Melalui – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Fri, 11 Aug 2023 06:11:48 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.1 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png Melalui – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 PROTON mempromosikan Sukan Asia ke-19 melalui Program Asian Games Nation Drive https://sabahmedia.com/2023/08/11/proton-mempromosikan-sukan-asia-ke-19-melalui-program-asian-games-nation-drive/ https://sabahmedia.com/2023/08/11/proton-mempromosikan-sukan-asia-ke-19-melalui-program-asian-games-nation-drive/#respond Fri, 11 Aug 2023 05:46:19 +0000 https://sabahmedia.com/?p=39880
Read Time:6 Minute, 32 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Pengeluar kereta nasional PROTON telah mengadakan Program Asian Games Nation Drive di Sabah bagi menghangatkan temasya Sukan Asia ke-19 Hangzhou 2022 yang akan berlangsung di Hangzhou, China tidak lama lagi.

Program itu juga antara lain untuk mempromosikan industri pelancongan yang terdapat di negeri ini agar dapat berkembang pesat seiring dengan kemajuan teknologi kenderaan jenama PROTON.

Acara Sukan Asia berprestij itu akan berlangsung selama 16 hari bermula pada pada 23 September hingga 8 Oktober 2023.

Timbalan Pengarah Komunikasi Pemasaran dan Pengaktifan, PROTON, Steven Zhou Qi berkata pengiktirafan ini bukan sekadar memberikan mereka peluang untuk menyokong acara pelbagai-sukan terbesar di Asia itu, namun ia juga meningkatkan imejnya di peringkat Asia.

Katanya, PROTON dipilih hasil daripada kaitannya dengan Geely Auto Group yang merupakan Rakan Kongsi Prestij Rasmi untuk Sukan Asia.

“Semua model terkini Proton iaitu Persona, Iriz, Exora, Saga, X50, X70 dan terbaharu X90 digunakan sebagai kenderaan rasmi untuk menjalankan aktiviti-aktiviti di Malaysia sepanjang Sukan Asia berlangsung sebagai mempromosikan acara sukan itu,” katanya kepada pemberita semasa program PROTON mengembara bersama pengamal media tempatan di Sabah.

Turut serta dalam program itu, Pengurus Negeri Sabah Barat, PROTON, Eron Constantine.

Program Asian Games Nation Drive iaitu pengembaraan PROTON bersama media merupakan salah satu program PROTON yang sangat menarik didedikasikan untuk menerokai khazanah yang tersembunyi yang dimiliki oleh negeri Sabah, selain peserta dikalangan pengamal media merasai sendiri pengalaman memandu produk model X siri dan yang terbaharu X90.

Program ini juga sekaligus mempromosikan keindahan alam semulajadi, kepelbagaian suku kaum yang unik dan keramahan masyarakat tempatan Sabah yang ditemui semasa pengembaraan tersebut.

Seramai 26 peserta terdiri daripada enam orang pengamal media tempatan dan kakitangan PROTON menyertai Asian Games Nation Drive yang berlangsung selama dua hari iaitu 5 hingga 6 Ogos lalu cukup memberikan pengalaman yang menarik yang tidak akan dilupakan oleh para peserta khususnya pengamal media.

Pada program itu, penulis diberi peluang merasai sendiri pengalaman memandu tiga produk model siri X PROTON iaitu X50, X70 dan X90.

Pengalaman penulis, tidak dinafikan kenderaan jenama PROTON, termasuk model siri X, merangkumi pengalaman pemanduan yang menyeronokkan semasa mengharungi jalan berliku, berbukit bukau dan lebuh raya, semuanya berjalan sangat lancar.

Disamping mengutamakan pemanduan secara berhemah, model siri X juga mempunyai ciri ketangkasan, keseimbangan dan pelbagai ciri keselamatan yang ada pada kenderaan tersebut mendapat pujian daripada pihak media selepas merasai pengalaman memandu.

Ternyata sepanjang melalui pengembaraan yang luar biasa ini, kenderaan ini telah menunjukkan kualiti binaan, standard keselamatan, keselesaan dan sistem infotainmen yang paling canggih mereka mewujudkan persekitaran yang mengasyikkan menambah keyakinan pemandu bersama penumpang apabila berada di atas jalan raya, keadaan ini juga mendapat pujian yang hangat dari semua peserta.

Dalam program ini, PROTON membawa para peserta ke lokasi-lokasi pelancongan yang menarik seperti Kundasang, Hooga Cafe, Desa Dairy Farm, Kokol Haven Resort dan Koisaan Cultural Village.

Ia sedikit sebanyak mencabar perjalanan dengan memandu kenderaan PROTON kerana para peserta akan melalui jalan berbukit tinggi dan curam, berliku, jalan tidak rata, licin, berkabus, hujan lebat serta keadaan lebuh raya yang sesak. Namun didapati ia tidak menjadi masalah kepada semua keadaan ini untuk kenderaan dari jenama PROTON model siri X.

KUNDASANG

Pada hari pertama perjalanan, peserta telah berpeluang memandu pelbagai jenis kenderaan PROTON sejauh 90 kilometer ke Kundasang, Ranau melalui jalan berbukit dan berliku, sambil melihat keindahan alam semulajadi yang mengasyikkan terdapat di daerah itu.

Kundasang merupakan sebuah kawasan indah yang terletak di daerah Ranau, Sabah, Malaysia, memiliki keindahan alam semulajadi dan landskap yang sangat menakjubkan membuatkan pengunjung terpesona apabila berada di sana.

Salah satu tarikan di Kundasang ini ialah Gunung Kinabalu yang tersergam indah merupakan Tapak Warisan Dunia UNESCO dan puncak tertinggi di Asia Tenggara.

Kundasang juga terkenal dengan iklimnya yang sejuk dan pemandangan yang menakjubkan, menjadikannya destinasi popular untuk pengembara yang ingin mencari ketenangan dari hiruk pikuk kehidupan kota.

Suasana pekan yang tenang dan damai ditambah dengan sapaan keramahan masyarakat dari suku kaum Dusun dan persekitaran yang subur menghijau serta menyegarkan mata memandang, sesuai untuk peminat alam semulajadi dan adventure seekers.

HOOGA CAFE

Seterusnya para peserta singgah di Hooga Cafe, ianya terletak di dalam keindahan Kundasang yang mendamaikan.

Hiasan kafe yang berkonsepkan alam semulajadi sangat mempesona dengan suasana meriah dihiasi sinaran lampu warna-warni pasti menjanjikan santapan yang tidak dapat dilupakan sebagai tempat makan terkemuka, menyajikan hidangan gabungan sajian Barat dan Asia yang menarik dan menyelerakan.

Dengan pelbagai kek yang lazat, ia adalah tempat yang sesuai untuk menandakan detik istimewa seperti meraikan hari lahir serta ulang tahun.

Ia juga menjadi tempat tumpuan untuk peminat foto dan peminat media sosial yang berkunjung ke kafe itu.

DESA DAIRY FARM

Desa Dairy Farm terletak di antara pergunungan dan landskap Kundasang yang indah.

Keindahannya menjadi sebutan ramai dikalangan pengunjung sebagai ‘Mini New Zealand’ yang terletak di tengah-tengah peta Malaysia.

Ladang tenusu ini lebih daripada sekadar tempat untuk menyaksikan cara pemprosesan memerah susu lembu tenusu serta menikmati produk susu segar yang berkualiti, selain menawarkan pengalaman menyeronokkan yang membawa pelawat meneroka keindahan padang ragut hijau berlatar belakangkan Gunung Kinabalu, pasti memukau pengunjung seakan-akan seperti berada di New Zealand.

Disamping itu, pengunjung juga boleh pelajari tentang pelbagai peringkat pemprosesan susu, daripada memerah susu lembu hingga proses akhir pembungkusan produk.

KOKOL HAVEN RESORT

Para peserta bermalam di Kokol Haven Resort yang terletak di atas bukit Kokol yang tinggi dan curam, kira-kira 20 kilometer dari bandaraya Kota Kinabalu, menawarkan percutian yang tenang dari hiruk pikuk kehidupan seharian.

Dengan suhu iklim serendah 24 hingga 26’C ia dikelilingi oleh kehijauan alam semulajadi yang subur dan pemandangan panoramik Laut China Selatan dan bandaraya Kota Kinabalu yang menakjubkan.

Resort ini merupakan tempat percutian yang indah amat sesuai untuk pencinta alam semulajadi dan mereka yang mencari ketenangan.

KOISAAN CULTURAL VILLAGE (KCV) PENAMPANG

Koisaan Cultural Village adalah salah satu muzium hidup kontemporari terbaik di Sabah yang digabungkan kedua-dua budaya, gaya hidup tradisional dan kontemporari dengan seni binanya yang moden dan tradisional.

Lawatan ke KCV merupakan aktiviti pengembaraan hari kedua yang juga penamat program itu, di situ peserta akan terlibat dengan pelbagai permainan tradisional interaktif serta aktiviti kebudayaan seperti minum tapai (wain tempatan), menikmati makanan tradisional, demonstrasi membuat manik, bermain alat muzik seperti gong dan kulingtangan, menari Sumazau serta pameran kepelbagaian tradisi masyarakat budaya orang asli, nilai dan gaya hidup mereka.

KRAF BUDAYA SABAH AKAN DITEMPAT DI MUZIUM SUKAN ASIA 2022 DI HANGZHOU

Steven (tiga kiri) menerima kraf budaya Sabah kalung Pinakol Bermanik daripada atlet Farrell dan Petronella disaksikan oleh Thomas (dua kiri), Eron (kiri) dan Wilson (kanan).

Kraf budaya dari setiap negeri di Malaysia dipilih dengan teliti melalui proses pengundian sosial menerusi platform Media Sosial Rasmi PROTON (Facebook & Instagram).

Kraf budaya yang dikumpul akan diserahkan kepada Pasukan Malaysia, yang akan menyampaikannya sebagai sumbangan kepada Muzium Sukan Asia, Mdi Hangzhou, China.

Eron menunjukkan kraf budaya Sabah kalung Pinakol Bermanik.

Kraf budaya yang dipilih dari negeri Sabah ialah Kalung Pinakol Bermanik, ia adalah satu hasil kraf buatan tangan yang sangat indah, dibuat dengan teliti oleh wanita kaum Rungus yang berbakat dari daerah Kudat, Sabah, Malaysia.

Hasil karya yang halus, reka bentuk kalung ini dengan bangganya mempamerkan sebahagian daripada motif etnik tradisional yang mereka telah warisi secara turun temurun.

ATLET MALAYSIA SERAH KRAF BUDAYA SABAH KEPADA PROTON

Bagi acara kemuncak program Asian Games-Nation Drive, dua wakil atlet tempatan Malaysia Farrell Glen Felix Jurus dan Patronella Lisong dijemput untuk menyerahkan kraf budaya kepada PROTON bertempat di PROTON Fook Loi, Kota Kinabalu pada 6 Ogos lalu.

Farrell dan Petronella merupakan anak jati Sabah yang mengharumkan nama negara dalam arena sukan berprestij.

Farell pemenang pingat emas untuk lompat tinggi SUKMA Games 2022, manakala Petronella pemenang pingat emas untuk 4×100 meter SUKMA Games 2022.

Sementara itu, Steven turut memaklumkan bahawa PROTON akan meneruskan misinya dalam acara Asian Games- Nation Drive ke Sarawak.

“PROTON akan meluaskan acara Asian Games- Nation Drive ke Sarawak, ini melambangkan dedikasi kami untuk menginspirasikan hubungan dan merapatkan budaya melalui pengalaman luar biasa dan semuanya menyumbang kepada penglibatan Malaysia di Sukan Asia ke-19,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2023/08/11/proton-mempromosikan-sukan-asia-ke-19-melalui-program-asian-games-nation-drive/feed/ 0 39880
Kerajaan melalui MAFFI akan wujudkan semula Lembaga Padi Sabah https://sabahmedia.com/2023/07/27/kerajaan-melalui-maffi-akan-wujudkan-semula-lembaga-padi-sabah/ https://sabahmedia.com/2023/07/27/kerajaan-melalui-maffi-akan-wujudkan-semula-lembaga-padi-sabah/#respond Thu, 27 Jul 2023 04:31:53 +0000 https://sabahmedia.com/?p=39015
Read Time:1 Minute, 18 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri melalui Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri (MAFFI) kini dalam proses mewujudkan semula Lembaga Padi Sabah bagi membangunkan industri padi dan beras di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata pengwujudan semula Lembaga Padi Sabah itu dijangka dapat meningkatkan paras tahap Sara diri (SSL) beras negeri Sabah kepada 60 peratus menjelang tahun 2030.

“Pada ketika ini, SSL beras negeri Sabah berada pada paras 22 peratus manakala 78 peratus keperluan beras di negeri ini ditampung melalui beras import daripada negara- negara seperti China, Vietnam, Thailand dan Pakistan.

“Kita berharap dengan pengwujudan semula Lembaga Padi Sabah dijangka akan dapat
meningkatkan paras tahap SSL beras negeri sekali gus dapat mengurangkan beras import,” katanya ketika merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan peringkat
negeri Sabah 2023 di Wisma Pertanian di sini pada Khamis.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri I yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri, Datuk Seri Dr Jeffrey G Kitingan.

Dalam pada itu, Hajiji berkata peladang, penternak dan nelayan adalah golongan yang penting dalam menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri dan seterusnya negara.

Justeru katanya, peladang, penternak dan nelayan harus peka dan bersedia menerima
serta membuat perubahan dalam pertanian termasuk pengurusan ladang secara moden.

“Peladang, penternak dan nelayan harus lebih inovatif, meningkatkan kepakaran dan berusaha dengan lebih gigih dalam merebut peluang-peluang pelaburan dalam sektor pertanian yang kian berkembang.

“Untuk mencapai hasrat ini, kita harus terbuka kepada idea-idea dan maklumat-maklumat yang baru dan mutakhir serta dapat menyesuaikannya mengikut keadaan dan masa. Kita mesti menjadi seorang peladang, penternak dan nelayan yang serba mengetahui,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2023/07/27/kerajaan-melalui-maffi-akan-wujudkan-semula-lembaga-padi-sabah/feed/ 0 39015
SESB bantu golongan memerlukan melalui wakalah zakat https://sabahmedia.com/2023/06/30/sesb-bantu-golongan-memerlukan-melalui-wakalah-zakat/ https://sabahmedia.com/2023/06/30/sesb-bantu-golongan-memerlukan-melalui-wakalah-zakat/#respond Fri, 30 Jun 2023 09:21:30 +0000 https://sabahmedia.com/?p=37448
Read Time:54 Second

MEMBAKUT: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) amat prihatin dan sentiasa membantu golongan yang memerlukan melalui program sumbangan Wakalah Zakat.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SESB, Ir Ts Mohd Yaakob Hj Jaafar berkata pada tahun ini sebanyak RM938,208 telahpun diperuntukkan bagi melaksanakan 21 program sumbangan Wakalah Zakat di seluruh Negeri Sabah.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada program sumbangan Wakalah Zakat SESB di Dewan Wawasan Kampung Pimping, Membakut pada Jumaat (30 Jun).

Program tersebut disempurnakan oleh Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah.

Agihan Wakalah Zakat SESB ini telah memberi manfaat kepada hampir 800 orang yang terdiri daripada golongan asnaf, surau, masjid dan pusat tahfiz.

Antara kawasan yang telah menerima sumbangan ini adalah Kota Kinabalu, Putatan, Bongawan, Kimanis, Papar, Membakut, Beaufort, Sipitang, Kota Belud, Tawau dan Lahad Datu.

Program sumbangan Wakalah Zakat ini merupakan pengembalian wang zakat SESB yang dibayar kepada Pusat Zakat Negeri Sabah untuk diagihkan kepada golongan yang memerlukan seperti yang telah digariskan dalam tatacara pengagihan Wakalah Zakat oleh Pusat Zakat seperti asnaf, anak-anak yatim, masjid, rumah anak-anak yatim dan pusat tahfiz.

]]>
https://sabahmedia.com/2023/06/30/sesb-bantu-golongan-memerlukan-melalui-wakalah-zakat/feed/ 0 37448
Promosi Sabah Melalui Industri Perfileman https://sabahmedia.com/2022/04/07/promosi-sabah-melalui-industri-perfileman/ https://sabahmedia.com/2022/04/07/promosi-sabah-melalui-industri-perfileman/#respond Thu, 07 Apr 2022 05:30:00 +0000 https://sabahmedia.com/?p=14013
Read Time:2 Minute, 12 Second

KOTA KINABALU: Pihak Lembaga Pelancongan Sabah memuji usaha pembikin filem tempatan mempromosikan negeri dan destinasi luar bandar dalam karya mereka.

Pada Rabu, rombongan yang diketuai penerbit filem Chester Pang bertemu dengan pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah, Datuk Joniston Bangkuai, untuk membincangkan potensi pelancongan filem di negeri itu.

Rombongan itu juga membincangkan perancangan mereka untuk mempamerkan daya tarikan Sabah melalui filem dan pembikinan video promosi yang mampu menarik minat orang ramai melawat Sabah.

Antara karya tersebut ialah video pendek ‘Discover Kiulu’ dan filem komedi dalam bahasa Mandarin ‘Craze Below The Wind’.

“Ini adalah usaha yang baik untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang pelbagai tarikan yang ada di Sabah, dan merangsang rasa ingin tahu mereka terhadap negeri ini,” kata Joniston, yang juga Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar.

“Kiulu, sebagai contoh, telah dipilih oleh Kerajaan Negeri sebagai model pelancongan luar bandar. Tidak lama lagi Kiulu akan mempunyai pusat informasi pelancongan, di mana klip video seperti ini boleh dipaparkan.

“Kita juga berharap agar destinasi-destinasi lain menjadi inspirasi para pembikin filem untuk dipaparkan dalam karya produksi filem. Kebanyakan produk luar bandar adalah hampir sama. Oleh itu, pembikin filem juga harus mencari tarikan baharu untuk ditonjolkan,” tambahnya.

Sebagai sebahagian daripada Borneo, Joniston berkata Sabah perlu membezakan dirinya daripada Sarawak dan Kalimantan, di mana pembangunan ibu negara baru Nusantara sedang dilaksanakan.

Tambah beliau, Lembaga Pelancongan Sabah sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan penerbit filem tempatan untuk mempromosikan elemen and aspek pelancongan Sabah tersendiri.

Turut hadir pada pertemuan itu adalah penerbit dan pengarah Froggy Planet, Katak Chua, timbalan presiden Persatuan Pelancongan Kiulu Lasmen Lopuk, wakil Pro-Merge Vision, dan pengarah filem tempatan Ramli Carlo.

Penggambaran untuk ‘Discover Kiulu’ dijangka siap pada penghujung bulan ini, kata Chester, yang merupakan penerbit dari Can Bah Production.

Katanya, video promosi berdurasi 90 saat itu juga bakal dipaparkan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah.

Bagi filem ‘Craze Below The Wind’ yang berdurasi 90 minit, ia bakal ditayangkan pada bulan Mei.

Diterbitkan oleh Can Bah Production, ‘Craze Below The Wind’ mengisahkan tentang dua beradik yang berdepan dengan masalah dan terpaksa mengembara ke seluruh Sabah dengan membawa beg pakaian misteri.

Chester berkata bahawa filem itu, yang ditangguh sejak 2020 akibat pandemik, akan ditayangkan di 53 pawagam, termasuk di Brunei.

Sementara itu, Katak berkata filem tersebut telah mendapat sambutan positif semasa ujian tayangan, dengan tujuh daripada 10 responden menyatakan minat untuk melawat Sabah.

“Pembikinan filem itu melibatkan seramai 52 krew, dan 80 peratus daripada mereka adalah rakyat Sabah. Kami mahu mempromosikan pelancongan melalui industri perfileman kerana ia boleh memberi peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

“Kami berharap Lembaga Pelancongan Sabah dapat bekerjasama dengan pembikin filem untuk menjayakan industri pelancongan filem di negeri ini,” kata pengarah filem itu.

]]>
https://sabahmedia.com/2022/04/07/promosi-sabah-melalui-industri-perfileman/feed/ 0 14013
DBKK Komited Memperkasa, Memajukan Pembangunan Bandaraya Kota Kinabalu Melalui Strategi Terancang Dan Inklusif https://sabahmedia.com/2022/02/02/dbkk-komited-memperkasa-memajukan-pembangunan-bandaraya-kota-kinabalu-melalui-strategi-terancang-dan-inklusif/ https://sabahmedia.com/2022/02/02/dbkk-komited-memperkasa-memajukan-pembangunan-bandaraya-kota-kinabalu-melalui-strategi-terancang-dan-inklusif/#respond Wed, 02 Feb 2022 06:26:38 +0000 https://sabahmedia.com/?p=11831
Read Time:2 Minute, 23 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) komited memperkasa dan melakarkan satu perkembangan positif melalui strategi yang terancang dan inklusif dalam memajukan pembangunan Bandaraya Kota Kinabalu.

Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Noorliza Awang Alip berkata, susulan perkara itu, bagi perancangan DBKK 2022, telah mengenal pasti pelbagai potensi tinggi dalam Bandaraya Kota Kinabalu untuk diperkasakan, antaranya hasil janaan idea bersama kumpulan-kumpulan individu dan badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) pada Disember tahun lalu, DBKK telah berjaya mewujudkan “Love KK Network” bertujuan untuk menghidupkan semula kesedaran awam dan rasa cinta kepada Bandaraya Kota Kinabalu.

Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Noorliza Awang Alip memeriksa Pasukan Kawalan Kehormat DBKK sempena Ulang Tahun Ke-22 Bandaraya Kota Kinabalu di perkarangan bangunan DBKK, pada Rabu.
Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Noorliza Awang Alip (dua kiri) memeriksa Pasukan Kawalan Kehormat DBKK sempena Ulang Tahun Ke-22 Bandaraya Kota Kinabalu di perkarangan bangunan DBKK, pada Rabu.
Upacara Menaikkan Bendera sempena Ulang Tahun Ke -22 Bandaraya Kota Kinabalu.

“Program “Love KK Network” bakal dilancarkan pada 14 Februari 2022 dan akan bertindak sebagai kompas utama DBKK dalam membuat perancangan usaha pembangunan, pengindahan, penghijauan, pendidikan, kebersihan dan kemajuan Bandaraya Kota Kinabalu melalui lima komponen utama iaitu Clean KK, Vibrant KK, Beautiful KK, Green KK dan Livable KK.

“Bersandarkan pendekatan ‘KK Moving Forward’ dan ‘Citizen Centric’ sebagai perintis budaya kerja, DBKK juga akan meneruskan usaha dalam meningkatkan penglibatan masyarakat melalui rundingan awam, Sesi Town Hall dan Sesi Dialog.

“Pandangan masyarakat dan stakeholders akan didengar, terutama dalam menangani isu kebersihan dan pembangunan. Pada tahun ini, Program Town Hall 2022′ DBKK akan diadakan pada 9 Februari 2022 secara hybrid,” katanya dalam ucapan amanat yang disampaikan selepas merasmikan Upacara Menaikkan Bandera sempena Ulang Tahun Ke-22 Bandaraya Kota Kinabalu di perkarangan bangunan DBKK, pada Rabu.

Dalam pada itu, DBKK akan menyediakan pelbagai acara menarik bagi memeriahkan sambutan Ulang Tahun Ke-22 Bandaraya Kota Kinabalu bermula 31 Januari 2022 hingga 27 Mac 2022.

“Acara yang bakal diadakan adalah untuk semua warga Kota Kinabalu sebagai penghargaan kepada mereka yang memberikan sokongan dan komited dalam menjadikan Kota Kinabalu Sejahtera.

“Selain acara Pelancaran “Love KK Network”, antaranya acara Town Hall DBKK, Cultural Rendevouz in Borneo l, KK Scavenger Hunt, KK City Ride, KK City Half Marathon, Orchids Exhibition dan banyak lagi.

“Manakala acara berbentuk pembangunan komuniti turut akan diadakan seperti Pelancaran Urban Farming ataupun Kebun Komuniti Bandar, Pelancaran Tapak e-Waste, Bicara inovasi, Kajian Lembungan Sungai Darau, Program Ke Arah Keusahawanan Wanita Bersama Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) serta acara yang memupuk semangat berpasukan dalam organisasi iaitu Ekspedisi Mendaki Gunung Tambuyukon,” katanya.

Menurutnya, kesemua acara telahpun ditaklimatkan dan menerima kelulusan daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dan semua Jawatankuasa Pelaksana program juga telah ditekankan untuk memastikan Prosedur Operasi Standard (SOP) dipatuhi oleh setiap peserta pada setiap masa.

Noorliza juga turut merakamkan ucapan penghargaan kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor atas kepimpinan jitu kepada DBKK.

“DBKK akan terus menyokong strategi dan aspirasi kerajaan serta bersiap siaga untuk mengadaptasikan transformasi dalam memenuhi keperluan masyarakat Bandaraya Kota Kinabalu,” ujarnya.

]]>
https://sabahmedia.com/2022/02/02/dbkk-komited-memperkasa-memajukan-pembangunan-bandaraya-kota-kinabalu-melalui-strategi-terancang-dan-inklusif/feed/ 0 11831
Pemerkasaan Perkhidmatan Awam Melalui Inisiatif Transformasi https://sabahmedia.com/2022/01/25/pemerkasaan-perkhidmatan-awam-melalui-inisiatif-transformasi/ https://sabahmedia.com/2022/01/25/pemerkasaan-perkhidmatan-awam-melalui-inisiatif-transformasi/#respond Tue, 25 Jan 2022 11:32:43 +0000 https://sabahmedia.com/?p=11538
Read Time:2 Minute, 30 Second

KOTA KINABALU: Penjawat awam adalah nadi kerajaan, kumpulan pelaksana dasar dan jentera penting yang menentukan kejayaan agenda kerajaan khususnya Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, sektor awam negeri perlu terus merangsang inisiatif transformasi perkhidmatan awam bagi memastikan kejayaan agenda pembangunan Kerajaan Negeri.

“Kita perlu sentiasa mencari dan melaksanakan program transformasi untuk memperkasa perkhidmatan awam. Ini akan memastikan kami mempunyai pasukan terbaik yang sentiasa mengikuti perkembangan terkini dengan keperluan semasa,” katanya.

Hajiji berkata beliau komited sepenuhnya untuk menyokong sebarang inisiatif yang disasarkan, merencanakan dan memperkukuh penjawat awam negeri atau persekutuan.

“Antara keutamaan ialah memperkukuh integriti dan profesionalisme dalam kalangan penjawat awam, mempertingkat sistem penyampaian kerajaan, menggalakkan budaya kerja produktif, inovasi dan kreativiti serta mewujudkan mekanisme komunikasi strategik supaya semua dasar kerajaan boleh didengar, dilihat dan dirasai oleh rakyat,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Penjawat Awam Negeri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di sini pada Selasa.

Menurut Hajiji, antara pendekatan transformasi yang sedang diambil pada masa ini adalah pembangunan tiga hab data iaitu People Hub, Business Hab dan Hab Geo di bawah Platform Integrasi dan Pertukaran Data (DIIP).

DIIP ialah platform perkongsian data yang memudahkan perkongsian data Government-to-Government (G2G), Government-to-Business (G2B) dan Government-to-Citizen (G2C), yang telah membuka jalan kepada penciptaan Pasaran Digital Sabah untuk merangsang pertumbuhan perniagaan berorientasikan rakyat.

“Saya mengalu-alukan komitmen perkhidmatan awam negeri untuk melaksanakan Good Regulatory Practice (GRP) mulai 2021,” katanya.

Hajiji juga berbangga kerana Sabah telah menerima anugerah Regulatory Champion iaitu “Negeri Aktif Melaksanakan GRP” daripada Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) semasa Persidangan Kebangsaan Amalan Baik Peraturan 2021.

“Transformasi perkhidmatan awam juga merangkumi aspek kebajikan kakitangan, peluang kenaikan pangkat, pengurusan dan persekitaran kerja, penjagaan kesihatan serta perumahan. Semua ini mesti diutamakan,” katanya.

Di bawah rancangan pembangunan SMJ 1.0 (2021-2025), beliau berkata, tanah seluas 136 ekar di Papar daerah telah diperuntukkan untuk pembangunan perumahan penjawat awam.

Beliau juga menyokong penuh inisiatif Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri untuk memperkenalkan Indeks Kegembiraan Organisasi Berprestasi Tinggi (IKOBT), kajian sedang dijalankan kerjasama dengan penyelidik Universiti Malaysia Sabah (UMS).

“Hasil daripada kajian adalah penting dalam merangka strategi yang sesuai untuk merencana transformasi perkhidmatan awam,” katanya.

Sementara itu, Hajiji yang juga Menteri Kewangan Negeri berkata maklum balas positif daripada pihak Sidang Kemuncak Perniagaan dan Ekonomi Antarabangsa Sabah (SIBES) 2022 pada 17-18 Januari membuktikan bahawa pelabur dapat melihat potensi pelaburan di Sabah. Seramai 780 delegasi termasuk 57 dari 15 negara, antaranya duta dari 10 negara menghadiri SIBES dua hari di SICC.

Momentum minat dan keyakinan pelabur terhadap Sabah berterusan selepas SIBES dengan banyak permintaan sesi perjumpaan diterima daripada ahli perniagaan dari luar Sabah serta diplomat asing.

Hajiji mendedahkan bahawa rombongan diplomatik Timur Tengah akan datang menemuinya tidak lama lagi,sebagai susulan kepada pertemuan awal antara mereka di Kuala Lumpur tahun lalu.

“Mereka benar-benar mahu datang ke Sabah untuk melihat sendiri potensi (pelaburan) di sini,” katanya.

Dalam hal ini, beliau menggesa komitmen penuh perkhidmatan awam untuk memastikan langkah itu berkembang Ekonomi Sabah melalui strategi pelaburan negeri akan membuahkan hasil.

]]>
https://sabahmedia.com/2022/01/25/pemerkasaan-perkhidmatan-awam-melalui-inisiatif-transformasi/feed/ 0 11538
Syarikat Korporat Melalui Kerjasama KKR Bantu Mangsa Banjir https://sabahmedia.com/2022/01/05/kerajaan-sabah-prihatin-salur-bantuan-kepada-mangsa-banjir/ https://sabahmedia.com/2022/01/05/kerajaan-sabah-prihatin-salur-bantuan-kepada-mangsa-banjir/#respond Wed, 05 Jan 2022 13:40:56 +0000 https://sabahmedia.com/?p=10747
Read Time:2 Minute, 27 Second

Oleh YUSOF MOHAMAD

KLANG: Syarikat korporat Road Care Sdn. Bhd. dengan kerjasama Pejabat Timbalan Menteri Kerja Raya telah menyumbang sebanyak 50 set bantuan banjir terdiri daripada bantal, selimut dan tilam nipis kepada manga banjir di Sri Muda, Shah Alam pada Rabu.

Penyerahan sumbangan tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kerja Raya Kementerian Kerja Raya (KKR) Datuk Arthur Joseph Kurup dan agensi yang telah giat melaksanakan misi pasca banjir bagi membantu mangsa-mangsa yang terjejas akibat banjir bermula pada 30 Disember 2021- 2 Januari 2022 dengan penglibatan seramai 800 Sukarelawan KKR dan agensi.

Dalam pada itu, Arthur turut berkesempatan mengadakan perjumpaan dengan warga Sabah yang juga terkesan dalam bencana banjir di Klang.

“Kita akan memastikan warga Sabah yang berada di Semenanjung , kebajikan mereka terjaga dalam keadaan yang terbaik.

Arthur (kiri) berbual dengan mangsa banjir warga Sabah di Klang.

“Saya bertemu mereka dan kebanyakan mereka turut mengalami kerosakan rumah dan harta benda akibat dari bencana tersebut, oleh itu saya datang untuk menyampaikan bantuan barang keperluan seperti bantal, tilam dan selimut untuk meringankan serba sedikit beban yang mereka tanggung,” kata Arthur semasa mengadakan perjumpaan dan menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir warga Sabah di Klang petang tadi.

Menurut Arthur, kementeriannya mula mengaktifkan operasi pemantauan semasa bencana banjir itu berlaku dinaikkan ke peringkat ketiga iaitu pemantauan selama 24 jam bagi membantu koordinasi kepada agensi-agensi keselamatan.

“Apabila bencana banjir itu berlaku, kita telah banyak menumpukan operasi menyelamat dan syukur secara perlahan air telah surut kini kita beralih kepada fasa pembersihan dan pembaikan.

“Daripada pihak Kementerian Kerja Raya antara agensi utamanya ialah Jabatan Kerja Raya (JKR), kita mengenalpasti sebanyak 895 kerosakan terdiri daripada jalan, jambatan dan cerun malah ada beberapa jalan utama yang terputus, pihak JKR segera membuat jalan alternatif lain memastikan perhubungan masyarakat tidak terputus untuk mendapatkan keperluan asas.

“Pembaikan jalan adalah secara berfasa untuk membolehkan ia digunakan dalam masa terdekat namun dalam masa jangka panjang pembaikan adalah lebih baik untuk mengurangkan risiko bencana berkemungkinan berlaku masa akan datang,”katanya.

Dalam perkembangan lain, Arthur yang juga Ahli Parlimen Pensiangan turut berkongsi kegembiraan menyatakan pembinaan dua projek besar yang telah dilaksanakan di kawasan beliau.

“Pertama, projek pengaspalan jalan sepanjang 56 kilometer dari Sepulut ke Salong sehingga ke Pekan Pagalungan. Projek Ini akan mengubah taraf hidup penduduk di mukim-mukim dan daerah terbabit yang tidak terkecuali dalam arus pembangunan dan infrastruktur asas walaupun dalam kawasan pedalaman yang terpencil.

“Kedua, projek menaik taraf Jalan Sinaron di Sook, Keningau ke Linayukan di Tongod sepanjang 40 kilometer yang akan menjadi pemangkin pembangunan ekonomi dan menggalakkan sektor pertanian serta pelancongan setempat di sepanjang jajaran jalan berkenaan.

“Manakala kawasan Pensiangan akan mendapat 46 menara telekomunikasi yang baharu di bawah program Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang dimulakan pada tahun lalu dan dijangka siap pelaksanaannya pada penghujung tahun ini, ianya akan membantu masyarakat luar bandar untuk mengikuti perkembangan dan pembangunan era moden walaupun dalam norma baharu serta memudahkan anak-anak akses dalam pembelajaran dan mereka yang menjalankan perniagaan atas talian,” ujar Arthur.

]]>
https://sabahmedia.com/2022/01/05/kerajaan-sabah-prihatin-salur-bantuan-kepada-mangsa-banjir/feed/ 0 10747
4,864 Orang Berjaya Peroleh Pekerjaan Atas Inisiatif Kerajaan Melalui PERKESO https://sabahmedia.com/2021/10/24/4864-orang-berjaya-peroleh-pekerjaan-atas-inisiatif-kerajaan-melalui-perkeso/ https://sabahmedia.com/2021/10/24/4864-orang-berjaya-peroleh-pekerjaan-atas-inisiatif-kerajaan-melalui-perkeso/#respond Sun, 24 Oct 2021 04:39:44 +0000 https://sabahmedia.com/?p=7854
Read Time:2 Minute, 14 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

TUARAN: Seramai 4,864 orang di negeri ini telah berjaya memperolehi pekerjaan dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini atas inisiatif bantuan kerajaan melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, seramai 7,141 rakyat Sabah juga telah berjaya kembali bekerja berdasarkan statistik yang dikeluarkan PERKESO Sabah pada tahun 2020.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor (tiga dari kanan) menyerahkan faedah PERKESO (sistem insurans pekerjaan) kepada salah seorang penerima di majlis itu.

“Jelaslah bahawa inisiatif yang diberikan oleh pihak kerajaan melalui PERKESO di bawah program PEMULIH memberi impak yang positif, sekali gus dapat membantu mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan rakyat.

“Ini merupakan satu langkah yang amat baik dalam proses negara memulihkan dan merancakkan kembali ekonomi negara,” kata Hajiji ketika merasmikan Karnival Kerjaya Urban Poor Peringkat Negeri Sabah Tahun 2021 di Dataran Astaka Padang Tuaran, hari ini.

Program Karnival Kerjaya Urban Poor peringkat negeri Sabah 2021 Daerah Tuaran ini, adalah yang pertama dan karnival seumpama ini akan diteruskan secara berperingkat ke daerah luar bandar di Sabah.

Hajiji berkata, kerajaan sememangnya sudah bersedia berhadapan dengan isu pemberhentian kerja dan pengangguran ketika negara sedang menghadapi pandemik COVID-19.

“Kerajaan juga telah mengambil langkah proaktif tanpa menunggu keadaan menjadi bertambah serius. Dalam tempoh Pandemik COVID-19 bermula Mac 2020 hingga September 2021, PERKESO Sabah telah berjaya menganjurkan sebanyak 307 aktiviti temuduga, iaitu 267 temuduga secara maya dan 40 aktiviti secara fizikal yang dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai industri dan majikan.

“Selain itu, bagi memudahkan lagi proses temuduga dalam talian, PERKESO Sabah telah mengadakan kerjasama strategik dengan Pusat Internet Desa bagi memastikan capaian internet untuk pencari kerja di luar bandar dapat diakses dengan mudah. Usaha ini bagi membantu pencari kerja di kawasan luar bandar,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji berkata sejajar dengan pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya, PERKESO telah menjalin kolaborasi strategik bersama kerajaan negeri dalam membantu menstabilkan dan menguruskan hal berkaitan pasaran buruh menerusi aktiviti perkhidmatan pekerjaan yang dilaksanakan secara berterusan.

“Saya melihat usaha ini akan membantu lebih ramai belia dan lepasan sekolah di negeri ini untuk mendapat peluang pekerjaan termasuk dalam pelbagai sektor industrii,” katanya.

Menurut Hajiji, terdapat lebih 1,000 kekosongan jawatan menanti dan 15 buah majikan mengambil bahagian dalam program temuduga sempena Karnival Kerjaya Urban Poor itu.

“Ini adalah antara inisiatif kerajaan melalui PERKESO dalam membantu rentan bandar, khususnya golongan B40 berkaitan menyediakan peluang carian pekerjaan dan penempatan kerja dalam kalangan belia lepasan sekolah, graduan dan pekerja yang kehilangan pekerjaan,” katanya sambil berharap pencari kerja akan mengambil peluang menyertai mana-mana karnival yang dianjurkan oleh PERKESO.

Karnival Kerjaya Urban Poor anjuran PERKESO Sabah adalah penganjuran yang kedua, selepas Karnival e-Kerjaya PERKESO Negeri Sabah pada 25 September lalu.

]]>
https://sabahmedia.com/2021/10/24/4864-orang-berjaya-peroleh-pekerjaan-atas-inisiatif-kerajaan-melalui-perkeso/feed/ 0 7854
MID Melalui SEDCO Wujudkan Arked Perniagaan Sungai Manila https://sabahmedia.com/2021/08/20/mid-melalui-sedco-wujudkan-arked-perniagaan-sungai-manila/ https://sabahmedia.com/2021/08/20/mid-melalui-sedco-wujudkan-arked-perniagaan-sungai-manila/#respond Fri, 20 Aug 2021 07:50:13 +0000 https://sabahmedia.com/?p=4932
Read Time:1 Minute, 3 Second

SANDAKAN: Kementerian Pembangunan Perindustrian (MID) melalui Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) telah mewujudkan sebuah Arked Perniagaan Sungai Manila di Pekan Muhibbah dekat sini.

Menteri Pembangunan Perindustrian, Datuk Dr. Jochim Gunsalam berkata, bangunan arked perniagaan ini terbahagi kepada beberapa jenis lot iaitu gerai makan, pelbagai barangan, pasar mini, pasar ikan dan daging serta lot untuk sayur dan buah-buahan.

“Arked perniagaan ini mempunyai keluasan sejumlah 3.55 ekar manakala jarak pekan ini daripada bandar Sandakan ialah 28 kilometer dan kos projek ialah sebanyak RM6 juta,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dr. Joachim berkata, ini adalah selaras dengan matlamat Kerajaan Negeri untuk terus memajukan kawasan luar bandar. Arked baharu ini lebih menjamin keselesaan dan keselamatan peniaga yang berniaga di sini.

“Kedai baharu ini akan memberikan kemudahan kepada semua penduduk sekitar dan pada masa yang sama ia akan menggantikan gerai-gerai lama. Selain itu, perwujudan arked perniagaan ini juga secara tidak langsung dapat meningkatkan taraf ekonomi penduduk di sini,” tambahnya.

Menurutnya, lot kedai tersebut masih belum dibuka untuk permohonan penyewaan kerana ia masih berada dalam proses perbincangan di antara pihak SEDCO dan Majlis Perbandaran Sandakan.

Bagaimanapun beliau meminta mereka yang berminat untuk berniaga di arked perniagaan ini agar menunggu pengumuman yang akan dibuat tidak lama lagi.

]]>
https://sabahmedia.com/2021/08/20/mid-melalui-sedco-wujudkan-arked-perniagaan-sungai-manila/feed/ 0 4932
Zahir Rasa Cinta Negara Melalui Kibaran Jalur Gemilang https://sabahmedia.com/2021/08/08/zahir-rasa-cinta-negara-melalui-kibaran-jalur-gemilang/ https://sabahmedia.com/2021/08/08/zahir-rasa-cinta-negara-melalui-kibaran-jalur-gemilang/#comments Sun, 08 Aug 2021 05:50:19 +0000 https://sabahmedia.com/?p=4272
Read Time:1 Minute, 12 Second

KOTA KINABALU: Orang ramai disaran menzahirkan rasa cinta kepada negara dengan mengibarkan Jalur Gemilang.

Pengarah Penerangan Sabah, Nadzerah Abdullah berkata, langkah itu sebagai pencetus semangat  patriotisme dalam kalangan masyarakat khususnya di Sabah.

“Sempena bulan kebangsaan ini, kibaran Jalur Gemilang di rumah, pejabat mahupun di premis perniagaan dan kenderaan akan menyemarakkan lagi semangat kemerdekaan.

“Bagi sambutan kempen kibar Jalur Gemilang, Jabatan Penerangan Sabah melalui 25 daerah akan mengagihkan bendera kepada masyarakat untuk dikibarkan.

“Di samping itu, pelbagai program juga akan dianjurkan Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) bagi memupuk rasa cinta negara seperti kempen komuniti merdeka, pidato kenegaraan dan pertandingan keceriaan yang dilaksanakan sehingga bulan September ini,” jelas beliau.  

Beliau ditemui media dalam Program Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Kementerian 2021 di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), pada Sabtu.

Program tersebut merupakan anjuran bersama serta agensi di bawah KKMM iaitu Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

Ujar beliau, sepanjang sambutan bulan kebangsaan yang bermula 1 Ogos hingga 16 September, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) melalui Info On Wheels (IOW) juga akan terus dilaksanakan di setiap daerah.

“Melalui IOW, JaPen bukan sahaja terlibat secara langsung dalam program jangkauan luar, malah medium ini juga akan digunakan untuk menyebarkan kempen tersebut seterusnya menanam semangat patriotisme dalam jiwa masyarakat,” katanya lagi.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Penyiaran Sabah (RTM), Nor’ain Bakir dan wakil-wakil agensi KKMM. – Penerangan

]]>
https://sabahmedia.com/2021/08/08/zahir-rasa-cinta-negara-melalui-kibaran-jalur-gemilang/feed/ 1 4272