Penting – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Thu, 21 Sep 2023 14:39:14 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.0.2 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png Penting – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 China kekal sebagai rakan perdagangan penting bagi Sabah https://sabahmedia.com/2023/09/21/china-kekal-sebagai-rakan-perdagangan-penting-bagi-sabah/ https://sabahmedia.com/2023/09/21/china-kekal-sebagai-rakan-perdagangan-penting-bagi-sabah/#respond Thu, 21 Sep 2023 14:39:13 +0000 https://sabahmedia.com/?p=42246
Read Time:1 Minute, 40 Second

KOTA KINABALU: China kekal sebagai rakan perdagangan penting Sabah apabila jumlah dagangannya mencatatkan peningkatan 1.2 peratus kepada RM6.56 bilion untuk enam bulan pertama tahun ini.

“Memandangkan kerjasama ekonomi dan perdagangan antara Malaysia dan China terus berkembang, saya mengharapkan lebih banyak perdagangan dan pelaburan China ke Sabah,” kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor pada majlis sambutan Hari Kebangsaan ke-74 Republik Rakyat China yang diadakan di Shangri-La’s Tanjung Aru Resort and Spa, di sini, hari ini.

“China kini merupakan rakan dagang terbesar Malaysia, dan Malaysia berada di kedudukan teratas rakan dagangan China di Asia Tenggara.

Teks ucapan Ketua Menteri disampaikan Timbalan Ketua Menteri II dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.

Hajiji berkata, banyak yang perlu dilakukan untuk mengukuhkan dan menyelaraskan strategi pembangunan Sabah dengan China, menggabungkan realisasi pemodenan Cina dengan aspirasi Malaysia Madani dan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Mengenai pelancongan, Hajiji berkata ketibaan dari China juga semakin meningkat sejak pembukaan semula sepenuhnya sempadan China pada Mac tahun ini.

“Bagi enam bulan pertama tahun ini, pengunjung China dicatatkan 17,040 (peningkatan 680.6 peratus) berbanding hanya 2,188 pada tempoh yang sama tahun lalu.

“Sabah dihubungkan dengan tujuh bandar utama di China dengan 54 penerbangan mingguan dan kapasiti tempat duduk sebanyak 9,861. Kami berharap dapat melihat lebih banyak sambungan udara untuk meningkatkan ketibaan pelawat dari China ke Sabah.

“Kami berbesar hati kerana Sabah kekal sebagai destinasi yang dicari oleh pengunjung China, sama ada untuk beriadah atau berniaga. Trend peningkatan dalam keseluruhan ketibaan pelawat ke Sabah, berjumlah 1,198,536 ketibaan dari Januari hingga Jun tahun ini, adalah petanda yang baik kerana ini telah menjana resit pelancongan RM2.45 bilion untuk Sabah. Ini menunjukkan peningkatan 69.1 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas,” katanya.

Hajiji berkata pada masa hadapan, Sabah mengharapkan lebih banyak kerjasama dengan China dalam bidang seperti tenaga hijau, pembuatan, pertanian teknologi tinggi, dan pembinaan bandar pintar, antara lain, untuk menggalakkan faedah bersama dan perkongsian menang-menang swasta-awam.

]]>
https://sabahmedia.com/2023/09/21/china-kekal-sebagai-rakan-perdagangan-penting-bagi-sabah/feed/ 0 42246
Malaysia peroleh kemenangan penting bagi kes Sulu di Mahkamah Rayuan The Hague https://sabahmedia.com/2023/06/27/malaysia-peroleh-kemenangan-penting-bagi-kes-sulu-di-mahkamah-rayuan-the-hague/ https://sabahmedia.com/2023/06/27/malaysia-peroleh-kemenangan-penting-bagi-kes-sulu-di-mahkamah-rayuan-the-hague/#respond Tue, 27 Jun 2023 10:55:54 +0000 https://sabahmedia.com/?p=37257
Read Time:1 Minute, 52 Second

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia mengalu-alukan keputusan Mahkamah Rayuan The Hague yang telah memihak kepada Malaysia dengan menolak untuk mengiktiraf Final Award yang dikeluarkan melalui proses timbang tara yang tidak sah dan disalahgunakan oleh pihak yang mendakwa sebagai waris kepada Kesultanan Sulu yang merupakan Pihak yang Menuntut dalam kes Sulu ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan ini sekaligus menghalang apa-apa usaha oleh Pihak yang Menuntut untuk menguatkuasakan tuntutan mereka yang tidak sah terhadap Kerajaan Malaysia di Belanda.

Katanya, keputusan Mahkamah Rayuan The Hague ini merupakan satu lagi kemenangan penting kepada Kerajaan Malaysia rentetan daripada keputusan Mahkamah Rayuan Paris pada 6 Jun 2023.

“Kerajaan Malaysia yakin bahawa dengan keputusan ini, Kerajaan adalah semakin hampir untuk membatalkan sepenuhnya Final Award yang tidak sah dan disalahgunakan oleh Pihak yang Menuntut yang berjumlah hampir USD15 bilion yang dikeluarkan oleh Dr. Gonzalo Stampa dan sekaligus menjadikan tuntutan tersebut hanyalah sebagai sebahagian daripada sejarah.

“Malaysia percaya bahawa keputusan Mahkamah Rayuan The Hague pada hari ini, bersama-sama dengan keputusan Mahkamah Rayuan Paris baru-baru ini akan menamatkan usaha sia-sia Pihak yang Menuntut untuk menguatkuasakan Final Award di negara-negara lain,” kata Anwar dalam kenyataan media hari ini.

Anwar turut menegaskan bahawa sehingga kini, Kerajaan Malaysia tidak pernah berhenti dalam usaha untuk melindungi kedaulatan, keselamatan negara dan kepentingan negara.

Menurutnya, kes Sulu ini membuktikan bahawa terdapat pencabulan yang nyata terhadap kekebalan kedaulatan Malaysia yang merupakan suatu perkara penting bagi setiap warganegara Malaysia MADANI.

“Saya ingin merakamkan penghargaan saya kepada Pengerusi Sekretariat Khas yang juga Menteri Undang-Undang & Reformasi Institusi YB Dato’ Sri Azalina Othman, Menteri Luar Negeri YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir, Menteri Komunikasi dan Digital YB Tuan Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil, Menteri Dalam Negeri YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail, Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun dan semua Kementerian dan agensi berkaitan, termasuk peguam antarabangsa dan semua pihak yang terlibat dalam usaha ini.

“Kerajaan Malaysia akan meneruskan usaha melalui apa-apa jua cara bagi menentang eksploitasi dan penyalahgunaan sistem timbang tara antarabangsa termasuk mengambil sebarang tindakan yang perlu bagi mendapatkan kembali segala kos perundangan dari sumber kewangan negara yang terpaksa dibelanjakan dalam menangani tuntutan ini.

“Kerajaan Malaysia yakin bahawa ia dapat menegakkan keadilan bagi seluruh rakyat Malaysia,” tegasnya.

]]>
https://sabahmedia.com/2023/06/27/malaysia-peroleh-kemenangan-penting-bagi-kes-sulu-di-mahkamah-rayuan-the-hague/feed/ 0 37257
Turun Padang Antara Ciri Penting Wakil Rakyat – Bung https://sabahmedia.com/2022/02/07/turun-padang-antara-ciri-penting-wakil-rakyat-bung/ https://sabahmedia.com/2022/02/07/turun-padang-antara-ciri-penting-wakil-rakyat-bung/#respond Mon, 07 Feb 2022 07:00:00 +0000 https://sabahmedia.com/?p=11958
Read Time:1 Minute, 22 Second

KUDAT: Amalan turun padang, adalah antara empat ciri utama yang perlu ada pada setiap wakil rakyat bagi membolehkan mereka diterima secara menyeluruh oleh rakyat.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, seorang wakil rakyat perlu rajin turun padang untuk meninjau sendiri masalah rakyat di kawasan mereka.

” Jika ini menjadi budaya dan amalan setiap wakil rakyat jalinan hubungan kemesraan antara pemimpin dan rakyat di peringkat akar umbi akan terus kukuh menjadi asas kepada rakyat untuk terus menyokong pemimpin dan kerajaan,” katanya selepas mengetuai wakil-wakil dalam program gotong-royong (CSR ) sempena Pemukiman ” Retreat Backbenchers” wakil-wakil rakyat Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di kampung Langung Ayang Kudat pada Sabtu .

Sebanyak tiga kumpulan menyertai program tersebut masing-masing melaksanakan program gotong-royong membaiki rumah seorang penduduk di kampung Langung Ayang, membaiki masjid di Kampung Bahagia dan membaiki gelanggang sepak takraw di Kampung Gumpa.

Menurut Bung yang juga Menteri Kerja Raya program-program amal yang dilakukan ini selaras dengan apa yang selama ini ditekankan oleh kerajaan, selain merupakan salah satu prinsip utama yang ditekankan oleh Perdana Menteri melalui konsep Keluarga Malaysia.

Beliau berkata, konsep Keluarga Malaysia turut menekankan supaya pembangunan negara bersifat inklusif, iaitu tidak ada mana-mana rakyat yang akan disisihkan, ditinggalkan dan dipinggirkan daripada mendapat manfaat pembangunan dan pembaharuan yang akan diusahakan di negara ini.

Bagi menjayakan pembangunan inklusif itu, bukan sahaja kerajaan perlu menentu dan melaksanakan program-program amal, tetapi wakil-wakil rakyat juga diharap dapat membantu mencapai objektif ini melalui aktiviti dan program yang dianjurkan

“Jadi melalui jaringan sosial seperti ini lebih ramai orang kurang upaya, golongan daif dan kurang upaya dapat dibantu, dan dengan ini pembangunan secara inklusif dapat dicapai,” katanya
.

]]>
https://sabahmedia.com/2022/02/07/turun-padang-antara-ciri-penting-wakil-rakyat-bung/feed/ 0 11958
Perancangan Yang Betul Penting Untuk Atasi Banjir Kerana Keadaan Cuaca Tidak Menentu – Maximus https://sabahmedia.com/2022/01/04/perancangan-yang-betul-penting-untuk-atasi-banjir-kerana-keadaan-cuaca-tidak-menentu-maximus/ https://sabahmedia.com/2022/01/04/perancangan-yang-betul-penting-untuk-atasi-banjir-kerana-keadaan-cuaca-tidak-menentu-maximus/#respond Tue, 04 Jan 2022 01:38:48 +0000 https://sabahmedia.com/?p=10684
Read Time:1 Minute, 47 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA MARUDU: Perancangan yang betul adalah penting untuk mengatasi banjir oleh kerana keadaan cuaca tidak menentu pada ketika ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata, keadaan cuaca sangat tidak menentu sekarang menyukarkan sebarang perancangan tebatan banjir malah tidak boleh hanya bergantung kepada data lepas kerana jumlahnya mungkin telah berubah selain statistik juga turut berbeza setiap masa seperti jumlah mangsa banjir dan bantuan yang diperlukan serta kerugian yang dihadapi.

Maximus yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu menjelaskan bahawa adalah baik membuat perancangan yang betul seperti anggaran perbelanjaan yang berkemungkinan disebabkan kerosakan infrastruktur asas, serta tindakan susulan untuk membersihkan jalan, saliran dan bekalan air serta elektrik.

Bagaimanapun katanya, ia adalah usaha bersepadu semua, daripada pejabat daerah sehinggalah kepada semua agensi berkaitan.

“Kita mesti berkongsi tarikh dan maklumat, terutama yang memberi kesan kepada rakyat, supaya perancangan bandar yang baik dan bantuan sewajarnya dapat dihulurkan kepada golongan terjejas dengan segera.

“Kita tidak boleh berlengah-lengah dalam menangani kehidupan seseorang. Kita mesti pastikan mereka yang ditempatkan sementara di pusat pemindahan mempunyai keperluan asas,” katanya.

Setakat hari ini, Kota Marudu merupakan antara daerah dengan jumlah mangsa banjir tertinggi, dengan 2,682 orang daripada 1,015 keluarga ditempatkan di 13 pusat pemindahan sementara (PPS).

“Kita memerlukan lebih banyak khemah bantuan bencana, lebih daripada sebelum ini. Bayangkan, salah satu pusat pemindahan di sini menempatkan 42 keluarga,” katanya selepas melawat PPS di Sekolah Kebangsaan Ranau, di sini, semalam.

Justeru, beliau menambah, kerajaan negeri Sabah mampu menghadapi ancaman seperti banjir yang melanda negeri ini, hasil hubungan antara agensi yang erat termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan pasukan keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta agensi-agensi keselamatan lain.

“Selain perancangan dalam tebatan banjir, bahawa sumber kewangan yang mencukupi juga penting, terutamanya daripada Kerajaan Persekutuan.

“Prinsip mencegah lebih baik daripada mengubati juga terpakai dalam kawalan tebatan banjir,” tegasnya.

Beliau turut menegaskan bahawa adalah lebih baik untuk membelanjakan kos pembinaan infrastruktur sekarang daripada menangguhkannya kerana kos perbelanjaan akan lebih mahal sekiranya berlaku bencana akibat perubahan iklim dan cuaca yang tidak menentu.

]]>
https://sabahmedia.com/2022/01/04/perancangan-yang-betul-penting-untuk-atasi-banjir-kerana-keadaan-cuaca-tidak-menentu-maximus/feed/ 0 10684
SDB Penting Untuk Bantu Kerajaan Memajukan Sabah https://sabahmedia.com/2021/11/01/sdb-penting-untuk-bantu-kerajaan-memajukan-sabah/ https://sabahmedia.com/2021/11/01/sdb-penting-untuk-bantu-kerajaan-memajukan-sabah/#respond Mon, 01 Nov 2021 10:06:39 +0000 https://sabahmedia.com/?p=8106
Read Time:1 Minute, 13 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Bank Pembangunan Berhad (SDB) diminta untuk memulihkan perniagaannya dan membantu Kerajaan Negeri dalam membangunkan Sabah.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata, bahawa matlamat utama kerajaan adalah untuk merombak SDB dan melihat SDB penting untuk memajukan negeri Sabah.

“Sebab itu apabila saya mengambil alih sebagai Ketua Menteri, perkara pertama dalam fikiran saya ialah SDB.

Saya mahu ia berfungsi dengan cekap dan maju kerana ia adalah jentera penting dalam pembangunan Kerajaan Negeri,” katanya semasa lawatan kerja sulungnya ke SDB di Wisma Tun Fuad Stephens di sini, pada Isnin.

Turut hadir ialah Pengerusi SDB, Datuk Pangiran Hassanal Pg Mohd Tahir dan Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif SDB Datuk Vincent Pung.

Hajiji juga diberi taklimat mengenai prestasi keseluruhan SDB oleh Pung yang mengambil alih SDB sebagai MD dan CEO kira-kira 11 bulan yang lalu.

Hajiji yakin di bawah pimpinan Datuk Vincent Pung dan Datuk Pangiran Hassanel Pg Mohd Tahir, SDB akan dapat mencari jalan bukan sahaja untuk menjenamakan semula tetapi juga melaksanakan tanggunjawab untuk membantu Kerajaan Negeri.

Katanya, bahawa objektif utama beliau adalah untuk meningkatkan ekonomi Sabah menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dan Pelan Pemulihan Ekonomi, yang bertujuan untuk mewujudkan iklim perniagaan yang mesra untuk menarik pelabur datang dan dalam proses mencipta lebih banyak pekerjaan untuk rakyat Sabah.

Dalam pada itu, Hajiji turut melancarkan risalah SDB yang merangkumi perkhidmatan institusi yang mengetengahkan tiga peranan utama SDB dalam menggalakkan pembangunan Sabah, iaitu Pembiayaan, Nasihat dan Pelaburan.

]]>
https://sabahmedia.com/2021/11/01/sdb-penting-untuk-bantu-kerajaan-memajukan-sabah/feed/ 0 8106
Tiga Aspek Penting Hala Tuju BBN & GLC Kerajaan – Hajiji https://sabahmedia.com/2021/10/12/tiga-aspek-penting-hala-tuju-bbn-glc-kerajaan-hajiji/ https://sabahmedia.com/2021/10/12/tiga-aspek-penting-hala-tuju-bbn-glc-kerajaan-hajiji/#respond Tue, 12 Oct 2021 06:27:34 +0000 https://sabahmedia.com/?p=7425
Read Time:2 Minute, 43 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor mengingatkan Badan-Badan Berkanun (BBN) dan Syarikat yang berkaitan dengan Kerajaan (GLC) di negeri ini memberi penekanan kepada tiga aspek penting dalam hala tuju agensi masing-masing.

Katanya, selain memberi tumpuan ke atas pencapaian dan prestasi, ahli-ahli Lembaga mempunyai peranan untuk memastikan setiap agensi mempunyai hala tuju.

Hajiji berkata, tiga aspek penting tersebut iaitu aspek pertama ialah; bagi Agensi Kerajaan yang masih lagi menerima geran daripada Kerajaan Negeri, hala tuju agensi berkenaan harus ada program untuk mengurangkan kebergantungan dana kerajaan secara berperingkat dan seterusnya mencapai taraf berdikari.

“Manakala aspek kedua ialah Badan Berkanun yang mempunyai potensi komersial perlu mencari pendekatan baharu untuk meletakkan nilai dan harga terhadap perkhidmatan yang diberikan, serta membangunkan perniagaan teras yang mampu menjana pendapatan bagi membiayai aktiviti sosio-ekonomi.

“Agensi-agensi Kerajaan juga perlu meneroka potensi kerjasama strategik antara agensi-agensi dan mengelakkan agensi kerajaan daripada saling bersaing dan menceburi sektor yang saling bertindih.

“Aspek ketiga pula ialah, Agensi-agensi Kerajaan perlu melihat potensi yang berada di luar, khususnya di negeri atau negara jiran. Misalnya melihat dan memikirkan potensi yang boleh diraih berikutan cadangan pemindahan ibu kota Negara Indonesia daripada Jakarta ke Kalimantan”, kata Hajiji menjelaskan ketiga-tiga aspek penting hala tuju agensi terlibat.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan penutupan Kursus Ahli Lembaga Pengarah Badan-badan Berkanun dan Agensi Kerajaan Negeri Tahun 2021, secara maya di sini hari ini.

Kursus itu dihadiri oleh lebih 300 Ahli Lembaga Badan Berkanun dan Syarikat Kerajaan Negeri.

Ia merupakan acara tahunan dianjurkan Kementerian Kewangan yang wajib disertai semua Ahli lembaga daripada Syarikat Kerajaan dan Syarikat Badan-Badan Berkanun.

Kursus ini juga bertepatan dengan pengumuman Hajiji pada 13 Jun lalu, mengenai rombakan Jawatankuasa Pemantauan Dasar dan Tadbir Urus Korporat.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan berkata, ini adalah salah satu mekanisme ke arah memperkuatkan dan meningkatkan pemantauan dan tadbir urus korporat semua BBN dan GLC.

“Harus diingat bahawa setiap BBN dan GLC adalah tertakluk kepada Pekeliling Kerajaan dan Kementerian Kewangan akan memantau antara lain semua aspek korporat serta tadbir urus kemungkinan penyalahgunaan kuasa di dalam BBN dan GLC.

Selain itu katanya, apa juga cadangan operasi perniagaan yang dikemukakan akan diteliti terlebih dahulu bagi memastikan ia memberi pulangan yang baik kepada kerajaan negeri, pulangan yang diberikan akan memberi kestabilan kewangan jangka panjang dan berdaya maju komersial untuk pulangan pelaburan yang tinggi.

“Walaupun negara sedang berhadapan dengan pandemik COVID-19 dan sedikit sebanyak telah menjejaskan ekonomi negara, saya berharap semua ketua yang telah dilantik akan memperkemaskan dan meningkat inisiatif bagi meningkatkan kembali ekonomi negeri dan negara,” katanya.

Hajiji juga mahu semua pemimpin Badan-Badan Berkanun Negeri dan anak-anak syarikat milik kerajaan menunaikan tanggungjawab dalam memakmurkan khazanah negeri Sabah.

Katanya, tanggungjawab untuk menyumbang kepada khazanah negeri bukan lagi satu pilihan, sebaliknya merupakan satu tanggungan yang mesti ditunaikan kepada Kerajaan negeri.

Hajiji turut menjelaskan, Agensi-agensi Kerajaan tidak terhindar daripada perubahan dalam landskap global, seperti trend mega (megatrends) yang melibatkan revolusi teknologi keempat atau “The Fourth Industrial Revolution”.

Tambah beliau bahawa kemunculan pelbagai teknologi terkini seperti artificial intelligence, robotik, nanoteknologi dan pelbagai lagi aplikasi teknologi menandakan inovasi ke atas teknologi berlaku dengan pantas.

“Justeru, Agensi-agensi Kerajaan perlu memikirkan dan memahami trend mega yang sedang melanda dan bersedia untuk berasimilasi dengan perubahan pantas persekitaran teknologi”, tegasnya.

]]>
https://sabahmedia.com/2021/10/12/tiga-aspek-penting-hala-tuju-bbn-glc-kerajaan-hajiji/feed/ 0 7425
FEPO Penting Untuk Kemajuan Masa Depan Industri Pengeluaran Minyak Sawit Sabah https://sabahmedia.com/2021/10/04/fepo-penting-untuk-kemajuan-masa-depan-industri-pengeluaran-minyak-sawit-sabah/ https://sabahmedia.com/2021/10/04/fepo-penting-untuk-kemajuan-masa-depan-industri-pengeluaran-minyak-sawit-sabah/#respond Mon, 04 Oct 2021 06:25:22 +0000 https://sabahmedia.com/?p=7153
Read Time:2 Minute, 29 Second

KOTA KINABALU: Pelancaran Kontrak Niaga Hadapan Minyak Sawit Mentah Malaysia Timur (FEPO) oleh Bursa Malaysia Derivatives Bhd (BMD) hari ini, adalah baik sejajar dengan perkembangan industri kelapa sawit Sabah pada masa hadapan.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata, bahawa beliau meramalkan FEPO akan memainkan peranan penting untuk kemajuan industri kelapa sawit di Sabah pada masa hadapan, dengan pengeluaran minyak sawit mentah (CPO) sebanyak 4.65 juta metrik tan pada tahun 2020, Sabah kini adalah negeri pengeluar minyak sawit terbesar yang menguasai 24 peratus pengeluaran untuk pasaran nasional.

Katanya, dengan adanya FEPO, perniagaan minyak sawit domestik dapat meneroka harga alternatif melalui pertukaran ini, setelah tamat kontrak, perniagaan dapat menghantar CPO ke salah satu dari tiga pusat penghantaran yang ditentukan, mana yang paling berdekatan dengan pusat operasi mereka.

FEPO juga diharapkan dapat menciptakan lebih banyak peluang perniagaan dan pekerjaan di setiap rantaian bekalan industri kelapa sawit, seperti pengangkutan, kemudahan penyimpanan, kualiti penyelidikan dan aktiviti hiliran yang lain, katanya.

“Di pentas global, FEPO yang akan diperdagangkan oleh peserta antarabangsa, akan berfungsi sebagai platform pemasaran untuk mempromosikan produk berkaitan sawit Sabah dan untuk menarik pelaburan langsung asing.

“Saya berasa bangga apabila mengetahui bahawa BMD telah menetapkan Lahad Datu dan Sandakan sebagai pusat penghantaran untuk FEPO,” kata Ketua Menteri.

Pelancaran FEFO secara maya telah disempurnakan oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin; Hajiji dan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, pada Isnin.

“Kerajaan Sabah mengiktiraf industri minyak sawit sebagai bahagian utama ekonomi negeri dan ingin memperluaskan sumbangannya.

“Oleh itu, dua Kawasan Industri Berkelompok Kelapa Sawit (POIC) iaitu POIC Lahad Datu dan POIC Sawit, dibangunkan untuk menyediakan infrastruktur yang diperlukan untuk mengekalkan pertumbuhan jangka panjang industri kelapa sawit di Sabah,” katanya.

Hajiji berkata POIC Lahad Datu yang juga syarikat milik penuh kerajaan negeri, meliputi 4,400 ekar untuk industri ringan, sederhana dan berat serta dilengkapi dengan kemudahan set pelabuhan yang komprehensif – masing-masing pelabuhan dilengkapi kargo pukal, kargo cecair dan kontena – di pelabuhan yang dalam secara semula jadi dengan kedalaman yang dapat menampung kapal kargo yang besar.

POIC Sawit pula, yang dikendalikan oleh cabang pelaburan minyak sawit kerajaan negeri iaitu Sawit Kinabalu Sdn Bhd terletak di kawasan seluas 2.810 ekar di Sandakan dan telah dibangunkan untuk memacu pelaburan dalam industri hiliran minyak sawit.

Kedua-dua POIC itu dikelilingi oleh ladang kelapa sawit dan juga berhampiran dengan wilayah yang kaya sumber di Kawasan Pertumbuhan Timur ASEAN-Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP- EAGA).

“Mereka adalah aset penting bagi Negeri Sabah kerana ia adalah satu pautan penting dalam teka-teki infrastruktur untuk projek industri utama yang sedang dipertimbangkan untuk mempercepatkan pembangunan di pantai timur Sabah.

“Saya yakin, dengan ekosistem FEPO disatukan ke dalam dua POIC ini, ia akan meningkatkan potensi sinergi antara pasaran derivatif dan industri minyak sawit tempatan, sekali gus membawa pertumbuhan baharu kepada ekonomi Sabah,” katanya.

Turut hadir ialah Pengerusi Bursa Malaysia Berhad, Tan Sri Abdul Wahid Omar, Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Muhamad Umar Swift dan Ketua Pegawai Eksekutif BMD, Samuel Ho.

]]>
https://sabahmedia.com/2021/10/04/fepo-penting-untuk-kemajuan-masa-depan-industri-pengeluaran-minyak-sawit-sabah/feed/ 0 7153
COVID-19: Vaksin Sangat Penting Untuk Lindung Diri, Keluarga dan Komuniti https://sabahmedia.com/2021/08/16/covid-19-vaksin-sangat-penting-untuk-lindung-diri-keluarga-dan-komuniti/ https://sabahmedia.com/2021/08/16/covid-19-vaksin-sangat-penting-untuk-lindung-diri-keluarga-dan-komuniti/#respond Mon, 16 Aug 2021 11:41:19 +0000 https://sabahmedia.com/?p=4724
Read Time:1 Minute, 28 Second

RANAU: Atas kesedaran pentingnya melindungi keselamatan diri, keluarga dan komuniti daripada terkena jangkitan Covid-19, ia telah mendorong peningkatan jumlah warga Ranau dan Kundasang hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Masyarakat Ranau untuk menerima vaksin Covid-19 hari ini.

Pegawai Perubatan Jabatan Kesihatan Daerah Ranau selaku Ketua Penyelaras PPV dewan Masyarakat Ranau, Dr Edwaider Koimon berkata, sejak Mac lalu pemberian vaksin kepada warga Ranau, kini telah mencapai 46,095 (58.95 peratus) individu telah lengkap pengambilan vaksin suntikan dos kedua dan yang lainnya dos pertama masih menunggu suntikan kedua mengikut jadual yang telah ditetapkan.

Katanya, seperkara lagi yang telah mendorong orang ramai supaya mendapatkan vaksin secepat mungkin adalah inisiatif beberapa buah pejabat kerajaan, premis peniagaan dan institusi kewangan seperti bank-bank di pekan Ranau kini sudah mula hanya menerima pelanggan yang sudah melengkapi dua dos suntikan vaksin sebagai syarat utama memasuki premis yang disarankan oleh kerajaan baru-baru ini.

Tinjauan mengenai saranan tersebut, ramai yang menyifatkan langkah itu sebagai positif bagi mengekang penularan pandemik Covid-19 yang masih aktif dikalangan kita.

“Tindakan tidak membenarkan masuk di dalam premis atau pejabat kepada mereka yang belum lengkap suntikan dos kedua perlu dilihat sebagai langkah positif bagi mengekang penularan Covid-19 di Sabah,” jelas Roslan Daiman, salah seorang penerima vaksin dari Kg Muhibah Ranau.

Menurut Dr Edwaider lagi, seramai 1,293 individu hadir seawal 7.00 pagi tadi, menunggu giliran dan bersedia untuk menerima suntikan masing-masing sama ada dos pertama atau kedua.

“Kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan  Malaysia (KKM) amat menggalakkan rakyat Malaysia tidak kira di mana sahaja mereka berada supaya mendapatkan suntikan lengkap vaksin untuk melindungi diri, keluarga dan komuniti daripada jangkitan Covid-19 demi mencapai imuniti kelompok di kalangan masyarakat,” tambah Dr Edwaider.        

]]>
https://sabahmedia.com/2021/08/16/covid-19-vaksin-sangat-penting-untuk-lindung-diri-keluarga-dan-komuniti/feed/ 0 4724
JTU amat penting bagi masyarakat kampung perihal berkaitan tanah https://sabahmedia.com/2021/08/02/jtu-amat-penting-bagi-masyarakat-kampung-perihal-berkaitan-tanah/ https://sabahmedia.com/2021/08/02/jtu-amat-penting-bagi-masyarakat-kampung-perihal-berkaitan-tanah/#respond Mon, 02 Aug 2021 11:02:58 +0000 https://sabahmedia.com/?p=3978
Read Time:1 Minute, 12 Second

TUARAN: Peranan Jabatan Tanah Dan Ukur (JTU) amat penting dalam membantu masyarakat kampung terutamanya orang asal dari segi perkara berkaitan tanah.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, berkata, bagi orang-orang kampung, tanah merupakan harta yang tidak ternilai.

“Perkara berkaitan tanah ini adalah amat sensitif bagi masyarakat kampung, terutamanya dari segi pemilikan, warisan dan sebagainya,” kata Jahid ketika membuat lawatan kerja ke pejabat JTU Daerah Tuaran, sini hari ini.

Katanya, tanah menjadi keperluan orang-orang kampung yang begitu berharga, seolah-olah nyawa bagi mereka.

“Justeru, peranan JTU sangat penting bagi memastikan kerja-kerja penyukatan tanah bagi masyarakat kampung dapat dilaksanakan sebaik mungkin, agar warisan pusaka mereka sentiasa terjaga.

Beliau yang juga Wakil Rakyat Tamparuli, diberi taklimat ringkas mengenai keadaan terkini pejabat JTU Daerah Tuaran, termasuklah keperluan dan kemudahan yang dilihat penting untuk pejabat berkenaan.

“Dalam pemerhatian saya, memang terdapat keperluan yang dilihat penting, jadi, kita akan fikirkan apa yang boleh dibuat untuk membantu memberi mereka keselesaan, dan kita juga akan sampaikan ini kepada Pengarah dan kepimpinan negeri nanti,” tambah beliau.

Terdahulu, Penolong Kanan Juruukur Bahagian, Pantai Barat Utara (PBU), Ghani Sumbin, berkata, bangunan JTU Daerah Tuaran merupakan antara pejabat JTU yang tertua di Sabah.

Beliau menghargai kesudian Jahid melawat mereka, dengan harapan mudah-mudahan akan ada sesuatu yang boleh difikirkan, agar mereka lebih selesa untuk bekerja.

Sepanjang lawatan singkat itu, Jahid juga sempat meninjau keadaan sekeliling bangunan berkenaan.
 
Turut hadir Penolong Juruukur Daerah, Daerah Tuaran, Charles Juslin.

]]>
https://sabahmedia.com/2021/08/02/jtu-amat-penting-bagi-masyarakat-kampung-perihal-berkaitan-tanah/feed/ 0 3978