Pelajar – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Tue, 22 Sep 2026 06:33:26 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.1 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png Pelajar – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 30 pelajar Sabah lanjut pengajian ke Al-Azhar, Maahad Qiraat Shoubra https://sabahmedia.com/2026/09/22/30-pelajar-sabah-lanjut-pengajian-ke-al-azhar-maahad-qiraat-shoubra/ https://sabahmedia.com/2026/09/22/30-pelajar-sabah-lanjut-pengajian-ke-al-azhar-maahad-qiraat-shoubra/#respond Tue, 22 Sep 2026 06:31:53 +0000 https://sabahmedia.com/?p=103911
Read Time:2 Minute, 32 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

KOTA KINABALU: Seramai 30 pelajar dari negeri ini akan berangkat ke Mesir tahun ini bagi melanjutkan pengajian di dua universiti iaitu Universiti Al-Azhar dan Maahad Qiraat Shoubra Al-Azhar.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, berkata peluang menuntut ilmu di negara Timur Tengah itu bukan sekadar satu pencapaian akademik, sebaliknya merupakan amanah besar yang perlu dipikul setiap pelajar.

“Pergilah ke Mesir dengan niat yang betul. Tuntutlah ilmu kerana Allah SWT. Belajarlah dengan bersungguh-sungguh, berdisiplin dan penuh kesabaran.

“Ingatlah bahawa saudara dan saudari bukan hanya membawa buku dan pakaian apabila berangkat nanti. Saudara dan saudari membawa bersama harapan ibu bapa, doa keluarga, amanah penaja serta nama baik Sabah dan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Amanat kepada 30 pelajar yang melanjutkan pengajian  di Universiti Al-Azhar dan Maahad Qiraat Shoubra Al-Azhar di sini pada Selasa.

Teks ucapan beliau dibacakan Yang Dipertua MUIS, Datuk Seri Yahya Hussin.

Daripada jumlah itu, 28 orang merupakan pelajar tajaan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), manakala dua lagi menerima tajaan Yayasan Sabah.

Arifin berkata, pelajar yang berada di Mesir akan berpeluang bergaul dengan pelajar dari pelbagai negeri dan negara selain menimba pengalaman bersama ulama, masyaikh dan ilmuwan.

Sehubungan itu, katanya, mereka perlu memanfaatkan pengalaman berkenaan untuk membina ilmu, kematangan dan keperibadian.

“Jagalah adab, akhlak dan disiplin. Hormatilah para guru dan pensyarah. Patuhi peraturan universiti dan negara.

“Jagalah hubungan sesama rakan dan jangan mudah terpengaruh dengan perkara-perkara yang boleh menjejaskan pengajian serta masa depan,” katanya.

Dalam pada itu, seramai 24 pelajar akan melanjutkan pengajian di Universiti Al-Azhar, terdiri daripada 13 pelajar lelaki dan 11 pelajar perempuan.

Enam lagi akan mengikuti pengajian di Maahad Qiraat Shoubra Al-Azhar, membabitkan empat pelajar lelaki dan dua pelajar perempuan.

Bagi 28 pelajar tajaan MUIS, Arifin berkata, Dermasiswa Awal sebanyak RM9,000 disediakan bagi setiap pelajar sebagai persediaan sebelum memulakan pengajian.

Jumlah keseluruhan dermasiswa berkenaan adalah RM252,000, manakala peruntukan tiket penerbangan pula berjumlah RM100,821.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan perbelanjaan bagi Dermasiswa Awal dan tiket penerbangan untuk kumpulan berkenaan sebanyak RM352,821.

Arifin berkata, bantuan berkenaan bukan sekadar angka dalam peruntukan, sebaliknya mencerminkan komitmen dalam memastikan anak-anak Sabah mendapat peluang melanjutkan pengajian serta membuat persiapan sebelum memulakan kehidupan sebagai mahasiswa di Mesir.

“Bagi kumpulan yang diraikan pada hari ini, MUIS turut menyediakan Dermasiswa Awal bagi membantu persiapan anak-anak sebelum memulakan pengajian di Mesir.

“Maka, kepada anak-anak penerima tajaan, hargailah amanah ini. Belajarlah dengan bersungguh-sungguh. Jagalah disiplin. Gunakan bantuan yang diberikan dengan sebaik-baiknya dan jangan sia-siakan peluang yang telah diberikan,” katanya.

Arifin turut menyeru pelajar supaya tidak melupakan Sabah dan keluarga apabila berada di perantauan, selain kembali ke negeri ini selepas tamat pengajian dengan membawa ilmu yang bermanfaat.

Menurutnya, Sabah memerlukan generasi muda yang bukan sahaja mempunyai kelayakan akademik, tetapi turut memiliki ilmu, akhlak, kemahiran, pengalaman dan semangat untuk berkhidmat.

Beliau berharap pelajar berkenaan pada masa hadapan dapat menjadi ulama, pendidik, pendakwah, profesional dan pemimpin masyarakat yang mampu menyumbang kepada pembangunan agama dan negeri. – SABAH MEDIA

]]>
https://sabahmedia.com/2026/09/22/30-pelajar-sabah-lanjut-pengajian-ke-al-azhar-maahad-qiraat-shoubra/feed/ 0 103911
Jerebu: Kesihatan dan keselamatan murid jadi keutamaan, sekolah perlu pantau IPU https://sabahmedia.com/2026/09/07/jerebu-kesihatan-dan-keselamatan-murid-jadi-keutamaan-sekolah-perlu-pantau-ipu/ https://sabahmedia.com/2026/09/07/jerebu-kesihatan-dan-keselamatan-murid-jadi-keutamaan-sekolah-perlu-pantau-ipu/#respond Sun, 06 Sep 2026 21:00:00 +0000 https://sabahmedia.com/?p=102951
Read Time:1 Minute, 42 Second

KOTA KINABALU: Keselamatan dan kesihatan murid perlu menjadi keutamaan semua pihak susulan pembukaan sesi persekolahan hari ini ketika beberapa kawasan di Sabah berdepan situasi jerebu.

Pengerusi Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS) Sabah, Datuk Mohammad Arif Sakaran berkata, pihak sekolah, ibu bapa dan komuniti perlu meningkatkan tahap kesiapsiagaan serta sentiasa memantau perkembangan Indeks Pencemaran Udara (IPU).

Beliau berkata, pihak sekolah hendaklah mengambil tindakan berdasarkan garis panduan yang ditetapkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), khususnya berkaitan pelaksanaan aktiviti murid ketika bacaan IPU meningkat.

“Sekiranya bacaan IPU melebihi 100, semua aktiviti murid di luar bilik darjah termasuk aktiviti sukan dan kokurikulum hendaklah dihentikan atau ditangguhkan,” katanya.

Menurut beliau, sekiranya bacaan IPU melebihi 200, sekolah di kawasan atau daerah yang terlibat hendaklah ditutup serta-merta demi keselamatan dan kesihatan murid.

Katanya, pihak sekolah juga perlu memberi perhatian terhadap murid yang menunjukkan tanda-tanda kurang sihat seperti batuk, sesak nafas, sakit tekak, pedih mata atau mengalami kesukaran bernafas.

“Sekiranya terdapat murid yang mengalami gejala berkenaan, pihak sekolah perlu segera menghubungi ibu bapa atau penjaga untuk tindakan lanjut,” katanya.

Dalam pada itu, Mohammad Arif menasihatkan ibu bapa supaya memantau tahap kesihatan anak-anak sebelum menghantar mereka ke sekolah, terutama ketika kualiti udara berada pada tahap tidak sihat.

Beliau berkata, ibu bapa juga boleh menggalakkan anak-anak memakai pelitup muka yang sesuai, minum air secukupnya serta mengurangkan aktiviti di luar rumah ketika keadaan udara tidak sihat.

“Perhatian khusus juga perlu diberikan kepada murid yang mempunyai masalah kesihatan dan lebih sensitif terhadap pencemaran udara,” katanya.

Beliau turut menyeru pihak sekolah dan ibu bapa supaya mendapatkan maklumat berkaitan bacaan IPU daripada sumber rasmi dan tidak bergantung kepada maklumat yang tidak disahkan di media sosial.

Menurutnya, dalam situasi jerebu, aspek kehadiran murid ke sekolah tidak seharusnya mengatasi kepentingan kesihatan dan keselamatan mereka.

“Kesihatan dan keselamatan anak-anak mesti menjadi keutamaan bersama,” katanya.

Mohammad Arif berkata, kerjasama erat antara pihak sekolah, ibu bapa, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta agensi berkaitan amat penting bagi memastikan setiap tindakan dapat dibuat dengan cepat dan teratur sekiranya keadaan jerebu bertambah buruk.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/09/07/jerebu-kesihatan-dan-keselamatan-murid-jadi-keutamaan-sekolah-perlu-pantau-ipu/feed/ 0 102951
Fokus usaha bentuk pelajar supaya jadi insan yang baik – Jauteh https://sabahmedia.com/2025/10/24/fokus-usaha-bentuk-pelajar-supaya-jadi-insan-yang-baik-jauteh/ https://sabahmedia.com/2025/10/24/fokus-usaha-bentuk-pelajar-supaya-jadi-insan-yang-baik-jauteh/#respond Fri, 24 Oct 2025 06:35:00 +0000 https://sabahmedia.com/?p=84027
Read Time:2 Minute, 30 Second

RANAU: Tindakan menguatkuasakan undang-undang keatas pelajar merupakan suatu bentuk pelanggaran dari segi psikologi dan mental terhadap para pelajar sekolah itu sendiri, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun.

Sebaliknya, katanya, fokus perlu ditumpukan kepada usaha dalam membentuk para pelajar supaya mereka menjadi insan yang baik, justeru tidak terlibat dalam kegiatan yang memudaratkan.

“Dalam hal ini, kita meminta ibu bapa, yang mempunyai lebih masa banyak bersama-sama anak-anak mereka, untuk mainkan peranan yang penting dalam pembentukan ini,” katanya.

Menurut beliau, peranan pihak polis dalam hal mengawal para pelajar daripada terlibat dengan jenayah tidak begitu banyak memandangkan tempoh pemantauan oleh pihak polis melalui Pegawai Perhubungan Sekolah tidaklah begitu panjang.

“Apa yang kita mampu buat adalah memberikan kesedaran melalui ceramah-ceramah, dan sebaiknya peranan mengawal para pelajar daripada terlibat dengan jenayah itu dikongsi bersama oleh semua pihak,” katanya.

Tambahnya, Kehadiran pihak polis yang kerap ke sesuatau sekolah itu juga biasanya akan menimbulkan persepsi negatif masyarakat terhadap sekolah berkenaan yang akan menganggap sekolah itu adalah sekolah yang bermasalah.

Jauteh berkata demikian semasa Program Town Hall Discussion Peringkat Kontinjen Negeri Sabah 2025 yang diadakan di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Daerah (IPD) Ranau pada Jumaat.

Dalam program itu, beliau bersama dua lagi ahli panel iaitu Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Muddin Beting dan Pengetua Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Ranau, Ismail Badri, membicarakan forum berkaitan tema ‘Pelajar dan Disiplin, di mana Silapnya’.

Dalam sidang media selepas forum itu, Jauteh berkata, program yang diadakan bersama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah itu adalah lanjutan daripada Mesyuarat Permuafakatan yang diadakan sebelum ini sebagai langkah susulan.

“Dalam program ini kita bersama-sama dengan 500 orang ibu bapa, guru-guru dan juga wakil pelbagai jabatan lain untuk sama-sama menjayakan program ini.

“Menerusi program yang diadakan ini, reaksi dari masyarakat, khususnya ibu bapa amat-amatlah menggalakkan melihat kepada jumlah kehadiran yang ramai memenuhi dewan dan kita difahamkan ruangan pada kali ini pun tidak mencukupi,” katanya.

Tambah beliau, respon dari semua yang hadir ke program ini begitu positif sekali terutama sekali berkaitan dengan cara mereka melihat dan mendengar apa yang para panel sampaikan melalui forum yang diadakan.

“Kita dapati program ini amat baik berdasarkan respon daripada masyarakat dan kita akan terus adakan program seumpama ini pada masa akan datang di daerah-daerah lain dengan kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah.

“Insya-Allah, kita berharap menerusi platform seumpama ini ia akan meningkatkan lagi kesedaran ibu bapa, khususnya dalam bersama-sama menangani masalah disiplin segelintir pelajar yang ada di negeri kita.

“Selain itu, kita juga mengharapkan bahawa dengan penyertaan ibu bapa ini dalam sistem pendidikan itu sendiri, hubungan yang lebih rapat akan dapat diwujudkan untuk menangani berbagai-bagai isu yang kadang-kadang pandangan ibu bapa tidak sehaluan dengan pihak PDRM dan juga Jabatan Pendidikan,” jelas beliau.

Turut hadir, Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Raisin Saidin, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abdul Rani Alias, Ketua Polis Daerah Ranau, Supt Musalin Mahmud, Pegawai Daerah Ranau, Tinus Manggang, Pegwai Pendidikan Daerah Ranau, Barizah Mohd Kahar dan Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Ranau, Benedict Gunda.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/10/24/fokus-usaha-bentuk-pelajar-supaya-jadi-insan-yang-baik-jauteh/feed/ 0 84027
Kes bunuh Nazmie Aizzat: 13 pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu didapati bersalah https://sabahmedia.com/2025/08/22/kes-bunuh-nazmie-aizzat-13-pelajar-kolej-vokasional-lahad-datu-didapati-bersalah/ https://sabahmedia.com/2025/08/22/kes-bunuh-nazmie-aizzat-13-pelajar-kolej-vokasional-lahad-datu-didapati-bersalah/#respond Fri, 22 Aug 2025 04:30:39 +0000 https://sabahmedia.com/?p=79805
Read Time:1 Minute, 19 Second

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

TAWAU: Mahkamah Tinggi Tawau hari ini memutuskan seramai 13 pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu (KVLD) bersalah membunuh rakan sekolah mereka, Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, 17, pada Mac tahun lalu.

Hakim Datuk Duncan Sikodol membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah, sekali gus mensabitkan kesemua tertuduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Namun, pihak mahkamah menangguhkan keputusan hukuman sehingga 28 Ogos ini bagi menunggu laporan akhlak kesemua tertuduh daripada pegawai kebajikan Jabatan Kebajikan Masyarakat Lahad Datu, seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 90(12) Akta Kanak-Kanak 2001.

Dalam ringkasan alasan penghakiman, Duncan menyatakan pembelaan kesemua tertuduh hanya berbentuk penafian dan saling menyalahkan antara satu sama lain. Beliau menegaskan keterangan doktor mengesahkan kecederaan mangsa dilakukan oleh ramai individu, sekali gus menolak dakwaan ia dilakukan seorang sahaja.

Insiden ini katanya, bukanlah kejadian terasing, sebaliknya ia dilakukan secara terancang dan berpanjangan dengan niat bersama, malah terbukti apabila tertuduh kedua mengetahui serta menambah buruk serangan yang dilakukan oleh 12 orang lain.

Kesemua 13 pelajar berusia 16 hingga 19 tahun itu didakwa membunuh Nazmie Aizzat di bilik asrama KVLD antara jam 9 malam, 21 Mac hingga 7.38 pagi, 22 Mac 2024.

Pasukan pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Nur Nisla Abd Latif, dibantu TPR Ng Juhn Tao dan TPR Batrisyia Mohd Khusri.

Lapan daripada tertuduh diwakili peguam Kamarudin Mohmad Chinki, Datuk Ram Singh dan Chen Wen Jye, manakala lima lagi diwakili oleh peguam Abdul Ghani Zelika, Vivian Thien, Jhesseny P. Kang, Kusni Ambotuwo serta Mohamed Zairi Zainal Abidin.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/08/22/kes-bunuh-nazmie-aizzat-13-pelajar-kolej-vokasional-lahad-datu-didapati-bersalah/feed/ 0 79805
Dua pelajar remaja didakwa kurung, cederakan rakan sekolah https://sabahmedia.com/2025/08/14/dua-pelajar-remaja-didakwa-kurung-cederakan-rakan-sekolah/ https://sabahmedia.com/2025/08/14/dua-pelajar-remaja-didakwa-kurung-cederakan-rakan-sekolah/#respond Thu, 14 Aug 2025 07:45:26 +0000 https://sabahmedia.com/?p=79229
Read Time:1 Minute, 35 Second

BERNAMA

SUNGAI PETANI: Dua remaja perempuan berusia 13 tahun masing-masing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas dua pertuduhan menyebabkan kecederaan dan mengurung seorang rakan sekolah mereka, bulan lepas.

Memetik laporan Bernama, kedua-dua pelajar tingkatan satu membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Azlan Basri dalam prosiding yang berlangsung secara tertutup.

Peguam N.Nagaratnam yang mewakili kedua-dua pelajar memaklumkan pemberita bahawa bagi pertuduhan pertama, mereka didakwa mencederakan mangsa di dalam tandas sekolah pada 6.40 petang 14 Julai lepas mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa mengurung mangsa di lokasi, masa dan tarikh serupa mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Hazwani Md Nor memohon mahkamah mengenakan jaminan RM4,000 bagi setiap tertuduh namun Nagaratnam memohon jumlah itu dikurangkan memandangkan kedua-dua anak guamnya masih bersekolah.

Mahkamah kemudian mengenakan jaminan sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dengan syarat mereka tidak boleh mengganggu mangsa dan menetapkan 23 Sept sebagai tarikh sebutan semula kes.

Peguam Farah Azlinda Zahari daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan memaklumkan mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah sekolah di sini pada 12.15 tengah hari 21 Julai lepas mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah bagaimanapun menangguhkan hukuman ke atas kedua-dua tertuduh sementara menunggu laporan akhlak dan kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 28 Okt ini.

Mohamad Azlan juga membenarkan mereka diikat jamin sebanyak RM1,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Hazwani Md Nor.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/08/14/dua-pelajar-remaja-didakwa-kurung-cederakan-rakan-sekolah/feed/ 0 79229
PBNS santuni anak yatim, pelajar dalam program ‘Shopping Raya’ https://sabahmedia.com/2025/03/23/pbns-santuni-anak-yatim-pelajar-dalam-program-shopping-raya/ https://sabahmedia.com/2025/03/23/pbns-santuni-anak-yatim-pelajar-dalam-program-shopping-raya/#respond Sun, 23 Mar 2025 09:11:41 +0000 https://sabahmedia.com/?p=70981
Read Time:37 Second

Kota Kinabalu : Seramai 24 orang anak yatim dari Rumah Amal Kasih Kingfisher disantuni pada program Jalinan Kasih Ramadan Shopping Raya di sini semalam.

Program anjuran Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS) itu turut dihadiri Pengerusi PBNS Datuk Dr. Omar Raisul As-Salam Syah Datuk Sulaiman Omar.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif PBNS Ismail Mohd Adnan.

Selain anak yatim, turut disantuni 12 orang pelajar dari Bayu Raudhah.

PBNS dalam satu kenyataan memaklumkan antara objektif pelaksanaan program itu adalah bagi berkongsi kegembiraan Aidilfitri bersama anak-anak yatim.

Selain itu, program itu juga dapat meringankan lagi beban golongan yang memerlukan untuk membuat persiapan Aidilfitri

“Selain itu, ini juga adalah bagi memanfaatkan hasil terimaan Fidyah dan Kumpulan Wang Amal Jariah (KWAJ),” menurut kenyataan itu di sini. – SABAH MEDIA

]]>
https://sabahmedia.com/2025/03/23/pbns-santuni-anak-yatim-pelajar-dalam-program-shopping-raya/feed/ 0 70981
Bomba Tawau selamatkan pelajar perempuan tersekat di kerusi https://sabahmedia.com/2024/11/05/bomba-selamatkan-pelajar-perempuan-tersekat-di-kerusi/ https://sabahmedia.com/2024/11/05/bomba-selamatkan-pelajar-perempuan-tersekat-di-kerusi/#respond Tue, 05 Nov 2024 03:39:55 +0000 https://sabahmedia.com/?p=63318
Read Time:34 Second

TAWAU: Pasukan bomba berjaya menyelamatkan seorang pelajar perempuan tersekat di kerusinya dalam kejadian di salah sebuah sekolah menengah di daerah Tawau pagi tadi.

Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 9.08 pagi (5 Nov).

“Sebaik saja pasukan bomba tiba di lokasi kejadian mendapati seorang pelajar perempuan tersekat di kerusi.

“Pasukan bomba bertindak memotong kerusi tersebut dengan menggunakan peralatan khas (Hydraulic Cutter).

“Mangsa berusia 14 tahun itu mengalami cedera ringan kemudiannya dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.

“Setelah memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian, operasi ditamatkan pada jam 9.45 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

]]>
https://sabahmedia.com/2024/11/05/bomba-selamatkan-pelajar-perempuan-tersekat-di-kerusi/feed/ 0 63318
3 individu yang dikatikan dengan GISB akan didakwa esok – PDRM https://sabahmedia.com/2024/09/18/3-individu-yang-dikatikan-dengan-gisb-akan-didakwa-esok-pdrm/ https://sabahmedia.com/2024/09/18/3-individu-yang-dikatikan-dengan-gisb-akan-didakwa-esok-pdrm/#respond Wed, 18 Sep 2024 14:31:55 +0000 https://sabahmedia.com/?p=60864
Read Time:1 Minute, 34 Second

KUALA LUMPUR: Tiga lelaki yang mempunyai kaitan dengan GISB Holdings (GISBH) yang disiasat polis susulan Op Global yang dijalankan, akan didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban di Negeri Sembilan, esok.

Memetik laporan media, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kertas siasatan asal Op Global di Negeri Sembilan dipecahkan kepada empat mengikut pembabitan suspek bagi memudahkan pertuduhan. 

“Seorang suspek berusia 21 tahun akan didakwa dengan satu pertuduhan mengikut Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) dan empat pertuduhan di bawah Seksyen 14(a) akta sama. 

“Sementara dua lagi suspek berusia 20 dan 22 tahun masing-masing akan didakwa atas enam dan tiga pertuduhan mengikut Seksyen 14(a) akta sama

Ia pertuduhan kedua selepas seorang lelaki didakwa di mahkamah Majistret Putrajaya hari ini atas kesalahan membabitkan ugutan jenayah.

Sebelum ini, polis dilapor menyelamatkan 402 kanak-kanak berusia antara satu hingga 17 tahun yang dipercayai dieksploitasi di 18 rumah kebajikan di Selangor dan Negeri Sembilan melalui Op Global pada 10 September lalu. 

Razarudin dipetik berkata, hasil serbuan itu mendedahkan berlaku kesalahan pengabaian serta penganiayaan kanak-kanak yang juga penghuni rumah amal terbabit.

Susulan kes itu, katanya 171 individu ditahan termasuk 105 wanita berusia 17 dan 64 tahun. 

Berdasarkan maklumat serta siasatan dilakukan, pihak polis mengesyaki GISBH melakukan kesalahan dalam kegiatan pemerdagangan orang dan kesalahan lain.

Modus operandi GISBH berdasarkan risikan dan kenyataan mangsa mendapati mangsa diajar, dididik untuk meliwat seterusnya diliwat penjaga dan dipaksa meliwat penghuni kanak-kanak lain. 

Terdapat juga kanak-kanak didera menggunakan objek seperti sudu panas sebagai bentuk hukuman apabila melakukan kesilapan.

Untuk rekod Seksyen 14 Akta 792 merujuk amang seksual fizikal atas kanak-kanak, dengan Sekyen 14(a) membabitkan kesalahan menyentuh mana-mana bahagian badan seseorang kanak-kanak, manakala 14(b) membuatkan seseorang kanak-kanak menyentuh mana-mana bahagian badan orang itu atau bahagian badan mana-mana orang lain.

]]>
https://sabahmedia.com/2024/09/18/3-individu-yang-dikatikan-dengan-gisb-akan-didakwa-esok-pdrm/feed/ 0 60864
Permuafakatan ibu bapa, guru berupaya bantu tingkat pencapaian pelajar di sekolah https://sabahmedia.com/2024/08/26/permuafakatan-ibu-bapa-guru-berupaya-bantu-tingkat-pencapaian-pelajar-di-sekolah/ https://sabahmedia.com/2024/08/26/permuafakatan-ibu-bapa-guru-berupaya-bantu-tingkat-pencapaian-pelajar-di-sekolah/#respond Mon, 26 Aug 2024 07:38:36 +0000 https://sabahmedia.com/?p=59682
Read Time:1 Minute, 54 Second

Kota Kinabalu : Pelaksanaan permuafakatan ibu bapa dan guru yang dilaksanakan di Sekolah Menengah (SM) Maktab Sabah selain penganjuran seminar keibubapaan telah berjaya membuahkan hasil khususnya dalam pencapaian pendidikan pelajar.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Maktab Sabah Mohammad Arif Sakaran berkata permuafakatan yang baik antara ibu bapa dan guru mampu menjana kecemerlangan sekolah. 

“Hubungan yang erat dan harmoni amat penting bagi menentukan hala tuju sekolah dan kemenjadian pelajar.

“Kerjasama antara kedua belah pihak ini harus wujud seperti ‘aur dengan tebing’ selain saling memerlukan dan melengkapi. Tahniah atas kejayaan program-program yang disusun khas oleh guru-guru Pusat Tingkatan 6. 

“Pihak PIBG juga cakna dengan program-program yang guru-guru laksanakan seperti Beyond Excellence Class dan I-Reach,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Graduasi Pusat Tingkatan 6 Maktab Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini baru-baru ini.

Mohammad Arif yang juga Focal Person Kebangsaan Pendidikan Malaysia (KPM) Sabah berkata, pihaknya turut mengucapkan setinggi- tinggi tahniah kepada pengetua Maktab Sabah dan juga kepada penolong kanan tingkatan 6 kerana telah berjaya membawa Maktab Sabah mencipta nama dalam arena pendidikan. 

Katanya, Maktab Sabah sekali lagi melakar sejarah dalam pencapaian keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) apabila telah mendapat pencapaian 100 peratus lulus.

“Seramai lima orang telah mendapat PNGK 4.00. Daripada 106 orang calon, 89 orang telah berjaya mencatatkan pencapaian 4P dengan 63 orang calon mencatatkan PNGK 3.00 ke atas.

“Tahniah kepada para graduan! Harapan saya, semoga dengan pencapaian 100 peratus lulus dalam STPM pada kali ini diharap dapat menyuntik semangat kepada semua warga pendidik Maktab Sabah dan juga para pelajar untuk meneruskan kejayaan seumpama ini pada tahun 2024 dan seterusnya,” katanya.

Dalam pada itu, Arif berkata, penganjuran majlis seumpama itu sebenarnya adalah bertujuan untuk memberi motivasi, perangsang dan ingatan agar pelajar dapat meningkatkan kesediaan diri dari aspek psikologi di samping kesediaan intelek untuk meneruskan pengajian ke tahap yang lebih tinggi lagi. 

“Sesungguhnya memperolehi keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan STPM adalah sangat penting sebagai platform untuk meneruskan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda, sarjana dan ke peringkat doktor falsafah dalam bidang-bidang tertentu. 

“Berkemungkinan juga anda akan ditawarkan untuk menyambung pengajian di universiti-universiti ternama di luar negara dengan penajaan kerajaan atau pihak swasta,” katanya. – SABAH MEDIA

]]>
https://sabahmedia.com/2024/08/26/permuafakatan-ibu-bapa-guru-berupaya-bantu-tingkat-pencapaian-pelajar-di-sekolah/feed/ 0 59682
Pelajar harus rancang pengajian yang diambil sebelum sambung pendidikan – Masidi https://sabahmedia.com/2024/07/29/pelajar-harus-rancang-pengajian-yang-diambil-sebelum-sambung-pendidikan-masidi/ https://sabahmedia.com/2024/07/29/pelajar-harus-rancang-pengajian-yang-diambil-sebelum-sambung-pendidikan-masidi/#respond Sun, 28 Jul 2024 21:27:24 +0000 https://sabahmedia.com/?p=58224
Read Time:2 Minute, 15 Second

RANAU : Pelajar seharusnya merancang berkenaan dengan bidang pengajian yang bakal mereka ikuti sebelum menyambung pendidikan ke peringkat yang lebih tinggi kelak, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karanaan Datuk Seri Masidi Manjun.

Beliau berkata, perancangan ini bagi mengelakkan mereka terjebak ke dalam lingkungan “pelajar yang hanya menyambung pengajian dan berisiko untuk keluar sebagai graduan tanpa prospek pekerjaan yang baik.

Masidi berkata demikian dalam satu Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang 2023, Sekolah Menengah Agama Al-Irsyadiah Ranau baru-baru ini.

Ujar Masidi lagi, terlalu ramai graduan lepasan universiti dan kolej yang kini gagal untuk mendapatkan pekerjaan yang baik sungguhpun memiliki ijazah atau diploma disebabkan hanya memilih jurusan yang mudah namun tidak berdaya saing atau menjanjikan pendapatan yang lumayan.

Beliau yang juga Menteri Kewangan Sabah berkata, sektor yang berdaya saing dan menjanjikan pendapatan yang lumayan di Sabah pada masa ini dan akan datang adalah sektor minyak dan gas, yang mana sektor ini sangat-sangat memerlukan prospek yang berlatarbelakangkan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik.

“Melalui Perjanjian Kolaborasi Komersil Antara Kerajaan Negeri Sabah Dan Petronas, sebanyak RM5 bilion telah diperuntukkan oleh Petronas khusus untuk kontrak-kontrak dalam sektor minyak dan gas, yang sepatutnya dimanfaatkan oleh pemain-pemain industri anak-anak Sabah.

“Malangnya, daripada jumlah tersebut, hanya 11 peratus daripada perolehan kontrak-kontrak adalah terdiri daripada syarikat-syarikat yang berasal daripada Sabah dan dimiliki oleh anak Jati Sabah.

“Untuk itu, bagi menghasilkan pemain industri yang unggul, pelajar-pelajar Irsyadiah yang berlatarbelakangkan agama seharusnya mengambil peluang dengan mengasimilasikan keagamaan dan juga merebut peluang berkenaan dengan memilih jurusan berasaskan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik sebagai pilihan pengajian kelak bagi memenuhi kehendak dalam sektor berkenaan,”katanya.

Kira-kira 250 orang yang terdiri daripada pelajar, ibu bapa dan guru dalam satu majlis yang gilang-gemilang hadir di Foyer SMA Al Irsyadiah.

Terdahulu, Sekolah Menengah Agama Al-Irsyadiah mencatatkan peningkatan akademik selama lima tahun berturut-turut dan berjaya dinobatkan sebagai sekolah terbaik di daerah Ranau dengan pencapaian cemerlang selama 2 tahun berturut-turut iaitu GPS 3.10 pada tahun 2022 dan GPS 2.48 pada tahun 2023.

Dalam majlis tersebut, Masidi menyampaikan Anugerah Wangsa Mutia kepada 3 pelajar yang memperoleh 11A dalam SPM iaitu Marsa Ulfa Baharuddin, Eqah Syamimi Ahinin @ Hajin dan Syahzwan Arash Khairudin @ Amiudin, serta Anugerah Pelajar Terbaik STAM 2023 (Kategori Peperiksaan Awam) kepada Siti Ain Syafiqah Munib yang memperoleh keputusan Jayyid.

Berikutan kecemerlangan sekolah tersebut, Masidi berkenan untuk meluluskan pembinaan sebuah Dewan Serbaguna SMA Al-Irsyadiah Ranau dengan peruntukan berjumlah RM200,000, Sistem Takungan & Saliran (Tangki) berjumlah RM27,700 dan Insentif Kecemerlangan Guru-Guru berjumlah RM10,000.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah ADUN Dilantik, Datuk Amisah Yassin, Pengerusi Pengelola Lembaga Pengurusan Sekolah, Datuk Faimin Kamin dan Pengetua SMA Al-Irsyadiah Ranau, Ustaz Esibi Lakui.

]]>
https://sabahmedia.com/2024/07/29/pelajar-harus-rancang-pengajian-yang-diambil-sebelum-sambung-pendidikan-masidi/feed/ 0 58224