pendapat – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Mon, 28 Jul 2025 04:21:50 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.0.4 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png pendapat – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 Dasar ‘Living Wage’: Antara Niat Murni dan Realiti Majikan https://sabahmedia.com/2025/07/28/dasar-living-wage-antara-niat-murni-dan-realiti-majikan/ https://sabahmedia.com/2025/07/28/dasar-living-wage-antara-niat-murni-dan-realiti-majikan/#respond Mon, 28 Jul 2025 02:58:10 +0000 https://sabahmedia.com/?p=78082
Read Time:3 Minute, 1 Second

Oleh Wan Azrain Adnan

KUALA LUMPUR: Isu kadar gaji terus menjadi perbincangan hangat antara pekerja dan majikan di seluruh negara, dengan rata-rata pekerja menyuarakan kebimbangan terhadap pendapatan yang masih rendah serta cabaran kos sara hidup yang meningkat, sehingga menjejaskan kualiti hidup mereka.

Dalam masa sama, majikan pula berdepan tekanan kos operasi yang semakin meningkat, berikutan pelaksanaan beberapa dasar kerajaan seperti kenaikan kadar gaji minimum, pelarasan tarif elektrik, rasionalisasi subsidi diesel, serta sumbangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk pekerja asing. Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) antara yang paling terkesan dengan perkembangan ini.

Menurut Laporan Statistik Kecenderungan Perniagaan Suku Kedua 2025 yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Petunjuk Keyakinan perniagaan menurun kepada 2 peratus berbanding 3.2 peratus pada suku pertama tahun ini. Ini merupakan penurunan selama tiga suku berturut-turut sejak Suku Keempat 2024.

Laporan itu turut mendedahkan hanya 16.2 peratus majikan merancang untuk menambah bilangan pekerja, manakala 76.7 peratus mengekalkan jumlah sedia ada dan 7.1 peratus pula merancang pengurangan.

Penganalisis menjangkakan dengan keyakinan perniagaan yang lemah, kemungkinan besar kadar gaji pekerja tidak akan meningkat dalam masa terdekat, malah manfaat seperti bonus dan latihan juga mungkin terjejas.

Dalam usaha meringankan beban pekerja, kerajaan telah menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 sebulan mulai Februari 2025, peningkatan hampir 90 peratus sejak dasar itu diperkenalkan pada 2012.

Selain itu, penjawat awam menerima pelarasan gaji antara 7 hingga 15 peratus mulai Disember 2024, iaitu kenaikan terbesar sejak 2007.

Pada Mei lalu, 34 syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) termasuk Khazanah Nasional, PNB, KWSP, LTAT dan Tabung Haji telah melaksanakan dasar ‘Living Wage’ dengan kadar sekitar RM3,100 sebulan, berdasarkan panduan Belanjawanku 2024/2025. Seramai 153,000 pekerja terlibat dalam pelaksanaan dasar ini.

Maybank mengesahkan semua pekerjanya kini menerima pendapatan melebihi paras gaji sara hidup tersebut, manakala Sime Darby Property menaikkan gaji minimum bagi pekerja B40 daripada RM1,500 kepada RM2,700.

Bekas Pengerusi Bursa Malaysia semasa ASEAN Corporate Governance Conference 2025 menyeru syarikat korporat agar menyokong dasar ini secara sukarela sebagai sebahagian daripada prinsip tadbir urus ESG (Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus).

Menurut beliau, gaji pekerja hanya menyumbang 33.1 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), berbanding 50 peratus di negara maju. Kerajaan mensasarkan peningkatan kepada 40 peratus menjelang akhir 2025 dan 45 peratus menjelang 2033 di bawah Kerangka Ekonomi MADANI.

Namun, data Bank Negara menunjukkan pertumbuhan gaji pekerja (7%) dalam tempoh 2019–2024 lebih perlahan berbanding pertumbuhan produktiviti (11.2%).

Berdasarkan laporan Sorotan Pasaran Buruh Suku Pertama 2025 oleh DOSM, median upah bulanan pekerja formal ialah RM3,045. Walaupun ia hampir menyamai kadar gaji wajar RM3,047, lebih 40 peratus pekerja masih menerima upah di bawah garis kemiskinan nasional (RM2,589), dan 7.1 peratus menerima gaji di bawah kadar minimum RM1,500.

Kelantan mencatat median upah bulanan terendah sebanyak RM1,664, diikuti Perlis (RM1,764) dan Sabah (RM2,000), jauh lebih rendah berbanding paras nasional.

Susulan itu, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mencadangkan pindaan terhadap Akta Kerja 1955 bagi mewajibkan penstrukturan gaji secara berkala, khususnya untuk menjamin kenaikan tahunan kadar upah sektor swasta.

MTUC turut menegaskan bahawa ketiadaan peruntukan tersebut menyebabkan ramai pekerja menerima upah statik untuk tempoh yang panjang, dengan syarikat lebih mengutamakan kenaikan gaji golongan pengurusan tertinggi yang didakwa melebihi 100 kali ganda berbanding pekerja bawahan.

Bagaimanapun, penganalisis berpendapat bahawa majikan tidak wajar dipaksa melaksanakan dasar gaji sara hidup melalui undang-undang. Sebaliknya, majikan harus diberi ruang menentukan struktur gaji mengikut kemampuan kewangan masing-masing.

“Apa yang tidak wajar ialah apabila majikan menikmati keuntungan hasil titik peluh pekerja tanpa berkongsi dengan pemberian gaji dan bonus yang setimpal,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/07/28/dasar-living-wage-antara-niat-murni-dan-realiti-majikan/feed/ 0 78082
ESG : Sabah Boleh Menjadi Peneraju Ekonomi Berasaskan Teknologi Hijau di Malaysia https://sabahmedia.com/2023/06/14/esg-sabah-boleh-menjadi-peneraju-ekonomi-berasaskan-teknologi-hijau-di-malaysia/ https://sabahmedia.com/2023/06/14/esg-sabah-boleh-menjadi-peneraju-ekonomi-berasaskan-teknologi-hijau-di-malaysia/#respond Wed, 14 Jun 2023 05:33:08 +0000 https://sabahmedia.com/?p=36341
Read Time:3 Minute, 39 Second

OLEH – Muda Muhammad

Siapa sangka, Sabah menjadi negeri pertama yang ada projek solar berskala besar. Perkara itu kini sudah pun menjadi kenyataan. Pada hujung bulan lepas, Timbalan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Seri Huang Tiong Sii mengumumkan Projek Solar Berskala Besar (LSS) bersekali dengan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri di Sabah dijangka beroperasi pada 2025 atau 2026.

Projek ini adalah antara opsyen yang dimuktamadkan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah bagi menangani isu peningkatan permintaan elektrik di kawasan Pantai Timur di negeri itu.

“Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah sedang memperhalusi opsyen-opsyen penjanaan dengan mengambil kira kecukupan bahan api dan kos pembekalan.

“Kerajaan sentiasa komited untuk membantu menyelesaikan masalah gangguan bekalan elektrik dan memenuhi peningkatan permintaan elektrik di Sabah khususnya di kawasan Pantai Timur Sabah,” kata Huang Tiong Sii pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat bulan lepas.

Kalau diimbas kembali masa lalu, tenaga solar dan teknologi hijau ini hanyalah sekadar kempen kesedaran untuk masyarakat sahaja, tetapi kini ianya menjadi realiti. Satu ketika dahulu, ketika sering mendengar bait lagu ini;

“Bumi tanpa lautan, Akan kehausan, Pasti lambat laun hilang, Duniaku yang malang, Dewasa ini kita saling merayakan, Kejayaan yang akhirnya membinasakan, Apalah gunanya kematangan fikiran. Bila di jiwa kita masih lagi muda, Dan mentah, Ku lihat hijau”

Lirik lagu Hijau nyanyian Zainal Abidin. Lagu ini sudah berusia 32 tahun. Ini lagu pertama yang dimainkan di stesen Radio ERA FM apabila stesen radio itu memulakan siaran pada 1 Ogos 1998.

Pada tahun yang sama lagu Hijau ini dihasilkan, dalam satu tinjauan antarabangsa yang dijalankan pada tahun tersebut mendapati lebih satu per enam orang dewasa yang ditemu bual memilih alam sekitar sebagai isu paling penting yang sedang dihadapi oleh Amerika Syarikat.

Walaupun ekonomi masih merupakan pilihan utama orang ramai, semakin banyak individu enggan mengorbankan kualiti alam sekitar untuk keadaan ekonomi yang lebih baik pada tahun tersebut. Sejak 1980an, di Eropah, kesedaran tentang alam sekitar dan kehijauan di kalangan masyarakat telah mulai dirasai. Trend pada ketika itu  dikenali sebagai kepenggunaan hijau (green consumerism).

Kini pada tahun 2023, semua orang bercakap soal ESG (Environmental, Social and Governance). Ianya bukan lagi sekadar lagu atau agenda untuk kesedaran tetapi sudah dijadikan polisi global untuk mewujudkan kemampanan pembangunan dan alam sekitar.

Di Malaysia, Sabah kini menjadi negeri yang terkehadapan dalam teknologi hijau ini. Sabah memang sudah terkenal di seluruh dunia sebagai destinasi ekopelancongan utama, kini Sabah mempunyai produk yang baharu iaitu ladang solar. Bayangkan jika kita boleh menarik pelancong untuk melawat Ladang Agricolataic yang besar sebagai sebahagian daripada agropelancongan.

Ladang Agrivoltaic ialah teknologi di mana kita menghasilkan tenaga suria dan menanam makanan di tanah yang sama. Sabah sesuai untuk tenaga solar kerana ia terletak di kawasan yang dibasahi matahari dengan potensi 1,500 kWj/kWp.

Satu megawatt solar membawa kira-kira empat pekerjaan langsung dan 28 pekerjaan tidak langsung kepada penduduk tempatan di Sabah. Bayangkan berapa banyak pekerjaan baru yang akan ada di kawasan luar bandar jika kerajaan membuat pelaburan besar dalam teknologi agrivoltaic ini.

Di Perancis, ladang anggur dihasilkan di Ladang Agrivoltaic untuk menghasilkan arak yang berkualiti. Malah teknologi Artificial Intelligence (AI) digunakan untuk menyesuaikan kedudukan panel solar di ladang. 

Di Australia, panel solar telah berjaya meningkatkan pengumpulan air pada masa musim kemarau. Ini membantu menyediakan kawasan padang ragut untuk penternakan biri-biri. Jika tidak, padang ragut akan kering pada musim kemarau.

Contoh yang baik di Perancis dan Australia, bermakna aspek pertanian dan penternakan boleh ditambah menjadi lebih baik dengan bantuan teknologi solar. Membiayai peralihan hijau bukan lagi impian dan kempen kesedaran semata-mata. Saiz mekanisme pelaburan yang mampan mampu meningkatkan industri ini ke tahap perniagaan yang lebih besar kepada penduduk negeri Sabah.

Namun begitu, dalam membangunkan teknologi, aspek  pelaburan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) juga tidak boleh ditinggalkan. Dana ESG juga mesti sejajar dengan dasar dan aliran ekonomi strategik di mana ia penting ke dalam perniagaan hijau dan perusahaan kecil dan sederhana yang baharu.

Sabah ada potensi yang besar kerana kedudukannya yang strategik, kawasan yang luas dan penduduknya ramai. Potensi yang besar untuk menjadi peneraju dalam ekonomi hijau di Malaysia dan di Asia Tenggara. Dasar ekonomi di Malaysia yang terbuka dan bersedia untuk melaksanakan perubahan mengikut kehendak pelabur memudahkan lagi sesuatu impian itu untuk direalisasikan.

Jika Singapura boleh menjadikan kekurangan airnya sebagai strategi perindustrian dan menobatkan dirinya sebagai Lembah Silikon air, apakah yang menghalang daripada menarik pelabur ekonomi hijau ke Sabah? Sudah tentu tiada halangan, boleh bah.

]]>
https://sabahmedia.com/2023/06/14/esg-sabah-boleh-menjadi-peneraju-ekonomi-berasaskan-teknologi-hijau-di-malaysia/feed/ 0 36341
PENDAPAT : Kabinet Jambatan Emas https://sabahmedia.com/2021/08/28/pendapat-kabinet-jambatan-emas/ https://sabahmedia.com/2021/08/28/pendapat-kabinet-jambatan-emas/#respond Sat, 28 Aug 2021 05:36:38 +0000 https://sabahmedia.com/?p=5412
Read Time:4 Minute, 6 Second

Terdapat 5 perkara penting mengenai kabinet YAB Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang diumumkan semalam.

PERTAMA, kabinet baru ini menggambarkan tahap kematangan Datuk Seri Ismail Sabri mengemudi negara walaupun mewarisi sebuah Kerajaan yang sangat mencabar. Tidak ada kegelojohan dan tidak ada political stress dalam kalangan gabungan parti-parti politik semasa membentuk Kerajaan. Perjalanan dan pengumuman membentuk Kerajaan sangat harmonis dan tenang, hanya di medsos gegak-gempita kerana netizen kurang maklumat tepat sebaliknya banyak mengulas rumors yang lemah.

KEDUA, kematangan Datuk Seri Ismail Sabri juga boleh dilihat dalam mengekalkan momentum kabinet kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan sedikit penyesuaian. Perkara ini membawa kepada keharmonian dalam gabungan parti-parti politik yang membentuk kerajaan.

Semua gabungan berpuas hati, malahan mantan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak turut mempertahankan Kerajaan ini. Hanya segelintir pembangkang berlaku nakal di medsos, asal ada disuarakan supaya kekal relevan agaknya. Saya melihat wakil rakyat pembangkang seperti Hannah Yeoh, Tun Dr. Mahathir dan Tony Pua menunjuk level patirotik yang agak luar biasa berbanding rerakan mereka yang lain.

KETIGA, Ismail Sabri mengambil langkah bijak apabila meletak YB Tan Sri Annuar Musa di Kementerian Komunikasi & Multimedia (KKMM) kerana Tan Sri Annuar Musa memiliki kebolehan dalam mengurus isu dan memantapkan penyampaian dasar-dasar Kerajaan di media arus perdana dan medsos.

Kejayaan besar Tan Sri Annuar Musa di Kementerian Wilayah Persekutuan menjadi teropong media asing dan pemimpin segenap lapisan masyarakat terutama pujian oleh rakyat marhaen, parti-parti pembangkang dan media pro-pembangkang.

Pelantikan YB Khairy Jamaluddin turut mendapat respon yang positif daripada pelbagai lapisan masyarakat terutamanya kakitangan Kerajaan dan rakyat. Selama ini, menteri kesihatan adalah di kalangan mereka yang berlatar belakang perubatan. Walau bagaimanapun, perlantikan Khairy adalah sesuatu yang tidak mengejutkan dengan pelibatan beliau dalam vaksinasi negara dan dianggap lagi menyerlah dan meyakinkan berbanding menteri kesihatan yang sebenarya sebelum ini. Ia menjadi cabaran besar kepada Khairy untuk mengurangkan penularan wabak COVID-19 dan menjayakan program vaksinasi kebangsaan, selain menangani masalah-masalah lain kementerian yang terkesan akibat pandemik ini.

Krisis kesihatan yang kita alami ini juga menuntut permuafakatan antara Menteri dan pengurusan tertinggi kementerian kesihatan yang tinggi bagi menangani cabaran pandemik dengan jayanya.

Begitu juga pelantikan semula Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin membolehkan perancangan beliau sebelum ini dapat diteruskan.

Pelantikan semula Menteri Kanan MITI, Datuk Seri Azmin Ali, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussien dan Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof menggambarkan kepercayaan tinggi Datuk Seri Ismail Sabri kepada mereka untuk meneruskan dan menjayakan agenda pemulihan negara.

KEEMPAT, pengumuman Datuk Seri Ismail Sabri untuk meneruskan dan menambahbaik program pemulihan negara menunjukkan hubungan politik yang sangat akrab antara beliau dengan mantan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.  Hubungan politik yang baik juga berjaya dipulihkan dengan UMNO selain pengukuhan hubungan politik dengan PAS dan parti-parti gabungan GPS dan GRS di Sabah-Sarawak.

Datuk Seri Ismail Sabri berjaya menjadi jambatan emas kepada parti BERSATU dengan UMNO sesuatu yang sukar dilakukan oleh orang lain. Gabungan Kabinet ini juga menyerlahkan perpaduan politik orang Melayu dan diharap pemuafakatan ini dapat dikuatkan lagi melalui kesedaran kepentingan agama, bangsa dan negara melebihi kepentingan politik peribadi.

KELIMA, pendekatan Datuk Seri Ismail Sabri tidak menimbulkan konflik dengan pihak pembangkang melalui kerjasama berKerajaan yang telah ditandatangani di Pejabat Perdana Menteri telah mengikat semua pihak untuk membuktikan komitmen kepada saranan DYMM SPB Yang DiPertuan Agong untuk melupakan sengketa politik sebaliknya memberi fokus kepada keperluan rakyat. Barangsiapa yang berpura-pura dengan melanggar janji gentleman itu, mereka sangat berisiko ditolak oleh rakyat di mana rakyat akan mempertikai integiriti dan kredebiliti mereka sebagai pemimpin. Maka patuhlah perjanjian negara itu.

Datuk Seri Ismail Sabri menunjukkan political will dengan mengambil tindakan tegas membela nasib peniaga kecil di Jalan Semarak, Kuala Lumpur serta melakukan lawatan mengejut ke kawasan bencana kepala air di Jerai, Kedah. Peruntukan segera RM75 juta diluluskan untuk memulihkan kawasan bencana tersebut. Sebanyak RM50 juta menaik taraf sungai dan sistem saliran sepanjang 27 kilometer. Pembinaan dua jambatan baharu sebanyak RM23 juta, pembinaan loji rawatan air di Gurun dan Tupah (RM2 juta),pembinaan Empangan Sabo (RM20 juta). Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan menyalurkan bantuan sebanyak RM500 kepada setiap keluarga yang terkesan dengan bencana ini. Sebanyak RM5,000 juga akan diberikan kepada keluarga yang kehilangan waris dalam kejadian ini.

Saya berpandangan dengan lima faktor penting tadi, ada sinar bahagia kepada rakyat Malaysia tidak berapa lama lagi.

Namun begitu, tidak adil kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri jika kita sebagai rakyat pula tidak bersama-sama menyahut seruan DYMM SPB YDA untuk mengekalkan keharmonian dan bersama-sama dengan Kerajaan memastikan pandemik COVID-19 ini berjaya diatasi dan seterusnya kita kembali kepada suasana ceria bahagia sebelum pandemik COVID-19.

Kesimpulan, kabinet lama atau kabinet baru yang penting ialah bagaimana kita boleh menjadi sebahagian daripada pasukan kabinet tersebut. Paling mudah dilakukan ialah dengan menanam semangat kenegaraan melalui slogan Keluarga Malaysia.

Pandangan Oleh : Dr. Al-Azharri Siddiq Kamunri merupakan lulusan pengajian sains politik dalam bidang politik dan kerajaan. Disiplin beliau dalam aspek patriotisme, keselamatan negara dan pembinaan negara bangsa.

]]>
https://sabahmedia.com/2021/08/28/pendapat-kabinet-jambatan-emas/feed/ 0 5412