Oleh J. EVACHEL JOHN
KOTA KINABALU: Seorang pemandu yang diberi kepercayaan untuk menghantar dan mengambil dua kanak-kanak dari Tabika dijatuhi hukuman penjara 20 tahun dan tiga sebatan selepas mengaku bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap mereka.
Rusli Japar, 54, mengaku bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Amir Shah Amir Hassan, terhadap tiga pertuduhan yang dibacakan kepadanya.
Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Rusli melakukan kesalahan itu terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun di dalam sebuah kereta ketika dalam perjalanan pulang dari Tabika ke rumah, serta di sebuah rumah tanpa nombor di daerah Tuaran, antara Mac hingga Disember 2024.
Bagi pertuduhan ketiga, Rusli melakukan kesalahan yang sama terhadap seorang lagi kanak-kanak perempuan berusia lima tahun di dalam sebuah kereta ketika menghantar mangsa dari rumah ke Tabika pada tahun 2022.
Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Mahkamah menjatuhkan hukuman 10 tahun penjara dan satu sebatan bagi setiap pertuduhan. Bagaimanapun, hukuman bagi pertuduhan pertama dan kedua diperintahkan berjalan serentak, tetapi berasingan dengan pertuduhan ketiga, yang melibatkan mangsa lain.
Tertuduh diperintahkan menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapan, 26 Februari 2025.
Mahkamah juga memerintahkan tertuduh menjalani kaunseling pemulihan selama dua tahun semasa dalam tahanan serta diletakkan di bawah pengawasan polis selama dua tahun setelah selesai menjalani hukuman.
Berdasarkan fakta kes mangsa bagi pertuduhan pertama dan kedua memaklumkan kejadian cabul tersebut kepada ibunya, manakala mangsa bagi pertuduhan ketiga memberitahu ayahnya. Laporan polis dibuat pada 26 Februari 2025, yang membawa kepada penangkapan tertuduh.
Dalam rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar dikenakan hukuman ringan atas alasan mempunyai seorang isteri dan dua anak. Dia juga memohon agar hukuman penjara dijalankan serentak.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Yousof Tahir Mahmood menegaskan bahawa hukuman berat perlu dikenakan kerana tertuduh bukan sahaja mengkhianati kepercayaan keluarga mangsa tetapi juga menyebabkan trauma kepada kanak-kanak berusia lima tahun.
Pendakwaan juga menegaskan bahawa kes ini adalah serius, melibatkan kepentingan awam, selain mengambil kira peningkatan kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak. Oleh itu, pendakwa meminta hukuman penjara bagi setiap pertuduhan dijalankan berasingan kerana masa dan tempat kejadian adalah berbeza.
]]>KOTA KINABALU: Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah memaklumkan penahanan lapan pegawai serta anggota Pasukan Kawalan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) yang mengaitkan pembunuhan seorang lelaki di Tawau baru-baru ini dipercayai bermotifkan cemburu.
Katanya, susulan kes tersebut setakat ini pihak polis telah menahan lapan pegawai dan anggota polis serta tiga orang awam yang boleh membantu siasatan kes.
“Walaubagaimanapun salah seorang orang awam yang ditahan telah dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Kes tersebut lebih kepada bermotifkan cemburu yang mana tertuduh ialah isteri kepada si mati,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sabah hari ini.
Dalam pada itu Idris turut menjelaskan siasatan kes masih diteruskan dan menjalankan siasatan atas tangkapan-tangkapan yang telah ditahan serta mengumpul bukti-bukti kes.
“Cukup bukti dan keterangan, mungkin kita akan rujuk balik kepada siasatan dan kepada Yang Arif Timbalan Pendakwa Raya untuk mendapatkan arahan seterusnya,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa dalam kes tersebut tidak ada apa-apa isu yang menggugat keselamatan dan ini lebih kepada isu peribadi.
Terdahulu, dalam kejadian 13 Januari lalu, seorang pemandu e-hailing dikenali sebagai Nurman Bakaratu, 61, ditemui mati di sebuah ladang sawit, berhampiran Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), di Batu 5, di daerah Tawau.
Berhubung kes tersebut, berita melaporkan dengan penahanan lapan orang termasuk pegawai dan anggota polis untuk membantu siasatan.
]]>Oleh NORMIMIE DIUN
SANDAKAN: Dua individu yang sedang memandu kereta masing-masing nyaris dihempap pokok tumbang dalam satu kejadian di jalan berhadapan Hotel Sabah dekat sini, pada Sabtu pagi.
Menurut satu kenyataan media Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah hari ini, dalam kejadian 6.32 pagi tadi (1 Januari 2022) pihak bomba menerima panggilan kecemasan berkenaan pokok tumbang di hadapan Hotel Sabah.

“Pasukan bomba tiba di lokasi kejadian mendapati sebatang pokok besar tumbang menghempap dua buah kenderaan jenis Proton saga dan Proton Axia yang melalui jalan tersebut.
“Bagaimanapun difahamkan kedua-dua pemandu kenderaan terbabit tidak mengalami apa-apa kecederaan.
“Pasukan operasi telah menjalankan kerja-kerja memotong dan mengalihkan pokok yang tumbang itu sehingga operasi selesai,” katanya.
]]>KOTA KINABALU: Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah mengumumkan Bantuan one-off sebanyak RM500 di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat Dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA Plus) Fasa 2 kepada 325 orang pemandu pengangkutan awam di Sabah dan Labuan akan mula disalurkan Selasa ini (7 September 2021) melibatkan RM162 ribu peruntukan.
Pengerusi LPKP Dato’ Chin Kim Hiung berkata, bayaran bantuan PEMERKASA Plus Fasa 2 ini merupakan lanjutan daripada pembayaran PEMERKASA Plus Fasa 1 kepada 6496 orang pemandu pengangkutan awam di Sabah dan Labuan yang telah disalurkan bermula 27 Julai 2021 melibatkan RM3.2 juta peruntukan.
“Bagi pembayaran PEMERKASA Plus Fasa 2, seramai 198 orang adalah pemandu teksi dan kereta sewa (RM99,000 peruntukan), 79 orang pemandu E-Hailing (RM39,500 peruntukan), 40 orang pemandu bas sekolah (RM20,000 peruntukan), serta 8 orang pemandu bas pelancong (RM4,000 peruntukan).
“Selepas pembayaran PEMERKASA Plus Fasa 2 ini selesai, bermakna jumlah keseluruhan yang diperuntukan oleh kerajaan bagi menjaga kebajikan seramai 6821 orang pemandu pengangkutan awam di Sabah dan Labuan adalah sebanyak RM3.4 juta,” kata Chin dalam satu kenyataan medianya hari ini.
Katanya, jumlah peruntukan yang besar ini menunjukkan kerajaan tidak pernah mengabaikan nasib pemandu pengangkutan awam di Sabah dan Labuan yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19 yang melanda negara kita.
Beliau juga mengharapkan agar bantuan daripada kerajaan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban pemandu yang terlibat sepanjang tempoh pandemik ini.
“Suka juga diingatkan agar semua pemandu pengangkutan awam di Sabah sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan agar kita sama-sama dapat mengekang penularan pandemik COVID-19 di negara ini,” ujarnya lagi.
]]>KOTA KINABALU: Seramai 300 pemandu teksi dan bas sekolah daerah Sandakan menerima sumbangan bakul makanan daripada Bintulu Port Holding yang diadakan secara pandu lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Sandakan pagi tadi.
Penyampaian sumbangan telah disempurnakan oleh Setiausaha Politik Menteri Pengangkutan Malaysia, Ling Tian Soon bersama Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah, Dato’ Chin Kim Hiung.
Program tersebut telah dianjurkan bersama oleh Persatuan Bas Sekolah Daerah Sandakan dan Persatuan Teksi Seluruh Sabah serta sokongan Kementerian Pengangkutan Malaysia.
Turut hadir dalam program tersebut ialah Ketua Operasi Lapangan Terbang Sandakan, Gazzalih Hussain, Pengerusi Persatuan Teksi Seluruh Sabah, Hiew Su Vun serta Pengerusi Persatuan Bas Sekolah Seluruh Sabah, Lee Man Keong.
]]>KOTA KINABALU: Pemandu teksi yang mengamuk dan merempuh beberapa kenderaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) baru-baru ini, meninggal dunia.
Pemandu, Ng Chin Seng, 65, dipercayai meninggal dunia akibat kegagalan buah pinggang dan masalah kesihatan lain pada Isnin (9 Ogos).
Presiden Persatuan Limosin dan Teksi KKIA, Shamsuddin Mohd Shah berkata, dia diberitahu mengenai kematian Ng dari pemandu teksi lain.
“Ng mengalami kehidupan yang sukar, dia berada di bawah tekanan mental yang banyak, dia mempunyai masalah kesihatan, menjalani dialisis dan kami telah berusaha sebaik mungkin untuk membantu beliau,” katanya.
Menurut Shamsuddin, Ng tidak mempunyai kediaman tetap dan beliau tidur di dewan komuniti atau dalam keretanya sebelum ini sejak berpisah dengan isteri dan anak-anaknya.
Katanya, beberapa ahli persatuan akan pergi ke rumah pengebumian untuk memberi penghormatan terakhir kepada Ng sebelum pembakarannya pada hari Khamis (12 Ogos).
Ditanya mengenai kejadian 19 Julai di mana Ng merempuh beberapa teksi dan merosakkan kenderaan mereka kerana salah faham, Shamsuddin mengatakan bahawa mangsa yang kenderaannya terjejas tidak mengambil tindakan atau menuntut gantirugi mereka daripada Ng.
“Kita semua tahu masalahnya. Kita semua juga terkesan dengan pandemik ini, kita semua bergelut dalam banyak hal jadi itulah sebabnya mereka memutuskan untuk membiarkan saja perkara itu, ”katanya.
Shamsuddin merayu kepada kerajaan untuk melihat kesulitan pemandu teksi yang kehilangan sebahagian besar pendapatan mereka berikutan wabak Covid-19 yang telah melanda selama lebih dari satu tahun.
“Ini merupakan tahun yang sukar bagi semua orang, keadaan sekarang ini masih tidak baik bagi kami pemandu teksi lapangan terbang,” tambahnya.
]]>KOTA KINABALU: Bantuan one-off sebanyak RM500 di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat Dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA Plus) Fasa 1 kepada 2588 orang pemandu pengangkutan awam di Sabah akan mula disalurkan hari ini oleh Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah yang melibatkan RM1.29 juta peruntukan.
Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan Sabah, Dato’ Chin Kim Hiung berkata, pecahan jumlah penerima bantuan PEMERKASA Plus Fasa 1 ini merangkumi pemandu teksi dan kereta sewa seramai 1818 orang, diikuti oleh pemandu bas pelancong seramai 391 orang dan seterusnya pemandu bas sekolah seramai 379 orang.
“Penerima bantuan PEMERKASA Plus Fasa 1 ini merupakan penerima sedia ada yang telah menerima bantuan PERMAI dan Geran Khas Prihatin (GKP) yang akan menerima bantuan ini secara automatik menerusi akaun bank masing-masing,” kata Chin dalam satu kenyataan media hari ini.
LPKP Sabah juga telah menerima senarai nama bagi 4627 pemandu e-hailing daripada syarikat pengendali e-hailing (EHO) untuk saringan penerima bantuan PEMERKASA Plus iaitu seramai 4461 orang pemandu GRAB, 54 orang pemandu Maxim dan 112 orang pemandu MyCar.
Menurut Chin, jumlah pemandu e-hailing yang layak bantuan selepas saringan oleh LPKP Sabah adalah sebanyak 3690 orang pemandu GRAB, 44 orang pemandu Maxim dan 106 orang pemandu MyCar.
Walau bagaimanapun, jumlah selebihnya telah ditolak kerana tidak memenuhi syarat yang telah ditetapkan iaitu pemandu perlu mencapai sasaran pendapatan sekurang-kurangya RM500 sebulan dalam mana-mana tempoh dari Januari hingga Mei 2021 dan pemandu perlu mempunyai lesen EVP (e-vehicle permit) dan lesen PSV (public service vehicle) yang masih aktif pada atau selepas 31 Mac 2021.
Semakan bagi senarai pemandu e-hailing yang layak menerima bantuan PEMERKASA Plus boleh dibuat melalui pautan http://www.lpkpsabah.gov.my/pemerkasa.
Bagi mereka yang tidak layak, rayuan boleh dihantar kepada LPKP Sabah menerusi emel [email protected] beserta dokumen sokongan yang berkaitan sebelum 9 Ogos 2021.
Manakala, pembayaran bantuan bagi pemandu e-hailing akan dibuat selepas tempoh rayuan ditutup.
“Adalah diharapkan agar bantuan daripada kerajaan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban pemandu yang terlibat sepanjang tempoh pandemik ini.
“Suka juga diingatkan agar semua pemandu pengangkutan awam di Sabah sentiasa mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan agar kita sama-sama dapat mengekang penularan pandemik COVID-19 di negara ini,” tambahnya.
]]>KOTA KINABALU: Satu jawatankuasa pemandu telah ditubuhkan untuk mempercepatkan pengumpulan data mengenai kandungan sejarah dan aspek perundangan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Dr Maximus Ongkili berkata, Jawatankuasa Pemandu MA63 ini, yang terdiri daripada anggota Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak (BHESS), Sabah Law Society (SLS) dan Institute for Development Studies (IDS) Sabah, akan mengumpul fakta sejarah berkaitan pembentukan Malaysia 58 tahun yang lalu.
“Jawatankuasa Pemandu MA63 juga akan membentuk silibus mengenai MA63 dan pembentukan Malaysia untuk rujukan sekolah, pengajian tinggi dan orang ramai.
“Dikoordinasikan oleh BHESS, SLS dan dengan input daripada IDS and Kementerian Pendidikan Malaysia, serta para cendekiawan, akan berkerjasama membentuk silibus untuk golongan sasaran,” kata Maximus.
Bercakap selepas mempengerusikan mesyuarat secara maya bersama peguam kanan dari SLS, diketuai Presidennya Roger Chin, dan ahli lembaga IDS, diketuai Pengerusinya Datuk Dr Mohd Yaakub Johari, Isnin lalu, beliau menambah tujuan jawatankuasa pemandu ini ditubuhkan adalah untuk menghasilkan satu output yang boleh diterma secara sah dan akademik.
Ianya akan membantu menghapuskan tafsiran fakta yang salah dan tidak tepat, dan sebaliknya memberikan gambaran mengenai perjalanan peristiwa serta fakta perjanjian yang sebenar.
“Terdapat banyak tafsiran berkaitan MA63, dan kami berharap melalui penghasialn silibus pelajaran ini akan membantu membetulkan fakta yang salah. Kami berharap ia akan membantu memberi penerangan yang tepat kepada orang ramai mengenai gambaran sebenar penjanjian yang amat bersejarah ini,” ulas Maximus.
]]>KOTA KINABALU : Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah sedang mengumpul data maklumat semua pemandu teksi, kereta sewa, bas termasuk bas persiaran serta e-hailing di Sabah bagi membantu mereka mendapat suntikan vaksin COVID-19 menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
Sehubungan itu, Pengerusi LPKP Sabah, Dato’ Chin Kim Hiung mahu agar semua kumpulan pemandu yang terlibat ini mengambil peluang dengan mengisi borang di Facebook Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan Sabah sebelum atau pada 10 Julai 2021.
“Senarai nama yang diperolehi ini akan dihantar kepada Kementerian Pengangkutan Malaysia dan dimajukan kepada kementerian berkaitan bagi tujuan penyelarasan pendaftaran dan seterusnya mendapat suntikan vaksin COVID-19.
“Kerajaan mengiktiraf mereka ini sebagai kumpulan barisan hadapan yang turut memainkan peranan penting terutama dalam sektor pengangkutan.
Oleh itu, dengan melengkapkan dua dos suntikan maka adalah lebih mudah bagi mereka untuk beroperasi sepenuhnya semasa negara menghadapi pandemik COVID-19.
“Sebagai contohnya, apabila kerajaan Brunei Darussalam mewajibkan semua pemandu pengangkutan yang melalui sempadan negara itu untuk pergi atau balik ke Sarawak, banyak pemandu yang terjejas kerana kebanyakan mereka ini masih belum mendapat suntikan COVID-19,” kata Chin.
Selain itu, Chin berkata pendaftaran suntikan vaksin COVID-19 dalam kalangan kumpulan pemandu ini diharap dapat membantu kerajaan mencapai sasaran jumlah suntikan kepada rakyat Malaysia menerusi Program Imunisasi Kebangsaan COVID-19 (PICK) dan Pelan Pemulihan Negara seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini.
“Adalah menjadi hasrat kerajaan untuk mencapai sekurang-kurangnya 60 peratus rakyat negara ini melengkapkan dua dos suntikan vaksin COVID-19 menjelang November tahun ini bagi mencapai fasa keempat Pelan Pemulihan Negara dan seterusnya melaksanakan imuniti kelompok.
“Oleh itu, adalah menjadi peranan kita semua, termasuk kumpulan barisan hadapan pemandu ini untuk sama-sama menjayakan Pelan Pemulihan Negara bagi membebaskan negara ini dari COVID-19 dan akhirnya kita semua dapat menjalankan aktiviti ekonomi yang sangat terjejas akibat pandemik ini,” katanya.
]]>