Ordinan Buruh Sabah – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Wed, 16 Oct 2024 09:01:51 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.0.4 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png Ordinan Buruh Sabah – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 OBS beri ruang golongan wanita cuti bersalin lebih lama https://sabahmedia.com/2024/10/16/obs-beri-ruang-golongan-wanita-cuti-bersalin-lebih-lama/ https://sabahmedia.com/2024/10/16/obs-beri-ruang-golongan-wanita-cuti-bersalin-lebih-lama/#respond Wed, 16 Oct 2024 09:01:50 +0000 https://sabahmedia.com/?p=62296
Read Time:1 Minute, 23 Second

Kota Kinabalu : Golongan wanita yang bekerjaya di negeri ini yang melahirkan anak layak bercuti bersalin selama 98 hari berbanding 60 hari sebelum ini selepas Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Ordinan Buruh Sabah (OBS) (Pindaan) 2024 Isnin lalu.

Ahli Parlimen Sepanggar Datuk Mustapha Sakmud berkata, ordinan yang diluluskan selepas 20 tahun itu turut memberi kelayakan kepada golongan bapa untuk mengambil cuti isteri bersalin selama tujuh hari. 

Selain itu katanya, waktu bekerja buat pekerja di Sabah  juga dikurangkan daripada 48 jam seminggu kepada 45 jam seminggu. 

“Pindaan Ordinan Buruh Sabah juga membuat penambahan bab baharu 11B tentang gangguan seksual serta yang berkaitan perumahan, penginapan dan kemudahan pekerja. 

“Sejak diamanahkan sebagai Timbalan Menteri Sumber Manusia (KESUMA) bermula Disember 2022, antara fokus utama saya pada ketika itu adalah untuk memastikan kebajikan tenaga kerja Malaysia khususnya di Sabah setara dengan standard perburuhan antarabangsa. 

“Kes pekerja yang tidak mendapat cuti untuk menjaga isteri dan bayi yang baru dilahirkan di Penampang tahun lepas telah membuka mata semua pihak betapa penting pindaan ini disegerakan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mustapha yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi berkata, selepas 20 tahun, usaha Kerajaan Madani melalui KESUMA dalam mengangkat martabat dan maruah pekerja di Sabah akhirnya dapat direalisasikan dengan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Ordinan Buruh Sabah (Pindaan) 2024 pada 14 Oktober lalu. 

Katanya, Pindaan RUU itu juga telah disokong sebulat suara oleh kesemua Ahli Dewan Rakyat.   

“Tahniah saya ucapkan kepada Menteri KESUMA, Kerajaan Negeri Sabah dan seluruh pasukan Kementerian yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam usaha ini. 

“Buat tenaga kerja Sabah, kejayaan ini adalah milik anda semua!,” katanya. – SABAH MEDIA

]]>
https://sabahmedia.com/2024/10/16/obs-beri-ruang-golongan-wanita-cuti-bersalin-lebih-lama/feed/ 0 62296
Kerajaan Negeri sokong penuh pindaan Ordinan Buruh Sabah https://sabahmedia.com/2024/05/07/kerajaan-negeri-sokong-penuh-pindaan-ordinan-buruh-sabah/ https://sabahmedia.com/2024/05/07/kerajaan-negeri-sokong-penuh-pindaan-ordinan-buruh-sabah/#respond Tue, 07 May 2024 07:59:23 +0000 https://sabahmedia.com/?p=54074
Read Time:3 Minute, 42 Second

Kota Kinabalu: Kerajaan Negeri menyokong penuh pindaan terhadap Ordinan Buruh Sabah (OBS) bagi memastikan rakyat dan masyarakat industri di Sabah dapat menikmati faedah dan peluang ekonomi yang lebih baik dan setara seperti negeri-negeri lain di Malaysia.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, OBS telah dikuatkuasa bermula pada tahun 1950 lagi dan selepas 40 tahun, pindaan kali pertama kepada ordinan itu telah dibuat pada tahun 2005.

Katanya, tempoh 19 tahun adalah satu tempoh yang lama dan sesuatu undang-undang itu perlu dikaji semula untuk ditambah baik terutamanya undang-undang yang melibatkan kebajikan pekerja dan keperluan majikan untuk menjalankan perniagaan.

“Sudah pasti undang-undang yang lebih terkini dan tidak ketinggalan, akan dapat menarik lebih banyak syarikat-syarikat luar untuk datang melabur dengan lebih yakin dan selesa ke negeri Sabah.

“Pindaan ini juga adalah tepat pada masanya kerana Kerajaan Negeri amat memerlukan satu perundangan perburuhan yang relevan dan sesuai dengan situasi perburuhan semasa,” katanya pada majlis sambutan Tripartite Hari Pekerja Peringkat Negeri Sabah 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.

Hajiji berkata, industri memerlukan undang-undang yang bukan sahaja menjaga kebajikan pekerja dan kemudahan menjalankan perniagaan oleh majikan, tetapi juga dapat mengadaptasi keperluan revolusi perindustrian terkini yang melibatkan teknologi automasi seperti “Internet of Things”, “Big Data”, “Artificial Intelligence” dan “Cloud Computing”.

Katanya, transformasi digital ini telah mewujudkan jenis pekerjaan yang baru seperti Gig Worker yang memerlukan satu perundangan yang membolehkan industri dapat bergerak seiring dengan perubahan tersebut.

Menurutnya, cadangan pindaan pada kali ini akan memberi faedah secara menyeluruh, adil dan saksama kepada setiap pekerja dan majikan, malah ianya adalah setara dengan perundangan yang ada di Semenanjung Malaysia.

Tambahnya lagi, antara intipati penting pindaan kepada OBS kali ini adalah pertama; liputan diperluaskan kepada semua pekerja tanpa mengira had gaji atau jenis pekerjaan; kedua, tempoh cuti bersalin telah dinaikkan daripada 60 hari kepada 98 hari; ketiga, para bapa juga diberi cuti paterniti selama tujuh hari dan ianya layak kepada semua isteri yang sah tetapi untuk lima  anak pertama sahaja; dan waktu kerja minggu dikurangkan daripada 48 jam seminggu kepada 45 jam seminggu.

“Pindaan pada kali ini melibatkan 12 pindaan utama kepada 62 fasal melibatkan 75 peratus keseluruhan OBS. Justeru, saya dan barisan kepimpinan negeri, meletakkan harapan yang tinggi kepada Kementerian Sumber Manusia agar cadangan Rang Undang-Undang Pindaan OBS pada kali ini dapat dibentangkan pada sesi sidang Parlimen yang akan datang, agar ianya dapat dilaksanakan dengan kadar segera untuk dinikmati faedahnya oleh warga pekerja dan majikan di Sabah,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji yakin, pindaan OBS akan dapat menaikkan imej negeri Sabah di peringkat antarabangsa terutamanya berkaitan dengan isu-isu “human rights” dan “labour rights”, isu penghapusan diskriminasi dan juga isu membasmi buruh paksa dan buruh kanak-kanak.

Katanya, pindaan itu juga akan memudahkan Malaysia khususnya negeri Sabah untuk meneroka dan menembusi pasaran yang lebih besar melalui perjanjian “Comprehensive and Progresive Agreement for Trans-Pacific Partnership” (CPTPP) melibatkan 11 negara ahli yang hasilnya akan menarik lebih banyak pelabur datang, seterusnya mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih luas kepada rakyat Sabah.

Beliau berkata, bagi memastikan kebajikan pekerja dan majikan sentiasa diutamakan, Kerajaan Negeri menyokong penuh penubuhan Majlis Penasihat Buruh peringkat negeri Sabah.

Menurutnya, Majlis Penasihat Buruh Sabah terdiri daripada 16 wakil kesatuan sekerja dan 16 wakil persatuan majikan terbesar mewakili seluruh pekerja dan majikan yang ada di negeri Sabah. Manakala pihak kerajaan pula terdiri daripada 16 jabatan dan agensi kerajaan negeri dan persekutuan, yang berperanan dan bertanggung jawab kepada isu-isu perburuhan negeri.

“Kerajaan Negeri meletakkan harapan yang tinggi agar melalui majlis ini setiap keputusan dasar dan perundangan yang dibuat oleh Kerajaan, akan mengambil kira sepenuhnya, situasi sebenar yang berlaku di negeri Sabah.

“Majlis ini juga akan menjadi platform untuk menyalurkan pandangan dan nasihat serta cadangan berkaitan perkara-perkara perburuhan kepada kerajaan. Ini juga bagi memastikan dasar-dasar dan perundangan yang lebih sesuai dengan perindustrian negeri Sabah dapat diterjemahkan dengan lebih tepat dan saksama,” katanya.

Hajiji juga mahu setiap perancangan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) termasuk latihan kemahiran kepada pekerja dan pencari kerja, dibawa  untuk dilaksanakan di Sabah, sekaligus memberi manfaat kepada rakyat di negeri ini.

“Saya berharap agar kesemua inisiatif dan program pembangunan modal insan yang dilaksanakan KESUMA turut memberi keutamaan dan tumpuan kepada pekerja, majikan serta rakyat di negeri Sabah.

“Ini bagi memastikan Sabah juga setaraf dengan pencapaian negeri-negeri lain. Selain itu, semua program itu juga selari dengan hasrat dan aspirasi kerajaan negeri Sabah, melalui inisiatif Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ),” katanya. – SABAH MEDIA

]]>
https://sabahmedia.com/2024/05/07/kerajaan-negeri-sokong-penuh-pindaan-ordinan-buruh-sabah/feed/ 0 54074
Pindaan Ordinan Buruh Sabah perlu diteliti sebaik mungkin – Mustapha https://sabahmedia.com/2023/11/18/pindaan-ordinan-buruh-sabah-perlu-diteliti-sebaik-mungkin-mustapha/ https://sabahmedia.com/2023/11/18/pindaan-ordinan-buruh-sabah-perlu-diteliti-sebaik-mungkin-mustapha/#respond Sat, 18 Nov 2023 09:04:48 +0000 https://sabahmedia.com/?p=45373
Read Time:2 Minute, 9 Second

Kota Kinabalu : Semua pindaan yang akan dibuat terhadap Ordinan Buruh (Sabah Bab 67) perlu diteliti sebaik mungkin sebelum perkara itu dibentangkan di Parlimen, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Mustapha Sakmud.

Katanya, banyak pindaan yang perlu dilakukan dan perlu dibuat secara teliti bagi memastikan tiada perkara yang tertinggal apabila ia dibentangkan nanti.

“Kepada semua kesatuan sekerja khususnya Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Sabah dan kesatuan sekerja yang lain, memang saya sudah cuba berusaha untuk memastikan pindaan Ordinan Buruh Sabah ini dapat dibaca skurang-kurangnya bacaan pertama pada sidang Parlimen kali ini tetapi apabila meneliti dokumen yang ada, sebab pindaan ini agak besar dan tidak dipinda sejak 2005, ia tidak dapat dilaksanakan pada kali ini.

“Memang banyak perubahan yang perlu dilakukan dan pihak Peguam Negara menasihatkan supaya biar kita berhati-hati untuk meneliti pindaan ini supaya jangan ada yang terlepas, kalau dibuat secara tergesa-gesa kemungkinan ada yang tertinggal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Graduasi Tingkatan 5 sesi 2023 / 2024 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bahang, Penampang, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.

Mustapha berkata, pihaknya akan memperhalusi sebaik mungkin semua pindaan yang perlu agar tidak terlepas dan hanya perlu menunggu beberapa bulan lagi sebelum sidang Parlimen akan datang pada Mac depan bermula.

“Kalau kita boleh tunggu sejak 2005 hingga 2023 untuk kita buat pindaan begitu besar, apa salahnya kita tunggu beberapa bulan lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kekecewaan disuarakan MTUC Sabah berkaitan pindaan Ordinan Buruh Sabah yang tidak dibentangkan pada persidangan Parlimen kali ini.

MTUC Sabah menyatakan bahawa penangguhan itu menyebabkan pekerja di Sabah masih tidak dapat menikmati faedah yang dinikmati pekerja di negeri lain yang termaktub dalam Akta Kerja 1955.

Mustapha berkata, beliau memahami keluhan dan keprihatinan yang disuarakan MTUC serta kesatuan sekerja lain berhubung penundaan RUU itu, namun menjelaskan bahawa ia bukan disengajakan.

“Apa yang kita mahu ialah pindaan itu nanti dapat mendepani cabaran berpuluh tahun akan datang dan mengikut piawaian antarabangsa ditetapkan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO). Ini yang kita mahu pastikan, jadi saya memohon maaf kepada MTUC dan kesatuan sekerja yang lain sebab hasrat kita meminda ordinan ini terpaksa ditangguh ke persidangan akan datang,” katanya.

Ordinan Buruh (Sabah Bab 67) mula berkuatkuasa di negeri ini pada 1 Januari 1950 sebelum diwarta menjadi undang-undang persekutuan sejak 20 Mei 1965. Ia hanya dipinda sekali pada 2005 berbanding Akta Kerja 1955 yang sudah dipinda sebanyak 12 kali.

Antara pindaan yang akan dilaksanakan dalam ordinan berkenaan ialah liputan pekerja tanpa mengira had gaji atau jenis pekerjaan, penentuan siapa pekerja dan majikan, peruntukan berkaitan liabiliti pembayaran gaji dan gangguan seksual.

]]>
https://sabahmedia.com/2023/11/18/pindaan-ordinan-buruh-sabah-perlu-diteliti-sebaik-mungkin-mustapha/feed/ 0 45373
Majlis Penasihat Buruh Sabah ditubuh, bincang pelaksanaan pindaan terbaharu RUU Ordinan Buruh Sabah https://sabahmedia.com/2023/02/06/majlis-penasihat-buruh-sabah-ditubuh-bincang-pelaksanaan-pindaan-terbaharu-ruu-ordinan-buruh-sabah/ https://sabahmedia.com/2023/02/06/majlis-penasihat-buruh-sabah-ditubuh-bincang-pelaksanaan-pindaan-terbaharu-ruu-ordinan-buruh-sabah/#respond Mon, 06 Feb 2023 08:00:52 +0000 https://sabahmedia.com/?p=29127
Read Time:2 Minute, 42 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Satu Majlis Penasihat Buruh ditubuhkan bagi membincangkan pelaksanaan pindaan terbaharu Rang Undang-undang Ordinan Buruh Negeri Sabah.

Timbalan Menteri Sumber Manusia
Mustapha Sakmud.

Timbalan Menteri Sumber Manusia
Mustapha Sakmud berkata, kementeriannya bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) hari ini, telah mengadakan mesyuarat dan membentangkan kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Sabah dan kepada Majlis SME Sabah tentang Pindaan Ordinan Buruh Sabah yang telah juga dibentang kepada Kabinet Negeri.

“Dalam perbincangan hari ini kita telah bersepakat untuk menubuhkan Sabah Labour Advisory Council (Majlis Penasihat Buruh Sabah) atau Sabah Labour Council, dan kita akan adakan mesyuarat dalam masa yang terdekat supaya kita boleh bincang tentang pelaksanaan pindaan terbaharu Rang Undang-undang Ordinan Buruh Negeri Sabah ini.

“Saya ucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Sabah yang telah mengambil kira pindaan ini untuk perbincangan lanjut,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat Pembentangan Pindaan Ordinan Buruh (Sabah Bab 67) di Pejabat KSTI, Wisma Bandaraya di sini hari ini.

Menurut Mustapha, Mesyuarat Jemaah Menteri siri 17/2022 bertarikh 19 Oktober 2022 telah meluluskan Cadangan penambahbaikan Dasar Kerajaan – Pindaan Rang undang-undang Ordinan Buruh [Sabah Bab 67].

Katanya, Jabatan Tenaga Kerja Sabah telah menghantar dokumen dan rang undang-undang Cadangan Pindaan Ordinan Buruh [Sabah Bab 67] kepada Bahagian Dasar kementerian Sumber Manusia untuk dibentang kepada Mesyuarat Parlimen tahun 2023.

“Tujuan Cadangan Pindaan Ordinan Buruh [Sabah Bab 67] adalah untuk menyeragam peruntukan undang-undang perburuhan bagi Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, meningkatkan dan menambahbaik perlindungan serta kebajikan pekerja-pekerja di negeri Sabah dan memastikan undang-undang buruh negara adalah menepati kehendak Konvensyen dan instrumen Perburuhan Antarabangsa yang lain,” katanya.

Beliau berkata, cadangan Pindaan Ordinan Buruh [Sabah Bab 67] ini meliputi semua pekerja swasta di negeri Sabah tanpa mengira had gaji atau jenis pekerjaan.

“Semua pekerja sektor swasta yang memasuki kontrak perkhidmatan mendapat perlindungan dan manfaat daripada Ordinan Buruh [Sabah Bab 67],” jelasnya.

Menurutnya terdapat 16 perkara dicadangkan iaitu pindaan utama termasuklah memperkukuhkan peruntukan berkaitan dengan liabiliti pembayaran gaji (Prinsipal kontraktor, subkontraktor atau kontraktor untuk buruh jika gaji tidak dibayar oleh majikan kepada pekerja, maka liabiliti pihak yang berkontrak. Memasukkan bab gangguan Seksual. Larangan Diskriminasi dalam pekerjaan. Larangan Buruh Paksa dalam Pekerjaan. Menyelaraskan Akta Kanak-kanak dan Orang Muda (Pekerjaan) 1966 kedalam bab khusus SLO dengan memasukkan tafsiran “light Work”, “Age of admission” dan senarai “hazardous work”. Perlindungan semasa mengandung (larangan memberhenti pekerja wanita sedang hamil). Meningkatkan tempoh kelayakan cuti bersalin daripada 60 hari kepada 98 hari (14 minggu).
Cuti paterniti tujuh hari. Maksimum waktu bekerja 45 Jam seminggu.
Pembayaran upah melalui bank atau institusi kewangan. Aturan kerja fleksibel. Memasukkan peruntukan khusus mengenai standard minimum perumahan, penginapan dan kemudahan pekerja. Meningkatkan panalti dan hukuman (Denda dinaikkan daripada RM10,000 kepada RM50,000. Hukuman penjara dinaikkan daripada 6 bulan kepada 2 tahun. Kesalahan berulang sebanyak RM100,000 atau 5 tahun penjara atau kedua-duanya sekali).

Beliau juga turut memaklumkan pembentangan Pindaan Rang undang-undang Ordinan Buruh [Sabah Bab 67] kepada mesyuarat Parlimen oleh Menteri Sumber Manusia adalah dalam jangkaan pertengahan pertengahan tahun 2023.

Sehubungan dengan itu, Mustapha berharap agar pindaan terbaharu itu akan dapat diselaraskan di antara kerajaan negeri, kerajaan persekutuan, majikan, dan juga pekerja dari sudut aspek perlaksanaannya.

Hadir sama dalam mesyuarat itu ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.

]]>
https://sabahmedia.com/2023/02/06/majlis-penasihat-buruh-sabah-ditubuh-bincang-pelaksanaan-pindaan-terbaharu-ruu-ordinan-buruh-sabah/feed/ 0 29127