malaysia – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Thu, 18 Jun 2026 01:53:51 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.0.2 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png malaysia – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 Malaysia-Rusia teroka kerjasama strategik, perkukuh keterjaminan bekalan tenaga jangka panjang https://sabahmedia.com/2026/06/18/malaysia-rusia-teroka-kerjasama-strategik-perkukuh-keterjaminan-bekalan-tenaga-jangka-panjang/ https://sabahmedia.com/2026/06/18/malaysia-rusia-teroka-kerjasama-strategik-perkukuh-keterjaminan-bekalan-tenaga-jangka-panjang/#respond Thu, 18 Jun 2026 01:53:46 +0000 https://sabahmedia.com/?p=98383
Read Time:1 Minute, 2 Second

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Persekutuan Rusia meneroka potensi memperkukuh kerjasama strategik termasuk dalam sektor tenaga bagi memastikan keterjaminan bekalan tenaga dan minyak jangka panjang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu antara isu yang dibincangkan bersama Presiden Persekutuan Rusia, Vladimir Putin dalam perbincangan dua hala yang menyentuh pelbagai aspek kepentingan kedua-dua negara.

Beliau berkata, kedua-dua pemimpin turut membincangkan usaha memperluas kerjasama ekonomi termasuk menghargai ketetapan Persekutuan Rusia untuk memberikan kerjasama jangka panjang dalam aspek bekalan tenaga dan minyak.

“Kerjasama dalam sektor tenaga merupakan antara bidang strategik yang penting bagi kedua-dua negara, khususnya dalam memastikan kestabilan dan kesinambungan bekalan,” katanya.

Selain sektor tenaga, Anwar berkata perbincangan turut meliputi peluang memperkukuh kerjasama dalam bidang teknologi baharu, keselamatan siber, digital, kecerdasan buatan (AI), pertanian moden serta farmaseutikal.

Katanya, kedua-dua pihak juga bertukar pandangan mengenai usaha memudah cara pergerakan rakyat melalui pemansuhan visa, selain meneroka mekanisme bagi memperluas perdagangan dan pelaburan dua hala menggunakan mata wang tempatan iaitu Ringgit dan Ruble.

“Kerajaan MADANI akan terus mengambil langkah strategik dan proaktif bagi memperkukuh keterjaminan tenaga negara melalui kerjasama antarabangsa yang mampu menjamin kestabilan, kesinambungan dan daya tahan bekalan tenaga,” katanya.

Menurutnya, langkah berkenaan penting demi kepentingan rakyat serta kemakmuran negara dalam menghadapi cabaran ekonomi global.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/06/18/malaysia-rusia-teroka-kerjasama-strategik-perkukuh-keterjaminan-bekalan-tenaga-jangka-panjang/feed/ 0 98383
Malaysia alami cuaca panas akhir Monsun Timur Laut – Pensyarah Kanan UMS https://sabahmedia.com/2026/03/28/malaysia-alami-cuaca-panas-akhir-monsun-timur-laut-pensyarah-kanan-ums/ https://sabahmedia.com/2026/03/28/malaysia-alami-cuaca-panas-akhir-monsun-timur-laut-pensyarah-kanan-ums/#respond Sat, 28 Mar 2026 07:54:34 +0000 https://sabahmedia.com/?p=93940
Read Time:1 Minute, 54 Second

KOTA KINABALU: Keadaan cuaca panas yang melanda negara ketika ini disifatkan sebagai sebahagian daripada kitaran normal sistem monsun Malaysia, namun intensitinya boleh dipengaruhi oleh faktor global seperti perubahan iklim dan fenomena atmosfera semasa.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Gs. Dr Lindah Roziani Jamru, berkata keadaan panas yang dirasai kini berlaku kerana Malaysia berada di penghujung Monsun Timur Laut dan bakal memasuki fasa peralihan monsun.

Menurut beliau, dalam tempoh ini, litupan awan dan taburan hujan berkurangan, sekali gus menyebabkan peningkatan suhu di kebanyakan kawasan.

“Secara asasnya, keadaan ini adalah normal dalam kitaran monsun Malaysia. Namun, tahap kepanasan yang dirasai boleh menjadi lebih ketara disebabkan faktor tambahan seperti perubahan iklim global dan fenomena atmosfera semasa,” katanya ketika ditemui media pada Jumaat.

Beliau turut menjelaskan bahawa fenomena global seperti El Niño memainkan peranan penting dalam mempengaruhi cuaca tempatan.

“El Niño lazimnya menyebabkan keadaan lebih panas dan kering kerana taburan hujan berkurangan, sekali gus meningkatkan suhu di Malaysia,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata sesuatu keadaan hanya boleh diklasifikasikan sebagai gelombang haba sekiranya suhu melebihi 37 darjah Celsius selama sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.

“Jika suhu berada sekitar 35 hingga 37 darjah Celsius, ia dianggap sebagai tahap berjaga-jaga, manakala suhu melebihi 40 darjah Celsius dikategorikan sebagai gelombang haba ekstrem,” katanya yang juga merupakan Ketua Program Geografi FSSK UMS.

Mengulas mengenai implikasi jangka panjang, beliau menegaskan cuaca panas berpanjangan boleh memberi kesan serius terhadap sumber air, sektor pertanian dan kesihatan manusia.

“Antara kesannya termasuk penyusutan paras empangan, gangguan kepada hasil pertanian akibat kekurangan air, serta peningkatan risiko kesihatan seperti dehidrasi, strok haba dan penyakit berkaitan haba,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menekankan keperluan tindakan bersama antara kerajaan dan masyarakat dalam menghadapi situasi cuaca panas ekstrem.

Di peringkat kerajaan, langkah seperti memperkukuh sistem amaran awal, meningkatkan kecekapan pengurusan sumber air dan memperhebat kempen kesedaran awam perlu diberi perhatian.

“Dalam masa yang sama, masyarakat juga perlu memainkan peranan dengan memastikan pengambilan air mencukupi, mengurangkan aktiviti luar terutama pada waktu tengah hari serta menggunakan air dan elektrik secara berhemah,” katanya.

Tambah beliau, pendidikan geografi turut memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap isu cuaca dan iklim.

“Ia membantu masyarakat memahami hubungan antara aktiviti manusia dan perubahan iklim, sekali gus mendorong tindakan yang lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/03/28/malaysia-alami-cuaca-panas-akhir-monsun-timur-laut-pensyarah-kanan-ums/feed/ 0 93940
Tourism Malaysia Sabah promosi pelancongan pedalaman melalui program ‘Mansau-Ansau Borneo Trail’ https://sabahmedia.com/2025/12/10/tourism-malaysia-sabah-promosi-pelancongan-pedalaman-melalui-program-mansau-ansau-borneo-trail/ https://sabahmedia.com/2025/12/10/tourism-malaysia-sabah-promosi-pelancongan-pedalaman-melalui-program-mansau-ansau-borneo-trail/#respond Wed, 10 Dec 2025 06:24:34 +0000 https://sabahmedia.com/?p=88024
Read Time:1 Minute, 40 Second

TAMBUNAN: Tourism Malaysia Sabah terus mempergiat usaha mempromosikan pelancongan domestik, khususnya di kawasan pedalaman negeri ini menerusi penganjuran program “Mansau-Ansau Borneo Trail” di Daerah Tambunan, yang berlangsung selama dua hari bermula 6 Disember lalu.

Program edisi ketiga itu melibatkan penyertaan dua wakil agensi pelancongan dan dua pengamal media tempatan, bertujuan memberi pendedahan secara langsung terhadap keunikan produk pelancongan desa serta keindahan alam semula jadi yang dimiliki Tambunan, yang turut dikenali sebagai ‘The Switzerland of the East’.

Pengarah Tourism Malaysia Sabah, Haryanty Abu Bakar, berkata penganjuran program itu memberi fokus kepada pengalaman pelancongan berasaskan komuniti (CBT) yang semakin mendapat sambutan dalam kalangan pelancong tempatan.

“Kita membawa wakil agensi pelancongan dan media untuk mengalami sendiri konsep experiential tourism serta mendekati adat dan budaya tempatan, khususnya di kawasan pedalaman Sabah yang terkenal dengan pendekatan CBT,” katanya.

Sepanjang lawatan, peserta berpeluang menginap di Kampung Sunsuron Homestay, menikmati jamuan tradisi masyarakat Kadazan Dusun, selain mendalami elemen warisan tempatan menerusi kunjungan ke Rumah Tengkorak, satu tapak budaya unik di daerah itu.

Peserta turut dibawa mengunjungi beberapa destinasi alam semula jadi popular termasuk Air Terjun Mahua di Hutan Simpan Crocker Range, Rafflesia Information Centre serta Sinurambi Viewing Point yang menawarkan pemandangan panorama dari menara setinggi 14 meter.

Program ini turut menampilkan elemen pelancongan lasak di Kawang-Kawang Canyon, sekali gus memperlihatkan potensi besar Kampung Tiong dalam pembangunan pelancongan berasaskan alam sebagai produk tarikan baharu di pedalaman Sabah.

Menurut Haryanty, penglibatan media tempatan dalam program ini juga merupakan strategi penting Tourism Malaysia dalam memperluas promosi pelancongan melalui platform digital menerusi konsep travel and storytelling yang lebih berkesan serta berimpak tinggi.

Program “Mansau-Ansau Borneo Trail” ini turut menjadi sebahagian daripada persiapan awal ke arah Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) yang menyasarkan 47 juta ketibaan pelawat antarabangsa, di samping mengukuhkan kedudukan destinasi domestik sebagai pilihan utama rakyat Malaysia.

Tourism Malaysia yakin, dengan kerjasama berterusan semua pihak termasuk komuniti setempat, pengusaha pelancongan dan agensi media, sektor pelancongan domestik Sabah akan terus berkembang sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi luar bandar. – SABAH MEDIA

]]>
https://sabahmedia.com/2025/12/10/tourism-malaysia-sabah-promosi-pelancongan-pedalaman-melalui-program-mansau-ansau-borneo-trail/feed/ 0 88024
Ansari: Keputusan Mahkamah Tinggi Bukti Perjuangan Panjang Anak Sabah Berbaloi https://sabahmedia.com/2025/10/21/ansari-keputusan-mahkamah-tinggi-bukti-perjuangan-panjang-anak-sabah-berbaloi/ https://sabahmedia.com/2025/10/21/ansari-keputusan-mahkamah-tinggi-bukti-perjuangan-panjang-anak-sabah-berbaloi/#respond Tue, 21 Oct 2025 05:09:05 +0000 https://sabahmedia.com/?p=83805
Read Time:6 Minute, 42 Second

KOTA KINABALU,  — Keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung tuntutan Sabah Law Society (SLS) mengenai hak 40 peratus hasil bersih Sabah disifatkan sebagai kemenangan besar yang telah lama dinanti oleh rakyat Sabah, kata peguam dan aktivis MA63, Datuk Haji Ansari Abdullah.

Beliau berkata, peruntukan bagi pemulangan dua perlima (2/5) hasil Kerajaan Persekutuan yang dikutip di Sabah telah pun wujud sejak termeterainya Perundingan IGC pada 1962 dan kemudian diterapkan dalam Perjanjian Malaysia serta Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, perkara itu termasuk dalam peruntukan kewangan yang sepatutnya dikaji semula setiap lima tahun sebagaimana digariskan dalam Perlembagaan.

“Kajian pertama isu kewangan ini dibangkitkan dalam Dewan Undangan Negeri oleh USNO, tetapi selepas peristiwa Mei 13 tahun 1969, satu ketetapan diambil pada tahun 1970 dan selepas itu tidak banyak perkembangan berlaku,” katanya ketika ditemui  Sabah Media baru ini.

Sejarah Awal Isu Minyak dan Akta Petroleum 1974

Beliau yang mengimbas Sejarah Sabah berkata bahawa sebelum wujudnya Petronas, kerajaan Sabah di bawah Tun Datu Mustapha telah menandatangani perjanjian dengan syarikat Jepun bagi meneroka minyak di perairan Sabah.

“ Minyak sudah ditemui di Balikpapan, di Brunei, dan kerana kita berada di satu pulau, di Miri sudah ada minyak di darat, begitu juga di Brunei  iaitu di Seria Minyak di laut mula-mula ditemui di Brunei.

Selepas itu, kalau saya tidak silap, di Balikpapan. Maka kerajaan Sabah pada waktu itu di bawah Tun Mustapha sudah menandatangani perjanjian dengan syarikat-syarikat Jepun dan sebagainya untuk mencari minyak. Namun timbullah masalah bila Akta Pembangunan Petroleum dibawa ke Parlimen pada tahun 1974, dan masa itu negara masih dalam status darurat.

Dengan tidak senangnya  kerajaan pusat terhadap kerajaan negeri Sabah waktu itu, maka Parti Berjaya  ditubuhkan. Pada tahun 1976, pemerintahan kerajaan USNO dan Perikatan berakhir dan timbullah Berjaya katanya.

Surat Pertama Menuntut “2/5 Hasil” Tidak Pernah Dijawab

Ansari turut berkongsi bahawa selepas Datuk Harris Salleh mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri pada 1976, arahan pertama kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Simon Sipaun, ialah menulis surat kepada Kuala Lumpur menuntut bayaran 2/5 hasil Persekutuan.

“Menurut Tan Sri Simon, surat itu masih ada. Namun sehingga saya bersara, Kuala Lumpur tidak pernah menjawab,” ujarnya.

Beliau menambah, selepas era Tun Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri, banyak fakta mengenai MA63 ditekan dan disembunyikan daripada pengetahuan umum.

Usaha Menyemarakkan Kesedaran MA63

Ansari berkata, beliau sendiri mula membangkitkan isu ini secara terbuka pada 2012 di Hotel Tang Dynasty, dan sekali lagi pada 2013 di Dewan Sivik Petaling Jaya di hadapan pemimpin politik dan peguam.

“Ramai yang terkejut dengan pendedahan itu kerana tidak tahu kewujudan laporan IGC dan kandungan sebenar Perjanjian Malaysia. Malah di Semenanjung pun dua dokumen itu tidak dijual di Jabatan Cetak Kerajaan atau perpustakaan utama,” katanya.

Sehingga apabila kita adakan forum pertama tahun 2015 di UMS, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, salah seorang peguam kanan dari Kuala Lumpur, bertanya kepada saya dari mana kamu dapatkan buku laporan IGC-62 dan Perjanjian Malaysia?

Kerana dua dokumen ini tidak dijual di Semenanjung, sama ada di Jabatan Cetak Kerajaan mahupun di perpustakaan  termasuk perpustakaan terbaik waktu itu, Universiti Malaya. Ini dari Tan Sri Shafee sendiri.

Jadi kita nampak pada waktu itu ada usaha untuk menyembunyikan fakta dan sejarah — bukan saja tentang pembentukan Malaysia tetapi juga syarat-syarat pembentukannya.

Rata-rata mereka terkejut bila saya ceritakan tentang kedudukan Sabah, peruntukan kewangan dan kuasa imigresen, termasuk di kalangan beberapa peguam. Di Kota Kinabalu sendiri, saya masih ingat Datuk James Gani, Datuk Douglas Lin dan Datuk  S Venugopal. Selepas saya berucap, mereka bertanya, “Where did you get all this?” Saya jawab, “It’s there.”

Sejak itu, beliau giat menjelaskan isu MA63 kepada pelbagai lapisan masyarakat, termasuk dalam forum di Keningau bersama Profesor Aziz Bahri, yang kemudian menarik perhatian Tan Sri Anifah Aman selaku Menteri Luar ketika itu.

Anifah Aman dan Pengesahan Queen’s Counsel

Pertemuan wakil Sabah ketika menyerahkan memorandum pertama kepada Perdana Menteri Ketika itu.

Ansari memaklumkan bahawa selepas beliau memberi taklimat kepada Anifah, Menteri Luar itu pergi ke London dan mendapatkan pandangan dua Queen’s Counsel, termasuk Anthony Lester, yang mengesahkan bahawa semakan lima tahun sekali adalah hak “mandatory” Sabah.

“Itu menjadi asas kepada forum besar MA63 di UMS yang dihadiri lebih 7,000 orang, di mana isu ini buat pertama kali dibawa ke institusi pengajian tinggi,” katanya.

Saya masih teringat ucapan Datuk Yong Teck Lee yang berkata, “Thank you Datuk Anifah. In those days we could only talk about this in the balai raya, in the kampung. For the first time, this issue is brought into an institution of learning — in the university. Thank you for this.”

Selepas itu, satu jawatankuasa kerja dibentuk — saya di dalamnya, termasuk Dr. Jeffrey dan Zainal Ajamain ( Allahyarham)  Kami siapkan satu memorandum yang dihantar kepada Perdana Menteri waktu itu, Datuk Seri Najib. Datuk Najib mengarahkan pembentukan Jawatankuasa Kabinet untuk mengkaji perkara ini.

Walaupun banyak peruntukan tidak dilaksanakan, tumpuan Tan Sri Anifah ialah pada kewangan. Alasannya, yang lain itu tidak penting — yang paling penting kewangan. Kerana kalau kita ada kewangan yang cukup, kita boleh bangunkan Sabah ini.

Tan Sri Anifah dilantik sebagai Co-Chairman bersama Nancy Shukri. Pada Mac 2018, beliau mengeluarkan kenyataan media bahawa beliau akan keluar daripada UMNO sekiranya UMNO gagal melaksanakan apa yang terkandung dalam memorandum itu. Enam bulan kemudian, beliau keluar daripada UMNO kerana UMNO gagal melaksanakan.

Katanya lagi, forum tersebut membawa kepada pembentukan Jawatankuasa Kabinet di bawah Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak, dengan tumpuan utama pada isu kewangan.

Isu MA63 Bukan Milik Parti Politik

Menurut Ansari, perjuangan MA63 bukanlah isu parti atau kerajaan, tetapi milik semua rakyat Sabah.

“Tan Sri Anifah menjemput semua wakil parti — PKR, PAS, SAPP, Dr Jeffrey — untuk bersama merakyatkan isu ini. Pendekatan beliau jelas, bahawa MA63 ialah hak semua anak Sabah,” katanya.

Beliau menyatakan bahawa hasil kesedaran rakyat inilah yang akhirnya membawa kepada kemasukan tuntutan hak Sabah dan Sarawak dalam manifesto Pakatan Harapan 2018.

Peranan Kerajaan Negeri dalam Kes Mahkamah Tinggi

Mengulas tuduhan bahawa kerajaan negeri “menunggang” kemenangan Mahkamah Tinggi, Ansari menjelaskan bahawa pada peringkat awal, kerajaan negeri diwakili Tengku Fuad, tetapi lantikan itu ditarik balik selepas kenyataan beliau dianggap tidak selari dengan pendirian kerajaan negeri.

“Selepas itu, Peguam Negeri Datuk Nur Asia dan kini Datuk Brandon Soh telah berhujah menyokong permohonan Sabah Law Society. Malah SLS sendiri melalui mantan presidennya, Datuk Roger Chin, mengakui kerajaan negeri banyak membantu dengan memberi rekod dan dokumen penting,” katanya.

Namun gambaran saya sebagai orang luar — apa pun kesilapan jika ada — sudah diperbetulkan, apabila dua Peguam Negeri, dahulu dan sekarang, menyokong permohonan Sabah Law Society. Lebih daripada itu, seperti dinyatakan oleh mantan Presiden SLS, Saudara Roger Chin, beliau menyatakan bahawa Kerajaan Negeri telah banyak membantu dengan memberikan rekod-rekod pembayaran, sejarah dan sebagainya.

Ini bukan kenyataan orang politik. Ini kenyataan daripada persatuan itu sendiri. Orang yang paling tahu siapa yang membantu persatuan ialah persatuan itu sendiri.

Saya cuma ahli biasa. Sebagai seorang peguam, saya ahli biasa. Tapi ahli jawatankuasa eksekutif, presiden, mantan presiden dan ahli komiti mereka tahu siapa yang telah membantu. Datuk Roger Chin menyatakan bahawa Kerajaan Negeri telah membantu dan mereka berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana membantu.

Ini kenyataan, ini fakta. Bukan spin, bukan cakap orang politik. Setahu saya, Datuk Roger Chin bukan orang politik katanya.

Perintah Mahkamah dan Harapan ke Hadapan

Mengulas lanjut keputusan Mahkamah Tinggi, Ansari menjelaskan bahawa hakim telah mengeluarkan perintah mandamus, yang mewajibkan kerajaan Persekutuan melaksanakan peruntukan Perkara 112D dan mengadakan semakan lima tahun sekali.

“Apa-apa bayaran seperti peruntukan RM600 juta dalam bajet terkini telah diisytiharkan tidak sah dan terbatal,” jelasnya.

Sekiranya tiada rayuan daripada kerajaan Persekutuan, katanya, langkah seterusnya ialah menetapkan satu timeline jelas untuk rundingan dan pelaksanaan bersama antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat.

“Jika tiada persetujuan, perlembagaan membenarkan pelantikan arbitrator antarabangsa untuk menentukan formula yang adil,” katanya.

Namun beliau turut mengingatkan bahawa satu klausa dalam Perlembagaan menyatakan pelaksanaan hak ini tertakluk kepada “situasi kewangan kerajaan Persekutuan”.

Kewangan Kunci Masa Depan Sabah

Menurutnya, sekiranya formula yang adil dapat dipersetujui, Sabah akan memiliki keupayaan kewangan mencukupi untuk menyelesaikan pelbagai masalah asas.

“Kalau cukup kewangan, masalah infrastruktur, air, elektrik dan pembangunan asas lain dapat diselesaikan dalam tempoh lima tahun. Itu harapan saya,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/10/21/ansari-keputusan-mahkamah-tinggi-bukti-perjuangan-panjang-anak-sabah-berbaloi/feed/ 0 83805
B.Grimm Sedia Bawa Kepakaran, Bantu Bangunkan Tenaga Sabah https://sabahmedia.com/2025/08/27/b-grimm-sedia-bawa-kepakaran-bantu-bangunkan-tenaga-sabah/ https://sabahmedia.com/2025/08/27/b-grimm-sedia-bawa-kepakaran-bantu-bangunkan-tenaga-sabah/#respond Wed, 27 Aug 2025 03:54:34 +0000 https://sabahmedia.com/?p=80134
Read Time:1 Minute, 43 Second

KOTA KINABALU –  Sabah berpotensi besar dalam Pembangunan tenaga. Keyakinan ini dinyatakan oleh Pengerusi B.Grimm, Dato’ Sri Dr. h.c. Harald Link. Beliau turut memberi jaminan bahawa pihaknya bersedia untuk membawa kepakaran dalam penyediaan bekalan elektrik berterusan bagi menyokong pertumbuhan industri negeri ini.

Berdasarkan pengalaman beliau, membangun dan menjana tenaga elektrik yang stabil adalah asas penting dalam menarik lebih banyak pelaburan industri. Faktor ini pastinya jika ditambah dengan keindahan alam yang luar biasa serta kekayaan sumber makanan laut yang terdapat di Sabah, menjadikan negeri ini mempunyai keunikan tersendiri.

“Ketika kami memulakan usaha sama di Thailand 30 tahun lalu, penyediaan tenaga berterusan menjadi pemangkin utama syarikat luar membina kilang di sana. Tanpa bekalan elektrik yang konsisten, mustahil untuk menghasilkan dengan cekap,” katanya.

Gabungan Tenaga Boleh Diperbaharui dan Gas

Ditanya mengenai penggunaan tenaga dan gas, Dr Harald Link menegaskan bahawa tenaga boleh diperbaharui seperti solar penting untuk alam sekitar, namun ia perlu digabungkan dengan teknologi bateri dan gas. Katanya, kos dan kapasiti bateri litium-besi masih menjadi cabaran, justeru sumber gas kekal relevan sebagai pelengkap kepada tenaga hijau.

“Loji janakuasa gas kami di Thailand mencatat pelepasan 30 peratus lebih rendah berbanding grid nasional. Ia bukan sahaja lebih cekap tetapi turut menyumbang kepada usaha menjadikan dunia lebih hijau,” jelasnya.

Bercakap tentang keistimewaan syarikat B.Grimm, Dr Harald Link berkata keistimewaan syarikat yang diterajuinya serta nilai yang dibawanya berlainan berbanding pelabur lain. Kata beliau “B.Grimm menekankan semangat perkongsian serta profesionalisme dalam setiap usaha”.

“Kami tidak melihat diri sebagai sekadar pembekal tetapi rakan kongsi. Pekerja kami juga dianggap rakan kongsi dalam kejayaan bersama,” katanya.

Beliau turut menekankan semangat perintis sebagai teras syarikat, termasuk pembangunan digital twin yang membolehkan keseluruhan operasi loji dianalisis dan disimulasikan melalui komputer bagi meningkatkan kecekapan serta mengurangkan gangguan operasi.

“Kami telah memulakannya, dan ia membantu mengurangkan gangguan operasi dan kami  menjadi sangat cekap, sangat produktif”

Saya tidak kata kami jauh berbeza dengan yang lain, tetapi keunikan yang kami miliki inilah yang kami cuba lakukan.

Persekitaran Sabah boleh menepati impian kami, dan saya harap kami juga dapat menepati keperluan Sabah katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/08/27/b-grimm-sedia-bawa-kepakaran-bantu-bangunkan-tenaga-sabah/feed/ 0 80134
B.Grimm Gesa Percepat Integrasi Tenaga Asean, Manfaat Hidro Laos Dan Solar Malaysia https://sabahmedia.com/2025/08/17/b-grimm-gesa-percepat-integrasi-tenaga-asean-manfaat-hidro-laos-dan-solar-malaysia/ https://sabahmedia.com/2025/08/17/b-grimm-gesa-percepat-integrasi-tenaga-asean-manfaat-hidro-laos-dan-solar-malaysia/#respond Sun, 17 Aug 2025 07:25:12 +0000 https://sabahmedia.com/?p=79466
Read Time:3 Minute, 29 Second

KUALA LUMPUR, 17 Ogos (Bernama) – Asas bagi integrasi tenaga ASEAN sudah lama dibentuk, namun tumpuan yang lebih jelas dan tindakan yang lebih pantas diperlukan bagi melonjakkan tenaga boleh baharu (TBB) ke tahap seterusnya dengan memanfaatkan kekuatan setiap negara anggota, kata B.Grimm Power Public Company Ltd.

B.Grimm merupakan konglomerat multinasional yang berakar umbi di Thailand selama 147 tahun yang mempunyai kedudukan kukuh di rantau ASEAN dengan operasi di Filipina, Kemboja, Vietnam dan Laos.

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Seri Harald Link menegaskan, Laos mempunyai sumber tenaga hidro yang luas manakala Malaysia pula mempunyai potensi tenaga solar yang banyak.

Katanya, kedua-dua kelebihan ini perlu dimanfaatkan dengan lebih meluas melalui penubuhan rangkaian grid yang lebih kukuh dan saling berhubung dari pelbagai sumber.

“Apabila kita melihat kepada grid ASEAN, setiap negara mempunyai kekuatan yang berbeza. Laos, sebagai contoh, merupakan satu-satunya negara di rantau ini yang mempunyai potensi tenaga hidro yang melimpah.

“Jadi, masuk akal untuk Laos memanfaatkan kelebihan itu dengan mengeksport tenaga elektrik ke Thailand, Malaysia dan juga Singapura sekali gus menjana pendapatan. Namun, untuk itu berlaku, grid perlu disediakan dan sambungan antara negara perlu dinaik taraf,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Temu bual itu diadakan selepas Link dikurniakan Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran “Datuk Seri” sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-66 Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Balai Mahkota, Istana Abdulaziz, Kuantan, Pahang pada 28 Julai, 2025.

Sambungan di antara Thailand dengan Semenanjung diwujudkan dan mula beroperasi sejak Jun 2002 dengan kapasiti sebanyak 300 Megawatt (MW).

Ia dibina bagi menghubungkan Thailand dan Semenanjung melalui talian penghantaran bahagian atas HVDC 300 kV secara grid ke grid.

Sambungan sedia ada merentasi kira-kira 110 kilometer dari pencawang di Khlong Ngae, Thailand ke Gurun East di Malaysia yang disifatkan oleh Link sebagai “talian yang sangat lama.”

Mengulas mengenai peranan Malaysia dalam usaha menaik taraf grid sambungan, Link berkata, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) sedang giat mendorong peningkatan grid sambungan berkenaan.

“B.Grimm memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Tenaga Nasional Bhd (TNB) yang akan membeli tenaga hidro dari Laos melalui kami untuk dibawa ke Malaysia, namun MoU itu masih menunggu grid ASEAN atau grid Thailand–Malaysia untuk dinaik taraf,” kata Link.

Pada 2023, TNB memeterai perjanjian dengan tiga pemain tenaga utama di Thailand bagi membangunkan infrastruktur serantau untuk TBB.

TNB, melalui anak syarikatnya, TNB Power Generation Sdn Bhd bekerjasama dengan B.Grimm bagi meninjau peluang kerjasama dalam pembangunan projek TBB di Asia Tenggara.

Di seluruh ASEAN, jejak B.Grimm jelas kelihatan iaitu mereka mengendalikan ladang solar di Filipina dan Vietnam.

B.Grimm membina ladang solar terbesar di Asia Tenggara pada 2018 berserta rangkaian pengedaran. Di Kemboja, B.Grimm bekerjasama dengan kontraktor milik kerajaan China dan membina ladang solar kedua.

Di Laos pula, B. Grimm mengendalikan tiga loji jana kuasa hidro yang menyumbang kepada campuran TBB negara tersebut.

Mengenai campuran tenaga ASEAN, Link mencadangkan pembinaan banyak loji jana kuasa hidro di Laos dan menubuhkan grid untuk menghantar tenaga tersebut, termasuk ke Malaysia.

“Lebih logik untuk membeli tenaga berkenaan daripada menjana sendiri jika anda tidak mempunyai sumbernya. Pada masa yang sama, saya juga akan memberi tumpuan pembangunan ladang solar kerana tenaga solar merupakan sesuatu yang dimiliki Malaysia dan ia percuma,” tambahnya.

Secara keseluruhan, Link berpendapat Pelan Strategik Komuniti Ekonomi ASEAN harus membawa manfaat sebenar kepada negara anggota dengan pergerakan bebas orang dan wang, serta tiada konflik wilayah.

“Seperti di Kesatuan Eropah (EU), rakyatnya tidak kisah sama ada mereka berada di Jerman, Luxembourg, Belgium atau Perancis; mereka boleh bergerak dengan bebas, mencari pekerjaan dan tinggal di mana sahaja yang mereka inginkan.

“Negara-negara kurang maju menerima dana pusat. Contohnya, Portugal dahulu sangat miskin, tetapi menerima banyak bantuan kewangan dari Brussels. Kadang-kadang mungkin timbul perselisihan, tetapi tiada apa yang bersifat merosakkan,” katanya.

Beliau turut menyimpulkan iaitu EU menjadi pemelihara keamanan yang hebat.

“ASEAN harus menyasarkan perkara yang sama. Jadi ya, saya benar-benar percaya iaitu kesatuan-kesatuan ini, sama ada ASEAN atau EU, membawa manfaat sebenar kepada setiap individu,” katanya.

— BERNAMA

]]>
https://sabahmedia.com/2025/08/17/b-grimm-gesa-percepat-integrasi-tenaga-asean-manfaat-hidro-laos-dan-solar-malaysia/feed/ 0 79466
Pengerusi B.Grimm Terima Anugerah Membawa Gelaran Dato’ Sri Dari Pahang https://sabahmedia.com/2025/07/26/pengerusi-b-grimm-terima-anugerah-membawa-gelaran-datuk-seri-dari-pahang/ https://sabahmedia.com/2025/07/26/pengerusi-b-grimm-terima-anugerah-membawa-gelaran-datuk-seri-dari-pahang/#respond Sat, 26 Jul 2025 09:10:18 +0000 https://sabahmedia.com/?p=77961
Read Time:3 Minute, 16 Second

Kuantan :- Pengerusi B.Grimm & Co., Datuk Dr. H.C Harald Link, menerima darjah kebesaran negeri Pahang yang membawa gelaran Dato’ Sri sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-66 Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Istiadat penganugerahan berlangsung penuh adat istana di Balai Mahkota, Istana Abdulaziz, di sini hari ini. Baginda Sultan berkenan menyempurnakan istiadat berkenaan, diiringi Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Turut hadir, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta barisan kepimpinan kerajaan negeri.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup mendahului senarai 58 penerima darjah kebesaran dan pingat Pahang sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-66 Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. 

Arthur dikurniakan darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Dato’ Sri bersama-sama Setiausaha Kerajaan Pahang Datuk Nazri Abu Bakar, Gabenor Bank Negara Dato’ Sri Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour, Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan. 

Turut menerima SSAP,  Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Dato’ Sri Ahmad Fadil Shamsuddin, Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz, Pengarah Belanjawan Negara Kementerian Kewangan Datuk Ab Rahim Ab Rahman, Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan) Kementerian Kesihatan Datuk Zahrul Hakim Abdullah @ Ab Allah.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Nor Hisham Mohammad, Pengarah Pengurusan Bukit Aman Datuk Abdul Aziz Abdul Majid, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malayan Banking Berhad Datuk Khairussaleh Ramli dan Ketua Jabatan Kardiologi Institut Jantung Negara (IJN) Datuk Dr Azmee Mohd Ghazi turut dikurniakan SSAP. 

Penerima lain ialah Pengerusi Dan Pengarah Eksekutif Prima Merdu Sdn Bhd Datuk Amer Hamzah Ahmad, Pengarah Urusan Tong Chun Development Sdn Bhd Datuk Ken Ng Chee Kean dan Pengarah Urusan Kumpulan Magma Group Berhad Datuk Liang Chee Fong. 

Penerima tunggal Darjah Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah (DSAS) yang membawa gelaran Datuk ialah Mufti Pahang Profesor Datuk Dr  Asmadi Mohamed Naim manakala Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) yang turut membawa gelaran Datuk dikurniakan kepada lapan individu. 

Mereka ialah Penasihat Undang-Undang Pahang Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi, Pengarah Tanah dan Galian Pahang Datuk Razihan Adzharuddin, Timbalan Setiausaha Kerajaan Pahang (Pembangunan) Datuk Ali Syahbana Sabaruddin dan Panglima Wilayah Udara 2 Markas Wilayah Udara 2, Wilayah Persekutuan Labuan Mejar Jeneral Datuk Norli Hisham Alwi. 

Turut menerima DSAP ialah Pengelola Bijaya Diraja Utama Sultan Pahang Mejar Jeneral Datuk Mohamed Zahari Yahya, Pereka Fesyen dan Pengasas Butik Radzuan Radziwill Datuk Radzuan Radzi, Pengasas dan Pengarah Eksekutif Jaxer Sdn Bhd Mohd Faizal Abdullah dan Ketua Pengarah Sendayu Tinggi Holdings Sdn Bhd Mohamad Zaidi Aziz.

Seramai 26 individu menerima Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang turut membawa gelaran Datuk, antaranya Pengarah Kanan Bahagian Perisikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Saiful Ezral Arifin dan Naib Canselor Universiti Islam Selangor (UIS) Profesor Datuk Dr Mohd Farid Ravi Abdullah.

Sultan Pahang turut berkenan mengurniakan DIMP kepada Duta Besar Malaysia Ke Lubnan Azri Mat Yacob, Pengarah JBPM Pahang Mohd Razam Taja Rahim, Setiausaha Bahagian Sumber Manusia Kementerian Kesihatan Noor Azman Abdul Rahman dan Timbalan Pengarah Kerja Raya Jabatan Kerja Raya Sabah Mohd Shamsul Nizam Abdul Wahid. 

Penasihat Pertahanan MALAWAKIL Jakarta Brigedier Jeneral Azrin Iskandar Zulkaply, Ketua Pengarah Cawangan Operasi Pertahanan Bahagian Operasi dan Latihan Pertahanan Brigedier Jeneral Mohd Rafi Muhammad, Panglima Grup Artileri Pertahanan Udara Brigedier Jeneral Azhar Mustapha dan Ketua Staf Bahagian Operasi Udara Eastern Sabah Security Commad (ESSCOM) Brigedier Jeneral Ivan John Row turut dikurniakan DIMP.

Pada istiadat itu, baginda juga berkenan mengurniakan darjah Ahli Mahkota Pahang (AMP) kepada empat individu, antaranya kepada Juruiring Polis Kepada Perdana Menteri Malaysia Ke-6 DSP Nik Mohammed Syukry Nik Husain dan Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Pahang Wan Azam Wan Rosdy. 

Istiadat berkenaan bermula sebaik sahaja 21 das tembakan meriam dilepaskan sejurus lagu Allah Selamatkan Sultan Kami dimainkan

]]>
https://sabahmedia.com/2025/07/26/pengerusi-b-grimm-terima-anugerah-membawa-gelaran-datuk-seri-dari-pahang/feed/ 0 77961
Anwar: ASEAN Perlu Kekal Bersatu dan Tentukan Arah Sendiri https://sabahmedia.com/2025/07/09/anwar-asean-perlu-kekal-bersatu-dan-tentukan-arah-sendiri/ https://sabahmedia.com/2025/07/09/anwar-asean-perlu-kekal-bersatu-dan-tentukan-arah-sendiri/#respond Wed, 09 Jul 2025 02:54:50 +0000 https://sabahmedia.com/?p=76961
Read Time:1 Minute, 38 Second

KUALA LUMPUR, 9 Julai 2025 – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyeru ASEAN agar terus bersatu, memperkukuh kerjasama, dan menolak sebarang cubaan kuasa luar menentukan hala tuju rantau ini.

Berucap semasa merasmikan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58, Anwar menekankan pentingnya “ASEAN Centrality” dalam menghadapi cabaran global seperti konflik di Gaza, Ukraine dan Myanmar, serta ketegangan di Timur Tengah.

“Kita tidak boleh membenarkan keputusan mengenai rantau ini dibuat tanpa kita. ASEAN mesti berdiri mempertahankan prinsip dan undang-undang antarabangsa,” katanya.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap trend global di mana perdagangan dan pelaburan kini digunakan sebagai alat tekanan geopolitik, dan menyeru agar dasar luar dan dasar ekonomi ASEAN diselaraskan secara lebih rapat.

Anwar juga menekankan keperluan memperkukuh perdagangan dalam kalangan negara anggota serta menumpukan kerjasama dalam bidang pendidikan, kesihatan, makanan, digital dan perubahan iklim katanya ketika berucap pada pembukaan mesyuarat itu.

Mesyuarat dihadiri Menteri-menteri Luar ASEAN, Menteri Luar Timor-Leste dan Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn.

Keutamaan kepada Keberhasilan Nyata

Di dalam ucapannya itu lagi, Perdana Menteri turut menekankan bahawa ASEAN mesti terus menumpukan kepada kerjasama yang memberi manfaat nyata kepada rakyat seperti kesalinghubungan, keselamatan makanan, pendidikan, kesihatan awam, transformasi digital dan ketahanan iklim.

Beliau menggambarkan aspirasi ASEAN melalui kisah rakyat biasa di Batambang, Luzon dan Chiang Rai – menekankan bahawa kejayaan ASEAN terletak pada impak kepada kehidupan rakyat, bukan sekadar dalam kenyataan bersama.

“Dari Sittwe ke Merauke, dari Da Nang ke Dili, rantau ini boleh menjadi lebih aman dan makmur — jika kita berani melihat ASEAN sebagai satu komuniti yang bergerak dengan tujuan bersama.”

Mengakhiri ucapannya, Anwar menyatakan keyakinan bahawa ASEAN akan terus kekal sebagai rantau yang padu, berdaya tahan dan dihormati.

“Marilah kita perbaharui iltizam bahawa ASEAN akan terus menjadi suara yang konsisten, berprinsip dan berpandangan jauh,” katanya sebelum merasmikan mesyuarat tersebut.

Mesyuarat kali ini juga mencatat sejarah penting dengan penyertaan Timor-Leste sebagai ahli ASEAN yang bakal disahkan secara rasmi pada Oktober ini – satu langkah yang sentiasa disokong oleh Malaysia.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/07/09/anwar-asean-perlu-kekal-bersatu-dan-tentukan-arah-sendiri/feed/ 0 76961
Laporan Suku Pertama 2025: Keyakinan Pelabur Domestik Dan Asing Terus Meningkat https://sabahmedia.com/2025/06/20/laporan-suku-pertama-2025-keyakinan-pelabur-domestik-dan-asing-terus-meningkat/ https://sabahmedia.com/2025/06/20/laporan-suku-pertama-2025-keyakinan-pelabur-domestik-dan-asing-terus-meningkat/#respond Fri, 20 Jun 2025 04:28:24 +0000 https://sabahmedia.com/?p=75862
Read Time:3 Minute, 15 Second

Oleh: Wan Azrain Adnan | 19 Jun 2025

Malaysia terus menerima jumlah pelaburan yang besar. Ini membuktikan para pelabur domestik dan asing terus konfiden dengan suasana perniagaan negara yang kondusif. Dalam bahasa mudah, pelabur yakin boleh membuat keuntungan dengan membuat pelaburan di Malaysia.

Pada minggu lepas, Malaysian Investment Development Authority (MIDA) telah mengumumkan bahawa jumlah pelaburan yang diluluskan bagi Suku Pertama 2025 adalah RM89.8 bilion, meningkat 3.7% berbanding tempoh sama tahun 2024. Daripada jumlah tersebut, pelaburan asing adalah RM60.4 bilion (67.3%), manakala pelaburan domestik adalah RM29.4 bilion (32.7%).

Secara keseluruhan, jumlah pelaburan tersebut merangkumi 1,556 projek di dalam pelbagai sektor ekonomi, dengan pewujudan 33,368 peluang pekerjaan baharu.

Dengan banyak peluang pekerjaan yang berjaya diwujudkan, kadar pengangguran negara akan kekal rendah. Bagi bulan April 2025, menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kadar pengangguran negara berada pada tahap 3.0%, iaitu tahap terendah dalam tempoh masa 10 tahun.

Daya tarikan Malaysia sebagai sebuah destinasi pelaburan yang menawan terserlah dengan peningkatan prestasi dalam laporan World Competitiveness Ranking 2025 (WCR 2025), yang diterbitkan oleh International Institute for Management Development (IMD). Semalam, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia (MITI) memaklumkan bahawa kedudukan Malaysia dalam WCR 2025 telah melonjak 11 tangga, dari 34 ke 23. Ini merupakan kedudukan terbaik negara dalam tempoh masa 5 tahun.

Fakta menarik, World Competitiveness Ranking diterbitkan oleh IMD sejak tahun 1989, bagi menilai tahap daya saing negara-negara terpilih di seluruh dunia. Bagi tahun 2025, ranking berkenaan melibatkan 69 negara.

KEDUDUKAN MALAYSIA DI DALAM ASEAN

Di kalangan negara-negara ASEAN, lonjakan prestasi Malaysia sebanyak 11 tangga adalah paling menyerlah tatkala banyak negara telah menurun: Singapura (menurun dari tangga 1 ke 2), Thailand (menurun dari 25 ke 30), Indonesia (menurun dari 27 ke 40) dan Filipina (meningkat dari 52 ke 51).

Namun begitu, prestasi Malaysia bercampur antara peningkatan dan penurunan bagi kesemua 4 faktor penilaian sepanjang tempoh masa 5 tahun (2021–2025):

  • Economic Performance: meningkat dari tangga 15 ke 4
  • Government Efficiency: meningkat dari tangga 30 ke 25
  • Business Efficiency: menurun dari tangga 24 ke 32
  • Infrastructure: menurun dari tangga 32 ke 35

Laporan WCR 2025 menunjukkan banyak perkara yang perlu ditambah baik bagi meningkatkan lagi tahap daya saing negara, di mana kedudukan negara masih rendah. Ini termasuklah perundangan perniagaan (business legislation), amalan pengurusan (management practices), kesihatan & alam sekitar (health & environment) dan pendidikan (education).

Perkembangan di Sabah

Bagi Sabah, jumlah pelaburan yang diterima bagi Suku Pertama 2025 adalah RM10.9 bilion, iaitu ke-3 tertinggi. Ini merangkumi 12% daripada keseluruhan jumlah pelaburan yang diluluskan negara (RM89.8 bilion).

Malah, sektor perkilangan Sabah (RM7.3 bilion) telah merekodkan jumlah pelaburan tertinggi di Malaysia. Jumlah pelaburan besar sektor perkilangan ini boleh mengulangi pencapaian pada tahun 2023, di mana sektor pembuatan Sabah (4.4%) telah merekodkan kadar pertumbuhan tertinggi di Malaysia.

Menurut Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, daripada jumlah pelaburan RM10.9 bilion tersebut, majoriti adalah pelaburan asing (RM6.6 bilion: 61%), dan pelaburan domestik (RM4.29 bilion: 39%).

Sebagai perbandingan, jumlah pelaburan RM10.9 bilion tersebut mengatasi jumlah pelaburan yang diterima Sabah (RM6.5 bilion) bagi keseluruhan tahun 2024. Peningkatan besar jumlah pelaburan jelas menggambarkan keyakinan pelabur, serta membuktikan kejayaan awal usaha Kerajaan Sabah menyediakan suasana pelaburan yang kondusif dengan menangani isu-isu legasi yang sekian lama membelenggu Sabah.

Dengan jumlah pelaburan yang besar tersebut, ini sudah pasti dapat merancakkan agenda pembangunan ekonomi Sabah, serta menyediakan banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah dan seterusnya menangani kadar pengangguran yang tinggi di Sabah.

Tambahan lagi, kejayaan peningkatan pelaburan berkenaan disertai dengan pengiktirafan Sabah sebagai sebuah negeri yang cemerlang. Pada minggu lepas, Sabah telah terpilih sebagai Malaysia’s Most Outstanding State di bawah The IBR ASEAN Awards 2025 yang dianjurkan oleh International Business Review (IBR).

Pengiktirafan Sabah berkenaan adalah bersandarkan kepada kejayaan Kerajaan Sabah menerajui agenda pembangunan Sabah sambil menekankan kelestarian alam sekitar, antaranya: peningkatan pelaburan dan memperjuang hak Sabah sebagaimana peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/06/20/laporan-suku-pertama-2025-keyakinan-pelabur-domestik-dan-asing-terus-meningkat/feed/ 0 75862
Malaysia Catat Peningkatan Ketara Dalam Laporan Daya Saing Dunia 2025 https://sabahmedia.com/2025/06/17/malaysia-catat-peningkatan-ketara-dalam-laporan-daya-saing-dunia-2025/ https://sabahmedia.com/2025/06/17/malaysia-catat-peningkatan-ketara-dalam-laporan-daya-saing-dunia-2025/#respond Tue, 17 Jun 2025 05:58:27 +0000 https://sabahmedia.com/?p=75710
Read Time:1 Minute, 2 Second

KUALA LUMPUR, – Malaysia mencatat peningkatan ketara dalam Laporan Penarafan Daya Saing Dunia 2025 terbitan International Institute for Management Development (IMD), apabila melonjak 11 anak tangga ke kedudukan ke-23 daripada 67 negara – pencapaian tertinggi negara dalam tempoh lima tahun.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan peningkatan itu sebagai bukti kejayaan agenda reformasi ekonomi yang sedang dilaksana di bawah Kerajaan Perpaduan MADANI.

“Alhamdulillah, Malaysia mencatat lonjakan membanggakan… Ini petunjuk jelas bahawa usaha reformasi Kerajaan MADANI sedang membuahkan hasil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, kemajuan itu dicapai hasil gabungan tekad politik yang kukuh, komitmen seluruh jentera kerajaan dan kerjasama erat dengan sektor swasta.

Anwar turut menekankan bahawa pencapaian memberangsangkan negara dalam aspek perdagangan, kecekapan pentadbiran dan persekitaran pelaburan menjadi tunjang kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih inklusif dan mampan.

“Pencapaian ini milik semua rakyat Malaysia. Ia adalah antara asas penting dalam perjalanan kita untuk meletakkan negara ini dalam kelompok ekonomi paling berdaya saing menjelang 2033 demi masa depan yang lebih cerah untuk anak-anak kita,” tambah beliau.

Laporan Daya Saing Dunia IMD menilai sejauh mana sesebuah negara mengurus sumber dan kebolehannya untuk menjana kemakmuran rakyat. Kejayaan Malaysia tahun ini meletakkannya di hadapan negara-negara lain dalam kalangan ekonomi sedang pesat membangun.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/06/17/malaysia-catat-peningkatan-ketara-dalam-laporan-daya-saing-dunia-2025/feed/ 0 75710