Perlu – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Fri, 22 Mar 2024 02:40:23 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.1 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png Perlu – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 Peranan wanita dalam keusahawanan perlu diberi keutamaan – Anna Bell https://sabahmedia.com/2024/03/22/peranan-wanita-dalam-keusahawanan-perlu-diberi-keutamaan-anna-bell/ https://sabahmedia.com/2024/03/22/peranan-wanita-dalam-keusahawanan-perlu-diberi-keutamaan-anna-bell/#respond Fri, 22 Mar 2024 02:26:35 +0000 https://sabahmedia.com/?p=51420
Read Time:3 Minute, 37 Second

KUALA LUMPUR: Peranan wanita dalam keusahawanan perlu diberi keutamaan kerana wanita juga berupaya membantu meningkatkan ekonomi keluarga, kata Senator Anna Bell Perian (gambar). 

Katanya, selain, wanita berperanan membawa keluar status keluarga miskin tegar kepada tahap ekonomi yang lebih baik melalui penglibatan dalam bidang perniagaan dan ekonomi.

“Justeru, bagi memperkasakan kemampuan dan kebolehan wanita dalam bidang keusahawanan ini mereka perlu diberi peluang mengikuti kursus, seminar atau program latihan berkaitan bidang keusahawanan bagi meningkatkan kemahiran, ilmu dan pengetahuan mereka,” katanya. 

Anna Bell berkata demikian ketika membahas membahaskan titah dan ucapan Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong di Dewan Negara, Kuala Lumpur semalam.

Beliau berkata, disamping pemberian modal dan dana juga diberikan kepada wanita yang berkecimpung dalam bidang perniagaan melalui pinjaman kewangan dari institusi-institusi kewangan. 

“Galakan dan insentif kerajaan seperti menyediakan tapak jualan untuk berniaga dan peralatan perniagaan yang lain amat diperlukan bagi membantu wanita dalam berniaga.

“Manakala program-program pembangunan wanita juga perlu dilaksanakan meliputi golongan ibu tunggal dan wanita berkahwin berpendapatan rendah dalam kategori B40,” ujarnya.

Tambah beliau, untuk mendepani corak kehidupan yang semakin mencabar dewasa ini, wanita juga seharusnya diberi ruang untuk menjalani hidup yang sihat dan sejahtera.

“Pendidikan pengurusan kesihatan mental dan kesihatan diri harus menjadi keutamaan dalam kalangan wanita.  Kesibukan bekerja, mengurus anak-anak dan keluarga menyebabkan berlaku tekanan emosi dan perasaan yang menyebabkan kesihatan mental dan diri wanita boleh terjejas. 

“Ketidakupayaan memikul tanggungjawab yang besar dan corak kehidupan yang semakin mencabar boleh mengakibatkan wanita semakin lemah dan mengambil tindakan yang tidak wajar.

“Wanita harus sentiasa diberikan dorongan emosi dan psikologi,” tegasnya. 

Menurutnya, keupayaan wanita dalam memimpin juga harus diberi ruang, peluang dan kepercayaan.

“Penglibatan wanita dalam mengorganisasi aktiviti-aktiviti kemasyarakatan perlu sentiasa diadakan kerana melalui penglibatan wanita ini dapat membentuk nilai-nilai kepimpinan dalam kalangan mereka,” katanya. 

Beliau berkata, wanita juga harus diiktiraf kemampuan dan kebolehan mereka dalam menerajui landskap pentadbiran. 

Katanya, kepercayaan harus diberikan kepada wanita sebagai golongan yang boleh memberi buah fikiran yang mantap dan jitu dalam membuat keputusan dalam pentadbiran kerajaan.

Dalam pada itu, Anna Bell juga turut menyuarakan di mana kerajaan negeri Sabah telah memperkenalkan satu pelan pembangunan negeri yang dikenali sebagai Hala Tuju Sabah Maju Jaya yang telah dilancarkan pada 29 Mac 2021.

“Hala Tuju Sabah Maju Jaya atau singkatannya SMJ menjadi pemangkin serta iltizam kerajaan negeri untuk membawa Sabah lebih maju dan membawa aspirasi rakyat Sabah maju kehadapan,” katanya.

Jelas beliau setelah hampir 3 tahun pelaksanaannya, ternyata Hala Tuju SMJ telah dapat membawa negeri Sabah ke landasan yang tepat untuk terus maju dan membangun.

“Beberapa petunjuk ekonomi memperlihatkan kewibawaan kepimpinan kerajaan negeri yang diterajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS). Ini sekali gus menunjukkan momentum yang amat positif terhadap pelaksanaan Hala Tuju SMJ.

“Sabah telah berjaya merekodkan hasil kerajaan negeri tertinggi dalam sejarah pada tahun 2023 berjumlah RM6.973 bilion.

“Malah momentum itu telah bermula sejak kerajaan yang diketuai oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor mengemudi kerajaan negeri dengan merekodkan jumlah hasil negeri yang besar iaitu  RM5.449 billion pada 2021 dan RM6.960 bilion pada tahun 2022.

“Pertambahan hasil bermakna lebih banyak dana dapat disalurkan kepada rakyat. Sejak tiga tahun kebelakangan ini, kerajaan negeri Sabah telah memperkenalkan pelbagai inisiatif baharu untuk membantu segenap lapisan rakyat, di samping meneruskan dan menambah baik inisiatif sedia ada,” jelasnya.

Menurutnya lagi, selain memperoleh hasil negeri yang tinggi, Sabah juga berjaya mencatat peningkatan pelaburan kumulatif berjumlah lebih RM33 bilion, di samping rekod dagangan antara yang tertinggi dalam sejarah berjumlah RM118.1 bilion pada tahun 2022, selain pertumbuhan ekonomi positif selepas mengalami kejatuhan disebabkan krisis ekonomi global dan COVID-19 pada awal tahun 2020.

“Justeru, kami memerlukan komitmen yang lebih serius daripada kerajaan persekutuan. Saya melihat ada ruang dan peluang yang amat baik untuk kita segera selesaikan masalah rakyat di Sabah apatah lagi dengan adanya kepimpinan yang berwibawa yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri.

“Komitmen Perdana Menteri untuk membantu Sabah dan Sarawak dizahirkan dengan beberapa tindakan dan pelaksanaan dasar penting yang berkaitan dengan hak kedua-dua negeri tersebut.

“Peningkatan kadar pemberian khas sebanyak RM300 juta kepada Sabah dan Sarawak pada tahun 2023 merupakan antara momentum terbaik untuk kita menyelesaikan tuntutan lebih besar khususnya melibatkan 2/5 atau 40 peratus hasil Sabah yang termaktub dalam MA63.

“Saya meletakkan kepercayaan bahawa kerajaan Madani mampu menterjemahkan kesungguhan kita untuk menoktahkan segala tuntutan yang tertangguh dalam Perjanjian Malaysia 1963,” tegas Anna Bell.

]]>
https://sabahmedia.com/2024/03/22/peranan-wanita-dalam-keusahawanan-perlu-diberi-keutamaan-anna-bell/feed/ 0 51420
Perlu langkah drastik, lakukan proses pembenihan awan di Sabah – Masiung https://sabahmedia.com/2024/03/04/perlu-langkah-drastik-lakukan-proses-pembenihan-awan-di-sabah-masiung/ https://sabahmedia.com/2024/03/04/perlu-langkah-drastik-lakukan-proses-pembenihan-awan-di-sabah-masiung/#respond Mon, 04 Mar 2024 07:51:49 +0000 https://sabahmedia.com/?p=50525
Read Time:1 Minute, 11 Second

KOTA KINABALU: Terdapat keperluan bagi Kerajaan Persekutuan mengambil langkah drastik untuk melakukan proses pembenihan awan di Sabah, kata Wakil Rakyat Kuamut, Datuk Masiung Banah.

Beliau berkata, cuaca panas dan kering ketika ini mencecah sehingga 40 darjah celsius telah mula menjejaskan bekalan air sedia ada di empangan negeri.

Katanya, laporan Jabatan Air Sabah (JAS) menunjukkan takungan empangan air berada di tahap kritikal dan hanya berbaki tiga bulan untuk menampung keperluan pengguna.

“Sumber air di lembangan sungai di beberapa daerah juga telah menunjukkan paras penurunan yang ketara.

” Gelombang haba yang tinggi hingga memusnahkan tanaman dan ternakan telah mula menjejaskan bekalan air penduduk di kawasan luar bandar, ” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) itu mahukan kerajaan Sabah segera mengemukakan permohonan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk melakukan proses pembenihan awan.

Mengulas lanjut isu itu, Masiung berkata, pada masa ini, keadaan kemarau dan cuaca panas di Sabah sudahpun mencecah satu bulan.

METMalaysia juga turut meramalkan keadan kering dan panas di Sabah akan berterusan sehingga hujung bulan Mei depan.

Fenomena monson barat daya kali ini agak luar biasa dan kerajaan perlu segera mengambil langkah drastik supaya proses pembenihan awan disegerakan.

Masiung berkata, langkah catuan bekalan air kurang disenangi penduduk. Lebih-lebih lagi pertengahan bulan Mac, umat Islam akan menunaikan ibadah puasa.

Dalam masa sama katanya, sekolah juga mula dibuka, di mana cuaca panas dan kering boleh menyebabkan orang ramai terdedah dengan strok haba.

]]>
https://sabahmedia.com/2024/03/04/perlu-langkah-drastik-lakukan-proses-pembenihan-awan-di-sabah-masiung/feed/ 0 50525
Konsep Geopark di tiga daerah perlu diberi nafas baharu – Christina https://sabahmedia.com/2024/01/21/konsep-geopark-di-tiga-daerah-perlu-diberi-nafas-baharu-christina/ https://sabahmedia.com/2024/01/21/konsep-geopark-di-tiga-daerah-perlu-diberi-nafas-baharu-christina/#respond Sun, 21 Jan 2024 06:35:32 +0000 https://sabahmedia.com/?p=48293
Read Time:1 Minute, 37 Second

KOTA BELUD: Konsep Geopark menggabungkan tiga elemen khususnya pelancongan, budaya dan alam sekitar, yang saling berkaitan perlu diberi nafas baharu di tiga daerah yang membentuk Tapak Kinabalu UNESCO Global Geopark (KUGGp) iaitu Ranau, Kota Marudu dan Kota Belud agar ia lebih mampan sekali gus meningkatkan ekonomi masyarakat setempat, kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew.

Menurut Christina, konsep Geopark bertepatan dengan peranan yang dimainkan oleh kementerian beliau, terutamanya berkaitan pelancongan berasaskan komuniti.

“Pemuliharaan budaya menjadi tumpuan utama kami di ketiga-tiga daerah ini. Khazanah budaya asli sesetengah kumpulan etnik tercermin dalam tradisi, pakaian tradisional, seni persembahan dan perayaan etnik mereka.

“Pelbagai tarikan pelancong sudah wujud di kawasan Geopark ini sebagai destinasi pelancongan yang memberi peluang ekonomi kepada masyarakat setempat.

“Memandangkan potensi Geopark Global UNESCO Kinabalu dalam sektor pelancongan dan kebudayaan, kami kini sedang merancang pembangunan produk pelancongan baharu dan mampan selaras dengan pemashyuran oleh kerajaan negeri hari ini oleh Ketua Menteri,” katanya semasa berucap Majlis Pemashyuran Kinabalu UNESCO GLobal Geopark dan Pelancaran Sambutan Jubli Intan Taman-Taman Sabah di Dataran Kota Belud, di sini pada Sabtu.

Selain itu, Christina berkata, kepelbagaian flora dan fauna serta landskap geologi yang unik juga menjadi tarikan utama pelancong di kawasan geopark ini.

“Kepelbagaian flora dan fauna serta landskap geologi adalah antara ciri unik yang luar biasa di kawasan geopark ini. Kepelbagaian sebegini dengan sendirinya merupakan produk pelancongan berasaskan alam semula jadi yang bernilai tinggi dan perlu diterokai oleh masyarakat tempatan dalam Kota Belud, Kota Marudu dan Ranau,” ujarnya.

Pada majlis itu, Christina turut memberi penghargaan kepada Kerajaan Negeri yang diterajui Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor bagi merealisasikan pengisytiharan berprestij Kinabalu Geopark sebagai Kinabalu UNESCO Global Geopark.

Katanya, selepas melalui pelbagai cabaran sejak tujuh tahun lalu, inisiatif Kinabalu Geopark akhirnya membuahkan hasil yang positif.

Dalam pada itu juga, Christina turut memberi penghargaan kepada jabatan, agensi, universiti dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kerana telah menyumbang ke arah Pengisytiharan Kinabalu Geopark sebagai Geopark Global UNESCO Kinabalu.

]]>
https://sabahmedia.com/2024/01/21/konsep-geopark-di-tiga-daerah-perlu-diberi-nafas-baharu-christina/feed/ 0 48293
Tahap kebersihan Kompleks Perikanan SAFMA Kota Kinabalu perlu dipertingkatkan segera – Dr Sabin https://sabahmedia.com/2024/01/20/tahap-kebersihan-kompleks-perikanan-safma-kota-kinabalu-perlu-dipertingkatkan-segera-dr-sabin/ https://sabahmedia.com/2024/01/20/tahap-kebersihan-kompleks-perikanan-safma-kota-kinabalu-perlu-dipertingkatkan-segera-dr-sabin/#respond Sat, 20 Jan 2024 09:12:36 +0000 https://sabahmedia.com/?p=48259
Read Time:1 Minute, 16 Second

KOTA KINABALU: Tahap kebersihan aktiviti menjaja ikan di kawasan Kompleks Perikanan SAFMA Kota Kinabalu perlu dipertingkatkan dalam tempoh terdekat sekali gus memberikan keselesaan kepada orang ramai.

Dr Sabin (kiri) mengadakan tinjuan di SAFMA Kota Kinabalu hari ini.

Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata, satu perbincangan secara rasmi bersama Sabah Fish Marketing Sdn Bhd (SAFMA) akan diadakan bagi memastikan aktiviti penjaja ikan dapat mematuhi garisan panduan yang ditetapkan.

Katanya, sehingga kini tahap kebersihan di kawasan Kompleks Perikanan SAFMA Kota Kinabalu sangat kurang memuaskan sehingga menimbulkan runggutan dalam kalangan orang ramai di ibu negeri.

“Masih ada ruang yang dapat kita perbaiki untuk meningkatkan tahap kebersihan di SAFMA ini namun perbincangan secara rasmi perlu dijalankan membabitkan antara DBKK dan Safma.

“Saya sendiri melawat serta menyaksikan aktiviti penjualan ikan Kompleks Perikanan SAFMA Kota Kinabalu hari ini. Memang kita akui tahap kebersihan sangat kurang memuaskan….Namun masih ada ruang untuk diperbaiki serta boleh dilaksanakan dalam tempoh terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan lawatan di sekitar Kompleks Perikanan SAFMA serta Pasar Besar Kota Kinabalu hari ini.

Dalam perkembangan sama Dr Sabin berkata, DBKK akan mewujudkan pertandingan kebersihan dalam kalangan peniaga gerai di sekitar kawasan Pasar Besar Kota Kinabalu.

“Ini merupakan inisiatif terbaharu DBKK untuk mengalakkan agar peniaga di Pasar Besar ini berusaha meningkatkan keceriaan gerai mereka disamping mengutamakan kebersihan sepanjang masa.

“Kita menasihatkan peniaga gerai di sini agar sentiasa mengutamakan kebersihan kerana kawasan Pasar Besar ini sering menjadi tumpuan orang ramai serta golongan pelancong untuk mendapatkan bekalan harian mereka,” jelas Dr Sabin.

]]>
https://sabahmedia.com/2024/01/20/tahap-kebersihan-kompleks-perikanan-safma-kota-kinabalu-perlu-dipertingkatkan-segera-dr-sabin/feed/ 0 48259
Struktur bangunan SK Darau daif dan tidak selamat, perlu perhatian segera https://sabahmedia.com/2024/01/06/struktur-bangunan-sk-darau-daif-dan-tidak-selamat-perlu-perhatian-segera-suzanah/ https://sabahmedia.com/2024/01/06/struktur-bangunan-sk-darau-daif-dan-tidak-selamat-perlu-perhatian-segera-suzanah/#respond Sat, 06 Jan 2024 13:01:00 +0000 https://sabahmedia.com/?p=47586
Read Time:4 Minute, 23 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Pihak Sekolah Kebangsaan (SK) Darau yang terletak kira-kira 13 kilometer dari bandaraya Kota Kinabalu, merayu kepada pihak berwajib supaya mengambil tindakan segera terhadap permohonan bantuan untuk menyelesaikan masalah struktur bangunan yang daif dan sistem perparitan tidak diselenggara dengan baik di sekitar sekolah berkenaan.

SK Darau mempunyai lima blok bangunan terdiri daripada 15 bilik darjah itu menempatkan seramai 1277 murid dan 100 murid pra-sekolah.

Mempunyai 72 orang guru dan 12 orang Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP), sekolah ini juga beroperasi pada dua sesi persekolahan iaitu sesi pagi dan petang.

Guru Besar SK Darau, Suzanah Awang Hussin berkata, bukan sahaja pihak sekolah tetapi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang prihatin sangat memerlukan perhatian segera kerana terdapat dua blok bangunan jenis kayu sekolah itu yang mempunyai tujuh bilik darjah, strukturnya sudah terlalu usang.

Suzanah

“Kami merayu kepada pihak berwajib supaya beri perhatian segera tentang masalah sekolah kami hadapi ini kerana ini juga melibatkan keselamatan warga sekolah ini, biarpun saya baru tiga bulan bertugas di sekolah ini dan saya dapati sekolah ini sangat ketinggalan dari segi infrastrukturnya walaupun di luar nampak sangat gah tapi di dalamnya sangat teruk. Jadi saya memohon pihak berkuasa setempat dapat membantu sekolah ini.

Siling bilik darjah reput, bocor dan apabila hujan air masuk ke dalam kelas.

“Kekurangan sekolah ini hanya dari segi infrastruktur, bangunan dan bilik darjah memang sangat teruk sebab itu saya mengharapkan agar pihak berkenaan dapat melawat kelas-kelas tertentu di mana lantai dan siling sudah reput dan bocor, bila hujan guru tidak boleh mengajar.

Bilik darjah SK Darau sering dilanda banjir.

“Ditambah lagi sistem perparitan tidak diselenggara dengan baik sekitar kawasan sekolah menyebabkan banjir kilat, apabila banjir budak terpaksa berkumpul di dewan tidak boleh berada di kelas kerana air masuk dalam kelas,” katanya ketika ditemui Sabah Media selepas majlis perasmian Program Sihat Lestari anjuran PIBG SK Darau di sini pada Sabtu.

Menurut Ahli Jawatankuasa (AJK) PIBG SK Darau, Aliuddin Majid, masalah tersebut sudah bertahun-tahun dihadapi di sekolah itu dan katanya, yang paling teruk dari 2017 sehingga kini belum ada penyelenggaraan sistem perparitan yang baik di sekitar sekolah dijalankan.

“Sekolah ini sering dilanda banjir kilat, setiap kali hujan, air masuk di kelas dan air tidak dapat keluar, tidak ada punca di mana air tersebut boleh keluar. Difahamkan pihak sekolah sudahpun melaporkan kepada pihak berkenaan mengenai perkara itu.

“Sehubungan dengan itu, pihak PIBG sekolah dengan berbesar hati akan sentiasa memberikan sokongan dan kerjasama apabila diperlukan oleh pihak sekolah.

“Para ibu bapa juga turut meluahkan rasa bimbang akan keselamatan anak-anak mereka yang belajar dalam keadaan struktur bangunan yang tidak kukuh serta berharap pihak berwajib dapat menyelesaikan masalah itu dengan segera,” katanya.

Selain itu mengenai perkembangan prestasi sekolah, Suzanah memaklumkan prestasi pencapaian murid SK Darau dalam akademik adalah memuaskan.

“Adalah sangat mencabar kepada guru-guru di sini, dari 1277 murid hanya 80 orang murid sahaja di bawah Tahap Penguasaan 3 (TP3) selebihnya sudah di atas TP3, jadi kalau kita tengok peratusnya sangat rendah yang lemah dan sangat tinggi yang pandai di sekolah ini.

“Oleh sebab guru sudah cukup kuat, murid semakin ramai, ibubapa pun bekerjasama dengan baik cuma kelemahan infrastruktur jadi kekangan kami, justeru keselesaan dan keselamatan murid di sekolah ini perlu diutamakan,” ujarnya.

Mengulas mengenai acara pada hari ini, Suzanah sangat kagum dengan kerjasama PIBG menjayakan program yang julung kali diadakan di sekolah tersebut.

“Saya sangat berbangga dengan PIBG di sekolah ini kerana mereka berjaya melaksana dan menunjukkan satu usaha bagaimana menarik para ibu bapa hadir dalam program yang bermanfaat seumpama ini.

“Program yang diselit dengan pelbagai aktiviti menarik seperti ceramah kesihatan, keibubapaan, demonstrasi keselamatan oleh pasukan Bomba, gerai-gerai jualan pelbagai produk makanan dan barangan serta cabutan tiket bertuah dan ini sekali gus mengeratkan lagi permuafakatan ibu bapa, guru serta masyarakat setempat,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pusat Khidmat Rakyat P171 Sepanggar, Ahsim Jamat berkata, beliau akan mendapatkan perincian masalah yang dihadapi SK Darau dan menyampaikan isu tersebut kepada Ahli Parlimen Sepanggar Datuk Mustapha Sakmud.

“Saya mewakili Yang Berhormat (YB), untuk menerima input-input dari sekolah ini, saya mendapati betapa perlunya sekolah ini untuk diberi perhatian, jadi apa-apa yang menjadi kekangan pihak sekolah untuk memberikan perkhidmatan yang baik kepada pelajar-pelajar kita, kita dapat minimakan, jika kita tidak dapat atasi secara keseluruhannya tetapi kita dapat minimakan.

“InshaAllah kita buat pemerhatian dari segi fizikal kelas-kelas, bilangan pelajar dalam satu kelas, infrastruktur parit, jalan, bekalan air serta elektrik kita akan tengok keperluannya supaya kita dapat bantu pihak sekolah,” katanya ketika hadir mewakili Mustapha merasmikan program di sekolah tersebut pada hari ini.

Beliau yang juga merupakan bekas pelajar di SK Darau suatu ketika dahulu turut memaklumkan akan bersama-sama dengan pihak sekolah membina rangkaian dari pelbagai pihak dengan sebaik mungkin untuk membantu sekolah itu.

“Saya juga difahamkan pihak sekolah telah banyak mendekati pihak-pihak tertentu untuk mendapatkan bantuan dan sebagainya disebabkan kedaifan sekolah ini.

“Apa yang saya dapat janjikan dari pihak parlimen, kami akan bersama-sama dengan pihak sekolah untuk mewujudkan rangkaian sebaik dan semantap mungkin dengan mana-mana agensi, badan dan jabatan supaya pihak sekolah tidak keseorangan meminta bantuan tanpa dilayan.

“Jadi itu yang dapat Pusat Khidmat Parlimen Sepanggar sampaikan kepada YB sendiri mengenai isu-isu sebegini, saya harap masalah ini dapat ditangani secepat mungkin,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2024/01/06/struktur-bangunan-sk-darau-daif-dan-tidak-selamat-perlu-perhatian-segera-suzanah/feed/ 0 47586
Sabah perlu perkasa usaha guna ‘Tenaga Boleh Baharu’, lestari alam sekitar – Amisah https://sabahmedia.com/2024/01/04/sabah-perlu-perkasa-usaha-guna-tenaga-boleh-baharu-lestari-alam-sekitar-amisah/ https://sabahmedia.com/2024/01/04/sabah-perlu-perkasa-usaha-guna-tenaga-boleh-baharu-lestari-alam-sekitar-amisah/#respond Thu, 04 Jan 2024 06:32:25 +0000 https://sabahmedia.com/?p=47469
Read Time:3 Minute, 17 Second

KOTA KINABALU: Negeri Sabah perlu untuk memperkasakan usaha untuk menggunakan “Tenaga Boleh Baharu” untuk penjanaan tenaga yang Lestari kepada alam sekitar dan sekali gus dapat mengatasi masalah bekalan elektrik di Sabah, kata Ahli Dewan Undangan Negeri Dilantik Datuk Amisah Yassin.

Katanya, Reserve Margin tenaga elektrik Sabah ketika ini hanyalah 12 peratus sahaja berbanding pada tahap selamat 30 peratus. System Average Interruption Duration Index (SAIDI) ataupun purata tempoh gangguan bekalan elektrik pengguna dalam setahun di Sabah pada tahun 2022 adalah setinggi 286 minit berbanding di semenanjung 45 minit sahaja.

“Sabah banyak bergantung dengan arang batu dan petroleum untuk menjana tenaga elektrik yang tidak Lestari kepada alam sekitar.

” Oleh itu Sabah perlu memperkasakan usaha untuk menggunakan tenaga boleh baharu kerana ia merujuk kepada sumber tenaga yang bersih, mampan, dan rendah impak alam sekitar yang digunakan untuk menghasilkan tenaga sekali gus dapat mengatasi masalah bekalan elektrik di Sabah,” katanya semasa membahaskan Rang Undang – Undang Tenaga Boleh Baharu Sabah 2024 yang dibentangkan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor di Sidang Khas Dewan Undangan Negeri di sini pada Rabu.

Menurut Amisah, beberapa contoh tenaga yang boleh baharu termasuklah Tenaga Solar, Tenaga Angin, Tenaga Hydro, Biomass, dan Tenaga Gelombang dan Arus.

Katanya, negeri Sabah mempunyai kelebihan untuk menerokai dan menggunakan sumber tenaga boleh baharu. Negeri Sabah menerima radiasi solar tertinggi sebanyak 1,861 kWh/m2 berbanding dengan negeri-negeri lain di Malaysia. Oleh kerana radiasi solar adalah relatif tinggi, tenaga suria PV dianggap sebagai pilihan RE yang layak untuk Negeri ini.

“Berdasarkan kajian oleh Lembaga Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA), Sabah mempunyai kapasiti potensi sebanyak 99.4 GW yang boleh dihasilkan melalui tenaga suria PV.

“Selain itu, Sabah juga mempunyai potensi tinggi dalam mengggunakan bio tenaga dari sisa-sisa hasil, terutamanya dari aktiviti kelapa sawit. Menurut SEDA, biojisim merupakan sumber bio tenaga terbesar di Sabah dengan kapasiti potensi sekitar 561 MW daripada lebih 26.2 juta tan biojisim dari ladang kelapa sawit,” katanya.

Memandangkan banyak lembah sungai di Sabah, Amisah berkata, negeri ini juga boleh memanfaatkan potensi untuk menghasilkan tenaga hidro, baik yang berskala kecil mahupun besar, dengan kapasiti potensi sebanyak 1.1 GW. Untuk geotermal, satu kajian yang diterajui oleh Jabatan Mineral dan Geosains telah mengenal pasti kira-kira 100 MW potensi sumber geotermal di Tawau, Sabah.

“Kelebihan tenaga yang boleh baharu termasuk membantu mengurangkan impak negatif terhadap alam sekitar, mengurangkan pencemaran udara, dan menyokong pembangunan mampan. Penerapan teknologi ini di Sabah dan seluruh Malaysia dapat membantu menyediakan sumber tenaga yang lebih bersih dan membina masa depan yang lebih lestari.

“Namun, status quo sekarang, kerajaan persekutuan masih memberikan subsidi diesel bagi penjanaan elektrik pada kadar RM1.50 untuk 1 Kilowatt Perjam berbanding Renewable Energy seperti tenaga hidro, solar, biojisim dan banyak lagi, hanya memerlukan subsidi kos 31.5 sen untuk 1 Kilowatt Perhour,” jelas beliau.

Menurutnya lagi, jumlah subsidi diesel untuk penjanaan elektrik adalah sebanyak RM1.27 Bilion iaitu 44% daripada jumlah keseluruhan subsidi sebanyak RM2.89 Bilion dari tahun 2016 hingga 2021 kepada Negeri Sabah.

“Penjanaan tenaga elektrik menggunakan diesel yang diketahui kos operasinya mahal dan mencemarkan alam sekitar. Sudah tiba masanya kita bertukar kepada projek penjanaan elektrik yang lebih mesra alam serta murah.

“Oleh itu, Kerajaan Persekutuan perlu mempercepatkan dan memastikan penurunan dana dan kelulusan seperti Projek Upper Padas Hydroelectric, Hulu Padas dan Sungai Maligan Hydropower, Projek-projek Solar walaupun selepas ini Kerajaan negeri mengambil alih kawal selia berkaitan elektrik di Negeri Sabah,” katanya.

Dalam pada itu, Amisah turut mengucapkan tahniah kepada Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan Kabinet Negeri kerana berjaya mendapatkan kembali autonomi untuk mengawalselia bekalan elektrik daripada kerajaan Persekutuan.

“Ini menunjukkan Kerajaan Negeri Sabah sekarang selari dalam memperjuangkan hak Sabah dalam penjanjian Malaysia 1963. Ia bukan sahaja soal kejayaan tetapi juga soal tanggungjawab Kerajaan Sabah pada hari ini untuk menangani masalah bekalan elektrik pada masa jangka pendek, sederhana dan panjang.

“Oleh demikian saya sangat menyokong penubuhan Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) untuk memastikan Kerajaan Sabah sentiasa dalam landasan yang betul dalam urusan tenaga di Sabah,” tegasnya.

]]>
https://sabahmedia.com/2024/01/04/sabah-perlu-perkasa-usaha-guna-tenaga-boleh-baharu-lestari-alam-sekitar-amisah/feed/ 0 47469