KOTA KINABALU : Kerajaan negeri amat menghargai sumbangan pengamal media sebagai rakan kongsi strategik dalam menyebarkan dasar dan kejayaan pembangunan kerajaan kepada rakyat.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pelaporan berita khususnya mengenai Dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) telah digalas dengan sebaiknya.
“Malah, pada saat-saat sebelum pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hinggalah berakhirnya pilihan raya negeri ke-17 tahun lalu, pengamal media telah terlibat secara langsung khususnya dalam aspek pelaporan berita.
“Saya sendiri melihat secara dekat bagaimana pengamal media bekerja keras, bertugas lebih masa, mengejar berita dari pelbagai sudut dan memastikan setiap laporan yang disampaikan tepat serta berintegriti tinggi demi kepentingan rakyat.
“Sepanjang tempoh itu juga, saya dapat melihat pengamal media bekerja tanpa mengira waktu, termasuk berhujan dan berpanas bagi melaporkan setiap perkembangan semasa. Syabas dan tahniah sekali lagi kepada semua pengamal media atas komitmen dalam menjalankan tugas mereka.” katanya.
Beliau berkata demikian sempena Majlis Kinabalu Press Awards (KPA) 2026 di sini pada Sabtu.
Teks ucapan beliau dibacakan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai.
Hajiji berkata, walaupun kepantasan berita menjadi keutamaan, namun ketepatan dan kesahihan fakta tidak boleh dikompromi.
“Justeru, saya ingin menyeru kepada semua pengamal media agar terus menjalankan tugas dengan penuh integriti, berlandaskan prinsip kewartawanan yang profesional dan bertanggungjawab.
“Pengamal media juga perlu sentiasa melaporkan berita yang tepat, telus, beretika, dan tidak mudah terpengaruh dengan maklumat palsu,” katanya.
Sementara itu, Hajiji berkata, Kerajaan negeri sentiasa menyokong industri media melalui bantuan dari segi tajaan kewangan kepada penganjuran KPA.
Beliau berkata sejak tahun 2025, sumbangan tajaan untuk penganjuran KPA telah meningkat sebanyak RM110,000 berbanding RM100,000 pada tahun 2024.
“Peningkatan sumbangan tajaan ini membuktikan bahawa kerajaan negeri sentiasa menghargai dan mengiktiraf sumbangan wartawan sekali gus menyokong segala usaha untuk kecemerlangan pengamal media di negeri ini.
“Oleh itu, kerajaan negeri akan terus memberi sokongan sebagai penaja utama untuk majlis ini. Kerajaan negeri terus menjadi penyumbang utama tajaan kepada Kinabalu Press Awards pada tahun ini,” katanya. – SABAH MEDIA
]]>SANDAKAN : Peranan pengamal media yang sentiasa bertugas tanpa mengira masa demi menyampaikan laporan berita yang tepat dan berinformasi kepada masyarakat amat dihargai.
Bersempena sambutan Hari Raya Aidiladha, pengamal media di daerah ini turut menerima sumbangan beras sebagai tanda penghargaan terhadap komitmen dan pengorbanan mereka dalam menjalankan tugas.
Sumbangan dari Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manila yang juga Pengerusi Kumpulan Sawit Kinabalu, Datuk Hazem Mubarak Tun Musa itu disampaikan Setiausahanya,, Sante Villiamon pada majlis ringkas yang diadakan di The Agathis Residence, Taman Rimba Sandakan.
Hadir sama Timbalan Pengerusi Persatuan Media Sandakan, Sabah (PEMASSA), R Fauzi Abdul Lahap yang mewakili Pengerusinya, James Leong Tshun Kian.
Selain pengamal media, sumbangan beras berkenaan turut diagihkan kepada masyarakat setempat dan golongan memerlukan dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Manila.
Inisiatif itu mencerminkan keprihatinan terhadap kebajikan masyarakat serta penghargaan kepada pengamal media yang memainkan peranan penting sebagai penyampai maklumat kepada rakyat.
]]>KOTA KINABALU: Bekas Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS), Datuk Seri Christina Liew, menggesa semua pengamal media di Sabah agar terus melaksanakan tugas pelaporan dengan penuh keikhlasan, tanggungjawab, dan tahap integriti yang tinggi.
Beliau berkata, media memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat tepat dan berguna kepada masyarakat, sekaligus membantu kerajaan mempromosikan dasar, program dan projeknya.
“Kita berada di era digital, tetapi peranan media cetak dan elektronik tetap relevan.
“Kejujuran, ketekunan dan integriti dalam melaporkan berita adalah asas kepercayaan masyarakat terhadap media,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat delegasi Persatuan Wartawan Kota Kinabalu (KKJA) yang diketuai Pengerusinya, Jimmy Goh, di Pejabat Guaman beliau, pada Khamis.
Christina berkata, media bukan sahaja alat komunikasi, tetapi juga rakan strategik kerajaan dalam memastikan maklumat penting sampai kepada rakyat secara tepat dan berkesan.
Sementara itu, Jimmy Goh merakamkan penghargaan kepada Christina atas sumbangan beliau dalam menyokong aktiviti KKJA selama ini.
“Beliau sentiasa terbuka dan tidak pernah mengecewakan kami setiap kali diminta bantuan,” katanya.
Turut hadir ialah Setiausaha KKJA Teo Jinn Jiun, Penolong Setiausaha Lester Joseph Bingkasan, Penolong Bendahari Yvonne Ho Yin Yin, Pegawai Rekreasi Yik Lai Ming, Pegawai Latihan Yap Siong Han serta ahli Jawatankuasa Eksekutif Elton Gomes dan Lo Teck Loong.
]]>KOTA KINABALU, – Timbul persoalan mengenai siapa yang sebenarnya bercakap benar dalam kemelut dakwaan rasuah berkaitan permohonan lesen perlombongan di Sabah, susulan penyiaran satu rakaman video wawancara bersama seorang ahli perniagaan oleh satu laman portal Online kira-kira dua minggu lalu.
Dalam video tersebut, ahli perniagaan terbabit mendakwa dirinya telah ditekan untuk mengaitkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dari UMNO Sabah, Parti STAR dan PBS.
“Dia minta saya heret orang, menganiaya orang. Jadi saya tengok, eh, tak boleh ni. Macam mana saya sebut benda yang tak berlaku? Tak benar, kan?” ujar ahli perniagaan itu, yang dipercayai merujuk kepada individu tertentu yang didakwa cuba memanipulasi kenyataan beliau.
Namun begitu, percanggahan ketara timbul apabila portal yang sama turut melaporkan mereka menerima senarai enam nama pemimpin politik yang didakwa terlibat dalam skandal perlombongan. Laporan itu disiarkan ketika desas-desus tersebar bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mendakwa tiga individu dalam masa terdekat.
Seorang pengguna media sosial yang turut membangkitkan laporan berkenaan :-
@anty.dhona Bandingkan percakapan Albert Tei dengan berita yang disiarkan oleh platform berita yg sama. Boleh percaya kah orang begini? #AlbertTeiPenyamun ♬ original sound – Anty Dhona
Antara yang dinamakan dalam laporan tersebut ialah Presiden Parti STAR, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan; dua timbalannya, Datuk Ellron Alfred Angin dan Datuk Robert Tawik; serta Pemangku Presiden PBS merangkap Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.
Turut dinamakan ialah bekas Presiden PBS, Tan Sri Dr Maximus Ongkili, dan Timbalan Presiden PBS, Datuk Seri Jahid Jahim.
Percanggahan antara kandungan wawancara dan laporan berita yang diterbitkan oleh portal sama ini menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pemerhati politik dan rakyat Sabah.
Seorang pemerhati awam berkata, “Kalau benar wujud tekanan untuk mengaitkan nama-nama tertentu, mengapa portal yang sama pula melaporkan mereka terlibat? Ini menimbulkan persoalan besar mengenai motif sebenar di sebalik tuduhan yang dilemparkan.”
Pertuduhan Rasuah Difailkan di Mahkamah
Dalam perkembangan berkaitan, seorang ahli perniagaan bergelar Datuk, Tei Jiann Cheing – atau lebih dikenali sebagai Albert Tei – hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu atas dua pertuduhan memberi rasuah berjumlah RM350,000 kepada dua wakil rakyat Sabah hari ini.
Pertuduhan mendakwa Tei, 37, memberikan suapan RM200,000 dan RM150,000 kepada Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy dan Datuk Yusof Yacob sebagai dorongan untuk membantu menguruskan permohonan Prospecting License bagi pencarian mineral di Sabah melibatkan dua buah syarikat.
Ketiga-tiga tertuduh, termasuk kedua-dua Adun tersebut, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Jason Juga.
Kesemua pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 16(b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.
]]>KOTA KINABALU: Media massa diminta terus memainkan peranan sebagai pendidik rakyat khususnya dalam menyebar luas maklumat benar agar tidak ada yang mudah terpengaruh dengan penipuan, fitnah dan dakyah pihak tidak bertanggungjawab.
Ketua Wanita Gagasan Rakyat Sabah, Datuk Redonah Bahanda berkata, dalam kehidupan masyarakat yang mengejar arus pembangunan dan kemajuan serta sumber maklumat tanpa sempadan hari ini, menyampaikan maklumat benar menjadi semakin kritikal dan mencabar.
“Dalam kehidupan masyarakat yang sentiasa mengejar arus pembangunan, media massa memainkan peranan yang cukup penting untuk merealisasikan impian masyarakat ke arah kehidupan yang lebih moden dan sejajar dengan wawasan negara.
“Media massa mampu mendidik rakyat melalui sebaran yang benar, berfakta dan bermanfaat bagi membantu membentuk kehidupan masyarakat yang sempurna,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Ketua Wanita Gagasan Rakyat, Datuk Redonah Bahanda di sebuah hotel di sini semalam.
Turut hadir Penolong Setiausaha Wanita Gagasan Rakyat, Fahzean Mohiddin, Ketua Penerangan Wanita Gagasan Rakyat, Senator Anna Bell Perian, Ketua Wanita Gagasan Rakyat Api Api, Salmi Sarinoh dan Ketua Wanita Gagasan Rakyat Likas, Halizah Din.
Redonah berkata, media adalah pelengkap kepada sebuah masyarakat yang maju melalui peranannya sebagai medium informasi baik secara langsung atau tidak langsung.
“Kita diibaratkan sebagai sebuah rumah yang mempunyai tiang, tingkap, pintu, bumbung yang saling perlu di antara satu sama lain agar dapat berfungsi sebagai sebuah rumah yang memberikan tempat perlindungan kepada penghuninya.
“Sudah semestinya ia tidak akan dapat dilaksanakan tanpa bantuan dan sokongan daripada semua pihak termasuk pihak media. Pengamal media merupakan rakan komunikasi strategik kerajaan khususnya dalam usaha membendung elemen negatif di media sosial termasuk buli siber dan menangkis berita palsu,” ujar beliau.
Tanbah beliau, kepantasan penyebaran maklumat dan berita di dunia digital seperti media sosial hari ini ditambah dengan kemunculan kecerdasan buatan (AI) memerlukan kesiapsiagaan yang tinggi kepada semua pihak termasuk media.
Redonah turut menegaskan perkembangan dan perubahan itu boleh menjadi kelebihan, namun jika tidak berwaspada terhadap penyebaran pelbagai maklumat di media sosial ia mampu mencetuskan masalah yang rumit danmembimbangkan.
“Kita berharap pengamal media khususnya di Sabah sentiasa dilengkapi dengan maklumat terkini di samping berusaha memperkasa diri dengan ilmu pengetahuan serta kefahaman mendalam mengenai setiap dasar diperkenalkan kerajaan bagi menjadi seorang wartawan terbaik,” katanya.
Beliau dalam pada itu merakam terima kasih di atas kerjasama dan sumbangan baik media kepada pelbagai perkembangan dan aktiviti yang dilaksanakan oleh Gagasan Rakyat.
“Saya mewakili Wanita Gagasan Sabah ingin melahirkan rasa gembira dan terima kasih kepada pihak media di atas kredibiliti, sumbangan dan komitmen yang berterusan dalam memaparkan publisiti Wanita Gagasan Rakyat Sabah sepanjang masa,” katanya.
]]>KOTA KINABALU: Persatuan Bola Sepak Negeri Sabah (SAFA) dan rakan media sentiasa akrab kerana kedua-duanya memerlukan antara satu sama lain, kata Setiausaha Agung SAFA, Datuk Dr Jelani Hamdan.
Katanya, hubungan erat ini akan memberi manfaat bukan saja dari aspek populariti tetapi juga dapat membantu memajukan bola sepak negara secara tidak langsung.
Menurut beliau, menerusi media, setiap pasukan bola sepak sudah pasti dapat mendekatkan diri dengan peminat bola sepak dan penyokong masing-masing.
“Ia akan membawa manfaat yang baik kepada pasukan termasuk menambahkan lagi sokongan padu daripada peminat bola sepak.
“Kita sentiasa akrab dengan rakan-rakan media dan ia bukan sesuatu yang baharu, malah kita mengadakannya pelbagai aktiviti bersama dari semasa ke semasa ,” katanya ketika ditemui pemberita semalam.
Dr Jelani berkata, perlawanan persahabatan antara SAFA dengan Persatuan Wartawan Sabah (SJA) ini juga akan menjadi landasan penting dalam mengukuhkan lagi silaturahim kedua-dua pihak.
Perlawanan yang berlangsung di ibu pejabat persatuan bola sepak berkenaan dimenangi oleh pasukan SAFA dengan keputusan 4-2.
Sementara itu, Dr Jelani berkata, penubuhan Akademi Bola Sepak SAFA, yang disempurnakan Timbalan Ketua Menteri Datuk Ir Shahelmey Yahya, Sabtu lalu, merupakan satu sejarah penting di Sabah.
Katanya, ia amat penting dalam memantapkan lagi pembangunan bola sepak di Sabah di masa hadapan.
“Penubuhan akademi bola sepak ini sudah menjadi realiti dan selepas ini ia akan dikembangkan ke lapan zon di seluruh negeri,” katanya.
]]>KOTA KINABALU : Seramai 48,461 individu yang layak telah menerima dos penggalak vaksin COVID-19 di Sabah sejak dimulakan bulan lalu membabitkan petugas barisan hadapan dan individu berusia 60 tahun ke atas.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, pemberian dos penggalak itu juga kini mula dibuka kepada semua individu yang memenuhi kriteria dan mereka yang berusia 40 tahun ke atas.
“Setakat ini Sabah telah memberikan dos penggalak kepada 48,461 orang penerima yang terdiri dalam kalangan petugas barisan hadapan dan individu berusia 60 tahun.
“Bagi mereka yang berusia 40 tahun dan memenuhi kriteria juga boleh menerima dos penggalak selain boleh datang terus ke mana-mana Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang ada atau fasiliti kesihatan yang berhampiran untuk mendapat dos penggalak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Program Pemberian Dos Penggalak Vaksin COVID-19 kepada petugas media di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) disini hari ini.
Shahelmey berkata, kriteria yang ditetapkan bagi mendapatkan dos penggalak adalah penerima perlu lengkap divaksinasi dan melebihi tempoh enam bulan bagi vaksin Pfizer dan tiga bulan bagi menerima vaksin Sinovac.
“Pada hari ini seramai 140 orang petugas media hadir menerima dos penggalak mereka yang mana diberikan vaksin jenis Pfizer yang utama namun bagi mereka yang alergi akan diberikan vaksin jenis Sinovac sebagai pilihan.
“Kita melihat petugas media adalah sebahagian daripada petugas barisan hadapan kerana media sentiasa bertugas dalam kelompok yang agak ramai, jadi eloklah petugas media mendapatkan dos penggalak bagi meningkatkan daya ketahanan diri,” katanya.
Dalam pada itu, Shahelmey berkata, PPV SICC akan beroperasi sehingga akhir bulan ini namun pemberian vaksin akan diteruskan di semua fasiliti kesihatan di seluruh negeri.
“SICC adalah PPV swasta jadi ia dibuka sehingga akhir bulan ini dan seterusnya pemberian vaksin diberi di fasiliti kesihatan atau pun klinik dan hospital swasta yang menjadi panel kepada program pemberian vaksin.
“Terdapat 76 PPV di seluruh Sabah dan lima hospital swasta yang turut memberi khidmat memberi vaksin secara percuma kepada rakyat di Sabah,” katanya.
]]>KOTA KINABALU: Pusat Pemberian Vaksin Institusi Pengajian Tinggi-Universiti Malaysia Sabah (PPV IPT-UMS) yang beroperasi mulai 14 Jun 2021 telah berjaya memberikan suntikan vaksin COVID-19 kepada 16,521 penerima yang merupakan jumlah keseluruhan vaksin diperolehi oleh PPV IPT-UMS sehingga 23 Julai 2021.
Penolong Naib Canselor (STRATEGIK) Pusat Pengurusan Strategik dan Komunikasi Korporat (PPSKK) Universiti Malaysia Sabah Prof. Madya Dr Rahimie Abd. Karim berkata dalam kenyataan media hari ini, bagi memastikan akses kepada vaksin yang adil dan saksama, proses pemilihan penerima untuk panggilan janji temu di PPV IPT-UMS adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa berkaitan.
“PPV UMS-IPT menerima senarai penerima vaksin COVID-19 daripada aplikasi MySejahtera.
“Oleh yang demikian, PPV IPT-UMS menasihati orang ramai yang belum mendaftar melalui aplikasi MySejahtera untuk menerima suntikan vaksin COVID-19 agar segera berbuat demikian bagi membolehkan mereka mendapat janji temu di PPV IPT-UMS,”katanya.
Sehubungan dengan itu, Dr Rahimie menjelaskan bahawa PPV IPT-UMS menafikan hantaran (posting) yang tular dalam media sosial yang mendakwa orang ramai boleh mendapatkan suntikan vaksin di PPV IPT-UMS tanpa melalui aplikasi MySejahtera dengan memberikan maklumat peribadi seperti nama, nombor kad pengenalan, nombor telefon dan alamat email.
“Orang ramai dinasihati agar tidak memberikan maklumbalas ke atas hantaran (posting) tersebut kerana boleh mengganggu operasi PPV IPT-UMS. PPV IPT-UMS juga tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kebocoran maklumat peribadi yang dikaitkan dengan hantaran (posting) tersebut.
“PPV IPT-UMS tidak pernah melantik mana-mana pihak samada individu atau syarikat sebagai agen mengatur janji temu di PPV IPT-UMS. Pemberian vaksin COVID-19 juga diberikan secara percuma,”tambahnya.
Sebarang pertanyaan atau aduan mengenai pemberian vaksin COVID-19 di PPV IPT- UMS boleh dikemukakan dengan menghubungi Hotline PPV IPT-UMS di nombor telefon 088-329 200.
]]>