matbali – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Wed, 01 Jul 2026 23:36:41 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.0.2 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png matbali – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 Warga emas, penduduk pedalaman turut terdedah jadi mangsa jenayah siber https://sabahmedia.com/2026/07/02/warga-emas-penduduk-pedalaman-turut-terdedah-jadi-mangsa-jenayah-siber/ https://sabahmedia.com/2026/07/02/warga-emas-penduduk-pedalaman-turut-terdedah-jadi-mangsa-jenayah-siber/#respond Wed, 01 Jul 2026 23:36:36 +0000 https://sabahmedia.com/?p=99214
Read Time:1 Minute, 41 Second

KUALA LUMPUR: Golongan warga emas dan penduduk di kawasan pedalaman turut terdedah menjadi mangsa jenayah siber, termasuk penipuan digital yang mengakibatkan kerugian besar kepada mangsa.

Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah berkata, ancaman jenayah siber ketika ini tidak lagi terhad kepada golongan tertentu, sebaliknya turut menjejaskan masyarakat luar bandar dan warga emas yang kurang terdedah kepada risiko penipuan dalam talian.

Menurutnya, beliau sendiri melihat bagaimana ada mangsa kehilangan simpanan seumur hidup selepas diperdaya sindiket penipuan digital atau scammer yang menggunakan pelbagai taktik licik.

“Saya melihat bagaimana ada yang kehilangan simpanan seumur hidup kerana menjadi mangsa penipuan digital atau disebut scammer.

“Saya melihat warga emas menangis kerana wang persaraan lesap dalam beberapa minit angkara scammer ini. Mereka inilah yang wajib kita lindungi,” katanya ketika membahas Rang Undang-Undang Jenayah Siber di Dewan Rakyat, di sini pada Rabu.

Matbali berkata, perkembangan teknologi dan pendigitalan yang semakin meluas turut membuka ruang kepada penjenayah siber untuk menyasarkan lebih ramai mangsa, termasuk mereka yang tinggal di kawasan pedalaman.

Katanya, ancaman itu perlu dipandang serius kerana kesannya bukan sahaja melibatkan kerugian kewangan, malah menjejaskan kesejahteraan hidup mangsa yang kehilangan wang simpanan, hasil pencen dan sumber pendapatan keluarga.

Beliau menegaskan, negara memerlukan kerangka undang-undang yang lebih menyeluruh dan berkesan bagi menangani ancaman jenayah siber yang semakin canggih, termasuk penipuan digital, kecurian identiti dan manipulasi kandungan.

Menurutnya, Rang Undang-Undang Jenayah Siber yang dibentangkan itu penting sebagai benteng undang-undang untuk melindungi rakyat, khususnya golongan rentan yang mudah menjadi sasaran sindiket jenayah siber.

“Dalam mengharungi derasnya arus pendigitalan, negara memerlukan sebuah benteng undang-undang yang bukan sahaja kukuh menahan gelombang ancaman, tetapi juga bijaksana memelihara hak rakyat,” katanya.

Beliau berkata, perlindungan terhadap rakyat dalam ruang siber kini menjadi tanggungjawab bersama memandangkan ancaman jenayah masa kini tidak lagi datang secara fizikal, sebaliknya menerusi telefon bimbit, komputer dan pelbagai platform digital.

Sehubungan itu, beliau berharap Rang Undang-Undang Jenayah Siber dapat memperkukuh keupayaan negara membanteras jenayah berkenaan, sekali gus memastikan golongan warga emas, masyarakat luar bandar dan semua lapisan rakyat tidak terus menjadi mangsa penipuan digital.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/07/02/warga-emas-penduduk-pedalaman-turut-terdedah-jadi-mangsa-jenayah-siber/feed/ 0 99214
KESUMA digesa gariskan pelan jangka panjang kurangkan pengangguran di Sabah https://sabahmedia.com/2026/06/30/kesuma-digesa-gariskan-pelan-jangka-panjang-kurangkan-pengangguran-di-sabah/ https://sabahmedia.com/2026/06/30/kesuma-digesa-gariskan-pelan-jangka-panjang-kurangkan-pengangguran-di-sabah/#respond Tue, 30 Jun 2026 11:26:09 +0000 https://sabahmedia.com/?p=99147
Read Time:1 Minute, 37 Second

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah menggesa Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) memperincikan perancangan jangka panjang bagi mengurangkan kadar pengangguran di Sabah, khususnya dalam kalangan belia dan graduan.

Ketika membahaskan Rang Undang-Undang Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) di Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata kerajaan negeri telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menangani isu pengangguran yang masih menjadi cabaran utama di negeri itu.

Menurutnya, Kerajaan Negeri melalui Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi (KPSTI) Sabah sedang giat melaksanakan program padanan kerja serta Jelajah Pendidikan Perburuhan di seluruh negeri bagi meningkatkan kebolehpasaran pencari kerja.

“Cabaran utama ketika ini ialah jurang antara kemahiran pencari kerja, khususnya belia dan graduan, dengan keperluan industri digital serta industri bernilai tinggi yang sedang berkembang di Sabah,” katanya.

Matbali berkata, berdasarkan laporan terkini Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang diterbitkan pada Mei dan Jun 2026, pasaran buruh di Sabah menunjukkan perkembangan positif dengan kadar pengangguran terus mencatatkan penurunan.

Beliau berkata, kadar pengangguran di Sabah bagi suku pertama 2026 menurun kepada 5.5 peratus berbanding enam peratus pada suku keempat tahun lalu.

“Meskipun kadar ini masih lebih tinggi berbanding purata nasional yang berada sekitar 2.9 peratus, namun ia menunjukkan trend penurunan yang konsisten dan memberangsangkan.

“Selepas pandemik COVID-19 pada 2021, kadar pengangguran di Sabah berada pada paras 8.2 peratus sebelum menurun kepada 7.6 peratus pada 2024, kemudian enam peratus pada suku keempat 2025 dan kini terus berkurang kepada 5.5 peratus pada suku pertama tahun ini,” katanya.

Dalam pada itu, Matbali turut menyatakan sokongan penuh terhadap Rang Undang-Undang Sistem Insurans Pekerjaan (SIP), yang menurutnya berperanan sebagai jaringan perlindungan penting kepada pekerja yang kehilangan pekerjaan.

Beliau berkata, pelaksanaan SIP menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan kebajikan pekerja yang terkesan akibat kehilangan sumber pendapatan terus terbela.

“Saya percaya rang undang-undang ini akan memperkukuh lagi jaringan keselamatan sosial negara serta memberi keyakinan kepada pekerja bahawa mereka tidak akan dibiarkan berdepan kesukaran bersendirian sekiranya kehilangan pekerjaan,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/06/30/kesuma-digesa-gariskan-pelan-jangka-panjang-kurangkan-pengangguran-di-sabah/feed/ 0 99147
MA63 asas penting menyatukan rakyat Malaysia – Matbali https://sabahmedia.com/2026/01/28/ma63-asas-penting-menyatukan-rakyat-malaysia-matbali/ https://sabahmedia.com/2026/01/28/ma63-asas-penting-menyatukan-rakyat-malaysia-matbali/#respond Wed, 28 Jan 2026 10:07:45 +0000 https://sabahmedia.com/?p=90541
Read Time:1 Minute, 3 Second

KUALA LUMPUR : Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) terus menjadi asas penting dalam menyatukan rakyat Malaysia, khususnya melibatkan Sabah dan Sarawak sebagai rakan pembentuk Persekutuan Malaysia.

Ahli Parlimen Sipitang Datuk Matbali Musah berkata, perjanjian itu bukan sekadar satu dokumen perundangan, sebaliknya merupakan perjanjian yang telah termaktub sejak 1963.

Beliau berkata, perjanjian itu turut berperanan mengharmonikan hubungan antara rakyat pelbagai wilayah di negara ini.

“Pelaksanaan perjanjian tersebut dilihat amat penting demi menjamin keharmonian serta masa depan negara, khususnya bagi rakyat di Sabah dan Sarawak.

“Usaha memperkukuh kefahaman terhadap MA63 turut melibatkan penyertaan pelbagai pihak, termasuk pimpinan negara serta golongan pelajar dari Sabah yang diberi pendedahan mengenai sejarah dan kepentingan perjanjian tersebut.

“Inisiatif ini dilihat sebagai langkah positif dalam memupuk kesedaran dan semangat perpaduan dalam kalangan generasi muda,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Sabah Media selepas mengahdiri Majlis Peluncuran Dashboard Status Pelaksanaan Perkara di Bawah Perjanjian Malaysia 1963 (Dashboard MA63) di Dewan Rakyat di sini pada Rabu.

Majlis pelancaran disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Matbali berkata, kepimpinan negara kini dilihat komited untuk memastikan pelaksanaan MA63 berjalan dengan lebih lancar dan menyeluruh.

“Namun kita berharap agar MA63 tidak dipolitikkan oleh mana-mana pihak. Sebaliknya, perjanjian ini wajar dilihat sebagai asas perpaduan dan kerjasama demi kepentingan bersama rakyat Malaysia,” katanya. – SABAH MEDIA

]]>
https://sabahmedia.com/2026/01/28/ma63-asas-penting-menyatukan-rakyat-malaysia-matbali/feed/ 0 90541
Hubungan Sabah-Pusat penting untuk kemajuan rakyat dan negeri https://sabahmedia.com/2026/01/22/hubungan-sabah-pusat-penting-untuk-kemajuan-rakyat-dan-negeri/ https://sabahmedia.com/2026/01/22/hubungan-sabah-pusat-penting-untuk-kemajuan-rakyat-dan-negeri/#respond Thu, 22 Jan 2026 06:19:08 +0000 https://sabahmedia.com/?p=90154
Read Time:1 Minute, 26 Second

KOTA KINABALU: Hubungan erat antara kerajaan negeri Sabah dan Kerajaan Persekutuan penting bagi membawa kemajuan kepada rakyat dan negeri.

Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah berkata, kerajaan Sabah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menghargai usaha dan komitmen Kerajaan Persekutuan dalam membantu pembangunan Sabah. 

“Kerjasama erat ini penting agar agenda pembangunan negara dapat dilaksanakan secara seimbang dan inklusif. 

“Walaupun dipisahkan oleh Laut China Selatan, Sabah tetap sebahagian daripada Malaysia dan wajar menerima perhatian pembangunan yang setara,” katanya.

Berucap membahas titah Diraja di Dewan Rakyat kelmarin, Matbali yang menjadi pembahas mewakili ketua parti berkata bahawa jurang pembangunan antara Sabah dan Semenanjung masih jelas dirasai walaupun negara telah lama merdeka. 

Katanya, kekurangan dalam kemudahan asas dan infrastruktur terus memberi kesan kepada kehidupan rakyat. 

“Justeru, iltizam politik yang kukuh amat diperlukan bagi memastikan kesejahteraan rakyat Sabah dapat dipertingkatkan secara berterusan,” katanya.

Menurutnya, rakyat Sabah hanya menginginkan kehidupan yang selesa, bermaruah dan terjamin.

Oleh itu, katanya, apabila hak Sabah dibincangkan dalam kerangka Kerajaan MADANI, ia bukan soal meminta keistimewaan, tetapi menuntut keadilan berdasarkan persetujuan yang telah dimeterai sejak penubuhan Persekutuan Malaysia. 

“Rakyat Sabah tidak menuntut perkara berlebihan, sebaliknya berharap agar hak asas yang telah dijanjikan dapat dilaksanakan dengan konsisten dan berkesan,” katanya.

Dalam pada itu, Matbali berkata isu hak Sabah yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) terus diberi perhatian. 

Menurutnya, komitmen Kerajaan MADANI dalam melaksanakan sebahagian besar tuntutan MA63 wajar dihargai, dan diharapkan baki tuntutan dapat disempurnakan demi memastikan keadilan kepada rakyat Sabah.

Selain itu, katanya, pertambahan kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak juga perlu dipertimbangkan secara serius. 

“Keluasan kawasan dan cabaran geografi Sabah memerlukan perwakilan yang lebih berkesan agar suara  rakyat dapat disampaikan dengan lebih menyeluruh di peringkat nasional,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/01/22/hubungan-sabah-pusat-penting-untuk-kemajuan-rakyat-dan-negeri/feed/ 0 90154
Matbali santuni masyarakat pedalaman Sipitang sempena Krismas https://sabahmedia.com/2025/12/26/matbali-santuni-masyarakat-pedalaman-sipitang-sempena-krismas/ https://sabahmedia.com/2025/12/26/matbali-santuni-masyarakat-pedalaman-sipitang-sempena-krismas/#respond Thu, 25 Dec 2025 23:46:54 +0000 https://sabahmedia.com/?p=88832
Read Time:1 Minute, 2 Second

SIPITANG: Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah meneruskan tradisi menyantuni rakyat pelbagai kaum dan agama apabila mengadakan kunjungan ke beberapa rumah terbuka Krismas di Kampung Long Pasia dan beberapa kampung lain, sempena sambutan Hari Krismas, semalam.

Kunjungan itu tertumpu kepada kawasan pedalaman dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sindumin, sebagai manifestasi komitmen beliau memperkukuh hubungan silaturahim dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di daerah itu.

Dalam lawatan berkenaan, Matbali turut meluangkan masa beramah mesra dengan jemaat Gereja SIB Kampung Long Pasia, selain menyampaikan ucapan Selamat Menyambut Hari Krismas kepada penduduk setempat yang meraikan perayaan berkenaan.

Beliau yang juga Pengerusi Pengelola Lembaga Koko Malaysia berkata, sambutan perayaan seperti Krismas wajar dijadikan platform memperkukuh perpaduan, toleransi dan persefahaman dalam kalangan rakyat tanpa mengira latar belakang agama atau budaya.

“Sambutan Krismas bukan sahaja perayaan keagamaan, malah simbol keharmonian dan semangat kekeluargaan yang perlu terus dipelihara, khususnya di kawasan pedalaman seperti Long Pasia,” katanya.

Selain itu, Matbali turut menghadiri rumah terbuka pengusaha inap desa (homestay), Balang Singa, sebagai tanda sokongan terhadap penglibatan komuniti tempatan dalam sektor pelancongan desa yang semakin berkembang di kawasan pedalaman Sipitang.

Hadir sama dalam program itu ialah Pengerusi Koperasi Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Sabah (KOTANI), Liaw Sin Kuang serta bekas pemain bola sepak negeri, Mafry Balang.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/12/26/matbali-santuni-masyarakat-pedalaman-sipitang-sempena-krismas/feed/ 0 88832
Kibar Jalur Gemilang Tanda Cintakan Negara – Matbali https://sabahmedia.com/2021/08/23/kibar-jalur-gemilang-tanda-cintakan-negara-matbali/ https://sabahmedia.com/2021/08/23/kibar-jalur-gemilang-tanda-cintakan-negara-matbali/#respond Mon, 23 Aug 2021 08:40:00 +0000 https://sabahmedia.com/?p=5129
Read Time:48 Second

BEAUFORT: Semua anggota masyarakat termasuk warga Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) digesa untuk terus menyemai sikap cintakan negara menerusi Kempen Kibar Jalur Gemilang di kawasan kediaman mahupun premis masing-masing.

Pengarah UPPM Sabah Datuk Matbali Musah berkata, kempen mengibarkan Jalur Gemilang itu perlu disemai dari semua lapisan usia agar semangat juang cintakan negara terus diperlihatkan menerusi kempen tersebut.

“Inilah salah satu usaha warga masyarakat untuk menonjolkan betapa kita merdeka dan cintakan negara ini,” katanya selepas menyertai Kempen Kibarkan Jalur Gemilang di Kampung Melati Lumadan di sini kelmarin

Hadir sama pada program itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan Ruslan Muharam.

Matbali berkata, penduduk di luar bandar juga turut memainkan peranan untuk mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda cintakan negara.

Sempena sambutan Bulan Kebangsaan yang diadakan setiap 31 Ogos. Tidak ketinggalan Kampung Melati Lumadan antara yang menyahut seruan Kibarkan Jalur Gemilang di kawasan berkenaan.

Pada program itu, Ruslan bersama Matbali menyampaikan Jalur Gemilang kepada Ahli Jawatankuasa Kampung bagi memeriahkan sambutan kemerdekaan.

]]>
https://sabahmedia.com/2021/08/23/kibar-jalur-gemilang-tanda-cintakan-negara-matbali/feed/ 0 5129