Parit – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Sat, 29 Aug 2026 09:31:41 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.1 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png Parit – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 Kanak-kanak 10 tahun maut selepas terjatuh dalam parit https://sabahmedia.com/2026/08/29/kanak-kanak-10-tahun-maut-selepas-terjatuh-dalam-parit/ https://sabahmedia.com/2026/08/29/kanak-kanak-10-tahun-maut-selepas-terjatuh-dalam-parit/#respond Sat, 29 Aug 2026 09:31:34 +0000 https://sabahmedia.com/?p=102452
Read Time:1 Minute, 31 Second

BEAUFORT: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun maut selepas dipercayai terjatuh ke dalam parit kebun sawit di Kampung Rancangan Klias, di sini, petang Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.45 petang pada 28 Ogos, mangsa dikatakan pergi ke kawasan parit berkenaan bersama seorang rakannya untuk bermain.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Supt Champin Piuh berkata, pihaknya menerima panggilan daripada NG999 (RC KCH) memaklumkan seorang kanak-kanak disyaki lemas di kawasan berkenaan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati lokasi kejadian terletak kira-kira satu kilometer dari rumah mangsa.

“Ketika berjalan di tebing parit, mangsa dipercayai tergelincir akibat tanah licin selepas hujan sebelum terjatuh ke dalam parit.

“Mangsa yang tidak pandai berenang kemudian menjerit meminta pertolongan, namun rakannya yang panik dan ketakutan tidak dapat membantu sebelum berlari mendapatkan bapa mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Champin berkata, bapa mangsa kemudian bergegas ke lokasi kejadian dan terjun ke dalam parit sebelum menemui kaki mangsa.

“Bapa mangsa menarik mangsa ke tebing dan memberikan bantuan pernafasan, namun tidak berjaya.

“Mangsa kemudian dibawa pulang ke rumah dan apabila ambulans Hospital Beaufort tiba, pegawai perubatan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia,” katanya.

Hasil pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati parit berkenaan baru dibersihkan dan didalamkan, dengan ketinggian kira-kira tiga meter serta kedalaman air sekitar dua meter.

“Paras air dipercayai meningkat berikutan hujan yang berlaku ketika kejadian,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan.

“Pemeriksaan luaran terhadap tubuh mangsa oleh pegawai perubatan di Bahagian Forensik Hospital Beaufort mendapati tiada sebarang kesan perbuatan jenayah.

“Bedah siasat dijadualkan dijalankan pada jam 8 pagi, 29 Ogos di Jabatan Forensik Hospital Beaufort,” katanya.

Beliau berkata, kertas siasatan bagi kes mati mengejut itu telah dibuka.

Sehubungan itu, Champin menasihatkan ibu bapa supaya sentiasa mengawasi pergerakan anak-anak dan tidak membenarkan mereka keluar tanpa ditemani orang dewasa, khususnya ketika berada berhampiran sungai, parit atau kawasan berair.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/08/29/kanak-kanak-10-tahun-maut-selepas-terjatuh-dalam-parit/feed/ 0 102452
Petani Bingkor lega, sistem pengairan kembali pulih https://sabahmedia.com/2025/10/31/petani-bingkor-lega-sistem-pengairan-kembali-pulih/ https://sabahmedia.com/2025/10/31/petani-bingkor-lega-sistem-pengairan-kembali-pulih/#respond Fri, 31 Oct 2025 11:00:35 +0000 https://sabahmedia.com/?p=84606
Read Time:1 Minute, 41 Second

Oleh Silar Pinikit

BINGKOR: Para petani di Mukim Tuntumulud kini menarik nafas kelegaan dan gembira apabila Jabatan Parit dan Saliran (JPS) Keningau giat melaksanakan kerja-kerja pembersihan serta pengorekan parit pengairan yang sekian lama tertangguh.

Deruman jentolak yang memecah kesunyian di kawasan sawah menyuntik semangat baharu buat masyarakat tani di sini selepas bertahun-tahun bergelut dengan masalah pengairan yang menjejaskan hasil tanaman padi mereka.

Menurut seorang petani dari Kampung Buang Sayang, Moses Sadoon Lasawon, usaha berkenaan ibarat rahmat yang datang tepat pada waktunya.

“Ini langkah yang amat kami hargai. Usaha ini membawa manfaat besar kepada kami petani yang bergantung kepada sistem pengairan teratur untuk tanaman padi.

“Terima kasih kepada JPS Keningau serta penyandang ADUN Bingkor, Datuk Robert Tawik Mansai, yang sentiasa mendengar denyut nadi rakyat,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, baru-baru ini.

Beliau menambah, kehadiran pasukan pembersihan ketika mereka sedang memasukkan air ke sawah adalah sesuatu yang menyegarkan semangat dan menambah keyakinan untuk terus berusaha.

Turut menyuarakan penghargaan ialah Ketua Kampung Tangkongon, KK Nelson Jiun, dan Presiden Persatuan Gana Sabah (PGS), Julian Flavinus Lian Likang @ Mohd Hafiz, yang menyifatkan tindakan pantas pihak berkuasa sebagai bukti keprihatinan kerajaan terhadap rakyat luar bandar.

“Tindakan segera ini membuktikan kerajaan peka terhadap keperluan rakyat. Ia bukan sekadar kerja pembersihan, tetapi simbol kesungguhan untuk memulihkan kesejahteraan masyarakat tani,” ujar mereka bersama.

Kerja-kerja pembersihan itu melibatkan pengorekan lumpur, pembuangan rumput rumpai serta pengalihan bahan-bahan yang menyekat aliran air.

Usaha berkenaan bukan sahaja mengurangkan risiko banjir kilat, malah meningkatkan kecekapan sistem pengairan di kawasan pertanian utama Mukim Tuntumulud, Mukim Bingkor dan kampung-kampung berdekatan.

Datuk Robert turut menerima penghargaan daripada penduduk yang menilai langkah tersebut sebagai bukti kepimpinan berjiwa rakyat bukan sekadar janji, tetapi tindakan nyata.

Kini, Mukim Tuntumulud menyaksikan semangat baharu, bukan sahaja dalam aliran air yang kembali lancar, tetapi juga dalam keyakinan rakyat terhadap pemimpin mereka.

Bunyi jentolak yang berfungsi dan senyuman petani yang terukir menjadi simbol indah bahawa apabila kerajaan, pemimpin dan rakyat bergerak sehaluan, perubahan bukan lagi impian, ia sedang berlaku di bumi Bingkor.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/10/31/petani-bingkor-lega-sistem-pengairan-kembali-pulih/feed/ 0 84606
Parit tersumbat di Bandar Ramai-Ramai akhirnya diselesaikan https://sabahmedia.com/2025/10/25/parit-tersumbat-di-bandar-ramai-ramai-akhirnya-diselesaikan/ https://sabahmedia.com/2025/10/25/parit-tersumbat-di-bandar-ramai-ramai-akhirnya-diselesaikan/#respond Sat, 25 Oct 2025 08:29:56 +0000 https://sabahmedia.com/?p=84133
Read Time:1 Minute, 6 Second

SANDAKAN: Penduduk Blok R, Bandar Ramai-Ramai kini boleh menarik nafas lega apabila masalah parit tersumbat yang berlarutan sekian lama akhirnya berjaya diselesaikan.

Masalah itu diselesaikan hasil inisiatif dan komitmen Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Karamunting, Datuk George Hiew Vun Zin, yang bertindak segera selepas menerima aduan dan cadangan daripada penduduk setempat.

Menurut Hiew, parit yang tersumbat itu sering menjadi punca banjir kilat, pembiakan nyamuk aedes serta pencemaran di kawasan perumahan dan premis perniagaan berhampiran.

“Parit ini bersambung terus ke pesisir laut. Setiap kali air pasang atau hujan lebat, air tidak dapat mengalir dengan baik kerana saluran sempit dan cetek, menyebabkan limpahan ke jalan raya dan mengganggu aktiviti harian penduduk,” katanya.

Sebagai langkah percubaan, Hiew menggunakan dana peribadi untuk melebar dan memperdalamkan parit terbabit, selain menjalankan kerja-kerja pembersihan dengan mengeluarkan longgokan sampah seperti botol plastik dan sisa pepejal.

“Kita bersyukur langkah ini memberikan hasil positif dan berjaya menangani isu yang sudah lama berlaku. Kita akhirnya menemui formula terbaik untuk menangani masalah seumpama ini,” ujarnya.

Penduduk tempatan turut bekerjasama membersihkan kawasan sekitar bagi memastikan parit kekal berfungsi dengan baik.

Hiew menegaskan komitmen pasukannya untuk terus memantau kawasan berkenaan serta mengenal pasti lokasi lain yang berisiko menghadapi masalah sama, terutama di kawasan berhampiran pantai.

“Keutamaan kami adalah memastikan keselamatan, kebersihan dan keselesaan penduduk sentiasa terpelihara,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/10/25/parit-tersumbat-di-bandar-ramai-ramai-akhirnya-diselesaikan/feed/ 0 84133
JKR Diminta Baiki Parit, Pembetung Tersumbat, Pecah Akibat Arus Deras Air Hujan https://sabahmedia.com/2022/01/30/jkr-diminta-baiki-parit-pembetung-tersumbat-pecah-akibat-arus-deras-air-hujan/ https://sabahmedia.com/2022/01/30/jkr-diminta-baiki-parit-pembetung-tersumbat-pecah-akibat-arus-deras-air-hujan/#respond Sun, 30 Jan 2022 03:01:12 +0000 https://sabahmedia.com/?p=11725
Read Time:1 Minute, 18 Second

RANAU: Jabatan Kerja Raya (JKR) Ranau diminta untuk membaiki parit-parit dan pembetung-pembetung yang telah tersumbat dan pecah akibat aliran deras air berikutan hujan lebat sejak beberapa hari ini.

Timbalan Ketua Menteri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang, Datuk Dr. Joachim Gunsalam berkata demikian semasa mengadakan lawatan ke Kampung Kundasang Lama, Kg. Dumpiring, Kg. Dumpiring Atas dan jalan menuju ke Kg Bundu Tuhan untuk memantau keadaan jalan dan parit di sini, kelmarin.

Dr. Joachim berada di kampung berkenaan dengan diiringi oleh Penyelia Kemajuan Masyarakat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kundasang, Japli Madi.

“Parit-parit dan pembetung-pembetung didapati pecah dan tersumbat, ini perlu dibaiki dengan kadar segera,” kata beliau.

Pemilik inap desa (homestay) juga diingatkan untuk memastikan agar pembinaan inap desa berhampiran jalan raya besar tidak menambah masalah terutamanya parit tersumbat dan membersihkan kawasan ataupun membuat pembetung yang lebih besar untuk menampung jumlah air yang mengalir.

Beliau juga menyarankan agar penduduk kampung terutama di kawasan tanah tinggi menanam pokok bagi mengelak tanah runtuh.

Dr. Joachim yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian meminta semua Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) agar memaklumkan kepada pihak JKR dan konsesi untuk tindakan susulan.

Kelmarin, video mengenai banjir di Kampung Lembah Pantai, Kundasang, Ranau tular ekoran hujan berterusan.

Sehubungan itu, Dr. Joachim mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabah dan JKR Ranau/ konsesi yang telah membuat pemantauan membersihkan banjir di jalanraya.

Beliau meminta penduduk supaya sentiasa waspada dan berhati-hati apabila hujan lebat melebihi dua jam, kemungkinan berlakunya kejadian tanah runtuh atau banjir kilat berlaku walaupun di kawasan pergunungan.

]]>
https://sabahmedia.com/2022/01/30/jkr-diminta-baiki-parit-pembetung-tersumbat-pecah-akibat-arus-deras-air-hujan/feed/ 0 11725