Pelancong – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Sat, 30 May 2026 10:00:28 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.0.4 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png Pelancong – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 Hampir 1,000 pelancong disambut sempena Kaamatan di KKIA https://sabahmedia.com/2026/05/30/hampir-1000-pelancong-disambut-sempena-kaamatan-di-kkia/ https://sabahmedia.com/2026/05/30/hampir-1000-pelancong-disambut-sempena-kaamatan-di-kkia/#respond Sat, 30 May 2026 10:00:23 +0000 https://sabahmedia.com/?p=97524
Read Time:1 Minute, 51 Second

KOTA KINABALU : Hampir 1,000 pelancong disambut meriah sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) sempena sambutan Pesta Kaamatan, dalam usaha memperkenalkan keunikan budaya Sabah kepada pengunjung tempatan dan antarabangsa.

Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim berkata, program itu merupakan sebahagian daripada usaha mempromosikan pelancongan budaya sempena musim perayaan.

Sambutan yang dianjurkan Tourism Malaysia itu turut mendapat kerjasama Sabah Tourism Board (STB) serta pihak pengurusan KKIA.

“Pada hari ini, kira-kira lebih 900 pelancong telah dan akan diraikan melalui program ini. Penerbangan ke Sabah juga akan terus tiba sehingga lewat malam termasuk penerbangan antarabangsa yang membawa lebih ramai pelancong ke negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis itu pada Sabtu.

Menurut beliau, para pelancong yang tiba bukan sahaja berpeluang menikmati suasana perayaan Kaamatan sejak di pintu masuk utama negeri, malah turut diperkenalkan dengan budaya dan tradisi masyarakat tempatan melalui persembahan kebudayaan yang disediakan.

Katanya, sebahagian besar pelancong yang datang ke Sabah ketika ini mempunyai pelbagai jadual lawatan termasuk mengunjungi lokasi pelancongan terkenal dan menghadiri sambutan Pesta Kaamatan di Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), Penampang.

“Ada pelancong yang datang khas untuk melihat sendiri bagaimana sambutan Kaamatan diraikan oleh masyarakat Sabah.

“Mereka bukan sahaja melawat destinasi pelancongan tetapi juga mahu mengenali budaya dan tradisi tempatan dengan lebih dekat,” katanya.

Beliau berkata, program sambutan pelancong sempena Kaamatan merupakan antara inisiatif tahunan Tourism Malaysia bagi memeriahkan ketibaan pelancong ketika musim perayaan utama negara.

Selain di Kota Kinabalu, program serupa turut diadakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sempena sambutan Kaamatan dan Gawai, manakala satu lagi sambutan dijadual berlangsung di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada 1 Jun sempena Hari Gawai.

Mohd Amirul berkata, program berkenaan memberi impak positif kepada pelancong kerana membantu mereka memahami budaya dan perayaan yang diraikan di Malaysia.

“Ramai pelancong yang pada mulanya tidak mengetahui mengenai Kaamatan, tetapi selepas melihat sambutan yang diadakan mereka mula bertanya dan ingin mengetahui lebih lanjut mengenai perayaan ini.

“Secara tidak langsung ia membantu mempromosikan budaya Sabah serta meningkatkan pengalaman pelancong yang berkunjung ke negeri ini,” katanya.

Beliau menambah, peningkatan jumlah ketibaan pelancong sempena Kaamatan turut memberi limpahan manfaat kepada sektor pelancongan dan ekonomi negeri, termasuk industri penginapan, pengangkutan, makanan serta perusahaan kecil dan sederhana yang berkaitan.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/05/30/hampir-1000-pelancong-disambut-sempena-kaamatan-di-kkia/feed/ 0 97524
Sabah catat 2.46 Juta ketibaan pelancong bagi tempoh lapan bulan tahun ini https://sabahmedia.com/2025/09/30/sabah-catat-2-46-juta-ketibaan-pelancong-bagi-tempoh-lapan-bulan-tahun-ini/ https://sabahmedia.com/2025/09/30/sabah-catat-2-46-juta-ketibaan-pelancong-bagi-tempoh-lapan-bulan-tahun-ini/#respond Mon, 29 Sep 2025 23:09:35 +0000 https://sabahmedia.com/?p=82232
Read Time:1 Minute, 26 Second

KOTA KINABALU : Industri pelancongan Sabah terus melonjak apabila merekodkan sebanyak 2.46 juta ketibaan pelancong dari Januari hingga Ogos lalu, peningkatan 17.3 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Christina Liew berkata, daripada jumlah itu, lebih 1.02 juta adalah pelancong antarabangsa manakala 1.4 juta adalah pelancong domestik.

Katanya, ia adalah bersamaan 70.2 peratus daripada sasaran tahunan 3.5 juta ketibaan.

“Saya yakin angka ini akan terus meningkat dan mencapai sasaran menjelang 31 Disember.

“Setakat ini, hasil pelancongan dianggarkan sebanyak RM5.75 bilion, meningkat 17.7 peratus berbanding tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menaiki bas pelancongan dua tingkat Hop-On, Hop-Off City Bus untuk meninjau perkhidmatannya di sini pada Isnin.

Christina berkata, Sabah kini mempunyai 14 destinasi penerbangan antarabangsa dengan 125 penerbangan mingguan melibatkan lebih 22,700 tempat duduk.

Katanya, pasaran utama yang mencatat pertumbuhan termasuk China, Jepun, Taiwan, Australia dan United Kingdom.

Beliau turut menyifatkan bas dua tingkat itu sebagai produk pelancongan baharu Sabah yang mampu menarik lebih ramai pelancong antarabangsa dan domestik.

“Saya terinspirasi dengan bas pelancongan dua tingkat di London ketika menghadiri World Travel Market (WTM) pada 2023.

“Saya cabar Datuk Tan Kok Liang untuk bawa konsep ini ke Sabah, dan hari ini ia menjadi kenyataan. Tahniah kepada syarikat kerana berjaya menjadikannya realiti,” katanya.

Perkhidmatan ini dijangka menjadi tarikan popular kepada pelancong yang ingin menikmati suasana bandaraya dan pemandangan laut dengan lebih santai. 

Christina juga tidak menolak kemungkinan untuk memperluas laluan ke destinasi luar Kota Kinabalu seperti Taman Kinabalu dan Kota Belud.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan agensi berkaitan kerana memastikan bandaraya sentiasa bersih dan kondusif kepada pelancong. – SABAH MEDIA

]]>
https://sabahmedia.com/2025/09/30/sabah-catat-2-46-juta-ketibaan-pelancong-bagi-tempoh-lapan-bulan-tahun-ini/feed/ 0 82232
Empat pelancong asing didakwa langgar syarat Pas Lawatan Sosial https://sabahmedia.com/2025/08/26/empat-pelancong-asing-didakwa-langgar-syarat-pas-lawatan-sosial/ https://sabahmedia.com/2025/08/26/empat-pelancong-asing-didakwa-langgar-syarat-pas-lawatan-sosial/#respond Tue, 26 Aug 2025 10:53:54 +0000 https://sabahmedia.com/?p=80104
Read Time:1 Minute, 29 Second

Oleh J. Evachel John

KOTA KINABALU: Tiga wanita dari Thailand dan seorang dari Republik Lao yang masuk ke negeri ini sebagai pelancong, didakwa di Mahkamah Sesyen kerana melanggar syarat Pas Lawatan Sosial dengan bekerja di negeri ini.

Tertuduh ialah Janpan Srisuda, 38; Srimanee La Or, 29; Sae Liao Najha, 35; semuanya dari Thailand, dan Phomavanh Phonevilai, 31, warga Lao.

Kesemua tertuduh yang dibawa di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Hurman Hussain pada mulanya menyatakan bahawa mereka memahami bahasa Inggeris dan mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan.

Namun, setelah mahkamah menerangkan akibat daripada pengakuan itu, didapati mereka tidak benar-benar memahami prosiding berkenaan.

Mahkamah kemudian menetapkan 26 September ini untuk sebutan semula kes dengan penyediaan jurubahasa Thailand dan Lao.

Mengikut pertuduhan, Janpan dan Srimanee didakwa melanggar syarat pas lawatan sosial mereka dengan bekerja di negeri ini pada 13 Ogos lalu kira-kira jam 12.30 tengah malam di sebuah hotel di sini.

Sementara itu, Phomavanh dan Sae pula didakwa melakukan kesalahan sama pada tarikh dan masa yang sama di sebuah hotel di Penampang.

Mereka didakwa di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Tidak ada jaminan ditawarkan kepada mereka sementara menunggu kes diselesaikan.

Dalam kes berasingan, seorang lelaki warga Pakistan berusia 29 tahun didenda RM10,000 atau penjara 12 bulan sekiranya gagal membayar denda kerana tinggal lebih masa di negeri ini selama dua tahun lapan hari.

Han Muhammad mengaku bersalah kerana terus tinggal di negeri ini selepas Pas Lawatan Sosialnya tamat tempoh pada 5 Ogos 2023.

Han ditangkap pada 13 Ogos lalu kira-kira jam 9.30 malam di Pasar Mini Salman Khan, Jalan Takis Majakil West, Papar.

Mahkamah turut memerintahkan Han dirujuk ke Jabatan Imigresen selepas menjalani hukuman.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/08/26/empat-pelancong-asing-didakwa-langgar-syarat-pas-lawatan-sosial/feed/ 0 80104
Sabah komited kekal jadi destinasi pelancongan paling selamat – Christina Liew https://sabahmedia.com/2025/08/13/sabah-komited-kekal-jadi-destinasi-pelancongan-paling-selamat-christina-liew/ https://sabahmedia.com/2025/08/13/sabah-komited-kekal-jadi-destinasi-pelancongan-paling-selamat-christina-liew/#respond Wed, 13 Aug 2025 00:10:18 +0000 https://sabahmedia.com/?p=79135
Read Time:1 Minute, 42 Second

Kota Kinabalu: Kerajaan Negeri Sabah menegaskan komitmennya untuk mengekalkan standard keselamatan pelancong pada tahap tertinggi.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Seri Christina Liew berkata demikian sempena Mesyuarat Penyelaras Pelancongan bersama agensi-agensi Persekutuan dan Negeri yang dipengerusikan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Dato’ Sri Tiong King Sing di sini pada Selasa.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya merakamkan penghargaan tulus kepada MOTAC atas sokongan berterusan dalam memperkukuhkan industri pelancongan Malaysia.

“Dengan kerjasama erat antara MOTAC, Kerajaan Negeri dan agensi-agensi penguatkuasaan, saya yakin kita bukan sahaja dapat menjadikan Sabah sebagai salah satu destinasi terindah di dunia, tetapi juga salah satu yang paling selamat,” katanya.

Christina turut mengucapkan terima kasih kepada Tiong atas keprihatinannya terhadap isu keselamatan khususnya di Semporna, dan menegaskan bahawa kedua-dua pihak berkongsi komitmen yang sama dalam isu tersebut.

“Bagi kami, memastikan persekitaran pelancongan yang selamat bukan sahaja berkaitan keselamatan nyawa dan kesejahteraan, tetapi juga untuk memelihara reputasi Malaysia sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia,” tambahnya.

Beliau mengingatkan bahawa keselamatan pelancong sangat penting dalam mengekalkan keyakinan pelancong domestik dan antarabangsa serta pelabur dalam sektor pelancongan.

“Dalam era media sosial, satu insiden keselamatan yang terpencil boleh menular dengan cepat dan menjejaskan imej pelancongan kita. Oleh itu, kita mesti sentiasa berwaspada,” katanya.

Mengakui bahawa Sabah menghadapi beberapa insiden keselamatan dalam aktiviti seperti selam skuba, snorkeling dan sukan air lain di kawasan marin dan pulau, Christina menekankan keperluan mendesak untuk memperkukuhkan protokol keselamatan, pematuhan SOP yang ketat, dan latihan untuk pemandu pelancong serta pengendali bot.

Menurutnya, Kerajaan Negeri telah mengambil tindakan tegas termasuk memperkukuh kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) bagi meningkatkan rondaan dan pemantauan.

“Papan tanda keselamatan pelbagai bahasa juga telah dipasang di lokasi pelancongan berisiko tinggi seperti di balai ketibaan Lapangan Terbang Tawau dan Sandakan,” tambah beliau.

Hadir sama Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Joniston Bangkuai; Ketua Setiausaha MOTAC, Dato’ Shaharudin Abu Sohot; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pentadbiran), Datuk Norlija @ Norlijah Danin dan Setiausaha Tetap KePKAS, Datuk Josie Lai. – SABAH MEDIA

]]>
https://sabahmedia.com/2025/08/13/sabah-komited-kekal-jadi-destinasi-pelancongan-paling-selamat-christina-liew/feed/ 0 79135
Menteri arah siasat dakwaan kamera tersembunyi di ‘homestay https://sabahmedia.com/2023/09/22/menteri-arah-siasat-dakwaan-kamera-tersembunyi-di-homestay/ https://sabahmedia.com/2023/09/22/menteri-arah-siasat-dakwaan-kamera-tersembunyi-di-homestay/#respond Fri, 22 Sep 2023 14:22:24 +0000 https://sabahmedia.com/?p=42316
Read Time:1 Minute, 5 Second

CYBERJAYA — Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) mengarahkan siasatan dijalankan selepas seorang pelancong asing mendakwa sebuah inap desa didiaminya di Sabah memasang kamera tersembunyi.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing, berkata beliau meminta kerajaan negeri mahupun Motac Sabah serta agensi berkaitan mengambil serius dakwaan itu dan mengambil tindakan sewajarnya.

Katanya Dakwaan yang didedahkan di sebuah platform media sosial Xiaohongshu yang berpangkalan di Shanghai pada 14 September 2023 itu kemudiannya diulang siar oleh portal berita tempatan. 

Katanya lagi, hukuman tegas dan setimpal wajar dikenakan kepada mana-mana pihak yang terbukti bersalah, kerana perbuatan terkutuk seperti ini bukan sahaja salah disisi undang-undang, tetapi juga menjejaskan imej industri pelancongan negara katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tiong turut mengingatkan kepada semua pengusaha homestay atau pemilik yang berdaftar dengan MOTAC dan memperolehi penggredan daripada MOTAC, jika mereka melakukan sesuatu yang melanggar undang – undang dan disabitkan bersalah, MOTAC akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka, seperti membatalkan pendaftaran dan menarik balik penggredan mereka. 

Terdahulu, seorang wanita China mendedahkan menemui kamera tersembunyi di sebuah inap desa di Sabah menerusi platform media sosial Xiaohongshu.

Wanita itu memuat naik gambar mendedahkan lubang bulat di tengah soket, yang apabila diterangi lampu suluh telefon bimbit, menampakkan seperti cermin.

Dia kemudian melaporkan kejadian itu kepada polis dan menerima bayaran balik daripada inap desa berkenaan.

]]>
https://sabahmedia.com/2023/09/22/menteri-arah-siasat-dakwaan-kamera-tersembunyi-di-homestay/feed/ 0 42316
Sabah catat hampir 1 juta pelancong dalam tempoh 5 bulan tahun ini https://sabahmedia.com/2023/08/05/sabah-catat-hampir-1-juta-pelancong-dalam-tempoh-5-bulan-tahun-ini/ https://sabahmedia.com/2023/08/05/sabah-catat-hampir-1-juta-pelancong-dalam-tempoh-5-bulan-tahun-ini/#respond Sat, 05 Aug 2023 13:01:28 +0000 https://sabahmedia.com/?p=39563
Read Time:2 Minute, 44 Second

SANDAKAN: Sabah mencatatkan seramai 988,680 ketibaan pelancong dari dalam dan luar negara bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini sehingga Mei, meningkat kira-kira 77.1 peratus berbanding 558,169 pelawat bagi tempoh yang sama, pada tahun lalu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata ini jelas bahawa sektor pelancongan di Sabah terus menunjukkan pertumbuhan kukuh untuk tahun ini dan masa-masa akan datang.

“Justeru, kerajaan negeri terus berusaha untuk memulih dan membangunkan sektor pelancongan melalui pelbagai program pada tahun ini. Pembukaan semula pintu-pintu masuk sempadan negara telah memberi impak positif dan menggalakkan pemulihan

sektor pelancongan negeri Sabah.
“Daripada 988,680 pelawat yang datang, seramai 282,450 adalah pelancong antarabangsa manakala 706,230 pelawat tempatan. Anggaran penerimaan pelancongan sebanyak RM2.02 bilion dijana dari Januari hingga Mei 2023.

“Pada tahun ini, kerajaan negeri menjangkakan ketibaan seramai 2.2 juta pelancong ke Sabah, yang dijangka berupaya menjana pendapatan sebanyak RM4.1 bilion,” katanya sempena Pelancaran Festival Sandakan di Padang Bandaran Sandakan, di sini pada Sabtu.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri I yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan.

Justeru katanya, kerajaan negeri komited merancakkan lagi pelaksanaan pelbagai inisiatif dan program pelancongan yang inklusif terutama promosi pelancongan dan pengembangan jaringan rangkaian udara.

“Pelbagai usaha diambil adalah ke arah menjadikan Sabah sebagai destinasi pelancongan paling menarik di Malaysia, sama ada untuk pelancong domestik atau
lebih-lebih lagi untuk para pelancong dari luar negara,” katanya sambil menambah setakat 1 Ogos 2023, sebanyak 122 penerbangan antarabangsa ke Sabah setiap
minggu, manakala 353 penerbangan domestik Mengenai program itu.

Ketua Menteri berkata Festival Sandakan 2023 bertemakan
“Jom Jelajah Sandakan” diberi perhatian dan keutamaan, sebagai antara usaha untuk menarik kembali kedatangan pelancong ke Sabah, selepas pandemik COVID-19 melanda seluruh dunia lebih dua tahun lalu.

Katanya, sokongan padu daripada Kementerian Pelancongan, Kebudayaan, dan Alam Sekitar Negeri dan Lembaga Pelancongan Sabah, membuktikan bahawa kerajaan sentiasa memberikan komitmen dan sokongan yang padu khusus untuk memajukan
industri pelancongan di negeri ini.

“Sandakan sendiri mempunyai banyak destinasi pelancongan yang dikenali bukan saja pelancong tempatan malah antarabangsa. Daerah ini terkenal sebagai pintu masuk ke destinasi-destinasi eko-pelancongan di Sabah contohnya, Sungai Kinabatangan, Gua Gomantong, Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok dan Taman Pulau Penyu serta Borneon Sun Bear Conservation Centre, Labuk Bay Proboscis Monkey Santuary,
Sandakan Heritage Trails, Sandakan Memorial Park dan Puh Jih Shih Temple,” katanya.

Walaupun ketika ini tiada data ketibaan pelawat mengikut daerah tersedia, Hajiji berkata bilangan pengunjung di Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok sebagai tarikan utama di Sandakan boleh dijadikan indikator atau penunjuk.

“Sejak Januari hingga Jun 2023, seramai 56,794 orang membabitkan 28,501 pelancong domestik dan 28,293 pelancong antarabangsa yang datang ke pusat berkenaan.

Justeru, saya kepada seluruh warga Sandakan untuk terus memberi sokongan penuh agar festival pada tahun ini akan menjadi titik tolak bermulanya transformasi terhadap industri pelancongan di daerah ini.

“Saya juga mengajak semua pemain-pemain industri pelancongan, usahawan, penggiat
seni, budaya dan sukan, badan bukan kerajaan (NGO), jabatan serta agensi kerajaan memainkan peranan masing-masing agar matlamat untuk menjadikan Sandakan sebagai destinasi pelancongan pilihan ramai,” katanya.

Sejajar dengan itu Ketua Menteri mahu Majlis Perbandaran Sandakan dan semua pihak yang berkaitan agar melipat gandakan usaha dalam menambahbaik infrastruktur serta
kemudahan yang ada di daerah ini, termasuk kebersihan antara perkara yang perlu diberi perhatian serius.

]]>
https://sabahmedia.com/2023/08/05/sabah-catat-hampir-1-juta-pelancong-dalam-tempoh-5-bulan-tahun-ini/feed/ 0 39563
KePKAS sasar lebih ramai pelancong berkunjung ke Sabah tahun ini https://sabahmedia.com/2023/07/16/kepkas-sasar-lebih-ramai-pelancong-berkunjung-ke-sabah-tahun-ini/ https://sabahmedia.com/2023/07/16/kepkas-sasar-lebih-ramai-pelancong-berkunjung-ke-sabah-tahun-ini/#respond Sun, 16 Jul 2023 03:21:22 +0000 https://sabahmedia.com/?p=38351
Read Time:2 Minute, 19 Second

KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar pada tahun ini komited untuk mensasarkan lebih ramai kunjungan pelancong domestik dan antarabangsa ke negeri ini.

Christina (tengah) melancarkan Craft Exotica 2023 sempena Hari Muzium Negeri Sabah ke-58. Turut mengiringi Pengarah Jabatan Muzium Arif Abdul Hamid dan Timbalan Setiausaha Tetap II Kementerian Alesia Sion (kanan). – Foto ihsan KePKAS Sabah

Menterinya Datuk Christina Liew berkata, keunikan dan kepelbagaian budaya di negeri ini berpotensi untuk menjadi produk tarikan pelancongan.

“Hasil seni kreatif kraftangan dan seni budaya pelbagai etnik di Sabah mampu menjadi tarikan kepada pelancong dari dalam dan luar negara untuk berkunjung ke negeri ini,” katanya semasa merasmikan “Program Craft Exotica 2023” bersempena dengan Sambutan Hari Muzium Negeri Sabah Tahun 2023 di Muzium Negeri pada Sabtu.

Christina berkata, program Craft Exotica dengan tema “Kraft Kita Budaya Kita” ini merupakan salah satu program yang mempromosikan pemahaman dan menyebarkan kesedaran tentang warisan budaya tempatan khususnya seni kraftangan tradisional dan permainan tradisional yang dihasilkan oleh pelbagai kumpulan etnik.

“Pelbagai aktiviti menarik diadakan sepanjang program ini yang berlangsung bermula semalam (15 Julai) sehingga 23 Julai termasuklah bengkel pembuatan kraftangan, persembahan kebudayaan dan permainan tradisional budaya Sabah.

“Program ini, saya percaya dan yakin mampu menjadi tarikan pengunjung dari dalam dan luar negara untuk datang ke muzium negeri sabah dan sekaligus memperkasa dan merancakkan industri pelancongan dalam negeri,” katanya.

Menurutnya, selain daripada memperkasa industri pelancongan, program ini juga dapat memberi ruang untuk kolaborasi dengan pengusaha kraftangan bagi tujuan memperkenalkan produk dan bakat mereka.

“Program ini seterusnya diharap mampu memberi peluang untuk menjana ekonomi pendapatan terutama kepada pengusaha kecil kraftangan dan mengangkat industri kraftangan negeri sabah di peringkat antarabangsa,” tambah beliau.

Christina (tiga kiri) bersama Unduk Ngadau Negeri 2023 Carol Abbey Gail Grimaldi (dua kanan), selepas menyampaikan Sijil Pelantikan sebagai Duta Muzium Sabah kepada Carol. Sambil diperhati dari kiri ialah Pengarah Jabatan Muzium Arif Abdul Hamid, Pengerusi Majlis Wanita KDCA Joanna Datuk Kitingan dan Timbalan Setiausaha Tetap II Kementerian Alesia Sion. -Foto ihsan KePKAS Sabah

Sementara itu, Christina sempat bertemu dan mengalu-alukan kehadiran seorang pelancong Helen Wright dari England yang kali pertama mengunjungi pameran Craft Exotica 2023 yang diadakan itu.

Christina (kiri) berbual dengan Wright semasa pameran Craft Exotic 2023 di Muzium Negeri semalam.

Wright berkata, beliau sangat teruja melihat keunikan dan keaslian produk kraf tangan yang sangat cantik dihasilkan oleh masyarakat tempatan Sabah.

“Saya sangat kagum, mereka menghasilkan kraf manik, menenun bakul dan kain sangat halus dan teliti pembuatanya, ia memerlukan masa untuk menyiapkannya,” katanya ketika berbual dengan Christina.

Christina turut menjelaskan kepada Wright pameran kraf asli itu menampilkan 50 pembuat kraf daripada pelbagai kaum di 16 daerah di seluruh Sabah.

“”Mereka dibawa khas ke kompleks muzium untuk menunjukkan kemahiran mereka kepada pelancong domestik dan antarabangsa. Antaranya ialah pembuat alat muzik tradisional, kain tempatan, pakaian tradisional, tikar pandan dan sarung pisau,” jelasnya.

]]>
https://sabahmedia.com/2023/07/16/kepkas-sasar-lebih-ramai-pelancong-berkunjung-ke-sabah-tahun-ini/feed/ 0 38351
‘Conferencing Point’ wujudkan suasana selamat pelancong ke Sabah https://sabahmedia.com/2023/07/15/conferencing-point-wujudkan-suasana-selamat-pelancong-ke-sabah/ https://sabahmedia.com/2023/07/15/conferencing-point-wujudkan-suasana-selamat-pelancong-ke-sabah/#respond Sat, 15 Jul 2023 00:03:05 +0000 https://sabahmedia.com/?p=38262
Read Time:1 Minute, 31 Second

KOTA KINABALU: Pengaktifkan semula pondok polis di Warisan Square di sini sebagai ‘Conferencing Point’ bagi semua elemen akan mewujudkan suasana selamat bukan saja masyarakat setempat tetapi juga pelancong asing yang datang ke negeri ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata, Conferencing Point ini beroperasi berkuatkuasa serta merta dan dua anggota polis ditempatkan setiap masa di lokasi tersebut.

“Kita harus menyedari bahawa ketika ini kehadiran pelancong luar negara hampir pulih seperti sediakala, sudah tentu mereka inginkan satu suasana yang selesa dengan kehadiran polis.

“Sebab di mana-mana pun, jika dengan kehadiran polis, ia akan memberi keyakinan kepada kita dari segi keselamatan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Conferencing Point pondok polis di Warisan Square di sini pada Jumaat.

Katanya lagi, pemilihan tempat di tengah pusat bandar raya adalah strategik kerana kawasan itu bukan saja sebagai penempatan masyarakat tetapi juga menjadi tumpuan pelancong asing.

“Tempat ini adalah paling strategik kerana kita lihat ada pasar kraftangan (Pasar Filipina), ada pasar malam yang dibuka setiap malam dan juga terdapat pusat beli belah.

“Malah polis juga telah mengkaji tentang jumlah kehadiran ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu sama ada warga setempat atau pelancong dan ia kembali normal sama seperti sebelum pandemik Covid-19 dan kita kena respons keadaan ini.

“Jadi, saya rasa sesuai untuk kita buat pondok polis berbentuk Conferencing Point di sini dan kita akan lihat dari segi keperluan untuk diwujudkan di tempat lain. Setakat ini hanya ada dua di Sabah iaitu satu lagi di Sandakan,” katanya.

Tambah Jauteh lagi, dari segi keberkesanannya ia bukan saja mengurangkan kadar jenayah tetapi yang lebih penting ialah menunjukkan perkhidmatan polis kepada masyarakat.

“Kalau kita lihat di sini ada pelbagai elemen sebagai pusat pertemuan termasuk dari unit polis pelancong, trafik, Unit Rondaan Bermotorsikal (URB) dan kita juga mengalu-alukan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) ke pondok ini,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2023/07/15/conferencing-point-wujudkan-suasana-selamat-pelancong-ke-sabah/feed/ 0 38262
Kunak berpotensi jadi tumpuan pelancong https://sabahmedia.com/2023/06/25/kunak-berpotensi-jadi-tumpuan-pelancong/ https://sabahmedia.com/2023/06/25/kunak-berpotensi-jadi-tumpuan-pelancong/#respond Sun, 25 Jun 2023 10:25:48 +0000 https://sabahmedia.com/?p=37130
Read Time:2 Minute, 0 Second

KOTA KINABALU: Kunak berpotensi menjadi tumpuan pelancong seperti tempat-tempat menarik lain yang terdapat di negeri ini.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew sependapat dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kunak, Norazlinah Arif bahawa melalui tarikan yang terdapat di Kunak, daerah itu berpotensi untuk menjadi tumpuan pelancong seperti tempat menarik lain di negeri ini.

Norazlinah (kanan) menunjukkan kepada Christina tempat-tempat menarik yang ada di daerah Kunak. – Foto ihsan KePKAS

“Dengan bentuk muka buminya, Kunak dikurniakan aset semula jadi untuk menjadikannya destinasi pelancongan yang ‘mesti dilawati’,” kata Christina.

Tambah beliau, Kunak mempunyai ‘khazanah tersembunyi’ untuk pembangunan pelancongan.

Gua Madai

“Nampaknya, Kunak mempunyai ‘khazanah tersembunyi’ untuk pembangunan pelancongan. Ia mempunyai pulau dan pantai yang cantik yang perlu didedahkan untuk menarik pelancong domestik dan antarabangsa.

Kolam Air Panas Kunak
Air Terjun Madai

“Kebanyakan rakyat Sabah, yang biasa dengan Kolam Air Panas Poring di Ranau, mungkin tidak menyedari bahawa terdapat juga kolam air panas di Kunak. Dan terdapat Air Terjun Madai yang kurang dikenali, tempat kegemaran penduduk setempat,” katanya selepas menerima kunjungan hormat Norazlinah, baru-baru ini.

Pulau Maganting
Pulau Boheyan

Beliau menyeru pengendali pelancongan untuk menjadikan Kunak sebagai destinasi persinggahan dalam pakej mereka untuk pelancong yang melancong ke Semporna dari Tawau, memandangkan Kunak hanya 58km dari Lapangan Terbang Tawau.

Justeru, ADUN Kunak itu meminta bantuan menteri untuk meremajakan industri pelancongan di daerah berkenaan dengan menambah baik infrastruktur pelancongan dan menaik taraf kemudahan sedia ada di situ.

Menurut Norazlinah, Kunak menawarkan pilihan pelancongan bersiar-siar atau pelancongan santai atau pelancongan pengembaraan kepada pengembara yang ingin merasai suasana di dalam Gua Madai, yang merupakan habitat bagi sejumlah besar burung walit. Gua Madai dan Air Terjun Madai adalah dalam bidang kuasa Jabatan Perhutanan Sabah.

Memberi taklimat mengenai tempat pelancongan Kunak, Norazlinah berkata pulau-pulaunya, seperti Pulau Boheyan, Pulau Maganting, Pulau Kun Kun dan Pulau Pasir adalah sama indahnya dengan pulau-pulau lain yang terkenal di Sabah.

“Ciri menarik Pulau Boheyan ialah dinding batu bawah air buatan manusia sepanjang 16 meter yang pernah digunakan untuk menghalang kayu balak daripada hanyut. Sebahagian dinding itu kelihatan apabila airnya cetek,” kongsinya.

“Pengusaha pelancongan pernah membawa pengunjung ke sini tetapi malangnya aktiviti pelancongan terhenti akibat pandemik Covid-19.

“Begitu juga dengan hamparan berpasir yang unik di tengah laut dapat dilihat ketika air surut sebab itu aset semula jadi ini dinamakan Pulau Pasir,” jelas Norazlinah.

Norazlinah juga telah menjemput Christina untuk datang dan melihat sendiri apa yang Kunak tawarkan.

]]>
https://sabahmedia.com/2023/06/25/kunak-berpotensi-jadi-tumpuan-pelancong/feed/ 0 37130
Hajiji Mengalu-alukan Kedatangan Pelancong Dari China Ke Sabah https://sabahmedia.com/2022/01/15/hajiji-mengalu-alukan-kedatangan-pelancong-dari-china-ke-sabah/ https://sabahmedia.com/2022/01/15/hajiji-mengalu-alukan-kedatangan-pelancong-dari-china-ke-sabah/#respond Sat, 15 Jan 2022 02:11:03 +0000 https://sabahmedia.com/?p=11122
Read Time:1 Minute, 18 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah mengalu-alukan kedatangan ramai pelancong dari negara China melawat negeri ini apabila pintu sempadan negara dibuka kepada pelawat antarabangsa.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, sektor pelancongan negeri ini banyak bergantung kepada pelancong asing terutamanya dari negara China.

“Pandemik COVID-19 menyebabkan sektor pelancongan teruk terjejas. Dengan pembukaan sempadan negara kepada pelawat antarabangsa dalam tempoh terdekat, kita berharap ramai pelancong dari China akan melawat Sabah.

“Ini akan dapat membantu pemulihan sektor pelancongan tempatan dan meningkatkan ekonomi negeri”, katanya semasa menerima kunjungan hormat daripada Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Kota Kinabalu, Liang Caide di kediaman rasminya di Sri Gaya, pada Jumaat.

Hajiji juga berharap Liang dan Kedutaan Republik Rakyat China di Malaysia membantu mempromosikan Sabah sebagai salah satu destinasi pelancongan utama di China.

“Sabah juga mengalu-alukan pelaburan asing terutama dari negara China selain sektor pelancongan untuk bersama-sama membangunkan pelbagai sektor utama di negeri ini seperti industri pembinaan, pertanian dan industri berteknologi tinggi yang baharu.

“Kerajaan Negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan terus bekerjasama erat dengan Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Kota Kinabalu dan Kedutaan China untuk menarik lebih ramai pelabur China ke Sabah, yang akan membantu merancakkan pertumbuhan sektor ekonomi negeri ini.

“Hubungan baik dan kerjasama yang sedia terjalin di antara Sabah dan China akan terus diperkukuhkan lagi, kerana ia memberi banyak manfaat kepada kedua-dua pihak”, tegasnya.

Terdahulu Liang memberi taklimat kepada Hajiji mengenai perkembangan terkini negara republik rakyat China dan usaha yang dilakukan oleh pejabatnya dalam membantu mempromosikan Sabah sebagai destinasi pelancongan, pelaburan dan perdagangan.

]]>
https://sabahmedia.com/2022/01/15/hajiji-mengalu-alukan-kedatangan-pelancong-dari-china-ke-sabah/feed/ 0 11122