perdana menteri – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Thu, 18 Jun 2026 01:53:51 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.1 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png perdana menteri – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 Malaysia-Rusia teroka kerjasama strategik, perkukuh keterjaminan bekalan tenaga jangka panjang https://sabahmedia.com/2026/06/18/malaysia-rusia-teroka-kerjasama-strategik-perkukuh-keterjaminan-bekalan-tenaga-jangka-panjang/ https://sabahmedia.com/2026/06/18/malaysia-rusia-teroka-kerjasama-strategik-perkukuh-keterjaminan-bekalan-tenaga-jangka-panjang/#respond Thu, 18 Jun 2026 01:53:46 +0000 https://sabahmedia.com/?p=98383
Read Time:1 Minute, 2 Second

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Persekutuan Rusia meneroka potensi memperkukuh kerjasama strategik termasuk dalam sektor tenaga bagi memastikan keterjaminan bekalan tenaga dan minyak jangka panjang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu antara isu yang dibincangkan bersama Presiden Persekutuan Rusia, Vladimir Putin dalam perbincangan dua hala yang menyentuh pelbagai aspek kepentingan kedua-dua negara.

Beliau berkata, kedua-dua pemimpin turut membincangkan usaha memperluas kerjasama ekonomi termasuk menghargai ketetapan Persekutuan Rusia untuk memberikan kerjasama jangka panjang dalam aspek bekalan tenaga dan minyak.

“Kerjasama dalam sektor tenaga merupakan antara bidang strategik yang penting bagi kedua-dua negara, khususnya dalam memastikan kestabilan dan kesinambungan bekalan,” katanya.

Selain sektor tenaga, Anwar berkata perbincangan turut meliputi peluang memperkukuh kerjasama dalam bidang teknologi baharu, keselamatan siber, digital, kecerdasan buatan (AI), pertanian moden serta farmaseutikal.

Katanya, kedua-dua pihak juga bertukar pandangan mengenai usaha memudah cara pergerakan rakyat melalui pemansuhan visa, selain meneroka mekanisme bagi memperluas perdagangan dan pelaburan dua hala menggunakan mata wang tempatan iaitu Ringgit dan Ruble.

“Kerajaan MADANI akan terus mengambil langkah strategik dan proaktif bagi memperkukuh keterjaminan tenaga negara melalui kerjasama antarabangsa yang mampu menjamin kestabilan, kesinambungan dan daya tahan bekalan tenaga,” katanya.

Menurutnya, langkah berkenaan penting demi kepentingan rakyat serta kemakmuran negara dalam menghadapi cabaran ekonomi global.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/06/18/malaysia-rusia-teroka-kerjasama-strategik-perkukuh-keterjaminan-bekalan-tenaga-jangka-panjang/feed/ 0 98383
Perpaduan kunci kestabilan negara, rakyat jangan leka – PM Anwar https://sabahmedia.com/2026/06/13/perpaduan-kunci-kestabilan-negara-rakyat-jangan-leka-pm-anwar/ https://sabahmedia.com/2026/06/13/perpaduan-kunci-kestabilan-negara-rakyat-jangan-leka-pm-anwar/#respond Sat, 13 Jun 2026 10:55:57 +0000 https://sabahmedia.com/?p=98180
Read Time:2 Minute, 14 Second

KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan rakyat supaya tidak mengambil mudah soal perpaduan kerana keharmonian negara perlu sentiasa dipelihara bagi menjamin kestabilan serta pertumbuhan ekonomi.

Beliau berkata, majoriti rakyat Malaysia memahami kepentingan keamanan dan perpaduan kerana kestabilan yang wujud menjadi asas kepada pemulihan serta pembangunan ekonomi negara.

Menurutnya, walaupun negara kini berada dalam keadaan aman dan bersatu, rakyat tidak seharusnya menganggap perpaduan akan kekal tanpa usaha berterusan untuk memupuknya.

“Majoriti rakyat negara ini faham erti perpaduan. Majoriti rakyat ini inginkan negara ini aman dan damai kerana mereka tahu harga nikmat serta faedah daripada perpaduan yang membawa kepada kestabilan dan boleh memperkasakan pemulihan serta pertumbuhan ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan sambutan Minggu Perpaduan Kebangsaan di Kompleks Sukan Kota Kinabalu (KSKK) di sini pada Sabtu.

Anwar berkata, cabaran utama dalam mempertahankan perpaduan adalah apabila wujud pengaruh yang cuba menghakis semangat kebersamaan serta menanam sentimen perpecahan antara kaum, agama dan wilayah.

“Jangan kita leka dan membuat andaian bahawa perpaduan itu suatu yang kemestian berlaku di setiap keadaan tanpa memupuk semangat dan menghalang ikhtiar yang lain yang memecah-belahkan,” katanya.

Menurut beliau, Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum, suku, agama dan wilayah memerlukan kebijaksanaan serta kematangan untuk terus mempertahankan kesatuan sebagai sebuah negara bangsa.

Beliau berkata, pembentukan Malaysia adalah hasil wawasan pemimpin terdahulu yang mampu melihat kepentingan masa depan negara melebihi perbezaan latar belakang.

Katanya, tokoh seperti Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Tun Mustapha, Tun Fuad Stephens dan Temenggong Jugah mempunyai visi besar dalam membina sebuah negara yang bersatu walaupun masyarakatnya berbeza budaya serta identiti.

“Perbezaan itu bukan kelemahan, tetapi kekuatan apabila kita mampu membayangkan diri kita sebagai satu kesatuan,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata kepelbagaian kaum dan budaya perlu diraikan dengan rasa hormat, bukannya dijadikan alasan untuk mencetuskan kebencian atau perpecahan.

Beliau berkata, usaha memperkukuh perpaduan perlu melibatkan semua pihak termasuk institusi kerajaan, sekolah, universiti dan masyarakat.

Sehubungan itu katanya, kerajaan terus memperkasa program perpaduan melalui Kementerian Perpaduan Negara termasuk penglibatan Sekretariat Rukun Negara di institusi pengajian tinggi serta Kelab Rukun Negara di sekolah.

Anwar turut mengumumkan kerajaan menyediakan geran kepada 189 Sekretariat Rukun Negara di institusi pengajian tinggi serta 6,849 Kelab Rukun Negara di sekolah sebagai usaha membentuk generasi muda yang mempunyai semangat patriotisme dan kekitaan.

Beliau berkata, kerajaan juga menyediakan geran padanan berjumlah RM5 juta bagi menghidupkan 10 Memorial Negarawan bagi menghargai jasa tokoh yang membentuk sejarah negara.

Katanya, perpaduan tidak boleh dipisahkan daripada nilai integriti kerana negara yang kukuh memerlukan rakyat yang mempunyai rasa hormat, ihsan dan tanggungjawab bersama.

“Politik stabil dan negara masih bersatu, tetapi jangan kita alpa. Kita perlu sentiasa memupuk kerjasama antara kaum supaya semangat negara bangsa ini terus terpelihara,” katanya. – SABAH MEDIA

]]>
https://sabahmedia.com/2026/06/13/perpaduan-kunci-kestabilan-negara-rakyat-jangan-leka-pm-anwar/feed/ 0 98180
Kerajaan perkasa inisiatif ringankan beban rakyat sempena Aidilfitri https://sabahmedia.com/2026/03/17/kerajaan-perkasa-inisiatif-ringankan-beban-rakyat-sempena-aidilfitri/ https://sabahmedia.com/2026/03/17/kerajaan-perkasa-inisiatif-ringankan-beban-rakyat-sempena-aidilfitri/#respond Tue, 17 Mar 2026 08:45:38 +0000 https://sabahmedia.com/?p=93426
Read Time:1 Minute, 51 Second

KUALA LUMPUR: Kerajaan terus memperhebat usaha meringankan beban rakyat sempena Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri melalui pelbagai inisiatif menyeluruh termasuk pemberian diskaun tol 50 peratus, bantuan kewangan serta kawalan harga barangan keperluan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata langkah berkenaan diambil susulan ketidaktentuan ekonomi global yang memberi tekanan kepada kos sara hidup rakyat.

Menurutnya, antara inisiatif utama termasuk pemberian cuti tambahan Aidilfitri, pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan bermula 14 hingga 28 Mac 2026 serta bayaran awal Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 pada 10 Mac lalu.

“Seramai 5.2 juta penerima mendapat manfaat STR melibatkan peruntukan RM1.3 bilion, selain Bantuan Khas Kewangan kepada penjawat awam, pesara dan veteran termasuk lebih 70,000 imam, bilal, tok siak, noja serta guru KAFA dan takmir,” katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.

Perdana Menteri berkata, kerajaan turut memperluas subsidi tiket penerbangan menerusi program FLYsiswa sebanyak RM400, selain melaksanakan hampir 1,900 Program Jualan Rahmah MADANI sepanjang Ramadan bagi memastikan bekalan mencukupi pada harga berpatutan.

Dalam masa sama, beliau berkata, kerajaan turut menguatkuasakan larangan penjualan minyak masak paket bersubsidi kepada warga asing bagi memastikan manfaat subsidi dinikmati sepenuhnya oleh rakyat Malaysia.

Mengulas lanjut, beliau berkata Mesyuarat Jemaah Menteri turut bersetuju memberikan diskaun tol 50 peratus kepada kenderaan persendirian Kelas 1 di semua lebuh raya sebagai usaha mengurangkan kos perjalanan pulang ke kampung halaman.

“Inisiatif ini melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM21.03 juta sebagai pampasan kepada syarikat konsesi tol,” katanya.

Menurutnya, diskaun tersebut berkuat kuasa bermula jam 12.01 tengah malam, 18 Mac hingga 11.59 malam, 19 Mac 2026, kecuali di Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar dan Plaza Tol Tanjung Kupang di Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA).

Selain itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan menerusi Jabatan Insolvensi Malaysia akan melaksanakan pelepasan kebankrapan secara ‘Fast Track’ melibatkan kira-kira 4,000 individu, khususnya ibu dan bapa tunggal.

Anwar berkata semua langkah berkenaan mencerminkan nilai ihsan dan kemanusiaan yang menjadi teras Kerajaan MADANI dalam memastikan rakyat terus menikmati manfaat kemakmuran negara.

Pada masa sama, beliau mengingatkan rakyat agar berbelanja secara berhemah sepanjang menyambut Syawal serta mengurus kewangan dengan disiplin dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.

“Mewakili Kerajaan MADANI, saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/03/17/kerajaan-perkasa-inisiatif-ringankan-beban-rakyat-sempena-aidilfitri/feed/ 0 93426
Projek pembangunan mesti dipantau rapi, elak kelewatan – PM https://sabahmedia.com/2026/03/15/projek-pembangunan-mesti-dipantau-rapi-elak-kelewatan-pm/ https://sabahmedia.com/2026/03/15/projek-pembangunan-mesti-dipantau-rapi-elak-kelewatan-pm/#respond Sun, 15 Mar 2026 09:17:31 +0000 https://sabahmedia.com/?p=93338
Read Time:57 Second

KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan semua pihak perlu memberi tumpuan serius serta memantau secara rapi pelaksanaan setiap projek pembangunan yang telah diluluskan bagi memastikan manfaatnya dapat segera dirasai rakyat.

Beliau menekankan bahawa rakyat menaruh harapan besar terhadap projek-projek yang memberi impak langsung kepada kehidupan seharian mereka.

Perdana Menteri berkata demikian menerusi hantaran di Facebooknya di sini pada Ahad ketika mempengerusikan Mesyuarat Pembangunan Daerah Kota Kinabalu di sini.

YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim bersama Menteri Besar Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mempengerusikan Mesyuarat Pembangunan Daerah Kota Kinabalu di Sabah. FOTO PMO

Hadir sama Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji  Noor dan Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Seri Dr Sabin Samitah.

Anwar berkata, projek pembangunan seperti menaik taraf jalan serta kemudahan infrastruktur perlu dilaksanakan dengan cekap kerana ia berkait rapat dengan keselesaan dan kesejahteraan masyarakat.

“Tidak seharusnya wujud sebarang alasan yang menyebabkan projek tertangguh akibat ketidakcekapan atau kerenah birokrasi.

“Setiap kelewatan akhirnya memberi kesan kepada mutu kehidupan rakyat, selain mengekang potensi kemajuan dan pembangunan negeri,” katanya.

Beliau menegaskan kerajaan kekal komited memastikan setiap projek yang dirancang dilaksanakan secara cekap, telus dan menepati jadual pelaksanaan. – SABAH MEDIA

]]>
https://sabahmedia.com/2026/03/15/projek-pembangunan-mesti-dipantau-rapi-elak-kelewatan-pm/feed/ 0 93338
Hajiji sentiasa utamakan kepentingan rakyat Sabah – PM Anwar https://sabahmedia.com/2025/11/27/hajiji-sentiasa-utamakan-kepentingan-rakyat-sabah-pm-anwar/ https://sabahmedia.com/2025/11/27/hajiji-sentiasa-utamakan-kepentingan-rakyat-sabah-pm-anwar/#respond Thu, 27 Nov 2025 04:41:56 +0000 https://sabahmedia.com/?p=87183
Read Time:1 Minute, 19 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

KOTA KINABALU: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji komitmen Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor yang disifatkannya sebagai pemimpin berprinsip dan sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat sejak mereka bekerjasama dalam kerajaan.

Beliau berkata, sepanjang tempoh beliau memegang jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, tidak pernah sekali Ketua Menteri meminta sebarang kepentingan peribadi atau keluarga, malah sentiasa mendesak bagi menyelesaikan masalah rakyat.

“Sejak saya kenal beliau sebagai Ketua Menteri, tidak pernah sekali beliau minta apa-apa untuk dirinya atau keluarganya.

“Dia ganggu saya siang dan malam—bukan untuk kepentingan sendiri, tetapi kerana fikirkan masalah rakyat Sabah.

“Datuk Seri, jalan sini; Datuk Seri, air sini; Datuk Seri, elektrik sini… Sampai saya nak tidur pun diganggu. Tapi saya hormat, sebab itu semua demi rakyat Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis temu rapat dengan pimpinan masyarakat tempatan dan sahabat usahawan Tuaran di sini pada Khamis.

Hadir sama Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Perdana Menteri turut menyeru pengundi supaya terus memberikan mandat kepada calon-calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman; Tamparuli; Kiulu dan Pantai Dalit demi memastikan kestabilan kerajaan negeri dapat dikekalkan.

Beliau berkata, kekuatan kerjasama antara kerajaan negeri dan Persekutuan penting bagi mempercepat pembangunan Sabah.

Perdana Menteri turut mengingatkan golongan muda agar membuat penilaian berdasarkan rekod dan integriti pemimpin, bukannya sentimen atau retorik.

“Kita bercakap tentang masa depan kamu. Tengok rekod seseorang itu, terutama kalau dia pernah jadi pemimpin.

“Ada yang bila diberi jawatan Menteri Persekutuan, bercakap lain, kerja lain. Bila datang pilihan raya, terus pusing. Itu tak boleh,” tegasnya. – SABAH MEDIA

]]>
https://sabahmedia.com/2025/11/27/hajiji-sentiasa-utamakan-kepentingan-rakyat-sabah-pm-anwar/feed/ 0 87183
PRU Sabah bukan medan bermusuh, fokus selesai isu rakyat – PM Anwar https://sabahmedia.com/2025/11/16/pru-sabah-bukan-medan-bermusuh-fokus-selesai-isu-rakyat-pm-anwar/ https://sabahmedia.com/2025/11/16/pru-sabah-bukan-medan-bermusuh-fokus-selesai-isu-rakyat-pm-anwar/#respond Sun, 16 Nov 2025 07:45:40 +0000 https://sabahmedia.com/?p=86044
Read Time:1 Minute, 38 Second

TENOM : Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU DU Sabah) ke-17 bukan medan perbalahan atau pertarungan emosi, sebaliknya peluang memilih sebuah kerajaan yang benar-benar mampu menyelesaikan isu asas rakyat.

Berucap dalam Program Rahmah Mesra YAB PM Sayang Sabah bersama pimpinan masyarakat DUN Melalap hari ini, beliau berkata pembangunan Sabah memerlukan kerjasama kukuh antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan, bukannya retorik politik yang menimbulkan perpecahan.

“Pilihan raya bukan pesta… bukan untuk perang atau marah-marah. Kita pilih kerajaan yang boleh buat kerja, bukan yang hanya pandai janji,” katanya.

Perdana Menteri turut menjelaskan bahawa banyak masalah di Sabah – khususnya bekalan air dan sambungan elektrik luar bandar – merupakan isu berlarutan yang diwarisi sejak sekian lama.

“Betul, air belum selesai. Elektrik belum selesai. Tetapi ini semua kita warisi. Kerajaan sekarang sedang selesaikan, bukan tambah masalah,” ujarnya.

Bagi mempercepatkan penyelesaian masalah utiliti itu, Kerajaan Persekutuan telah menyalurkan tambahan RM1.2 bilion kepada Sabah.

Mengulas mengenai tuntutan hak 40 peratus hasil negeri, Perdana Menteri menegaskan bahawa kerajaan tidak mempersoalkan hak tersebut, sebaliknya hanya membuat rayuan terhadap alasan teknikal yang diputuskan mahkamah.

“Kita tidak merayu 40 peratus. Kita hanya rayu bahagian alasan hakim yang tidak tepat. Hak Sabah tetap hak Sabah,” katanya.

Jawatankuasa Teknikal bersama Kementerian Kewangan dijadualkan bermesyuarat bagi merangka kaedah pelaksanaan mengikut keputusan Mahkamah Tinggi.

Kerajaan Persekutuan turut menambah peruntukan sebanyak RM10 bilion bagi memulihkan dan mempercepatkan pembinaan jalan-jalan utama di Sabah dan Sarawak yang terbantut sejak lebih satu dekad.

“Sarawak hampir siap. Sabah ketinggalan kerana projek lama lambat jalan. Kita percepatkan sekarang,” jelas beliau.

Perdana Menteri turut menyeru rakyat agar menolak politik perpecahan berasaskan kaum, sambil memuji keharmonian masyarakat Sabah yang menjadi contoh di Malaysia.

“Untuk apa Melayu gaduh dengan Melayu? Melayu gaduh dengan Cina? Kita semua rakyat Malaysia. Sabah aman sebab semua hidup bersama,” katanya.

Beliau turut memberi jaminan bahawa bantuan seperti Sumbangan Dapur Rahmah (SDR) akan diteruskan bagi membantu golongan berpendapatan rendah, termasuk masyarakat di pedalaman. – SABAH MEDIA

]]>
https://sabahmedia.com/2025/11/16/pru-sabah-bukan-medan-bermusuh-fokus-selesai-isu-rakyat-pm-anwar/feed/ 0 86044
Kerajaan Persekutuan belanja RM17 bilion untuk Sabah – PM Anwar https://sabahmedia.com/2025/11/09/kerajaan-persekutuan-belanja-rm17-bilion-untuk-sabah-pm-anwar/ https://sabahmedia.com/2025/11/09/kerajaan-persekutuan-belanja-rm17-bilion-untuk-sabah-pm-anwar/#respond Sun, 09 Nov 2025 06:01:04 +0000 https://sabahmedia.com/?p=85332
Read Time:1 Minute, 21 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

KOTA KINABALU: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kerajaan Persekutuan membelanjakan RM17 bilion kepada Sabah berbanding RM10 bilion hasil negeri yang dikutip setiap tahun.

Katanya, Sabah menerima peruntukan pembangunan paling tinggi berbanding negeri lain kerana kerajaan pusat menyedari masih wujud banyak kekurangan yang memerlukan perhatian segera termasuk jalan berlubang, sekolah daif dan jurang kemiskinan yang tinggi.

“Saya anak Pulau Pinang. Kalau ikut hati, saya beri lebih kepada negeri saya. Tetapi saya Perdana Menteri Malaysia. Tanggungjawab saya ialah menjaga Sabah, Perlis, Kelantan, Selangor dan seluruh negara.

“Berapa yang Kerajaan Persekutuan belanja untuk Sabah? Bangunkan sekolah, perubatan, kirim doktor, sempadan ESSCOM, kawal sempadan, pertahanan, semuanya. Kita ambil hasil RM10 bilion, kita bagi balik RM17 bilion.

“Sebab apa? Sebab kita pakat di antara persekutuan dan negeri, gunakan hasil kita membangunkan semua negara di Malaysia ini. Dan kebetulan Sabah sedikit ketinggalan, kita bantu lebih,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Rancakkan MADANI Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Ahad.

Perdana Menteri berkata, prinsip perkongsian hasil antara negeri dan persekutuan bertujuan membangunkan Malaysia secara keseluruhan, termasuk negeri-negeri yang lebih miskin seperti Kelantan dan Perlis.

“Kelantan, negeri miskin, masalah banjir tiap tahun. Kita belanja berbilion ringgit walaupun negeri pembangkang. Hasil sedikit negeri miskin. Perlis, negeri miskin, cukai tidak cukup, gaji pun Kerajaan Persekutuan kena bayar. Bayangkan.

“Ini sekurang-kurangnya Sabah ini jauh lebih hebat. Gaji pegawai kerajaan negeri, kerajaan negeri yang bayar. Perlis, gaji pegawai kerajaan itu dibayar semuanya oleh Persekutuan, sebab cukai dia kecil. Ini baru negara. Saya kena jaga Sabah. Saya juga kena jaga Perlis,” katanya. – SABAH MEDIA

]]>
https://sabahmedia.com/2025/11/09/kerajaan-persekutuan-belanja-rm17-bilion-untuk-sabah-pm-anwar/feed/ 0 85332
Hentikan politik perbalahan, fokus majukan ekonomi Malaysia – PM Anwar https://sabahmedia.com/2025/11/08/hentikan-politik-perbalahan-fokus-majukan-ekonomi-malaysia-pm-anwar/ https://sabahmedia.com/2025/11/08/hentikan-politik-perbalahan-fokus-majukan-ekonomi-malaysia-pm-anwar/#respond Sat, 08 Nov 2025 14:25:32 +0000 https://sabahmedia.com/?p=85305
Read Time:1 Minute, 56 Second

Oleh Rhea Dharmin

KOTA KINABALU : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa keutamaan kerajaan ketika ini adalah mengukuhkan ekonomi negara.

Beliau turut mengingatkan bahawa perbalahan politik hanya akan merugikan rakyat dan menyekat kemajuan Malaysia.

Menurutnya, beberapa perkara yang berjaya dikecapi Malaysia ketika mempengerusikan ASEAN 2025, baru-baru ini menimbulkan pelbagai reaksi dari banyak pihak.

“Kita mesti ingat. Baru-baru ini kita ada ASEAN. Kita boleh selesaikan rundingan dengan Presiden Donald Trump hari Ahad. Hari Isnin, kita boleh duduk dengan Premier Li Qiang dari China. Asasnya, fokus kita apa? Negara yang aman, mesra dengan semua negara.

Perdana Menteri ketika berucap pada majlis itu malam ini – Foto Sabah Media / Yusof Mohamad

“Orang marah saya sebab terlalu baik dengan China, marah Baik dengan Amerika. Mereka marah saya tidak peduli. Marah atau tidak marah, saya mahu jaga negara ini supaya Malaysia menjadi negara besar.

“Kalau kita mahu berjaya dalam ekonomi, kita kena berkawan dengan semua (walaupun) bukan kita setuju semua (perkara).

“Tapi apa yang kita sepakat? Apa yang kita fokus? Selamatkan negara ini. Kita sudah rugi banyak tahun .. gaduh, politik tidak habis-habis .. rugi. Mahu Semenanjung gaduh-gaduh tapi siapa yang untung? Maka kita mahu tolong rakyat .. itu fokus kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Sesi Ramah Mesra PM Bersama Persatuan Industri Sabah bertempat di The Magellan Sutera, di sini, malam ini.

Hadir sama, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan bahawa hubungan baik antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri khususnya Sabah harus dikekalkan.

Katanya, kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sabah memerlukan antara satu sama lain dari pelbagai aspek.

Susulan itu, beliau berharap agar pertelingkahan khususnya dalam politik harus diketepikan dalam usaha menjaga hubungan terbabit.

“Saya tidak mahu politik gaduh dan lupa bahawa fokus kita adalah untuk menyokong semua negeri. Kita perlu Sabah dan Sabah perlu kerajaan Persekutuan.

“Mahu bergaduh boleh. Orang atas bergaduh, orang bawah yang susah. Mahu gaduh dengan saya sebab apa?

“Kita bekerja bersama. Pakatan Harapan (PH) kita pun tidak bertanding banyak kerusi (untuk Pilihan Raya Negeri ke-17). Anda mahu pilih siapa? Pilih orang yang bawa kerjasama dengan kita.

“Pilih orang di Sabah supaya bersama-sama bekerja bersama kerajaan Persekutuan untuk meningkatkan taraf hidup dan ekonomi di Sabah,” katanya. – SABAH MEDIA

]]>
https://sabahmedia.com/2025/11/08/hentikan-politik-perbalahan-fokus-majukan-ekonomi-malaysia-pm-anwar/feed/ 0 85305
Pasca Banjir : Perdana Menteri lawat SK Rampayan https://sabahmedia.com/2025/09/26/pasca-banjir-perdana-menteri-lawat-sk-rampayan/ https://sabahmedia.com/2025/09/26/pasca-banjir-perdana-menteri-lawat-sk-rampayan/#respond Fri, 26 Sep 2025 07:55:04 +0000 https://sabahmedia.com/?p=82032
Read Time:1 Minute, 8 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

KOTA KINABALU : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan lawatan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Rampayan di sini yang terjejas akibat bencana banjir baru-baru ini.

Beliau yang diiringi Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor tiba di sekolah berkenaan kira-kira jam 2.30 petang bagi meninjau sendiri keadaan semasa serta mendengar keluhan warga sekolah dan penduduk setempat.

Hadir sama pada lawatan itu, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Sejurus tiba, Perdana Menteri meluangkan masa beramah mesra dengan guru, ibu bapa serta penduduk yang hadir sebelum dibawa meninjau kawasan sekolah yang terjejas sebelum ini.

Selesai melawat dan meninjau kawasan sekolah, Perdana Menteri turut meninjau kawasan Kampung Rampayan yang turut terjejas dengan banjir baru-baru.

Beliau mengambil masa kira-kira 20 minit melawat sekolah dan Kampung Rampayan sebelum  meninjau  Jeti Sungai Inanam Laut dalam lawatan pasca banjir.

Sementara itu, Anwar berkata, Kerajaan Persekutuan bersama-sama Kerajaan Negeri Sabah akan memberi keutamaan untuk mempercepatkan pelaksanaan projek pemulihan, menaik taraf infrastruktur agar ia dapat dilaksanakan sesegera mungkin, menyeluruh dan berkesan demi kesejahteraan rakyat.

“Saya turut menegaskan agar kesiapsiagaan pasukan perlu sentiasa dipertingkat, memandangkan cabaran perubahan iklim yang tidak menentu menuntut keupayaan kita untuk bersedia pada setiap masa,” katanya.

Selain mengadakan lawatan pasca banjir, Perdana Menteri turut dijadual hadir beberapa program di Inanam, Tawau dan Sandakan. SABAH MEDIA

]]>
https://sabahmedia.com/2025/09/26/pasca-banjir-perdana-menteri-lawat-sk-rampayan/feed/ 0 82032
PM Anwar berlepas pulang ke Kuala Lumpur https://sabahmedia.com/2025/08/03/pm-anwar-berlepas-pulang-ke-kuala-lumpur/ https://sabahmedia.com/2025/08/03/pm-anwar-berlepas-pulang-ke-kuala-lumpur/#respond Sun, 03 Aug 2025 07:14:23 +0000 https://sabahmedia.com/?p=78479
Read Time:34 Second

Kota Kinabalu: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berlepas pulang ke ibu negara selepas selesai mengadakan lawatan kerja sehari ke Sabah pada jam 2 petang tadi.

Beliau berada di Sabah bagi menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada jam 9 pagi tadi.

Selepas itu, Perdana Menteri turut menghadiri Perjumpaan bersama Barisan Pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah di sini, pada Ahad.

Hadir mengiringi Perdana Menteri di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) adalah Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, Speaker DUN Sabah Datuk Seri Kadzim M. Yahya, Timbalan Ketua Menteri Ir. Shahelmey Yahya dan Menteri Kewangan Datuk Seri Masidi Manjun.-

]]>
https://sabahmedia.com/2025/08/03/pm-anwar-berlepas-pulang-ke-kuala-lumpur/feed/ 0 78479