Naik taraf – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Fri, 12 Jun 2026 14:12:45 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.0.4 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png Naik taraf – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 RM15 juta naik taraf sistem pengairan sawah padi di Membakut https://sabahmedia.com/2026/06/12/rm15-juta-naik-taraf-sistem-pengairan-sawah-padi-di-membakut/ https://sabahmedia.com/2026/06/12/rm15-juta-naik-taraf-sistem-pengairan-sawah-padi-di-membakut/#respond Fri, 12 Jun 2026 14:09:12 +0000 https://sabahmedia.com/?p=98123
Read Time:2 Minute, 38 Second

MEMBAKUT: Kerajaan Negeri Sabah memperuntukkan RM15 juta bagi menaik taraf sistem pengairan kawasan penanaman padi di Membakut menerusi Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Inisiatif itu bertujuan meningkatkan pengeluaran padi, memperkukuh produktiviti sektor pertanian serta menarik lebih ramai golongan muda menceburi bidang pertanian.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata, keputusan itu dibuat selepas pihaknya menerima maklum balas daripada penduduk mengenai beberapa kawasan sawah di Membakut yang tidak dapat diusahakan sepenuhnya.

Katanya, hasil perbincangan bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut, Datuk Dr Mohd Ariffin Mohd Arif, serta lawatan ke lokasi terlibat, beberapa isu utama berjaya dikenal pasti dan tindakan segera telah diambil.

“Antara perkara yang diberi keutamaan ialah menaik taraf sistem pengairan di kawasan sawah padi Membakut.

“Bagi tujuan itu, kementerian melalui JPS telah memperuntukkan RM15 juta pada tahun ini dan kontraktor bagi projek berkenaan juga telah dilantik,” katanya ketika ditemui media selepas lawatan kerja ke kawasan pertanian dan sawah padi di Kampung Pimping, di sini, hari ini.

Menurutnya, projek itu dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 350 ekar kawasan sawah padi di daerah berkenaan.

Jamawi berkata, selain masalah pengairan, pihaknya turut mengenal pasti isu kekurangan jentera pertanian dan gangguan ternakan yang memasuki kawasan tanaman.

Sehubungan itu, katanya, kementerian akan bekerjasama dengan Lembaga Pertubuhan Peladang bagi membantu menyediakan jentera yang diperlukan pesawah.

“Isu mekanisasi merupakan antara cabaran utama yang perlu ditangani bagi meningkatkan minat generasi muda dalam industri penanaman padi.

“Kita akan berusaha membantu dari segi penyediaan mesin, dron dan jentera menuai kerana kemudahan ini mampu meningkatkan produktiviti serta mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja manual,” katanya.

Beliau turut memaklumkan kementerian akan mengadakan perbincangan dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah bagi mengenal pasti dan menaik taraf kawasan padang ragut untuk mengelakkan lembu serta kerbau memasuki kawasan sawah.

Dalam lawatan itu, Jamawi turut dimaklumkan bahawa kira-kira 60 peratus pesawah di Membakut terdiri daripada golongan muda berusia antara 25 hingga 40 tahun.

Katanya, daripada lebih 120 pengusaha sawah di kawasan berkenaan, sekitar 60 hingga 70 orang merupakan generasi muda yang mengambil alih pengurusan sawah daripada keluarga masing-masing.

“Ini satu perkembangan yang sangat positif kerana semakin ramai generasi kedua meneruskan perusahaan keluarga dalam sektor penanaman padi.

“Perkara ini memberi keyakinan bahawa industri padi masih mempunyai masa depan yang cerah sekiranya kemudahan dan sokongan mencukupi terus disediakan,” katanya.

Menurutnya, penglibatan golongan muda amat penting bagi membantu kerajaan mencapai sasaran meningkatkan Tahap Sara Diri (SSL) beras Sabah kepada 40 peratus menjelang 2030.

Beliau menegaskan kementerian akan terus memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur, mekanisasi dan sokongan teknikal bagi memastikan sektor padi di Sabah terus berkembang secara mampan.

Terdahulu, Jamawi turut melawat ladang komersial tanaman sayuran buah seperti cili, terung dan timun yang diusahakan oleh usahawan muda berusia 33 tahun, Bryon Chung Sze Vui, yang juga mentor Program Inisiatif Kebun Dapur.

Turut hadir Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan merangkap ADUN Lumadan, Datuk Ruslan Muharam; Pengurus Besar Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS), Datuk Dr Ramle Kasin; Ketua Cawangan JPS Sabah, Ir Jaffri Bahan; Pegawai Daerah Membakut, Yuesri Ismail Yusof; Timbalan Pengarah Jabatan Pertanian Sabah, Jackson R Jaimi; serta Timbalan Pengurus Besar Lembaga Pemasaran Pertanian Sabah (SAMA), Dato Shawn Davey.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/06/12/rm15-juta-naik-taraf-sistem-pengairan-sawah-padi-di-membakut/feed/ 0 98123
Projek naik taraf Jalan Inanam–Sepanggar (Pakej WP7) Pan Borneo Sabah Fasa 1A capai 89 peratus kemajuan https://sabahmedia.com/2025/11/07/projek-naik-taraf-jalan-inanam-sepanggar-pakej-wp7-pan-borneo-sabah-fasa-1a-capai-89-peratus-kemajuan/ https://sabahmedia.com/2025/11/07/projek-naik-taraf-jalan-inanam-sepanggar-pakej-wp7-pan-borneo-sabah-fasa-1a-capai-89-peratus-kemajuan/#respond Fri, 07 Nov 2025 11:13:16 +0000 https://sabahmedia.com/?p=85194
Read Time:2 Minute, 20 Second

Oleh Florieta Diet

KOTA KINABALU: Projek menaiktaraf Jalan Inanam–Sepanggar, sebahagian daripada Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1A, mencatat kemajuan fizikal sebanyak 89 peratus setakat akhir Oktober 2025 dan dijangka siap dalam tempoh setahun.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan berkata, Pakej Kerja 7 itu kini dalam proses pembukaan jajaran utama sepanjang 9.9 kilometer (km) melalui Sijil Penghunian Sementara atau Certificate of Partial Occupation (CPO 1), meliputi laluan berterusan dari Persimpangan Kionsom hingga Sepanggar.

“Pembukaan jajaran ini dijangka memberi manfaat segera kepada pengguna jalan raya di koridor utara Kota Kinabalu, khususnya penduduk Inanam, Manggatal dan Sepanggar.

“Diharapkan dengan pembukaan jajaran tersebut, aliran trafik akan menjadi lebih lancar sementara kerja-kerja akhir diteruskan secara berperingkat. Pada masa yang sama, aspek keselamatan di tapak sentiasa diberi perhatian,” katanya dalam sidang media ketika meninjau kawasan pembinaan jajaran Pakej 7 di Manggatal di sini, hari ini.

Beliau berkata, baki kerja melibatkan penyempurnaan Persimpangan Sepanggar, Persimpangan Manggatal dan Persimpangan Tuaran, yang merupakan skop tambahan bagi pakej berkenaan. Secara keseluruhan, kemajuan projek berada dalam keadaan terkawal dan mengikut jadual hasil penyelarasan rapat antara Kementerian Kerja Raya (KKR) Malaysia, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan pihak pelaksana.

Pakej Kerja 7 merupakan segmen penting dalam rangkaian Kota Kinabalu Outer Ring Road (KKORR) atau Lebuhraya Lingkaran Luar Kota Kinabalu, bersama dua segmen lain, iaitu Pakej 6: Menaiktaraf Jalan Putatan–Inanam (20 km) dan Pakej 8: Menaiktaraf Jalan Sepanggar–Bulatan Berungis (11.7 km).

“Apabila ketiga-tiga pakej di bawah Fasa 1A ini siap sepenuhnya, ia akan membentuk satu rangkaian jalan utama yang mengelilingi kawasan Greater Kota Kinabalu. Dari sudut kejuruteraan, KKORR akan membantu mengurangkan kesesakan trafik, memendekkan masa perjalanan antara kawasan perumahan, perindustrian dan pelabuhan serta meningkatkan kecekapan logistik yang menghubungkan Pelabuhan Sepanggar, Taman Perindustrian KKIP dan koridor ekonomi utara.

“Infrastruktur tersebut turut memperkukuh daya tahan jaringan jalan raya bandar dengan menyediakan laluan alternatif kepada Jalan Tuaran Lama dan Jalan Sulaman sedia ada,” katanya.

KKR turut merakamkan penghargaan kepada JKR Malaysia, JKR Sabah, pasukan perunding serta semua pihak pelaksana atas komitmen memastikan kualiti pembinaan, keselamatan dan kemajuan sentiasa berada pada tahap tertinggi. Kerajaan kekal komited melaksanakan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah dengan penuh ketelusan, akauntabiliti dan manfaat kepada rakyat.

Sementara itu, dalam sesi taklimat bersama agensi berkaitan semasa tinjauan tersebut, beliau menegaskan supaya semua pihak melaksanakan tugas masing-masing dengan baik agar projek ini dapat disiapkan secepat mungkin, sekali gus memastikan rakyat menikmati manfaat pembangunan dengan segera.

“Sementara projek ini disiapkan, pertama, saya harap pengurusan trafik diurus dengan teliti supaya tidak berlaku kesesakan di lokasi-lokasi tertentu ketika kerja pembinaan dijalankan.

“Kedua, jalan-jalan berkaitan Pan Borneo yang digunakan sebagai laluan awam hendaklah diselenggara dengan baik. Saya tidak mahu jalan-jalan ini tidak diselenggara sehingga menyusahkan rakyat. Road barriers dan bonggol sementara hendaklah disusun dengan baik, jangan terabur sana-sini,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/11/07/projek-naik-taraf-jalan-inanam-sepanggar-pakej-wp7-pan-borneo-sabah-fasa-1a-capai-89-peratus-kemajuan/feed/ 0 85194
Projek naik taraf jambatan Kampung Lubok dijadualkan siap Ogos tahun depan – Ruslan https://sabahmedia.com/2025/10/15/projek-naik-taraf-jambatan-kampung-lubok-dijadualkan-siap-ogos-tahun-depan-ruslan/ https://sabahmedia.com/2025/10/15/projek-naik-taraf-jambatan-kampung-lubok-dijadualkan-siap-ogos-tahun-depan-ruslan/#respond Wed, 15 Oct 2025 13:07:40 +0000 https://sabahmedia.com/?p=83369
Read Time:1 Minute, 10 Second

Oleh: Rhea Dharmin

BEAUFORT: Pelaksanaan menaik taraf jambatan Kampung Lubok, Weston bernilai RM5.6 juta dijadualkan bakal siap sepenuhnya pada bulan Ogos tahun hadapan.

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan, Datuk Ruslan Muharam berkata projek yang bermula sejak beberapa bulan lepas itu telah mencapai sekitar 40 peratus.

Beliau yang juga merupakan Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) menjelaskan projek terbabit melibatkan pembinaan jambatan besi dengan dua laluan bagi menggantikan jambatan sebelum ini yang hanya mempunyai satu laluan sahaja.

Mengulas lanjut, beliau berkata pembinaan jambatan itu telah mengalami kelewatan disebabkan pemindahan tiang elektrik berdekatan kawasan sekitar tapak projek.

“Ia (projek) sudah pun dimula beberapa bulan lepas, tetapi kita mengalami gangguan pemindahan kabel elektrik yang telah makan masa sehingga enam bulan menunggu kelulusan.

“Jadi di situ ia (pembinaan jambatan) terganggu sedikit,” katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat tinjauan di tapak projek, Isnin lepas.

Dalam pada itu, beliau turut berkata pihaknya menyelesaikan beberapa masalah utama seperti masalah bekalan air dan kerja penyelenggaraan tangki penyimpanan air di kawasan terbabit demi keselesaan penduduk kawasan ini.

Selain itu, pihaknya juga melakukan kerja mendalamkan sungai Kampung Lubok berikutan golongan nelayan menghadapi masalah untuk melakukan kerja rutin mereka.

“Bila mereka (golongan nelayan) turun ke laut pagi, air sudah cetek dan mereka tidak dapat gunakan enjin bot untuk keluar… jadi mereka terpaksa mendayung dan tolak perahu.

“Tapi kini (sungai) kita sudah dalamkan sungai… boleh gunakan enjin bot terus ke laut,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/10/15/projek-naik-taraf-jambatan-kampung-lubok-dijadualkan-siap-ogos-tahun-depan-ruslan/feed/ 0 83369
Naik taraf Jalan Donggongon-Tambunan dijangka siap pada Oktober 2026 https://sabahmedia.com/2025/04/20/naik-taraf-jalan-donggongon-tambunan-dijangka-siap-pada-oktober-2026/ https://sabahmedia.com/2025/04/20/naik-taraf-jalan-donggongon-tambunan-dijangka-siap-pada-oktober-2026/#respond Sun, 20 Apr 2025 13:16:32 +0000 https://sabahmedia.com/?p=72359
Read Time:2 Minute, 20 Second

Oleh FLORIETA DIET

PENAMPANG: Projek menaik taraf Jalan Donggongon – Tambunan (dari Persimpangan ITCC ke Persimpangan Jalan Datuk Panglima Banting) dijangka siap pada Oktober 2026, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Katanya, projek bernilai RM299.76 juta ini telah diluluskan di bawah Rolling Plan-2, Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) ini dan telah dimulakan pada 25 Oktober 2022.

“Setakat ini, kemajuan projek mencatatkan pencapaian sebanyak 13.06 peratus. Projek ini akan meningkatkan tahap perkhidmatan jalan (Level of Service, LOS) daripada LOS E kepada sekurang-kurangnya ke LOS C semasa waktu puncak. Projek naik taraf ini bakal menjimatkan masa perjalanan sehingga 30 minit dan membantu menyuraikan aliran trafik yang sesak melalui peningkatan sistem perhubungan utama dari Kota Kinabalu ke Tambunan,” katanya selepas mendengar sesi taklimat daripada Jabatan Kerja Raya Penampang pada Ahad (20 April).

Namun, beliau menjelaskan kelancaran pelaksanaan projek tersebut agak terganggu kerana isu pengambilan tanah dan kos pengambilan tanah yang belum selesai. Sebanyak 144 lot dikenal pasti dalam kawasan projek, merangkumi 98 lot tanah dan 46 struktur, namun bayaran pampasan masih tertangguh meskipun proses pengukuran sudah dibuat.

Tambah beliau, peruntukan awal sebanyak RM30 juta tidak mencukupi untuk menampung kos pengambilan tanah tersebut.

“Selagi pembayaran belum dibuat, sudah tentulah kerja-kerja seperti pengalihan utiliti dan pembinaan jalan tidak boleh dilaksanakan di kawasan yang terlibat,”katanya.

Beliau juga menjelaskan, dalam masa terdekat ini, satu mesyuarat koordinasi diadakan bersama pihak yang berkenaan bagi menyelesaikan isu ini. Kontraktor tidak menghadapi masalah besar, namun isu pengambilan tanah dan utiliti menjadi kekangan utama mereka.

Kataya, skop projek berkenaan adalah merangkumi;

i.             Menaik taraf Jalan Penampang Bypass dan Jalan Penampang – Tambunan dari lTCC ke Balai Polis Penampang daripada jalan berkembar empat lorong kepada jalan berkembar enam lorong sepanjang 2.5 kilometer (km).

ii.            Menaik taraf jalan dari persimpangan Balai Polis ke persimpangan Jalan Datuk Panglima Banting daripada jalan tunggal dua lorong kepada jalan berkembar empat lorong sepanjang 1.6 km;

iii.           Menaik taraf Jalan Penampang Lama daripada jalan berkembar empat lorong kepada jalan berkembar enam lorong sepanjang 0.8 km

iv.           Membina sebuah persimpangan bertingkat di Bulatan Sigah sepanjang 580meter, termasuk dua kemudahan khas pusingan U di bawah struktur bertingkat tersebut;

v.            Membina dua jambatan konkrit pratuang di Sungai Kibabaig sepanjang 30 meter

vi.           Membina tiga pusingan U bermeter di dua lokasi strategik; serta

vii.          Membina satu jejantas pejalan kaki di satu lokasi yang dikenal pasti.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/04/20/naik-taraf-jalan-donggongon-tambunan-dijangka-siap-pada-oktober-2026/feed/ 0 72359
Lebih 3,000 penduduk terima manfaat menerusi naik taraf jalan raya https://sabahmedia.com/2024/12/15/lebih-3000-penduduk-terima-manfaat-menerusi-naik-taraf-jalan-raya/ https://sabahmedia.com/2024/12/15/lebih-3000-penduduk-terima-manfaat-menerusi-naik-taraf-jalan-raya/#respond Sun, 15 Dec 2024 06:07:30 +0000 https://sabahmedia.com/?p=65462
Read Time:1 Minute, 38 Second

Sook : Lebih 3,000 penduduk melibatkan 15 buah kampung bakal menikmati jalan raya lebih selesa apabila Jalan Rancangan Belia Tiulon ke Kampung Simbuan di sini dinaiktaraf sejak September lalu dan mengambil masa penyiapan selama tiga tahun.

Ahli Parlimen Pensiangan Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, projek itu merupakan salah satu daripada perancangan pembangunan di daerah Sook yang berjaya direalisasikan meskipun berhadapan dengan beberapa rintangan.

Katanya, ia juga adalah hasil kerjasama erat antara Pejabat Daerah Kecil Sook, Jabatan Kerja Raya Daerah Keningau dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

“Pelaksanaan projek menaiktaraf ini mencerminkan manifestasi Malaysia Madani yang memberi penekanan kepada aspek keterangkuman, kemampanan dan keadilan sosial terutamanya dalam menyokong pembangunan sosio-ekonomi serta mewujudkan persekitaran kehidupan luar bandar yang sejahtera dan makmur.

“Projek sejauh 22.85 km ini merangkumi pembinaan tiga buah jambatan konkrit baharu selain menaiktaraf sistem peparitan untuk mengalirkan air larian permukaan yang sering kali menyebabkan berlakunya banjir di sepanjang jajaran ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Arthur berkata, pelaksanaan projek akan mengambil masa selama tiga tahun dan dijangka siap pada suku keempat tahun 2027.

“Dengan pembinaan projek ini, ianya akan dapat menjimatkan masa dan kos perjalanan lebih selamat selain mampu menjana peningkatan ekonomi setempat.

“Selain memberi manfaat kepada penduduk kampung sekitar untuk mengangkut hasil-hasil tanaman serta memberi kemudahan perjalanan kepada penduduk kampung,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan kawasan Rancangan Belia Tiulon, Sook sedang pesat membangun hasil daripada pelaksanaan agenda pembangunan yang dirancang.

Jelasnya lagi, dalam tahun ini sahaja sebanyak empat projek pembangunan telah dilancarkan antaranya pembinaan bangunan sekolah baharu SK Rancangan Belia Tiulon; Menara telekomunikasi RBT yang telah siap dan pada masa ini memberi perkhidmatan telefon dan internet yang stabil; Projek Pembinaan Tamu RBT baharu yang sedang dalam pembinaan, dan Projek Menaiktaraf Jalan Rancangan Belia Tiulon – Kampung Simbuan.

Sehubungan itu, Arthur berharap agar semua usaha pembangunan yang dibawa ini akan mentransformasikan kawasan Rancangan Belia Tiulon hingga ke Kampung Simbuan termasuk 15 buah kampung di kawasan tersebut untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat. – SABAH MEDIA

]]>
https://sabahmedia.com/2024/12/15/lebih-3000-penduduk-terima-manfaat-menerusi-naik-taraf-jalan-raya/feed/ 0 65462
MASB naik taraf KKIA dan Lapangan Terbang Tawau https://sabahmedia.com/2023/07/25/masb-naik-taraf-kkia-dan-lapangan-terbang-tawau/ https://sabahmedia.com/2023/07/25/masb-naik-taraf-kkia-dan-lapangan-terbang-tawau/#respond Tue, 25 Jul 2023 12:53:48 +0000 https://sabahmedia.com/?p=38929
Read Time:1 Minute, 36 Second

KOTA KINABALU: Malaysia Airports Sdn Bhd (MASB) memperuntukkan sejumlah RM8.4 juta untuk menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

Perkara itu dimaklumkan kepada Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina oleh Pengurusan MASB semasa kunjungan hormat empat anggota MASB diketuai oleh Pengurus Besar Kanan Kamaruzzaman Razali di pejabat Kementerian pada Selasa untuk memberi taklimat kepada Christina mengenai Pelan Pengoptimuman KKIA.

Christina berkata daripada jumlah itu, RM1.4 juta akan dibelanjakan untuk menambah baik tandas awam di lapangan terbang, manakala bakinya akan digunakan untuk projek menaik taraf lain. Ini termasuk penurapan semula landasan, dan menaik taraf lot komersial serta Sistem Pengumuman Awam (PA System).

Dalam pada itu, katanya, MASB turut memperuntukkan sejumlah RM11 juta untuk pelan pengoptimuman Lapangan Terbang Tawau.

Menurutnya, pelan itu melibatkan penyediaan tandas tambahan, menaik taraf kawasan daftar masuk dengan pengasingan yang betul antara segmen antarabangsa dan domestik, membesarkan ruang rehat berlepas, menambah lebih banyak lot kedai dan menutup kawasan lapang untuk pemasangan unit penyaman udara.

“Saya sangat gembira mendengar berita baik daripada MASB. Pelan pengoptimuman ini paling tepat pada masanya, memandangkan peningkatan berterusan pelancong ke Sabah selepas kami membuka semula sempadan antarabangsa kami. Pelan untuk kedua-dua KKIA dan Lapangan Terbang Tawau adalah untuk kemudahan pelancong.

“Kerja dijangka bermula tahun ini tetapi pelaksanaan mengambil masa. Sebagai contoh, membina lebih banyak tandas mungkin mengambil masa enam hingga lapan bulan untuk disiapkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, semasa taklimat itu, Kamaruzzaman berkata KKIA adalah lapangan terbang kedua tersibuk di Malaysia dari segi pengendalian penumpang.

“Ia direka untuk kapasiti 9 juta penumpang setahun (mppa). Sehingga Jun tahun ini (tahun awal hingga kini (YTD), lapangan terbang itu telah mengendalikan 3,299,076 penumpang dengan 28,642 pergerakan pesawat,” katanya.

Turut hadir Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian I Mary Malangking, Pengurus Kanan Mohd Sabri Abd Aziz (Kejuruteraan, Ibu Pejabat MASB, Kuala Lumpur), Pengurus Kanan Sunif Naiman (Operasi, Ibu Pejabat MASB, Kuala Lumpur) dan Pengurus Operasi KKIA Hassim Duman.

]]>
https://sabahmedia.com/2023/07/25/masb-naik-taraf-kkia-dan-lapangan-terbang-tawau/feed/ 0 38929
Usaha naik taraf jalan luar bandar sedang giat dilaksanakan – Shahelmey https://sabahmedia.com/2023/03/10/usaha-naik-taraf-jalan-luar-bandar-sedang-giat-dilaksanakan-shahelmey/ https://sabahmedia.com/2023/03/10/usaha-naik-taraf-jalan-luar-bandar-sedang-giat-dilaksanakan-shahelmey/#respond Fri, 10 Mar 2023 04:35:24 +0000 https://sabahmedia.com/?p=30596
Read Time:1 Minute, 51 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

PUTATAN: Kerajaan Sabah sedang giat dalam usaha menaik taraf keadaan penghubung jalan raya khususnya jalan-jalan luar bandar di negeri ini.

Mengulas mengenai seorang penceramah terkenal Syamsul Debat bercerita pengalaman beliau melalui jalan raya yang teruk di daerah Pitas, Sabah, Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, pihak kementeriannya sedang menilai jalan-jalan luar bandar di negeri ini yang perlu dinaiktarafkan.

“Pada masa ini, ada beberapa batang jalan raya di sekitar Ranau dan Pitas yang sudah diberi kontrak untuk dinaik taraf pembinaannya tetapi jalan yang dimaksudkan oleh penceramah Syamsul Debat dalam TikTok tersebut, saya belum pasti sama ada ianya termasuk dalam projek naik taraf atau belum.

“walau bagaimanapun ya, kita akan berusaha untuk menaik taraf jalan-jalan luar bandar yang dalam keadaan teruk tetapi bergantung kepada peruntukan semasa daripada tahun ke tahun,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Upacara Pecah Tanah Kompleks Rumah Anak Yatim dan Asnaf As-Sakinah di Taman Pantai Lok Kawi dekat sini hari ini. (10 Mac)

Menurut Shahelmey, projek menaik taraf jalan raya luar bandar ada yang sudah bermula pembinaannya dan ada yang belum bergantung kepada klasifikasi jalan.

“Projek naik taraf jalan raya ada yang sudah bermula pembinaannya, ada juga yang belum, di kawasan luar bandar ini, ia ada klasifikasi jalan, ada yang sudah bertaraf jalan luar bandar masuk ke dalam senarai Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Selain ada jalan yang sebenarnya jalan balak yang belum lagi masuk dalam senarai JKR tetapi ia turut digunakan oleh penduduk kampung yang membina rumah setelah jalan tersebut dibuka, jadi inilah antara cabaran kita iaitu untuk melihat sama ada jalan-jalan ini memang sudah dimasukkan dalam senarai JKR atau belum,” jelasnya.

Baru-baru ini tular di media sosial melalui aplikasi ‘TikTok’ penceramah terkenal Syamsul Amri Ismail atau Syamsul Debat bercakap mengenai pengalaman beliau semasa mengadakan lawatan dakwah ke sebuah kampung di kawasan pedalaman daerah Pitas, di negeri ini.

Dalam video berdurasi 3.50 minit itu, beliau berkata, jalan masuk ke kampung tersebut sangat sukar dengan keadaan jalan raya yang teruk dan tidak boleh dilalui semasa hujan.

Prihatin dengan keadaan penduduk yang tinggal di kawasan tersebut, Syamsul berharap agar pihak yang berkenaan tampil untuk memperbaiki atau menaik taraf jalan tersebut dengan segera.

]]>
https://sabahmedia.com/2023/03/10/usaha-naik-taraf-jalan-luar-bandar-sedang-giat-dilaksanakan-shahelmey/feed/ 0 30596
Projek naik taraf Loji Rawatan Air Kogopon Papar kini dalam penilaian terakhir tender – Armizan https://sabahmedia.com/2023/02/10/projek-naik-taraf-loji-rawatan-air-kogopon-papar-kini-dalam-penilaian-terakhir-tender-armizan/ https://sabahmedia.com/2023/02/10/projek-naik-taraf-loji-rawatan-air-kogopon-papar-kini-dalam-penilaian-terakhir-tender-armizan/#respond Fri, 10 Feb 2023 11:32:40 +0000 https://sabahmedia.com/?p=29351
Read Time:2 Minute, 58 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

PAPAR: Projek Penambahan Kapasiti Loji Rawatan Air Kogopon dari 40 juta liter sehari (JLH) kepada 80 JLH kini dalam penilaian terakhir tender, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Malaysia(Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali.

“Alhamdulillah berdasarkan taklimat hari ini, kita difahamkan projek ini dalam peringkat akhir penilaian tender dan dalam masa yang terdekat ini ia akan dibawa ke lembaga tender di peringkat Kementerian Kewangan Negeri Sabah,” kata Armizan pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Loji Rawatan Air Kogopon, Papar kira-kira 25 kilometer dari Kota Kinabalu, hari ini.

Menurut Armizan, projek tersebut merupakan satu projek peruntukannya adalah melalui pinjaman persekutuan dan beliau berharap agar projek ini bukan hanya dapat diputuskan tendernya dalam masa terdekat tetapi juga boleh bermula pada tahun ini juga.

“Jadi saya berharap paling lewat suku tahun ini projek ini akan dapat dimulakan pada tahun ini kerana projek Loji Rawatan Air Kogopon fasa 2 ini dari 40 JLH kepada 80 JLH.

“InsyaAllah kalau siap pada tahun 2026, ia akan dapat menangani masalah air di kawasan Papar khususnya di kawasan Kinarut yang berhadapan dengan masalah gangguan air yang agak serius,” katanya.

Dalam lawatan itu, beliau turut memaklumkan kepada Pegawai Daerah Papar agar projek tersebut dimasukkan sebagai salah satu agenda Majlis Tindakan Daerah.

“Saya mahu progres projek ini dimasukkan sebagai salah satu agenda dalam Majlis Tindakan Daerah supaya kita dapat memantau, bukan sahaja di peringkat sekarang tetapi setelah kontraktor dilantik dan seterusnya kita mahu 2026 biarlah projek itu benar-benar siap dan isu air dapat ditangani,” tegasnya.

Menurutnya, secara keseluruhan Armizan merujuk kepada projek ini sebenarnya telah diluluskan pinjaman persekutuannya pada tahun 2011.

“Secara dasarnya projek ini telah diluluskan peruntukannya pada 2011 namun pra pelaksanaan itu berlangsung begitu lama lebih daripada 10 tahun dan hanya pada tahun lepas 2022 peringkat akhir diselesaikan.

“Oleh kerana pra pelaksanaannya cukup lama, yang saya fikir perlu diatasi kerana yang pertamanya melibatkan kepentingan rakyat, isu rakyat, bayangkan kalau sampai 10 tahun untuk tender diserahkan, rakyat terpaksa berhadapan masalah yang kecil menjadi lebih besar,” jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau turut menjelaskan dari segi nilai projek tersebut pada 10 tahun yang lepas semasa diluluskan jika dibandingkan dengan hari ini pastinya ia akan meningkat sebagaimana projek ini kelulusan awalnya adalah RM312 juta.

“Namun kerana pelaksanaannya agak lama yang belum kita lihat apa sebenarnya, kita tidak menyalahkan mana-mana pihak sebelum kita kaji dalam tempoh tersebut nilainya terpaksa ditingkatkan pada kadar 25 peratus lagi, jadi perlu tambahan RM67 juta untuk pelaksanaan, jadi ini dua isu berlaku bila pelaksanaannya cukup lama,” ujarnya.

Tambahnya, isu rakyat akan menjadi lebih besar dan nilai projek yang ditanggung juga akan lebih besar.

“Jadi saya fikir benda ini ada penyelarasan sama ada di peringkat negeri dan juga peringkat persekutuan kerana ini melibatkan peruntukan daripada persekutuan untuk kita atasi, adakah birokrasi ataupun adakah halangan-halangan yang menyebabkan boleh berlakunya kelewatan dari segi pra pelaksanaan projek, dari segi pelaksanaan pula kita khuatir ada masalah oleh kontraktor dan sebagainya,” katanya.

Armizan turut menyatakan keyakinannya terhadap kepakaran dalam bidang kejuruteraan yang ada pada Menteri Kerja Raya Sabah Datuk Ir Shahelmey Yahya.

“Saya harap di peringkat negeri mahupun persekutuan saya yakin dengan Datuk Ir Shahelmey yang mempunyai kepakaran dalam kejuruteraan, beliau dapat memasuki bahawa Sabah mempunyai persiapan yang cukup untuk menggerakkan projek-projek peruntukan persekutuan.

“Ini adalah kerana YAB Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ada menyebut dalam lawatan di Sarawak bahawa beliau ingin melihat sekiranya pelaksanaan untuk projek RM50 juta maximum ini berjalan dengan baik, beliau tidak ada masalah untuk meningkatkan hak tersebut diberi kuasa kepada agensi di peringkat negeri,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2023/02/10/projek-naik-taraf-loji-rawatan-air-kogopon-papar-kini-dalam-penilaian-terakhir-tender-armizan/feed/ 0 29351
KKM perlu naik taraf Hospital Daerah Tenom, atasi segera masalah tempat menyimpan mayat – Riduan https://sabahmedia.com/2022/12/06/kkm-perlu-naik-taraf-hospital-daerah-tenom-atasi-segera-masalah-tempat-menyimpan-mayat-riduan/ https://sabahmedia.com/2022/12/06/kkm-perlu-naik-taraf-hospital-daerah-tenom-atasi-segera-masalah-tempat-menyimpan-mayat-riduan/#respond Tue, 06 Dec 2022 07:00:00 +0000 https://sabahmedia.com/?p=25886
Read Time:1 Minute, 30 Second

TENOM: Kementerian Kesihatan Malaysia diminta segera mengatasi masalah beberapa fasiliti di Hospital Daerah Tenom yang daif dan tidak dapat digunakan, terutamanya peti sejuk tempat menyimpan mayat.

Ahli Parlimen Tenom, Riduan Rubin berkata, masalah kerosakan pada peti sejuk tempat simpanan mayat telah menyusahkan rakyat kerana mayat si mati terpaksa dihantar dan disimpan di Hospital Daerah Keningau.

Menurutnya, dalam kes tertentu, mayat si mati terpaksa dikebumikan segera kerana tiada tempat menyimpannya.

“Masalah kerosakan peti sejuk tempat simpanan mayat di Hospital Daerah Tenom telah berlaku sekian lama. Justeru saya berharap KKM dan Jabatan Kesihatan Sabah dapat menyelesaikan masalah itu pada kadar segera demi kemudahan rakyat Tenom”, katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan dan meninjau Hospital Daerah Tenom, dekat sini selepas menerima aduan daripada orang ramai berhubung permasalahan bidang kesihatan di Tenom.

Riduan berkata, fasiliti lain yang memerlukan perhatian KKM ialah keadaan bilik posmortem yang sudah daif, kekurangan mesin dialisis untuk pesakit buah pinggang, masalah air yang berpunca daripada kapasiti tangki yang tidak mencukupi untuk menyimpan air, masalah kekurangan mesin rawatan dan peralatan hospital yang tidah berfungsi dengan baik, disamping keadaan hospital yang daif.

Katanya, pihak Hospital Daerah Tenom telah memberikan komitmen untuk menyelesaikan isu utama itu selewat-lewatnya akhir bulan Disember ini.

“Sudah tiba masanya KKM menaik taraf Hospital Daerah Tenom dan menggantikan mesin dan peralatan lama dengan peralatan baharu kerana rakyat mengharapkan perkhidmatan kesihatan yang baik dan berkualiti daripada Kerajaan Perpaduan.

“Saya berharap Menteri Kesihatan yang baharu, Dr.Zaliha Mustafa akan memberi keutamaan kepada rayuan penduduk Tenom yang mengharapkan perkhidmatan kesihatan yang baik disamping infrasrtuktur kesihatan yang mencukupi”, tegasnya.

Beliau juga berharap pihak Hospital Daerah Tenom kelak akan memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat Tenom setelah permasalahan dalam bidang kesihatan telah diatasi.

]]>
https://sabahmedia.com/2022/12/06/kkm-perlu-naik-taraf-hospital-daerah-tenom-atasi-segera-masalah-tempat-menyimpan-mayat-riduan/feed/ 0 25886
Hajiji Mohon Kerajaan Persekutuan Naik Taraf Hospital Tuaran https://sabahmedia.com/2021/08/21/hajiji-mohon-kerajaan-persekutuan-naik-taraf-hospital-tuaran/ https://sabahmedia.com/2021/08/21/hajiji-mohon-kerajaan-persekutuan-naik-taraf-hospital-tuaran/#respond Sat, 21 Aug 2021 08:10:13 +0000 https://sabahmedia.com/?p=5009
Read Time:1 Minute, 39 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

TUARAN: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor memohon kepada kerajaan Persekutuan untuk menaik taraf Hospital Tuaran sebagai hospital pakar.

Hajiji berkata, kedudukan Hospital Tuaran di jalan utama bagi pembinaan jalan Pan Borneo dan laluan utama yang menghubungkan Bandaraya Kota Kinabalu, pantai barat utara dan pantai timur Sabah, amat sesuai untuk dinaik taraf sebagai hospital pakar.

“Selain itu, hospital ini masih mempunyai kawasan tapak pembinaan yang mencukupi. Justeru, usaha menaiktaraf ke hospital pakar amat penting.

“Ini juga adalah permintaan tinggi daripada rakyat untuk mempunyai satu hospital pakar yang dilengkapi dengan kemudahan perubatan.

“Terutama ketika pandemik COVID-19 ini, usaha menaiktaraf Hospital Tuaran ini amat perlu dan kita berharap ia dapat direalisasikan,” katanya dalam sidang media selepas melakukan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Sri Sulaman di sini pada Sabtu.

Menurut Hajiji lagi, dengan menaiktaraf Hospital Tuaran menjadi hospital pakar ini akan memberi tumpuan sepenuhnya kepada kepakaran kawalan infeksi (jangkitan) kerana belum ada hospital di Sabah yang memfokuskan kepakaran dalam bidang ini dan juga menjadi surgical base.

Selain hospital pakar, Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri berkata kerajaan negeri juga berharap kerajaan Persekutuan dapat membantu membina klinik kesihatan di dua kawasan di Tuaran iaitu Sulaman dan Pantai Dalit.

“Dengan adanya kemudahan kesihatan ini, ia membolehkan penduduk setempat mendapat rawatan awal selain di hospital kerajaan,” katanya.

Terdahulu dalam lawatan kerja sehari ke Tuaran, Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman turut melakukan lawatan ke Hospital Tuaran dan menerima bakul makanan daripada Persatuan Jurutera Malaysia Cawangan Sabah ( ACEM) dan Syarikat Forever Living, untuk diserahkan kepada penduduk yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Beliau turut menerima taklimat berkaitan Hospital Tuaran yang disampaikan oleh Pengarahnya, Dr G Mohan Gopal Naidoo.

Hajiji juga melawat pusat ternakan udang galah di Kampung Shabandar, di sini.

Turut hadir semasa lawatan itu ialah Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim; Pembantu Menteri Kewangan negeri, Jasnih Daya dan Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Joniston Bangkuai serta Pegawai Daerah Tuaran, Sadan Hussain.

]]>
https://sabahmedia.com/2021/08/21/hajiji-mohon-kerajaan-persekutuan-naik-taraf-hospital-tuaran/feed/ 0 5009