Majlis tenaga sabah – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Tue, 22 Jul 2025 04:41:44 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.0.2 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png Majlis tenaga sabah – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 MTS lulus projek tenaga berkapasiti 723MW  https://sabahmedia.com/2025/07/22/mts-lulus-projek-tenaga-berkapasiti-723mw/ https://sabahmedia.com/2025/07/22/mts-lulus-projek-tenaga-berkapasiti-723mw/#respond Tue, 22 Jul 2025 04:41:42 +0000 https://sabahmedia.com/?p=77718
Read Time:1 Minute, 22 Second

Kota Kinabalu: Majlis Tenaga Sabah (MTS) meluluskan secara prinsip projek tenaga dengan jumlah kapasiti 723MegaWatt (MW) bagi memenuhi permintaan jangka sederhana tenaga elektrik negeri ini. 

Projek-projek loji jana kuasa gas di Kimanis dan Tawau dengan jumlah kapasiti 360MW, serta projek-projek tenaga boleh diperbaharui berkapasiti 363MW yang merangkumi sumber tenaga hidro dan angin telah diberikan kelulusan bersyarat teknikal dan komersial. 

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor ketika mempengerusikan mesyuarat MTS di Menara Kinabalu hari ini berkata, setiap keputusan yang dibuat oleh Majlis mestilah dilakukan secara seimbang dan berhemah. 

“Ini adalah selaras dengan pertumbuhan ekonomi negeri, keperluan sektor industri serta  kemampuan pengguna untuk menanggung kos penjanaan tenaga yang berpatutan. 

“Saya percaya, dengan iltizam dan kerjasama semua pihak, MTS akan terus menjadi platform tertinggi dalam menyelaras dasar tenaga negeri secara bersepadu demi kesejahteraan rakyat Sabah,” katanya. 

Hajiji turut memaklumkan bahawa beberapa projek ‘fast-track’ yang telah diluluskan dalam mesyuarat MTS tahun lalu kini mula menunjukkan hasil. 

Antaranya ialah peningkatan jidar simpanan penjanaan tenaga daripada 10 peratus pada Januari 2023 (sebelum Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) mengambil alih kuasa kawal selia) kepada 17 peratus ketika ini dan dijangka meningkat lagi kepada 30 peratus menjelang akhir tahun ini. 

Projek-projek ‘fast-track’ yang diluluskan oleh MTS turut menyumbang kepada pengurangan Indeks Purata Tempoh Gangguan Sistem (SAIDI) Sabah, daripada 363 minit dalam enam bulan pertama tahun 2023 kepada 215 minit dalam tempoh yang sama pada 2024, dan seterusnya menurun kepada 162 minit dalam enam bulan pertama tahun ini. 

Hajiji turut menggesa agar syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) diperkasa supaya dapat memainkan peranan lebih besar dalam landskap tenaga negeri.  – SABAH MEDIA

]]>
https://sabahmedia.com/2025/07/22/mts-lulus-projek-tenaga-berkapasiti-723mw/feed/ 0 77718
Majlis Tenaga Sabah lulus 1,000 MW tenaga atasi kekurangan bekalan elektrik di Sabah https://sabahmedia.com/2025/03/12/majlis-tenaga-sabah-lulus-1000-mw-tenaga-atasi-kekurangan-bekalan-elektrik-di-sabah/ https://sabahmedia.com/2025/03/12/majlis-tenaga-sabah-lulus-1000-mw-tenaga-atasi-kekurangan-bekalan-elektrik-di-sabah/#respond Wed, 12 Mar 2025 12:52:15 +0000 https://sabahmedia.com/?p=70270
Read Time:2 Minute, 42 Second

TUARAN: Majlis Tenaga Sabah meluluskan hampir 1,000 megawatt (MW) tenaga elektrik yang akan dijana melalui beberapa projek penjanaan elektrik bagi meningkatkan keperluan tenaga di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata jumlah tenaga itu diluluskan setakat bulan lalu sejajar usaha kerajaan memastikan tiada lagi masalah kekurangan tenaga di negeri ini pada masa depan.

Katanya, langkah itu diambil sejak kerajaan negeri mengambil alih kuasa kawal selia tenaga daripada kerajaan persekutuan bermula pada Januari tahun lalu.

“Kita mendapat kuasa kawal selia tenaga yang diturunkan daripada kerajaan persekutuan pada Januari tahun lalu dan saya selaku Pengerusi Majlis Tenaga Sabah setakat bulan lepas kita telah meluluskan hampir 1,000 MW tenaga yang bakal dijana.

“Ia termasuk membina hidro elektrik dan juga penggunaan kaedah lain seperti solar serta turbin angin yang sekarang kita luluskan kepada beberapa syarikat tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Seikhlas Budi, Sesuci Ramadan anjuran Sabah Electricity Sdn Bhd bersama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sulaman dan Mukim Indai Tuaran di Dewan Terbuka Kampung Simpangan pada Rabu.

Turut hadir Pengerusi Sabah Electricity, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Joniston Bangkuai dan Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity, Ir.Ts. Mohd Yaakob Haji Jaafar.

Hajiji berkata, .jika projek yang dirancang itu dapat dilaksanakan, pengguna di Sabah dijangka tidak lagi berdepan kekurangan bekalan elektrik dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

Mengulas lanjut mengenai masalah elektrik di Sabah ketika ini, Hajiji berkata walaupun berlaku gangguan, ia tidaklah seteruk gangguan elektrik yang pernah berlaku beberapa tahun lalu.

“Walaupun ada gangguan elektrik, sebenarnya keperluan tenaga sejak beberapa tahun ini cukup tinggi kerana pelabur ramai datang dan mereka perlukan tenaga yang besar.

“Tapi syukur dengan pengurusan Sabah Electricity dan kepimpinan pengerusinya, kita dapat mengatasi masalah ini dan nampak gangguan tidaklah sekerap beberapa tahun dulu,” katanya.

Hajiji yakin masalah bekalan elektrik di Sabah mampu diatasi Sabah Electricity yang berusaha melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan pengguna di negeri ini tidak berdepan gangguan bekalan.

Katanya, ia termasuk pelaksanaan Sistem Simpanan Tenaga Bateri (BESS) yang sedang dibangunkan Sabah Electricity dalam usahanya untuk menambah baik pembekalan tenaga elektrik di negeri ini.

Mengenai utiliti bekalan air, Hajiji sekali lagi mengulangi keyakinannya terhadap usaha yang sedang dilaksanakan kerajaan ketika ini mampu menyelesaikan masalah air pada tahun ini.

Jelasnya, peruntukan RM300 juta yang disalurkan kerajaan persekutuan sebelum ini sedang dimanfaatkan untuk melaksanakan projek peningkatan kapasiti loji rawatan air (LRA) di seluruh negeri.

“Bagi di Tuaran saja, LRA Telibong Satu dan Telibong Dua sudah siap dan mampu menjana sehingga 160 juta liter sehari (JLS) air bersih untuk kegunaan pengguna di Tuaran dan Kota Kinabalu.

“Sekarang ini hanya menunggu projek pemasangan paip dari loji di Telibong ke Kota Kinabalu dan saya dimaklumkan oleh Menteri Kerja Raya bahawa projek itu dijangka siap pada Jun depan.

“Apabila siap nanti, kita percaya tiada lagi masalah kekurangan bekalan air khususnya di Tuaran, Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), sebahagian kawasan Kota Kinabalu, termasuk Universiti Malaysia Sabah (UMS),” katanya.

Pada majlis itu, Hajiji turut menyampaikan sumbangan zakat kepada para asnaf dengan seramai 878 orang menerima sumbangan.

Daripada jumlah itu, seramai 500 orang menerima sumbangan daripada Sabah Electricity dan 378 orang lagi menerima sumbangan peribadi Hajiji.

Sementara itu, Masjid At-Taqwa Kampung Simpangan menerima sumbangan zakat sebanyak RM5000 daripada Sabah Electricity.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/03/12/majlis-tenaga-sabah-lulus-1000-mw-tenaga-atasi-kekurangan-bekalan-elektrik-di-sabah/feed/ 0 70270
Inisiatif tingkat jidar simpanan penjanaan dan menangani kekurangan kuasa elektrik diluluskan https://sabahmedia.com/2024/06/06/inisiatif-tingkat-jidar-simpanan-penjanaan-dan-menangani-kekurangan-kuasa-elektrik-diluluskan/ https://sabahmedia.com/2024/06/06/inisiatif-tingkat-jidar-simpanan-penjanaan-dan-menangani-kekurangan-kuasa-elektrik-diluluskan/#respond Thu, 06 Jun 2024 08:29:32 +0000 https://sabahmedia.com/?p=55589
Read Time:2 Minute, 6 Second

Kota Kinabalu: Majlis Tenaga Sabah (MTS) telah meluluskan pelbagai inisiatif termasuk meneroka sumber tenaga boleh diperbaharui baharu yang akan membantu mencapai dan mengekalkan jidar simpanan penjanaan sebanyak 30 peratus serta mengatasi masalah kekurangan kuasa elektrik di negeri ini.

Mesyuarat pertama MTS yang dipengerusikan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor itu bersetuju untuk menjalankan kajian kebolehlaksanaan sumber tenaga boleh baharu untuk Sabah seperti angin, geoterma dan projek janakuasa low head hydro summersible untuk meningkatkan campuran tenaga boleh baharu.

Cadangan-cadangan lain daripada Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) termasuk pelanjutan operasi loji janakuasa sedia ada yang berdaya harap, pembelian tenaga daripada loji janakuasa biomass, memastikan penyiapan projek Solar Berskala Besar (LSS), memperolehi kapasiti dari Sarawak, melaksanakan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS), tambahan loji janakuasa gas asli sebagai bahan api peralihan dan pengaktifan semula loji janakuasa Geoterma.

Penyiapan Pelan Pembangunan Hidroelektrik Sabah yang menjelang akhir tahun ini dijangka akan dapat menyokong inisiatif-inisiatif penjanaan kuasa di negeri ini.

Untuk jangka masa panjang, Kerajaan Negeri akan menerokai teknologi baharu seperti Reaktor Modular Kecil (SMRs) dengan kerjasama kerajaan persekutuan dan Penukaran Tenaga Haba Lautan (OTEC) berikutan kelulusan Enakmen OTEC 2024 oleh Dewan Undangan Negeri Sabah.

Hajiji dalam ucapan alu-aluannya menekankan Kerajaan Negeri komited untuk masa depan tenaga yang mampan di Sabah melalui Pelan Induk dan Halatuju Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040) yang dilancarkan pada 19 Sept tahun lalu.

“SE-RAMP 2040 menggariskan pelbagai strategi dan inisiatif untuk mengimbangi keperluan tenaga dan memastikan keselamatan tenaga, mampu milik, dan kelestarian alam sekitar,” katanya.

Menurutnya, mesyuarat MTS tertumpu kepada menangani cabaran tenaga semasa di Sabah, termasuk kekurangan kapasiti dan kestabilan grid serta perancangan untuk memenuhi keperluan permintaan elektrik jangka masa sederhana dan panjang.

Beliau turut menyeru tindakan kolektif daripada semua pihak berkepentingan dalam memastikan kesemua pelan dan inisiatif berjaya dilaksanakan.

Terdahulu, Hajiji berkata peranan MTS yang diluluskan Jemaah Menteri pada 6 Mac tahun ini adalah untuk memastikan keberkesanan strategi dan inisiatif SE-RAMP 2040.

MTS yang dipengerusikan Hajiji mempunyai 11 ahli tetap iaitu Menteri Kerjaraya, Menteri Pembangunan Industri dan Usahawan, Setiausaha Kerajaan Negeri, Setiausaha Tetap (SUT) Kementerian Kewangan, SUT Kementerian Kerjaraya, SUT Kementerian Pembangunan Industri dan Usahawan, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri, Ketua Pegawai Penyelaras Sekretariat Sabah Maju Jaya, Pengerusi ECoS dan Ketua Pegawai Eksekutif ECoS.

Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Energy Corporation Sdn Bhd, SMJ Energy Sdn Bhd dan Sabah Electricity Sdn Bhd masing-masing adalah ahli jemputan.

MTS ditubuhkan berikutan penyerahan kuasa kawal selia tenaga daripada Kerajaan Persekutuan kepada Sabah dan untuk menggantikan Jawatankuasa Perancangan dan Pelaksanaan Pembekalan Elektrik dan Tarif (JPPPET) Sabah. – SABAH MEDIA

]]>
https://sabahmedia.com/2024/06/06/inisiatif-tingkat-jidar-simpanan-penjanaan-dan-menangani-kekurangan-kuasa-elektrik-diluluskan/feed/ 0 55589