KOTA KINABALU: Bantuan one-off sebanyak RM500 di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat Dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA Plus) Fasa 1 kepada 2588 orang pemandu pengangkutan awam di Sabah akan mula disalurkan hari ini oleh Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah yang melibatkan RM1.29 juta peruntukan.
Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan Sabah, Dato’ Chin Kim Hiung berkata, pecahan jumlah penerima bantuan PEMERKASA Plus Fasa 1 ini merangkumi pemandu teksi dan kereta sewa seramai 1818 orang, diikuti oleh pemandu bas pelancong seramai 391 orang dan seterusnya pemandu bas sekolah seramai 379 orang.
“Penerima bantuan PEMERKASA Plus Fasa 1 ini merupakan penerima sedia ada yang telah menerima bantuan PERMAI dan Geran Khas Prihatin (GKP) yang akan menerima bantuan ini secara automatik menerusi akaun bank masing-masing,” kata Chin dalam satu kenyataan media hari ini.
LPKP Sabah juga telah menerima senarai nama bagi 4627 pemandu e-hailing daripada syarikat pengendali e-hailing (EHO) untuk saringan penerima bantuan PEMERKASA Plus iaitu seramai 4461 orang pemandu GRAB, 54 orang pemandu Maxim dan 112 orang pemandu MyCar.
Menurut Chin, jumlah pemandu e-hailing yang layak bantuan selepas saringan oleh LPKP Sabah adalah sebanyak 3690 orang pemandu GRAB, 44 orang pemandu Maxim dan 106 orang pemandu MyCar.
Walau bagaimanapun, jumlah selebihnya telah ditolak kerana tidak memenuhi syarat yang telah ditetapkan iaitu pemandu perlu mencapai sasaran pendapatan sekurang-kurangya RM500 sebulan dalam mana-mana tempoh dari Januari hingga Mei 2021 dan pemandu perlu mempunyai lesen EVP (e-vehicle permit) dan lesen PSV (public service vehicle) yang masih aktif pada atau selepas 31 Mac 2021.
Semakan bagi senarai pemandu e-hailing yang layak menerima bantuan PEMERKASA Plus boleh dibuat melalui pautan http://www.lpkpsabah.gov.my/pemerkasa.
Bagi mereka yang tidak layak, rayuan boleh dihantar kepada LPKP Sabah menerusi emel [email protected] beserta dokumen sokongan yang berkaitan sebelum 9 Ogos 2021.
Manakala, pembayaran bantuan bagi pemandu e-hailing akan dibuat selepas tempoh rayuan ditutup.
“Adalah diharapkan agar bantuan daripada kerajaan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban pemandu yang terlibat sepanjang tempoh pandemik ini.
“Suka juga diingatkan agar semua pemandu pengangkutan awam di Sabah sentiasa mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan agar kita sama-sama dapat mengekang penularan pandemik COVID-19 di negara ini,” tambahnya.
]]>KOTA KINABALU: Presiden kesatuan Sabah Teachers’ Union (STU),Said Saidi menyatakan bahawa kesatuan menyokong penuh inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui sidang media Menteri Kanan Pendidikan Dr Radzi Jidin berkaitan dengan Pengambilan Khas Guru Secara One-Off bagi menampung kekurangan guru yang telah lama berlarutan terutama di negeri Sabah, Sarawak, Johor & Selangor.
“Kekurangan tersebut juga merujuk kepada keperluan guru mengikut opsyen yang kebanyakan guru yang mengajar di sekolah sekarang didapati mengajar tidak mengikut opsyen mereka semasa mengikuti kursus di institusi perguruan dulu.
“Walaubagaimanapun, kesatuan berharap agar pra-syarat pengambilan khas guru secara One-Off tersebut diberikan keutamaan kepada calon lokaliti / anak jati setempat bagi mengisi tawaran pengambilan guru tersebut,” kata Said.
Hal yang demikian adalah untuk mengelakkan berlaku perpindahan guru dan menyebabkan sekolah akan kehilangan guru yang berpengalaman dan mengikut opsyen seperti yang telah diikuti semasa di institusi pengajian guru dahulu.
Selain daripada itu, kesatuan juga amat mengharapkan agar pihak kementerian juga memberikan perhatian kepada capaian internet di kawasan luar bandar yang masih lagi bermasalah dan memberi kesukaran kepada guru dan murid di luar bandar untuk melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Seterusnya kesatuan juga mengharapkan agar lebih banyak kursus peningkatan kemahiran dalam Teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) dan pendigitalan Pendidikan dapat diperluaskan di kalangan guru untuk memperkasakan penyampaian pengajaran PdPR agar lebih berkesan dan dapat menarik minat murid-murid mengikuti PdPR secara online mahupun offline.
“Pihak kesatuan juga menyokong penuh saranan Pengarah Eksekutif Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), Henrita Fore baru-baru ini yang mengesyorkan agar guru diutamakan untuk memperolehi vaksin Covid-19, selepas petugas barisan hadapan.
“Keutamaan pemberian vaksin tersebut akan dapat meningkatkan tahap keyakinan guru-guru dalam meneruskan sesi pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka di sekolah apabila dibuka kelak demi meningkatkan lagi system Pendidikan di Malaysia,”tambahnya.
]]>