pan borneo – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Tue, 21 Jul 2026 02:49:54 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.0.4 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png pan borneo – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 DUN Sabah: Pengalihan utiliti antara punca kelewatan Pan Borneo Sabah https://sabahmedia.com/2026/07/20/pengalihan-utiliti-antara-punca-kelewatan-pan-borneo-sabah/ https://sabahmedia.com/2026/07/20/pengalihan-utiliti-antara-punca-kelewatan-pan-borneo-sabah/#respond Mon, 20 Jul 2026 05:04:05 +0000 https://sabahmedia.com/?p=100183
Read Time:1 Minute, 47 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Pengalihan utiliti, termasuk pemindahan tiang elektrik, merupakan antara faktor utama yang menyumbang kepada kelewatan pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah.

Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, berkata bagaimanapun proses itu bukan hanya melibatkan tiang elektrik, sebaliknya turut membabitkan kabel telekomunikasi serta aset utiliti lain yang berada di sepanjang jajaran pembinaan.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Ir Chin Shu Ying (ADUN Dilantik) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-17, di sini, pada Isnin.

Menurutnya, kerja-kerja pengalihan utiliti adalah komponen kritikal kerana pembinaan tidak boleh diteruskan di kawasan yang masih mempunyai utiliti sedia ada atas faktor keselamatan, risiko gangguan bekalan serta kemungkinan kerosakan kepada infrastruktur utiliti.

“Utiliti perlu dialihkan terlebih dahulu sebelum kerja pembinaan dapat diteruskan.

“Proses ini bukan sekadar memindahkan aset, malah melibatkan pengesahan kedudukan utiliti, penyediaan reka bentuk, kelulusan teknikal, penyediaan koridor utiliti, penyelarasan dengan pemilik utiliti serta pelaksanaan kerja pengalihan,” katanya.

Beliau berkata proses berkenaan memerlukan koordinasi rapi antara semua pihak bagi memastikan pengalihan dapat dilaksanakan dengan selamat dan teratur tanpa menjejaskan kesinambungan perkhidmatan kepada pengguna.

Selain isu utiliti, Joachim berkata kelewatan projek turut dipengaruhi faktor lain seperti pengambilan tanah, keadaan geoteknik di lokasi tertentu, penyelesaian isu teknikal di tapak serta prestasi kontraktor mengikut pakej masing-masing.

Katanya, bagi menangani isu berkenaan, kerajaan memperkukuh mekanisme penyelarasan melalui Jawatankuasa Pemandu Pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo serta mesyuarat penyelarasan berkala di peringkat tapak.

“Isu-isu kritikal yang memerlukan keputusan dasar turut dibawa ke peringkat pengurusan tertinggi melibatkan Kementerian Kerja Raya Malaysia, Kementerian Ekonomi, Kementerian Kewangan serta kementerian saya bagi mempercepatkan proses penyelesaian dan mengurangkan impak terhadap pelaksanaan projek,” katanya.

Beliau berkata sebagai langkah penambahbaikan bagi projek infrastruktur akan datang, kerajaan memberi penekanan kepada pelaksanaan kerja awalan seperti penyediaan reka bentuk terperinci, pengambilan tanah dan pengalihan utiliti sebelum pembinaan dimulakan.

Pendekatan itu, katanya, membolehkan isu pelaksanaan dikenal pasti dan diselesaikan lebih awal sekali gus mengurangkan risiko kelewatan semasa fasa pembinaan.

“Kerajaan akan terus memantau pelaksanaan setiap pakej Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah bagi memastikan projek ini dapat disiapkan dengan teratur, berkualiti dan memberi manfaat kepada rakyat serta pembangunan negeri,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/07/20/pengalihan-utiliti-antara-punca-kelewatan-pan-borneo-sabah/feed/ 0 100183
Pan Borneo Sabah perlu penguatkuasaan lebih ketat apabila siap sepenuhnya – Matbali https://sabahmedia.com/2026/06/23/pan-borneo-sabah-perlu-penguatkuasaan-lebih-ketat-apabila-siap-sepenuhnya-matbali/ https://sabahmedia.com/2026/06/23/pan-borneo-sabah-perlu-penguatkuasaan-lebih-ketat-apabila-siap-sepenuhnya-matbali/#respond Tue, 23 Jun 2026 09:31:43 +0000 https://sabahmedia.com/?p=98730
Read Time:1 Minute, 56 Second

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah berharap kerajaan memperkukuh penguatkuasaan di sepanjang jajaran Pan Borneo Sabah, bagi menjamin keselamatan pengguna dan mengelak kemalangan jalan raya.

Katanya, ia boleh dilakukan melalui pemasangan kamera litar tertutup (CCTV), rondaan berkala serta pendidikan keselamatan jalan raya yang berterusan.

Berucap membahas Rang Undang-Undang Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan) 2026 di Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata apabila jajaran Pan Borneo Sabah siap sepenuhnya, jumlah kenderaan dijangka meningkat dengan ketara, sekali gus berkemungkinan mendorong sesetengah pemandu memecut kelajuan melebihi had ditetapkan. 

Dalam pada itu, Matbali yang juga Pengerusi Lembaga Koko Malaysia (LKM) mahu supaya pemeriksaan di pintu sempadan negara terus diperkukuh dari segi pemeriksaan kenderaan yang memasuki negara ini.

Katanya, Sipitang mempunyai kedudukan strategik yang menghubungkan Sabah dengan negara jiran dan wilayah bersempadan. 

Pintu sempadan Sindumin di Sipitang serta Merapok di Lawas merupakan laluan penting yang semakin sibuk.

“Kemasukan kenderaan dari luar negara seperti Negara Brunei Darussalam dan juga pergerakan rentas sempadan dari Kalimantan, Indonesia, pada masa hadapan memerlukan penguatkuasaan yang lebih tersusun. 

“Semua pengguna jalan raya, tanpa mengira asal negara, mestilah mematuhi undang-undang Malaysia,” katanya.

Menurutnya, ia penting kerana soal keselamatan dan pematuhan undang-undang tidak boleh dikompromi. 

Katanya, pemeriksaan dokumen, permit, insurans, lesen memandu dan pematuhan teknikal kenderaan di pintu masuk sempadan perlu diperkasakan demi melindungi pengguna jalan raya tempatan.

Mengenai rang undang-undang itu, beliau menyambut baik pindaan yang dibuat dan menyifatkannya sebagai amat relevan bagi negeri Sabah dan Sarawak.

Ini, katanya, kerana kedua-dua negeri ini berdepan cabaran geografi, infrastruktur dan penguatkuasaan yang berbeza berbanding Semenanjung. 

“Apabila dilaksanakan kelak, pindaan ini diyakini dapat meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya, mengurangkan kadar kemalangan dan memperkukuh penguatkuasaan di seluruh negeri,” katanya.

Matbali berkata skop pindaan yang meliputi empat kategori — iaitu digitalisasi, denda, peruntukan baharu dan penambahbaikan peruntukan — menjurus ke arah kebaikan, sejajar dasar keselamatan jalan raya yang diamalkan di banyak negara.

Beliau merujuk data yang menunjukkan trend peningkatan kemalangan maut dalam beberapa tahun mutakhir ini.

Pada tahun 2022, terdapat 6,080 kes kemalangan maut, meningkat kepada 6,300 kes pada tahun berikutnya, kemudian 6,464 kes pada tahun 2024 dan terus melonjak kepada 6,537 kes tahun lepas

“Pindaan ini penting dalam usaha mendisiplinkan pengguna dan pemandu,” katanya, sambil menegaskan bahawa jalan raya bukan gelanggang perlumbaan dan bukan tempat untuk menguji keberanian. 

]]>
https://sabahmedia.com/2026/06/23/pan-borneo-sabah-perlu-penguatkuasaan-lebih-ketat-apabila-siap-sepenuhnya-matbali/feed/ 0 98730
Sembilan pakej LPB siap tahun ini – Ahmad Maslan https://sabahmedia.com/2026/05/13/sembilan-pakej-lpb-siap-tahun-ini-ahmad-maslan/ https://sabahmedia.com/2026/05/13/sembilan-pakej-lpb-siap-tahun-ini-ahmad-maslan/#respond Wed, 13 May 2026 04:20:28 +0000 https://sabahmedia.com/?p=96594
Read Time:2 Minute, 12 Second

PUTATAN : Sebanyak sembilan pakej kerja Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Fasa 1A dijadual siap sepenuhnya pada tahun ini yang akan memberi manfaat besar kepada rakyat di Sabah.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Ahmad Maslan berkata, Pakej Kerja (WP) yang dijadual siap tahun ini melibatkan WP 1, 3, 4, 7, 8, 10, 11, 29 dan 30 selain empat WP yang sudah siap pada 2023 hingga 2025.

Beliau berkata, Kerajaan komited untuk memastikan projek berkenaan berjalan mengikut jadual bagi mempercepatkan penyediaan kemudahan jalan raya yang lebih selesa dan selamat kepada pengguna di negeri ini.

“Selain daripada itu, tahun depan ada empat lagi WP akan siap iaitu 2, 28, 12 dan 19. Jadi dengan siap WP tahun sebelum ini, tahun ini dan tahun depan, maka kebanyakan apa yang kita tunggu-tunggu sudah menjadi kenyataan.

“Dan jangkaan kami, 12 WP siap pada 2028, tiga siap pada 2029 dan akhirnya WP 26, 34 dan 35 pada 2030 selesai Pan Borneo 1A dan 1B. 

“Harapan saya selaku Timbalan Menteri, yang mana kita boleh pantaskan, kita pantaskan. Maka dengan kepantasan itu kita boleh menyelesaikan banyak perkara kemudahan prasarana untuk rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena lawatan kerjanya ke Sabah di sini pada Rabu.

Ahmad Maslan berkata, dua pakej kerja akan dibuka untuk menghubungkan Putatan dengan Menggatal tanpa melalui Kota Kinabalu yang melihatkan WP6 dan WP7.

“Ia bagi meringankan kesesakan di Kota Kinabalu kerana kita membuka perhubungan itu ya. Jadi kepada sesiapa yang tidak ada urusan untuk singgah ke ibu negeri, mereka boleh terus melalui jalan ini. Insya-Allah sebelum bulan Julai atau Ogos kita akan buka,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Maslan berkata,  kerja-kerja pengalihan utiliti bagi Projek LPB Sabah Fasa 1B telah dimulakan dan kemajuan itu dicapai hasil mesyuarat Jawatankuasa Pemandu dan mesyuarat koordinasi berkala bersama agensi utiliti berkaitan.

Beliau berkata, antara agensi yang terlibat ialah Sabah Electricity, Jabatan Air Negeri Sabah dan Telekom Malaysia.

“Berita baik untuk Fasa 1B ialah kerja-kerja pengalihan utiliti sudah pun dimulakan.

“Kelewatan sebelum ini berpunca daripada proses pelantikan subkontraktor, namun perkara itu telah selesai,” katanya.

Beliau berkata, isu pengalihan utiliti merupakan antara faktor utama yang menyebabkan beberapa komponen projek mengalami kelewatan.

Katanya, dengan selesainya urusan pelantikan subkontraktor, pelaksanaan Fasa 1B kini dapat diteruskan dengan lebih lancar.

Ahmad berkata, Kementerian Kerja Raya di bawah arahan Menteri Kerja Raya terus mengadakan mesyuarat koordinasi setiap bulan bersama agensi utiliti bagi memastikan sebarang isu dapat diselesaikan segera.

Menurutnya, Jawatankuasa Pemandu projek juga bermesyuarat setiap bulan untuk memantau kemajuan dan menyelaras tindakan susulan.

“Usaha koordinasi yang berterusan ini penting bagi memastikan semua kerja berkaitan utiliti dapat dilaksanakan mengikut jadual dan tidak lagi menjejaskan kemajuan projek,” katanya. – SABAH MEDIA

]]>
https://sabahmedia.com/2026/05/13/sembilan-pakej-lpb-siap-tahun-ini-ahmad-maslan/feed/ 0 96594
KM turun padang pantau kemajuan Projek Pan Borneo https://sabahmedia.com/2026/05/06/km-turun-padang-pantau-kemajuan-projek-pan-borneo/ https://sabahmedia.com/2026/05/06/km-turun-padang-pantau-kemajuan-projek-pan-borneo/#respond Wed, 06 May 2026 07:58:46 +0000 https://sabahmedia.com/?p=96219
Read Time:1 Minute, 54 Second

SUKAU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor hari ini turun padang meninjau sendiri kemajuan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah, sambil menegaskan keperluan penyelarasan segera antara agensi bagi memastikan pelaksanaannya mengikut jadual dan tidak terus berdepan kelewatan.

Dalam lawatan kerjanya, beliau singgah di pakej kerja WP25 bagi sesi tinjauan, pemantauan serta taklimat tapak ketika dalam perjalanan dari Sandakan ke Lahad Datu sempena Program Lawatan Tinjauan Keselamatan ke Eastern Sabah Safety Zone (ESS Zone).

Hajiji diiringi Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Jafry Ariffin; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr. Safar Untong; Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Mohd Razali Wahab; selain pembantupembantu menteri serta pegawai kanan kerajaan.

Dalam taklimat oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), beliau dimaklumkan status semasa projek WP25 yang melibatkan jajaran sepanjang kira-kira 14.96 kilometer dari Kampung Perpaduan Datuk Moh ke Sukau.

Setakat ini, kemajuan fizikal projek direkodkan sekitar 12.35 peratus berbanding sasaran jadual asal sebanyak 15.30 peratus, manakala kemajuan kewangan mencapai 11.52 peratus.

Projek bernilai kira-kira RM269.9 juta itu dijadualkan siap dalam tempoh 36 bulan dengan tarikh penyiapan pada Februari 2028.

Antara komponen utama pembinaan termasuk persimpangan bertingkat (flyover), hentian bas, jambatan pejalan kaki serta sistem perparitan dan culvert bagi meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya.

Hajiji turut dimaklumkan mengenai beberapa kekangan utama di tapak yang menjejaskan kemajuan kerja, termasuk isu pengalihan utiliti, pengambilan tanah serta perobohan struktur sedia ada.

Masalah utiliti dikenal pasti antara faktor utama yang memperlahankan kerja tanah, di samping cabaran logistik dan akses sementara di kawasan projek.

Selain WP25, Ketua Menteri turut diberi taklimat perkembangan pakej berhampiran, WP24, yang melibatkan jajaran sepanjang 15.88 kilometer dari Sungai Takala ke Kampung Perpaduan Datuk Moh.

Bagi WP24, kemajuan fizikal setakat April 2026 direkodkan sekitar 15.60 peratus dengan sedikit kelewatan berbanding jadual asal.

Sehubungan itu, Hajiji menegaskan kepentingan penyelarasan berkesan antara semua agensi terlibat bagi menangani isu di tapak, termasuk mempercepatkan proses pengambilan tanah dan pengalihan utiliti supaya tidak menjejaskan garis masa pelaksanaan projek.

Beliau berkata, Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1B merupakan antara inisiatif strategik kerajaan dalam memperkukuh rangkaian infrastruktur jalan raya, sekali gus merancakkan pertumbuhan ekonomi serta menghubungkan kawasan-kawasan utama di Pantai Timur Sabah.

“Kerajaan negeri komited memastikan setiap projek pembangunan dilaksanakan secara terancang, dipantau rapi dan disiapkan mengikut jadual demi manfaat rakyat,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/05/06/km-turun-padang-pantau-kemajuan-projek-pan-borneo/feed/ 0 96219
Tiada keretakan di persimpangan bertingkat Norowot, hanya ciri rekabentuk struktur https://sabahmedia.com/2026/04/19/tiada-keretakan-di-persimpangan-bertingkat-norowot-hanya-ciri-rekabentuk-struktur/ https://sabahmedia.com/2026/04/19/tiada-keretakan-di-persimpangan-bertingkat-norowot-hanya-ciri-rekabentuk-struktur/#respond Sat, 18 Apr 2026 23:06:34 +0000 https://sabahmedia.com/?p=95113
Read Time:1 Minute, 17 Second

KOTA KINABALU: Dakwaan kononnya berlaku keretakan pada jambatan di persimpangan bertingkat Norowot yang tular di media sosial disifatkan sebagai tidak tepat, sebaliknya ia adalah ciri rekabentuk struktur jambatan.

Sektor Lebuhraya Pan Borneo Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan, imej yang dikongsi menunjukkan jurang di antara dua ‘deck slab’ yang direka khas bagi menampung pergerakan serta gegaran akibat beban trafik.

Menurut kenyataan itu, jurang berkenaan akan ditutup menggunakan komponen dikenali sebagai ‘expansion joint’, yang merupakan sebahagian daripada elemen penting dalam pembinaan jambatan.

“Ini bukan keretakan seperti didakwa, sebaliknya adalah rekabentuk standard dalam pembinaan jambatan bagi memastikan struktur dapat menampung pergerakan dan beban trafik,” menurut kenyataan itu di sini pada Sabtu.

Mengulas lanjut, pembukaan awal persimpangan bertingkat Norowot dibuat sebelum pemasangan expansion joint selesai sebagai langkah mengurangkan kesesakan trafik yang ketara di Pekan Telipok.

Langkah itu juga berkait dengan keperluan mempercepatkan penutupan laluan pusingan U sementara bagi memberi laluan kepada pembinaan Jambatan Telipok yang mengalami kelewatan.

Selain itu, kelewatan kerja pengalihan utiliti turut menjejaskan penyiapan Elevated U-Turn 1 arah Tuaran dan Elevated U-Turn 2 arah Kota Kinabalu, yang kini dijangka siap pada Ogos 2026.

Bagi memastikan keselamatan pengguna, pengurusan trafik sementara telah dilaksanakan termasuk pemasangan papan tanda amaran dan kawalan aliran kenderaan di kawasan terlibat.

Dalam masa sama, pihak kontraktor akan terus memantau keadaan permukaan jalan walaupun ‘expansion joint’ belum dipasang sepenuhnya.

Kerja pemasangan komponen tersebut akan dilakukan secara berperingkat bagi meminimumkan gangguan kepada pengguna jalan raya.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya mematuhi arahan keselamatan dan sentiasa berhati-hati ketika melalui laluan berkenaan. – SABAH MEDIA

]]>
https://sabahmedia.com/2026/04/19/tiada-keretakan-di-persimpangan-bertingkat-norowot-hanya-ciri-rekabentuk-struktur/feed/ 0 95113
Isu projek Lebuh Raya Pan Borneo akan terus saya suarakan – Matbali https://sabahmedia.com/2026/03/13/isu-projek-lebuh-raya-pan-borneo-akan-terus-saya-suarakan-matbali/ https://sabahmedia.com/2026/03/13/isu-projek-lebuh-raya-pan-borneo-akan-terus-saya-suarakan-matbali/#respond Fri, 13 Mar 2026 06:26:17 +0000 https://sabahmedia.com/?p=93204
Read Time:1 Minute, 22 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

KOTA KINABALU: Isu berkaitan pelaksanaan projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah akan terus disuarakan di persidangan Parlimen sehingga ia selesai sepenuhnya.

Ahli Parlimen Sipitang Datuk Matbali Musah berkata,  ia penting kerana pelaksanaan keseluruhan projek berkenaan di negeri ini sudah jauh ketinggalan berbanding Sarawak.

Sehubungan itu, beliau akan membawa isu berkenaan sekali lagi dalam perbahasan di persidangan Dewan Rakyat pada Jun depan.

“Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah penting untuk disiapkan segera kerana ia menjadi nadi perhubungan utama yang sekali gus pemangkin pembangunan ekonomi negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majllis Iftar Ramadan bersama pengamal media di sini pada Khamis.

Matbali yang juga Pengerusi Lembaga Koko Malaysia berkata, isu projek Lebuh Raya Pan Borneo sering menjadi fokus perbahasannya di Parlimen, sebenarnya adalah untuk menyampaikan ‘suara’ naluri hati rakyat di Sabah.

“Selepas beberapa kali saya bangkitkan di Parlimen, memang ada kemajuan dari segi pelaksanaan projek ini.

“Justeru kita akan terus pantau perkembangannya, terutama di kawasan Parlimen Sipitang, iaitu jajaran Sindumin-Melalia-Beaufort,” katanya.

Beliau berkata dengan cara demikian, maka Kerajaan Persekutuan dapat memberikan jawapan dan perkembangan terkini pelaksanaannya dari semasa ke semasa.

Pada 3 Mac lalu, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan menyatakan bahawa kerajaan telah mengenakan penalti ganti rugi tertentu dan ditetapkan (LAD) berjumlah RM31.8 juta terhadap dua kontraktor bagi projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah yang gagal menyiapkan kerja dalam tempoh ditetapkan.

Menurut Ahmad Maslan, sebanyak 23 pakej kerja dikenal pasti lewat berbanding jadual asal pelaksanaan projek infrastruktur mega berkenaan.

“Kelewatan itu dipengaruhi beberapa faktor utama termasuk keadaan cuaca yang tidak menentu, cabaran pengambilan balik tanah, isu pengalihan utiliti serta prestasi kontraktor di tapak,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/03/13/isu-projek-lebuh-raya-pan-borneo-akan-terus-saya-suarakan-matbali/feed/ 0 93204
Tiada lagi ruang untuk alasan, LPB Sabah 86.6 peratus siap – KKR https://sabahmedia.com/2026/02/27/tiada-lagi-ruang-untuk-alasan-lpb-sabah-86-6-peratus-siap-kkr/ https://sabahmedia.com/2026/02/27/tiada-lagi-ruang-untuk-alasan-lpb-sabah-86-6-peratus-siap-kkr/#respond Fri, 27 Feb 2026 12:23:28 +0000 https://sabahmedia.com/?p=92403
Read Time:1 Minute, 45 Second

KOTA KINABALU : Status kemajuan fizikal projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1A (LPB) kini sudah mencapai 86.6 peratus selain Pakej Kerja 09 (WP09) merekodkan 17.24 peratus dan Fasa 1B berada pada tahap 13.56 peratus.

Perkara itu dimaklumkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Pelaksanaan Projek LPB Sabah Bilangan 2 Tahun 2026 yang dipengerusikan bersama oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya Malaysia (KKR) Datuk Seri Azman Ibrahim dan Setiausaha Tetap Kementerian Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Datuk Ridhwan Roger Linus.

Mesyuarat berkenaan turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha KKR, Datuk Dr. Khairus Masnan Abdul Khalid, selain pegawai kanan agensi Persekutuan dan Negeri serta wakil agensi teknikal termasuk Jabatan Kerja Raya Sabah, Jabatan Tanah dan Ukur Sabah, Sabah Electricity dan Jabatan Air Negeri Sabah.

Daripada 16 pakej kerja di bawah Fasa 1A, empat  pakej telah berjaya disiapkan sepenuhnya dan kini memberi manfaat langsung kepada pengguna jalan raya di negeri ini.

KKR menegaskan pihaknya cakna terhadap kebimbangan rakyat berhubung kelewatan projek LPB yang memberi kesan langsung kepada mobiliti harian, kos logistik serta pertumbuhan ekonomi negeri.

Projek infrastruktur mega ini bukan sekadar melibatkan aspek teknikal pembinaan, malah mempunyai impak rantaian terhadap kesejahteraan sosial dan daya saing ekonomi Sabah secara keseluruhan.

Sehubungan itu, KKR memberi komitmen penuh untuk memastikan baki jajaran yang masih dalam pembinaan dapat disiapkan secara berfasa dan mengikut garis masa yang ditetapkan.

Mesyuarat itu menjadi manifestasi sinergi strategik antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam memperkukuh penyelarasan pelaksanaan projek.

Pendekatan kini beralih daripada sekadar pemantauan kepada tindakan penyelesaian tuntas, dengan memusatkan kolaborasi semua pemegang taruh.

Semua agensi yang terlibat dituntut untuk menoktahkan budaya ‘blaming game’ dan bekerja secara silo.

Fokus utama adalah satu – memastikan setiap inci kemajuan projek mematuhi jadual yang telah dipasak sekian lama.

Kerajaan melalui KKR menetapkan sasaran agar keseluruhan Fasa 1A dan Fasa 1B diselesaikan sepenuhnya menjelang Suku Keempat tahun 2028.

Usaha ini mencerminkan kesungguhan Kerajaan dalam menyediakan infrastruktur jalan raya yang berkualiti, selamat dan efisien demi kemaslahatan rakyat di Negeri di Bawah Bayu, selari dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Dengan kemajuan yang semakin memberangsangkan dan komitmen yang diperkukuh, mesejnya jelas: tiada lagi ruang untuk alasan — hanya ruang untuk kemajuan.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/02/27/tiada-lagi-ruang-untuk-alasan-lpb-sabah-86-6-peratus-siap-kkr/feed/ 0 92403
Lebuhraya bertol dan Pan Borneo Sabah: Antara kesediaan membayar dan krisis kepercayaan https://sabahmedia.com/2026/01/26/lebuhraya-bertol-dan-pan-borneo-sabah-antara-kesediaan-membayar-dan-krisis-kepercayaan/ https://sabahmedia.com/2026/01/26/lebuhraya-bertol-dan-pan-borneo-sabah-antara-kesediaan-membayar-dan-krisis-kepercayaan/#respond Mon, 26 Jan 2026 07:12:53 +0000 https://sabahmedia.com/?p=90411
Read Time:5 Minute, 7 Second

ADAKAH LEBUHRAYA BERTOL PENYELESAIAN KEPADA MASALAH PAN-BORNEO DI SABAH?

Selama bertahun-tahun, rakyat Sabah diminta untuk bersabar. Lebuhraya Pan-Borneo dijanjikan sebagai pemangkin perubahan—melancarkan pergerakan, memendekkan masa perjalanan, dan membuka peluang ekonomi di seluruh negeri. Namun hari ini, rasa tidak puas hati semakin memuncak, bukan sahaja kerana lebuh raya itu masih belum siap, tetapi juga kerana kemajuan Sabah jelas ketinggalan berbanding Sarawak.

Di Sarawak, pembinaan Lebuhraya Pan-Borneo menunjukkan kemajuan yang lebih konsisten, dengan jajaran panjang yang telah siap dan beroperasi sepenuhnya. Di Sabah pula, kemajuannya tidak sekata. Ada bahagian yang hampir siap, namun banyak lagi masih terperangkap dengan kerja pembinaan yang berpanjangan, isu pengambilan tanah, dan perubahan reka bentuk yang berulang kali. Bagi pengguna jalan raya, perjalanan harian masih dipenuhi kesesakan, lencongan, risiko keselamatan, dan kualiti jalan yang tidak menentu.

Dalam keadaan ini, cadangan untuk mengenakan tol di Lebuhraya Pan-Borneo Sabah kelihatan semakin terpisah daripada realiti yang dialami rakyat. Perbahasan tidak lagi tertumpu kepada persoalan mudah—bolehkah tol diterima?—tetapi beralih kepada soalan yang lebih asas.

“MASUK AKALKAH BERCAKAP TENTANG TOL SEDANGKAN LEBUHRAYA PAN-BORNEO SABAH SENDIRI MASIH BERGELUT UNTUK DISIAPKAN?”

Artikel ini berasaskan satu kajian empirikal yang dijalankan oleh penulis bersama seorang pelajar pascasiswazah di bawah seliaan, melibatkan tinjauan ke atas 232 pengguna Lebuhraya Pan-Borneo di seluruh Sabah. Kajian ini meneliti kesediaan pengguna untuk membayar (willingness to pay, WTP) bagi infrastruktur yang lebih baik, serta memberikan gambaran berasaskan data sama ada tol merupakan penyelesaian yang munasabah dalam konteks Sabah.

KESEDIAAN MEMBAYAR ITU WUJUD-TETAPI BERSYARAT

Satu tanggapan biasa ialah rakyat Sabah menolak tol secara mutlak. Dapatan kajian ini tidak menyokong pandangan tersebut. Kesediaan membayar memang wujud, tetapi ia bersyarat, terpilih, dan berpaksikan pertimbangan praktikal.

Pengguna jalan raya bukan menolak tol atas dasar ideologi. Mereka menolak ketidakpastian, rasa tidak adil, dan keadaan di mana mereka diminta membayar sebelum menerima manfaat yang konsisten. Apabila tol dibincangkan sedangkan kelewatan pembinaan masih berterusan, penentangan awam hampir tidak dapat dielakkan.

Bagi ramai pengguna jalan raya di Sabah, tol melambangkan sebuah sistem lebuh raya yang telah siap dan matang. Namun apa yang mereka lihat sekarang ialah projek infrastruktur yang masih dalam pembinaan, tetapi sudah dibincangkan sebagai aset yang menjana hasil.

KETIDAKSAMARATAAN PENDAPATAN TIDAK BOLEH DIABAIKAN

Kajian ini mendapati tahap pendapatan merupakan faktor paling kuat yang mempengaruhi kesediaan membayar. Pengguna berpendapatan tinggi jauh lebih bersedia menerima tol, manakala pengguna berpendapatan rendah menunjukkan kesediaan yang jauh lebih rendah.

Dapatan ini membawa implikasi besar kepada Sabah. Jurang pendapatan di Sabah lebih luas berbanding banyak kawasan di Semenanjung Malaysia, dan sebahagian besar pengguna jalan raya bergantung kepada Lebuhraya Pan-Borneo untuk keperluan asas harian—pekerjaan, rawatan kesihatan, pendidikan, dan perkhidmatan penting lain. Berbeza dengan Sarawak, yang telah menikmati manfaat jelas daripada jajaran yang siap, pengguna di Sabah diminta mempertimbangkan tol sambil terus menanggung kos tersembunyi akibat kelewatan pembinaan: pembaziran bahan api, masa perjalanan yang lebih panjang, dan kehausan kenderaan.

Sebarang dasar tol yang mengabaikan realiti pendapatan ini berisiko mengukuhkan lagi persepsi ketidakadilan dan peminggiran.

PENJIMATAN MASA SATU-SATUNYA JUSTIFIKASI YANG KUKUH

Satu lagi faktor penting yang mempengaruhi kesediaan membayar ialah nilai masa. Pengguna yang benar-benar menghargai penjimatan masa—seperti pengusaha perniagaan, operator logistik, dan pekerja—lebih bersedia membayar jika tol dapat menjamin perjalanan yang lebih cepat dan boleh dijangka.

Di sinilah hujah tol di Sabah menjadi lemah. Penjimatan masa masih belum konsisten. Zon pembinaan, simpang yang belum siap, dan kelembapan secara tiba-tiba menjejaskan manfaat utama yang sepatutnya menjadi justifikasi kepada tol.

Di Sarawak, penjimatan masa sudah dapat dirasai dan diramal. Di Sabah, ia masih bersifat terputus-putus dan tidak menentu. Kajian ini jelas menunjukkan bahawa tanpa manfaat masa yang boleh dipercayai, kesediaan membayar akan merosot dengan ketara.

PERSEPSI POSITIF TIDAK BERMAKNA SANGGUP MEMBAYAR

Satu lagi andaian lazim ialah bahawa peningkatan persepsi awam—melalui reka bentuk yang lebih baik, ciri keselamatan yang dipertingkat, dan papan tanda yang lebih jelas—akan meningkatkan penerimaan terhadap tol. Kajian ini mencabar andaian tersebut secara langsung.

Persepsi pengguna terhadap Lebuhraya Pan-Borneo tidak mempunyai kesan signifikan terhadap kesediaan membayar. Malah pengguna yang mempunyai pandangan positif terhadap lebuh raya ini tidak semestinya sanggup membiayainya melalui tol. Dapatan ini menjadi amaran kepada pembuat dasar bahawa strategi komunikasi dan naratif promosi tidak boleh menggantikan hasil yang benar-benar dirasai.

Pengguna jalan raya membuat penilaian yang mudah—apakah manfaat yang saya peroleh, dan apakah kos yang perlu saya tanggung?

KEKERAPAN PENGGUNAAN JALAN TIDAK MENJAMIN PENERIMAAN

Menariknya, kekerapan perjalanan dan jarak perjalanan tidak memberi kesan signifikan terhadap kesediaan membayar. Pengguna yang kerap menggunakan jalan atau menempuh jarak jauh tidak semestinya lebih bersedia menerima tol.

Sebaliknya, tujuan perjalanan lebih menentukan. Mereka yang melakukan perjalanan untuk kerja, perniagaan, atau perkhidmatan penting menunjukkan kesediaan membayar yang lebih tinggi berbanding mereka yang melakukan perjalanan untuk tujuan santai. Ini mengukuhkan satu kesimpulan mudah: orang sanggup membayar apabila jalan benar-benar menyokong produktiviti dan keperluan hidup.

Namun selagi pembinaan mengganggu perjalanan penting, bukannya memudahkannya, Sabah kekal berada pada kedudukan yang lemah dalam perbahasan tol.

KRISIS KEPERCAYAAN, BUKAN MASALAH HARGAApabila kemajuan Pan-Borneo di Sabah terus ketinggalan berbanding Sarawak, perbahasan tol tidak lagi bersifat teknikal semata-mata, sebaliknya menjadi isu emosi dan politik. Kajian ini menunjukkan bahawa masalah teras bukanlah kesediaan membayar, tetapi kepercayaan.Kepercayaan bahawa lebuh raya ini benar-benar akan disiapkan.Kepercayaan bahawa manfaat yang dijanjikan akan direalisasikan.Kepercayaan bahawa Sabah tidak diminta membayar sebelum menikmati apa yang telah dinikmati oleh pihak lain.Selagi krisis kepercayaan ini tidak ditangani, tol akan dilihat bukan sebagai penyelesaian, tetapi sebagai beban tambahan ke atas sebuah negeri yang masih menunggu hasil.

KESIMPULAN

Bukti yang ada jelas menunjukkan bahawa lebuh raya bertol bukan jalan pintas untuk menyelesaikan masalah Pan-Borneo di Sabah. Tanpa penyempurnaan projek, keseragaman kualiti, dan penjimatan masa yang benar-benar boleh dipercayai, tol berisiko meningkatkan kemarahan awam, bukannya menjamin kelestarian kewangan.

Siapkan lebuh raya dengan sempurna.
Rapatkan jurang prestasi dengan Sarawak.
Sampaikan manfaat harian yang jelas dan dirasai oleh pengguna.

Hanya selepas itu, persoalan tol menjadi bermakna dari sudut ekonomi dan sosial.

Sehingga saat tersebut, mengenakan bayaran kepada rakyat Sabah hanya memindahkan beban kewangan, bukan menyelesaikan kegagalan pelaksanaan Pan-Borneo di negeri ini.

Ms Dayang Nurul Natasha Binti Shamsul Bahari Dr Mohamad Isa Abd Jalil

Fakulti Perniagaan, Ekonomi & PerakaunanUniversiti Malaysia Sabah

]]>
https://sabahmedia.com/2026/01/26/lebuhraya-bertol-dan-pan-borneo-sabah-antara-kesediaan-membayar-dan-krisis-kepercayaan/feed/ 0 90411
Segera laksana pembaikan di laluan kritikal LPB – Ruslan https://sabahmedia.com/2026/01/14/segera-laksana-pembaikan-di-laluan-kritikal-lpb-ruslan/ https://sabahmedia.com/2026/01/14/segera-laksana-pembaikan-di-laluan-kritikal-lpb-ruslan/#respond Wed, 14 Jan 2026 00:49:43 +0000 https://sabahmedia.com/?p=89676
Read Time:1 Minute, 38 Second

BEAUFORT : Kontraktor projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Pakej 2 diarah untuk melaksanakan pembaikan segera di laluan kritikal sepanjang Batu 5 hingga Batu 7 melibatkan laluan Kampung Malalia ke Beaufort .

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Datuk Ruslan Muharam berkata, ia adalah bagi mengurangkan risiko kemalangan serta kerosakan kenderaan pengguna jalan raya.

Beliau berkata, arahan itu adalah susulan aduan diterima daripada rakyat mengenai keadaan jalan berlubang yang semakin serius, khususnya di laluan sedia ada yang menjadi jalan utama harian.

“Kita tidak boleh menunggu sehingga kerja penurapan penuh bermula. 

“Keselamatan pengguna adalah keutamaan dan pembaikan sementara mesti dilaksanakan segera,” katanya ketika ditemui selepas lawatan tapak bersama Jabatan Kerja Raya (JKR), perunding dan kontraktor projek, di sini pada Selasa.

Beliau yang juga Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan berkata, kerja penurapan baharu di Batu 5 sepanjang hampir dua kilometer sedang giat dilaksanakan dan dijangka siap dalam bulan ini, manakala penurapan di Batu 7 Lumadan akan bermula pada Februari depan.

Namun demikian, beliau menegaskan bahawa tempoh menunggu tersebut tidak boleh dijadikan alasan untuk membiarkan laluan sedia ada terus rosak dan berbahaya kepada pengguna.

“Masih ada kira-kira enam minggu sebelum pengaspalan di Batu 7 bermula. Dalam tempoh itu, jalan berlubang perlu dibaiki segera supaya risiko kemalangan dapat dikurangkan,” katanya.

Ruslan berkata, arahan telah diberikan supaya kerja-kerja pembaikan sementara di lokasi yang dikenal pasti kritikal dimulakan secepat mungkin, termasuk menampal lubang dan meratakan permukaan jalan yang rosak.

Beliau turut memaklumkan bahawa projek Pan Borneo Pakej 2 sepanjang 34.7 kilometer itu setakat ini mencapai kemajuan sekitar 62.5 peratus, namun berdepan kelewatan akibat faktor cuaca, pengambilan tanah serta isu teknikal pembinaan.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati ketika melalui laluan Batu 5 hingga Bukau, terutama pada musim hujan kerana kawasan tersebut sering dilanda banjir dan kerosakan jalan yang serius.

“Saya berdiri di pihak rakyat. Arahan ini adalah untuk memastikan keselamatan pengguna terjamin sementara menunggu jalan baharu siap sepenuhnya,” katanya. – SABAH MEDIA

]]>
https://sabahmedia.com/2026/01/14/segera-laksana-pembaikan-di-laluan-kritikal-lpb-ruslan/feed/ 0 89676
KKR ambil tindakan proaktif selesaikan isu teknikal projek LPB Sabah https://sabahmedia.com/2025/12/12/kkr-ambil-tindakan-proaktif-selesaikan-isu-teknikal-projek-lpb-sabah/ https://sabahmedia.com/2025/12/12/kkr-ambil-tindakan-proaktif-selesaikan-isu-teknikal-projek-lpb-sabah/#respond Fri, 12 Dec 2025 12:24:34 +0000 https://sabahmedia.com/?p=88167
Read Time:1 Minute, 15 Second

PUTATAN : Kementerian Kerja Raya Malaysia (KKR) mengambil tindakan proaktif dengan memberi fokus terhadap beberapa isu teknikal yang menjejaskan pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, tindakan itu dilaksanakan melalui mesyuarat Jawatankuasa Pemandu sebelum melakukan tinjauan ke beberapa lokasi pembinaan bagi meneliti perkembangan semasa pakej LPB di negeri ini.

Beliau berkata, mesyuarat itu bertujuan bagi mengenal pasti masalah utama termasuk pengambilan balik tanah, pengalihan utiliti, kelewatan syarikat pengurusan dan kekangan bekalan material. 

Katanya, isu tenaga kerja dan bekalan bitumen yang sebelum ini terganggu kini dilaporkan kembali stabil.

“Mesyuarat membolehkan kita menyelesaikan isu-isu besar dan kecil dengan lebih cepat kerana ia turut disertai wakil Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan tinjauan pembinaan LPB di Kampung Ketiau, di sini pada Jumaat.

Selain mesyuarat, pihaknya turut turun ke tapak melibatkan Pakej 6, Pakej 7 dan Pakej 8 untuk meninjau keadaan semasa selain memberi nasihat terus kepada pihak pengurusan projek dan memastikan langkah penyelesaian diambil segera.

Alexander berkata, jawatankuasa kecil teknikal juga ditubuhkan bagi mengumpul maklumat lebih terperinci sebelum mesyuarat pemandu seterusnya, bagi mempercepat proses keputusan dan tindakan.

Sementara itu, beliau menegaskan bahawa kesinambungan pentadbiran negeri selepas pilihan raya baru-baru ini membantu mempercepat koordinasi antara kerajaan Persekutuan dan Negeri khususnya memastikan projek itu terus bergerak dengan lancar.

“Semua projek rakyat termasuk jalan raya, sekolah, hospital dan fasiliti kerajaan mesti dilaksanakan dengan terbaik. 

“Oleh itu, kita hadir di Sabah untuk memastikan masalah ditangani segera,” katanya. – SABAH MEDIA

]]>
https://sabahmedia.com/2025/12/12/kkr-ambil-tindakan-proaktif-selesaikan-isu-teknikal-projek-lpb-sabah/feed/ 0 88167