pelancongan Sabah – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Wed, 15 Apr 2026 09:00:36 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.1 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png pelancongan Sabah – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 MOTAC beri amaran tegas, henti operasi perkhidmatan pelancongan tanpa lesen https://sabahmedia.com/2026/04/15/motac-beri-amaran-tegas-henti-operasi-perkhidmatan-pelancongan-tanpa-lesen/ https://sabahmedia.com/2026/04/15/motac-beri-amaran-tegas-henti-operasi-perkhidmatan-pelancongan-tanpa-lesen/#respond Wed, 15 Apr 2026 09:00:29 +0000 https://sabahmedia.com/?p=94919
Read Time:1 Minute, 32 Second

BERNAMA

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) memberi amaran tegas kepada pihak tidak berlesen supaya tidak menyediakan perkhidmatan pelancongan, termasuk pengangkutan, penginapan dan penganjuran aktiviti sama ada secara dalam talian, media sosial atau fizikal.

MOTAC dalam kenyataan memaklumkan amaran tersebut susulan operasi penguatkuasaan bersepadu yang dilaksanakan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) di Kota Kinabalu, Tawau dan Semporna baru-baru ini.

“Operasi bersasar ini adalah hasil aktiviti risikan selama beberapa bulan dan memberi fokus kepada kesalahan yang boleh disabitkan di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482), Akta Cukai Pendapatan 1967 (Akta 53) dan lain-lain perundangan berkaitan.

“Antara kesalahan tersebut termasuklah beroperasi tanpa lesen yang sah, gagal mematuhi syarat lesen ditetapkan, berurus niaga dengan pihak yang tidak berlesen, menjadi proksi kepada entiti asing yang disyaki dan gagal mengisytihar atau membuat pengisytiharan palsu cukai pendapatan,” menurut kenyataan itu.

MOTAC memaklumkan sebanyak 13 premis dan 11 individu telah diperiksa dengan tujuh notis pemeriksaan dikeluarkan di bawah Akta 482 termasuk dua notis kerana beroperasi tanpa lesen dan dua notis disebabkan berurus niaga dengan entiti tidak berlesen.

Menurut kenyataan itu, siasatan lanjut akan diteruskan sebelum tindakan perundangan diambil terhadap pihak terlibat dengan denda maksimum RM500,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya boleh dikenakan di bawah Akta 482 jika sabit kesalahan.

“MOTAC juga mengingatkan penggiat industri pelancongan berlesen supaya tidak berurus niaga dengan mana-mana pihak yang menjalankan perniagaan pelancongan secara tidak sah, tidak berlesen atau menggunakan kenderaan yang bukan dilesenkan untuk tujuan pelancongan oleh pihak berkuasa,” menurut kenyataan itu.

MOTAC memaklumkan penguatkuasaan akan diteruskan melalui kerjasama rentas agensi, selaras prinsip tadbir urus baik Malaysia MADANI dan mengalu-alukan maklumat awam melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA). — BERNAMA

]]>
https://sabahmedia.com/2026/04/15/motac-beri-amaran-tegas-henti-operasi-perkhidmatan-pelancongan-tanpa-lesen/feed/ 0 94919
Sabah sasar 4 juta pelancong sempena TMM 2026 https://sabahmedia.com/2026/01/01/sabah-sasar-4-juta-pelancong-sempena-tmm-2026/ https://sabahmedia.com/2026/01/01/sabah-sasar-4-juta-pelancong-sempena-tmm-2026/#respond Thu, 01 Jan 2026 07:45:29 +0000 https://sabahmedia.com/?p=89055
Read Time:1 Minute, 33 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

KOTA KINABALU: Sabah menyasarkan seramai empat juta pelancong tiba ke negeri ini sepanjang Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026, selari dengan peningkatan minat pelancong terhadap produk pelancongan semula jadi dan ekopelancongan yang dimiliki negeri ini.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Ariffin berkata, sasaran itu adalah berikutan pencapaian cemerlang sektor pelancongan Sabah pada tahun lalu apabila sasaran 3.6 juta pelancong berjaya dicapai.

Beliau berkata, peningkatan sasaran kepada empat juta pelancong melibatkan domestik dan antarabangsa adalah realistik serra berasas yang mengambil kira kekuatan Sabah yang kaya dengan tarikan alam semula jadi seperti laut yang bersih, hutan hujan tropika, gunung-ganang serta destinasi pelancongan bertaraf dunia.

“Sabah mempunyai aset pelancongan yang lengkap dan unik.

“Keindahan alam semula jadi ini menjadi faktor utama yang mampu menarik lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas hadir menyempurnakan sambutan ketibaan pelawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) sempena Tahun Baharu 2026 di sini pada Khamis.

Jafry berkata, beberapa lokasi utama di Sabah turut menerima pengiktirafan antarabangsa termasuk tapak bertaraf dunia dan kawasan biosfera, sekali gus mengukuhkan lagi daya tarikan negeri itu sebagai destinasi pelancongan global.

Beliau turut menegaskan aspek keselamatan pelancong akan terus diberi keutamaan, termasuk penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) serta kemudahan asas bagi memastikan pengalaman pelancongan yang selamat dan selesa.

“Sasaran ini bukan sekadar angka, tetapi melibatkan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan pelancong datang dan pulang dengan pengalaman yang positif,” katanya.

Terdahulu, majlis itu merupakan sebahagian daripada pelaksanaan bersepadu sambutan ketibaan pelawat terawal yang diadakan di 55 pintu masuk utama dan lokasi terpilih di kesemua 13 negeri, termasuk lapangan terbang antarabangsa, terminal feri dan hab pengangkutan darat utama.

Bagi Sabah, lima lokasi utama dipilih sebagai tempat penganjuran, iaitu KKIA, Lapangan Terbang Sandakan, Lapangan Terbang Tawau, Lapangan Terbang Lahad Datu dan Terminal Feri Tawau. – SABAH MEDIA

]]>
https://sabahmedia.com/2026/01/01/sabah-sasar-4-juta-pelancong-sempena-tmm-2026/feed/ 0 89055
DUN Sabah : Ambil langkah proaktif, pergiat sasaran ketibaan 3.5 juta pelancong https://sabahmedia.com/2025/04/11/dun-sabah-ambil-langkah-proaktif-pergiat-sasaran-ketibaan-3-5-juta-pelancong/ https://sabahmedia.com/2025/04/11/dun-sabah-ambil-langkah-proaktif-pergiat-sasaran-ketibaan-3-5-juta-pelancong/#respond Fri, 11 Apr 2025 02:01:00 +0000 https://sabahmedia.com/?p=71754
Read Time:1 Minute, 30 Second

Kota Kinabalu : Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman mahu Kerajaan negeri mengambil langkah proaktif bagi mempergiatkan lagi sasaran ketibaan sebanyak 3.5 juta pelancong ke Sabah tahun ni.

Katanya, ia termasuklah mempromosikan produk pelancongan negeri serta menganjurkan acara dan aktiviti pelancongan yang signifikan sebagai menyokong Tahun Melawat Malaysia 2026.

Menurutnya, kerjasama dengan syarikat penerbangan juga akan diperkukuh melalui peningkatan promosi dan pengembangan laluan penerbangan langsung ke Sabah.

“Selain daripada itu, beberapa langkah penting perlu diambil, termasuk membangunkan dan menambah baik infrastruktur pengangkutan ke destinasi pelancongan.

“Aspek kebersihan, seperti di kawasan pantai dan tandas awam, juga perlu diberi perhatian serius oleh Pihak Berkuasa Tempatan, bagi memastikan keselesaan para pelancong.

“Saya merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pengangkutan Malaysia kerana meluluskan peruntukan berjumlah RM572.3 juta untuk menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa   Kota   Kinabalu   dan   Lapangan Terbang Tawau.

“Penaiktarafan kedua-dua lapangan terbang ini dijangka akan dapat menampung peningkatan jumlah ketibaan pelancong ke Sabah,” katanya.

Tun Musa berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar Kerajaan sempena dengan Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Tahun 2025 Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-16 di DUN Sabah di sini semalam.

Ia adalah ucapan sulung bekas Ketua Menteri Sabah Ke-14 itu selaku Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah selepas dilantik ke jawatan berkenaan berkuat kuasa pada 1 Januari lalu.

Tun Musa berkata, Kerajaan Negeri juga telah menetapkan hala tuju bagi sektor pelancongan di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) iaitu untuk membangunkan produk pelancongan yang mampan seiring kelestarian alam semula jadi. 

“Pada tahun ini Kerajaan Negeri akan menyenaraikan Taman Tun  Mustapha dalam International Union for Conservation of Nature (IUCN) Greenlist untuk diiktiraf sebagai kawasan pelestarian alam yang memenuhi standard tinggi untuk pemeliharaan biodiversiti dan pengurusan sumber semula jadi yang mampan,” katanya. – SABAH MEDIA

]]>
https://sabahmedia.com/2025/04/11/dun-sabah-ambil-langkah-proaktif-pergiat-sasaran-ketibaan-3-5-juta-pelancong/feed/ 0 71754
Usaha promosi sektor pelancongan perlu selari aspirasi negara https://sabahmedia.com/2025/01/07/usaha-promosi-sektor-pelancongan-perlu-selari-aspirasi-negara/ https://sabahmedia.com/2025/01/07/usaha-promosi-sektor-pelancongan-perlu-selari-aspirasi-negara/#respond Tue, 07 Jan 2025 01:56:41 +0000 https://sabahmedia.com/?p=66586
Read Time:43 Second

Kuala Lumpur: Pengusaha pelancongan di Sabah diminta mengambil perhatian seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pelancaran Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Panglima Christina Liew berkata, usaha mempromosi sektor pelancongan perlu selari dengan aspirasi negara.

“Ini bermakna kelestarian pelancongan dan perkongsian manfaat ekonomi oleh masyarakat bandar dan luar bandar perlu diberi perhatian.

“Ia juga kepada semua pihak pemegang taruh termasuklah pengusaha perkhidmatan makanan dan minuman serta industri berkaitan,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Christina hadir ke majlis itu bagi mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Api-Api turut berkesempatan bertemu dengan Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Danielle Heinecke ketika di majlis itu.

Christina berkata, Danielle mengalu-alukan usaha kerajaan Sabah untuk meneruskan penerbangan terus atau mewujudkan laluan baharu ke Australia.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/01/07/usaha-promosi-sektor-pelancongan-perlu-selari-aspirasi-negara/feed/ 0 66586
Industri pelancongan Sabah dijangka terus berkembang maju https://sabahmedia.com/2024/11/17/industri-pelancongan-sabah-dijangka-terus-berkembang-maju/ https://sabahmedia.com/2024/11/17/industri-pelancongan-sabah-dijangka-terus-berkembang-maju/#respond Sun, 17 Nov 2024 02:00:00 +0000 https://sabahmedia.com/?p=63871
Read Time:1 Minute, 33 Second

Kota Kinabalu: Industri pelancongan Sabah dijangka akan lebih berkembang maju berikutan sokongan berterusan kerajaan negeri dalam sektor itu.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Christina Liew berkata, sokongan itu diterjemahkan melalui Belanjawan Sabah 2025 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun Jumaat lalu.

Katanya, kerajaan negeri telah memberikan tumpuan kepada tiga sektor utama iaitu, pertanian, pembangunan industri dan pelancongan bagi memacu pertumbuhan ekonomi Sabah.

“Tidak dinafikan sektor pelancongan yang berkembang pesat adalah aliran tunai untuk Sabah dengan penjanaan pendapatan segera.

“Saya mengalu-alukan peruntukan sebanyak RM102.87 juta kepada Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) untuk tujuan operasi dan pelaksanaan pelbagai program serta projek pembangunan. 

“Daripada jumlah itu, RM10.84 juta akan digunakan untuk pembangunan aset pelancongan, termasuk RM6.5 juta bagi Projek Pembangunan Pelancongan Luar Bandar yang memberi fokus kepada eko-pelancongan dan pelancongan berasaskan komuniti,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Christina berkata, peruntukan sebanyak RM19.8 juta disalurkan kepada Jabatan Muzium Sabah untuk perbelanjaan operasi dan peningkatan infrastruktur warisan bagi tujuan pelancongan. 

“Ini adalah pengiktirafan bahawa usaha untuk mempertingkatkan khazanah budaya dan warisan etnik negeri ini menyumbang ke arah menjadikan produk pelancongan ini sebagai pilihan utama pelancong,” katanya.

Christina berkata, tambahan sebanyak RM13.66 juta telah diperuntukkan untuk kesinambungan dan pemeliharaan warisan seni dan budaya negeri.

Dalam pada  itu, beliau turut memuji usaha akan datang untuk menyenaraikan pelbagai program budaya, termasuk Festival Muzium 2025, Kraf Eksotik dan Festival Regatta Lepa dalam kalendar pelancongan negeri pada tahun depan.

Langkah ini katanya, bertujuan memperkasakan lagi sektor pelancongan tempatan.

Beliau bersetuju pendekatan proaktif ini boleh meningkatkan daya saing pelancongan berasaskan komuniti, ia merupakan kaedah berkesan untuk mengagihkan hasil yang dijana oleh industri secara lebih inklusif dan saksama.

“Ke arah ini, saya boleh menjangkakan pelbagai aktiviti yang melibatkan usahawan kraf serta pembuat perahu serta pemegang taruh rancak diadakan,” katanya. – SABAH MEDIA

]]>
https://sabahmedia.com/2024/11/17/industri-pelancongan-sabah-dijangka-terus-berkembang-maju/feed/ 0 63871
Industri pelancongan Sabah rekod RM13 bilion tahun lepas https://sabahmedia.com/2023/12/22/industri-pelancongan-sabah-rekod-rm13-bilion-tahun-lepas/ https://sabahmedia.com/2023/12/22/industri-pelancongan-sabah-rekod-rm13-bilion-tahun-lepas/#respond Fri, 22 Dec 2023 01:19:57 +0000 https://sabahmedia.com/?p=46966
Read Time:1 Minute, 38 Second

BERNAMA

Putrajaya : Nilai ditambah kasar industri pelancongan (NDKIP) Sabah pada 2022 mencatatkan RM13 bilion, menyumbang sebanyak 10.7 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sabah, menurut Akaun Satelit Pelancongan Wilayah (ASPW) Sabah terbitan Jabatan Perangkaan (DOSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata NDKIP Sabah menyumbang 5.2 peratus kepada NDKIP Malaysia dan 0.7 peratus kepada KDNK Malaysia manakala KDNK Pelancongan Langsung (KDNKPL) merekodkan RM3.2 bilion dengan sumbangan 2.6 peratus kepada KDNK Sabah. 

“Pembukaan semula pintu masuk sempadan negara telah memberi impak positif dan menggalakkan pemulihan sektor pelancongan Sabah.

“Pada 2022, jumlah ketibaan pelawat ke Sabah mencecah 1.73 juta orang, meningkat 365.5 peratus berbanding hanya 0.4 juta orang yang direkodkan pada tahun sebelumnya,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata prestasi industri pelancongan Sabah pada tahun lepas turut didorong oleh usaha kerajaan negeri antaranya meneruskan perkhidmatan penerbangan masuk ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) seperti dari Singapura, Korea Selatan dan Thailand selain penerbangan domestik dari Terengganu.

Sementara itu, Mohd Uzir berkata pelawat dari Semenanjung Malaysia merupakan penyumbang utama perbelanjaan pelancongan ‘inbound’ di Sabah, iaitu sebanyak 63.7 peratus (RM 1.7 bilion) daripada keseluruhan RM2.7 bilion pada 2022.

“Pelawat dari luar negara dan Sarawak pula masing-masing menyumbang 23 peratus (RM0.6 bilion) dan 13.2 peratus (RM0.4 bilion) pada tempoh sama,” katanya.

Prestasi industri pelancongan Sabah juga dipacu oleh perbelanjaan pelancongan oleh residen Sabah dengan merekodkan RM3.5 bilion.

Beliau berkata industri berkenaan turut merekodkan penglibatan 427,000 orang bekerja pada 2022, menyumbang sebanyak 22.8 peratus kepada jumlah keseluruhan guna tenaga di Sabah.

Mohd Uzir turut menjangkakan ketibaan pelancong ke negeri itu akan terus meningkat tahun ini dengan usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan bagi merancakkan industri pelancongan antaranya ‘Community-Based Tourism Roadshow’.

Setakat Oktober 2023, jumlah ketibaan pelawat ke Sabah adalah seramai 2.11 juta orang, meningkat 56.1 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2022 (1.36 juta).- BERNAMA

]]>
https://sabahmedia.com/2023/12/22/industri-pelancongan-sabah-rekod-rm13-bilion-tahun-lepas/feed/ 0 46966
Dua selebriti TV China dalam misi cari fakta, mempromosi pelancongan Sabah https://sabahmedia.com/2023/11/11/dua-selebriti-tv-china-dalam-misi-cari-fakta-mempromosi-pelancongan-sabah/ https://sabahmedia.com/2023/11/11/dua-selebriti-tv-china-dalam-misi-cari-fakta-mempromosi-pelancongan-sabah/#respond Sat, 11 Nov 2023 09:54:32 +0000 https://sabahmedia.com/?p=45064
Read Time:1 Minute, 36 Second

KOTA KINABALU: Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew mengalu-alukan kedatangan dua selebriti TV dari China dalam misi mencari fakta untuk mempromosi dan mempamerkan Sabah sebagai destinasi pelancongan pilihan di tanah air mereka.

Kedua-duanya ialah Hos CCTV Kou Chunrui dan Pengarah Penyiaran Hal Ehwal Semasa TV Phoenix, Su Zhenni, yang ditugaskan oleh Hawan Maju Sdn Bhd yang berpangkalan di Sabah untuk melihat ke dalam Malaysia dan China Tahun ke-50 Perikatan 2024, meneroka pelancongan Sabah dan potensi pelaburannya ke China.

Ketua Pegawai Visionari syarikat itu Nash Koh memperkenalkan mereka kepada Menteri Pelancongan Sabah dalam kunjungan hormat, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Christina turut menyatakan sokongan terhadap karya personaliti TV di Sabah.

Semasa pertemuan itu, Kou dan Su berkata bahawa kebanyakan penduduk di wilayah China tidak pernah mendengar tentang Sabah.

Justeru itu, Christina berkata sebaik-baiknya, pencari fakta mesti melawat Sabah semasa perayaan seperti Tahun Baru Cina, Hari Raya dan Pesta Kaamatan untuk mereka mengetahui dan memahami warisan budaya kita dan cara hidup rakyat.

“Saya juga akan menggalakkan mereka melihat sekilas hidupan liar ikonik Sabah dengan memilih pakej Pelayaran Sungai Kinabatangan, antara lain,” tambahnya.

Christina turut mencadangkan agar Koh membawa pengacara TV ke pelbagai tempat tumpuan pelancong supaya mereka boleh berkongsi pengalaman mereka dengan rakyat China melalui pembentangan mereka.

Kou dan Su menghabiskan lima hari di Sabah untuk merasai ‘The Land Below The Wind’, sambil mendapatkan idea tentang apa yang negeri ini tawarkan kepada pelancong, pelawat dan pelabur.

Menurut Koh, kedua-dua selebriti wanita itu juga membuat kajian mengenai diaspora Cina di bahagian dunia ini, terutama generasi muda.

“Mereka telah menganalisis maklumat berguna yang dikumpulkan di lapangan, dan menyerahkan laporan kepada saya mengenai penemuan dan cadangan mereka untuk meningkatkan pelancongan Sabah.

“Apa yang mereka temui tentang keunikan penduduk dan budaya di Sabah serta peluang ekonomi di sini, mereka akan kongsikan dengan pemain pelancongan China dan pelabur berpotensi untuk mengembangkan perniagaan mereka di Sabah,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2023/11/11/dua-selebriti-tv-china-dalam-misi-cari-fakta-mempromosi-pelancongan-sabah/feed/ 0 45064
Lebih banyak bilik hotel tersedia, penuhi trend pelancongan Sabah makin berkembang – Hajiji https://sabahmedia.com/2023/10/10/lebih-banyak-bilik-hotel-tersedia-penuhi-trend-pelancongan-sabah-makin-berkembang-hajiji/ https://sabahmedia.com/2023/10/10/lebih-banyak-bilik-hotel-tersedia-penuhi-trend-pelancongan-sabah-makin-berkembang-hajiji/#respond Tue, 10 Oct 2023 01:54:39 +0000 https://sabahmedia.com/?p=43400
Read Time:2 Minute, 24 Second

KOTA KINABALU: Tambahan 2,053 bilik akan disediakan tidak lama lagi, dengan tujuh hotel baharu akan beroperasi untuk menambah 685 hotel sedia ada daripada 5 bintang hingga hotel bajet atau penginapan dengan kapasiti 26,822 bilik di Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata perkembangan ini memberi petanda baik kepada negeri ini dengan statistik menunjukkan Sabah terus menjadi destinasi yang dicari dalam kalangan pelancong.

“Ketibaan pelawat terus menunjukkan pertumbuhan kukuh pada 2023, dengan keseluruhan ketibaan pelawat ke Sabah mencatatkan 1.4 juta ketibaan antarabangsa dan domestik dari Januari hingga Julai tahun ini.

“Dengan angka ini, Sabah bersedia untuk mencapai sasaran 2.2 juta pengunjung tahun ini, yang merupakan petanda baik. Sehingga kini, ini telah menjana anggaran penerimaan pelancongan sebanyak RM2.9 bilion (peningkatan 99.7 peratus) bagi Sabah,” katanya.

Berucap pada sambutan ulang tahun ke-40 Shangri-La Tanjung Aru Resort di sini malam tadi, Hajiji berkata digalakkan untuk mengambil perhatian bahawa purata kadar penghunian hotel Sabah sejak enam bulan lalu tahun ini ialah 52 peratus.

“Saya diberitahu pada hari-hari tertentu beberapa hotel melaporkan semua tempahan bilik penuh, terutama semasa cuti atau ketika acara diadakan,” katanya.

Ketua Menteri gembira industri hospitaliti telah pulih dengan cepat daripada wabak itu.

“Kami optimis bergerak ke hadapan untuk memastikan langkah tegas diambil untuk memastikan kami berada di landasan yang betul untuk melaksanakan pelan pembangunan kami, Hala Tuju Sabah Maju Jaya, selaras dengan aspirasi kami untuk memupuk Sabah yang bersatu padu, makmur dan inklusif. Dan untuk itu, saya perlukan anda semua untuk sehaluan dengan saya dan kerajaan negeri,” katanya.

Ketua Menteri juga berkata kerajaan negeri melihat banyak potensi dalam pelancongan berasaskan komuniti (CoBT).

“Kita mahu melihat sektor ini berkembang di seluruh negeri supaya lebih ramai komuniti dari kawasan luar bandar akan mendapat manfaat daripada peluang ekonomi dan spin-off. Pelancongan berasaskan komuniti sejak itu telah diterima pakai di banyak daerah di negeri ini, antara lain mewujudkan satu kebaikan untuk pengembaraan, budaya dan pelancongan makanan.

“Satu inisiatif penjenamaan untuk pelancongan berasaskan komuniti oleh Lembaga Pelancongan Sabah akan
dilakukan tidak lama lagi untuk membawanya ke tahap yang lain,” katanya.

Kerajaan negeri melalui Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri memperuntukkan RM10 juta untuk membaiki infrastruktur asas pelancongan di kawasan luar bandar bagi menggalakkan pertumbuhan pelancongan berasaskan komuniti.

Menjelang 2030, Sabah berharap dapat mencapai 80 peratus sasaran pematuhan standard ASEAN bagi pelancongan berasaskan komuniti di negeri itu, katanya sambil menambah ini adalah ke arah memperkasa dan meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar.

Beliau berkata Shangri-La Tanjung Aru Resort telah mencapai pencapaian penting, berkongsi perjalanan pertumbuhan dan transformasi dengan Bandaraya Kota Kinabalu selama ini.

“Adalah penting untuk Shangri-La terus mengekalkan nilai yang telah mengekalkan anda -komitmen terhadap kemampanan, dedikasi kepada komuniti tempatan, dan janji layanan yang luar biasa.

“Hari ini adalah detik kebanggaan anda apabila anda merenung nilai-nilai kekal yang telah menjadikan hotel anda sebagai simbol kecemerlangan dalam industri hospitaliti. Tahniah dan syabas!,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2023/10/10/lebih-banyak-bilik-hotel-tersedia-penuhi-trend-pelancongan-sabah-makin-berkembang-hajiji/feed/ 0 43400
Duta Besar Jerman ke Malaysia bantu mempromosi pelancongan Sabah https://sabahmedia.com/2023/06/02/duta-besar-jerman-ke-malaysia-bantu-mempromosi-pelancongan-sabah/ https://sabahmedia.com/2023/06/02/duta-besar-jerman-ke-malaysia-bantu-mempromosi-pelancongan-sabah/#respond Fri, 02 Jun 2023 11:11:27 +0000 https://sabahmedia.com/?p=35641
Read Time:3 Minute, 51 Second

KOTA KINABALU: Duta Besar Jerman ke Malaysia, Dr Peter Blomeyer memberi jaminan bahawa Kedutaannya di Kuala Lumpur akan membantu mempromosikan Sabah sebagai destinasi ideal untuk acara MICE (Mesyuarat, Insentif, Konvensyen & Pameran).

Beliau memberi jaminan itu ketika mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew di pejabatnya di Wisma Tun Fuad Stephens pada Khamis.

“Kami bercadang untuk memperkenalkan pakej ‘dua dalam satu’ kepada bakal pengunjung di mana peserta berpeluang menerokai Sabah sebagai pelancong selepas menghadiri acara perniagaan mereka. Pakej insentif yang dicadangkan untuk pengembara juga sedang dalam perancangan,” katanya kepada Dr Blomeyer dalam lawatan sulungnya ke negeri ini untuk melihat projek Jerman, bertemu NGO dan mendapatkan gambaran kehidupan di dunia dengan suku dan budayanya yang berbeza.

Sebagai tindak balas, Duta Besar itu berkata beliau boleh memudahkan komunikasi dengan syarikat pelancongan tertentu di Jerman jika pasukan pemasaran Kementerian boleh menghubungi Kedutaan untuk membantu memastikan acara MICE.

“Kami mempunyai syarikat yang pakar dalam pelbagai acara pelancongan, termasuk lawatan sambil belajar ke bandar-bandar tertentu. Jika anda mengenali mereka, dan memberitahu mereka apa yang anda tawarkan, maka itulah cara terbaik untuk membuat perjanjian.

“Sebagai acara pelancongan terbesar di dunia, ITB Berlin adalah acara terbaik untuk mempromosikan apa yang anda mahukan untuk Jerman dan pemain pelancongan lain di dunia yang berada di sana,” jelas Dr Blomeyer.

Kedua-dua Menteri dan Duta Besar berkongsi cita-cita yang sama dalam pemuliharaan alam semula jadi dan ekopelancongan, dengan bekas menteri itu menjemput lebih ramai warga Jerman untuk menyertai projek pelancongan alam semula jadi dan ekopelancongan di Sabah secara usaha sama.

“Saya seorang peminat alam semula jadi. Saya percaya bahawa pemuliharaan alam semula jadi bergantung kepada masyarakat. Jika masyarakat boleh mendapatkan sedikit wang untuk ini, maka mereka akan menghargai alam semula jadi dan akan menganggapnya sebagai aset, jadi ia sebenarnya dalam situasi menang-menang.

Kagum dengan projek alam sekitar GIZ yang sedang dijalankan di Malaysia, termasuk projek anti pengeboman ikan di Taman Laut Tun Mustapha, Christina berkata beliau mengalu-alukan kerjasama Perbadanan Jerman Antarabangsa (GIZ) yang memulakan lebih banyak projek seumpama itu di Sabah.

Pada masa ini, Kedutaan Jerman membiayai projek kecil di Tawau di mana NGO telah menceburi bidang keusahawanan melalui lokasi pembiakan burung enggang.

“Jika kita membuat koridor untuk menghubungkan lokasi-lokasi ini, kumpulan genetik burung-burung ini akan diperbesarkan. NGO menanam pokok buah-buahan yang disukai burung enggang. Kita menyokong projek penanaman pokok ini,” katanya.

Dari perspektif lain, Dr Bromeyer berminat untuk mengetahui bagaimana budaya boleh diwakili di sini di mana terdapat, katanya, tidak kurang daripada 35 suku dan 130 sub-etnik dengan pelbagai budaya dan bahasa serta pendatang yang boleh mempengaruhi budaya dalam satu cara atau yang lain.

“Bagaimana anda menghadapinya, dan apakah program anda mengenai idea anda untuk mewakili kepelbagaian ini supaya orang ramai dapat memahaminya?” Dr Bromeyer bertanya kepada Christina yang mengatakan konsep hidup harmoni sudah ada sejak zaman sebelum perang, jadi ia adalah perkara biasa.

“Saling hormat-menghormati adalah kunci kepada kewujudan bersama yang aman. Ia adalah lumrah, jadi ini adalah cara kita menguruskan perbezaan budaya kita. Namun, kita mempamerkan budaya masing-masing semasa perayaan seperti Tahun Baru Cina, Hari Raya, Pesta Kaamatan dan Krismas,” kata Christina.

Menurut Dr Blomeyer, beliau akan menilai keadaan keselamatan kerana pada masa ini, terdapat amaran untuk tidak pergi ke beberapa kawasan di Pantai Timur.

“Terpulang kepada Berlin untuk memutuskan sama ada untuk menarik balik nasihat perjalanan, “
Sambil berkata beliau berada di sini untuk menilai keadaan alam sekitar, beliau ingin mengetahui tugas atau langkah mitigasi Sabah untuk menangani pengeboman ikan, perubahan batu karang, pencemaran plastik, perubahan iklim dan banjir.

Sementara itu, Christina menggalakkan Duta Besar itu ke Taman Kinabalu, Sandakan, Tawau dan Semporna, melawat Taman Hidupan Liar Lok Kawi, Pusat Pemulihan Orang Utan Sepilok, Santuari Hidupan Liar Kinabatangan dan Pulau Bohey Dulang.

Dr Blomeyer memberi jaminan bahawa beliau akan mempromosikan hidupan liar ikonik Sabah selepas mengetahui tentang Orang utan, gajah pygmy Borneo dan monyet belanda (proboscis monkey).

Bercakap kepada Unit Media Kementerian kemudiannya, beliau menyifatkan pertemuannya dengan Christina sebagai pertemuan paling menggembirakan baginya.

“Saya belajar banyak tentang budaya dan masyarakat di Sabah yang hidup bersama secara aman dan harmoni. Saya banyak belajar tentang alam semula jadi dan sembilan taman yang dipertanggungjawabkan oleh menteri. Sudah tentu, kami banyak bercakap tentang pelancongan dan bagaimana untuk meningkatkan pelancongan dari Jerman ke Sabah,” katanya.

Ditanya mengenai kemungkinan lawatan pertukaran dan beberapa program kerjasama lain, Duta Besar itu berkata kerjasama telah pun dilaksanakan dalam beberapa bidang, contohnya, dalam persekitaran.

“Dan, kami sebagai sebuah kedutaan, juga mempunyai projek berskala kecil di sini, jadi sudah ada hubungan. Tetapi kami telah membincangkan bagaimana kami boleh memperhebatkannya, dan lawatan bersama pastinya membantu ke arah ini,” ujar beliau.

]]>
https://sabahmedia.com/2023/06/02/duta-besar-jerman-ke-malaysia-bantu-mempromosi-pelancongan-sabah/feed/ 0 35641
AirAsia sokong pelancongan Sabah https://sabahmedia.com/2023/05/07/airasia-sokong-pelancongan-sabah/ https://sabahmedia.com/2023/05/07/airasia-sokong-pelancongan-sabah/#respond Sun, 07 May 2023 09:58:30 +0000 https://sabahmedia.com/?p=33954
Read Time:2 Minute, 9 Second

KOTA KINABALU: Sokongan berterusan AirAsia terhadap Pelancongan Sabah memberi petanda baik untuk kesejahteraan ekonomi negeri, kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew.

Beliau berkata, AirAsia berada di trajektori yang betul dalam menjadikan Sabah sebagai hab penting secara operasi untuk syarikat penerbangan tambang murah itu, dan melancarkan Kempen Pelancongan Sabah.

“Kerjasama antara AirAsia dan Lembaga Pelancongan Sabah (STB) adalah wajar dalam usaha membawa pelancongan Sabah ke peringkat seterusnya. STB adalah salah satu daripada enam agensi di bawah Kementerian saya.

“Kami mengharapkan AirAsia dan STB bekerjasama rapat untuk menarik lebih ramai pelancong dari rantau Asia, antara kawasan lain,” katanya.

Christina berkata demikian selepas kunjungan hormat delegasi, tujuh anggota dari AirAsia Malaysia yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya Riad Asmat, Jumaat lepas .

Tenaga kerja AirAsia Sabah terdiri daripada lebih 700 kakitangan, termasuk kakitangan darat, krew kabin dan pekerja lain yang berpangkalan di Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Dalam sesi taklimat kepada Menteri Pelancongan mengenai kemas kini AirAsia di Sabah, Riad berkata Sabah adalah hab penting dan salah satu daripada tiga hab AirAsia yang lebih besar di luar Kuala Lumpur, Malaysia di mana syarikat penerbangan itu akan mengendalikan 20 laluan antarabangsa dan domestik di bawah Rangkaian Sabah.

Laluan antarabangsa termasuk KK-Hong Kong (tujuh penerbangan seminggu), KK-Shenzhen (tujuh penerbangan seminggu), KK-Wuhan (tujuh penerbangan seminggu), KK-Guangzhou (tujuh penerbangan seminggu), KK-Taipei (tujuh penerbangan seminggu) dan KK-Singapura (14 penerbangan seminggu).

Menurut Riad, laluan KK-Macao akan dibuka semula pada Julai (empat penerbangan seminggu), dan begitu juga laluan KK-Beijing (tujuh penerbangan seminggu).

“Kesalinghubungan kami yang luas dengan sejumlah 303 frekuensi setiap minggu bukan sahaja mengukuhkan bahagian pasaran kami di negeri ini, tetapi juga membolehkan kami terus mencari untuk mengembangkan lagi rangkaian kami secara terus dari sini ke destinasi baharu dalam masa terdekat dengan Beijing (Daxing) China sebagai satu contoh.

“Ia akan menjadi sumber pertumbuhan ekonomi ketiga terbesar bagi Sabah selepas pertanian dan pembuatan, menyokong lebih 80,000 pekerjaan di negeri ini, pelancongan diteruskan dan berpotensi untuk menyumbang lebih banyak kepada masyarakat dan ekonomi negeri secara keseluruhannya,” jelas Riad.

Riad berkata, AirAsia berharap untuk terus bekerjasama dengan Lembaga Pelancongan Sabah yang sentiasa menyokong syarikat penerbangan itu sebagai organisasi yang memartabatkan pelancongan negeri dengan menghubungkannya ke lebih banyak laluan domestik dan antarabangsa pada masa hadapan.

Delegasi itu turut dihadiri Zamani Rafique (Perhubungan Kerajaan), Boon Seong Lim (Dasar Global Kumpulan, Perhubungan Kerajaan dan Komunikasi), Adrianna Welson (Perhubungan Kerajaan), Joshua Empiong Sanjan (Pemasaran), Liyana Mahizzan (Pemasaran) dan Primus Poyoh Paul (Ketua Stesen Kota Kinabalu).

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif STB Noredah Othman dan Pengurus Kanan Pemasaran Josephine Chai.

]]>
https://sabahmedia.com/2023/05/07/airasia-sokong-pelancongan-sabah/feed/ 0 33954