Oleh Normimie Diun
KOTA KINABALU: Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) yakin peranan strategik anak muda mampu menjadi pemacu kepada kejayaan pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0, sekali gus memastikan pembangunan negeri benar-benar dirasai rakyat di peringkat akar umbi.
Keyakinan itu dizahirkan melalui pengukuhan gerak kerja Pemuda, pelaksanaan agenda kesukarelawanan serta penglibatan aktif dalam perbincangan dasar pembangunan negeri, khususnya membabitkan isu asas rakyat dan ekonomi masa depan Sabah.
Pergerakan Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah akan menubuhkan Sekretariat GAHMUDA sebagai platform kesukarelawanan anak muda bagi mendekati rakyat dan memperkukuh gerak kerja di peringkat akar umbi.
Pemangku Ketua Pemuda Gagasan Rakyat, Azrul Ibrahim, berkata penubuhan sekretariat itu merupakan antara keputusan utama Mesyuarat Pemuda dan dijangka dilancarkan selepas Aidilfitri.
Menurutnya, GAHMUDA yang membawa maksud Gagah Muda akan berfungsi sebagai pasukan sukarelawan melibatkan ahli Pemuda parti serta golongan muda bukan partisan.
“GAHMUDA adalah akronim kepada jenama Pemuda Gagasan Rakyat untuk kita wujudkan satu task force kesukarelawanan. Ia terbuka bukan sahaja kepada ahli Pemuda parti tetapi juga golongan muda bukan partisan,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Pimpinan Pemuda Gagasan Rakyat Bilangan 1 Tahun 2026 di Pejabat Parti Gagasan Rakyat Sabah di sini, hari ini.
Azrul yang juga Ketua Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri Sabah berkata, melalui inisiatif itu, Pemuda Gagasan Rakyat mahu mengangkat nilai kebersamaan dan semangat kesukarelawanan dalam kalangan anak muda, khususnya ketika berdepan situasi kecemasan.
“Kita mahu GAHMUDA menjadi barisan hadapan sekiranya berlaku banjir, kebakaran, selain membantu urusan kemasyarakatan seperti pengurusan jenazah dan keperluan lain berkaitan kesukarelawanan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan Mesyuarat Pemuda turut menetapkan fokus utama gerak kerja Pemuda Gagasan Rakyat terhadap isu asas rakyat, khususnya bekalan air, elektrik dan jalan raya.
Menurutnya, tiga isu berkenaan merupakan isu legasi yang telah lama dirasai rakyat Sabah dan perlu ditangani secara berterusan melalui pendekatan baharu yang lebih proaktif.
“Dalam tempoh penggal ini, Pemuda Gagasan Rakyat akan membawa budaya kerja baharu dengan menjadikan isu air, elektrik dan jalan raya sebagai teras gerak kerja. Kita akan lebih kerap turun ke lapangan dan melaksanakan sesi libat urus bagi memantau kemajuan projek-projek infrastruktur rakyat,” katanya.
Beliau berkata fokus itu selaras dengan komitmen Kerajaan Negeri untuk menoktahkan isu berkenaan dalam tempoh lima tahun penggal kedua pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Azrul menyuarakan keyakinan bahawa dengan kestabilan politik semasa, kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor mampu melaksanakan pendekatan strategik bagi menyelesaikan isu asas rakyat secara menyeluruh.
“Rakyat sudah terlalu lama menunggu penyelesaian isu ini. Kita yakin dalam tempoh lima tahun ini, bekalan air dan elektrik akan lebih stabil, manakala jalan raya dapat ditambah baik untuk keselesaan rakyat Sabah,” katanya.
Mengulas agenda pembangunan negeri, Azrul berkata Pemuda Gagasan Rakyat menyokong sepenuhnya pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0 yang akan dilancarkan secara rasmi esok (30 Jan) oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor sebagai fasa baharu pembangunan negeri.
Menurutnya, SMJ 2.0 memberi penekanan kepada pengukuhan asas, lonjakan ekonomi serta dasar yang benar-benar memberi manfaat kepada rakyat bandar dan luar bandar.
Dalam konteks itu, beliau berkata Pemuda Gagasan Rakyat akan memperkukuh kerjasama dengan sayap pelajar GRS dan pimpinan mahasiswa bagi memperluas jaringan kepimpinan pelajar serta memastikan suara anak muda diangkat dalam dasar kerajaan.
Azrul berkata, hubungan dengan pimpinan pelajar telah dibina sejak beberapa tahun lalu, termasuk melalui penubuhan Majlis Perundingan Pelajar Sabah (MPPS) yang diwujudkan sejak empat tahun lalu.
“MPPS menjadi platform menghimpunkan pimpinan mahasiswa dalam dan luar negeri bagi menyuarakan aspirasi, idea serta pandangan berkaitan keperluan pelajar,” katanya.
Beliau berkata, antara hasil perbincangan MPPS sebelum ini termasuk pelaksanaan subsidi pengangkutan pelajar Sabah di dalam dan luar negeri, selain program Destini SMJ Anak Muda Sabah yang dilaksanakan di institusi pengajian tinggi.
Menurutnya, Pemuda Gagasan Rakyat akan terus mencadangkan agar penglibatan mahasiswa diperkasa dengan idea segar yang boleh diangkat sebagai sebahagian daripada dasar dan polisi kerajaan negeri.
Dalam masa sama, beliau berkata Pemuda Gagasan Rakyat menyokong usaha kerajaan negeri mempertimbangkan pendidikan percuma di institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri termasuk Universiti College Sabah Foundation (UCSF) dan Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS), selain cadangan melibatkan sekolah-sekolah di bawah kerajaan negeri.
Sebagai usaha memperkukuh kefahaman terhadap dasar kerajaan, Azrul berkata Pemuda Gagasan Rakyat akan merintis penganjuran Simposium SMJ sebagai medan perbincangan idea dan cadangan penambahbaikan dasar.
Katanya, simposium itu akan melibatkan kerjasama Pemuda parti-parti komponen GRS, sayap wanita dan beliawanis, dengan fokus kepada isu infrastruktur, pendidikan, kebajikan serta penerokaan ekonomi biru.
“Ekonomi biru masih baharu kepada sebahagian rakyat dan anak muda. Melalui forum dan simposium ini, kita mahu dasar kerajaan dibincangkan secara lebih mendalam supaya difahami dan dimaknai oleh semua,” katanya.
]]>KOTA KINABALU: Meskipun dalam keadaan suhu politik negara yang semakin panas, Pemuda Parti Progresif Sabah (SAPP) Kota Kinabalu memilih untuk fokus meneruskan program membantu rakyat yang terjejas akibat pandemik COVID-19.
Dalam program tersebut Naib Ketua Pemuda SAPP Dexter Chin bersama pasukan bergerak untuk mengedarkan bantuan bakul makanan di sekitar Kota Kinabalu dan kawasan berdekatan.
Menurut Dexter, terdapat ramai golongan muda yang bekerja makan gaji sekitar Kota Kinabalu terkesan kerana masih ada beberapa sektor perkerjaan belum dibuka.
“Saya berharap segala kemelut politik yang berlaku ini akan cepat berlalu dan kita dapat fokus kepada pelan pemulihan negara.
“Semoga dengan sedikit bantuan ini, dapat mengurangkan beban penerima,” katanya.
Sementara itu kerajaan negeri sedang giat menjalankan program imunisasi vaksin COVID-19 untuk mencapai imuniti kelompok secepat mungkin.
Manakala kempen patuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi memutuskan rantaian COVID-19 juga sedang giat dilaksanakan diseluruh negeri.
]]>| 6 Jun 2021 Normimie Diun [email protected] KUNDASANG: Seramai 500 Ketua Isi Rumah (KIR) dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kundasang menerima bantuan berupa pelbagai sayur-sayuran. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang, Datuk Dr Joachim Gunsalam berkata, bantuan ini merupakan inisiatif yang dilaksanakan oleh Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) bersama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kundasang, yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 Menurut Timbalan Ketua Pemuda PBS merangkap Exco Pemuda Pusat, Setalie Sarungin berkata, edaran sayur-sayuran ini merupakan peruntukan yang disalurkan kepada Pemuda PBS daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang, Datuk Dr. Joachim Gunsalam. Menurut Joachim, sayur-sayuran tersebut diperolehi daripada pembekal sayur, Yamming Taralia. Bantuan ini diagihkan ke lapan buah kampung dalam DUN berkenaan. “Lapan kampung yang menerima bantuan ini antaranya, Kampung Togis, Perancangan, Debut Langsat, Takutan, Nalumad, Singgaron, Langsat, Kilanas, dan Kirokot”, katanya lagi. Sementara itu, Dr. Joachim yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah ketika dihubungi mengucapkan terima kasih kepada Pemuda PBS, UPPM serta semua yang terlibat menjayakan program ‘bantuan’ ini. “Syabas dan terima kasih saya ucapkan kepada Pemuda PBS dan UPPM Kundasang atas usaha murni ini,” kata Dr. Joachim. Para Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) akan mengedarkan sumbangan tersebut kepada KIR di kampung masing-masing. |