MPS – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Tue, 15 Apr 2025 08:30:52 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.1 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png MPS – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 Menara MPS bakal dioptimum sebagai pemangkin ekonomi pusat bandar Sandakan https://sabahmedia.com/2025/04/15/menara-mps-bakal-dioptimum-sebagai-pemangkin-ekonomi-pusat-bandar-sandakan/ https://sabahmedia.com/2025/04/15/menara-mps-bakal-dioptimum-sebagai-pemangkin-ekonomi-pusat-bandar-sandakan/#respond Tue, 15 Apr 2025 08:00:52 +0000 https://sabahmedia.com/?p=72011
Read Time:1 Minute, 32 Second

Oleh J. EVACHEL JOHN

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri komited untuk memperkasa Menara Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) sebagai aset strategik dan produktif bagi merancakkan semula ekonomi di pusat bandar Sandakan.

Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Isnin Haji Aliasnin, berkata beberapa inisiatif telah dikenal pasti bagi merealisasikan matlamat tersebut.

“Pertama, pengoptimuman penggunaan bangunan. Pihak MPS sedang mengkaji model pengurusan aset yang lebih sesuai dan berkesan, iaitu model sewa pajakan (lease model) atau Kerjasama Awam-Swasta (PPP) untuk memaksimumkan penggunaan ruang bangunan serta menjadikannya pusat ekonomi jangka panjang melalui pelaburan swasta,” katanya.

Langkah kedua melibatkan usaha menarik pelaburan dan penyewaan ruang. MPS menawarkan pakej sewaan kompetitif kepada syarikat korporat dan pelabur bagi menjadikan menara ini sebagai pusat komersial utama, di samping menjalin kerjasama dengan sektor swasta dalam pembangunan kemudahan serta perkhidmatan.

“Ketiga, menaik taraf infrastruktur dan kemudahan sedia ada. MPS sedang dan akan melaksanakan penambahbaikan terhadap sistem perparitan, pemasangan CCTV, pencahayaan dan langkah keselamatan di sekitar kawasan Pusat Bandar Sandakan, termasuk Menara MPS.

“Keempat, menjana sumber pendapatan tambahan. Selain hasil daripada sewaan ruang, MPS juga boleh menjana pendapatan melalui hak pengiklanan di papan iklan bangunan menara tersebut,” katanya.

Tambah beliau, kementerian berharap usaha yang dilaksanakan di bawah pentadbiran Presiden MPS yang baharu serta kerjasama pegawai pengurusan akan memperkasakan bangunan tersebut sebagai aset produktif dengan meningkatkan kadar penggunaan, merancakkan aktiviti ekonomi dan menjamin pulangan optimum kepada MPS.

“Langkah-langkah ini akan menjadi salah satu pemangkin kepada usaha menghidupkan kembali pusat bandar Sandakan sebagai Central Business District (CBD) yang berfungsi sebagai hub ekonomi yang lebih dinamik dan berdaya saing,” katanya.

Isnin berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan daripada Datuk Poon Ming Fung @ Frankie (DAP–Tanjong Papat) dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.

Poon ingin mengetahui apakah langkah Kerajaan Negeri dalam memperkasa Menara MPS bagi menjadikannya aset produktif kepada pihak berkuasa tempatan dan menarik lebih banyak aktiviti ekonomi.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/04/15/menara-mps-bakal-dioptimum-sebagai-pemangkin-ekonomi-pusat-bandar-sandakan/feed/ 0 72011
MPS digesa tingkat komunikasi dengan rakyat dan peniaga https://sabahmedia.com/2025/01/16/mps-digesa-tingkat-komunikasi-dengan-rakyat-dan-peniaga/ https://sabahmedia.com/2025/01/16/mps-digesa-tingkat-komunikasi-dengan-rakyat-dan-peniaga/#respond Thu, 16 Jan 2025 11:01:30 +0000 https://sabahmedia.com/?p=67026
Read Time:1 Minute, 30 Second

SANDAKAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karamunting, Datuk George Hiew Vun Zin, menggesa Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) supaya meningkatkan komunikasi dengan penduduk dan peniaga tempatan sebelum melaksanakan sebarang keputusan yang memberi kesan besar kepada komuniti.

Beliau menekankan pentingnya perbincangan bersama masyarakat, khususnya peniaga, untuk mengelakkan salah faham yang boleh menggugat keyakinan mereka terhadap kerajaan.

“Kerajaan, terutamanya MPS, perlu berbincang dengan peniaga tempatan tentang perkara mustahak yang melibatkan semua pihak, terutamanya perkara berkaitan dengan cukai. Penguatkuasaan secara tiba-tiba boleh membuatkan peniaga hilang keyakinan untuk terus berniaga di Sandakan,” katanya.

George juga mengingatkan MPS bahawa sebarang keputusan penting perlu dimaklumkan kepada kementerian terlebih dahulu dan disampaikan kepada rakyat secara jelas.

Beliau berkata demikian berikutan kekeliruan yang timbul berikutan kenaikan mendadak dalam cukai pintu dan yuran pembaharuan lesen perniagaan.

Menurutnya, kadar sesetengah cukai pintu yang sebelum ini dianggarkan RM200 hingga RM300 kini telah meningkat kepada RM600 hingga RM700, menyebabkan ramai penduduk resah.

“Saya telah berjumpa dengan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr. Joachim Gunsalam hari ini (Khamis) dan beliau telah memaklumkan pada Disember lalu bahawa pelaksanaan ini sepatutnya ditangguhkan.

“Namun, ada kes di mana jumlah cukai yang lebih tinggi telah dimasukkan dalam sistem MPS. Di sanalah timbul kekeliruan ini,” jelas George.

Beliau menggesa mereka yang terjejas atau merasakan kenaikan cukai pintu tidak munasabah untuk membuat pelarasan di tingkat tiga pejabat MPS.

“MPS telah meminta sesiapa yang merasakan tidak puas hati untuk datang dan membuat pelarasan mengikut kadar sebelumnya,” katanya.

George juga menyatakan penghargaan kepada Joachim yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, kerana melawat Karamunting untuk memahami isu air dan masalah rakyat.

Beliau berharap presiden baharu MPS yang akan dilantik pada 6 Februari ini akan dapat membawa gaya kepimpinan baharu yang lebih cekap dan berkesan untuk meningkatkan pembangunan ekonomi Sandakan.

“Kerajaan yang cekap dan telus akan membantu meningkatkan keyakinan rakyat,” ujarnya.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/01/16/mps-digesa-tingkat-komunikasi-dengan-rakyat-dan-peniaga/feed/ 0 67026
MPS, PBT pertama di Sabah dapat pensijilan ABMS ISO 37001:2016 https://sabahmedia.com/2023/03/21/mps-pbt-pertama-di-sabah-dapat-pensijilan-abms-iso-370012016/ https://sabahmedia.com/2023/03/21/mps-pbt-pertama-di-sabah-dapat-pensijilan-abms-iso-370012016/#respond Tue, 21 Mar 2023 05:18:59 +0000 https://sabahmedia.com/?p=31202
Read Time:2 Minute, 59 Second

SANDAKAN: Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) ditauliahkan pensijilan Anti-Bribery Management System (ABMS) ISO 37001:2016 menjadikannya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pertama di Sabah yang mendapat pentauliahan tersebut.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam menyaksikan penyerahan pensijilan itu kepada MPS pada majlis yang diadakan di Dewan Masyarakat Sandakan, di sini, hari ini.

Beliau turut melancarkan Pelan Anti Rasuah Organisasi MPS 2022-2026 pada majlis yang sama.

Dalam ucapannya, Dr. Joachim mengucapkan syabas dan tahniah kepada pasukan penyelaras dan seluruh kakitangan MPS atas usaha keras untuk mendapatkan pensijilan ini yang beliau percaya bukanlah suatu tugas yang mudah.

“Ini membuktikan dengan muafakat dan kesepakatan yang baik kita sebenarnya mampu mencapai apa yang kita kehendaki. The sky is the limit. MPS sudah berjaya menyahut cabaran Kementerian dengan jayanya dan saya ingin melihat selepas ini akan ada PBT lain yang berjaya mendapatkan pensijilan ABMS ISO 37001:2016 ini.

“Sebenarnya pensijilan ini amat bermakna dan amat relevan dalam bidang kuasa PBT kerana ABMS ISO 37001:2016 ini memainkan peranan bukan sahaja untuk mengelak, mengesan dan bertindak ke atas sebarang kes salah laku rasuah, tetapi juga membantu PBT untuk meningkatkan tahap pengurusan risiko berkaitan dengan perlakuan rasuah.

“Hal ini dapat meningkatkan tahap keyakinan dan kepercayaan semua pihak berkepentingan yang berurusan secara terus dengan PBT terutama sekali orang awam. Kami di kementerian amat mengharapkan agar momentum yang telah dimulakan oleh MPS melalui pensijilan ini dapat dikekalkan dan ditambahbaik pelaksanaannya sesuai dengan keperluan piawaian yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata, piawaian yang ditetapkan dalam mana-mana sistem pengurusan ISO membantu organisasi meningkatkan prestasi serta mutu perkhidmatan melalui pelaksanaan proses kerja yang standard demi mencapai matlamat dan objektif.

Menurutnya, pensijilan ini merupakan pengiktirafan terhadap pematuhan piawaian pengurusan antarabangsa dan tempatan, justeru pihak pengurusan dan juga Ahli Majlis perlu memberikan sokongan dan komitmen yang tinggi dalam memastikan pematuhan terhadap piawaian yang telah ditetapkan.

“Sekalung penghargaan khusus kepada NIOSH Certification Sdn Bhd kerana usaha gigih dalam memberikan latihan kepada seluruh kakitangan MPS dan di atas persetujuan untuk menyerap sebahagian besar daripada kos pensijilan ini. Ini merupakan satu kerjasama yang amat baik kerana sememangnya dalam mana-mana program, isu kos sering menjadi kekangan.

“Walau bagaimanapun, saya harapkan isu ini tidak menjadi halangan kepada PBT yang lain untuk mendapatkan pensijilan ini kerana kita melihat kelebihan yang bakal kita peroleh melalui pensijilan ini sebenarnya sangat menguntungkan PBT. Tidak dilupakan juga kepada Malaysian Productivity Corporation di atas inisiatif untuk mengesyorkan PBT sebagai pilot projek pensijilan ABMS ISO 37001:2016 dan inisiatif ini terbukti telah membuahkan hasil yang diinginkan,” ujarnya.

Mengenai Pelan Antirasuah Organisasi MPS 2022-2026, Dr. Joachim berkata, beliau melihat ini merupakan satu lagi pencapaian yang perlu diberi penghargaan kerana ini menunjukkan inisiatif serta komitmen MPS dalam memastikan isu salah laku rasuah di kalangan kakitangan sentiasa dapat diurus dengan menggunakan suatu kerangka yang bersepadu dengan melibatkan semua kakitangan termasuk pegawai pengurusan tertinggi.

“Saya berharap agar pelaksanaan pelan ini dapat dilaksanakan sebaik mungkin dan diterapkan sepenuhnya dalam budaya kerja harian seluruh kakitangan MPS.

“Kita tidak mahu pelan ini dibuat sekadar hanya untuk memenuhi keperluan atau arahan daripada Kerajaan Negeri akan tetapi ianya perlulah dilaksana dengan holistik melibatkan semua pihak berkepentingan yang dikenalpasti dan seterusnya melaksanakan penilaian terhadap status tindakan terhadap setiap program yang telah dirancang,” katanya.

Turut hadir, Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Mohd Hamsan Awang Supian; Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan bersama Timbalan Setiausaha Tetap I dan II, Datuk Dr. Jamili, Stanley Chong dan Faridah Giau; Presiden MPS, Henry Idol , Pengarah dan Pengurus NIOS Sabah Dr. Haji Sharudin dan Fadhil Abu Bakar, Pegawai-Pegawai Eksekutif, Pegawai-pegawai Kanan KKTP dan MPS.

]]>
https://sabahmedia.com/2023/03/21/mps-pbt-pertama-di-sabah-dapat-pensijilan-abms-iso-370012016/feed/ 0 31202
TKM minta MPS tangani masalah sampah di Kampung Sim-Sim https://sabahmedia.com/2023/03/21/tkm-minta-mps-tangani-masalah-sampah-di-kampung-sim-sim/ https://sabahmedia.com/2023/03/21/tkm-minta-mps-tangani-masalah-sampah-di-kampung-sim-sim/#respond Mon, 20 Mar 2023 23:35:21 +0000 https://sabahmedia.com/?p=31176
Read Time:1 Minute, 18 Second

SANDAKAN: Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam meminta Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) untuk menangani masalah sampah di Kampung Sim-Sim, di sini pada Selasa.

Dari kiri, Dr. Joachim, Henry, Frankie dan Dr. Jamili mendengar taklimat daripada Pegawai MPS ketika mengadakan lawatan ke Kg. Sim-Sim bagi meninjau keadaan sampah di perkampungan air itu, kelmarin. – Foto ihsan KKTP

Memandang serius perkara ini, ketika beliau mengadakan lawatan ke perkampungan air itu hari ini untuk melihat sendiri masalah sampah yang dihadapi oleh penduduk sejak sekian lama.

“Masalah sampah ini sudah lama dihadapi oleh penduduk di perkampungan air itu. Sampah dibawa oleh arus pergerakan laut sehingga menjadi longgokan sampah.

“Perkara ini menarik perhatian saya dan pada hari ini, saya bersama Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Henry Idol telah berbincang bersama dengan Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP), Datuk Dr. Jamili Nais untuk menangani isu yang sudah dihadapi sekian lama oleh penduduk perkampungan air ini,” katanya.

Menurut Dr Joachim, Sim-Sim berpotensi untuk menarik pelancong untuk datang ke sini untuk menikmati makanan laut yang segar.

“Justeru, sekiranya masalah ini tidak dibendung, ia akan memberikan imej yang tidak menyenangkan kepada pengunjung yang datang ke restoran di sini,” jelasnya.

Sementara itu, Henry berkata, MPS akan berusaha gigih menangani masalah ini dan salah satunya ialah dengan melantik kontraktor untuk melakukan kerja-kerja pembersihan.

Beliau juga memohon kerjasama penduduk setempat agar tidak membuang sampah di merata-rata tempat.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Papat, Frankie Poon Ming Fung serta Pegawai-pegawai kanan KKTP dan MPS.

]]>
https://sabahmedia.com/2023/03/21/tkm-minta-mps-tangani-masalah-sampah-di-kampung-sim-sim/feed/ 0 31176
MPS Diarah Baiki Jambatan Gantung Usang – Bung https://sabahmedia.com/2022/01/12/mps-diarah-baiki-jambatan-gantung-usang-bung/ https://sabahmedia.com/2022/01/12/mps-diarah-baiki-jambatan-gantung-usang-bung/#respond Wed, 12 Jan 2022 02:05:24 +0000 https://sabahmedia.com/?p=11016
Read Time:1 Minute, 10 Second

KOTA KINABALU: Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) diarah segera membaiki jambatan gantung usang yang menjadi laluan murid dan pelajar di Kampung Nelayan Tengah, Sandakan untuk ke sekolah.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata ,beliau sudah mengarahkan MPS menyegerakan pembaikan jambatan gantung itu demi keselamatan murid dan pelajar sejurus dimaklumkan mengenai keadaan infrastruktur itu.

“Saya sudah mengarahkan pihak MPS untuk mengambil tindakan segera terhadap perkara ini. Kerajaan amat mengambil berat perkara seumpama ini, lebih-lebih lagi yang membabitkan keselamatan murid dan pelajar sekolah,” katanya, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas gambar memaparkan seorang murid sekolah sedang melalui jambatan gantung usang yang membahayakan keselamatan di Kampung Nelayan Tengah, Sandakan ketika hari pertama sesi persekolahan penggal tiga 2021 / 2022, semalam.

Gambar yang dirakam jurugambar Bernama itu menunjukkan keadaan jambatan gantung terbabit yang usang dengan bahagian lantainya sudah hilang, manakala sebahagian jaring besi turut berlubang.

Mengulas lanjut, Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya Sabah, berkata walaupun jambatan gantung terbabit bukan kemudahan infrastruktur dalam bidang kuasa kementeriannya, namun aspek keselamatan murid amat penting diberi perhatian.

“Kemudahan infrastruktur itu adalah di bawah tanggungjawab pihak berkuasa tempatan (PBT). Oleh itu, saya mengarahkan pihak MPS untuk bertindak segera membaiki kemudahan itu sebelum apa-apa terjadi kepada murid sekolah di kampung berkenaan,” katanya.

Jambatan gantung menjadi penghubung penting di kawasan luar bandar Sabah bagi memudahkan penduduk menyeberangi sungai termasuk untuk kemudahan murid dan pelajar ke sekolah.

]]>
https://sabahmedia.com/2022/01/12/mps-diarah-baiki-jambatan-gantung-usang-bung/feed/ 0 11016