KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah komited memperkasa penyertaan wanita muda dalam bidang keusahawanan sebagai sebahagian daripada strategi pembangunan ekonomi yang inklusif dan mampan di negeri ini.
Sehubungan itu, Institut Kajian Pembangunan (Sabah) atau IDS dan Perbadanan Pinjaman Sabah (SCC), dengan kerjasama Pejabat Daerah Beaufort, akan menganjurkan Program Memperkasa Usahawan Wanita Muda Sabah: Kuasa Wanita, Kuasa Ekonomi pada Sabtu ini, 26 April 2025, bertempat di Dewan Pa’ Musa, Beaufort.
Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif berterusan Memperkasa Usahawan Wanita Muda yang bertemakan Let the Journey Begin, yang telah dilancarkan secara rasmi pada 26 Februari lalu.
Inisiatif tersebut adalah hasil kerjasama strategik IDS dan SCC bagi memperluas akses kepada pembiayaan, bimbingan, latihan dan strategi pemasaran – selaras dengan komitmen Kerajaan Negeri memperkukuh peranan wanita dalam pembangunan ekonomi.
Menurut Ketua Eksekutif IDS, Datuk Ts. Dr. Ramzah Dambul, pemberdayaan wanita muda dalam bidang keusahawanan adalah antara strategi penting ke arah pembangunan mampan negeri ini.
“Melalui program ini, IDS komited membina ekosistem sokongan yang inklusif bagi merangsang inovasi tempatan dan melahirkan generasi usahawan wanita yang berdaya saing, berpengetahuan dan berwawasan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, pendekatan holistik yang diambil bukan sahaja membuka ruang kepada pembelajaran dan kerjasama, malah turut menyumbang secara signifikan kepada kemajuan sosioekonomi negeri.
Antara objektif utama program termasuk mewujudkan rangkaian usahawan muda, meningkatkan kesedaran terhadap peluang sokongan perniagaan yang tersedia, serta memperkukuh literasi digital dalam kalangan wanita luar bandar.
Program ini dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan keusahawanan luar bandar, khususnya dalam kalangan wanita muda sejajar dengan aspirasi negeri menuju ekonomi yang inklusif, progresif dan mampan.
Untuk maklumat lanjut mengenai program ini, orang ramai boleh menghubungi Penyelaras Program, Royaini Matusin, menerusi e-mel [email protected] atau telefon 088-450 000.
]]>SEMPORNA: Kerajaan negeri akan terus komited memperkasa pencapaian wanita di peringkat akar umbi untuk membolehkan mereka turut menyumbang kepada kemajuan dan pembangunan di negara ini.
Ketua Wanita Gagasan Rakyat Sabah, Datuk Redonah Bahanda berkata, pelbagai program dan gerak kerja telah dan sedang dilakukan dalam memastikan golongan berkenaan dapat diberi peluang yang ada. Contohnya program Akademik Kepimpinan Wanita Muda (AkWan)yang dianjur ole Majlis Pembangunan Wanita Sabah dan Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah.
Menurut beliau, adalah penting kepada semua pihak untuk bekerjasama dan menggembleng tenaga bersama kerajaan negeri bagi meningkatkan keupayaan golongan wanita di Sabah ini.
“Hari ini kita lihat penguasaan politik wanita mencatat skor terendah, iaitu 0.1 yang menunjukkan wanita masih jauh ketinggalan berbanding lelaki dalam jawatan menteri dan Ahli Parlimen serta Adun.
“Hakikatnya wanita membentuk 48.5 peratus daripada keseluruhan 32.7 juta penduduk negara.
“Sekiranya potensi diupayakan sepenuhnya, mereka mampu menyumbang dan menyertai usaha pembangunan dalam aspek ekonomi, politik, budaya serta sosial dengan lebih efektif,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa perjumpaan Wanita Gagasan Rakyat Sabah Parlimen Semporna di Dewan Fook Siew Semporna baru-baru ini.
Hadir sama Naib Ketua Wanita Gagasan Rakyat, Aziah Atoh, Ketua Penerangan, Anna Bell Perian, Penolong Bendahari, Datuk Jamaliah Antalip, Penyelaras Semporna/Lahad Datu Saridah Abd Lakata,Penyelaras Kalabakan/Tawau Maria Wahaya, ketua-ketua Wanita Gagasan Rakyat Parlimen Semporna, ketua-ketua bahagian serta ahli jawatankuasanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, perkara asas yang paling penting hari ini ialah meningkatkan kesedaran dalam kalangan wanita sendiri betapa mereka perlu bersedia untuk berubah dan meningkatkan pencapaian diri sendiri.
Katanya, pencapaian itu sama ada dalam bentuk ilmu pengetahuan dan juga kemahiran kerana tanpa kedua-dua faktor tersebut sukar bagi seseorang untuk bergerak maju ke hadapan.
“Sebab itu dalam apa juga program dan gerak kerja, elemen terpenting ialah memberi mereka peluang menambah ilmu khususnya dalam bidang keusahawan.
“Terlalu banyak peluang yang mereka boleh rebut meskipun berada jauh di pedalaman kerana perniagaan dan keusahawanan itu tidak semestinya berada di bandar,” ujarnya
Redonah turut berharap untuk melahirkan lebih ramai kepemimpinan wanita dalam politik dan pelbagai peringkat lain khususnya sektor korporat dalam proses membuat keputusan.
“Inilah masanya usaha pemerkasaan wanita perlu diberikan perhatian mendalam. Kita perlu melakukannya. Saya memerlukan sokongan anda,” tegas beliau.
Redonah juga turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor kerana menghargai jasa dan peranan wanita khasnya dalam pentadbiran dan pengurusan sesebuah organisasi.
Katanya, peluang dan kepercayaan yang diberikan oleh Hajiji kepada wanita adalah menggambarkan bahawa beliau merupakan seorang pemimpin yang berfikiran terbuka dan tidak membezakan peranan jantina dalam urusan pentadbiran.
“Ini adalah kepercayaan daripada Ketua Menteri kita, kerana melantik wanita sebagai Datuk Bandar Kota Kinabalu yang pertama kali dalam sejarah dan Datuk Nor Asiah Mohd Yusof pula dilantik sebagai Peguam negeri.
“Inilah bukti bahawa Ketua Menteri kita tidak memandang perbezaan jantina dan berfikiran terbuka dalam menerima peranan dan penglibatan wanita, khasnya yang pertama kali bagi jawatan tersebut,” katanya.
]]>KOTA KINABALU: Kira-kira 200 peserta wakil daripada negeri-negeri di Malaysia menyertai Expo Usahawan Wanita Antarabangsa Malaysia Sabah (Sabah International Women Entreprenuer Expo (SIWE 2022) di Sabah International Convention Centre (SICC) dekat sini, hari ini.
SIWE 2022 dirasmikan oleh isteri Ketua Menteri Sabah, Datin Seri Juliah Salag.

Expo kali kedua itu dianjurkan oleh Persatuan Industri Kecil Sederhana Usahawan Wanita Bumiputera Sabah (IKSnita Sabah), mempamerkan pelbagai perkhidmatan dan produk dari Sabah, Sarawak, Pulau Pinang, Perlis, Kedah, Johor, Terengganu dan lain-lain.
Expo selama tiga hari itu diadakan bertujuan memperkasa potensi golongan wanita sebagai usahawan bergerak maju ke depan, dalam merancakkan ekonomi keluarga dan negara, selaras dengan hala tuju “Sabah Maju Jaya”.
Juliah yang juga Yang Di-Pertua MUTIARA GRS turut meluangkan masa melawat booth pameran pelbagai produk dan perkhidmatan.
Antara agensi kerajaan yang turut serta dalam expo itu ialah Lembaga Pertubuhan Peladang Sabah, Lembaga Koko Malaysia, Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang, Mintred Sarawak, Lembaga Pertubuhan Peladang Kedah, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi), Risda, Fama dan lain-lain.
]]>