pertanian – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Sat, 25 Apr 2026 09:28:20 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.0.2 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png pertanian – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 MAFFI galak sekolah luar bandar mohon kemudahan pertanian https://sabahmedia.com/2026/04/25/maffi-galak-sekolah-luar-bandar-mohon-kemudahan-pertanian/ https://sabahmedia.com/2026/04/25/maffi-galak-sekolah-luar-bandar-mohon-kemudahan-pertanian/#respond Sat, 25 Apr 2026 09:28:16 +0000 https://sabahmedia.com/?p=95533
Read Time:1 Minute, 35 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

BEAUFORT: Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) menggalakkan semua sekolah khususnya di luar bandar mengambil inisiatif untuk mendapatkan dan memohon kemudahan berkaitan pertanian yang disediakan MAFFI.

Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Ruslan Muharam berkata, inisiatif itu adalah bertujuan bagi memperkasa pendidikan serta kemahiran pelajar dalam bidang pertanian.

“Setakat ini permohonan bagi mendapatkan kemudahan pertanian seperti rumah hijau lebih banyak diterima daripada sekolah di kawasan bandar, manakala penyertaan sekolah luar bandar masih rendah.

“Keadaan itu perlu diubah dengan menggalakkan pihak sekolah di luar bandar mengambil peluang yang disediakan, walaupun kemudahan yang ditawarkan adalah terhad.

“Di kawasan seperti Beaufort, terdapat lebih 10 sekolah menengah dan kira-kira 30 sekolah rendah. Kita menyasarkan sekurang-kurangnya dua rumah hijau dapat disediakan untuk sekolah menengah dan dua lagi untuk sekolah rendah pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Sekolah (MAKES) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gadong di sini pada Sabtu.

Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan berkata, usaha itu penting bagi memberi pendedahan awal kepada pelajar kepada bidang pertanian, selain melengkapkan mereka dengan kemahiran bercucuk tanam yang boleh dimanfaatkan dalam kehidupan seharian.

“Bukan sahaja fokus kepada akademik, tetapi kita mahu pelajar mempunyai kemahiran praktikal. Dengan ilmu pertanian, mereka bukan sahaja mampu melihat tanaman hidup subur, malah berpotensi menjana pendapatan sendiri,” katanya.

Tambah beliau, tidak semua pelajar akan terus mendapat pekerjaan selepas menamatkan persekolahan, justeru kemahiran pertanian boleh menjadi alternatif untuk mereka berdikari sementara menunggu peluang pekerjaan.

Dalam masa sama, beliau turut menekankan kepentingan program kebun dapur yang dilihat mampu membantu meningkatkan pendapatan isi rumah serta menyokong keperluan makanan keluarga.

Mengulas lanjut, beliau berkata Beaufort berpotensi menjadi hab pertanian khususnya di kawasan seperti Lumadan yang mempunyai banyak tanah terbiar.

Katanya, jika dimanfaatkan sepenuhnya, kawasan tersebut bukan sahaja mampu memberi peluang ekonomi kepada masyarakat setempat, malah membantu meningkatkan tahap keterjaminan makanan di Sabah. – SABAH MEDIA

]]>
https://sabahmedia.com/2026/04/25/maffi-galak-sekolah-luar-bandar-mohon-kemudahan-pertanian/feed/ 0 95533
Jabatan Pertanian diarah laksana bancian kerosakan tanaman akibat banjir di Sabah https://sabahmedia.com/2026/01/17/jabatan-pertanian-diarah-laksana-bancian-kerosakan-tanaman-akibat-banjir-di-sabah/ https://sabahmedia.com/2026/01/17/jabatan-pertanian-diarah-laksana-bancian-kerosakan-tanaman-akibat-banjir-di-sabah/#respond Sat, 17 Jan 2026 02:03:31 +0000 https://sabahmedia.com/?p=89872
Read Time:1 Minute, 25 Second

PUTATAN : Jabatan Pertanian sudah diarah untuk membuat bancian kerosakan tanaman akibat banjir yang dialami penduduk khususnya petani di beberapa buah daerah di Sabah baru-baru ini.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah Datuk Jamawi Jaafar berkata, bancian itu adalah bagi mengenal pasti nilai kerugian dan bantuan yang perlu disalurkan kepada mereka yang terjejas akibat banjir.

“Kami di peringkat Kementerian telah diamanakan supaya Jabatan Pertanian turun padang dan melihat kerosakan ataupun pokok-pokok yang mati dan dinilai kerosakannya

“Ia seterusnya akan diserahkan kepada pihak  Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA)  dan saya difahamkan ada sedikit bantuan bagi mengganti kerosakan dan sebagainya oleh pihak berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Hari Terbuka Peladang Putatan dan Pesta Durian Rakyat, anjuran Pertubuhan Peladang Kawasan Putatan buat kali kedua di sini, pada Jumaat.

Hadir sama Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir. Shahelmey  Yahya; Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Petagas; Datuk Awang Ahmad Sah Awang Sahari; ADUN Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya; Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Leonard Stephen Poyong dan Pengerusi Lembaga Pengarah Peladang Putatan yang juga Pengerusi Penganjur, Datuk Seri Dr Arsit Sedi.

Awal tahun ini, beberapa buah daerah termasuk Beaufort; Tenom dan Kota Belud dilaporkan terjejas banjir dengan lebih 1,000 penduduk dipindahkan ke Pusat Penempatan Sementara (PPS) yang diaktifkan.

Terdahulu, Jamawi berkata, pihaknya berhasrat untuk menjadikan Putatan sebagai pekan durian tahunan serta pusat aktiviti pertanian komuniti melalui pelaksanaan program Kebun Dapur.

“Putatan bukanlah kawasan penanaman durian, namun dengan adanya aktiviti seperti ini, Putatan sudah menjadi tempat atau kawasan menikmati durian secara percuma di kawasan bandar.

“Tahun ini, musim durian dijangka bermula pada bulan Oktober, dan tahun depan saya sendiri akan menaja lebih banyak durian untuk program ini,” katanya. – SABAH MEDIA

]]>
https://sabahmedia.com/2026/01/17/jabatan-pertanian-diarah-laksana-bancian-kerosakan-tanaman-akibat-banjir-di-sabah/feed/ 0 89872
Sabah dan Sarawak sumbang 30.1% hasil jualan pertanian negara https://sabahmedia.com/2025/08/02/sabah-dan-sarawak-sumbang-30-1-hasil-jualan-pertanian-negara/ https://sabahmedia.com/2025/08/02/sabah-dan-sarawak-sumbang-30-1-hasil-jualan-pertanian-negara/#respond Sat, 02 Aug 2025 00:00:45 +0000 https://sabahmedia.com/?p=78399
Read Time:2 Minute, 19 Second

Oleh Florieta Diet

KOTA KINABALU: Sabah dan Sarawak menyumbang 30.1 peratus hasil jualan pertanian negara, sekali gus membuktikan peranan penting kedua-dua wilayah dalam menjamin keterjaminan makanan nasional kata Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup.

‘Daripada jumlah itu, sebanyak RM25.1 bilion disumbangkan oleh Sabah, manakala Sarawak menyumbang RM23.6 bilion, berdasarkan dapatan Laporan Interim Banci Pertanian 2024,” katanya ketika berucap pada Majlis Pra Pelancaran MyFood 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di sini pada Jumaat.

Beliau berkata kedua-dua negeri ini memiliki potensi luar biasa yang harus digembleng secara terancang untuk memperkukuh sektor agromakanan negara.

Beliau juga menekankan kepelbagaian hasil pertanian dan kepakaran tempatan di Sabah dan Sarawak perlu dipertingkatkan dan diketengahkan di platform lebih luas seperti MyFood 2026, yang dijadual berlangsung pada Mei 2026 di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC).

Menurut Arthur, sektor pertanian merupakan salah satu sektor utama dalam ekonomi Malaysia dan memainkan peranan penting dalam pembangunan negara sejak awal kemerdekaan. Pada tahun lalu, sektor agromakanan menyumbang 11.3 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara, iaitu berjumlah RM186.01 bilion.

Beliau turut memetik laporan Global Food Security Index yang meletakkan Malaysia di tangga ke-41 dunia dan ke-8 di Asia Pasifik dalam aspek keterjaminan makanan.
Namun, menurutnya, negara masih berhadapan dengan defisit perdagangan sektor agromakanan yang tinggi dengan nilai eksport RM54.38 bilion berbanding import sebanyak RM93.73 bilion.

“Defisit ini perlu dikurangkan melalui pelaksanaan strategi menyeluruh bagi meningkatkan eksport produk pertanian dan agromakanan, terutamanya produk bernilai tinggi,” katanya.

Tambah beliau, kementeriannya komited untuk meningkatkan produktiviti pengeluaran agromakanan tempatan melalui pelaksanaan Dasar Agromakanan Negara 2021–2030 (DAN 2.0) dan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021–2025.

MyFood 2026 yang bakal
berlangsung dari 7 hingga 9 Mei 2026 di KLCC akan menjadi platform penting yang menghubungkan pelbagai pihak termasuk pemain industri, usahawan muda, penyelidik dan pembuat dasar.

Program ini bukan sekadar ekspo jualan, tetapi juga platform pemindahan ilmu menerusi forum, seminar dan kolaborasi pelbagai agensi dengan pendekatan ‘slow food’ berasaskan warisan, kelestarian dan pemprosesan berskala kecil.

Arthur berkata negara maju seperti Itali dan Jepun telah lama mengamalkan konsep ini, yang menyokong petani kecil dan menggalakkan pengeluaran makanan tempatan serta sistem makanan lestari. Malaysia perlu mencontohi kejayaan tersebut dan menjadi peneraju di rantau ASEAN.

Beliau juga menegaskan gaya hidup di kawasan luar bandar yang masih menanam sendiri bahan makanan memudahkan amalan konsep slow food berbanding di kawasan bandar yang lebih memerlukan inovasi teknologi seperti hidroponik.

Majlis pra pelancaran MyFood 2026 di Kota Kinabalu ini diadakan hasil kerjasama dengan Opulence Exhibition Services Sdn. Bhd. (OES), dan mendapat sokongan penuh kerajaan serta kementerian dalam usaha memperkasakan pengeluar makanan tempatan.

“Semoga MyFood 2026 menjadi medan untuk memperkasa pengeluar makanan tempatan agar keunikan dan kesinambungan produk makanan warisan kita terus terpelihara dan dikembangkan,” ujar Arthur.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/08/02/sabah-dan-sarawak-sumbang-30-1-hasil-jualan-pertanian-negara/feed/ 0 78399
Tiga MoU dimeterai, pacu pembangunan pertanian Sabah https://sabahmedia.com/2025/08/01/tiga-mou-dimeterai-pacu-pembangunan-pertanian-sabah/ https://sabahmedia.com/2025/08/01/tiga-mou-dimeterai-pacu-pembangunan-pertanian-sabah/#respond Fri, 01 Aug 2025 14:55:19 +0000 https://sabahmedia.com/?p=78385
Read Time:1 Minute, 42 Second

Oleh Florieta Diet

KOTA KINABALU: Usaha memperkukuh kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta dalam pembangunan pertanian terus diperkasa apabila tiga memorandum persefahaman (MoU) dimeterai hari ini, membabitkan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) bersama beberapa syarikat strategik.

Majlis Penyerahan Memorandum Persefahaman (MoU) berkenaan disaksikan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini.

Menurut beliau, kerjasama tersebut dijangka memberi impak besar kepada sektor pertanian dan industri makanan negara, selain membantu mengurangkan kebergantungan terhadap import bahan makanan utama seperti jagung bijian.

“MoU pertama dimeterai antara Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Keningau dan Absolute Moringa Sendirian Berhad dengan nilai kerjasama berjumlah RM10 juta. Ia bertujuan memperkasakan pengedaran dan pemasaran input pertanian di Sabah melalui kerjasama strategik,” katanya pada sidang media selepas majlis berkenaan.

MoU kedua pula melibatkan LPP dan Desa Keningau Livestock Industries Sendirian Berhad bagi pelaksanaan projek tanaman jagung bijian bernilai RM3 juta.

“Projek ini akan dimulakan dalam masa terdekat dan bertujuan meningkatkan pengeluaran jagung bijian tempatan melalui pendekatan korporat serta pemindahan teknologi. Ini secara langsung akan membantu menurunkan kos makanan ternakan serta meningkatkan kadar sara diri negara,” katanya.

MoU ketiga dimeterai antara LPP dan Sawit Kinabalu Farm Products Sendirian Berhad, yang membabitkan kerjasama teknikal dalam melaksanakan projek integrasi ternakan lembu biak baka di ladang sawit milik syarikat itu.

“Walaupun kerjasama ini tidak melibatkan nilai kewangan secara langsung, ia penting dalam usaha memaksimumkan penggunaan tanah pertanian serta meluaskan pelaksanaan ternakan integrasi di negeri ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Arthur berkata kerjasama strategik seumpama itu sangat signifikan dalam memastikan keterjaminan makanan negara, khususnya dalam sektor ternakan ruminan seperti lembu.

“Kadar sara diri daging lembu ketika ini hanya sekitar 16 peratus, sedangkan sasaran kita menjelang 2030 adalah untuk mencapai 50 peratus. Justeru, kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta amat penting bagi memastikan impak ekonomi dapat dirasai hingga ke peringkat akar umbi,” katanya.

HPPNK 2025 yang berlangsung selama tiga hari di SICC menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan, pemain industri pertanian, penternakan dan perikanan, serta usahawan tempatan dari seluruh negara.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/08/01/tiga-mou-dimeterai-pacu-pembangunan-pertanian-sabah/feed/ 0 78385
Sabah catat bilangan pegangan pertanian tertinggi https://sabahmedia.com/2025/07/16/sabah-catat-bilangan-pegangan-pertanian-tertinggi/ https://sabahmedia.com/2025/07/16/sabah-catat-bilangan-pegangan-pertanian-tertinggi/#respond Wed, 16 Jul 2025 00:33:30 +0000 https://sabahmedia.com/?p=77392
Read Time:1 Minute, 57 Second

Kota Kinabalu : Sabah mencatatkan bilangan pegangan pertanian tertinggi di Malaysia dengan 159,259 pegangan dan menjadi antara negeri penyumbang utama sektor pertanian negara.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Jeffrey G. Kitingan berkata, dari jumlah itu subsektor tanaman mencatatkan jumlah tertinggi dengan 140,018 pegangan diikuti perikanan tangkapan (14,903), ternakan (2,242), akuakultur (2,164) serta perhutanan dan pembalakan (162).

“Negeri ini merekodkan 17.4 peratus daripada nilai jualan subsektor tanaman, sekaligus berada dalam kelompok empat negeri tertinggi. Sabah turut termasuk dalam tiga negeri teratas bagi subsektor perikanan tangkapan (13.8%) serta perhutanan dan pembalakan (19.6%).

“Data Banci Pertanian 2024 juga menunjukkan bahawa sektor pertanian di Sabah didominasi pegangan pertanian individu yang berumur 46 tahun dan ke atas iaitu lebih 70 peratus.

“Sementara itu, sekitar 35 peratus pegangan pertanian individu dilaporkan tidak memiliki sebarang sijil atau kelulusan pendidikan dan secara keseluruhan cerapan ini memberi gambaran yang jelas mengenai profil semasa pengusaha tani di Sabah.

“Laporan ini bukan sahaja memberi gambaran menyeluruh mengenai landskap semasa sektor pertanian malah menjadi landasan penting dalam merangka dasar dan strategi yang berimpak tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Peluncuran Laporan Interim Banci Pertanian 2024 Negeri Sabah, di sini pada Selasa.

Jeffrey yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah berkata, pada 2023 jumlah keluasan kawasan bertanam di Sabah direkodkan seluas 1,782.0 ribu hektar dengan sebahagian besarnya diusahakan oleh pegangan pertanian pertubuhan.

“Ini menggambarkan peranan penting organisasi dan syarikat dalam membentuk landskap pertanian negeri yang didominasi tanaman komoditi khususnya kelapa sawit.

“Daripada jumlah keseluruhan keluasan bertanam ini, seluas 1,574.4 ribu hektar atau 88.3 peratus merupakan kawasan bertuai,” katanya.

Sementara itu, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Sri Dr. Mohd Uzir berkata selain pelaksanaan Banci Pertanian setiap 10 tahun sebagai usaha memperkukuh sistem statistik pertanian negara, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) akan memperkenalkan survey pertanian jangka pendek untuk memastikan data statistik kekal relevan dan responsif terhadap trend semasa pada 2026.

“Hasil daripada Banci Pertanian 2024, Portal Sistem Statistik Pertanian Bersepadu atau dikenali sebagai TaniStats telah dibangunkan oleh DOSM,” katanya.

Berdasarkan laporan Banci Pertanian 2024, Keningau mencatat jumlah pegangan pertanian individu tertinggi di Sabah dengan 14,100 orang, diikuti Ranau (12,862) dan Kota Marudu (12,627) manakala dari nilai jualan, Kinabatangan merekodkan jumlah tertinggi iaitu RM4.15 bilion, diikuti Tawau (RM3.93 bilion) dan Lahad Datu (RM3.50 bilion).-

]]>
https://sabahmedia.com/2025/07/16/sabah-catat-bilangan-pegangan-pertanian-tertinggi/feed/ 0 77392
Rasionalisasi Subsidi Telur Demi Keseimbangan Fiskal Negara https://sabahmedia.com/2025/05/05/rasionalisasi-subsidi-telur-demi-keseimbangan-fiskal-negara/ https://sabahmedia.com/2025/05/05/rasionalisasi-subsidi-telur-demi-keseimbangan-fiskal-negara/#respond Mon, 05 May 2025 07:53:32 +0000 https://sabahmedia.com/?p=73218
Read Time:2 Minute, 57 Second

Oleh Wan Azrain Adnan | 3 Mei 2025

KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia telah memulakan langkah penarikan subsidi telur ayam secara berperingkat dalam usaha menyusun semula keutamaan fiskal negara serta memperkukuh ketahanan kewangan jangka panjang. Langkah ini mencerminkan pendekatan baharu ke arah subsidi bersasar yang lebih efisien.

Pada 30 April lalu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengumumkan subsidi telur dikurangkan daripada 10 sen kepada 5 sen sebiji bermula 1 Mei 2025, sebelum dimansuhkan sepenuhnya pada 1 Ogos 2025. Menurut kementerian, keputusan ini dibuat berdasarkan kestabilan semasa dari segi bekalan dan kos pengeluaran.

Sepanjang tempoh Februari 2022 hingga Disember 2024, kerajaan telah membelanjakan hampir RM2.5 bilion bagi menampung subsidi telur ayam, bersamaan RM70 juta sebulan—satu angka yang tidak mampan untuk terus ditanggung dalam jangka masa panjang.

Keseimbangan Struktur Ekonomi

Subsidi ini diperkenalkan sewaktu krisis global akibat pandemik COVID-19 dan konflik Ukraine-Rusia yang menyebabkan lonjakan harga makanan ternakan seperti jagung dan soya. Kos makanan menyumbang hampir 70% kepada kos pengeluaran telur, dan akibatnya, ramai pengeluar menghadapi kerugian kerana harga siling kerajaan tidak menampung kos sebenar.

KPKM terpaksa menaikkan kadar subsidi dua kali pada akhir 2022 bagi menstabilkan bekalan—pertama kepada 8 sen dan kemudiannya kepada 10 sen sebiji.

Namun kini, dengan pasaran menunjukkan tanda-tanda kestabilan, kerajaan melihat waktu ini sebagai masa yang sesuai untuk kembali kepada mekanisme pasaran terbuka, selari dengan dasar rasionalisasi subsidi negara yang sedang dilaksanakan.

Reaksi Industri dan Pengguna

Langkah ini menerima pelbagai reaksi. Naib Presiden MCA mempersoalkan kewajaran penamatan subsidi dalam keadaan ekonomi global yang goyah, merujuk kepada perang tarif yang diumumkan Amerika Syarikat ke atas pelbagai negara termasuk Malaysia. Beliau turut menganggarkan kos bulanan sesebuah isi rumah lima orang boleh meningkat sekitar RM15 sebulan sekiranya setiap individu mengambil sebiji telur sehari.

Sebaliknya, Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menyokong dasar ini sebagai langkah membina ke arah sistem subsidi yang mampan. FOMCA turut menggesa pemantauan harga secara agresif oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi mengelakkan aktiviti pencatutan.

Sementara itu, Persatuan Peniaga Bakeri dan Mi Malaysia menjangkakan kesan yang minimum kepada ahli mereka, manakala firma penyelidikan TA Securities meramalkan impak sederhana kepada harga dan percaya pengapungan harga telur adalah langkah jangka panjang yang tepat untuk menggalakkan daya tahan pasaran.

Peralihan Secara Terkawal

Untuk mengawal kebimbangan pengguna, KPDN menegaskan bahawa harga kawalan kekal walaupun subsidi dikurangkan, dan peniaga masih tertakluk kepada struktur harga sedia ada sehingga Ogos 2025. Harga hanya akan diapungkan selepas itu, berdasarkan penawaran dan permintaan pasaran.

Langkah ini adalah kesinambungan kepada keputusan terdahulu dalam pengapungan harga ayam daging pada November 2023, yang menyaksikan kestabilan harga kekal meskipun tanpa siling harga. Malah, harga pasaran pada Disember 2024 masih berada dalam julat berpatutan menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), dan tidak melebihi siling RM11.40 sekilogram.

Sepanjang tempoh 2014–2023, harga runcit telur ayam meningkat secara sederhana:

  • Gred A: 38 sen kepada 48 sen (+26%)
  • Gred B: 37 sen kepada 45 sen (+22%)
  • Gred C: 36 sen kepada 43 sen (+19%)

Ini menunjukkan rakyat menikmati harga telur yang stabil untuk tempoh sedekad.

Masa Sesuai Laksana Pembaharuan

Data terkini DOSM turut menunjukkan kadar sara diri (Self-Sufficiency Ratio, SSR) telur pada 2023 berada pada 106.5%, menandakan pengeluaran melebihi keperluan dalam negara.

Dengan itu, kerajaan melihat ini sebagai masa yang tepat untuk menamatkan subsidi dan membenarkan pasaran menentukan harga telur. Penjimatan daripada subsidi ini boleh digunakan semula untuk agenda pembangunan negara serta memperkukuh jaringan keselamatan sosial secara bersasar.

Jika dilaksana secara berhemah dan dipantau rapi, pengapungan harga ini dijangka mampu menyeimbangkan keperluan antara keterjangkauan harga bagi pengguna dan kelangsungan bekalan oleh pengeluar.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/05/05/rasionalisasi-subsidi-telur-demi-keseimbangan-fiskal-negara/feed/ 0 73218
RAER 2025-2030 : Pemangkin transformasi ekonomi luar bandar Sabah https://sabahmedia.com/2025/04/25/raer-2025-2030-pemangkin-transformasi-ekonomi-luar-bandar-sabah/ https://sabahmedia.com/2025/04/25/raer-2025-2030-pemangkin-transformasi-ekonomi-luar-bandar-sabah/#respond Fri, 25 Apr 2025 00:23:08 +0000 https://sabahmedia.com/?p=72623
Read Time:3 Minute, 19 Second

Oleh WAN AZRAIN ADNAN

1. Ekonomi luar bandar Sabah di jangka akan berkembang dengan lebih rancak menerusi inisiatif yang bakal di laksanakan oleh Kerajaan Sabah bermula tahun 2025. Penduduk luar bandar boleh menikmati impak yang terhasil, dan melonjakkan kesejahteraan hidup seharian.    

2. Pada awal bulan April 2025, Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI) memaklumkan bahawa Kerajaan Sabah telah meluluskan pelaksanaan Revolusi Ekonomi Pertanian Luar Bandar 2025 – 2030 (RAER 2025 – 2030). 

RAER 2025 – 2030 bakal di lancarkan secara rasmi pada 1 Mei 2025, sempena Pesta Kaamatan Sabah.

3. Menurut Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, RAER 2025 – 2030 adalah pelan 6-tahun bagi melonjakkan ekonomi luar bandar melalui program pertanian, perikanan, penternakan, keusahawanan dan industri hiliran. Dana berjumlah RM 10 juta telah di luluskan sebagai peruntukan awal bagi pelaksanaan tahun pertama RAER.  

4. Secara keseluruhan, pelaksanaan RAER 2025 – 2030 akan melibatkan kerjasama awam – swasta berdasarkan slogan Perpaduan Adalah Kewajipan/ Unity is Duty bagi mengerakkan pembangunan luar bandar. 

Ianya bertujuan memupuk kerjasama seluruh rakyat Sabah membabitkan pengubal dasar, penjawat awam, pemimpin masyarakat, usahawan serta penduduk setempat. 

5. Pelaksanaan RAER mensasarkan penyertaan seramai 100,000 individu atau isi rumah luar bandar Sabah. Ini di jangka dapat menjana sebanyak RM 2 – 3 bilion nilai ekonomi menjelang tahun 2030.

6. Kajayaan RAER sudah pasti akan merancakkan ekonomi luar bandar yang lebih produktif dan mampan, dan seterusnya menyumbang kepada keseluruhan ekonomi Sabah. Ini akan dapat meningkatkan dan mempelbagaikan pendapatan masyarakat luar bandar, serta menyediakan peluang pekerjaan dan perniagaan yang impikan.

7. Pada masa yang sama, ianya juga boleh memperkukuh agenda keterjaminan makanan Sabah, yang ketika ini banyak bergantung kepada import. Sebagai contoh. Sabah terpaksa mengimport hampir 80% beras bagi memenuhi keperluan tempatan. 

8. Pelaksanaan inisiatif RAER berkenaan adalah selari dengan kenyataan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia pada pertengahan bulan Februari 2025, bahawa Sabah bakal memainkan peranan yang lebih utama bagi memperkukuh agenda keterjaminan makanan negara.

9. Matlamat utama Kerajaan Malaysia ialah untuk meningkatkan produktiviti sektor pertanian negara bagi mengurangkan kebergantungan tinggi kepada import. Data Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia menunjukkan jumlah import makanan negara telah meningkat begitu tinggi 103% dalam tempoh masa 11 tahun (2013 – 2023): 

10. Situasi ini adalah tidak mampan untuk jangka masa panjang, terutamanya dengan isu perubahan iklim/ climate change yang di hadapi oleh negara-negara di seluruh dunia. Isu climate change di jangka akan memberi impak negatif kepada produktiviti sektor pertanian di seluruh dunia. Ini akan menjejaskan bekalan dan harga pasaran makanan.

11. Sejajar dengan usaha untuk memperkukuh peranan tersebut, Sabah telah di pilih sebagai tuan rumah kepada sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2025 (HPPNK 2025) yang bakal di adakan pada Ogos 2025.  

Ini merupakan penghormatan besar kepada rakyat Sabah, memandangkan kali terakhir Sabah menjadi tuan rumah kepada sambutan HPPNK adalah pada tahun 1995, iaitu 30 tahun dahulu. 

12. Inisiatif RAER berkenaan juga dapat melengkapi agenda pembangunan Sabah yang di susun oleh Kerajaan Malaysia. Pada pertengahan bulan Februari 2025, Timbalan Perdana Menteri Malaysia memaklumkan bahawa Kerajaan Malaysia telah memperuntukkan dana berjumlah RM 6.15 bilion di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bagi pembangunan Sabah untuk tahun 2025.

13. Antara lain, projek-projek yang akan di laksanakan adalah:

 RM 18.78 juta:  projek pembangunan kemudahan awam, infrastruktur perhubungan dan utiliti desa di Tawau

 RM 132.31 juta: projek Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) di Sabah, melibatkan 869 unit Bina Baharu dan 2,922 unit Baik Pulih

 RM 166 juta: projek pembangunan penempatan baharu dan penyusunan semula kampung sedia ada secara terancang di Sabah 

 RM 6 juta: Program Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB) bagi pembangunan dan pemerkasaan usahawan desa

14. Pelaksanaan inisiatif yang di susun oleh Kerajaan Sabah dan Kerajaan Malaysia secara efektif dan tepat sudah pasti akan menghasilkan kejayaan yang di nantikan oleh rakyat Sabah. Kesinambungan kerjasama Kerajaan Sabah dan Kerajaan Malaysia akan mempercepat pembangunan Sabah yang dapat memberikan kesejahteraan kepada seluruh rakyat, di bandar dan luar bandar.   

]]>
https://sabahmedia.com/2025/04/25/raer-2025-2030-pemangkin-transformasi-ekonomi-luar-bandar-sabah/feed/ 0 72623
Generasi muda perlu rebut peluang dalam industri pertanian – Amisah https://sabahmedia.com/2024/05/01/generasi-muda-perlu-rebut-peluang-dalam-industri-pertanian-amisah/ https://sabahmedia.com/2024/05/01/generasi-muda-perlu-rebut-peluang-dalam-industri-pertanian-amisah/#respond Wed, 01 May 2024 07:01:13 +0000 https://sabahmedia.com/?p=53766
Read Time:1 Minute, 46 Second

RANAU: Generasi muda diminta merebut peluang melibatkan diri dalam industri pertanian yang bukan sahaja menjanjikan pendapatan lumayan tetapi juga membantu keterjaminan bekalan makanan negara.

Ahli Dewan Undangan Negeri Dilantik, Datuk Amisah Yassin berkata, masyarakat juga seharusnya menerapkan minda kepada golongan muda betapa pentingnya kerjaya dalam bidang pertanian untuk masa depan.

“Kita perlu melahirkan lebih ramai anak muda yang melibatkan diri dalam industri pertanian bagi membantu meningkatkan hasil bahan makanan negara kita.

“Kita juga perlu menerapkan minda kepada anak-anak kita jika pertanian adalah sebuah bidang yang sangat penting. Kita perlu menolak pandangan yang berfikir jika pertanian adalah industri yang lapuk dan tidak mampu menjamin masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Sodop Kaamatan 2024 peringkat Daerah Ranau di sini pada Isnin.

Hadir sama, Ahli Parlimen Ranau, Jonathan Yassin dan Pegawai Daerah Ranau, Tinus Manggam.

Menurut Amisah, kerajaan telah mewujudkan pelbagai inisiatif bagi membantu golongan anak muda terlibat dalam bidang pertanian seperti mewujudkan Geran Perniagaan Agroprenuer Muda, Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE), Bantuan Indsutri Kecil dan Sederhana (BAIKS) dan banyak lagi.

“Kerajaan Negeri Sabah juga menghidupkan kembali Lembaga Padi dan Beras bagi menangani masalah kekurangan beras yang melanda negeri beberapa bulan yang lalu. Usaha ini adalah untuk meningkatkan lagi keterjaminan makanan dan tahap sara diri negara kita.

“Usaha dalam memperkasa keterjaminan makanan ini bukanlah usaha sepihak. Namun usaha ini perlu dilakukan oleh kita semua. Melalui tema kaamatan pada tahun ini,saya berharap agar kita semua mampu untuk menanamkan semangat serta berganding bahu dalam memperkasa keterjaminan makanan kita,” ujar beliau.

Terdahulu beliau menarik perhatian mengenai kesukaran yang terpaksa rakyat hadapi ketika berdepan bencana pandemik Covid-19 yang menyebabkan kesukaran hidup serta kekurangan stok bekalan makanan.

“Kekurangan ini berlaku akibat banyak negara yang menutup pintu keluar masuk ke negara mereka sehingga aktiviti import dan eksport makanan terganggu.

“Ketergantungan kita terhadap bahan makanan dari luar sangat tinggi. Ini menyebabkan kita sangat terganggu akan masalah ini. Bahkan kesan dari pandemik itu masih ada yang terasa sehingga kini. Antara kesan yang berlaku adalah peningkatan harga bahan mentah yang melonjak hingga kini,”ujarnya.

Beliau seterusnya mengajak rakyat supaya terus bersyukur dengan keamanan, perpaduan dan keharmonian yang dinikmati hari ini.

]]>
https://sabahmedia.com/2024/05/01/generasi-muda-perlu-rebut-peluang-dalam-industri-pertanian-amisah/feed/ 0 53766
China berjaya mengklon “Lembu Super” https://sabahmedia.com/2023/02/06/china-berjaya-mengklon-lembu-super/ https://sabahmedia.com/2023/02/06/china-berjaya-mengklon-lembu-super/#respond Mon, 06 Feb 2023 06:46:02 +0000 https://sabahmedia.com/?p=29120
Read Time:1 Minute, 28 Second

AGENSI

BEIJING: Penyelidik China berjaya mengklon tiga ‘lembu super’ yang berupaya menghasilkan 18,000 liter susu setiap tahun dan lebih 100,000 liter susu sepanjang hidup haiwan itu.

Dengan inovasi itu, ia dapat membantu mengurangkan kebergantungan republik itu terhadap import produk tenusu.

Menurut seorang pakar terbabit dengan eksperimen itu, walaupun lembu berkenaan diklon, susu yang dihasilkan tiada beza dengan lembu asal.

Jelasnya, sebaik anak lembu yang diklon mencapai umur dua tahun, haiwan itu boleh mula menghasilkan susu untuk pasaran.

Untuk mengklon haiwan itu, saintis dari Universiti Sains, Teknologi Pertanian dan Perhutanan Northwest mengambil sel somatik dari telinga lembu baka Holstein Frisian Belanda.

Berdasarkan kenyataan daripada universiti terbabit, baka lembu berkenaan sangat produktif dan dijadikan lembu pengganti.

Teknik yang dikenali sebagai pemindahan nuklear sel somatik adalah sama digunakan untuk mencipta kambing biri-biri Dolly pada 1996, mamalia klon pertama dunia.

Tiga anak lembu itu dilahirkan di bandar Lingwu, wilayah autonomi Ningxia Hui.

Anak lembu pertama dilahirkan pada 30 Disember lalu melalui kaedah pembedahan mempunyai berat 56.7 kilogram (kg) dan berkongsi bentuk dan corak sama seperti lembu yang diklonkan.

Selepas mencapai kematangan, lembu klon itu dijangka dapat menghasilkan sebanyak 18,000 liter susu setahun.

Sebagai perbandingan, purata lembu di Amerika Syarikat (AS) menghasilkan sekitar 12,000 liter susu setiap tahun berdasarkan data Jabatan Pertanian AS.

Mengulas lanjut, ketua saintis projek itu, Jin Yaping, berkata pengklonan ‘lembu super’ membolehkan China memelihara lembu baka tenusu terbaik selain dapat mengelakkan risiko biosekuriti hasil kegiatan mengimport lembu hidup dari negara lain.

“Kami merancang menternak 1,000 lembu super dalam masa dua hingga tiga tahun. Ini akan memberikan kunci sokongan utama dalam menghasilkan lembu ternakan sendiri dan lembu tenusu, sekali gus mengurangkan kebergantungan China terhadap pengimportan lembu,” katanya sambil menjelaskan republik itu mengimport kira-kira 70 peratus lembu tenusu. 

]]>
https://sabahmedia.com/2023/02/06/china-berjaya-mengklon-lembu-super/feed/ 0 29120
Kerajaan komited galak penggunaan teknologi dalam aktiviti pertanian https://sabahmedia.com/2022/04/02/kerajaan-komited-galak-penggunaan-teknologi-dalam-aktiviti-pertanian/ https://sabahmedia.com/2022/04/02/kerajaan-komited-galak-penggunaan-teknologi-dalam-aktiviti-pertanian/#respond Sat, 02 Apr 2022 05:50:48 +0000 https://sabahmedia.com/?p=13802
Read Time:1 Minute, 18 Second

KUCHING : Kerajaan Persekutuan dan Sarawak komited untuk terus bekerjasama bagi menggalakkan penggunaan teknologi dalam aktiviti pertanian bagi meningkatkan hasil pengeluaran sekali gus memastikan jaminan bekalan dan sekuriti makanan negara.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, ini kerana teknologi merupakan antara langkah penyelesaian bagi menangani isu dan cabaran yang dihadapi oleh sektor agromakanan di peringkat domestik mahupun global.

“Kementerian saya juga akan memberi perhatian terhadap permohonan Kerajaan Negeri kepada Kerajaan Persekutuan untuk terus membantu memperkasakan infrastruktur pertanian di Sarawak khususnya agromakanan.

“Ini adalah bagi menarik lebih banyak pelaburan swasta mengusahakan tanah yang luas disini bagi meningkatkan lagi pengeluaran berskala besar produk-produk agromakanan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan kunjungan hormat terhadap Premier Sarrawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Zohari Tun Abang Openg di Wisma Bapak Malaysia disini Khamis lalu.

Turut dibincangkan pada pertemuan itu cadangan penanaman jagung bijian di Bintulu dan Miri dengan kerjasama pihak swasta untuk menangani masalah import negara yang tinggi bagi produk makanan ternakan.

Selain itu, potensi industri tanaman nanas sebagai produk pertanian bernilai tinggi akan  diperluaskan lagi dengan sokongan padu Kerajaan Negeri bagi meningkatkan eksport produk makanan sejajar dengan matlamat Negeri Sarawak sebagai “net exporter” produk pertanian menjelang 2030.

Dr Ronald berkata, pihaknya berharap lawatan kerjanya ke negeri itu akan dapat memberi impak tinggi dalam terus memperkukuh hubungan dan kerjasama diantara Kerajaan Persekutuan dan negeri khususnya dalam sektor agromakanan.

Lawatan kerja selama tiga hari itu akan turut menyaksikan beberapa lawatan dan tinjauan ke projek pertanian dibawah seliaan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) serta agensi lain yang berkaitan.

]]>
https://sabahmedia.com/2022/04/02/kerajaan-komited-galak-penggunaan-teknologi-dalam-aktiviti-pertanian/feed/ 0 13802