Media Sosial – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Wed, 15 Oct 2025 09:36:08 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.0.4 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png Media Sosial – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 Malaysia bakal wajibkan platform media sosial laksana had umur pengguna – Fahmi https://sabahmedia.com/2025/10/15/malaysia-bakal-wajibkan-platform-media-sosial-laksana-had-umur-pengguna-fahmi/ https://sabahmedia.com/2025/10/15/malaysia-bakal-wajibkan-platform-media-sosial-laksana-had-umur-pengguna-fahmi/#respond Wed, 15 Oct 2025 09:36:03 +0000 https://sabahmedia.com/?p=83346
Read Time:2 Minute, 22 Second

BERNAMA

SIPITANG: Malaysia bakal mewajibkan semua platform media sosial melaksanakan proses pengesahan identiti pengguna atau electronic Know Your Customer (eKYC) bagi memastikan kanak-kanak bawah umur 13 tahun tidak memiliki akaun.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata langkah itu adalah bagi melindungi keselamatan kanak-kanak di alam maya serta memastikan garis panduan komuniti yang ditetapkan oleh platform berkenaan benar-benar dikuat kuasa.

“Sewaktu saya bertemu dengan wakil platform media sosial bulan lalu, saya telah memberikan mesej kepada mereka bahawa di Malaysia, kita akan mewajibkan platform-platform media sosial melakukan pengesahan identiti terutama untuk memastikan kanak-kanak bawah usia 13 tahun.

“Cuma exact timeline saya akan lapor kepada Jemaah Menteri dulu, baru saya akan umumkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan NADI on Wheels atau NOW di Dewan Undangan Negeri Sindumin di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa, Ahli Parlimen Sipitang Datuk Matbali Musah, Timbalan Pengarah Urusan (Kawal Selia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Datuk Zurkarnain Mohd Yasin dan Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Arul Rajoo Durar Raj.

Fahmi berkata bagi tujuan itu, satu pertemuan antara MCMC dengan syarikat platform media sosial akan diadakan minggu depan yang menjadi langkah penting ke arah merealisasikan segera pelaksanaan perkara tersebut.

Selain isu kanak-kanak, beliau berkata proses eKYC juga penting bagi membanteras kegiatan penipuan dalam talian dan penyebaran kandungan berbahaya seperti judi serta iklan palsu.

“Banyak platform disalahgunakan oleh penjenayah untuk tujuan scam… semalam, dalam Parlimen saya ada menjawab soalan… ada angka yang menggerunkan… 78 peratus daripada semua kandungan scam yang telah diturunkan itu adalah daripada Facebook,” katanya.

Sementara itu, inisiatif Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) iaitu NOW yang dilaksanakan oleh Kementerian Komunikasi dengan kerjasama MCMC adalah bertujuan memperluas capaian digital serta membawa kemudahan teknologi maklumat kepada komuniti luar bandar.

Fahmi berkata sehingga kini, terdapat 1,099 NADI di seluruh negara termasuk 131 di Sabah.

Program NOW di Sipitang turut dilengkapi peranti Starlink dengan kelajuan capaian hingga 250 megabit sesaat dan sejumlah tablet bagi membolehkan komuniti tempatan mempelajari kemahiran digital dan keusahawanan secara dalam talian.

Beliau turut menyentuh pelaksanaan projek Sambungan Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM) bernilai RM2 bilion yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa membentangkan Belanjawan 2026, yang akan menghubungkan Semenanjung, Sarawak dan Sabah.

“Untuk program SALAM, di Sabah kita akan bina juga jaringan kabel dasar laut di pesisir pantai… kabel ini akan dipasang dari Tanjung Aru hinggalah ke Tawau sepanjang pesisir… kita jangka projek ini akan selesai dalam tempoh dua atau tiga tahun,” katanya.

Beliau berkata projek itu akan menjadi keutamaan kementerian bagi memastikan kelancaran rangkaian komunikasi di Sabah dan mengurangkan kebergantungan kepada kabel dasar laut sedia ada.

Pada masa sama, Fahmi turut memaklumkan bahawa MCMC akan menumpukan kepada usaha penyelenggaraan menara telekomunikasi yang sering terjejas akibat banjir dengan pelaksanaan proses site hardening dan penggunaan sistem jana kuasa hibrid. – BERNAMA

]]>
https://sabahmedia.com/2025/10/15/malaysia-bakal-wajibkan-platform-media-sosial-laksana-had-umur-pengguna-fahmi/feed/ 0 83346
Gunakan media sosial dengan bijak – Razali Razi https://sabahmedia.com/2025/08/15/gunakan-media-sosial-dengan-bijak-razali-razi/ https://sabahmedia.com/2025/08/15/gunakan-media-sosial-dengan-bijak-razali-razi/#respond Fri, 15 Aug 2025 02:21:14 +0000 https://sabahmedia.com/?p=79277
Read Time:1 Minute, 10 Second

Kota Kinabalu : Orang ramai khususnya pengguna media sosial diingatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir,13.

Pengerusi Smart Sabah Datuk Razali Razi berkata, pengguna media sosial perlu bijak menggunakan platform itu dalam menuntut keadilan bagi kes berkenaan yang kini tular dengan tanda pagar ‘Justice For Zara’.

Bagaimanapun katanya, ada segelintir pihak yang cuba meraih populariti melalui kejadian itu dan tindakan tersebut dianggap tidak wajar.

“Kita menghormati orang ramai khususnya pengguna media sosial yang menggunakan platform itu untuk mencari kejelasan dan keadilan. Tetapi jangan jadikan ia platform politik atau untuk menonjolkan diri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Bacaan Surah Yasin, Tahlil, Doa Kesejahteraan dan Solat Sunat Hajat di Masjid Al Munir Kampung Darau di sini pada Khamis.

Razali yang juga seorang peguam berkata, spekulasi tanpa bukti hanya menjejaskan semua pihak dan jalan terbaik untuk mencari kebenaran adalah melalui inkues

Oleh itu katanya, semua pihak perlu menunggu hasil inkues isu terbabit sebelum membuat sebarang kesimpulan.

Beliau berharap, dengan ada ketelusan, keterangan jelas dan keamanan ia mampu membawa keadilan kepada keluarga mangsa.

Dalam pada itu, Razali berkata, pentadbiran sekolah perlu menjadikan insiden ini sebagai pembuka mata untuk menilai semula sistem pencegahan buli yang sedia ada.

Katanya, sekiranya sistem longgar, langkah mengetatkan peraturan harus dilaksanakan segera.

Menurutnya, sokongan emosi kepada keluarga mangsa adalah perkara utama, sementara usaha mencari kebenaran harus berpandukan fakta sahih, bukan khabar angin. – SABAH MEDIA

]]>
https://sabahmedia.com/2025/08/15/gunakan-media-sosial-dengan-bijak-razali-razi/feed/ 0 79277
Manfaatkan media sosial untuk majukan perniagaan https://sabahmedia.com/2025/03/26/manfaatkan-media-sosial-untuk-majukan-perniagaan/ https://sabahmedia.com/2025/03/26/manfaatkan-media-sosial-untuk-majukan-perniagaan/#respond Tue, 25 Mar 2025 23:33:53 +0000 https://sabahmedia.com/?p=71103
Read Time:4 Minute, 42 Second

Oleh FLORIETA DIET

EKSKLUSIF

WANITA harus bijak memanfaatkan platform media sosial untuk mengembangkan perniagaan mereka. Dalam dunia yang semakin moden ini, berniaga tidak lagi terhad kepada kedai fizikal atau pasar malam sahaja. Sebaliknya, dengan adanya teknologi dan platform digital, peluang untuk mengembangkan perniagaan terbuka lebih luas.

Begitulah yang dilakukan oleh Norini Bonong, 43, seorang wanita dari Matunggong, Kudat, yang bijak memanfaatkan teknologi untuk memasarkan kraftangan bakul anyaman tali plastik berasaskan motif etnik tradisional Sabah.

Sehubungan dengan itu, penulis Sabah Media menjejaki Norini untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kraftangan yang menarik dan cara beliau mempromosikan produknya.

Pada awalnya, Norini hanya mempromosikan produk-produknya di Facebook dan Instagram. Namun, beliau merasakan Facebook hanya terhad kepada rakan-rakan sahaja. Lalu, beliau mengambil langkah berani untuk mencuba platform media sosial lain seperti TikTok.

Melalui TikTok, pasaran perniagaannya menjadi lebih luas, dan jualan produk-produknya yang menggunakan label Rini Craft semakin mendapat sambutan. Dalam sebulan, Norini mampu menjual hampir 300 pelbagai produk kraftangannya.

“Sebagai seorang wanita, kita perlu belajar sesuatu yang baharu, jangan kita berada di takuk yang lama, kalau kita mahu berjaya kita perlu lakukan sesuatu ‘upgrade’ diri kita ikut peredaran masa,” katanya.

Antara koleksi beg tangan bermotifkan etnik Sabah.

Norini kini mempunyai pelanggan bukan sahaja di Sabah tetapi dari Semenanjung Malaysia.

“Apa yang saya rasa bangga, mereka menempah bakul yang mampunyai hiasan bermotifkan tradisi etnik di Sabah berbanding bakul yang mempunyai hiasan bunga. Mereka merasa motif berkenaan cantik dan unik,” katanya.

Antara beg bermotifkan bunga turut jadi pilihan pelanggannya.

Dari hobi kepada sumber pendapatan

Norini mula menganyam pada tahun 2018 sebagai hobi ketika anak-anaknya masih kecil. Pada ketika itu, dia tinggal di Miri kerana mengikuti suami yang bertugas di sana. Beliau belajar membuat bakul daripada jirannya yang juga seorang suri rumah. Keinginannya untuk memperbaiki kemahiran menganyam semakin berkembang selepas mendapat sambutan positif daripada komuniti sekeliling.

Pada tahun 2019, dengan kemunculan wabak COVID-19 (Corona Virus Disease 2019) di Sabah dan sekatan pergerakan yang berlaku, Norini mula mencuba untuk menjual hasil tangannya secara dalam talian (online).

Selepas rentas negeri dibenarkan, Norini bersama tiga orang anaknya pulang ke Sabah pada Ogos 2020. Walaupun keadaan COVID-19 di Sabah masih belum terkawal sepenuhnya, Noriri tetap fokus pada jualan online.

“Dalam tempoh ini, banyak perniagaan yang sebelum ini bergantung kepada perniagaan fizikal terpaksa beralih kepada jualan online untuk memastikan kelangsungan perniagaan. Manakala e-hailing juga menjadi salah satu bentuk perkhidmatan yang dibenarkan beroperasi dalam tempoh PKP dengan syarat pematuhan SOP yang ketat bagi penghantaran barang. Namun, tinggal di kawasan kampung memberi cabaran tersendiri. Tanpa talian internet yang stabil, Norini terpaksa mendaki bukit yang mengambil masa lima minit hanya untuk memuat naik gambar dan video produknya di media sosial.

“Saya terpaksa mendaki bukit dua atau tiga kali sehari untuk memastikan saya dapat memuatkan naik video baharu ke akaun media sosial saya dan juga melihat sekiranya ada tempahan dari pelanggan,” katanya.

Selepas sebulan mengharungi cabaran itu, Norini memutuskan untuk menyewa rumah di pekan Matunggong kerana talian internet yang lebih baik. Ini memudahkannya untuk berkomunikasi dengan pelanggan dan mempercepatkan urusan perniagaan.

Mengajar dan membantu wanita kampung

Dalam tempoh yang sukar itu, Norini tidak hanya fokus pada perniagaannya sahaja, tetapi juga mengambil inisiatif untuk membantu wanita-wanita di kampung yang terjejas pendapatan akibat pandemik. Beliau mengajar mereka menganyam dan berkongsi ilmu yang dimilikinya.

Rini (tiga kiri) sedang memberi tunjuk ajar kepada wanita yang berminat belajar menganyam untuk pembuatan beg.

“Berkongsi ilmu dengan wanita-wanita adalah cara saya membantu mereka menghasilkan pendapatan sambil memelihara seni warisan ini. Saya mengadakan kelas dengan yuran yang berpatutan. Setelah mereka mahir, saya membeli bakul-bakul yang mereka hasilkan dan memasarkan untuk mereka. Dengan cara ini, mereka akan mendapat pendapatan sendiri,” ujar Norini.

Beliau percaya wanita perlu mempunyai pendapatan sendiri, bukan hanya untuk membantu ekonomi keluarga, tetapi juga untuk meningkatkan keyakinan diri mereka.

Kerjasama dengan Chanteek Borneo untuk memperkenalkan motif tradisi

Selain fokus mengusahakan kedai kraftangannya di pekan Matunggung, Norini juga mendapat pelawaan dari Chanteek Borneo untuk mempamerkan produk-produk kraftangannya. Chanteek Borneo mengetengahkan produk-produk berasaskan motif tradisional Sabah, yang menjadi identiti budaya negeri ini.

Selain itu, Norini juga mendapat tawaran untuk mempamerkan hasil tangannya di Lapangan Antarabangsa Kota Kinabalu.

“Saya terharu kerana mereka menawarkan saya ruang untuk mempamerkan produk saya,” ujar Norini, sambil berharap untuk memperkenalkan beg plastik bermotifkan tradisional ini ke luar negara.

Motif yang terdapat pada bakul-bakul dan beg yang dihasilkan bukan sahaja menggambarkan keindahan budaya Sabah, tetapi juga ditambah dengan sentuhan inovatif agar sesuai digunakan dalam kehidupan seharian.

Terbaharu, Norini memperkenalkan produk-produk seperti sarung iPad, sarung telefon, dan beg tangan tote yang dihiasi dengan sulaman pis, satu teknik sulaman tradisional daripada pakaian etnik Rungus.

Cabaran dalam menjalankan perniagaan

Walaupun perniagaannya kini semakin berkembang, Norini masih menghadapi pelbagai cabaran. Salah satu cabaran terbesar ialah kekangan modal yang menyebabkan beliau terpaksa menolak beberapa tawaran untuk memasarkan produk di lokasi besar seperti Lapangan Terbang Langkawi dan Pulau Pinang.

“Saya terpaksa menolak tawaran mereka, kerana produk saya akan dijual secara consignment. Ini bermakna saya akan menghantar banyak produk dan hanya akan dibayar setelah barang tersebut terjual,” kata Norini.

Selain itu, masalah liputan internet yang lemah di kawasan luar bandar juga memberi kesukaran kepada beliau untuk memasarkan produk secara dalam talian, yang kini menjadi saluran utama jualan.

Norini juga menerima sokongan daripada agensi kerajaan seperti DIDR (Jabatan Perindustrian dan Penyelidikan Sabah) yang menyediakan mesin jahit dan DDEC (Malaysia Design Development Centre) yang memberi bantuan dalam pembungkusan produk.

“Bantuan ini sangat membantu dalam mempercepatkan proses pengeluaran produk berkualiti dan pengembangan bisnes kami,” katanya.

Walaupun menghadapi pelbagai cabaran kewangan dan logistik, Norini tetap optimis dalam mengembangkan perniagaannya. Dengan sokongan daripada keluarga dan komuniti, serta semangat tidak kenal putus asa, beliau terus berusaha untuk memajukan produk kraftangannya.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/03/26/manfaatkan-media-sosial-untuk-majukan-perniagaan/feed/ 0 71103
Media sosial bahaya jika tidak ditangani dengan baik https://sabahmedia.com/2025/01/20/media-sosial-bahaya-jika-tidak-ditangani-dengan-baik/ https://sabahmedia.com/2025/01/20/media-sosial-bahaya-jika-tidak-ditangani-dengan-baik/#respond Sun, 19 Jan 2025 23:15:36 +0000 https://sabahmedia.com/?p=67187
Read Time:1 Minute, 48 Second

KUNDASANG: Ketua Penerangan Gagasan Rakyat mengingatkan bahawa pengaruh media sosial hari ini sangat besar dan berkuasa sehingga boleh mencetuskan bahaya jika gagal ditangani dengan berkesan.

Ketua Penerangan Pusat Parti Gagasan Rakyat, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, senario hari ini memperlihatkan orang ramai mudah terpengaruh dengan apa sahaja sebaran melalui media sosial.

Malah katanya, maklumat itu lebih mudah tersebar luas jika disebar oleh individu bergelar pempengaruh yang mempunyai pengikut yang ramai.

“Lambakan media sosial hari ini mewujudkan dunia tanpa sempadan sehingga maklumat tidak sahih mudah ditularkan dan kemudian diterima bulat-bulat tanpa memeriksa kesahihan sumber serta fakta berita berkenaan.

“Keadaan bertambah buruk jika maklumat itu disebarkan oleh individu yang memiliki pengikut ramai atau lebih dikenali sebagai ‘influencer’,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa perasmian penutupan Bengkel Penerangan Zon 7 dan Zon 8 di Hotel Perkasa Kundasang, Ranau.

Majlis perasmian dirasmikan oleh Timbalan Presiden Gagasan Rakyat Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun.

Sementara itu, Masidi meminta para pengguna media sosial agar memiliki ilmu asas serta kemahiran untuk menapis apa-apa maklumat yang diterima bagi memastikan kesahihan dan kebenaran.

“Apabila menerima maklumat yang tidak pasti kesahihannya, setiap kita perlu tenang, jangan tergopoh-gapah dan jangan tergesa-gesa cepat menerima berita dan perlu diselidik dan pastikan berita yang diterima terlebih dahulu,” ujar beliau

Tambah beliau, suatu yang penting ialah maklumat sewajarnya membantu kepada proses pembangunan dan kemajuan negara dan tidak sewajarnya diganggu-gugat dengan pelbagai dakyah dan fitnah yang boleh menimbulkan perpecahan dan salah faham.

“Apabila masuk berita dalam kumpulan WhatsApp, kita perlu tanya dapat dari mana? Betul ke apa disampaikan? Kadang-kadang kita pelik orang nak sebarkan berita gunakan ayat macam okey tetapi ada maksud lain sebenarnya,” kata beliau.

Masidi turut meminta pemimpin parti agar bersedia menguruskan media sosial dengan menyebar maklumat yang benar serta lebih proaktif bagi mengekang maklumat palsu.

Beliau berkata, penjelasan kepada rakyat melalui media sosial harus disampaikan dalam bentuk yang mudah difahami, jelas, tepat dan berkesan.

“Kita tidak mahu rakyat dikelirukan dengan fakta yang salah dan songsang. Setiap dakyah harus dilawan dengan kebenaran. Tugas ketua penerangan menjadi tanggungjawab dan perjuangan kepada semua. Kita harus menang di media sosial jika ingin menang dalam pilihan raya akan datang,” ujar beliau.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/01/20/media-sosial-bahaya-jika-tidak-ditangani-dengan-baik/feed/ 0 67187
Budayakan etika penyebaran maklumat di media sosial – Nizam https://sabahmedia.com/2024/10/13/pupuk-budaya-beretika-penyebaran-maklumat-di-media-sosial-nizam/ https://sabahmedia.com/2024/10/13/pupuk-budaya-beretika-penyebaran-maklumat-di-media-sosial-nizam/#respond Sun, 13 Oct 2024 09:27:27 +0000 https://sabahmedia.com/?p=62152
Read Time:1 Minute, 53 Second

TAWAU : Semua pihak perlu membudayakan etika dalam penyebaran maklumat kepada orang ramai supaya tidak mencetuskan sebarang kesan negatif khususnya isu-isu sensitif melibatkan agama dan kaum.

Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, berikutan penyebaran maklumat hari ini yang begitu pantas dan tanpa sempadan sukar bagi sesiapa sahaja termasuk kerajaan untuk mengawalnya.

Oleh itu, katanya, setiap individu perlu dididik mengenai etika, peraturan dan undang-undang mengenai cara yang boleh dan tidak boleh disebarkan kepada orang lain.

“Hari ini media sosial diklasifikasikan sebagai media baharu dalam kehidupan kita. Perkembangan teknologi digital menyebabkan wujudnya media sosial di dalam dunia siber.

“Medium ini juga merupakan salah satu bentuk interaksi yang baharu dalam kehidupan masyarakat kerana boleh berhubung tanpa perlu bersemuka dan berada di dunia maya.

“Media sosial juga dapat memudahkan segala urusan masyarakat sama ada urusan peribadi mahupun urusan pekerjaan. Walau bagaimanapun, kewujudannya tanpa kawalan kendiri juga mampu memberi ancaman kepada masyarakat,” katanya semasa berucap merasmikan Bengkel Penerangan Gagasan Rakyat Sabah Zon 11 & 12 (Lahad Datu, Semporna, Tawau dan Kalabakan) di sini, hari ini.

Turut hadir empat peringkat Ketua Penerangan bahagian, Wanita, Pemuda dan Beliawanis daripada Zon 6.

Nizam berkata, jika disalahgunakan maklumat di media sosial akan berlaku seperti jenayah siber, provokasi, fitnah, propaganda dan sebagainya yang boleh mencetuskan pergaduhan dan perpecahan dalam kalangan rakyat, malah boleh meruntuhkan sebuah kerajaan.

Sehubungan itu, katanya, setiap individu perlu mendidik ahli keluarga dan orang-orang di bawah pimpinannya agar mengetahui faktor penggunaan media sosial dalam kalangan masyarakat.

“Mereka juga perlu mengenal pasti impak penggunaan media sosial dan langkah-langkah bagi membendung penyalahgunaan media sosial.

“Media baharu jika dibiarkan tanpa etika dan didikan boleh mencetus pergaduhan, penipuan, fitnah, menggugat ketenteraman awam, malah ada yang lantang mencabar kedaulatan undang-undang dan Perlembagaan negara,” tegas beliau.

Beliau berkata, setiap individu sewajarnya berpegang kepada tiga aspek utama untuk dibudayakan dalam masyarakat iaitu berteraskan keselamatan, kewaspadaan dan tanggungjawab yang mengutamakan kawal selia kendiri. 

“Setiap individu perlu ada budaya menggunakan bahasa yang betul  ketika berkomunikasi di internet, tatacara menggunakan media sosial secara positif serta amalan seperti kempen – tidak pasti jangan kongsi.

“Semua ini penting demi melestarikan ketamadunan generasi akan datang supaya mereka lebih terdidik untuk membuang segala bahan atau konten sampah, fitnah dan perkara-perkara negatif yang diterima,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2024/10/13/pupuk-budaya-beretika-penyebaran-maklumat-di-media-sosial-nizam/feed/ 0 62152
Pertubuhan Koperasi Disaran Manfaatkan Penggunaan Media Sosial https://sabahmedia.com/2021/11/22/pertubuhan-koperasi-disaran-manfaatkan-penggunaan-media-sosial/ https://sabahmedia.com/2021/11/22/pertubuhan-koperasi-disaran-manfaatkan-penggunaan-media-sosial/#comments Mon, 22 Nov 2021 07:56:59 +0000 https://sabahmedia.com/?p=8723
Read Time:1 Minute, 29 Second

TAMPARULI: Pertubuhan koperasi disaran memanfaatkan teknologi digital sebagai trend terkini bagi mengembangkan sesuatu jenis perniagaan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim berkata, pihak koperasi harus benar-benar memanfaatkan penggunaaan media sosial sebagai kaedah moden bagi mempromosi sesuatu produk selain dijadikan alat perhubungan yang berkesan dalam kalangan ahli.

“Memanfaatkan media sosial dan teknologi digital di internet dengan aktif dalam aspek promosi dan komunikasi, saya yakin koperasi akan lebih berkembang pesat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutupan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Koperasi Pembangunan Desa Saradan Tenghilan Berhad (KOPDESA), di Dewan Keturunan Keluarga Damit (KKD) Tenghilan, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia Cawangan Sabah, Matias Kundapin, Pengerusi KOPDESA, Irelene Damit, dan Penolong Pegawai Pembangunan Daerah (ADDO) Tamparuli, Jefferson Jonathan.

Katanya, koperasi merupakan satu jentera yang boleh memaksimakan potensi sesebuah kumpulan, sekiranya mereka mengikut garis panduan dan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia.

Para ahli turut diingatkan agar sentiasa menjaga hubungan silaturrahim dan kerjasama sesama mereka, dan memastikan setiap pengurusan koperasi dibuat secara telus, demi kejayaan koperasi tersebut.

“Saya ingin lihat lebih banyak koperasi yang berjaya di kawasan Tamparuli, kerana selain bagi menjana pendapatan ahli, ia juga mampu memberi peluang pekerjaan, serta memacu ekonomi dan pendapatan harian penduduk,” katanya.

Pada majlis tersebut, beliau turut meluluskan sumbangan sebanyak RM5,000 kepada tabung koperasi bagi membiayai pengurusan KOPDESA.

Terdahulu, Pengerusi KOPDESA, Irelene Damit, berkata, setakat hari ini, jumlah keahlian KOPDESA telah mencecah seramai 159 orang, dengan jumlah syer terkini sebanyak RM49,800.

Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia Cawangan Sabah, Matias Kundapin, mengucapkan syabas dan tahniah kepada pihak KOPDESA kerana telah berjaya mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) seperti yang termaktub di dalam perlembagaan koperasi.

Sepanjang program, Jahid turut berpeluang melawat ke ruang pameran dan jualan ahli-ahli KOPDESA, terdiri daripada produk makanan tempatan Sabah.

]]>
https://sabahmedia.com/2021/11/22/pertubuhan-koperasi-disaran-manfaatkan-penggunaan-media-sosial/feed/ 1 8723