mof – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Sun, 05 Jul 2026 06:39:36 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.0.2 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png mof – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 MOF sedia kerjasama dengan kerajaan negeri tambah baik mekanisme penyasaran subsidi https://sabahmedia.com/2026/07/05/mof-sedia-bekerjasama-dengan-kerajaan-negeri-tambah-baik-penyasaran-subsidi/ https://sabahmedia.com/2026/07/05/mof-sedia-bekerjasama-dengan-kerajaan-negeri-tambah-baik-penyasaran-subsidi/#respond Sun, 05 Jul 2026 03:35:34 +0000 https://sabahmedia.com/?p=99353
Read Time:3 Minute, 10 Second

Oleh Normimie Diun

PAPAR: Kementerian Kewangan (MOF) sedia bekerjasama dengan semua kerajaan negeri bagi menambah baik mekanisme penyasaran subsidi supaya bantuan kerajaan dapat disalurkan dengan lebih tepat kepada rakyat yang benar-benar layak, selain memastikan tiada golongan yang tercicir daripada menerima manfaat yang disediakan.

Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kerjasama itu penting kerana kerajaan negeri lebih memahami keperluan dan situasi rakyat di peringkat akar umbi, sekali gus dapat membantu kerajaan Persekutuan menambah baik mekanisme sedia ada melalui maklum balas yang diberikan.

Beliau berkata, matlamat utama penyasaran subsidi adalah mengurangkan ketirisan supaya subsidi benar-benar sampai kepada golongan yang layak, bukannya mereka yang tidak sepatutnya menerima bantuan.

“Pendekatan pelaksanaannya juga sama penting. Sebab itu kita sentiasa mendengar maklum balas daripada rakyat dan kerajaan negeri. Jika ada perkara yang boleh diperbaiki, kerajaan akan melihat kaedah terbaik untuk menambah baik mekanisme sedia ada.

“Alhamdulillah, setakat ini pelaksanaan subsidi diesel berjalan lancar tanpa sebarang gangguan. Kita juga akan terus bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi memastikan tiada rakyat yang tercicir daripada menerima manfaat yang sepatutnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Mikro Kredit Turun Padang di Pasar Tamu Papar, di sini, Ahad.

Program berkenaan diselaraskan oleh Bank Simpanan Nasional (BSN) sebagai agensi peneraju dengan kerjasama lima agensi lain bagi memperluaskan akses pembiayaan mikro kepada usahawan dan peniaga kecil.

Mengulas mengenai pelaksanaan subsidi diesel bersasar, Amir Hamzah berkata kerajaan telah menambah baik mekanisme sedia ada dengan meningkatkan kuota subsidi daripada 200 liter kepada 300 liter sebulan bagi pemohon yang layak.

Menurutnya, sehingga semalam hampir 200,000 pemilik kenderaan diesel di seluruh negara telah memohon dan diluluskan untuk menerima kuota tambahan tersebut.

Beliau berkata, kerajaan turut memperluaskan kelayakan kepada pemilik kenderaan jenis pikap dan jip kerana memahami kenderaan itu banyak digunakan oleh peniaga kecil untuk mengangkut barangan, peralatan serta penumpang bagi menjalankan aktiviti ekonomi.

Selain itu, katanya, kerajaan turut memberi kelonggaran terhadap syarat pemilikan kenderaan dengan membenarkan kuota subsidi dipindahkan kepada pengguna sebenar sekiranya kenderaan didaftarkan atas nama ahli keluarga lain disebabkan urusan pembiayaan.

“Contohnya, pinjaman dibuat atas nama anak, tetapi kenderaan digunakan oleh ibu bapa atau adik-beradik. Dalam keadaan seperti ini, kerajaan membenarkan kuota dipindahkan kepada pengguna sebenar supaya subsidi benar-benar sampai kepada mereka yang menggunakannya,” katanya.

Amir Hamzah berkata, kerajaan turut mengambil kira hakikat bahawa bukan semua kenderaan diesel digunakan bagi kegunaan persendirian kerana sebahagiannya menjadi sumber pendapatan pemilik untuk mengangkut penumpang atau barangan.

Menurutnya, kenderaan yang digunakan bagi tujuan perniagaan boleh memohon di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) yang dikendalikan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), sekali gus membolehkan mereka menerima kuota diesel melalui penggunaan fleet card mengikut keperluan operasi.

“Melalui fleet card dan penilaian yang dibuat, kerajaan boleh menetapkan kuota yang bersesuaian. Bagi penggunaan persendirian pula, kuota asas ialah 200 liter sebulan dengan tambahan 100 liter bagi mereka yang layak memohon.

“Namun, jika sesebuah kenderaan digunakan sebagai pengangkutan berbayar, contohnya membawa penumpang dari kampung ke kawasan pedalaman atau sebaliknya, ia diklasifikasikan sebagai kenderaan perniagaan dan boleh memohon di bawah SKDS untuk mendapatkan fleet card. Melalui mekanisme itu, kuota diesel boleh disesuaikan mengikut keperluan sebenar,” katanya.

Mengulas sama ada terdapat kelonggaran khusus untuk penduduk luar bandar di Sabah, beliau berkata pendekatan itu bukan hanya terpakai di negeri ini, malah di seluruh negara sekiranya terdapat mekanisme yang membolehkan ia dilaksanakan.

“Kita sentiasa bersedia. Mungkin ia mengambil sedikit masa untuk memastikan mekanisme yang digunakan benar-benar tepat.

“Yang penting, kita bukan sekadar melihat sama ada kuota perlu ditambah, tetapi bagaimana kuota itu diberikan mengikut penggunaan sebenar supaya bantuan benar-benar sampai kepada mereka yang layak.

“Sebab itu kita memerlukan kerjasama kerajaan negeri dan agensi berkaitan untuk menyalurkan maklum balas kepada kerajaan Persekutuan. Dengan maklumat yang tepat, kita boleh menambah baik mekanisme sedia ada supaya bantuan dan subsidi benar-benar sampai kepada golongan yang memerlukan,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/07/05/mof-sedia-bekerjasama-dengan-kerajaan-negeri-tambah-baik-penyasaran-subsidi/feed/ 0 99353
Sabah Development Bank Catat Kejayaan Awal, Jadi Pemangkin Reformasi GLC Negeri https://sabahmedia.com/2025/06/15/sabah-development-bank-catat-kejayaan-awal-jadi-pemangkin-reformasi-glc-negeri/ https://sabahmedia.com/2025/06/15/sabah-development-bank-catat-kejayaan-awal-jadi-pemangkin-reformasi-glc-negeri/#respond Sun, 15 Jun 2025 01:32:00 +0000 https://sabahmedia.com/?p=75563
Read Time:5 Minute, 32 Second

Oleh: Wan Azrain Adnan

Dalam usaha memperkukuh struktur ekonomi negeri, Kerajaan Sabah menunjukkan kemajuan ketara dalam agenda pemulihan entiti milik negeri — khususnya menerusi kejayaan awal Sabah Development Bank (SDB).

Pada awal Jun 2025, RAM Ratings (RAM), iaitu firma penarafan kredit ulung negara, telah mengesahkan penarafan AA1/Stable bagi instrumen hutang Sabah Development Bank (SDB). Ini bermakna, SDB berada dalam kategori ‘low default risk’, yang memberi keyakinan kepada pelabur bahawa instrumen kewangannya hampir setanding dengan penerbit bertaraf tertinggi seperti entiti kerajaan persekutuan.

Penarafan AA adalah tahap kedua tertinggi oleh RAM, di mana organisasi berkenaan dinilai memiliki keupayaan kukuh untuk memenuhi obligasi kewangan, serta memiliki daya tahan untuk menghadapi cabaran dan perubahan suasana operasi.

RAM menyatakan bahawa penarafan tersebut diberikan kepada SDB bersandarkan sokongan luar biasa berterusan daripada Kerajaan Sabah, dan tindakan Kerajaan Sabah tidak lama dahulu untuk memulihkan kedudukan kewangan SDB. Tambahan lagi, RAM turut memperakui kedudukan fiskal Kerajaan Sabah yang kukuh, dengan jumlah simpanan atau reserves yang besar, melebihi RM6 bilion.

SABAH DEVELOPMENT BANK

Sabah Development Bank (SDB) ialah sebuah institusi kewangan pembangunan (development financial institution, DFI) milik penuh Kerajaan Sabah. Ditubuhkan pada tahun 1977, antara matlamat utama SDB ialah mendokong agenda pembangunan ekonomi di Sabah dengan menyediakan dana pinjaman kepada pihak yang layak.

Pengesahan penarafan RAM berkenaan membuktikan kejayaan awal Kerajaan Sabah bagi memulihkan kedudukan kewangan SDB. Pada bulan Julai 2024, Menteri Kewangan Sabah telah mendedahkan bahawa SDB merekodkan kerugian kewangan yang besar bagi tahun 2023 dan 2024.

Selain itu, SDB juga menanggung kualiti aset yang teruk, di mana 75% (RM5 bilion) dari jumlah portfolio pinjaman (RM6.6 bilion) adalah pinjaman tidak berbayar (non-performing loans, NPL). Laporan tersebut turut menyentuh isu warisan pengurusan terdahulu yang menjadi punca kerugian, dan bagaimana hala tuju baharu diletakkan untuk membetulkan semula fungsi asal bank pembangunan ini.

Menurut beliau, antara punca kerugian SDB adalah kelemahan tadbir urus, perakaunan kreatif, dan penyediaan peruntukan yang tidak mencukupi (under provision).

Di samping itu, beliau turut mendedahkan bahawa sejumlah RM8 bilion pinjaman diluluskan oleh SDB kepada syarikat-syarikat dari Semenanjung Malaysia dalam tempoh masa 15 tahun (2003–2018). Daripada jumlah tersebut, 95% adalah syarikat yang terlibat di dalam sektor pembangunan hartanah di WP Kuala Lumpur, Selangor dan Johor. Jumlah pinjaman besar tersebut adalah tidak selari dengan matlamat utama SDB untuk mendokong agenda pembangunan ekonomi Sabah.

PEMBEDAYAAN DAN PEMULIHAN SDB

Bermula pertengahan tahun 2023, Kerajaan Sabah telah mengambil langkah pemulihan SDB dengan menyusun semula Lembaga Pengarah dan pengurusan SDB. Salah satu pelantikan utama Lembaga Pengarah SDB ialah bekas Ketua Pegawai Eksekutif Prokhas — entiti pemulihan aset milik Kementerian Kewangan — yang memiliki kepakaran dan pengalaman luas di dalam bidang pengurusan dan pemulihan kewangan.

Prokhas ialah sebuah agensi milik penuh Kementerian Kewangan Malaysia, yang menguruskan Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan, Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Berhad, DanaInfra Nasional dan Danaharta Nasional.

Sejak itu, SDB telah berjaya mengurangkan obligasi pembayaran bon sebanyak RM2 bilion, dari RM5 bilion (Julai 2023) kepada RM2 bilion (akhir 2024). Nisbah Modal Keseluruhan atau Total Capital Ratio juga telah meningkat dari 7.9% (akhir 2023) kepada 19.6% (akhir 2024).

Pada masa yang sama, bagi menangani isu legasi pinjaman tidak berbayar (NPL) yang sangat tinggi, sebanyak RM965 juta telah diluluskan sebagai penyelesaian bayaran pinjaman dalam tempoh masa 16 bulan (Januari 2024 – April 2025). Sementara itu, sejumlah RM2 bilion sekuriti yang dicagar oleh peminjam telah diletakkan di bawah pengurusan penerima (receivership).

Dengan kedudukan kewangan yang lebih stabil, SDB dapat mengukuhkan peranan mendokong agenda pembangunan ekonomi Sabah dengan menumpukan fokus kepada pembiayaan projek pembangunan di Sabah, terutamanya air, tenaga dan infrastruktur. Dalam tempoh masa 16 bulan (Januari 2024 – April 2025), SDB telah meluluskan pembiayaan pinjaman sebanyak RM1.71 bilion. Tetapi telah menolak permohonan pinjaman sebanyak RM9.39 bilion yang tidak memenuhi standard kredit dan fokus strategik terkini.

PEMANGKIN KEPADA GLC NEGERI YANG LAIN

Kejayaan awal pemulihan SDB boleh menjadi model kepada pemerkasaan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Sabah. Usaha pemulihan SDB telah menghasilkan kejayaan dengan sokongan padu Kerajaan Sabah yang meletakkan Lembaga Pengarah dan pengurusan yang cekap, berpengalaman dan berkemahiran. Serta memberikan kebebasan dan ruang kepada SDB untuk membuat keputusan terbaik, tanpa campur tangan yang tidak wajar dari mana-mana pihak.

Rata-rata, banyak GLC di Sabah telah merekodkan kerugian setiap tahun. Pada bulan November 2023, Menteri Kewangan Sabah telah menyatakan bahawa daripada sekitar 100 buah GLC di Sabah, hanya sebahagian kecil sahaja yang memperoleh keuntungan. Lebih banyak GLC Sabah yang rugi daripada yang untung.

Malah, beliau memaklumkan bahawa GLC Sabah berhutang sebanyak RM2.2 bilion kepada Sabah Development Bank (SDB) setakat Suku Ketiga 2023. Malangnya, banyak daripada GLC berkenaan tidak memiliki keupayaan untuk membayar balik pinjaman SDB. Akhirnya, ini melemahkan kedudukan kewangan dan prestasi SDB.

Kelemahan prestasi pencapaian GLC bukan sahaja merencatkan agenda pembangunan Sabah. Bahkan tidak dapat menyumbang kepada hasil pendapatan Kerajaan Sabah. Pada awal tahun 2022, Ketua Menteri Sabah pernah menyarankan bahawa setiap GLC Sabah perlu membayar sekurang-kurangnya RM1 juta setiap tahun sebagai dividen kepada Kerajaan Sabah.

Ini dapat meningkatkan hasil pendapatan Kerajaan Sabah, yang boleh digunakan bagi agenda kesejahteraan rakyat Sabah. Tambahan pula, GLC yang efisien bukan sahaja menjana pendapatan kerajaan negeri, malah mengurangkan kebergantungan fiskal terhadap hasil tradisional seperti komoditi dan tanah.

KUTIPAN GLC

Namun begitu, jumlah dividen yang diterima oleh Kerajaan Sabah masih rendah. Sebagai contoh, pada tahun 2022, Kerajaan Sabah telah menerima dividen berjumlah RM152 juta daripada 15 GLC Sabah dan lima badan berkanun.

Manakala, setakat bulan Oktober 2023, jumlah dividen telah menurun hampir 9% kepada RM138.7 juta, berbanding tahun sebelumnya. Majoriti (66%) dividen tersebut adalah dari empat GLC Sabah: SMJ Sdn Bhd (RM50 juta), Perbadanan Pinjaman Sabah (RM17 juta), KKIP Sdn Bhd (RM12 juta) dan Sabah Energy Corporation (RM12 juta).

Justeru itu, GLC Sabah sediada mesti diperkasa menerusi transformasi yang menyeluruh, agar dapat melaksanakan peranan yang ditetapkan secara efektif dan seterusnya menyumbang kepada agenda pembangunan Sabah. Bukannya terus menerus menjadi bebanan kepada Kerajaan Sabah.

Tiga minggu lepas, Pembantu Menteri Kewangan Sabah dilaporkan berkata bahawa Kerajaan Sabah telah menubuhkan Jawatankuasa Pemantauan GLC atau GLC Monitoring Committee bagi menambah baik tadbir urus dan prestasi GLC Sabah.

Antaranya, jawatankuasa ini dianggotai oleh pakar perbankan, perundangan dan audit.

Menurut beliau, ketika ini Kerajaan Sabah menyelia 27 syarikat induk dan 22 badan berkanun, dengan merangkumi sekitar 250 syarikat subsidiari dan bersekutu, yang terlibat di dalam sektor utama Sabah seperti perladangan, tenaga dan pembangunan hartanah.

Kejayaan transformasi GLC Sabah akan dapat memenuhi sasaran yang diumumkan oleh Menteri Kewangan Sabah semasa ucapan penggulungan Belanjawan Sabah 2024, di mana GLC Sabah perlu membayar sekurang-kurangnya dividen sebanyak 10% daripada keuntungan syarikat kepada Kerajaan Sabah. Dengan hala tuju yang lebih jelas dan keazaman politik yang konsisten, pemulihan SDB mungkin menjadi titik tolak kepada lembaran baharu GLC Sabah — ke arah kemakmuran yang lestari.

Sabah Makmur, Rakyat Sejahtera.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/06/15/sabah-development-bank-catat-kejayaan-awal-jadi-pemangkin-reformasi-glc-negeri/feed/ 0 75563
SPRM tahan 2 pegawai kanan badan berkanun disyaki seleweng dana, pinjaman MoF https://sabahmedia.com/2024/05/15/sprm-tahan-2-pegawai-kanan-badan-berkanun-disyaki-seleweng-dana-pinjaman-mof/ https://sabahmedia.com/2024/05/15/sprm-tahan-2-pegawai-kanan-badan-berkanun-disyaki-seleweng-dana-pinjaman-mof/#respond Wed, 15 May 2024 13:50:16 +0000 https://sabahmedia.com/?p=54449
Read Time:47 Second

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya menahan dua pegawai kanan badan berkanun kerana disyaki telah menyalahgunakan kuasa dan penyelewengan dana peruntukan pinjaman daripada Kementerian Kewangan (MoF) bagi projek pembangunan yang bernilai RM 1.2 billion.

Perintah reman selama empat  hari bermula 15 Mei 2024 sehingga 18 Mei 2024 terhadap dua suspek yang berusia sekitar 50-an dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha  Rohanuddin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.

Kedua-dua suspek telah menyalahgunakan dana peruntukan pinjaman daripada kerajaan dengan memindahkan sebahagian pinjaman wang yang diterima dari MOF kepada syarikat kontraktor dan perunding yang tidak berkaitan dalam kos pembangunan seperti mana yang dinyatakan dalam permohonan peruntukan pinjaman Kerajaan.

“Penyelewengan peruntukan ini amatlah serius memandangkan peruntukan ini melibatkan dana daripada Kerajaan Malaysia,” katanya.

Sementara itu, menurut beberapa laporan media, Pengarah Bahagian Siasatan , Datuk Seri Hishamuddin, mengesahkan Penahanan reman terhadap dua suspek yang disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009

]]>
https://sabahmedia.com/2024/05/15/sprm-tahan-2-pegawai-kanan-badan-berkanun-disyaki-seleweng-dana-pinjaman-mof/feed/ 0 54449
MAFI laksana enam langkah tangani kesan perubahan iklim bagi tanaman padi https://sabahmedia.com/2021/11/24/mafi-laksana-enam-langkah-tangani-kesan-perubahan-iklim-bagi-tanaman-padi/ https://sabahmedia.com/2021/11/24/mafi-laksana-enam-langkah-tangani-kesan-perubahan-iklim-bagi-tanaman-padi/#respond Wed, 24 Nov 2021 05:14:18 +0000 https://sabahmedia.com/?p=8811
Read Time:1 Minute, 38 Second

BERNAMA

KUALA LUMPUR, 24 Nov — Enam langkah telah dilaksanakan bagi menangani kesan perubahan iklim khususnya bagi tanaman padi di negara ini, kata Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Beliau berkata antara langkah yang diambil adalah pembangunan dan penggunaan varieti yang tahan banjir atau tahan kemarau dan pembangunan varieti benih padi yang tahan kepada air masin sekiranya berlaku sebarang kesan limpahan air laut ke kawasan penanaman padi.

“Ketiga, penggunaan Peta Agricultural Rainfall Index (ARI) dan Peta Tanah untuk menentukan kesesuaian tanaman di suatu kawasan serta merancang sistem perparitan dan pengairan;

“Keempat, meningkatkan kaedah penanaman padi berdasarkan panduan menguruskan tanaman padi mengikut sasaran,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Selain itu, beliau berkata MAFI turut mengambil langkah membina kelengkapan infrastruktur amalan pengairan sawah atau Alternate Wetting and Drying (AWD) serta memperkenalkan insurans pertanian untuk mengurangkan risiko kerugian melibatkan bencana disebabkan kesan perubahan iklim.

Ronald berkata demikian bagi menjawab soalan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PAS-Sik) yang bertanyakan langkah kerajaan dalam menangani perubahan iklim yang memberi kesan kepada industri pertanian negara. 

Beliau berkata selain perubahan iklim, MAFI mengenal pasti cabaran utama menjelang 10 tahun akan datang dalam sektor agromakanan yang perlu ditangani, iaitu kekurangan sumber asli, produktiviti dan inovasi pertanian, perubahan demografi dan peralihan trend pemakanan, kehilangan dan pembaziran makanan.

“Sepanjang tempoh lima tahun daripada 2017 sehingga 2021 seluas 40,828 hektar tanaman padi musnah akibat banjir di Semenanjung Malaysia, manakala 9,336 hektar pula mengalami kerosakan akibat kemarau,” katanya. 

Oleh itu, beliau berkata dalam usaha menangani cabaran perubahan iklim, MAFI melalui Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) dan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2025 (Pelan DSMN) antara lain, akan mempergiatkan pertanian mampan yang mesra alam dan berdaya tahan terhadap iklim.

Katanya ini bertujuan mengurangkan impak perubahan iklim terhadap sektor agromakanan serta memperluaskan penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk meningkatkan pengeluaran makanan dengan kaedah teknologi berasaskan iklim.

]]>
https://sabahmedia.com/2021/11/24/mafi-laksana-enam-langkah-tangani-kesan-perubahan-iklim-bagi-tanaman-padi/feed/ 0 8811
Pelan Pemulihan Negara: Felcra kerjasama dengan MoF, MKD, KPLB https://sabahmedia.com/2021/06/17/pelan-pemulihan-negara-felcra-kerjasama-dengan-mof-mkd-kplb/ https://sabahmedia.com/2021/06/17/pelan-pemulihan-negara-felcra-kerjasama-dengan-mof-mkd-kplb/#respond Wed, 16 Jun 2021 23:45:50 +0000 https://sabahmedia.com/?p=1422
Read Time:1 Minute, 17 Second

BERNAMA

KUALA LUMPUR – Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) Berhad sedang bekerjasama rapat dengan Kementerian Kewangan, Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar untuk menjalankan usaha berhubung Pelan Pemulihan Negara.

Pengerusi Felcra Yamani Hafez Musa berkata Felcra memberikan komitmen untuk memastikan keperluan asas demi kesinambungan peserta dan masyarakat sekeliling setiap projek Felcra diberikan keutamaan.

“Ia agar mereka yang terkesan dengan pandemik COVID-19 terutamanya mereka yang hilang punca pendapatan dapat disantuni secara bersasar dan sebaik mungkin,” katanya dalam satu kenyataan di sini, malam tadi.

Kelmarin, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pelan Pemulihan Negara yang diyakini dapat mengembalikan penghidupan harian biasa menjelang akhir tahun termasuk mengadakan semula sesi persidangan Parlimen pada September atau Oktober dan ia merangkumi empat fasa melibatkan pelan peralihan fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara berperingkat.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Felcra Berhad, Mohd Nazrul Izam Mansor berkata Felcra membantu peserta yang mengalami kepayahan akibat pandemik secara berperingkat dan berterusan, bermula dengan penyediaan peruntukan bantuan bakul makanan berjumlah RM500,000 untuk diagihkan kepada 10,000 peserta di 38 kawasan penempatan Felcra.

“Usaha kolaborasi dengan pihak berwajib untuk inisiatif Program Vaksinasi Berkelompok juga telah dimulakan di 38 kawasan penempatan tersebut supaya 112,337 peserta dan ahli keluarga di luar bandar menerima vaksinasi,” katanya.

Sepanjang empat fasa Pelan Pemulihan Negara itu, Felcra Berhad boleh dihubungi melalui talian Hotline 1-800-22-5050 atau 03-4145 5000.

]]>
https://sabahmedia.com/2021/06/17/pelan-pemulihan-negara-felcra-kerjasama-dengan-mof-mkd-kplb/feed/ 0 1422