makan gaji – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Tue, 13 Jan 2026 06:18:52 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.0.4 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png makan gaji – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 Hentikan mentaliti ‘makan gaji’, Masiung mahu SEDCO dipacu prestasi tinggi https://sabahmedia.com/2026/01/13/hentikan-mentaliti-makan-gaji-masiung-mahu-sedco-dipacu-prestasi-tinggi/ https://sabahmedia.com/2026/01/13/hentikan-mentaliti-makan-gaji-masiung-mahu-sedco-dipacu-prestasi-tinggi/#respond Tue, 13 Jan 2026 06:18:45 +0000 https://sabahmedia.com/?p=89639
Read Time:1 Minute, 14 Second

KOTA KINABALU: Pengerusi baharu Kumpulan SEDCO, Datuk Masiung Banah, menegaskan keperluan mendesak untuk mengikis amalan budaya kerja ‘sekadar makan gaji’ dalam kalangan pegawai dan eksekutif agensi itu, sebaliknya menuntut sistem tadbir urus berprestasi tinggi dan berorientasikan hasil.

Beliau berkata, semua pegawai termasuk eksekutif yang menerajui anak-anak syarikat di bawah Kumpulan SEDCO perlu bekerja sebagai satu pasukan serta menunjukkan inisiatif dalam memperkasa potensi pelaburan dan menjana keuntungan mampan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut itu mula melaporkan diri bertugas kelmarin selepas menerima pelantikan rasmi kerajaan negeri minggu lalu.

Sejurus itu, beliau menghadiri sesi taklimat bersama Pengurus Besar Kumpulan SEDCO, Datuk Ar. James Wong Kien Peng, yang turut dihadiri Setiausaha Tetap Kementerian Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Thomas Logijin, di Wisma SEDCO, di sini.

Masiung menegaskan, warga kerja SEDCO perlu mengamalkan semangat kekeluargaan serta menolak sikap ego dalam urusan pentadbiran dan pengurusan syarikat.

“Kita meletakkan sasaran agar Kumpulan SEDCO muncul sebagai pemacu utama ekonomi Sabah, justeru memerlukan pegawai profesional yang berprestasi tinggi.

“Setiap cadangan pelaburan perlu dikaji secara menyeluruh bagi memastikan ia benar-benar berdaya maju dan menguntungkan.

“Kita tidak boleh melaksanakan projek atau pelaburan secara tergesa-gesa tanpa perancangan yang teliti dan matang,” katanya.

Sebagai sebahagian daripada pembaharuan pentadbiran, beliau mencadangkan agar Kumpulan SEDCO mengemukakan laporan prestasi kepada kerajaan negeri setiap tiga bulan bagi memastikan tahap akauntabiliti yang lebih tinggi.

Masiung turut menggesa pembuat dasar supaya setiap rangka kerja dan perancangan yang dirangka berpaksikan keperluan rakyat sebelum dibawa untuk pertimbangan dalam mesyuarat Lembaga Pengarah.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/01/13/hentikan-mentaliti-makan-gaji-masiung-mahu-sedco-dipacu-prestasi-tinggi/feed/ 0 89639