oku – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Tue, 28 Apr 2026 07:11:52 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.0.2 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png oku – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 OKU digalak ceburi sukan memanah para bina keyakinan diri https://sabahmedia.com/2026/04/28/oku-digalak-ceburi-sukan-memanah-para-bina-keyakinan-diri/ https://sabahmedia.com/2026/04/28/oku-digalak-ceburi-sukan-memanah-para-bina-keyakinan-diri/#respond Tue, 28 Apr 2026 07:11:48 +0000 https://sabahmedia.com/?p=95707
Read Time:2 Minute, 7 Second

KOTA KINABALU: Golongan orang kurang upaya (OKU) digalakkan menceburi sukan memanah para sebagai platform membina keyakinan diri, selain meningkatkan kesejahteraan fizikal dan mental.

Saranan itu selari dengan penubuhan Kelab Memanah Strong Will yang mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pertama pada 2 April 2026 di dewan bengkel St. John Ambulans Malaysia, di sini.

Presidennya, Paul Leong berkata, kelab berkenaan bukan sahaja berperanan melahirkan atlet berpotensi, malah membuka ruang kepada golongan OKU untuk terlibat secara aktif dalam sukan.

Menurutnya, penubuhan kelab itu juga berkait rapat dengan perkembangan awal pasukan memanah para Sabah yang bermula pada tahun 2016.

“Ketika itu, pasukan hanya dianggotai kira-kira enam pemanah iaitu tiga lelaki dan tiga wanita. Selepas enam bulan latihan, mereka dipilih menyertai SUKMA 2016 di Kuching, Sarawak.

“Walaupun masih baharu, pasukan berjaya meraih tiga pingat gangsa sebagai permulaan yang membanggakan,” katanya dalam ucapan alu-aluan sempena AGM tersebut.

Beliau berkata, sejak itu pasukan memanah para Sabah terus berkembang dengan penyertaan dalam beberapa kejohanan peringkat kebangsaan serta berjaya meraih pelbagai pingat.

Tambahnya, kejayaan tersebut turut membuka laluan kepada tiga atlet Sabah untuk menyertai skuad kebangsaan dan menjalani latihan di Pusat Latihan Kecemerlangan Paralimpik di Kampung Pandan, Kuala Lumpur.

“Sebahagian besar atlet juga telah mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa antaranya di Republik Czech, Jakarta, Bangkok, Belanda dan Dubai,” katanya.

Mengulas lanjut, Paul berkata, penubuhan Kelab Memanah Strong Will adalah selaras dengan keperluan semua sukan para di negeri ini untuk mempunyai kelab sendiri di bawah badan induk.

Katanya, kelab itu didaftarkan secara rasmi pada 30 Oktober 2025 di bawah Pesuruhjaya Sukan Malaysia dengan Sijil No. C-SBH-16915.

“Nama Strong Will mencerminkan kekuatan semangat atlet-atlet istimewa dalam mengejar kejayaan serta melambangkan ketabahan, disiplin dan usaha berterusan untuk memperbaiki diri,” jelasnya.

Beliau menambah, antara objektif utama kelab adalah mengenal pasti dan melatih bakat baharu bagi mewakili negeri serta negara ke peringkat lebih tinggi.

Dalam masa sama, katanya, kelab turut komited menggalakkan lebih ramai OKU untuk menyertai sukan memanah para.

“Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan dan tiada yang mustahil,” katanya.

Paul dibantu Timbalan Presiden, Elaine Van Shuk Lei; Setiausaha Agung, Lidwina Isidore Andilah; Bendahari, Mohammad Naqiyuddin Mohamad Nadzri serta tujuh ahli jawatankuasa lain.

Dua Juruaudit Dalaman turut dilantik iaitu Peter Lai Bui Nyap dan Arthur Sinabil.

Kelab berkenaan kini bernaung di bawah Persatuan Sukan dan Rekreasi Untuk Orang Kurang Upaya Negeri Sabah (PESRON) serta Persatuan Memanah Daerah Kota Kinabalu.

Sehubungan itu, pihak kelab berharap dapat memperoleh sokongan dana daripada kerajaan negeri, sektor swasta serta organisasi tempatan dan antarabangsa bagi memperkasa pembangunan sukan memanah para serta meningkatkan kesejahteraan atlet di Sabah.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/04/28/oku-digalak-ceburi-sukan-memanah-para-bina-keyakinan-diri/feed/ 0 95707
UMS perkasa keterangkuman, lantik wakil mahasiswa OKU dalam MPP https://sabahmedia.com/2026/04/08/ums-perkasa-keterangkuman-lantik-wakil-mahasiswa-oku-dalam-mpp/ https://sabahmedia.com/2026/04/08/ums-perkasa-keterangkuman-lantik-wakil-mahasiswa-oku-dalam-mpp/#respond Wed, 08 Apr 2026 06:01:10 +0000 https://sabahmedia.com/?p=94500
Read Time:1 Minute, 30 Second

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memperkukuh komitmen terhadap pendidikan inklusif apabila melantik wakil mahasiswa Orang Kurang Upaya (OKU) dalam Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) bagi sesi 2025/2026.

Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansor berkata, pelantikan wakil mahasiswa OKU dalam MPP merupakan langkah signifikan dalam memastikan suara golongan berkenaan terus diangkat dalam sistem kepimpinan pelajar universiti.

Menurutnya, inisiatif itu bukan sahaja memberi ruang kepada mahasiswa OKU untuk terlibat secara langsung dalam tadbir urus MPP, malah memperkukuh usaha universiti dalam menjaga kebajikan serta kepentingan mereka secara lebih menyeluruh.

“UMS komited memastikan tiada pelajar yang terpinggir, termasuk mahasiswa OKU. Penyertaan mereka dalam MPP membolehkan pandangan dan keperluan mereka diambil kira secara langsung dalam proses membuat keputusan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan sesi penyerahan watikah pelantikan MPP (lantikan OKU) yang berlangsung pada Isnin di Bilik Mesyuarat Naib Canselor, Bangunan Canselori.

Watikah pelantikan itu diserahkan kepada pelajar tahun dua Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Mohammad Azrie Rodi.

Untuk rekod, Azrie juga merupakan Presiden Kelab Mahasiswa OKU UMS dan merupakan OKU penglihatan akibat penyakit Retinitis Pigmentosa.

Mengulas lanjut, Kasim berkata lantikan itu selaras dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi dalam memperkasa pendidikan inklusif di institusi pengajian tinggi.

Katanya, langkah berkenaan turut mencerminkan komitmen berterusan UMS dalam mewujudkan persekitaran kampus yang mesra OKU serta membuka lebih banyak peluang kepada mahasiswa berkeperluan khas untuk menyerlahkan potensi diri.

“Pada masa sama, lantikan Azrie turut bertepatan dengan hala tuju UMS dalam memperkukuh inisiatif penjenamaan UMS The Brain of Borneo yang menekankan nilai teras B.R.A.I.N, khususnya elemen ‘Inclusive’ (keterangkuman),” katanya.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dr Raman Noordin; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Azmi Jumat; Pengarah Pusat Pengurusan OKU, Dr Zaiton Mohamed; Presiden MPP, Allen Paul Justinus Situ; serta wakil Jawatankuasa Pilihan Raya Kampus.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/04/08/ums-perkasa-keterangkuman-lantik-wakil-mahasiswa-oku-dalam-mpp/feed/ 0 94500
OKU kesal petak parkir khas disalah guna, gesa penguatkuasaan lebih adil https://sabahmedia.com/2026/02/22/oku-kesal-petak-parkir-khas-disalah-guna-gesa-penguatkuasaan-lebih-adil/ https://sabahmedia.com/2026/02/22/oku-kesal-petak-parkir-khas-disalah-guna-gesa-penguatkuasaan-lebih-adil/#respond Sun, 22 Feb 2026 08:06:09 +0000 https://sabahmedia.com/?p=92039
Read Time:1 Minute, 29 Second

KOTA KINABALU: Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) meluahkan rasa kecewa selepas dikenakan kompaun parkir walaupun mendakwa dua kenderaan tanpa pelekat OKU dibiarkan menggunakan petak khas di Penampang.

Francis Xavier berkata, beliau terpaksa meletakkan kenderaan di petak parkir biasa berbayar selepas gagal mendapatkan ruang khas OKU yang didakwanya digunakan oleh individu bukan OKU.

“Saya mencari tempat letak kereta hampir 20 minit tetapi tidak menemui sebarang kekosongan kerana kesesakan dan satu-satunya petak OKU yang berhampiran dengan destinasi saya telah digunakan oleh individu bukan OKU,” katanya ketika dihubungi.

Francis yang tidak mempunyai kaki dan menggunakan kerusi roda untuk bergerak berkata, ruang parkir khas amat penting baginya bagi membolehkan beliau keluar dari kenderaan dan menaiki kerusi roda dengan selamat sebelum meneruskan urusan.

Menurutnya, beliau mempersoalkan tindakan penguat kuasa yang didakwa tidak mengambil tindakan terhadap dua kenderaan yang diparkir di petak OKU tanpa pelekat sah.

“Apabila saya pergi membayar kompaun dan bertanya kepada petugas, dimaklumkan pemilik kenderaan berkenaan hanya berada di situ untuk tempoh singkat.

“Saya berpusing hampir 20 minit dan meletakkan kenderaan di petak lain tidak sampai tempoh itu. Kereta saya jelas mempamerkan pelekat OKU tetapi saya tetap dikenakan kompaun, sedangkan dua kereta itu masih berada di situ tanpa sebarang saman,” dakwanya.

Francis berkata, insiden berkenaan bukan kali pertama berlaku kerana beliau pernah berdepan situasi sama sebelum ini, termasuk dikenakan saman walaupun mempamerkan pelekat OKU yang sah.

Bagaimanapun, katanya, saman tersebut dibatalkan selepas pegawai berkaitan memahami keadaan dan mengakui berlaku kesilapan.

“Ini bukan soal membayar kompaun, tetapi soal hak kami sebagai golongan OKU. Kami sudah berdepan pelbagai cabaran, namun masih ada yang mengambil kesempatan terhadap kemudahan yang diperuntukkan untuk kami,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa masyarakat agar lebih peka dan tidak menyalahgunakan petak parkir khas OKU, selain meminta pihak berkuasa melaksanakan penguatkuasaan secara adil, tegas dan berperikemanusiaan.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/02/22/oku-kesal-petak-parkir-khas-disalah-guna-gesa-penguatkuasaan-lebih-adil/feed/ 0 92039
Dr Fatimah Sabrina terima Anugerah Inspirasi OKU AIKON 2025 Peringkat Kebangsaan https://sabahmedia.com/2025/12/13/dr-fatimah-terima-anugerah-inspirasi-oku-aikon-2025-peringkat-kebangsaan/ https://sabahmedia.com/2025/12/13/dr-fatimah-terima-anugerah-inspirasi-oku-aikon-2025-peringkat-kebangsaan/#respond Sat, 13 Dec 2025 05:00:49 +0000 https://sabahmedia.com/?p=88199
Read Time:1 Minute, 36 Second

SHAH ALAM: Dr. Fatimah Sabrina Moahmmad, seorang OKU fizikal sejak 2015 yang berasal dari Sabah, menerima Anugerah Inspirasi Kecemerlangan OKU Nusa UiTM (AIKON) 2025 pada peringkat kebangsaan sempena Majlis Sambutan Hari Orang Kurang Upaya (OKU) Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang berlangsung di AEON Hall, AEON Mall di sini, semalam.

Majlis anjuran Bahagian Perkhidmatan dan Pembangunan OKU UiTM itu membawa tema “Masyarakat Inklusif OKU, Kunci Kemajuan Sosial”, selaras dengan komitmen UiTM memperkasa penyertaan komuniti OKU secara inklusif dan bermakna.

Majlis perasmian disempurnakan Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin, yang menekankan kepentingan ekosistem sokongan menyeluruh di institusi pengajian tinggi bagi melahirkan warga OKU berdaya saing dan mampu menyumbang kepada pembangunan negara.

Dr. Fatimah yang juga seorang doktor perubatan, penjawat awam serta pelajar PhD di Universiti Malaysia Sabah (UMS), dikenali sebagai tokoh OKU yang aktif menggerakkan inisiatif berimpak tinggi merentas sektor.

Beliau pernah memegang jawatan Presiden Persatuan Pascasiswazah UiTM dan kini terlibat aktif dalam program kesihatan komuniti, advokasi hak OKU di peringkat dasar, forum nasional serta kerjasama strategik antara agensi kerajaan, universiti dan pertubuhan.

Selain itu, beliau turut aktif dalam kerja-kerja pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk sebagai Presiden Persatuan Alzheimer Sabah yang memberi tumpuan kepada sokongan pesakit dan penjaga Alzheimer, serta Timbalan Pengerusi Sekretariat Wanita Profesional Malaysia yang memperjuangkan kepimpinan wanita dan keterangkuman sosial.

Penglibatan berterusan itu membuka ruang dialog, meningkatkan kesedaran awam dan memperluas peluang penyertaan golongan OKU serta kumpulan rentan dalam arus pembangunan negara.

Mengulas pengiktirafan diterima, Dr. Fatimah berharap anugerah itu menjadi sumber inspirasi kepada komuniti OKU dan masyarakat awam.

“Saya berharap anugerah ini menjadi sumber inspirasi kepada komuniti OKU dan masyarakat umum bahawa setiap individu mempunyai nilai serta potensi tersendiri apabila diberikan peluang dan sokongan yang adil serta inklusif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anugerah AIKON merupakan pengiktirafan terhadap pencapaian, ketekunan dan sumbangan inspiratif warga OKU, sekali gus mencerminkan usaha berterusan UiTM mempromosikan keterangkuman sosial dan keadilan dalam pendidikan serta pembangunan insan di peringkat kebangsaan.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/12/13/dr-fatimah-terima-anugerah-inspirasi-oku-aikon-2025-peringkat-kebangsaan/feed/ 0 88199
UMS raikan Hari OKU Sedunia 2025 ke arah masa depan inklusif https://sabahmedia.com/2025/11/14/ums-raikan-hari-oku-sedunia-2025-ke-arah-masa-depan-inklusif/ https://sabahmedia.com/2025/11/14/ums-raikan-hari-oku-sedunia-2025-ke-arah-masa-depan-inklusif/#respond Fri, 14 Nov 2025 13:31:58 +0000 https://sabahmedia.com/?p=85792
Read Time:1 Minute, 27 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Inklusiviti yang berteraskan pengiktirafan terhadap kemampuan setiap individu menjadi fokus sambutan Hari Orang Kurang Upaya (OKU) Sedunia 2025 anjuran Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang berlangsung di Auditorium Pascasiswazah universiti itu pada Khamis (13 Nov).

Sambutan Hari OKU Sedunia yang diadakan di Universiti Malaysia Sabah.

Majlis bertema “Ke Arah Masa Depan Inklusif: Memperkasa Hak, Pendidikan dan Kerjaya Orang Kurang Upaya” itu dirasmikan oleh Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr Kasim Mansor, dengan kehadiran seramai 261 peserta daripada pelbagai agensi.

Pengarah Program, Dr Sabrina Mahasiswa UMS berstatus orang kurang upaya menegaskan pentingnya pendidikan dan inklusif.

Program berprestij itu diterajui oleh Mahasiswa Orang Kurang Upaya (fizikal) selaku Pengarah Program, Dr Fatimah Sabrina Mohammad, pelajar Doktor Falsafah dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan dengan sokongan mahasiswa OKU serta buddies OKU yang menjadi tulang belakang keseluruhan penganjuran.

Dalam ucapannya, Dr Sabrina menegaskan bahawa golongan OKU tidak seharusnya dilihat sebagai kelompok yang memerlukan simpati, sebaliknya sebagai aset penting dalam pembangunan sosial, ekonomi dan kepimpinan negara.

Katanya, potensi komuniti OKU lebih menyerlah apabila diberikan akses, kefahaman dan peluang yang adil.

Beliau turut berkongsi perjalanan peribadi sebagai wanita dan pelajar berstatus OKU yang menjadikan cabaran sebagai kekuatan, sambil menekankan bahawa inklusiviti adalah satu bentuk pengiktirafan, bukan belas kasihan.

Menurutnya, asas inklusiviti bermula apabila masyarakat melihat keupayaan seseorang, bukan kekurangan.

Dr Sabrina turut menyeru agar usaha berterusan diperkasa meliputi dasar, pendidikan, peluang pekerjaan dan penerimaan sosial bagi memastikan pemberdayaan golongan OKU dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada UMS dan Pusat Perkhidmatan OKU (PPOKU) atas komitmen serta sokongan berterusan dalam memperkasa mahasiswa OKU.

Majlis berkenaan mencerminkan iltizam UMS membentuk masyarakat kampus yang progresif, inklusif dan berdaya saing selaras dengan aspirasi universiti untuk meraikan setiap individu tanpa mengira latar belakang atau keupayaan.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/11/14/ums-raikan-hari-oku-sedunia-2025-ke-arah-masa-depan-inklusif/feed/ 0 85792
Pemimpin prihatin kekal, kemudahan mesra OKU di setiap daerah – Harapan OKU https://sabahmedia.com/2025/10/12/pemimpin-prihatin-kekal-kemudahan-mesra-oku-di-setiap-daerah-harapan-oku/ https://sabahmedia.com/2025/10/12/pemimpin-prihatin-kekal-kemudahan-mesra-oku-di-setiap-daerah-harapan-oku/#respond Sun, 12 Oct 2025 11:09:24 +0000 https://sabahmedia.com/?p=83103
Read Time:1 Minute, 24 Second

Oleh Florieta Diet

KOTA KINABALU: Pengundi Orang Kelainan Upaya (OKU) yang akan turun menunaikan hak mereka di peti undi menaruh harapan besar agar setiap daerah di Sabah mesra OKU dengan kemudahan lengkap serta menyokong keupayaan mereka untuk berdikari.

Di Penampang, Francis Xavier@ Oliver Putut menegaskan bahawa golongan OKU tidak menilai parti semata-mata, tetapi kepimpinan yang benar-benar membela nasib mereka.

“Saya tidak kisah siapa jadi kerajaan, yang penting ada menteri atau pemimpin yang tegas membela nasib OKU,” katanya.

Beliau turut menghargai pemimpin yang rajin turun padang dan cepat bertindak menyelesaikan isu rakyat, sambil berharap projek pembangunan seperti pasar dan tamu baharu di Bandar Donggongon turut mengambil kira akses untuk golongan OKU.

Francis berharap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Moyog yang terpilih pada pilihan raya kali ini mempunyai ciri-ciri pemimpin yang mesra rakyat serta bertanggungjawab kepada pengundi seperti Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick, telah melaksanakan tanggungjawab dengan baik.

Beliau turut menegaskan bahawa Sabah memerlukan garis panduan pembangunan yang lebih jelas agar golongan OKU tidak terpinggir, khususnya di kawasan bandar.

Sementara itu di Tawau, Abdul Khamis Laharuso menyuarakan harapan yang sama agar kerajaan akan datang lebih telus dalam menyediakan kemudahan serta peluang kepada golongan OKU.

“Kemudahan untuk OKU perlu dipertingkatkan supaya kami boleh berdiri sendiri tanpa bergantung bantuan sepanjang masa,” katanya, sambil memuji pemimpin seperti Datuk Nizam Abu Bakar Titingan yang disifatkannya sebagai prihatin dan mudah membantu rakyat.

Beliau berharap kerajaan akan merangka dasar komprehensif yang merangkumi penyediaan laluan khas, akses bangunan, sokongan pekerjaan dan peluang ekonomi agar golongan OKU tidak terus ketinggalan dalam arus pembangunan negeri.

Golongan OKU menegaskan bahawa Sabah bukan sahaja memerlukan kerajaan yang stabil, tetapi kerajaan yang benar-benar memahami keperluan semua lapisan masyarakat, termasuk OKU.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/10/12/pemimpin-prihatin-kekal-kemudahan-mesra-oku-di-setiap-daerah-harapan-oku/feed/ 0 83103
Libatkan kami dalam setiap pembangunan: Suara dan luahan OKU https://sabahmedia.com/2025/06/01/libatkan-kami-dalam-setiap-pembangunan-suara-dan-luahan-oku/ https://sabahmedia.com/2025/06/01/libatkan-kami-dalam-setiap-pembangunan-suara-dan-luahan-oku/#respond Sun, 01 Jun 2025 07:30:22 +0000 https://sabahmedia.com/?p=74911
Read Time:3 Minute, 29 Second

Oleh Florieta Diet

DALAM era pembangunan pesat dan kemajuan teknologi, keadilan sosial bukan sekadar menyediakan peluang yang sama rata, tetapi memastikan setiap lapisan masyarakat diberi ruang untuk hidup dengan maruah dan berdikari.

Namun, di sebalik kemajuan ini, masih terdapat kelompok masyarakat yang belum sepenuhnya menikmati manfaat pembangunan bukan kerana kekurangan pada diri mereka, tetapi kerana sistem dan persekitaran yang belum benar-benar memahami serta memenuhi keperluan mereka.

Golongan orang kelainan upaya (OKU) sering berjuang dalam senyap, menghadapi pelbagai rintangan fizikal dan sosial dalam kehidupan seharian. Dari bangunan yang tidak mesra akses sehinggalah kepada sikap masyarakat yang kurang peka, cabaran mereka nyata dan berlapis.

Namun di sebalik cabaran itu, ada suara yang bangkit membawa harapan dan perubahan. Dua individu OKU dari Sabah Francis Xavier dari Penampang dan Noney Gondolos dari Kota Belud tampil berkongsi pengalaman mereka.

Bukan untuk menagih simpati, tetapi sebagai seruan kepada masyarakat: dengarlah, fahamilah, dan bertindaklah. Penghargaan dan harapan: Suara dari Penampang Francis Xavier, 40, dilahirkan tanpa kaki dan bergantung sepenuhnya kepada kerusi roda untuk bergerak.

Beliau memuji usaha pihak berkuasa tempatan di Penampang yang telah menyediakan beberapa kemudahan asas seperti tempat letak kereta khas, tandas awam mesra OKU dan laluan cerun.

Paking OKU (petak paking berwarna biru) digunakan oleh orang awam apabila waktu puncak pada waktu tengahari.

Namun begitu, Francis menegaskan bahawa usaha ini tidak seharusnya terhenti di peringkat kerajaan sahaja. Banyak institusi seperti bank dan syarikat swasta masih belum menyediakan akses cerun, menyukarkan pergerakan OKU.

“Saya berterima kasih kepada pihak berkuasa tempatan kerana prihatin, tetapi masih banyak bank dan syarikat swasta yang belum menyediakan laluan cerun untuk OKU. Ini sangat menyukarkan kami,” jelas beliau.

Tambah beliau, kemudahan yang ada juga sering disalahgunakan tempat letak kereta OKU digunakan oleh individu biasa, manakala tandas awam OKU dijadikan stor.

Tandas awam.OKU dijadikan stor barang.

“Bila kami ke bandar, pergerakan jadi sangat terbatas. Kami perlukan lebih daripada sekadar simpati kami perlukan sistem yang hormat keperluan kami,” katanya.

Francis turut menyeru agar OKU dilibatkan dalam proses perancangan pembangunan.
“Kerajaan galakkan OKU berdikari dan keluar bekerja, tetapi bagaimana kami mahu bekerja kalau bangunan pun tiada laluan untuk kami? Saya hanya mahu hidup bebas simpan duit di bank, beli barang, tanpa perlu bergantung pada sesiapa,” ujarnya.

Kisah Noney Gondolos dari Kota Belud yang penuh inspirasi Noney Gondolos, 55, seorang wanita kerdil yang menggunakan kerusi roda kuasa eletrik, berkongsi cabaran hidup sebagai OKU yang bukan sahaja fizikal, malah melibatkan persepsi masyarakat.

“Kadang-kadang mereka panggil saya bukan dengan nama, tapi seolah-olah saya ini hanya wujud untuk dikasihani. Sebenarnya, bukan itu yang kami mahu,” katanya.

Beliau menceritakan pengalamannya di sebuah pusat beli-belah terkenal di Kota Kinabalu.

“Saya ingat lif di pusat membeli-belah itu mesra OKU. Tapi bila saya masuk, saya tidak sampai untuk tekan butang. Tingginya melebihi capaian saya. Macam mana mahu bergerak kalau perkara asas macam ini pun susah?”
Di pekan Kota Belud pula, kekurangan kemudahan memaksa beliau bergantung pada ahli keluarga setiap kali keluar.

“Saya pun mahu bergerak sendiri. Bukan setiap masa ahli keluarga dapat menemani kita, mereka pun ada kerja,” ujar Noney.

Walaupun ada laluan cerun disediakan, ada yang tidak selamat digunakan.

“Ada juga cerun disediakan, tapi laluan yang disediakan agak kecil, merbahaya kalau terjatuh,” katanya.

Noney turut meluahkan kekecewaannya terhadap tempat letak kereta OKU yang tidak disusuli dengan cerun ke bangunan.

“Ada tempat yang sediakan parkir OKU, tapi tiada cerun disediakan. Macam mana kami mahu naik tangga kalau guna kerusi roda?” katanya.

Beliau juga menjelaskan bahawa golongan OKU semakin meningkat bilangannya. Tidak semua dilahirkan begitu, ada yang menjadi OKU selepas kemalangan atau sakit.

“Dengarlah keluhan kami” Francis dan Noney hanyalah dua daripada suara OKU yang masih belum didengari sepenuhnya. Mereka tidak meminta layanan istimewa, cuma mahu hak yang sewajarnya kemudahan asas, akses selamat, dan peluang untuk hidup berdikari.

“Kami tidak minta lebih, cuma kami mahu hak mengikut keperluan kami,” kata Noney.

Sudah tiba masanya suara-suara seperti Francis dan Noney tidak lagi tenggelam dalam arus pembangunan. Mereka mewakili golongan minoriti dan mencerminkan tahap sebenar inklusiviti masyarakat kita.

“Masyarakat OKU tidak mahu hanya menjadi pemerhati dari luar pagar pembangunan. Kami ingin turut serta, bersuara dan dilibatkan dalam setiap perancangan dan pelaksanaan pembangunan baharu. Jangan sisihkan kami kerana negara ini milik semua,” kata mereka.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/06/01/libatkan-kami-dalam-setiap-pembangunan-suara-dan-luahan-oku/feed/ 0 74911
Tekad OKU ingin bekerja, dari harapan ke peluang nyata https://sabahmedia.com/2025/05/04/tekad-oku-ingin-bekerja-dari-harapan-ke-peluang-nyata/ https://sabahmedia.com/2025/05/04/tekad-oku-ingin-bekerja-dari-harapan-ke-peluang-nyata/#respond Sun, 04 May 2025 00:30:29 +0000 https://sabahmedia.com/?p=73141
Read Time:3 Minute, 6 Second

Oleh Florieta Diet
Eksklusif

“SAYA sudah 60 tahun… tapi saya masih mahu bekerja.” Luahan ringkas ini, disuarakan oleh seorang warga emas Orang Kelainan Upaya (OKU) yang hadir dalam satu program taklimat kerjaya, menyentuh hati pihak penganjur.

Ia bukan sekadar keluhan, tetapi satu cerminan harapan dan semangat luar biasa golongan yang sering kali dipandang sebelah mata dalam hal peluang pekerjaan.

Program taklimat peluang kerjaya khas untuk golongan OKU ini julung kali dianjurkan oleh Persatuan Kebajikan Masyarakat dan Mesra OKU Sabah (PERKEMOSH) dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah (MPMS). Ia berlangsung pada pagi tadi (3 Mei) di Dewan MPMS, Kota Kinabalu.

Siti Mahani

Menurut Pengerusi PERKEMOSH, Siti Mahani Sidek, matlamat utama penganjuran adalah untuk membuka jalan dan kesedaran kepada golongan OKU mengenai potensi kerjaya mereka. Ini adalah sejajar dengan saranan kerajaan supaya sekurang-kurangnya satu peratus daripada pekerja dalam sektor awam dan swasta terdiri daripada OKU.

“Kami mulanya mensasarkan kehadiran 20 peserta, tetapi tidak disangka 51 peserta mendaftar dan 37 daripadanya hadir. Sambutan ini sangat menggalakkan dan membuktikan mereka memang perlukan peluang ini,” kata Siti Mahani kepada Sabah Media.

Beliau menjelaskan bahawa program ini menyediakan pendedahan melalui taklimat daripada PERKESO mengenai laluan dan sokongan pekerjaan yang sesuai mengikut jenis ketidakupayaan.

Antara maklumat penting yang dikongsikan ialah: bagi golongan OKU, kelulusan akademik bukanlah penentu utama. PERKESO memaklumkan bahawa majikan lebih menilai kebolehan sebenar seseorang OKU dalam menjalankan tugas, berbanding latar belakang pendidikan.

“Peserta yang hadir terdiri daripada pelbagai latar.. dari OKU fizikal yang hanya mampu bergerak menggunakan kerusi roda, OKU pendengaran, sehingga ke komuniti orang kerdil dari seluruh Sabah. Ada juga antara mereka merupakan atlet Paralimpik, usahawan kecilan, serta mereka yang masih belum bekerja.

“Melalui taklimat ini, bukan saja memberi peluang pekerjaan, tetapi menunjukkan kepada masyarakat bahawa OKU juga berhak diberi tempat dalam pembangunan negara,” ujar Siti Mahani.

Beliau turut memberi contoh, di Hospital Likas yang mempunyai lebih 2,000 kakitangan, tiga pekerjanya adalah OKU. Dengan usaha berterusan, angka ini diharap dapat meningkat dan sasaran kerajaan terhadap kuota satu peratus di setiap agensi kerajaan dan swasta dapat dicapai.

Di sebalik statistik, wajah-wajah peserta yang hadir membawa makna besar. Mereka yang diam, tetapi penuh azam; mereka yang tidak mampu berdiri, tetapi ingin bangkit; mereka yang dianggap kecil, tetapi menyimpan impian besar.

Program ini jelas membuktikan bahawa dengan sokongan yang betul, maklumat yang tepat, dan sedikit ruang, golongan OKU bukan sahaja mampu berdikari tetapi turut menyumbang secara signifikan kepada masyarakat.

“Kami harap program seperti ini akan berterusan dengan sokongan dan bantuan daripada pihak yang prihatin,” katanya.

Beliau menambah, PERKEMOSH amat memerlukan sokongan orang ramai agar badan bukan kerajaan itu dapat terus menghulurkan bantuan kepada golongan OKU melalui penganjuran pelbagai aktiviti khas bagi membangunkan potensi mereka.

Noney Gondolos, 55, dari Kampung Rangalau, Kota Belud, mewakili Persatuan Orang Kerdil Sabah (PROKESA), hadir bersama beberapa ahli persatuan. Katanya, ramai golongan OKU sebenarnya mahu bekerja tetapi kurang akses kepada maklumat dan peluang.

Noney

“Saya ada ramai kawan yang mahu bekerja, tetapi mereka tidak tahu ke mana mahu mula. Ramai antara mereka hanya bersekolah hingga Tahun Satu, dan ada yang tidak bersekolah langsung. Selepas hadir program ini, mereka baru tahu sebenarnya ada peluang … asalkan mereka ada kemahiran,” katanya.

Noney, yang juga bertanggungjawab dalam biro media dan publisiti PROKESA, menekankan bahawa selama ini, ramai OKU menganggap jika tidak ada sijil, maka tiada peluang kerja.

“Hari ini, mereka dengar sendiri. Bukan sijil yang diukur, tapi keupayaan atau kebolehan masing-masing. Itulah mesej penting yang dibawa oleh taklimat ini,” tambahnya.

Beliau juga berharap agar tiada diskriminasi terhadap pekerja OKU, sebaliknya mereka perlu diberikan peluang untuk membuktikan kebolehan masing-masing. Sama seperti pekerja lain, golongan OKU juga wajar beri peluang bagi menilai keupayaan mereka secara adil.

“Kami bukanlah mahu dikasihani, tapi kami mahu diberi peluang,” ujar Noney lagi.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/05/04/tekad-oku-ingin-bekerja-dari-harapan-ke-peluang-nyata/feed/ 0 73141
Remaja lelaki OKU maut, motosikal ditunggang kemalangan, terbakar https://sabahmedia.com/2025/04/21/remaja-lelaki-oku-maut-motosikal-ditunggang-kemalangan-terbakar/ https://sabahmedia.com/2025/04/21/remaja-lelaki-oku-maut-motosikal-ditunggang-kemalangan-terbakar/#respond Mon, 21 Apr 2025 01:48:26 +0000 https://sabahmedia.com/?p=72377
Read Time:47 Second

Oleh FLORIETA DIET

BEAUFORT: Seorang remaja lelaki, orang kelainan upaya (OKU) berumur 16 tahun maut selepas motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta sebelum terbakar di Jalan Nukuhan, Beaufort, malam Ahad.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Penyu PPgB Zulhalim Abidin berkata, remaja lelaki itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), manakala pemandu kereta jenis Perodua Viva tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurut Zulhalim, Pusat Gerakan Operasi Kuala Penyu menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.26 malam. Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 7.44 malam.

“Pasukan tiba di lokasi kejadian mendapati, motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggang mangsa terbakar. Operasi di lokasi disahkan terkawal pada jam 8.17 malam dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.32 malam setelah tiada lagi ancaman bahaya dikesan,” katanya.

Turut hadir di lokasi ialah empat anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta petugas perubatan dari KKM.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/04/21/remaja-lelaki-oku-maut-motosikal-ditunggang-kemalangan-terbakar/feed/ 0 72377
Warga emas OKU rentung dalam kebakaran https://sabahmedia.com/2023/04/03/warga-emas-oku-rentung-dalam-kebakaran/ https://sabahmedia.com/2023/04/03/warga-emas-oku-rentung-dalam-kebakaran/#respond Sun, 02 Apr 2023 22:56:06 +0000 https://sabahmedia.com/?p=32054
Read Time:54 Second

TUARAN: Seorang warga emas lelaki orang kurang upaya (OKU) rentung dalam satu kejadian kebakaran melibatkan sebuah rumah di Kampung Tagas, Jalan Pertanian dekat sini pada Ahad malam.

Dalam kejadian kebakaran kira-kira jam 10.35 malam tadi, mangsa dikenali sebagai Agus Ebah berumur 72 tahun, OKU, ditemui rentung dan disahkan meninggal dunia oleh pihak pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan, sepasukan Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis separuh kekal telah terbakar 100 peratus.

“Tindakan operasi pemadaman menggunakan 1 aliran dari sumber air dari jentera Water Tanker dan api dapat dikawal pada jam 11.31 malam.

“Namun terdapat seorang mangsa terlibat rentung disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan KKM,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Pemeriksaan sekitar lokasi kejadian dijalankan memastikan tiada keberbahayaan lain dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.34 pagi tadi,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2023/04/03/warga-emas-oku-rentung-dalam-kebakaran/feed/ 0 32054