itu persepsi pelajar-pelajar. Apabila melihat kawan perempuan ni dengan kawan perempuan rapat, mereka terus cakap ini mesti ada ‘something’. Ia persepsi sahaja, mereka tidak tahu keadaan sebenar.

Terdahulu, Miswati ketika membacakan kenyataannya saksinya berkata dia pernah berjumpa dengan Zara sebanyak dua kali dalam sesi kaunseling kelompok.

Sesi pertama diadakan pada 5 Mac 2025, melibatkan Zara dan seorang pelajar Tingkatan 1 yang membuat aduan.

Pelajar itu mengadu bahawa seorang lagi pelajar seolah-olah ‘lupa kawan’ selepas mula rapat dengan Zara. Zara pula mengatakan bahawa Zara hanya mahu berkawan dengan pelajar tersebut (yang didakwa lupa kawan) dan tidak ada hubungan lain seperti ‘lesbian’ yang dikatakan oleh pelajar lain.

“Setelah mendengar luahan dan penjelasan kedua-dua pelajar, saya telah memberikan kaunseling dan nasihat kepada mereka berkenaan pemahaman diri, pengurusan emosi dan teknik menyelesaikan konflik secara matang,” katanya.

Menjawab soalan tambahan, Miswati berkata pelajar yang dikatakan ‘lupa kawan’ dipanggil secara individu.

Menurutnya, pelajar yang dikatakan ‘lupa kawan’ itu juga menjelaskan bahawa hubungannya dengan Zara hanya kawan dan tiada apa-apa yang mencurigakan.

Miswati memberitahu mahkamah bahawa dia menasihati kedua-dua pelajar (pengadu dan pelajar yang dikatakan ‘lupa kawan’) untuk berkahwan secara ikhlas dan jika ada masalah cuba untuk selesaikan masalah itu dengan matang.

Sesi kaunseling kedua diadakan pada 14 Mac 2025, melibatkan Zara serta dua pelajar Tingkatan 1 yang merupakan rakan sebilik iaitu pelajar A dan (nama pelajar disebut).

Sesi itu dijalankan selepas Pelajar A mengadu bahawa rakan sebilik mereka cuba menganggu Zara secara seksual. Zara turut menyatakan bahawa kejadian itu disaksikan Pelajar A.

Hasil siasatan dan sesi kelompok mendapati pelajar terbabit sekadar bergurau dan hanya menghidu selimut Zara sambil mengatakan ‘Bau pepek’.

“Ketiga-tiga pelajar diberi peluang untuk memberi penjelasan masing-masing dan selepas mendengar penjelasan semua pelajar, saya telah memberi nasihat dan kaunseling kepada ketiga-tiga pelajar untuk tidak beranggapan negatif tanpa bukti yang jelas,” katanya sambil menambah satu ‘One Page Report’ bertarikh 14 Mac 2025 telah disediakan oleh Unit Disiplin dan laporan sesi kaunseling yang telah dijalankan.

Miswati juga memaklumkan bahawa sesi kaunseling kedua dijalankan susulan aduan daripada ibu Pelajar A.

Dalam rumusannya, berlaku salah faham, dan pelajar yang terbabit menjelaskan bahawa dia hanya bergurau dan tidak berniat melakukan apa-apa.

Miswati turut memberitahu bahawa beliau mengendalikan kira-kira 60 sesi kaunseling pada tahun 2025, termasuk lima pelajar yang kini didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak.

Beliau berkata sesi kaunseling bagi lima pelajar itu diadakan sebelum dan selepas insiden melibatkan Zara.

“Bagi Pelajar A, sebelum insiden, ia berkaitan gangguan seksual, ingin pindah dorm, kehilangan barang dan juga kehilangan duit.

“Bagi empat pelajar lain, kaunseling selepas kejadian berkaitan isu emosi akibat insiden tersebut,” kata Miswati, yang kini tidak lagi bertugas di sekolah berkenaan selepas dipindahkan ke Jabatan Pendidikan Negeri.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/11/19/dakwaan-zara-lesbian-hanya-cakap-cakap-sahaja-saksi/feed/ 0 86412
Kari kepala ikan tercemar: Penjaga restoran didenda RM5,500 https://sabahmedia.com/2025/11/19/kari-kepala-ikan-tercemar-penjaga-restoran-didenda-rm5500/ https://sabahmedia.com/2025/11/19/kari-kepala-ikan-tercemar-penjaga-restoran-didenda-rm5500/#respond Wed, 19 Nov 2025 07:19:38 +0000 https://sabahmedia.com/?p=86375
Read Time:2 Minute, 2 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Seorang penjaga restoran di Penampang didenda RM5,500 atau penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini kerana menjual kari kepala ikan yang didapati tercemar.

Mohamed Yakoob Mohamed Shaik Allaudeen mengaku bersalah di hadapan Majistret Marilyn Kelvin terhadap pertuduhan menjual kari kepala ikan berharga RM26 yang mengandungi bakteria Coliform pada paras 110 MPN/g, melebihi had standard yang dibenarkan.

Kesalahan itu dilakukan pada 7 Julai lalu kira-kira jam 9 pagi di premis Nasi Kandar Anak Mami the Restaurant di Bundusan, Penampang.

Berdasarkan peraturan, bacaan Coliform tidak boleh melebihi 5×10/g seperti dinyatakan di bawah Peraturan 39(3), Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 13B(1) dibaca bersama Seksyen 13B(2)(e) Akta Makanan 1983 dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehinga RM20,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya dibawah Seksyen 13B(4) dibawah Akta yang sama.

Mengikut fakta kes, dua Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran telah hadir ke premis berkenaan, menunjukkan kad kuasa dan memaklumkan bahawa rutin pensampelan makanan akan dijalankan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Dua jenis lauk yang telah siap dimasak dipilih sebagai sampel iaitu kari kepala ikan dan daging masak kicap. Sampel tersebut kemudian dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kota Kinabalu.

Pada 17 Julai, laporan makmal mengesahkan bahawa sampel kari kepala ikan mencatatkan bacaan Coliform 110 MPN/g, melebihi piawaian di bawah Jadual Kelima Belas Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dan melanggar Peraturan 39(3).

Sampel daging masak kicap pula mencatatkan 24 MPN/g, dan tiada E. coli (Escherichia Coli) dikesan.

Semasa rayuan, Yaakob yang tidak diwakili peguam memohon hukuman diringankan dan mendakwa bahawa kepala ikan yang digunakan baharu dibeli.

Pegawai pendakwa, Adeno Majus dari Unit Inspektorat dan Perundangan Jabatan Kesihatan Sabah (Pejabat Kesihatan Penampang), memohon mahkamah mengenakan hukuman lebih berat, memandangkan premis tersebut sudah mempunyai rekod aduan awam berhubung pelanggaran Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 sebelum tindakan penguatkuasaan diambil.

Aduan terdahulu melibatkan makanan yang dihidangkan tanpa penutup, terdedah kepada lalat, serta kawasan penyediaan makanan yang tidak bersih, kesemuanya melanggar keperluan penyimpanan dan pendedahan makanan di bawah peraturan berkenaan.

Menurut Adeno, aduan berulang itu menunjukkan premis berkenaan mempunyai masalah kebersihan kronik dan penemuan makmal selari dengan aduan lama, membuktikan ketidakpatuhan terhadap peraturan kebersihan merupakan amalan berterusan, bukan insiden terpencil.

“Memandangkan tertuduh telah pernah ditegur sebelum ini tetapi gagal mematuhi piawaian kebersihan, hukuman lebih tegas adalah perlu sebagai pengajaran serta amaran kepada semua pengusaha premis makanan,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/11/19/kari-kepala-ikan-tercemar-penjaga-restoran-didenda-rm5500/feed/ 0 86375
Saksi tidak ingat intipati mesyuarat berhubung insiden Zara https://sabahmedia.com/2025/11/17/saksi-tidak-ingat-intipati-mesyuarat-berhubung-insiden-zara/ https://sabahmedia.com/2025/11/17/saksi-tidak-ingat-intipati-mesyuarat-berhubung-insiden-zara/#respond Mon, 17 Nov 2025 09:25:11 +0000 https://sabahmedia.com/?p=86165
Read Time:1 Minute, 30 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Seorang guru asrama tidak dapat mengingati hampir semua butiran mesyuarat yang diadakan oleh pihak pentadbiran sekolah selepas Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir ditemui tidak sedarkan diri pada 16 Julai lalu.

Dalam sesi soal jawab dengan peguam keluarga Zara, Shahlan Jufri, saksi ke-45, Addorie Francis, berulang kali menjawab “tidak ingat” atau “tidak” untuk hampir semua soalan berkaitan mesyuarat yang dipengerusikan oleh pengetua sekolah.

Peguam: Adakah pihak pentadbiran sekolah membuat mesyuarat selepas kejadian Zara dijumpai di aras bawah asrama?
Saksi: Pihak pentadbiran sekolah ada buat mesyuarat untuk menjelaskan apa yang terjadi, itu sajalah.

Peguam: siapa yang menghadiri mesyuarat tersebut?
Saksi: Saya tidak ingat

Peguam: Seingat kamu bila mesyuarat itu diadakan?
Saksi: Saya tidak ingat

Peguam: Siapa yang mempengerusikan mesyuarat tersebut?
Saksi: Pengetua sekolah

Peguam: Adakah Pengetua sekolah orang yang bertangungjawab menjelaskan apa yg terjadi di dalam mesyuarat itu?
Saksi: Ya

Peguam: Apa yang disampaikan atau dijelaskan oleh pengetua dalam mesyuarat tersebut?
Saksi: Saya tidak ingat

Peguam: Berapa lama mesyuarat itu berlangsung?
Saksi: Saya tidak ingat

Peguam: Adakah mesyuarat tersebut menjelaskan bagaimana Zara dijumpai di aras bawah asrama?
Saksi: Tidak.

Peguam: Adakah mesyuarat tersebut menjelaskan apa yang berlaku sebelum Zara dijumpai di bawah asrama
Saksi: Tidak.

Peguam: Adakah mesyuarat tersebut menjelaskan apa yang berlaku setelah Zara dijumpai di aras bawah asrama?
Saksi: Yang saya ingat dia beri tahu keadaan Zara di hospital

Peguam: Selain pengetua beri tahu keadan Zara di hospital, apa lagi yang pengetua sampaikan dalam mesyuarat itu?
Saksi: Saya tidak ingat

Ketika ditanya apa yang berlaku dikalangan cikgu sekolah selepas kejadian Zara dijumpai di aras bawah asrama, Addorie berkata: “Masing-masing terkejut”.

Menjawab soalan lain, saksi turut mengatakan beliau tidak tahu apa yang berlaku kepada pelajar dorm Zara yang ditempatkan di bilik isolasi, dan tidak pasti siapa guru lain yang mengetahui perkara itu.

Inkues bersambung esok.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/11/17/saksi-tidak-ingat-intipati-mesyuarat-berhubung-insiden-zara/feed/ 0 86165
Hina Mahkamah: Mahkamah benarkan permohonan AG terhadap Shafie, Mona Din https://sabahmedia.com/2025/10/23/hina-mahkamah-mahkamah-benarkan-permohonan-ag-terhadap-shafie-mona-din/ https://sabahmedia.com/2025/10/23/hina-mahkamah-mahkamah-benarkan-permohonan-ag-terhadap-shafie-mona-din/#respond Thu, 23 Oct 2025 04:06:30 +0000 https://sabahmedia.com/?p=83974
Read Time:2 Minute, 49 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner hari ini membenarkan permohonan untuk memulakan prosiding penghinaan mahkamah terhadap bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan pempengaruh Che Muna Din berhubung kenyataan mereka mengenai kes Zara Qairina Mahathir.

Peguam Negara (AG) membuat permohonan kebenaran (leave application) secara Ex-Parte untuk Perintah Pengkomitan di bawah Aturan 52 Kaedah 3 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.

Koroner Amir Shah Amir Hassan membenarkan permohonan kebenaran itu selepas mendengar hujah daripada Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P. Kunyalan dan Nadia Mohd Izhar.

Dokumen kausa (cause papers) akan diserahkan kepada Shafie, 68, dan Che Muna, 59, yang juga dikenali sebagai Mona Din, dalam tempoh dua minggu, dan koroner akan menetapkan tarikh pendengaran selepas itu.

Dalam permohonan ex-parte mereka, Mustaffa menyatakan bahawa Notis Tunjuk Sebab telah diserahkan kepada Shafie pada 23 September, manakala kepada Mona Din pada 10 September.

Mustaffa berkata Shafie, yang juga Presiden Parti Warisan, telah menjawab notis tunjuk sebab tersebut melalui sepucuk surat daripada peguamnya, Tetuan Tommy Thomas, bertarikh 29 September.

“Walaupun responden telah memberikan surat jawapan berkenaan dan tidak menafikan membuat kenyataan seperti yang terkandung dalam hantaran tersebut, beliau gagal memberikan penjelasan memuaskan terhadap Notis Tunjuk Sebab di bawah Kaedah 52 Peraturan 2B Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 yang telah diserahkan kepadanya,” kata Mustaffa.

Mustaffa berkata, Shafie telah membuat kenyataan yang menjurus kepada penghinaan mahkamah melalui hantaran di laman media sosial Facebook atas nama “Shafie Apdal”  pada tarikh 20 September 2025 di majlis “Jelajah Inspirasi DSSA P187 Kinabatangan”. 

“Kenyataan dan ucapan yang dibuat dalam hantaran berkenaan oleh responden terjumlah kepada penghinaan Mahkamah berkait prosiding Inkues di Mahkamah,” katanya.

Tambahnya, kenyataan Shafie juga sama ada secara langsung atau tidak langsung, terjumlah kepada suatu bentuk pengaruh yang tidak wajar kepada Koroner yang sedang mengendalikan prosiding Inkues tersebut dalam menentukan sebab kematian serta membuat dapatan dan keputusan (verdict) di akhir prosiding Inkues berkenaan. 

“Perkataan-perkataan yang diucapkan oleh Responden dalam majlis tersebut yang telah disiarkan melalui hantaran berkenaan, secara keseluruhannya juga bertujuan mempengaruhi pendapat awam tentang integriti prosiding Inkues yang sedang berlangsung di Mahkamah.

“Perkataan-perkataan yang diucapkan oleh Responden dalam majlis tersebut yang telah disiarkan melalui hantaran berkenaan, secara keseluruhannya mengandungi risiko nyata, yang boleh menggugat keyakinan orang awam terhadap pentadbiran keadilan serta terjumlah kepada gangguan kepada pentadbiran keadilan,” katanya.

Sementara itu, Mona Din telah menjawab melalui akuan berkanun bertarikh 19 September dan menyatakan permohonan maafnya. Namun begitu, tindakan itu tidak membebaskannya daripada perbuatan menghina mahkamah yang didakwa dilakukan, dan beliau didakwa gagal memberikan jawapan memuaskan terhadap Notis Tunjuk Sebab di bawah Kaedah 52 Peraturan 2B Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.

“Kami berhujah bahawa pada 4 September, dalam satu hantaran media sosial yang diterbitkan di laman media sosial Facebook menggunakan nama ‘Mona Din’, responden telah menyiarkan kenyataan yang berbentuk penghinaan Mahkamah berkait prosiding Inkues,” katanya.

Menurut Mustaffa di dalam hantaran tersebut, Mona Din antara lain telah mempertikaikan keterangan saksi Pakar Patologi Forensik di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, Sabah iaitu Dr Jessie Hiu yang merupakan saksi pertama yang dipanggil semasa prosiding Inkues tersebut.

“Perkataan-perkataan yang diterbitkan oleh responden dalam hantaran tersebut secara keseluruhannya juga bertujuan mempengaruhi pendapat awam tentang integriti prosiding Inkues yang sedang berlangsung,” katanya.

Zara, pelajar Tingkatan Satu, ditemui tidak sedarkan diri pada 16 Julai di asramanya dan disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth (QEH).

Inkues bagi menyiasat kematiannya bermula pada 3 September dan masih diteruskan. –SABAH MEDIA

]]>
https://sabahmedia.com/2025/10/23/hina-mahkamah-mahkamah-benarkan-permohonan-ag-terhadap-shafie-mona-din/feed/ 0 83974
Saksi hanya bertanya, bukan marah tentang kehilangan dompet https://sabahmedia.com/2025/10/09/saksi-hanya-bertanya-bukan-marah-tentang-kehilangan-dompet/ https://sabahmedia.com/2025/10/09/saksi-hanya-bertanya-bukan-marah-tentang-kehilangan-dompet/#respond Thu, 09 Oct 2025 12:38:27 +0000 https://sabahmedia.com/?p=82866
Read Time:2 Minute, 37 Second

Oleh J. Evachel John

KOTA KINABALU: Seorang pelajar memaklumkan kepada Mahkamah Koroner bahawa dia tidak memarahi Zara Qairina Mahathir ketika menyoalnya berhubung kehilangan dompet pada malam sebelum mangsa ditemui tidak sedarkan diri di asrama SMKA Tun Mustapha.

Peguam Azhier Farhan Arisin memaklumkan media, saksi kanak-kanak ke-10 yang memberi keterangan dalam inkues kematian Zara hari ini berkata bahawa dia hanya bertanya kepada Zara mengenai perkara itu.

“Saksi menyatakan bahawa dia tidak memarahi Zara semasa berjumpa dengan Zara yang datang ke biliknya malam itu. Dia hanya bertanya tentang kehilangan beg duit tersebut.

“Saksi menyatakan tidak nampak Zara seperti dalam gangguan emosi dan saksi juga tidak perasan sama ada Zara menangis selepas Zara berjumpa pelajar lain kerana dia tidak masuk campur urusan mereka,” kata Azhier.

Menurut Azhier, saksi memberitahu pada 15 Julai jam lebih kurang 9 malam, seorang pelajar memaklumkan kepadanya mengenai dompet yang mengandungi duit dan IC (Kad pengenalan) telah hilang, dan pada ketika itu  pelajar berkenaan mengesyaki Zara yang mengambil barang dia tersebut.

“Saksi menyatakan apabila Zara datang ke biliknya, Zara menafikan mengambil barangan yang hilang.

“Saksi juga menyatakan selepas dia selesai bercakap dengan Zara dan ingin menyuruh Zara kembali ke biliknya, seorang pelajar lain masuk ke bilik tersebut diikuti dua pelajar lain yang turut bertanya kepada Zara.

“Saksi menyatakan bahawa dia ada mengatakan walaupun Zara mengaku, mereka tidak akan marah. Namun, Zara tetap menafikan perkara itu. Saksi berkata Zara kelihatan normal dan menjawab seperti biasa,” katanya sambil menambah selepas kira-kira lima minit, semua pelajar beredar ke bilik masing-masing. 

Menurut Azhier, saksi juga ada menyatakan dia tidak ingat sekiranya ada sesiapa yang memarahi Zara pada masa perjumpaan tersebut dan itu adalah kali bertama saksi berjumpa dengan Zara. 

“Saksi juga tidak tahu sama ada Zara mempunyai konflik dengan pelajar lain kerana saksi tidak rapat dengan Zara. Saksi juga menyatakan dia tiada konflik dengan Zara dan tidak pernah nampak Zara dimarahi atau diganggu oleh pelajar lain.”

Sementara itu, peguam Joan Goh, yang turut hadir bersama Datuk Ram Singh, memaklumkan kepada media bahawa saksi kanak-kanak ke-10 memberitahu mahkamah bahawa dia meminta seorang pelajar lain memanggil Zara untuk menemuinya.

“Semasa Zara datang berjumpa saksi, saksi tanya Zara dengan berkata “Kau tau kah dompet, lC hilang?”. Zara menjawab “Tau”. Saksi tanya lagi “Kau ada curi kah barang itu”. Zara menjawab “Tiada, saya tidak ambil”. 

“Kemudian saksi panggil pelajar yang hilang dompet datang lalu saksi minta Zara Wallahi dan Zara pun Wallahi tidak ambil barang pelajar tersebut. Zara berkata “dulu ja saya buat benda tu tapi sekarang saya berubah”. Selepas itu saksi pun tidak tanya lagi dan sembang dengan pelajar lain,” katanya.

Menurut Joan lagi, saksi berkenaan memaklumkan bahawa antara jam 12 malam tarikh 15 Julai sehingga 3 pagi tarikh 16 Julai, dia sedang tidur.

Joan berkata, saksi memberi keterangan bahawa dia adalah ahli kumpulan Circle 19 di sekolah. 

“Saksi berkata nama kumpulan Circle Nineteen bermaksud ada 19 orang dalam kumpulan itu dan semuanya kawan rapat. 

“Kawan-kawan circle 19 hanya buat aktiviti sekolah bersama kerana berkawan sejak di tingkatan 1 dan saksi menegaskan kumpulan itu tidak membuli sesiapa,” katanya.

Prosiding inkues akan bersambung Isnin nanti. – SABAH MEDIA

]]>
https://sabahmedia.com/2025/10/09/saksi-hanya-bertanya-bukan-marah-tentang-kehilangan-dompet/feed/ 0 82866
Pelancong cederakan rakan senegara dipenjara enam bulan https://sabahmedia.com/2025/10/09/pelancong-cederakan-rakan-senegara-dipenjara-enam-bulan/ https://sabahmedia.com/2025/10/09/pelancong-cederakan-rakan-senegara-dipenjara-enam-bulan/#respond Thu, 09 Oct 2025 10:53:01 +0000 https://sabahmedia.com/?p=82862
Read Time:1 Minute, 0 Second

Oleh J. Evachel John

KOTA KINABALU: Seorang pelancong wanita dari Vietnam dijatuhi hukuman penjara selama enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana mencederakan rakan senegaranya menggunakan sebilah pisau.

Thi Thanh Thuy Nguyen, 23, mengaku bersalah di hadapan Majistret Wan Farrah Farriza Wan Ghazali selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa bahasa Vietnam.

Tertuduh didakwa dengan sengaja mencederakan Thị Ngọc Anh Kuong, juga seorang pelancong, menggunakan sebilah pisau pada 4 Oktober lalu kira-kira jam 6.30 pagi, di luar kawasan lobi Kondominium Alam Damai, Luyang.

Dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, atau denda, atau sebatan, atau mana-mana daripada dua hukuman tersebut, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh telah menyebabkan mangsa mengalami luka pada bahagian belakang badan dan betis.

Sebilah pisau turut dirampas oleh polis, dan hasil pengecaman, mangsa mengesahkan senjata itu sebagai objek yang digunakan semasa kejadian.

Ketika rayuan, tertuduh menangis dan meminta agar hukuman terhadapnya diringankan.

Timbalan Pendakwa Raya Akaash Singh berkata, tertuduh, sebagai warga asing, telah menggunakan senjata berbahaya, dan perbuatan itu merupakan kesalahan serius yang wajar dikenakan hukuman sebagai pengajaran.

Difahamkan tertuduh tidak dirujuk ke Jabatan Imigresen kerana mempunyai passport yang sah. – SABAH MEDIA

]]>
https://sabahmedia.com/2025/10/09/pelancong-cederakan-rakan-senegara-dipenjara-enam-bulan/feed/ 0 82862
Tayang kemaluan, lelaki didakwa di Mahkamah aibkan kehormatan wanita https://sabahmedia.com/2025/10/09/tayang-kemaluan-lelaki-didakwa-di-mahkamah-aibkan-kehormatan-wanita/ https://sabahmedia.com/2025/10/09/tayang-kemaluan-lelaki-didakwa-di-mahkamah-aibkan-kehormatan-wanita/#respond Thu, 09 Oct 2025 09:21:58 +0000 https://sabahmedia.com/?p=82850
Read Time:44 Second

Oleh J. Evachel John

KOTA KINABALU: Seorang lelaki yang menayangkan kemaluannya didakwa di Mahkamah Majistret  di sini atas kesalahan mengaibkan kehormatan seorang wanita.

Tertuduh, Mohd Zainal Abdul Momen, 32, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Marilyn Kelvin.

Mengikut kertas pertuduhan, Mohd Zainal didakwa mengaibkan kehormatan seorang wanita berusia 20 tahun dengan cara memegang kemaluannya sendiri di luar seluar dengan tangan bagi maksud dilihat oleh mangsa.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 20 September lalu jam lebih kurang 8 malam, bertempat di sebuah bangunan kedai di Plaza Alam Mesra dekat sini.

Mohd Zainal didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,000 dengan dua penjamin tempatan, dan menetapkan sebutan semula kes pada 24 November ini.

Pengawai pendakwa Inspektor Yusdi Basri mengendalikan pendakwaan. – SABAH MEDIA

]]>
https://sabahmedia.com/2025/10/09/tayang-kemaluan-lelaki-didakwa-di-mahkamah-aibkan-kehormatan-wanita/feed/ 0 82850
MCMC hormati keputusan mahkamah, Telegram dilarang sebar kandungan berbahaya https://sabahmedia.com/2025/09/11/mcmc-hormati-keputusan-mahkamah-telegram-dilarang-sebar-kandungan-berbahaya/ https://sabahmedia.com/2025/09/11/mcmc-hormati-keputusan-mahkamah-telegram-dilarang-sebar-kandungan-berbahaya/#respond Thu, 11 Sep 2025 08:23:34 +0000 https://sabahmedia.com/?p=81009
Read Time:1 Minute, 40 Second

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini yang membenarkan permohonan injunksi sementara dalam kes sivil melibatkan aplikasi Telegram.

Dalam satu kenyataan, MCMC memaklumkan bahawa perintah larangan sementara itu menghalang defendan termasuk pentadbir akaun Edisi Siasat, Edisi Khas serta pihak Telegram daripada menerbitkan, menyebarkan atau mengulang siar kandungan yang dipertikaikan seperti dinyatakan dalam tuntutan MCMC.

“Keputusan ini adalah selaras dengan mandat MCMC di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 untuk melindungi kepentingan pengguna, selain memastikan platform digital tidak disalahgunakan,” kata kenyataan itu.

MCMC turut menegaskan bahawa pihaknya akan terus memantau pematuhan terhadap perintah mahkamah tersebut, manakala isu-isu lain berkaitan tindakan undang-undang berkenaan akan diputuskan pada perbicaraan penuh kelak.

“MCMC kekal komited memastikan ruang digital di Malaysia lebih selamat agar rakyat tidak terdedah kepada penipuan, kandungan berbahaya dan ancaman penyalahgunaan,” tambah kenyataan itu.

Dalam perkembangan berkaitan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan injunksi sementara dalam kes sivil melibatkan aplikasi Telegram.

Hakim Mahazan Mat Taib mengeluarkan perintah larangan sementara yang menghalang pihak defendan termasuk pentadbir akaun Edisi Siasat, Edisi Khas serta Telegram daripada menerbitkan, menyebarkan atau mengulang siar kandungan yang dipertikaikan seperti dinyatakan dalam tuntutan MCMC.

Dalam penghakimannya, Mahazan berkata MCMC berjaya membuktikan bahawa Telegram terlibat dalam penyebaran kandungan ofensif yang menyasarkan agensi kerajaan, badan penguatkuasaan serta anggota pentadbiran, dan boleh menghakis keyakinan rakyat terhadap institusi awam serta menjejaskan ketenteraman sosial.

Bagaimanapun, mahkamah menolak permohonan MCMC untuk mendapatkan perintah bagi menghalang Telegram daripada membuka atau mengendalikan akaun baharu yang mungkin menyebarkan kandungan serupa, dengan alasan mahkamah tidak boleh memaksa platform berkenaan melakukan penapisan sendiri.

Perintah injunksi itu akan kekal berkuat kuasa sehingga kes saman MCMC terhadap Telegram selesai dibicarakan.

Mahkamah juga menetapkan 24 September ini untuk mendengar satu lagi permohonan MCMC bagi mendapatkan kebenaran memulakan prosiding komital terhadap Telegram, berhubung dakwaan gagal mematuhi salah satu syarat injunksi ex-parte yang dikeluarkan pada 17 Julai lalu.

Dalam prosiding hari ini, MCMC diwakili peguam SN Nair dan Wong Guo Jin, manakala Telegram diwakili peguam Daniel Bock.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/09/11/mcmc-hormati-keputusan-mahkamah-telegram-dilarang-sebar-kandungan-berbahaya/feed/ 0 81009
Mahkamah Koroner tetapkan 11 September lawat lokasi kejadian https://sabahmedia.com/2025/09/03/mahkamah-koroner-tetapkan-11-september-lawat-lokasi-kejadian/ https://sabahmedia.com/2025/09/03/mahkamah-koroner-tetapkan-11-september-lawat-lokasi-kejadian/#respond Wed, 03 Sep 2025 12:24:30 +0000 https://sabahmedia.com/?p=80541
Read Time:2 Minute, 24 Second

Kota Kinabalu: Mahkamah Koroner di sini menetapkan 11 September untuk pihak-pihak yang terlibat dalam inkues kematian Zara Qairina Mahathir melawat lokasi kejadian.

Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan, yang bersidang sebagai koroner, menetapkan tarikh berkenaan selepas semua pihak bersetuju dengan tarikh yang dicadangkan.

Lawatan itu akan berlangsung pada jam 9.30 pagi di sebuah sekolah di Papar, tempat Zara ditemui tidak sedarkan diri pada 16 Julai lalu. 

Pakar Patologi Forensik, Dr Jessie Hiu, yang merupakan deponen (saksi) pertama memberi keterangan dalam prosiding inkues, dijangka hadir semasa lawatan itu.

Terdahulu pada prosiding sebelah pagi, Amir membenarkan ibu bapa Zara, Noraidah Lamat, 45, dan Mahathir Mohd Hashim @ Marikin, 44, untuk diterima sebagai pihak berkepentingan.

Permohonan tersebut difailkan secara berasingan melalui pasukan guaman masing-masing. Kedua-dua Noraidah dan Mahathir tidak hadir di mahkamah.

Koroner turut membenarkan peguam yang mewakili lima remaja, yang berdepan pertuduhan di Mahkamah Kanak-Kanak, untuk terlibat sebagai pihak berkepentingan selepas mendengar hujahan daripada Sabah Law Society (SLS), peguam bagi ibu bapa Zara, serta pasukan pembelaan remaja tersebut.

Amir berkata, tiada bantahan daripada Jabatan Peguam Negara selaku pegawai pengendali, manakala bantahan hanya dikemukakan oleh SLS dan peguam yang mewakili ibu Zara. Peguam bagi pihak bapa Zara memilih untuk kekal neutral.

“Setelah mendengar hujahan semua pihak, saya berpandangan bahawa pada peringkat ini semua kepentingan perlu dilindungi. Oleh itu, saya membenarkan peguam bagi remaja terbabit diisytiharkan sebagai pihak berkepentingan,” kata koroner.

Koroner turut membenarkan permohonan SLS melalui peguam Jamadi Saleh untuk menjadi peguam pemerhati dan bertindak sebagai amicus curiae (sahabat mahkamah).

Permohonan Peguam Kanan Persekutuan, Dr Norahimah Fitri bagi Kementerian Pendidikan, untuk menjadi peguam pemerhati juga dibenarkan.

Pasukan guaman membuat permohonan semula untuk menjadi pihak berkepentingan selepas Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Duncan Sikodol, pada selasa (2 September) mengetepikan keputusan oleh koroner sebelum ini, Azreena Aziz, berhubung semua permohonan dalam inkues itu.

Namun Duncan memutuskan bahawa pihak terlibat bebas untuk mengemukakan semula permohonan mereka di hadapan koroner baharu.

Pada 28 Ogos lalu, Azreena, yang juga Pengarah Mahkamah Negeri Sabah, memutuskan tidak mendengar inkues tersebut atas alasan beliau tinggal di daerah Papar, lokasi sekolah Zara. 

Inkues itu akan berlangsung dari 3–4 Sept, 8–12 Sept, 17–19 Sept, dan 22–30 Sept.

Pasukan pegawai pengendali terdiri daripada Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan II, Datuk Badiuszaman Ahmad; Pengarah Pendakwaan Negeri Sabah, Nahra Dollah; serta Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fairuz Johari, Dana Arabi Wazani, Sofia S. Sawayan dan Dacia Jane Romanus.

Peguam Shahlan Jufri, Rizwandean M. Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Farrah Nasser dan Elhanan James mewakili keluarga Zara.

Bapa Zara pula diwakili oleh peguam Sherzali Hezra Asli, Nurul Rafeeqa Afdul Mutolip dan Clarice Vyonne Conrad.

Datuk Ram Singh, Joan Goh dan Prem Elmer Ganasan mewakili salah seorang remaja, manakala Azhier Farhan Arisin, Abdul Fikry Jaafar Abdullah, Fareez Salleh dan Sylvester Kuan mewakili empat remaja yang lain.

Pasukan SLS pula diwakili oleh peguam Jamadi Saleh. – SABAH MEDIA

]]>
https://sabahmedia.com/2025/09/03/mahkamah-koroner-tetapkan-11-september-lawat-lokasi-kejadian/feed/ 0 80541
Bangunan baharu MAN Putatan siap hujung tahun ini – Shahelmey https://sabahmedia.com/2025/09/02/bangunan-baharu-man-putatan-siap-hujung-tahun-ini-shahelmey/ https://sabahmedia.com/2025/09/02/bangunan-baharu-man-putatan-siap-hujung-tahun-ini-shahelmey/#respond Tue, 02 Sep 2025 01:59:09 +0000 https://sabahmedia.com/?p=80445
Read Time:1 Minute, 14 Second

Putatan : Mahkamah Anak Negeri (MAN) daerah Putatan dijangka berpindah ke bangunan baharu yang kini dalam fasa akhir pembinaannya pada penghujung tahun ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, kemudahan itu sekaligus akan menawarkan perkhidmatan yang lebih kondusif kepada masyarakat setempat.

“Bangunan baharu ini akan memberi keselesaan serta dapat meningkatkan keberkesanan fungsi Mahkamah Anak Negeri Putatan dalam melaksanakan tugasnya menyantuni masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Santai Mahkamah Anak Negeri Putatan Bersama Masyarakat di Dataran Pomoi, di sini pada Isnin.

Mengulas mengenai penganjuran program tersebut, Shahelmey memuji peranan yang dimainkan oleh MAN Putatan dalam membina hubungan lebih erat dengan masyarakat, program tersebut dilihat dapat meningkatkan kesedaran tentang fungsi dan peranan MAN.

Melalui penganjuran program tersebut para pengunjung dapat memperoleh maklumat berkenaan isu tuntutan harta, pengangkatan anak angkat, permohonan status anak negeri dan lain-lain yang berkaitan sebagaimana termaktub dalam Enakmen Mahkamah Anak Negeri 1992 (Pindaan 1995).

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat turut menekankan bahawa Sabah berjaya mencatat pencapaian ekonomi cemerlang di bawah pentadbiran kerajaan sedia ada, apabila pendapatan negeri melebihi RM7 bilion buat pertama kali dalam sejarah, dengan rizab negeri mencecah hampir RM8 bilion.

“Pencapaian ini membolehkan kerajaan meningkatkan pelbagai inisiatif untuk rakyat, antaranya program Rumah Mesra SMJ, bantuan pendidikan, peranti digital untuk para pelajar serta peluang pekerjaan dalam sektor industri dan pelancongan,” katanya.

Beliau menambah, limpahan hasil ekonomi itu membuktikan keupayaan kerajaan dalam memastikan pembangunan negeri dikongsi bersama rakyat.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/09/02/bangunan-baharu-man-putatan-siap-hujung-tahun-ini-shahelmey/feed/ 0 80445