perdana park – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Fri, 03 Jul 2026 05:14:34 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.0.2 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png perdana park – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 Perdana Park Tanjung Aru dibuka semula bermula esok https://sabahmedia.com/2026/07/03/perdana-park-tanjung-aru-dibuka-semula-bermula-esok/ https://sabahmedia.com/2026/07/03/perdana-park-tanjung-aru-dibuka-semula-bermula-esok/#respond Fri, 03 Jul 2026 05:14:28 +0000 https://sabahmedia.com/?p=99262
Read Time:1 Minute, 49 Second

KOTA KINABALU : Perdana Park Tanjung Aru di sini akan kembali dibuka kepada orang awam bermula Sabtu ini selepas melalui proses persiapan akhir oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) bagi memastikan operasi taman berada pada tahap optimum.

DBKK dalam satu kenyataan memaklumkan, pembukaan semula itu dibuat susulan penyerahan rasmi pengurusan Perdana Park Tanjung Aru oleh Kementerian Kewangan Negeri Sabah kepada DBKK pada 29 Jun 2026.  

Sehubungan itu, Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Seri Dr Sabin Samitah mengadakan sesi walkabout Pra Pembukaan bagi menilai kesiapsiagaan fasiliti, kebersihan kawasan serta aspek keselamatan sebelum taman dibuka kepada pengunjung.

Menurut DBKK, taman berkenaan akan beroperasi setiap hari bermula jam 7 pagi hingga 7 malam. 

Selepas waktu operasi, pintu pagar akan ditutup sepenuhnya dan sebarang aktiviti di dalam kawasan taman tidak dibenarkan bagi tujuan keselamatan.

Dalam masa sama, kemudahan tempat letak kereta akan disediakan secara percuma sementara sehingga pelaksanaan sistem pembayaran digital diperkenalkan pada masa akan datang.

Bagaimanapun, beberapa kawasan masih ditutup kepada orang awam kerana berada dalam fasa penilaian keselamatan, termasuk kawasan air pancut berirama, air pancut interaktif, taman permainan kanak-kanak berhampiran pejabat operasi serta sistem dispenser air.

DBKK menegaskan bahawa orang awam dilarang memasuki kawasan berkenaan dan sebarang pelanggaran boleh mengundang risiko keselamatan, selain pihaknya tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang insiden akibat pengingkaran arahan.

Selain itu, kerja-kerja naik taraf akan diteruskan secara berperingkat bagi memperkukuh kemudahan sedia ada serta meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan pengunjung.

Orang ramai juga dinasihatkan agar berhati-hati ketika menggunakan kemudahan taman seperti trek joging sintetik dan kawasan permainan kanak-kanak, terutama ketika keadaan permukaan licin selepas hujan.

Sehubungan itu, pengunjung diminta mematuhi semua peraturan taman termasuk menjaga kebersihan, tidak merosakkan harta benda awam serta mengikuti arahan dan papan tanda yang disediakan.

Antara larangan yang dikuatkuasakan termasuk memetik tanaman, merokok, membuat bising, membawa haiwan peliharaan serta memasang sebarang sepanduk tanpa kebenaran.

Aktiviti seperti memancing, mandi-manda, barbeku, berkhemah dan penjajaan juga tidak dibenarkan sama sekali, manakala sebarang penganjuran program atau aktiviti perlu mendapat kelulusan rasmi DBKK terlebih dahulu.

DBKK menyeru orang ramai agar terus memberi kerjasama dengan mematuhi semua peraturan ditetapkan bagi memastikan Perdana Park Tanjung Aru kekal sebagai destinasi rekreasi yang selamat, bersih dan selesa untuk semua.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/07/03/perdana-park-tanjung-aru-dibuka-semula-bermula-esok/feed/ 0 99262
Perdana Park masih ditutup atas faktor risiko keselamatan https://sabahmedia.com/2024/12/27/perdana-park-masih-ditutup-atas-faktor-risiko-keselamatan/ https://sabahmedia.com/2024/12/27/perdana-park-masih-ditutup-atas-faktor-risiko-keselamatan/#respond Fri, 27 Dec 2024 00:29:52 +0000 https://sabahmedia.com/?p=66021
Read Time:1 Minute, 27 Second

Kota Kinabalu : Kemudahan rekreasi di Perdana Park Tanjung Aru di sini masih lagi ditutup meskipun sudah diberi kebenaran untuk beroperasi semula oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

DBKK dalam satu kenyataan memaklumkan, taman berkenaan masih ditutup atas sebab risiko keselamatan disebabkan beberapa fasiliti dan infrastruktur taman telah mengalami kerosakan dan perlu diperbaiki serta dipulihkan secara menyeluruh.

“Antara kerosakan yang dilaporkan adalah keadaan trek joging yang telah merosot disebabkan cuaca dan penggunaan yang kerap serta peralatan taman permainan kanak-kanak yang telah berkarat dan lantai taman permainan kanak-kanak yang telah rosak.

“Taman permainan kanak-kanak berkenaan juga telah ditutup lebih awal atas sebab keselamatan.

“Selain itu, fasiliti dan peralatan senaman yang ada dalam taman tersebut juga telah uzur dan tidak selamat untuk digunakan,” menurut  kenyataan itu di sini semalam.

Selain itu, tarikan yang ada di taman tersebut seperti ‘musical fountain’ dan ‘jumping jet’ juga turut mengalami kerosakan dan tidak dapat beroperasi seperti yang sepatutnya.

Pihak operator juga menyatakan keperluan untuk menyelenggara sistem pembetungan dan perparitan kawasan taman dan memperbaiki pagar yang rosak.

Tambah DBKK, terdapat lantai konkrit yang tidak rata disebabkan akar-akar kayu dan boleh menyebabkan kecederaan kepada pengguna taman serta menyusahkan akses pengguna yang menggunakan kerusi roda.

“Pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah telah memeriksa kerosakan yang dialami oleh taman berkenaan dan menyediakan anggaran perbelanjaan yang diperlukan untuk membaiki dan memulihkan taman tersebut secara keseluruhan.

“Permohonan bajet ini sedang dalam pertimbangan oleh pejabat Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Negeri Sabah,” tambah kenyataan itu lagi.

Terdahulu, Perdana Park Tanjung Aru telah ditutup kepada orang awam pada 11 September lalu berikutan kejadian memerang menyerang pengguna taman yang sedang berjoging.

Namun pada 18 November, DBKK telah mengeluarkan surat kebenaran kepada Perdana Park Tanjung Aru untuk beroperasi semula. – SABAH MEDIA

]]>
https://sabahmedia.com/2024/12/27/perdana-park-masih-ditutup-atas-faktor-risiko-keselamatan/feed/ 0 66021