pemimpin masyarakat – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Sat, 15 Aug 2026 11:41:55 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.1 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png pemimpin masyarakat – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 Pemimpin masyarakat perlu jadi jambatan kerajaan dan rakyat https://sabahmedia.com/2026/08/15/pemimpin-masyarakat-perlu-jadi-jambatan-kerajaan-dan-rakyat/ https://sabahmedia.com/2026/08/15/pemimpin-masyarakat-perlu-jadi-jambatan-kerajaan-dan-rakyat/#respond Sat, 15 Aug 2026 11:38:53 +0000 https://sabahmedia.com/?p=101641
Read Time:3 Minute, 7 Second

KENINGAU: Kira-kira 900 pemimpin masyarakat dari kawasan Parlimen Keningau, Tenom dan Pensiangan menyertai Seminar Kenegaraan Malaysia Peringkat Komuniti bagi memperkukuh kefahaman, integriti serta peranan kepimpinan di peringkat akar umbi.

Pengarah Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sabah, Datuk Awang Kadin Tang, berkata pemimpin masyarakat perlu memainkan peranan sebagai jambatan penghubung antara kerajaan dengan rakyat bagi memastikan dasar, bantuan dan agenda pembangunan dapat disampaikan dengan tepat serta berkesan.

Katanya, penyertaan itu membabitkan pemimpin masyarakat dari Bingkor, Liawan dan Tambunan di Parlimen Keningau; Melalap dan Kemabong di Parlimen Tenom; serta Nabawan, Sook dan Tulid di Parlimen Pensiangan.

“Pemimpin masyarakat bukan sekadar memegang jawatan, sebaliknya memikul amanah besar untuk memahami denyut nadi rakyat serta membantu menyelesaikan permasalahan mereka melalui saluran yang betul.

“Saudara dan saudari menjadi saluran yang membawa suara rakyat kepada kerajaan dan pada masa sama menyampaikan dasar, polisi, bantuan serta agenda pembangunan kerajaan kepada rakyat secara tepat, jelas dan berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Seminar Kenegaraan Malaysia Peringkat Komuniti hasil kerjasama Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) dan UPPM bagi kawasan Keningau di Dewan Masyarakat Keningau, hari ini.

Menurut Awang Kadin, seminar itu bukan sekadar platform perkongsian ilmu, malah menjadi inisiatif strategik untuk memperkukuh kefahaman pemimpin masyarakat mengenai kenegaraan, integriti, tadbir urus baik dan tanggungjawab kepimpinan di peringkat akar umbi.

Katanya, penglibatan pemimpin masyarakat dari pelbagai kawasan membuktikan komitmen kerajaan untuk memastikan nilai kenegaraan, integriti dan tanggungjawab kepimpinan dapat difahami serta diterapkan hingga ke peringkat komuniti.

“Keningau menjadi daerah terakhir melengkapkan siri seminar ini, sekali gus menandakan berakhirnya satu jelajah yang amat bermakna dalam usaha memperkasakan kepimpinan akar umbi negeri ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan semua pemimpin masyarakat supaya tidak melihat pelantikan sebagai satu bentuk penghormatan atau peluang mengejar kepentingan peribadi.

Sebaliknya, katanya, jawatan itu adalah amanah yang perlu dilaksanakan dengan penuh kejujuran, integriti, keikhlasan dan tanggungjawab.

“Kerajaan memerlukan pemimpin masyarakat yang bekerja, bukannya sekadar memegang jawatan. Kita perlu sentiasa turun padang, mendengar denyut nadi rakyat, mengenal pasti permasalahan dan membantu mencari jalan penyelesaian melalui saluran yang betul,” katanya.

Beliau turut mengingatkan pemimpin masyarakat supaya menjadi sumber maklumat yang dipercayai dan tidak membiarkan rakyat hanya bergantung kepada media sosial atau sumber tidak sahih.

“Pemimpin masyarakat perlu menyampaikan fakta yang benar, menjelaskan dasar kerajaan secara berhemah serta menangkis fitnah dan maklumat palsu yang boleh mengelirukan rakyat,” katanya.

Datuk Awang Kadin turut menegaskan bahawa integriti bukan sekadar slogan, sebaliknya perlu diterjemahkan dalam setiap tindakan, keputusan dan pelaksanaan amanah.

“Jangan sesekali mengambil kesempatan atas jawatan yang diberikan. Elakkan penyalahgunaan kuasa, pilih kasih atau kepentingan peribadi ketika membantu rakyat.

“Kepercayaan rakyat adalah aset paling berharga. Sekali kepercayaan itu hilang, amat sukar untuk dikembalikan,” katanya.

Beliau berkata, pemimpin masyarakat yang amanah, telus dan berintegriti mampu memperkukuh hubungan antara kerajaan dengan rakyat, sekali gus memastikan manfaat pembangunan dapat dirasai masyarakat.

Beliau turut menyeru semua pemimpin masyarakat supaya memperkukuh semangat kerja berpasukan dan sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat.

“Kejayaan kerajaan bukan hanya bergantung kepada dasar yang dirangka, tetapi turut bergantung kepada keberkesanan kita sebagai jambatan yang menghubungkan kerajaan dengan rakyat,” katanya.

Pada majlis itu, Awang Kadin turut merakamkan penghargaan kepada AKM, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah serta semua pihak yang menjayakan Seminar Kenegaraan Malaysia Peringkat Komuniti.

Beliau kemudian merasmikan penutupan seminar berkenaan dengan harapan kerjasama strategik itu dapat diteruskan bagi melahirkan pemimpin masyarakat yang berilmu, berintegriti, berwibawa dan sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat.

Turut hadir Pegawai Daerah Keningau, Norsih Nusuri; Penolong Kanan Pesuruhjaya, Aini Awang Muda, Ketua Cawangan Sosiobudaya dan Politik, Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM; Penguasa Kanan Christopher Noel Nilus Kalitu, Ketua Cawangan SPRM Daerah Keningau; Pengarah Kenegaraan Malaysia (AKM) Negeri Sabah, Datin Shonitah Terang; Ketua Pegawai Operasi Sekretariat Sabah Maju Jaya, Datuk Ramlee Kariah; serta Pengarah Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah (JHEANS), Nordin Lossin dan pemimpin masyarakat daripada tiga kawasan Parlimen.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/08/15/pemimpin-masyarakat-perlu-jadi-jambatan-kerajaan-dan-rakyat/feed/ 0 101641
Akar umbi, pemimpin masyarakat harus mempunyai pemahaman yang baik dalam ICT – Joniston https://sabahmedia.com/2023/04/28/akar-umbi-pemimpin-masyarakat-harus-mempunyai-pemahaman-yang-baik-dalam-ict-joniston/ https://sabahmedia.com/2023/04/28/akar-umbi-pemimpin-masyarakat-harus-mempunyai-pemahaman-yang-baik-dalam-ict-joniston/#respond Fri, 28 Apr 2023 08:44:39 +0000 https://sabahmedia.com/?p=33471
Read Time:1 Minute, 45 Second

KIULU: Akar umbi dan pemimpin masyarakat harus mempunyai pemahaman yang baik tentang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) agar tidak ketinggalan dan terlepas manfaat era digital, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu Datuk Joniston Bangkuai.

Memandangkan teknologi memainkan peranan yang semakin berkembang dalam masyarakat moden, Joniston berkata, mereka harus berusaha untuk menyelaraskan usaha mereka dengan ICT untuk menggalakkan penglibatan dan produktiviti komuniti.

“Kemunculan teknologi baharu telah membawa satu era di mana kadar pemindahan maklumat sangat pesat. Ketua-ketua kampung dan ahli-ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung mesti berusaha untuk berpengetahuan dalam bidang ICT dan memperoleh kemahiran baru.

“Pemimpin perlu menyesuaikan diri dan bijak semasa menjalankan tugas kerana dalam dunia hari ini, mencari penyelesaian kepada masalah lazimnya melibatkan penggunaan beberapa bentuk teknologi digital, yang memerlukan kreativiti dan ciptaan,” katanya pada program bengkel ICT di Kampung Simpangan di sini pada Khamis .

Bengkel yang dibiayai oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dan dikendalikan oleh tutor ICT dari Kolej AMC (Administrative Management College), bengkel itu dihadiri kira-kira 50 belia serta beberapa warga emas.

Sehubungan itu, Joniston, yang juga Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, telah berjanji bahawa beliau akan melabur dalam kemajuan ICT untuk pemimpin masyarakat di kawasannya dengan menggunakan peruntukan “touch point” beliau dan ini juga termasuk penatua gereja.

Dengan peningkatan media sosial dan alat komunikasi digital lain, beliau berkata pemimpin yang mahir ICT boleh berkomunikasi dengan lebih mudah dengan ahli komuniti mereka, berkongsi maklumat dan membina hubungan.

“Kita juga mesti melihat ICT sebagai satu cara untuk meningkatkan advokasi di mana pemimpin yang mahir ICT boleh menggunakan platform digital untuk melibatkan diri dengan penggubal dasar, meningkatkan kesedaran tentang isu penting dan menyokong perubahan.

“Kecekapan dalam ICT juga boleh membantu pemimpin masyarakat dalam membangunkan peluang ekonomi baharu untuk komuniti mereka. Platform digital boleh mempromosikan keusahawanan, menghubungkan perniagaan tempatan dengan bakal pelanggan dan menarik pelabur baharu kepada komuniti.

“Ini sepatutnya menjadi jalan ke hadapan untuk pemimpin menangani keperluan dan cabaran masyarakat, untuk menggalakkan penyertaan yang lebih besar daripada ahli komuniti dalam proses membuat keputusan, dan untuk mengumpul input melalui platform dalam talian supaya masyarakat berasa melabur dalam masa depan mereka,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2023/04/28/akar-umbi-pemimpin-masyarakat-harus-mempunyai-pemahaman-yang-baik-dalam-ict-joniston/feed/ 0 33471
Pemimpin Masyarakat disaran kemaskini profil kampung – Redonah https://sabahmedia.com/2023/03/30/pemimpin-masyarakat-disaran-kemaskini-profil-kampung-redonah/ https://sabahmedia.com/2023/03/30/pemimpin-masyarakat-disaran-kemaskini-profil-kampung-redonah/#respond Thu, 30 Mar 2023 06:45:09 +0000 https://sabahmedia.com/?p=31778
Read Time:1 Minute, 59 Second

KOTA MARUDU: Pemimpin masyarakat peringkat akar umbi disaran turun padang mengemas kini data-data dan profil kampung masing-masing.

Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Datuk Redonah Bahanda berkata, pemimpin masyarakat khususnya Ketua Kampung mereka dilantik sebagai mata dan telinga pihak kerajaan untuk memastikan kesejahteraan komuniti yang diamanahkan kepada masing-masing pemimpin masyarakat terbela.

Beliau berkata, peranan Ketua Kampung diibaratkan jambatan bagi memudahkan interaksi antara kerajaan dengan rakyat melandasi sebarang dasar yang diformulasikan oleh pihak kerajaan agar difahami oleh rakyat, serta inti pati formulasi itu sampai kepada peringkat akar umbi.

“Sebagai mata dan telinga kerajaan para pemimpin masyarakat haruslah sentiasa sensitif terhadap apa jua sebarang salah laku atau salah sebar oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab tentang maklumat-maklumat palsu atau bersifat fitnah serta memburuk sangka terhadap kerajaan.

“Pelbagai inisiatif yang diumumkan oleh pihak kerajaan harus dibantu oleh pemimpin masyarakat agar disebarkan secara meluas kepada masyarakat dengan pemahaman yang betul, bukan disalah tafsirkan atau sengaja dipersenda-remehkan tegasnya.

Beliau berkata demikian semasa Taklimat Integriti, Mediasi, Peranan dan Tanggungjawab Ketua-Ketua Kampung N.6 Bandau di Dewan PPR Taman Korongkom Jaya, Kota Marudu semalam.

Dalam majlis itu, penduduk setempat turut diberikan bantuan barangan makanan oleh Redonah.

Menurut Redonah peranan ketua kampung perlu tangkas dalam memastikan maklumat yang tepat dan sahih terus sampai kepada orang ramai sebagai salah satu usaha membentuk komuniti yang bermaklumat.

Jelasnya, pemimpin masyarakat yang berada di barisan hadapan perlu tahu kesahihan sesuatu maklumat selain menjadi ejen kerajaan dalam membentuk komuniti yang bermaklumat dan informatif.

“Komunikasi secara bersemuka bukan sahaja kaedah yang efektif dalam penyaluran maklumat tetapi masyarakat setempat dapat memahami dengan lebih mendalam berkaitan dasar-dasar negara dan maklumat yang diperoleh dapat disampaikan ke peringkat akar umbi menerusi program-program yang dilaksanakan oleh agensi kerajaan.

“Pemimpin masyarakat hendaklah memainkan peranan masing-masing dalam memastikan perpaduan dan permuafakatan akan terjalin dengan lebih erat dan produktif. Adalah menjadi tanggungjawab utama pemimpin masyarakat setempat untuk mengenal pasti keperluan penduduk di kawasan mereka bagi memastikan wujudnya penyelarasan projek-projek pembangunan,” katanya.

Redonah yang juga Ketua Wanita Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) berkata, mereka haruslah memberi perkhidmatan yang bermutu dan peka dengan keperluan rakyat. Pemimpin masyarakat perlu memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk masyarakat setempat di bawah jagaan mereka.

“Justeru itu, mereka perlu mempunyai hubungan yang baik antara wakil rakyat dan pemimpin masyarakat dengan masyarakat setempat untuk menyampaikan memberikan maklum balas yang betul mengenai agenda pembangunan yang telah dan akan dilaksanakan,” ujarnya.

]]>
https://sabahmedia.com/2023/03/30/pemimpin-masyarakat-disaran-kemaskini-profil-kampung-redonah/feed/ 0 31778
Pemimpin masyarakat perlu berintegriti tinggi laksana tugas – Jahid https://sabahmedia.com/2022/04/09/pemimpin-masyarakat-perlu-berintegriti-tinggi-laksana-tugas-jahid/ https://sabahmedia.com/2022/04/09/pemimpin-masyarakat-perlu-berintegriti-tinggi-laksana-tugas-jahid/#respond Sat, 09 Apr 2022 04:50:01 +0000 https://sabahmedia.com/?p=14082
Read Time:45 Second

TAMPARULI: Pemimpin masyarakat dinasihati untuk mengamalkan sikap berhemah dan integriti tinggi dalam melaksanakan tugas harian.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, berkata, pemimpin masyarakat perlu menjaga kredibiliti, kejujuran, kemuliaan diri, dan mengekalkan kebolehpercayaan masyarakat terhadap mereka sebagai pemimpin.

“Bila kita telah diberi tanggungjawab, ingatlah bahawa itu merupakan satu amanah besar yang perlu dipikul.

“Beri contoh kepada masyarakat, jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.  Kemuliaan martabat institusi adat dan istiadat itu harus dijaga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Ketua Kampung Topokon, di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Kecil Tamparuli, disini semalam.

Hadir sama, Penolong Pegawai Pembangunan Daerah Tamparuli, Jefferson Jonathan, Ketua Daerah Tamparuli, OKK Jular Harung dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Topokon, Mary Martin.

Terdahulu, Jefferson berkata, tugas seorang Ketua Kampung selain menjaga keharmonian dan keamanan di kampung, adalah bagi memelihara dan menjalankan perkara berkaitan adat kampung.

]]>
https://sabahmedia.com/2022/04/09/pemimpin-masyarakat-perlu-berintegriti-tinggi-laksana-tugas-jahid/feed/ 0 14082