petani – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Fri, 14 Aug 2026 02:36:49 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.0.4 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png petani – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 Petani, penternak Sabah diminta bersedia hadapi cuaca panas berpanjangan https://sabahmedia.com/2026/08/14/petani-penternak-sabah-diminta-bersedia-hadapi-cuaca-panas-berpanjangan/ https://sabahmedia.com/2026/08/14/petani-penternak-sabah-diminta-bersedia-hadapi-cuaca-panas-berpanjangan/#respond Fri, 14 Aug 2026 02:36:43 +0000 https://sabahmedia.com/?p=101520
Read Time:3 Minute, 3 Second

TENOM: Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) Sabah menubuhkan pasukan petugas khas bagi menghadapi fenomena El Nino yang dijangka menyebabkan cuaca panas berpanjangan dari September hingga Februari depan.

Menterinya, Datuk Jamawi Jaafar berkata, kementerian turut menyediakan garis panduan kepada petani, penternak, nelayan dan pengusaha tanaman supaya mengambil langkah berjaga-jaga sepanjang tempoh berkenaan.

“Kita telah mengadakan perbincangan dan menyediakan garis panduan kepada semua petani, penternak, nelayan dan pengusaha tanaman supaya berhati-hati semasa musim ini.

“Jangan membuat pembakaran terbuka dan jangan membuka kawasan baharu. Di kawasan yang mempunyai takungan air, kita minta supaya dibuat kolam sebagai simpanan air untuk jangka masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan program Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) Jabatan Penerangan Negeri Sabah di Pejabat Pertanian Tenom, hari ini.

Jamawi berkata, pengusaha ternakan termasuk lembu tenusu, kambing dan perikanan juga perlu membuat persediaan bagi menghadapi cuaca panas.

Katanya, reka bentuk kandang perlu mempunyai pengudaraan yang baik selain mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan kementerian.

“Saya nanti akan kongsi dengan Jabatan Perikanan supaya SOP kita menghadapi El Nino dapat disebarluaskan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Jamawi berkata MAFFI sedang memperkukuh pembangunan industri pertanian di kawasan pedalaman sebagai sebahagian daripada perancangan mewujudkan zon industri berasaskan aktiviti pertanian.

Katanya, Pantai Barat Sabah sudah mempunyai beberapa zon industri termasuk Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) dan Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP), manakala Pantai Timur mempunyai POIC di Sandakan dan Lahad Datu.

“Di pedalaman ini kita cadangkan sebagai zon industri pertanian,” katanya.

Beliau berkata, usaha itu sudah dimulakan di Beaufort menerusi pembinaan kilang memproses dan menghasilkan bantal berasaskan lateks.

Di Tenom pula, sebuah kilang memproses avokado telah diwujudkan, selain empat kilang memproses kopi.

Kementerian turut menyediakan peruntukan RM600,000 bagi membina pusat pengeringan kopi di Tenom bagi menyokong industri pemprosesan kopi di daerah berkenaan.

Di Keningau, MAFFI mencadangkan kawasan itu sebagai hab pemprosesan hasil tenusu dan daging lembu, mengambil kira kewujudan pengusaha seperti Eko Yap/Keningau Dairy dan Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB) yang terlibat dalam penternakan lembu.

“Masih kekurangan untuk memproses. Sebab itu kita menjemput dan bekerjasama dengan Farm Fresh Sdn Bhd untuk mendirikan kilang berasaskan lembu tenusu dan juga lembu daging,” katanya.

Sementara itu, Tambunan akan dibangunkan dengan industri hiliran berasaskan halia.

Jamawi berkata, pembangunan industri hiliran penting bagi membolehkan hasil pertanian tempatan diproses menjadi produk bernilai lebih tinggi, sekali gus meningkatkan harga komoditi dan pendapatan petani.

“Bila ia jadi produk hiliran, ia akan menaikkan harga komoditi. Bila harga komoditi naik, yang untungnya adalah petani kita,” katanya.

Beliau memberi contoh harga susu getah atau lateks yang meningkat daripada kira-kira RM7.30 ketika beliau mula menjadi menteri kepada RM8.90 ketika ini, susulan usaha memproses lateks menjadi produk seperti bantal.

Katanya, lebih banyak usaha seumpama itu akan dilaksanakan kerana kementerian mempunyai perancangan jelas dan komited memastikan ia direalisasikan.

“Yang penting kita ada perancangan dan segala perancangan kita laksanakan. Pelaksanaan ini disokong komitmen Kerajaan Negeri di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0,” katanya.

Mengenai kilang avokado di Kampung Bunut, Jamawi berkata bangunan berkenaan telah siap dan kini dalam proses dilengkapi mesin serta peralatan.

Katanya, kos bagi melengkapkan kilang dengan mesin dan peralatan dianggarkan kira-kira RM2 juta.

Apabila siap, kilang itu akan memproses avokado kampung dan avokado KW1, dengan buah gred A dan B untuk dieksport, manakala buah gred C yang kurang menarik dari segi rupa akan diproses menjadi produk hiliran.

Hadir sama Pengarah Jabatan Penerangan, Jainisah Mohd Noor; Pegawai Pertanian Daerah Tenom, Mohammad Fauzi Ab Gulam; Pegawai Penerangan Tenom, Kenny Thomas dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat DUN Melalap, Densely Justin.

Terdahulu, Jamawi menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Penggunaan Tanah Daerah Tenom di Pejabat Daerah Tenom bersama ketua jabatan dan agensi kerajaan.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/08/14/petani-penternak-sabah-diminta-bersedia-hadapi-cuaca-panas-berpanjangan/feed/ 0 101520
Sokong pertanian berkualiti, lindungi petani tempatan – Jamawi https://sabahmedia.com/2026/05/05/sokong-pertanian-berkualiti-lindungi-petani-tempatan-jamawi/ https://sabahmedia.com/2026/05/05/sokong-pertanian-berkualiti-lindungi-petani-tempatan-jamawi/#respond Tue, 05 May 2026 06:29:29 +0000 https://sabahmedia.com/?p=96151
Read Time:1 Minute, 39 Second

PAPAR: Usaha memperkasa amalan pertanian berkualiti melalui pensijilan Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia (MyGAP) perlu diperluaskan bagi menjamin keselamatan makanan serta meningkatkan nilai hasil tempatan.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata, kejayaan pengusaha tanaman fertigasi dan hidroponik, Owan’s Farm di Kampung Buang Sayang di sini yang memperoleh pensijilan MyGAP wajar dijadikan contoh kepada pengusaha lain.

Menurutnya, pensijilan itu membuktikan hasil pertanian yang dihasilkan mematuhi syarat ketat termasuk penggunaan bahan kimia minimum serta kaedah mesra alam.

“Ini bermaksud hasil daripada ladang ini mematuhi amalan pertanian yang baik, termasuk penggunaan racun kimia yang terkawal, lebih mesra alam dan selamat untuk dimakan,” katanya ketika mengadakan lawatan ke ladang berkenaan, pada Isnin.

Beliau berkata, pendekatan itu perlu diperluaskan dan dijadikan penanda aras kepada pengusaha lain di Sabah.

“Kita juga perlu mendidik masyarakat supaya memilih sumber makanan yang telah disahkan oleh Jabatan Pertanian atau kementerian,” katanya.

Jamawi berkata, langkah itu penting dalam membina kesedaran pengguna terhadap kepentingan kualiti dan keselamatan makanan.

“Ia merupakan proses berterusan untuk mendidik masyarakat agar lebih menghargai kualiti serta hasil pertanian premium,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kementeriannya akan terus menyokong usaha pengusaha tempatan termasuk dalam sektor hidroponik dan fertigasi.

“Saya bercadang untuk menghimpunkan lebih ramai penggiat serta pengusaha hidroponik dan fertigasi di Sabah bagi mengadakan sesi libat urus,” katanya.

Menurutnya, pendekatan itu mampu membantu memasarkan hasil pertanian pada harga lebih baik berbanding kaedah tradisional.

Mengulas lanjut, beliau berkata aspek biosekuriti turut diperkukuh bagi melindungi industri pertanian tempatan.

“Kita telah memperketatkan penguatkuasaan biosekuriti, khususnya terhadap hasil pertanian yang diimport,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui masih berlaku aktiviti penyeludupan produk pertanian yang menjejaskan pasaran tempatan.

“Terdapat lambakan hasil pertanian import pada harga murah yang memberi kesan kepada pendapatan petani tempatan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menekankan keperluan kerjasama lebih erat antara agensi penguat kuasa termasuk Kastam, Pasukan Gerakan Am, Polis Marin serta Polis Diraja Malaysia bagi membendung kegiatan berkenaan.

Katanya, usaha bersepadu itu penting bagi memastikan kualiti makanan terus terjamin di samping melindungi pendapatan petani tempatan di Sabah.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/05/05/sokong-pertanian-berkualiti-lindungi-petani-tempatan-jamawi/feed/ 0 96151
Petani Bingkor lega, sistem pengairan kembali pulih https://sabahmedia.com/2025/10/31/petani-bingkor-lega-sistem-pengairan-kembali-pulih/ https://sabahmedia.com/2025/10/31/petani-bingkor-lega-sistem-pengairan-kembali-pulih/#respond Fri, 31 Oct 2025 11:00:35 +0000 https://sabahmedia.com/?p=84606
Read Time:1 Minute, 41 Second

Oleh Silar Pinikit

BINGKOR: Para petani di Mukim Tuntumulud kini menarik nafas kelegaan dan gembira apabila Jabatan Parit dan Saliran (JPS) Keningau giat melaksanakan kerja-kerja pembersihan serta pengorekan parit pengairan yang sekian lama tertangguh.

Deruman jentolak yang memecah kesunyian di kawasan sawah menyuntik semangat baharu buat masyarakat tani di sini selepas bertahun-tahun bergelut dengan masalah pengairan yang menjejaskan hasil tanaman padi mereka.

Menurut seorang petani dari Kampung Buang Sayang, Moses Sadoon Lasawon, usaha berkenaan ibarat rahmat yang datang tepat pada waktunya.

“Ini langkah yang amat kami hargai. Usaha ini membawa manfaat besar kepada kami petani yang bergantung kepada sistem pengairan teratur untuk tanaman padi.

“Terima kasih kepada JPS Keningau serta penyandang ADUN Bingkor, Datuk Robert Tawik Mansai, yang sentiasa mendengar denyut nadi rakyat,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, baru-baru ini.

Beliau menambah, kehadiran pasukan pembersihan ketika mereka sedang memasukkan air ke sawah adalah sesuatu yang menyegarkan semangat dan menambah keyakinan untuk terus berusaha.

Turut menyuarakan penghargaan ialah Ketua Kampung Tangkongon, KK Nelson Jiun, dan Presiden Persatuan Gana Sabah (PGS), Julian Flavinus Lian Likang @ Mohd Hafiz, yang menyifatkan tindakan pantas pihak berkuasa sebagai bukti keprihatinan kerajaan terhadap rakyat luar bandar.

“Tindakan segera ini membuktikan kerajaan peka terhadap keperluan rakyat. Ia bukan sekadar kerja pembersihan, tetapi simbol kesungguhan untuk memulihkan kesejahteraan masyarakat tani,” ujar mereka bersama.

Kerja-kerja pembersihan itu melibatkan pengorekan lumpur, pembuangan rumput rumpai serta pengalihan bahan-bahan yang menyekat aliran air.

Usaha berkenaan bukan sahaja mengurangkan risiko banjir kilat, malah meningkatkan kecekapan sistem pengairan di kawasan pertanian utama Mukim Tuntumulud, Mukim Bingkor dan kampung-kampung berdekatan.

Datuk Robert turut menerima penghargaan daripada penduduk yang menilai langkah tersebut sebagai bukti kepimpinan berjiwa rakyat bukan sekadar janji, tetapi tindakan nyata.

Kini, Mukim Tuntumulud menyaksikan semangat baharu, bukan sahaja dalam aliran air yang kembali lancar, tetapi juga dalam keyakinan rakyat terhadap pemimpin mereka.

Bunyi jentolak yang berfungsi dan senyuman petani yang terukir menjadi simbol indah bahawa apabila kerajaan, pemimpin dan rakyat bergerak sehaluan, perubahan bukan lagi impian, ia sedang berlaku di bumi Bingkor.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/10/31/petani-bingkor-lega-sistem-pengairan-kembali-pulih/feed/ 0 84606
Jalan pertanian dinaik taraf, lebih 1,400 petani Kiulu bakal raih manfaat https://sabahmedia.com/2025/03/29/jalan-pertanian-dinaik-taraf-lebih-1400-petani-kiulu-bakal-raih-manfaat/ https://sabahmedia.com/2025/03/29/jalan-pertanian-dinaik-taraf-lebih-1400-petani-kiulu-bakal-raih-manfaat/#respond Sat, 29 Mar 2025 05:49:58 +0000 https://sabahmedia.com/?p=71288
Read Time:1 Minute, 31 Second

Oleh J. EVACHEL JOHN

KIULU: Lebih 1,400 petani di Kiulu bakal mendapat akses yang lebih baik ke kawasan pertanian seluas 6,680 ekar susulan usaha menaik taraf jalan pertanian dan memperkukuh sektor pertanian, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai.

Beliau berkata, akses jalan yang lebih baik adalah kunci bagi memastikan petani dapat memanfaatkan tanah mereka sepenuhnya dan meningkatkan produktiviti.

Sebanyak RM1.5 juta daripada dana kawasan beliau diperuntukkan bagi pembinaan dan naik taraf 47 jalan pertanian yang telah dikenal pasti tahun ini, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan menyokong komuniti petani.

“Seiring dengan usaha menambah baik kesalinghubungan, saya juga ingin melihat lebih ramai penduduk kampung membuka tanah mereka untuk pertanian sebagai sumber pendapatan yang mampan,” katanya pada majlis penutupan Kursus Pengenalan Vermikompos dan Cantuman Durian di sini, pada Jumaat.

Kursus anjuran Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah dengan kerjasama Pejabat Daerah Kecil Kiulu itu dihadiri lebih daripada 30 peserta, termasuk golongan belia.

Joniston menegaskan bahawa infrastruktur sahaja tidak mencukupi, justeru kursus berkaitan pertanian akan dipergiat bagi membekalkan petani dengan pengetahuan dan kemahiran yang lebih komprehensif.

“Ini akan dilaksanakan dengan sokongan serta kerjasama jabatan dan agensi berkaitan bagi memastikan latihan dan bimbingan yang sewajarnya diberikan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa perbincangan bagi memperkukuh pembangunan pertanian di Kiulu telah diadakan bersama Pejabat Pertanian Daerah Tuaran dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

Walaupun Kiulu terkenal sebagai destinasi pelancongan luar bandar, Joniston berkata tumpuan kini diberikan kepada usaha memperluas peluang dalam sektor pertanian, termasuk penanaman tanaman bernilai tinggi.

“Kami juga melihat potensi penanaman vanila sebagai sumber pendapatan, dan baru-baru ini, pusat khidmat saya telah menganjurkan lawatan lebih daripada 20 petani ke sebuah ladang vanila yang berjaya di Kimanis,” katanya.

Joniston berkata, penambahbaikan infrastruktur dan latihan akan menyokong petani serta mewujudkan peluang dalam agro-pelancongan, sekali gus menjadikan Kiulu sebagai model pembangunan ekonomi luar bandar.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/03/29/jalan-pertanian-dinaik-taraf-lebih-1400-petani-kiulu-bakal-raih-manfaat/feed/ 0 71288
Kes bakar isteri, petani diperintah bela diri atas tuduhan bunuh https://sabahmedia.com/2025/03/13/kes-bakar-isteri-petani-diperintah-bela-diri-atas-tuduhan-bunuh/ https://sabahmedia.com/2025/03/13/kes-bakar-isteri-petani-diperintah-bela-diri-atas-tuduhan-bunuh/#respond Thu, 13 Mar 2025 09:51:48 +0000 https://sabahmedia.com/?p=70327
Read Time:51 Second

Oleh J. EVACHEL JOHN

KOTA KINABALU: Seorang petani yang didakwa membakar isterinya hingga maut di Keningau tahun lalu diperintah membela diri atas pertuduhan membunuh oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Hakim Datuk Dr. Lim Hock Leng membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Patersius Juliteh @ Julit, 50.

Mahkamah menetapkan 21 Mac ini untuk perbicaraan peringkat pembelaan bagi tertuduh.

Patersius didakwa membunuh isterinya, Sansiah Tinggian, 41, di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Tingalan, Sook, pada 2 Februari 2024, kira-kira jam 11 malam.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang daripada 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun, serta sekurang-kurangnya 12 sebatan jika tidak dijatuhi hukuman mati.

Peguam Abdul Fikry Jaafar Abdullah mewakili tertuduh, manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Dacia Jane Romanus.

Seramai tujuh orang saksi dipanggil semasa perbicaraan peringkat pendakwaan.

LINK BERITA TERDAHULU:

]]>
https://sabahmedia.com/2025/03/13/kes-bakar-isteri-petani-diperintah-bela-diri-atas-tuduhan-bunuh/feed/ 0 70327
Pasar Tamu Bantu Usahawan, Petani Jana Pendapatan https://sabahmedia.com/2022/01/31/pasar-tamu-bantu-usahawan-petani-jana-pendapatan/ https://sabahmedia.com/2022/01/31/pasar-tamu-bantu-usahawan-petani-jana-pendapatan/#respond Mon, 31 Jan 2022 05:05:04 +0000 https://sabahmedia.com/?p=11777
Read Time:1 Minute, 6 Second

KOTA KINABALU : Pasar tamu yang dilaksanakan di setiap kawasan mampu memberi manfaat kepada penduduk setempat untuk mendapatkan bekalan makanan dan keperluan harian.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai Datuk Yakub Khan berkata, ianya juga akan dapat membantu petani dan usahawan untuk menjana pendapatan.

“Pada hari ini (semalam) saya datang melawat dan meninjau pelaksanaan program tamu tradisi di Kampung Kobuni yang mana saya difahamkan tamu ini diadakan pada setiap dua minggu sekali.

“Tujuan tamu ini diadakan adalah untuk membantu industri pertanian di kawasan ini khususnya para petani-petani tempatan kita memasarkan hasil tani masing-masing di tamu ini,” katanya ketika ditemui selepas meninjau pasar tamu Kampung Kobuni disini semalam.

Yakub yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah berkata,  pihaknya juga berharap usaha itu akan dapat terus ditingkatkan selain menyeru industri pelancongan memberi sokongan kepada usaha dilaksanakan di kampung berkenaan.

“Saya lihat sambutan amat menggalakkan dan saya menyeru kepada rakyat sekitar Inanam untuk datang menyokong pelaksanaan tamu ini,” katanya.

Sementara itu, Yakub berkata, pihaknya sudah mengadakan perbincangan bersama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) bagi mewujudkan tamu mingguan di beberapa kawasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai dan Parlimen Sepanggar.

“Tujuannya antara lain sudah pasti akan membantu peniaga-peniaga kecil khususnya petani dan nelayan bagi memasarkan hasil pertanian dan perikanan mereka, InsyaAllah dalam masa terdekat ini kita akan dapat lakukan,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2022/01/31/pasar-tamu-bantu-usahawan-petani-jana-pendapatan/feed/ 0 11777
Langkah Intervensi Dilaksana Bantu Petani & Pesawah Terjejas https://sabahmedia.com/2021/12/02/langkah-intervensi-dilaksana-bantu-petani-pesawah-terjejas/ https://sabahmedia.com/2021/12/02/langkah-intervensi-dilaksana-bantu-petani-pesawah-terjejas/#respond Thu, 02 Dec 2021 07:59:04 +0000 https://sabahmedia.com/?p=9206
Read Time:2 Minute, 15 Second

KUALA LUMPUR : Kerajaan mengumumkan beberapa langkah intervensi khususnya bagi membantu petani dan pesawah yang terjejas berikutan kenaikan kos input pertanian khasnya baja dan racun.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Dr Ronald Kiandee berkata, kementeriannya sentiasa prihatin terhadap isu kenaikan kos input pertanian yang berlaku semenjak pandemik COVID-19 melanda seluruh dunia.

“Dalam hal ini, Perdana Menteri baru-baru ini telah mengumumkan beberapa langkah intervensi khususnya bagi membantu petani dan pesawah yang terjejas.

“Antaranya menyalurkan dana sebanyak RM200 juta sebagai pinjaman agromakanan pada kadar faedah sifar peratus dengan moratorium bayaran balik pinjaman selama enam bulan disediakan di bawah TEKUN dan Agrobank.

“Selain itu, peruntukan tambahan sebanyak RM62 juta melalui Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) bagi subsidi dan insentif padi di bawah Bajet 2022 di mana bantuan subsidi racun makhluk perosak untuk pesawah dinaikkan dari RM200 sehektar semusim kepada RM300,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim pada persidangan Dewan Rakyat disini hari ini.

Dr Ronald berkata, kementeriannya juga telah mengemukakan cadangan kepada Kementerian Kewangan untuk Kerajaan menawarkan insentif tambahan kepada petani yang terjejas.

Katanya, cadangan tersebut masih diperingkat penelitian dan perbincangan lanjut bersama Kementerian Kewangan.

“Kerajaan akan terus mengambil langkah menangani kenaikan harga baja dan racun bagi memastikan produktiviti pengeluaran tidak terjejas dan bekalan sentiasa mencukupi dengan harga yang stabil dan berpatutan,” katanya.

Terdahulu, Dr Ronald berkata, harga baja didapati telah meningkat hampir 30 peratus manakala harga racun pula telah meningkat hampir 100 peratus.

Katanya, kenaikan harga itu ditentukan oleh kuasa pasaran selain kebanyakan baja dan racun yang digunakan oleh petani dihasilkan daripada bahan mentah seperti unsur nitrogen, fosfat (phosphate) dan kalium (potassium) diimport daripada negara luar seperti China, Amerika Syarikat, India dan Indonesia.

“Antara faktor-faktor yang telah dikenalpasti mempengaruhi kenaikan harga ini adalah perubahan polisi daripada negara pengeksport yang mengurangkan bekalan, kenaikan kos bahan mentah yang melibatkan hasil petroleum dan sumber asli, peningkatan kos logistik serta kadar tukaran mata wang asing.

“Kenaikan harga ini sememangnya membebankan para petani dan pengusaha sehingga mengakibatkan peningkatan kos pengeluaran sekali gus mengurangkan pendapatan petani.

“Kumpulan petani yang terkesan dengan kenaikan harga baja dan racun adalah seramai 276,621 orang merangkumi tanaman buah, sayur, tanaman ladang/kontan, kelapa, bunga-bungaan, herba dan rempah ratus dengan keluasan bertanam seluas 405,509 hektar,” katanya.

Sementara itu, Dr Ronald berkata, seramai 356,000 orang pesawah padi sawah dengan keluasan bertanam seluas 608,000 hektar juga turut terkesan.

Katanya, secara umumnya, petani mengalami peningkatan kos input pertanian sebanyak 21 peratus bagi kategori sayur daun dan 17 peratus masing-masing bagi kategori sayur buah dan buah-buahan berikutan peningkatan harga baja dan racun.

“Manakala, pesawah padi mengalami peningkatan kos sebanyak 11.9 peratus khususnya disebabkan peningkatan harga racun,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2021/12/02/langkah-intervensi-dilaksana-bantu-petani-pesawah-terjejas/feed/ 0 9206