Pastikan – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Tue, 09 Apr 2024 03:52:21 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.1 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png Pastikan – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 KPDN pastikan bekalan gula stabil sepanjang Ramadan dan menjelang Syawal di Sabah https://sabahmedia.com/2024/04/09/kpdn-pastikan-bekalan-gula-stabil-sepanjang-ramadan-dan-menjelang-syawal-di-sabah/ https://sabahmedia.com/2024/04/09/kpdn-pastikan-bekalan-gula-stabil-sepanjang-ramadan-dan-menjelang-syawal-di-sabah/#respond Tue, 09 Apr 2024 03:48:08 +0000 https://sabahmedia.com/?p=52397
Read Time:2 Minute, 26 Second

KOTA KINABALU: Tinjauan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) hari ini ke Gudang Sazarice Sdn Bhd di Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP) II adalah untuk melihat pengurusan stok bekalan gula putih bertapis.

Ini adalah susulan daripada langkah-langkah awal yang telah diambil oleh KPDN dan dua pengilang gula untuk memastikan bekalan adalah mencukupi untuk kegunaan domestik dan industri sepanjang bulan Ramadan dan bulan Syawal di seluruh negara.

Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, hanya terdapat dua pengilang gula tempatan iaitu Syarikat Malaysia Holding Berhad (MSM) dan Central Sugar Refinery (CSR).

Justeru, katanya, mengambil kira pemprosesan gula putih bertapis hanya dibuat di kilang-kilang di Semenanjung Malaysia, maka menjadi satu keperluan untuk melaksanakan strategi tambahan untuk memastikan kestabilan bekalan bagi negeri Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan kerana melibatkan faktor penghantaran melalui pengangkutan laut.

Menurut Armizan, melalui strategi tambahan tersebut, bekalan gula di pasaran Sabah telah ditingkatkan bagi bulan Mac 2024 bersempena bulan Ramadan dan persiapan menjelang bulan Syawal iaitu sebanyak 6,980.32 metrik tan (MT) berbanding dua bulan sebelumnya iaitu 5,156.34MT bagi bulan Februari dan 4,781.52MT bagi bulan Januari.

“Bagi bulan April 2024, sasaran adalah untuk memastikan penghantaran sebanyak 6,119.80MT, tidak termasuk penghantaran ke Wilayah Persekutuaan Labuan iaitu sebanyak 190MT,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas beliau lagi, penghantaran pertama melalui pengangkutan laut telah berlepas pada 3 April lalu.

“Dalam memastikan kestabilan bekalan gula di negeri ini, KPDN mengambil langkah proaktif dengan memantau rangkaian agihan pengeluaran bekalan di semua peringkat agar stok sentiasa mencukupi di pasaran untuk memenuhi permintaan pengguna.

“Ini meliputi tindakan mewujudkan jaringan kerjasama langsung bersama pihak pengilang, pemborong dan sehingga ke peringkat peruncit,” katanya.

Tambah beliau, pihak KPDN Negeri Sabah turut menjalinkan kolaborasi bersama pihak
pelabuhan bagi membantu dan mempercepat kebenaran kapal-kapal untuk memunggah barang-barang kawalan termasuk gula khususnya melibatkan permohonan daripada mana-mana pemborong barang kawalan di Sabah.

Dalam pada itu, katanya, KPDN juga telah melaksanakan kerjasama dengan sebanyak 25 pemborong utama gula bagi MSM dan 13 pemborong gula bagi CSR yang berperanan mengedarkan gula putih bertapis kepada para peruncit berlesen di seluruh Negeri Sabah.

“Selain itu, sebanyak 161 Dedicated Retailer (DDR) dan 89 Dedicated Wholesaler (DDW) telah dilantik dan dipantau setiap hari sebagai penanda aras sebarang kekurangan bekalan gula di pasaran,” ujarnya.

Menurut Armizan lagi, KPDN Sabah juga telah melaksanakan OPS Kristal sejak awal tahun 2024.

“Tujuan operasi ini adalah untuk membuat pemantauan dan pemeriksaan ke atas kedudukan bekalan gula di peringkat rantaian borong dan runcit pada setiap hari.

“Bagi tempoh 1 Januari hingga 5 April 2024, sebanyak 18 kes dikesan melibatkan pelanggaran undang-undang di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961. Manakala jumlah aduan yang diterima daripada pengguna daripada 1 Januari hingga 31 Mac 2024 adalah sebanyak 17 aduan yang berkaitan dengan isu kekurangan bekalan gula di pasaran.

“Aduan-aduan ini telah diselesaikan dengan segera dengan mengarahkan pemborong- pemborong utama gula mengedarkan gula ke kawasan-kawasan terlibat,” jelas beliau.

]]>
https://sabahmedia.com/2024/04/09/kpdn-pastikan-bekalan-gula-stabil-sepanjang-ramadan-dan-menjelang-syawal-di-sabah/feed/ 0 52397
Pastikan pengendali bas penumpang ada dua pemandu untuk keselamatan – David https://sabahmedia.com/2024/04/01/pastikan-pengendali-bas-penumpang-ada-dua-pemandu-untuk-keselamatan-david/ https://sabahmedia.com/2024/04/01/pastikan-pengendali-bas-penumpang-ada-dua-pemandu-untuk-keselamatan-david/#respond Sun, 31 Mar 2024 22:44:23 +0000 https://sabahmedia.com/?p=51972
Read Time:2 Minute, 3 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Semua pengendali pengangkutan awam khususnya perkhidmatan bas penumpang yang melalui perjalanan jarak jauh disarankan mesti mempunyai dua pemandu untuk memastikan keselamatan dan melancarkan perjalanan menuju ke destinasi.

Justeru, Presiden Persatuan Pengguna Bijak Pantai Barat Sabah David Chan menggesa kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sabah supaya menjalankan penguatkuasaan lebih tegas terhadap perkara tersebut.

“Bersempena dengan sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri, saya menggesa Jabatan Pengangkutan Jalan supaya menjalankan penguatkuasaan lebih tegas seperti membuat pemeriksaan terhadap pengendali kenderaan awam khususnya setiap perkhidmatan bas penumpang diwajibkan mempunyai dua pemandu terutama bagi perjalanan jarak jauh dan tanpa henti.

“Ini kerana sekiranya seorang pemandu sudah penat dan letih, sekurang-kurangnya ada seorang pemandu boleh bertukar memandu bas tersebut untuk meneruskan perjalanan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, semalam.

Selain itu, David berkata, penguat kuasa JPJ juga digesa agar menjalankan pemeriksaan di setiap stesen bas untuk memastikan pengendali perkhidmatan bas telah melakukan penyelenggaraan ke atas bas-bas mereka.

“Saya juga menyeru kepada penguat kuasa JPJ supaya membuat pemeriksaan di stesen-stesen bas memastikan sama ada pengendali bas tersebut telah melakukan penyelenggaraan dan memastikan adakah bas-bas penumpang mereka berada dalam keadaan yang baik.

“Kita tidak mahu ada kejadian yang tidak diingini berlaku pada masa perayaan nanti kerana bas-bas ini membawa banyak nyawa di dalamnya.

“Justeru, saya sekali lagi merayu kepada JPJ supaya menghantar anggota penguat kuasa ke stesen bas untuk menjalankan pemeriksaan itu,” tegasnya.

Dalam pada itu, David turut mengalu-alukan dan mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor atas pengumuman memberikan subsidi tiket penerbangan kepada pelajar Sabah yang menjalani pengajian di Semenanjung, Sarawak dan Labuan baru-baru ini.

“Saya ucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri Sabah kerana memberikan subsidi tiket penerbangan kepada pelajar Sabah.

“Ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang ditanggung keluarga mereka.
Jadi ramai pelajar Sabah yang sedang menjalani pengajian di Semenanjung sangat gembira mendengar berita ini kerana dapat pulang berhari raya bersama keluarga di Sabah nanti.

“Namun demikian, kita juga berharap Kerajaan Persekutuan akan terus mempertimbangkan untuk memberi tiket penerbangan yang murah khususnya kepada pelajar semasa musim perayaan.

“Kita tidak mahu tiket ini diperdagangkan seperti trend pasaran saham yang turun naik, ini sangat tidak bagus.

“Banyak insiden yang berlaku, apabila pelajar-pelajar ini tiba di lapangan terbang untuk membeli tiket dan mereka mendapati tiket penerbangan itu sangat mahal jadi mereka sangat kecewa.

“Kita berharap Kerajaan Persekutuan dapat menetapkan satu harga yang berpatutan kepada pengguna khususnya kepada pelajar-pelajar Sabah,” ujarnya.

]]>
https://sabahmedia.com/2024/04/01/pastikan-pengendali-bas-penumpang-ada-dua-pemandu-untuk-keselamatan-david/feed/ 0 51972
Sabah komited pastikan khazanah budaya bangsa terpelihara https://sabahmedia.com/2023/11/17/sabah-komited-pastikan-khazanah-budaya-bangsa-terpelihara/ https://sabahmedia.com/2023/11/17/sabah-komited-pastikan-khazanah-budaya-bangsa-terpelihara/#respond Fri, 17 Nov 2023 13:46:27 +0000 https://sabahmedia.com/?p=45339
Read Time:1 Minute, 46 Second

SEMPORNA: Kerajaan negeri komited untuk memastikan khazanah budaya bangsa di negeri ini terus kekal terpelihara, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Sehubungan itu beliau mahu tanggungjawab memastikan usaha itu digalas semua pihak yang berkaitan sama ada di peringkat kerajaan negeri, Persekutuan, persatuan etnik dan badan bukan kerajaan (NGO) melalui penganjuran program pengembangan budaya yang lebih berkesan.

“Usaha perlu dirancang dengan rapi dan dilaksanakan dengan teratur melalui
penglibatan pihak berkaitan dan berkepentingan bagi memastikan khazanah budaya terus kekal relevan dan diwarisi sebagai kebudayaan yang bernilai oleh generasi akan datang.

“Dalam masa sama, kerajaan negeri juga akan terus mengekalkan dan mempertahankan seni budaya tradisi rakyat berbilang kaum di negeri ini melalui aktiviti pemuliharaan, pemeliharaan dan pengembangan seni, budaya dan warisan bangsa,” katanya sempena Majlis Perasmian Sambutan Regatta Lepa Semporna Kali Ke-28 di Dataran Regatta Lepa Semporna, di sini pada Jumaat.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew.

Dalam pada itu beliau berkata, seni budaya tradisi rakyat berbilang bangsa di negeri ini adalah khazanah negara yang amat berharga.

“Khazanah ini juga yang akan diwariskan kepada generasi yang berikutnya, agar tidak pupus ditelan zaman, di samping menjadi pemangkin kepada sektor pelancongan yang berteraskan seni budaya serta warisan.

“Justeru, sudah pasti Regatta Lepa yang berlangsung hingga Ahad ini adalah antara program yang membantu mempromosikan negeri Sabah sebagai destinasi pelancongan dan kebudayaan yang unggul bertaraf dunia di rantau ini,” katanya.

Beliau berkata, rakyat berbilang kaum dan agama di negeri ini berhak mengamalkan adat dan budaya masing-masing dengan harmoni, termasuklah amalan beragama dan perayaan yang disambut.

“Oleh itu, kepelbagaian agama, budaya dan adat resam di negeri ini hendaklah dihormati dan dipelihara dengan sebaik-baiknya. Persefahaman, bertoleransi, sikap hormat-menghormati dan memahami adat budaya sesama kaum ini perlu dipertahankan demi kesinambungan pengukuhan perpaduan yang kita warisi.

“Amalan ini bukan sahaja menggambarkan perpaduan dan persefahaman malah meningkatkan lagi kemesraan antara kaum. Perpaduan jitu adalah asas kepada pengukuhan negeri Sabah sebagai sebuah negeri yang aman dan harmoni,” katanya.

Turut hadir memeriahkan majlis Pengerusi Penganjur Acara merangkap Pegawai Daerah Semporna Alexander Liew dan Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) Deputi Komisioner Datuk Victor Sanjos.

]]>
https://sabahmedia.com/2023/11/17/sabah-komited-pastikan-khazanah-budaya-bangsa-terpelihara/feed/ 0 45339