Pelancongan – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Sun, 01 Nov 2026 09:29:32 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.1 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png Pelancongan – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 Pesta Ambuyat berpotensi jadi tarikan sempena Tahun Melawat Sabah 2027 https://sabahmedia.com/2026/11/01/pesta-ambuyat-berpotensi-jadi-tarikan-sempena-tahun-melawat-sabah-2027/ https://sabahmedia.com/2026/11/01/pesta-ambuyat-berpotensi-jadi-tarikan-sempena-tahun-melawat-sabah-2027/#respond Sun, 01 Nov 2026 09:29:26 +0000 https://sabahmedia.com/?p=106205
Read Time:1 Minute, 34 Second

MEMBAKUT: Pesta Ambuyat berpotensi diketengahkan sebagai antara produk tarikan pelancongan di daerah ini sempena kempen Tahun Melawat Sabah 2027 menerusi usaha memperkenalkan keunikan warisan makanan dan kebudayaan masyarakat tempatan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, pihaknya akan memperjuangkan cadangan agar pesta berkenaan dimasukkan dalam kalendar pelancongan negeri bagi menarik lebih ramai pengunjung ke Membakut.

Katanya, penganjuran pesta itu akan dipertingkatkan pada tahun hadapan dengan menggabungkan beberapa program kebudayaan dan kesenian lain, termasuk Mahrajan yang berlangsung sebelum ini.

Arifin Arif

Menurutnya, program berkenaan bukan sahaja mengetengahkan warisan masyarakat Brunei Sabah, malah turut membabitkan penyertaan etnik lain menerusi penganjuran pesta adat atau Pesta Begandang.

“Kita akan menambah baik mana yang perlu dan meningkatkan program seumpama ini. Sempena Melawat Sabah 2027, Pesta Ambuyat ini akan kita jadikan salah satu daya tarikan di kawasan ini.

“Kita juga akan satukan program ini dengan Mahrajan dan beberapa program lain yang melibatkan etnik berbeza di Membakut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada selepas menghadiri sambutan Pesta Ambuyat di Dewan Seri Wawasan Kg Pimping di sini, pada Ahad.

Sambutan itu turut diserikan dengan kehadiran isteri Yang di-Pertua Negeri Sabah Toh Puan Faridah Tussin.

Arifin yang juga Presiden Persatuan Masyarakat Brunei Sabah (PMBS) berkata, beberapa pengisian lain turut dirancang bagi memeriahkan program berkenaan, antaranya aktiviti sukan, larian pantai, bengkel khat serta seminar kesenian dan kesusasteraan.

Katanya, bengkel khat itu dirancang membabitkan penyertaan antarabangsa, manakala nadwah kesenian dan kesusasteraan turut disasarkan menjadi program bertaraf antarabangsa dengan penyertaan pembentang kertas kerja dari luar negara.

Menurutnya, pelaksanaan program berkenaan akan diselaraskan oleh beberapa agensi termasuk Pejabat Daerah, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS); Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), PMBS, ABIM dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain.

Beliau berharap gabungan pelbagai program berkenaan dapat memperkukuh tarikan pelancongan Membakut, selain membantu usaha Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah menjayakan Tahun Melawat Sabah 2027. – SABAH MEDIA

]]>
https://sabahmedia.com/2026/11/01/pesta-ambuyat-berpotensi-jadi-tarikan-sempena-tahun-melawat-sabah-2027/feed/ 0 106205
KKPAC buka lebih banyak ruang untuk bakat seni Sabah berkembang https://sabahmedia.com/2026/10/16/kkpac-buka-lebih-banyak-ruang-untuk-bakat-seni-sabah-berkembang/ https://sabahmedia.com/2026/10/16/kkpac-buka-lebih-banyak-ruang-untuk-bakat-seni-sabah-berkembang/#respond Thu, 15 Oct 2026 22:44:47 +0000 https://sabahmedia.com/?p=105440
Read Time:1 Minute, 30 Second

KOTA KINABALU: Pembangunan Projek Pusat Seni Persembahan Kota Kinabalu (KKPAC) dijangka membuka lebih banyak ruang kepada penggiat seni tempatan, khususnya golongan muda, untuk mengembangkan bakat dan kreativiti dalam bidang seni persembahan.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin, berkata kemudahan yang akan dibangunkan di tapak Wisma Budaya itu bakal menyediakan platform lebih tersusun bagi aktiviti seni dan kebudayaan di negeri ini.

Katanya, KKPAC akan dilengkapi auditorium persembahan, teater kotak hitam, studio tarian, dewan latihan serta pelbagai kemudahan lain yang boleh digunakan bagi penganjuran program seni dan kebudayaan.

“KKPAC akan menjadi hab penting untuk seni persembahan dan program kebudayaan, selain menyediakan ruang khusus bagi memupuk bakat tempatan dan menyokong pertumbuhan industri kreatif.

“Generasi muda juga akan mempunyai ruang khusus untuk berlatih, meneroka kreativiti dan membuat persembahan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurutnya, kewujudan pusat berkenaan turut dijangka merancakkan penganjuran lebih banyak konsert dan persembahan yang mengetengahkan bakat serta karya anak tempatan.

Jafry berkata, pembangunan KKPAC juga mempunyai potensi memberi manfaat lebih besar kepada ekosistem industri kreatif Sabah dengan menyediakan kemudahan yang dapat digunakan secara berterusan oleh penggiat seni.

Katanya, kemudahan berkenaan pada masa sama boleh membantu Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS) memperkukuh operasinya serta menjana pendapatan melalui program kebudayaan, penganjuran acara dan penyewaan kemudahan.

“Ini adalah sebahagian daripada usaha kita untuk memastikan institusi kebudayaan Sabah mempunyai kemudahan yang sesuai dengan keperluan masa depan.

“Matlamat kita bukan sahaja menyediakan infrastruktur, tetapi memastikan kemudahan ini memberi manfaat jangka panjang kepada penggiat seni dan rakyat Sabah,” katanya.

Jafry berkata, pelaksanaan projek itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memperkukuh sektor kebudayaan dan seni persembahan sebagai sebahagian daripada pembangunan industri kreatif Sabah.

Beliau yakin kemudahan berkenaan mampu menjadi antara platform penting dalam melahirkan lebih ramai bakat tempatan serta meningkatkan peluang untuk karya dan persembahan dari Sabah diketengahkan kepada khalayak lebih luas.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/10/16/kkpac-buka-lebih-banyak-ruang-untuk-bakat-seni-sabah-berkembang/feed/ 0 105440
Jafry arah semakan keselamatan resort di Semporna https://sabahmedia.com/2026/09/21/jafry-arah-semakan-keselamatan-resort-di-semporna/ https://sabahmedia.com/2026/09/21/jafry-arah-semakan-keselamatan-resort-di-semporna/#respond Mon, 21 Sep 2026 06:02:37 +0000 https://sabahmedia.com/?p=103855
Read Time:1 Minute, 20 Second

KOTA KINABALU: Pihak berkuasa pelancongan Sabah diarah supaya segera meneliti status pelesenan serta aspek keselamatan dan sekuriti sebuah pusat penginapan di Semporna susulan kejadian membabitkan seorang pelancong dari China.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin, berkata semakan itu penting bagi memastikan sebarang kelemahan yang dikenal pasti dapat ditangani segera.

“Saya telah mengarahkan pihak berkuasa pelancongan yang berkaitan supaya segera melihat ke dalam pusat penginapan berkenaan, termasuk status pelesenan dan langkah-langkah keselamatan serta sekuritinya,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata pihak berkuasa pelancongan turut diminta berkoordinasi dengan agensi penguat kuasa berkaitan sekiranya tindakan lanjut diperlukan.

Katanya, langkah itu susulan kejadian yang dilaporkan melibatkan seorang pelancong dari China di sebuah pusat peranginan di Semporna.

Jafry berkata beliau memandang serius kejadian berkenaan dan menegaskan bahawa keselamatan serta sekuriti setiap pelawat ke Sabah perlu kekal sebagai keutamaan.

“Saya mengalu-alukan tindakan pantas pihak polis dalam menahan seorang suspek dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan menyeluruh tanpa sebarang spekulasi,” katanya.

Menurutnya, sebarang kelemahan yang dikenal pasti hasil semakan perlu ditangani tanpa berlengah.

Beliau pada masa sama mengingatkan pengusaha pelancongan, khususnya penyedia penginapan, mengenai tanggungjawab mereka dalam memastikan premis masing-masing menyediakan persekitaran yang selamat dan terjamin kepada tetamu.

Katanya, tanggungjawab tersebut amat penting bagi memastikan keselamatan pengunjung sentiasa diberi perhatian ketika mereka berada di premis penginapan.

Jafry berkata perkara itu juga selari dengan usaha Sabah memperkukuh sektor pelancongan menjelang Tahun Melawat Sabah 2027.

“Menjelang Tahun Melawat Sabah 2027, kita tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan pelawat.

“Sabah mesti terus menjadi destinasi di mana para pelawat berasa selamat, dihormati dan dialu-alukan,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/09/21/jafry-arah-semakan-keselamatan-resort-di-semporna/feed/ 0 103855
Pengiktirafan AS terhadap peningkatan keselamatan, lonjak keyakinan pelancong Sabah – Jafry https://sabahmedia.com/2026/09/03/pengiktirafan-as-terhadap-peningkatan-keselamatan-lonjak-keyakinan-pelancong-sabah-jafry/ https://sabahmedia.com/2026/09/03/pengiktirafan-as-terhadap-peningkatan-keselamatan-lonjak-keyakinan-pelancong-sabah-jafry/#respond Thu, 03 Sep 2026 10:59:31 +0000 https://sabahmedia.com/?p=102728
Read Time:2 Minute, 19 Second

BERNAMA

KOTA KINABALU :  Sabah menyambut baik pengiktirafan Amerika Syarikat (AS) terhadap situasi keselamatan negeri itu yang semakin baik, sambil menyatakan bahawa perkembangan tersebut boleh mengukuhkan lagi keyakinan antarabangsa terhadap Sabah, menjelang Tahun Melawat Sabah 2027.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Ariffin berkata kenyataan oleh Kuasa Usaha Kedutaan AS di Kuala Lumpur David Gamble, bahawa Sabah kini berada di bawah status perjalanan yang lebih longgar sebagai positif dan tepat pada masanya.

“Pengiktirafan ini mencerminkan keyakinan antarabangsa yang semakin meningkat terhadap keselamatan dan kestabilan Sabah. Ia juga menghantar mesej yang jelas kepada dunia, bahawa Sabah destinasi yang selamat dan stabil, bersedia untuk menyambut lebih ramai pelawat antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

AS pada bulan Februari, meletakkan sebahagian besar kawasan di Sabah pada Tahap 1, menasihatkan pelancong untuk mengambil langkah berjaga-jaga yang biasa, manakala pulau-pulau dan kawasan maritim di luar pantai timur Sabah kekal pada Tahap 2.

Perkembangan itu menyusuli keputusan Jepun pada bulan Jun untuk menurunkan nasihat perjalanannya bagi kawasan pesisir pantai Timur Sabah, yang merangkumi Kudat hingga Tawau, daripada Tahap 2 kepada Tahap 1, manakala beberapa pulau di Timur Sabah telah diturunkan daripada Tahap 3 kepada Tahap 2.

Mengikut sistem nasihat perjalanan empat peringkat, masing-masing Jepun dan Amerika Syarikat mengklasifikasikan Tahap 1 sebagai risiko paling rendah, manakala Tahap 2 menunjukkan tahap berhati-hati yang lebih tinggi bagi pelancong.

Tahap 3 pula menasihatkan agar tidak melakukan perjalanan disebabkan risiko keselamatan yang serius, manakala Tahap 4, iaitu tahap amaran tertinggi, menggesa pelancong untuk mengelakkan destinasi tersebut sepenuhnya atau beredar dengan segera berikutan bahaya yang melampau.

Jafry berkata pelonggaran nasihat perjalanan itu mencerminkan keberkesanan usaha keselamatan berterusan yang dijalankan oleh Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, dan agensi-agensi berkaitan yang lain.

“Usaha-usaha keselamatan ini mesti diteruskan secara konsisten, memandangkan keyakinan pelancong adalah asas kepada pertumbuhan industri pelancongan Sabah,” katanya.

Beliau menzahirkan harapan agar penilaian yang bertambah baik itu, akan menggalakkan lebih banyak negara untuk menilai semula nasihat perjalanan masing-masing berdasarkan situasi keselamatan semasa dan maklumat yang tepat.

Jafry berkata pelonggaran nasihat perjalanan itu berpotensi melonjakkan ketibaan pelancong, mengukuhkan keyakinan dalam kalangan syarikat penerbangan dan pelabur, serta memberi manfaat secara langsung kepada pengusaha pelancongan dan komuniti tempatan.

“Pada ketika kita melangkah ke arah Tahun Melawat Sabah 2027, keyakinan antarabangsa yang semakin bertambah ini akan mengukuhkan lagi usaha kita untuk meletakkan Sabah sebagai destinasi pelancongan pilihan, selamat, dan bertanggungjawab di rantau ini.

“Sabah menawarkan khazanah alam semula jadi yang menakjubkan, hidupan liar yang unik, pulau-pulau bertaraf dunia dan kepelbagaian budaya yang kaya. Kami dengan penuh mesra mengalu-alukan kedatangan pelawat dari Amerika Syarikat, Jepun dan seluruh dunia, untuk merasai sendiri keindahan dan keramahan Sabah. Sabah adalah selamat, stabil, dan bersedia,” katanya. — BERNAMA

]]>
https://sabahmedia.com/2026/09/03/pengiktirafan-as-terhadap-peningkatan-keselamatan-lonjak-keyakinan-pelancong-sabah-jafry/feed/ 0 102728
Pemain industri pelancongan digalak teroka peluang baharu https://sabahmedia.com/2026/08/10/pemain-industri-pelancongan-digalak-teroka-peluang-baharu/ https://sabahmedia.com/2026/08/10/pemain-industri-pelancongan-digalak-teroka-peluang-baharu/#respond Mon, 10 Aug 2026 12:25:06 +0000 https://sabahmedia.com/?p=101349
Read Time:45 Second

KOTA KINABALU: Pemain industri pelancongan di Sabah digalakkan meneroka peluang baharu bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri, selaras dengan komitmen Kerajaan Negeri untuk terus menyokong pembangunan sektor pelancongan.

Timbalan Ketua Menteri Sabah II, Datuk Seri Masidi Manjun yang juga Menteri Kewangan berkata, kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan pemain industri amat penting dalam memperkukuh ekosistem pelancongan, selain meningkatkan daya tarikan Sabah sebagai destinasi pilihan.

“Syarikat pelancongan perlu terus memainkan peranan aktif dalam menyokong pembangunan ekonomi negeri melalui sektor pelancongan yang berdaya saing dan mampan, selaras dengan aspirasi Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat daripada Sedco Travel & Tours yang diketuai Pengerusinya, Mohd Shukor Mumin, di pejabatnya, di sini, hari ini.

Dalam kunjungan itu, Masidi turut diberi taklimat mengenai perkembangan semasa syarikat serta potensi untuk memperkukuh sektor pelancongan dan ekonomi negeri.

Ini juga termasuk usaha memperluas perkhidmatan yang mampu memberi nilai tambah kepada Sabah.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/08/10/pemain-industri-pelancongan-digalak-teroka-peluang-baharu/feed/ 0 101349
Sabah, Melaka teroka kerjasama bangunkan produk pelancongan berasaskan warisan dan budaya https://sabahmedia.com/2026/07/31/sabah-melaka-teroka-kerjasama-bangunkan-produk-pelancongan-berasaskan-warisan-dan-budaya/ https://sabahmedia.com/2026/07/31/sabah-melaka-teroka-kerjasama-bangunkan-produk-pelancongan-berasaskan-warisan-dan-budaya/#respond Fri, 31 Jul 2026 05:50:44 +0000 https://sabahmedia.com/?p=100840
Read Time:1 Minute, 45 Second

ALOR GAJAH: Sabah dan Melaka meneroka peluang kerjasama dalam pembangunan produk pelancongan berasaskan warisan dan budaya sebagai usaha memperkukuhkan daya tarikan pelancongan serta memelihara khazanah sejarah kedua-dua negeri.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, perkara itu menjadi antara fokus utama dalam Sesi Libat Urus Strategik bersama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Negeri Melaka, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman yang berlangsung di Park Royal A Famosa, di sini.

Beliau berkata, kedua-dua pihak turut membincangkan potensi kerjasama dalam pemuliharaan tapak warisan, pengurusan muzium, pembangunan industri kreatif serta pertukaran kepakaran antara agensi berkaitan.

“Kerjasama ini membuka peluang kepada Sabah dan Melaka untuk membangunkan produk pelancongan yang berteraskan warisan dan budaya, sekali gus memperkayakan pengalaman pelawat serta meningkatkan nilai industri pelancongan negara.

“Usaha ini juga dapat memastikan khazanah sejarah dan budaya terus dipelihara serta dimanfaatkan sebagai aset penting pembangunan pelancongan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, Sabah dan Melaka mempunyai kekuatan tersendiri yang boleh digabungkan bagi menghasilkan produk pelancongan yang lebih unik dan berdaya saing.

Katanya, Sabah terkenal dengan kekayaan biodiversiti, ekopelancongan dan kepelbagaian budaya masyarakat pelbagai etnik, manakala Melaka pula memiliki kelebihan sebagai Bandar Warisan Dunia UNESCO yang kaya dengan sejarah dan warisan.

Beliau berkata, sesi libat urus itu turut membuka ruang kepada pertukaran pandangan dan perkongsian amalan terbaik bagi memperkukuhkan pembangunan sektor pelancongan, warisan dan kebudayaan di kedua-dua negeri.

Selain itu, kedua-dua pihak turut membincangkan usaha memperluaskan kerjasama melalui promosi pelancongan bersama, pertukaran maklumat teknikal serta pembangunan pakej pelancongan yang menghubungkan destinasi utama di Sabah dan Melaka.

Jafry berkata, kerjasama rentas negeri seperti itu penting bagi memastikan Malaysia terus menawarkan pengalaman pelancongan yang pelbagai, berkualiti dan berdaya saing selaras dengan usaha meningkatkan ketibaan pelancong.

“Saya percaya hubungan erat antara Sabah dan Melaka akan terus diperkukuhkan melalui kerjasama strategik yang memberi manfaat kepada industri, komuniti setempat dan ekonomi negeri, sekali gus menyumbang kepada agenda pembangunan pelancongan negara secara menyeluruh,” katanya.

Sesi libat urus berkenaan turut dihadiri barisan kepimpinan, ketua jabatan serta agensi pelancongan, warisan dan kebudayaan Negeri Melaka bagi membincangkan pelbagai inisiatif yang berpotensi dilaksanakan secara bersama pada masa hadapan.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/07/31/sabah-melaka-teroka-kerjasama-bangunkan-produk-pelancongan-berasaskan-warisan-dan-budaya/feed/ 0 100840
Kaji semula pelaksanaan subsidi diesel bagi pengusaha pelancongan di Sabah – Jafry https://sabahmedia.com/2026/07/20/kaji-semula-pelaksanaan-subsidi-diesel-bagi-pengusaha-pelancongan-di-sabah-jafry/ https://sabahmedia.com/2026/07/20/kaji-semula-pelaksanaan-subsidi-diesel-bagi-pengusaha-pelancongan-di-sabah-jafry/#respond Mon, 20 Jul 2026 08:31:49 +0000 https://sabahmedia.com/?p=100193
Read Time:1 Minute, 37 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan digesa mempertimbangkan semula pelaksanaan subsidi diesel bagi pengusaha pelancongan di Sabah yang kini berdepan peningkatan kos operasi susulan pelaksanaan dasar berkenaan.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, isu itu tidak boleh dipandang ringan kerana ramai pengusaha pelancongan di negeri ini, khususnya di kawasan pulau dan destinasi luar bandar, bergantung kepada diesel untuk menggerakkan bot pelancong, menjana bekalan elektrik serta memastikan operasi harian berjalan lancar.

Beliau berkata, tanpa penyelesaian segera, ramai pengusaha dijangka berdepan tekanan kewangan yang serius sehingga berkemungkinan terpaksa mengurangkan operasi, memberhentikan pekerja atau menutup perniagaan seperti yang berlaku ketika pandemik COVID-19.

“Kita tidak boleh membiarkan industri yang sedang bangkit semula selepas pandemik kembali terjejas hanya kerana kos operasi yang semakin membebankan,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Menurut Jafry, sektor pelancongan merupakan antara tonggak utama ekonomi Sabah dengan menyumbang kira-kira 12 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri.

Katanya, industri itu turut menjana sehingga RM13.7 bilion hasil tahunan serta menyediakan sekitar 387,600 peluang pekerjaan, mewakili lebih 22 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja di Sabah.

“Ini bukan sekadar soal subsidi diesel. Ini adalah soal kelangsungan ekonomi negeri, kelangsungan ribuan perusahaan tempatan serta mata pencarian ratusan ribu rakyat Sabah yang bergantung secara langsung dan tidak langsung kepada industri pelancongan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mendesak Kerajaan Persekutuan mengambil kira realiti geografi Sabah serta keunikan operasi industri pelancongan negeri dengan memperkenalkan mekanisme subsidi diesel yang lebih adil, fleksibel dan bersasar kepada pengusaha pelancongan yang benar-benar layak.

Jafry berkata, melindungi industri pelancongan hari ini bermakna melindungi ekonomi Sabah pada masa depan kerana keputusan yang dibuat ketika ini akan menentukan sama ada industri berkenaan terus berkembang atau kembali berdepan krisis seperti yang dialami ketika pandemik COVID-19.

Beliau menegaskan Kerajaan Negeri akan terus membawa suara pemain industri dan berharap Kerajaan Persekutuan dapat bertindak segera bagi memastikan sektor pelancongan Sabah kekal berdaya saing, mampan serta terus menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi negeri.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/07/20/kaji-semula-pelaksanaan-subsidi-diesel-bagi-pengusaha-pelancongan-di-sabah-jafry/feed/ 0 100193
Sabah alu-alukan pelabur serius, utamakan kerjasama mampan dan saling menguntungkan https://sabahmedia.com/2026/07/13/sabah-alu-alukan-pelabur-serius-utamakan-kerjasama-mampan-dan-saling-menguntungkan/ https://sabahmedia.com/2026/07/13/sabah-alu-alukan-pelabur-serius-utamakan-kerjasama-mampan-dan-saling-menguntungkan/#respond Mon, 13 Jul 2026 02:32:21 +0000 https://sabahmedia.com/?p=99776
Read Time:3 Minute, 3 Second

KOTA KINABALU: Sabah mengalu-alukan pelabur yang serius untuk mewujudkan kerjasama strategik yang saling menguntungkan, khususnya dalam memacu pembangunan mampan dan pertumbuhan ekonomi inklusif di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, transformasi ekonomi Sabah kini menunjukkan perkembangan membanggakan apabila negeri itu berjaya beralih daripada ekonomi berasaskan sektor primer kepada ekonomi yang lebih pelbagai dan dinamik.

“Selaras dengan matlamat ekonomi Malaysia secara keseluruhannya, komitmen kita terhadap pertumbuhan kekal teguh. Sabah terbuka untuk pelaburan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sidang Kemuncak Pelaburan Impak Asia Pasifik bagi Pembangunan Mampan Sabah di Magellan Sutera di sini pada Isnin.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Masidi Manjun.

Hajiji berkata sidang kemuncak itu amat bertepatan pada masanya kerana menyediakan platform kepada pemimpin pemikiran untuk membincangkan satu tonggak penting iaitu pelaburan impak dalam konteks pembangunan mampan.

“Kami mengiktiraf bahawa pelaburan impak pada asasnya melibatkan penyaluran modal kepada pelaburan yang menjana manfaat sosial dan alam sekitar yang boleh diukur, di samping memberikan pulangan kewangan.

“Sabah menantikan pelabur yang mampu menggabungkan kepakaran, pengalaman dan pembiayaan bagi memacu pembangunan yang inklusif dari segi sosial dan ekologi dengan hasil yang nyata,” katanya.

Hajiji berkata, sidang kemuncak itu menandakan satu langkah penting dalam perjalanan Sabah untuk muncul sebagai antara hab utama pembangunan mampan dan pelaburan impak di rantau Asia Pasifik.

Beliau berkata, hanya dua bulan lalu beliau telah berucap pada Sidang Kemuncak Kelestarian di sini dan menjelaskan bahawa jauh sebelum kelestarian menjadi agenda antarabangsa, Sabah telah pun melindungi hutan, lautan, hidupan liar serta antara ekosistem terkaya di rantau ini.

“Sabah telah menyumbang bukan sekadar melalui kata-kata, tetapi menerusi dasar, pengurusan tanah yang bertanggungjawab serta pengorbanan yang nyata.

“Hari ini, kita berbangga kerana hampir 30 peratus keluasan tanah Sabah berada di bawah Kawasan Perlindungan Sepenuhnya (Totally Protected Areas). Kita juga mengekalkan status sebagai penyerap karbon bersih (negeri karbon negatif) berdasarkan data inventori gas rumah hijau, disokong oleh kawasan hutan yang luas yang memperkukuh kapasiti negara menyerap karbon.

“Pendekatan pengurusan hutan secara inklusif yang dibangunkan bersama komuniti tempatan membolehkan kita mengekalkan keseimbangan antara pemuliharaan alam sekitar dan kesejahteraan sosioekonomi rakyat. Keluar sahaja dari bangunan ini, anda akan dapat merasainya. Jiwa dan semangat Sabah berakar umbi daripada warisan semula jadi kita. Itulah identiti kita,” katanya.

Pada masa sama, Hajiji menegaskan bahawa keperluan pembangunan Sabah masih nyata dan mendesak.

“Kita memerlukan jalan raya yang lebih baik, bekalan elektrik yang lebih stabil, bekalan air yang lebih bersih serta peluang ekonomi yang lebih luas. Rakyat memerlukan peningkatan taraf hidup yang nyata. Dan pendirian kita jelas, kita tidak boleh mengejar pertumbuhan dengan mengorbankan alam sekitar yang menjadi sandaran kita untuk jangka panjang.

“Persoalan yang perlu kita jawab bukanlah sama ada memilih kelestarian atau pembangunan. Sebaliknya, bagaimana kita membina dan mengamalkan satu model baharu yang belum diterokai, di mana kelestarian menjadi pemacu kepada pertumbuhan ekonomi sebenar.

“Itulah tema sidang kemuncak ini dan ia merupakan cabaran utama serta peluang terbesar bagi pentadbiran saya,” katanya.

Menurut beliau, rantau Asia Pasifik berada pada landasan pertumbuhan yang memberangsangkan, didorong oleh ekonomi yang dinamik, proses pembandaran yang pesat serta potensi pasaran yang semakin berkembang, sekali gus menjadikannya destinasi utama peluang pelaburan.

“Dunia kini memandang ke arah Asia Pasifik bukan sahaja kerana potensi ekonominya, tetapi juga kerana kepimpinan pemikiran dalam sektor-sektor utama seperti teknologi, tenaga hijau dan pembangunan mampan.

“Forum seperti sidang kemuncak ini menyediakan platform terbaik kepada pemimpin industri untuk menjalin kerjasama global serta memperkenalkan penyelesaian yang bersifat transformatif,” katanya.

Hajiji turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi George Town Institute of Open and Advanced Studies (GIOAS) di Wawasan Open University, Pulau Pinang, Tan Sri Andrew Sheng, dan pasukannya kerana bersama-sama menganjurkan sidang kemuncak itu dengan Kerajaan Negeri melalui Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/07/13/sabah-alu-alukan-pelabur-serius-utamakan-kerjasama-mampan-dan-saling-menguntungkan/feed/ 0 99776
Kerajaan tidak bercadang salur subsidi kepada sektor pelancongan https://sabahmedia.com/2026/07/05/kerajaan-tidak-bercadang-salur-subsidi-kepada-sektor-pelancongan/ https://sabahmedia.com/2026/07/05/kerajaan-tidak-bercadang-salur-subsidi-kepada-sektor-pelancongan/#respond Sun, 05 Jul 2026 06:03:02 +0000 https://sabahmedia.com/?p=99366
Read Time:2 Minute, 3 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

KOTA KINABALU : Kerajaan tidak bercadang untuk menyalurkan subsidi kepada sektor pelancongan kerana dasar subsidi negara kekal berteraskan kepentingan rakyat Malaysia dan bukannya pelancong asing.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, walaupun sektor pelancongan merupakan antara industri penting yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara, pemberian subsidi kepada sektor itu tidak menepati matlamat pelaksanaan subsidi bersasar kerajaan.

Beliau berkata, manfaat subsidi yang disalurkan kepada sektor pelancongan akhirnya akan dinikmati oleh pelancong, termasuk warga asing, sedangkan subsidi yang dibiayai melalui hasil negara sepatutnya memberi manfaat kepada rakyat Malaysia.

“Pelancongan adalah satu sektor yang penting untuk negara. Malaysia juga bergantung kepada pelancongan sebagai satu sektor industri yang penting.

“Namun, kalau sektor pelancongan menerima subsidi, manfaat itu akan sampai kepada pelancong. Jadi mereka adalah kumpulan yang kita rasa sebenarnya tidak layak untuk mendapat subsidi daripada hasil yang kita kumpul dalam negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan turun padang BUDI Diesel @ Shell di Stesen Shell Jalan Sulaman, Wisma Innoprise di sini pada Ahad.

Amir Hamzah berkata demikian bagi menjawab pertanyaan mengenai permintaan sektor pelancongan di Sabah yang mendakwa tidak menerima manfaat subsidi kerajaan.

Menurutnya, kerajaan sejak awal menetapkan bahawa pelaksanaan subsidi bersasar adalah bagi memastikan bantuan menggunakan dana awam disalurkan kepada golongan yang benar-benar layak, iaitu rakyat Malaysia.

Katanya, prinsip itu turut menjadi asas kepada pelaksanaan Program BUDI 95 dan BUDI Diesel yang diperkenalkan bagi memastikan subsidi tidak dinikmati oleh pihak yang tidak menjadi sasaran.

“Masa kita buat BUDI 95 dan BUDI Diesel, matlamatnya adalah untuk memberi subsidi kepada rakyat kita, bukan kepada rakyat asing.

“Jadi pelancong perlu membayar harga yang sepatutnya,” katanya.

Beliau berkata, walaupun kerajaan tidak bercadang memperluaskan subsidi kepada sektor pelancongan, ia tidak bermaksud pembangunan industri berkenaan tidak diberi perhatian.

Sebaliknya, katanya, kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh daya saing sektor pelancongan melalui pembangunan infrastruktur, peningkatan kemudahan awam dan penambahbaikan akses ke destinasi pelancongan.

“Untuk sektor pelancongan, apa yang lebih penting bagi kita ialah melihat bagaimana membangunkan sektor ini dan menyediakan infrastruktur yang memudahkan pelancong datang ke Malaysia, khususnya Sabah dan Sarawak,” katanya.

Menurut beliau, kerajaan juga akan memberi perhatian terhadap usaha meningkatkan kecekapan lapangan terbang, memperluaskan hubungan udara dan menarik lebih banyak syarikat penerbangan antarabangsa supaya lebih ramai pelancong memilih Malaysia sebagai destinasi mereka.

Di samping itu, Amir Hamzah berkata pembangunan produk serta tarikan pelancongan akan terus diperkasakan bagi memberi lebih banyak pilihan kepada pelawat dan menggalakkan mereka tinggal lebih lama di negara ini. – SABAH MEDIA

]]>
https://sabahmedia.com/2026/07/05/kerajaan-tidak-bercadang-salur-subsidi-kepada-sektor-pelancongan/feed/ 0 99366
Pengusaha pelancongan Sabah perlukan mekanisme khas subsidi diesel – Jafry https://sabahmedia.com/2026/07/01/pengusaha-pelancongan-sabah-perlukan-mekanisme-khas-subsidi-diesel-jafry/ https://sabahmedia.com/2026/07/01/pengusaha-pelancongan-sabah-perlukan-mekanisme-khas-subsidi-diesel-jafry/#respond Wed, 01 Jul 2026 12:17:41 +0000 https://sabahmedia.com/?p=99208
Read Time:1 Minute, 33 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan disaran mempertimbangkan penyertaan sektor pelancongan dalam mekanisme subsidi diesel bersasar bagi mengurangkan beban kos operasi yang ditanggung pengusaha pelancongan di negeri ini.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, sektor pelancongan, khususnya pengusaha resort di pulau-pulau, pengendali bot pelancongan dan operator aktiviti marin, bergantung sepenuhnya kepada diesel untuk memastikan operasi harian berjalan lancar.

Beliau berkata, keadaan itu berbeza dengan kebanyakan kawasan di Semenanjung kerana banyak destinasi pelancongan di Sabah tidak mempunyai sambungan kepada grid elektrik.

“Diesel bukan lagi satu pilihan kepada pengusaha pelancongan di pulau-pulau, sebaliknya merupakan keperluan asas untuk menjana bekalan elektrik, mengendalikan bot, logistik dan keseluruhan operasi perniagaan.

“Namun, sebahagian besar daripada mereka tidak termasuk dalam kategori yang layak di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS),” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut beliau, keadaan itu menyebabkan pengusaha terpaksa menanggung kos operasi yang jauh lebih tinggi tanpa sebarang bentuk bantuan, sekali gus memberi tekanan kepada kelangsungan perniagaan.

Katanya, situasi itu lebih mencabar memandangkan industri pelancongan Sabah masih belum memasuki musim kemuncak ketibaan pelancong, menyebabkan hasil perniagaan belum pulih sepenuhnya.

“Peningkatan kos operasi menghakis margin keuntungan, menjejaskan aliran tunai dan menyukarkan pengusaha untuk menampung kos utiliti, penyelenggaraan, logistik serta mengekalkan tenaga kerja.

“Jika tiada penyelesaian yang bersesuaian, keadaan ini boleh memberi kesan kepada kelangsungan industri pelancongan negeri,” katanya.

Sehubungan itu, Jafry mencadangkan supaya Kerajaan Persekutuan memasukkan sektor pelancongan sebagai antara sektor yang layak menerima subsidi diesel bersasar atau mewujudkan mekanisme khas bagi pengusaha yang beroperasi di pulau-pulau dan kawasan pedalaman.

Beliau berkata, langkah itu penting bagi memastikan pengusaha tidak terus dibebani peningkatan kos operasi sehingga menjejaskan daya saing industri pelancongan Sabah.

Menurutnya, sektor pelancongan merupakan antara penyumbang utama ekonomi negeri serta menyediakan peluang pekerjaan kepada ribuan rakyat, justeru dasar berkaitan subsidi diesel perlu mengambil kira realiti operasi industri di Sabah agar pembangunan sektor itu dapat diteruskan secara mampan.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/07/01/pengusaha-pelancongan-sabah-perlukan-mekanisme-khas-subsidi-diesel-jafry/feed/ 0 99208