merotai – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Sat, 22 Nov 2025 10:42:17 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.0.2 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png merotai – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 PH lancar Manifesto DUN Merotai: ‘Demi Merotai Sejahtera’, fokus pembangunan Pekan Baharu https://sabahmedia.com/2025/11/22/ph-lancar-manifesto-dun-merotai-demi-merotai-sejahtera-fokus-pembangunan-pekan-baharu/ https://sabahmedia.com/2025/11/22/ph-lancar-manifesto-dun-merotai-demi-merotai-sejahtera-fokus-pembangunan-pekan-baharu/#respond Sat, 22 Nov 2025 10:42:11 +0000 https://sabahmedia.com/?p=86724
Read Time:2 Minute, 31 Second

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

TAWAU: Pakatan Harapan (PH) Merotai hari ini melancarkan manifesto bertemakan ‘Demi Merotai Sejahtera’, dengan tumpuan utama kepada pembangunan pekan baharu Merotai, penyelesaian isu infrastruktur dan peningkatan taraf ekonomi rakyat, khususnya golongan belia.

Calon PH bagi DUN Merotai, Datuk Ruji Ubi, berkata pembangunan Merotai perlu digerakkan secara terancang dan menyeluruh, dengan memberi keutamaan kepada aspek perumahan, ekonomi serta keperluan asas penduduk.

Menurutnya, cadangan pembinaan pekan baharu Merotai akan lebih mudah direalisasikan melalui kerjasama dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pihak ladang di kawasan sekitar.

“Paling mudah ialah kita berbincang dengan pihak estet kerana kampung-kampung di Merotai dikelilingi ladang. Kawasan Gayathri ini GLC punya, jadi lebih cepat untuk kita rancang. Mereka pun ada pemaju sendiri,” katanya pada sidang media di kediamannya di Kampung Haji Mathair di sini, hari ini.

Ruji Ubi (tengah) menjelaskan manifesto PH Merotai dalam sidang media di kediaman beliau. Foto Sitti Nor Azizah Talata

Ruji berkata, beliau sudah memulakan rundingan awal melibatkan isu akses jalan dan bekalan elektrik di Kampung Haji Mathair Laut yang tidak pernah menikmati talian elektrik sejak merdeka.

Mengulas lanjut mengenai pembangunan pekan baharu Metorai, Beliau menjelaskan perancangan jangka sederhana untuk membangunkan pekan baharu dengan melibatkan penyerahan atau pertukaran sebahagian tanah GLC, selain mencari penyelesaian terhadap bangunan di kawasan Merotai Point yang terjejas akibat isu tapak.

“Saya tidak boleh pergi terlalu detail, tetapi cara paling mudah ialah rundingan dengan GLC. Kita perlu fikir lima tahun ke depan, bukan hanya apa yang ada sekarang,” ujarnya.

Dengan pengalaman menguruskan projek pembangunan bermasalah sebelum ini, termasuk SMK Titingan dan SMK Tandek 2, beliau yakin mampu menggerakkan projek pekan baharu Merotai jika diberi mandat.

Dalam pada itu, Ruji turut memberi fokus kepada peningkatan taraf hidup penduduk melalui pematuhan gaji minimum serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

“Ada syarikat masih bayar gaji harian. Kalau pendapatan kurang RM1,700, itu sudah bercanggah dengan Akta Pekerjaan. Kita perlu engage dengan majikan untuk pastikan pekerja dibayar gaji minimum. Ini penting untuk belia kita,” tegasnya.

Selain itu, katanya pendekatan radikal diperlukan untuk menyelesaikan isu air, elektrik dan jalan raya yang berlarutan di Sabah.

“Kita tidak boleh guna pendekatan biasa. Kita perlukan Special Purpose Vehicle (SPV), Dana Infra untuk air, jalan dan elektrik, ditadbir secara profesional dan telus, sama seperti model pelaksanaan MRT dan ECRL,” katanya.

Cadangan itu termasuk menerbitkan sukuk melalui anak syarikat kerajaan untuk mempercepatkan pembinaan infrastruktur penting.

Mengulas kritikan berhubung sentimen “Sabah for Sabahan”, Ruji menegaskan bahawa kerjasama erat dengan kerajaan Persekutuan adalah kunci kemajuan negeri.

“Kalau kita mahu maju, Sabah for Malaysia. Sabah tetap ditadbir oleh orang Sabah, dan ramai anak Sabah berjaya di peringkat pusat. Peruntukan besar datang dari Kerajaan Malaysia, jadi kita mesti bekerja bersama, bukan berpecah,” katanya.

Ditanya mengenai spekulasi beliau sebagai calon Ketua Menteri, Ruji mengulangi pendirian bahawa perkara itu hanyalah khabar angin.

“Itu spekulasi. PH bertanding 12 kerusi sahaja. Fokus saya ialah dasar dan pelaksanaan, bukan jawatan,” katanya.

Beliau berkata pengalaman sebagai Ketua Setiausaha Kementerian sebelum ini membolehkannya memahami kedua-dua aspek penggubalan dasar dan pelaksanaan projek, dan bersedia menyumbang jika dipilih sebagai ADUN Merotai.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/11/22/ph-lancar-manifesto-dun-merotai-demi-merotai-sejahtera-fokus-pembangunan-pekan-baharu/feed/ 0 86724
Ruji janji transformasi Merotai dengan kemudahan rekreasi https://sabahmedia.com/2025/11/16/ruji-janji-transformasi-merotai-dengan-kemudahan-rekreasi/ https://sabahmedia.com/2025/11/16/ruji-janji-transformasi-merotai-dengan-kemudahan-rekreasi/#respond Sun, 16 Nov 2025 08:33:13 +0000 https://sabahmedia.com/?p=86047
Read Time:1 Minute, 54 Second

TAWAU: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merotai, Datuk Ruji Ubi menegaskan komitmennya untuk mewujudkan pusat rekreasi khusus bagi golongan belia sekiranya diberi mandat dalam pilihan raya kali ini.

Beliau berkata, penyediaan kemudahan riadah amat diperlukan ketika ini memandangkan anak muda di beberapa kawasan termasuk Bombalai, Kijang, Kuala Merotai, Taman Semarak dan Hot Spring tidak mempunyai kawasan rekreasi yang terancang.

“Belia di Merotai serta kawasan sekitarnya sangat aktif, namun mereka tidak mempunyai pusat rekreasi. Jika di bandar Tawau terdapat kompleks sukan dan taman perumahan yang lengkap, kawasan luar bandar seperti ini masih kekurangan kemudahan sedemikian.

“Sekiranya diberi peluang dalam tempoh lima tahun, kita akan berusaha mewujudkan kawasan riadah untuk manfaat golongan belia. Kosnya tidak terlalu besar, asalkan terdapat kawasan lapang yang boleh dinaik taraf,” katanya ketika ditemui dalam program Walkabout di Pasar Hot Spring dan Pasar Sin Onn, di sini, hari ini.

Ruji berkata, inisiatif tersebut adalah sebahagian daripada aspirasinya untuk memastikan pembangunan Merotai selaras dengan kemajuan kawasan lain di Tawau.

Mengulas mengenai gerak kerja kempen hariannya, beliau berkata, sekurang-kurangnya 15 program dilaksanakan setiap hari bagi mendekati penduduk dan memperkenalkan dirinya sebagai calon.

“Sambutan sangat menggalakkan. Ada yang saya temui dua atau tiga kali. Saya meminta mereka agar memberikan sokongan jika mahu melihat perubahan khususnya di Merotai dan Hot Spring,” ujarnya.

Dalam masa sama, Ruji turut menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pelbagai bantuan yang disalurkan kepada Sabah, dan berharap kerjasama baik itu dapat diteruskan.

Menurut beliau, beberapa aduan berkaitan infrastruktur turut diterima sepanjang walkabout, dan perkara itu telah dirujuk kepada Ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) Hot Spring untuk tindakan lanjut.

“Ada aduan yang sudah begitu lama tidak diperbaiki. Inilah kepentingan turun padang, untuk mengenal pasti masalah dan membawa perkara ini kepada pihak berwajib,” katanya.

Mengulas lebih lanjut, Ruji turut menyatakan hasrat untuk mentransformasikan pekan Merotai sebagai sebuah bandar baharu sekiranya diberi kepercayaan oleh pengundi.

“Tujuan saya bertanding adalah untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuan yang saya peroleh ketika memimpin di kementerian. Saya mahu Merotai dibangunkan sebagai pekan baharu yang lebih tersusun,” jelasnya.

Beliau yakin pembangunan pusat rekreasi dan usaha pembangunan lain mampu direalisasikan dengan lebih cepat sekiranya wakil rakyat yang dipilih sehaluan dengan kerajaan Persekutuan.

Katanya, kemudahan berkenaan penting untuk menyediakan ruang beriadah kepada belia serta menyumbang kepada peningkatan kualiti hidup penduduk setempat.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/11/16/ruji-janji-transformasi-merotai-dengan-kemudahan-rekreasi/feed/ 0 86047
PRU Sabah : Ruji tolak gelaran ‘Heavyweight’, tekankan peluang calon adalah sama https://sabahmedia.com/2025/11/16/pru-sabah-ruji-tolak-gelaran-heavyweight-tekankan-peluang-calon-adalah-sama/ https://sabahmedia.com/2025/11/16/pru-sabah-ruji-tolak-gelaran-heavyweight-tekankan-peluang-calon-adalah-sama/#respond Sun, 16 Nov 2025 01:10:39 +0000 https://sabahmedia.com/?p=85997
Read Time:1 Minute, 50 Second

Oleh Ahmad Husnayan

TAWAU: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merotai, Datuk Ruji Ubi, menegaskan beliau tidak melihat dirinya sebagai calon ‘heavyweight’ meskipun namanya sering disebut sedemikian dalam gelanggang pilihan raya kali ini.

Sebaliknya, katanya, setiap calon mempunyai peluang sama rata dan kemenangan bergantung kepada penerangan dasar serta keyakinan pengundi terhadap kemampuan seseorang calon membawa pembangunan kepada rakyat.

“Mungkin orang melihat begitu kerana saya diminta bersara awal dan kembali ke kampung, lalu diletakkan di Merotai.

“Tapi bagi saya, semua calon ada peluang sama. Yang penting ialah bagaimana kita menjelaskan dasar, keadaan kerajaan dan trek rekod saya semasa menerajui tiga kementerian serta satu agensi pusat sebelum ini,” katanya ketika ditemui selepas proses penamaan calon, semalam.

Ruji berkata, walaupun ada pihak mendakwa beliau ‘baru turun padang’, hakikatnya sepanjang berkhidmat sebagai pegawai kerajaan, beliau sentiasa turun ke lapangan di seluruh negara termasuk Merotai, Kalabakan dan Tawau.

“Sebenarnya, sejak dalam kerajaan lagi saya memang kerap turun padang. Jadi label calon heavyweight itu bukan keutamaan.

“Apa yang penting ialah komitmen dan apa yang saya ingin bawa kepada rakyat dalam lima tahun akan datang,” katanya.

Mengulas proses penamaan calon, Ruji berkata kehadiran penyokong daripada semua parti cukup meriah sekali gus mencerminkan kematangan politik rakyat Sabah.

“Kita raikan demokrasi pilihan raya kali ini. Harapan kita, semua proses daripada penamaan calon, kempen dan hari mengundi pada 29 November berjalan lancar,” katanya.

Beliau turut mengajak rakyat membuat pilihan yang mampu membawa Sabah melonjak lebih jauh dalam tempoh lima tahun akan datang.

Ruji, yang memilih untuk bersara awal sebelum berpolitik, berkata keputusan kembali ke kampung halamannya dibuat kerana beliau mahu menyumbang pengalaman dan kepakaran dalam bidang pembangunan, sumber manusia dan pentadbiran untuk masa depan Sabah.

“Saya ada misi yang jelas. Saya balik kampung kerana mahu mencurah pengalaman saya kepada negeri ini. Saya mohon agar pengundi Merotai membuka hati memilih saya untuk terus berkhidmat,” katanya.

Beliau berkata, sokongan terhadapnya semakin kukuh apabila PH, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan bersetuju memberikan komitmen untuk membantu jentera di Merotai.

“Alhamdulillah, Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) bersama kita, GRS bersama kita dan parti Kerajaan Perpaduan juga bersama kita. Mereka memberi komitmen untuk hadapi PRU17 Sabah ini secara satu pasukan,” katanya. – SABAH MEDIA

]]>
https://sabahmedia.com/2025/11/16/pru-sabah-ruji-tolak-gelaran-heavyweight-tekankan-peluang-calon-adalah-sama/feed/ 0 85997
Ruji sedia jadi jambatan Merotai ke Putrajaya https://sabahmedia.com/2025/11/02/ruji-sedia-jadi-jambatan-merotai-ke-putrajaya/ https://sabahmedia.com/2025/11/02/ruji-sedia-jadi-jambatan-merotai-ke-putrajaya/#respond Sun, 02 Nov 2025 01:16:57 +0000 https://sabahmedia.com/?p=84742
Read Time:2 Minute, 2 Second

Oleh Ahmad Husnayan

TAWAU: Bekas Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Ruji Ubi, menyatakan kesediaannya menjadi jambatan penghubung antara Merotai dan Putrajaya bagi memastikan rakyat di kawasan itu menikmati manfaat secara langsung daripada dasar dan peruntukan kerajaan Persekutuan.

Ruji yang disebut-sebut bakal mewakili Pakatan Harapan (PH) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Merotai, menegaskan beliau sudah bersedia sepenuhnya dari segi mental dan fizikal untuk menghadapi pilihan raya negeri akan datang.

“Saya ingin menjadi jambatan Merotai ke Putrajaya. Peluang seperti ini bukan selalu ada, maka rakyat Merotai perlu mengambil kesempatan untuk bersama kerajaan demi pembangunan kawasan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri program ramah mesra bersama komuniti di Hot Spring, di sini, malam tadi. Program itu turut dihadiri Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.

Menurutnya, fokus utama ketika ini adalah memastikan kemenangan calon kerajaan perpaduan di DUN Merotai bagi membolehkan pelaksanaan projek dan peruntukan pembangunan yang telah diluluskan kerajaan Persekutuan dapat diterjemahkan dengan lebih berkesan di peringkat negeri.

“Yang penting bukan hanya jumlah peruntukan yang diluluskan, tetapi pelaksanaannya.

“Dengan pengalaman saya sebagai KSU di tiga kementerian dan Ketua Pengarah di satu agensi, saya yakin mampu membantu mempercepat pelaksanaan projek yang diluluskan oleh Perdana Menteri untuk tahun hadapan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sejak tiga bulan lalu, beliau giat turun padang menyantuni masyarakat di seluruh kawasan DUN Merotai dan mendapati sambutan yang diterima amat positif.

“Alhamdulillah, semua masjid dan pasar dalam DUN Merotai sudah saya lawati. Sambutan sangat baik dan keyakinan saya semakin meningkat.

“Walaupun ada yang menganggap saya orang baharu, sebenarnya saya sudah lama turun ke lapangan termasuk ketika menjadi Pengarah Pembangunan Negeri Sabah,” katanya.

Ruji berkata, momentum sokongan di enam Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang telah dilawatinya semakin meningkat dan beliau berharap semangat itu dapat dikekalkan sehingga hari penamaan calon.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di kawasan berkenaan juga berada pada tahap terbaik dengan beberapa mesyuarat dan program dilaksanakan secara bersama.

“Setakat ini, kerjasama sangat baik dalam kalangan parti komponen kerajaan perpaduan. Kehadiran Perdana Menteri ke Merotai bulan lalu turut memberi isyarat jelas terhadap keyakinan kepimpinan pusat terhadap kawasan ini,” katanya.

Mengulas mengenai spekulasi kononnya beliau antara calon utama untuk jawatan penting di peringkat negeri, Ruji menegaskan tumpuannya kini adalah memastikan kemenangan di Merotai terlebih dahulu.

“Yang penting ketika ini ialah memastikan kerusi Merotai dimenangi dan menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri Sabah pada pilihan raya ke-17 ini,” katanya. – SABAH MEDIA

]]>
https://sabahmedia.com/2025/11/02/ruji-sedia-jadi-jambatan-merotai-ke-putrajaya/feed/ 0 84742