muzik – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Thu, 11 Sep 2025 09:09:47 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.0.2 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png muzik – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 Video muzik ‘Kita Jaga Sabah’ manifestasi suara belia dan semangat perpaduan https://sabahmedia.com/2025/09/11/video-muzik-kita-jaga-sabah-manifestasi-suara-belia-dan-semangat-perpaduan/ https://sabahmedia.com/2025/09/11/video-muzik-kita-jaga-sabah-manifestasi-suara-belia-dan-semangat-perpaduan/#respond Thu, 11 Sep 2025 09:09:45 +0000 https://sabahmedia.com/?p=81011
Read Time:2 Minute, 7 Second

Oleh Florieta Diet

KOTA KINABALU: Video muzik “Kita Jaga Sabah” hasil karya anak tempatan disifatkan sebagai manifestasi suara hati, rasa cinta dan komitmen rakyat Sabah untuk menjaga negeri ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Hajiji berkata, video muzik itu menjadi bukti bahawa bakat anak Sabah mampu menghasilkan karya luar biasa yang bukan sahaja menyatukan masyarakat, malah membangkitkan semangat perpaduan.

“Apabila kita menyebut Kita Jaga Sabah, ia bukan sekadar slogan. Ia adalah seruan bersama bahawa tanpa mengira bangsa, agama atau kedudukan, kita semua mesti memikul tanggungjawab menjaga negeri ini dari segi keamanan, perpaduan dan pembangunan,” katanya pada Tayangan Perdana Media dan Pelancaran Video Muzik Kita Jaga Sabah di Sabah International Convention Centre (SICC), pada hari ini.

Hajiji turut menzahirkan penghargaan kepada penerbit, Farish Aziz yang berjaya menghimpunkan bakat-bakat besar negeri ini termasuk Stacy, Elica Paujin, Feroq, Dabra Sia, Meba, Anip dan Nuvel, selain pencipta lagu, Anas Amdan.

“Gabungan penyanyi dan tenaga kreatif tempatan itu membuktikan bahawa seni mampu menyatukan rakyat Sabah melalui mesej yang menyentuh hati. Seni dan budaya adalah antara medium paling berkesan untuk menghubungkan masyarakat, khususnya belia, kerana ia membolehkan mereka menyalurkan aspirasi serta harapan dalam bentuk positif.
“Video muzik ini jelas menunjukkan bahawa belia Sabah bukan sahaja berbakat, tetapi juga berjiwa besar mereka mahu negeri ini maju, mereka mahu melihat perubahan dan mereka mahu menyumbang,” katanya.

Hajiji turut memuji penganjuran program Tamu Suara 360 oleh Majlis Belia Sabah dengan sokongan Kementerian Belia dan Sukan, yang memberi ruang kepada anak muda menyuarakan pandangan mengenai masa depan negeri.

Beliau mengucapkan tahniah kepada Presiden Majlis Belia Sabah, Abqaree Abekan dan pasukannya atas usaha gigih menganjurkan platform berkenaan.

“Anak muda kita bukan sahaja ambil tahu, malah mereka ambil peduli tentang pendidikan, peluang pekerjaan, pembangunan ekonomi dan masa depan negeri ini. Inilah semangat kepedulian yang kita mahu pupuk dalam kalangan generasi muda,” katanya.

“Membina Sabah yang makmur dan berdaya saing bukan usaha mudah, sebaliknya memerlukan pengorbanan serta kerjasama semua pihak. Oleh itu, kerajaan negeri akan terus memberi ruang dan sokongan kepada inisiatif memperkasakan belia, sama ada dalam bidang seni, budaya, sukan mahupun keusahawanan.

“Dengan semangat Kita Jaga Sabah, saya yakin kita mampu melahirkan sebuah negeri yang bukan sahaja maju dari segi ekonomi, tetapi juga kaya budaya, harmoni dalam perpaduan dan inklusif untuk semua rakyat,” katanya.

Beliau turut menyeru rakyat Sabah, khususnya belia, agar terus berpegang pada semangat Kita Jaga Sabah sebagai landasan membina negeri.

“Kita semua adalah penjaga Sabah daripada pemimpin, belia, masyarakat kampung, hinggalah penggiat seni. Jika kita bergerak bersama, insya-Allah, kita mampu membawa negeri ini ke mercu kejayaan lebih tinggi,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/09/11/video-muzik-kita-jaga-sabah-manifestasi-suara-belia-dan-semangat-perpaduan/feed/ 0 81011
Muzik beri peluang kedua prospek penjara https://sabahmedia.com/2025/08/31/muzik-beri-peluang-kedua-prospek-penjara/ https://sabahmedia.com/2025/08/31/muzik-beri-peluang-kedua-prospek-penjara/#respond Sun, 31 Aug 2025 09:37:21 +0000 https://sabahmedia.com/?p=80390
Read Time:4 Minute, 23 Second

Oleh J. Evachel John

KOTA KINABALU: Bagi M (bukan nama sebenar), 43, yang disabitkan kesalahan menipu, hukuman penjara seolah-olah menutup seluruh harapan hidupnya.

Prospek membuat persembahan semasa majlis pelancaran ‘Street Musician Stroller – Australian Diploma In Performing Arts & Buskerthon’ di Dewan Mini Penjara Pusat Kota Kinabalu. – Foto Sabah Media/ J. Evachel John

Namun di sebalik pagar besi Penjara Pusat Kota Kinabalu, dia menemukan semula sinar, sebuah harapan yang dihidupkan melalui muzik.

“Saya dihukum di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Kes saya berlaku hanya kerana mahu mencari makan.

“Bagi prospek (banduan) yang bakal bebas, program ini memberi peluang untuk memulakan semula hidup tanpa ragu-ragu,” luahnya ketika ditemui semasa Majlis Pelancaran ‘Street Musician Stroller – Australian Diploma In Performing Arts & Buskerthon’ di Dewan Mini Penjara Pusat Kota Kinabalu.

M adalah salah seorang daripada 20 prospek dewasa yang menyertai persijilan muzik tahun ini. Program Street Musician Stroller ini merupakan kesinambungan kepada inisiatif ‘Rhythm of Freedom’ yang sejak 2019 telah memberi impak besar kepada prospek dan bekas prospek di seluruh Malaysia.

Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr. Sabin Samitah menyampaikan sijil kepada salah seorang prospek. – Foto Sabah Media/ J. Evachel John

Peluang persijilan ini mula diterokai di Sekolah Henry Gurney Teluk Mas Melaka dan Sekolah Integriti Kota Kinabalu. Sejak itu, ia terbukti mampu memberikan impak positif terhadap bakat prospek yang boleh diangkat ke arah kerjaya dalam bidang muzik.

“Ramai yang keluar dari penjara akan jadi ‘blur’, tidak tahu mahu mula dari mana. Program ini bukan sekadar ajar teori dan instrumen, tetapi disusun sebagai persediaan khusus menghadapi pasaran busking. Ia beri kami panduan jelas, arah tuju dan keyakinan.

“Ekonomi itu penting. Jika tidak ada platform yang tepat, jenayah mungkin boleh berulang kerana desakan hidup,” kata M yang pernah menjadi pemuzik gereja dan mempunyai asas piano.

Kisah M bukan satu-satunya. AB (bukan nama sebenar), 42 tahun, yang menjalani hukuman hampir lima tahun bagi kesalahan dadah, mengakui program ini membuka peluang yang tidak pernah terjangka.

“Kalau belajar muzik di luar, kosnya sangat tinggi. Tapi di sini, kami diberi peluang mendapat diploma muzik dengan tajaan penuh. Saya bukan sahaja berpeluang belajar gitar dan piano, malah turut mendalami vokal, teknik pernafasan, dan insya-Allah akan cuba saxophone juga. Tenaga pengajar sangat membantu, memberi semangat dan keyakinan untuk kami terus belajar,” katanya.

Walaupun AB sudah tujuh kali keluar masuk penjara kerana kesalahan berulang, peluang menimba ilmu muzik kali ini memberi semangat baharu untuk mengubah haluan hidup.

“Peluang ini membuka minda saya. Kalau ada rezeki, saya mahu sambung lagi lepas bebas nanti,” katanya sambil berharap bebas daripada pengaruh dadah.

Bagi Awang (bukan nama sebenar), 37, yang kini menjalani hukuman atas kesalahan dadah berulang, dia mengakui tidak pernah menyangka akan belajar membaca not muzik di penjara.

“Dulu main gitar di kampung saja, dengan kawan-kawan. Sekarang saya tahu baca not, faham harmoni, belajar teori muzik. Masa panjang dalam penjara terisi dengan ilmu, dan itulah yang saya bawa keluar nanti,” katanya yang berharap dapat menjadi insan yang berguna dan mampu menjana ekonomi.

Harapan Yang Hidup Semula, Ahli Keluarga Syukuri Peluang

Bagi ahli keluarga prospek, program ini menjadi sinar yang tidak disangka-sangka.

“Saya sangat terkejut ada program sebegini dalam penjara. Ia beri harapan bahawa mereka ada hala tuju bila bebas nanti. Bukan semua orang di luar boleh terima bekas banduan, tapi bila mereka ada kemahiran, sekurang-kurangnya mereka ada sesuatu untuk mulakan hidup,” kata Vincent, 40 tahun, adik kepada salah seorang prospek.

Bagi Jumainah, 48 tahun, sokongan masyarakat adalah penentu sama ada peluang kedua ini benar-benar berhasil.

“Saya panjatkan syukur. Semoga program ini terus dapat dana dan diteruskan. Bila mereka bebas nanti, mereka ada semangat baru, ada nilai murni yang dipupuk. Saya harap masyarakat akan terima mereka seadanya.”

Kukuhkan Pembangunan Insan

Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr. Sabin Samitah, menegaskan usaha ini selari dengan gagasan Malaysia Madani yang menekankan nilai belas ihsan, keadilan sosial, dan kebersamaan dalam membina sebuah negara yang inklusif dan berperikemanusiaan.

“Apabila kita membantu seorang insan kembali ke pangkuan masyarakat, sebenarnya kita sedang menyelamatkan sebuah keluarga, mengukuhkan sebuah komuniti, dan memperteguh sebuah negara. Inilah makna sebenar pembangunan insan yang kita perjuangkan,” katanya yang merasmikan masjlis pelancaran program tersebut.

Beliau turut memberi jaminan bahawa DBKK akan terus memberi sokongan demi memastikan peluang kedua itu benar-benar membuahkan hasil.

Program persijilan ini melibatkan 740 jam kredit sepanjang tempoh hukuman, dengan kerjasama tenaga pengajar Distinctone Sdn Bhd (Music Hive). Kelas diadakan terus di dalam penjara, lengkap dengan peralatan muzik yang disediakan.

Pengarah Eksekutif Distinctone Sdn Bhd (Music Hive), Datuk Dr Peter Chua berkata, fokus utama ialah membina keyakinan diri prospek supaya mereka lebih mudah berintegrasi selepas bebas. Pada masa yang sama, mereka berpeluang menjana pendapatan sebagai usahawan muzik.

“Dengan sokongan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, suasana muzik jalanan yang lebih tersusun dapat diwujudkan, bukan sahaja memberi platform ekonomi kepada peserta tetapi juga menyumbang kepada ekosistem pelancongan Sabah,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Penjara Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan Tey Hock Soon berkata Jabatan Penjara Malaysia menitikberatkan kelangsungan hidup prospek ini.

“Dengan adanya persijilan, prospek diharapkan dapat meneruskan kehidupan di luar penjara melalui bimbingan tenaga pengajar Distinctone Sdn Bhd (Music Hive) serta peluang yang disediakan oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) untuk mengusahakan karya seni sekitar Kota Kinabalu, termasuk tarikan pelancong.

“Program ini juga memastikan prospek mendapat peluang kedua dan jauh dari kancah jenayah,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/08/31/muzik-beri-peluang-kedua-prospek-penjara/feed/ 0 80390
Luar biasa! Tambunan lahirkan barisan pemuzik hebat https://sabahmedia.com/2025/05/11/luar-biasa-tambunan-lahirkan-barisan-pemuzik-hebat/ https://sabahmedia.com/2025/05/11/luar-biasa-tambunan-lahirkan-barisan-pemuzik-hebat/#respond Sun, 11 May 2025 00:26:59 +0000 https://sabahmedia.com/?p=73601
Read Time:3 Minute, 3 Second

Oleh J. Evachel John

TAMBUNAN: Dikenali sebagai ‘kilang penyanyi’, Tambunan kini turut melakar nama sebagai pusat kelahiran pemuzik hebat yang bertaraf antarabangsa.

Perkembangan ini terserlah menerusi konsert tahunan House of Music Arts baru-baru ini yang menghimpunkan lebih 150 pelajar berbakat, sekali gus mencerminkan kemajuan pesat pendidikan muzik di daerah ini.

Bertemakan warna ‘maroon’ dan hitam, konsert tersebut dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambunan, Datuk Seri Dr. Jeffrey G. Kitingan.

Arddley (kiri) memberikan cenderamata kepada Jeffrey. – Foto ihsan Arddley Nicholas

Menyaksikan sendiri persembahan pelajar, Jeffrey menyatakan rasa bangga terhadap usaha yang digerakkan oleh pengasas House of Music Arts, Arddley Nicholas, bersama pasukan beliau dalam menyediakan platform pendidikan muzik kepada belia Tambunan.

“Tambunan ini memang sudah dikenali sebagai ‘kilang penyanyi’. Dengan adanya House of Music Arts, saya percaya Tambunan akan menjadi ‘kilang pemuzik’ pula. Saya menyokong penuh usaha ini, kerana muzik bukan sekadar hobi, ia satu bentuk pembangunan insan,” katanya ketika berucap merasmikan konsert itu di Dewan Johnity Kg. Karanaan.

Jeffrey memuji keberanian Arddley dalam menggunakan kepakarannya untuk mengembangkan sekolah muzik pertama di Tambunan, yang ditubuhkan pada awal 1997, dengan hanya tiga pelajar. Kini, selepas 28 tahun, House of Music Arts memiliki lebih 150 pelajar.

Tambahnya, pendidikan muzik adalah penting untuk mencungkil bakat anak-anak tempatan. Jeffrey juga menyeru agar ibu bapa memanfaatkan peluang ini untuk mendidik anak-anak melalui muzik, yang merupakan medium yang dapat membina keyakinan, ketenangan emosi, dan kreativiti.

Mengenai cadangan pembinaan bangunan khas untuk pelajar berkeperluan khas oleh House of Music Arts, Jeffrey menyatakan sokongan penuhnya.

“Tiada siapa harus dipinggirkan. Anak-anak istimewa kita juga berhak mendapat ruang yang selamat dan sesuai untuk berkarya serta mengekspresikan diri mereka melalui muzik,” katanya.

Bangunan itu, jika direalisasikan, akan menjadi simbol pendekatan inklusif dalam pendidikan dan menjadikan House of Music Arts sebagai peneraju pendidikan muzik inklusif di negeri ini.

Terdahulu, Arddley dalam ucapannya menyatakan penghargaan kepada Jeffrey dan mengakui bahawa kehadiran beliau memberi suntikan semangat kepada warga House of Music Arts, sekali gus mencerminkan sokongan padu terhadap pembangunan seni dan pendidikan muzik di peringkat akar umbi.

“Konsert ini bukan sekadar satu persembahan. Ia adalah simbol pencapaian dan dedikasi para pelajar kami, serta sokongan luar biasa daripada ibu bapa, guru dan masyarakat setempat,” katanya, sambil menekankan kepentingan kemudahan seperti bilik ‘recital’ dan ‘theatrette’ kecil untuk memupuk keyakinan pelajar tampil di hadapan khalayak dan menimba pengalaman persembahan sebenar.

Pada tahun lalu, House of Music Arts menghantar 40 pelajar ke KK Music Festival. Kesemua mereka berjaya meraih pingat emas, perak dan gangsa bersaing dengan pelajar dari seluruh Asia.

Lebih membanggakan, sekolah ini turut mencatatkan kejayaan 100 peratus lulus dalam peperiksaan muzik bertaraf antarabangsa seperti Trinity dan RSL (Rockschool).

Arddley, yang merupakan pemenang kategori Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Lelaki) Anugerah Industri Muzik Ke-23 (AIM23), menyuarakan harapan agar pencapaian cemerlang para pelajar ini dapat diiktiraf dalam sistem kokurikulum sekolah kebangsaan, sebagai tanda sokongan berterusan terhadap pembangunan bakat dan potensi anak-anak dalam bidang muzik.

Kemuncak konsert tersebut diserikan dengan kehadiran penyanyi popular Sabah, Dabra Sia, yang terkenal dengan lagu “Hanya Di Sabah”.

Dabra Sia menyanyi bersama pelajar vokal, Deanver Xavier. – Foto ihsan Arddley Nicholas

Kehadiran Dabra memberi inspirasi kepada pelajar, membuktikan bahawa kejayaan dalam bidang seni boleh dicapai walaupun bermula dari daerah kecil seperti Tambunan.

Persembahan pelajar dari seawal usia tiga tahun hingga lebih 60 tahun memukau kira-kira 400 penonton dengan gabungan instrumen moden dan tradisional, satu pementasan yang membuktikan bahawa muzik merentas generasi, latar belakang dan usia.

Kejayaan konsert itu juga menyerlahkan bakat pelajar House of Music Arts yang telah diasah dengan latihan dan dedikasi tinggi bagi melahirkan ikon seni masa depan dari Tambunan.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/05/11/luar-biasa-tambunan-lahirkan-barisan-pemuzik-hebat/feed/ 0 73601