KOTA KINABALU: Seperti kanak-kanak lain, Eruwan Gerry Norsen membesar dengan cita-cita untuk menjadi juruterbang.

Bagi anak jati Sabah itu, kerjaya sebagai juruterbang bukan sekadar menerbangkan pesawat, tetapi peluang untuk melihat dunia dan mengenali pelbagai budaya. Ketika itu, kerjaya dalam industri minyak dan gas langsung tidak pernah terlintas di fikirannya.
Datuknya pernah bekerja sebagai pengendali jentera berat, manakala bapanya merupakan penjawat awam di Jabatan Tanah dan Ukur Negeri Sabah.
“Bapa saya tidak pernah menetapkan kerjaya yang perlu saya pilih.
“Pesannya cuma satu, belajar bersungguh-sungguh dan jadilah insan yang berjaya,” katanya mengimbau kenangan.
Disebabkan tuntutan kerja bapanya, keluarga mereka sering berpindah-randah. Zaman kanak-kanak Eruwan bermula di Kampung Likas, Kota Kinabalu sebelum keluarganya berpindah ke Sipitang, Papar dan akhirnya Tuaran.
Setiap perpindahan membawa pengalaman baharu sekolah, rakan dan persekitaran yang berbeza. Tanpa disedari, pengalaman itu membentuk dirinya menjadi seorang yang mudah menyesuaikan diri dengan perubahan.
“Hidup saya memang sudah biasa berpindah sejak kecil. Mungkin sebab itu saya lebih mudah menerima pengalaman baharu dan lebih bersedia menghadapi perubahan,” katanya.

Ketika bersekolah di Tuaran, Eruwan merancang untuk meneruskan pengajian dalam aliran sains selepas Tingkatan Tiga.
Namun, apabila sekolahnya menghentikan aliran berkenaan kerana jumlah pelajar tidak mencukupi, keputusan cemerlang dalam peperiksaan PMR membolehkannya melanjutkan pelajaran ke Sekolah Berasrama Penuh Sabah, yang kini dikenali sebagai Sekolah Menengah Sains Sabah.
Di situlah impiannya mula berubah.
Daripada bercita-cita menjadi juruterbang, beliau mula memasang impian untuk menjadi jurutera aeronautik.
Selepas memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM, beliau menerima Biasiswa Program American Associated Degree MARA untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Kejuruteraan Aeronautik di Amerika Syarikat.
Namun, Krisis Kewangan Asia 1997 mengubah segala-galanya.
Seperti ramai pelajar tajaan lain ketika itu, impiannya untuk belajar di luar negara terpaksa dibatalkan.
“Pada mulanya saya memang kecewa. Saya mahu merasai pengalaman belajar di Amerika Syarikat dan mengenali budaya yang berbeza,” katanya.
Sebaliknya, beliau ditempatkan di Universiti Teknologi PETRONAS (UTP), yang ketika itu baru ditubuhkan, untuk mengikuti pengajian dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal.
Kini, Eruwan melihat perubahan itu sebagai satu hikmah.
“UTP bukan sekadar mengajar kami ilmu kejuruteraan. Ia membentuk cara kami berkomunikasi, bekerjasama dan menjadi pemimpin,” katanya.
Selepas menamatkan pengajian pada 2002, Eruwan memulakan kerjaya sebagai Jurutera Perancangan Projek di sebuah syarikat pembuatan automotif di Rawang, Selangor.
Walaupun ketika itu bekerja di luar industri minyak dan gas, minat terhadap bidang berkenaan mula berputik sejak zaman universitinya.
Tidak lama kemudian, beliau dipanggil menghadiri temu duga di PETRONAS Carigali Sdn Bhd di Kerteh, Terengganu.
“Sejujurnya, apabila saya menerima panggilan temu duga itu, saya sendiri tidak tahu di mana letaknya Kerteh,” katanya sambil ketawa.
Temu duga itu akhirnya membuka lembaran baharu dalam hidupnya apabila beliau ditawarkan jawatan sebagai Jurutera Materials, Corrosion and Inspection.
“Saya sentiasa bersyukur atas peluang itu,” katanya.
Sepanjang sedekad berikutnya, Eruwan mengembangkan kerjaya dalam bidang teknikal sehingga dilantik sebagai pengurus.
Namun, selepas bertahun-tahun dalam bidang berkenaan, beliau merasakan sudah tiba masanya untuk mencuba sesuatu yang baharu.
Beliau kemudian beralih ke bidang operasi, mengurus operasi terminal sebelum diberi tanggungjawab mengendalikan operasi luar pesisir.
“Pengurusan operasi merupakan sesuatu yang benar-benar baharu bagi saya. Tetapi saya mahu mencabar diri dan terus berkembang dalam organisasi,” ujarnya.
Perubahan itu membolehkannya memahami bukan sahaja aspek kejuruteraan, malah pengurusan operasi, komersial, tadbir urus dan kawal selia serta pengurusan pelbagai pihak berkepentingan.
Menurutnya, pengalaman itu menjadi asas penting kepada tanggungjawab yang lebih besar pada masa hadapan.
“PETRONAS memberi saya peluang untuk berkembang. Organisasi ini memahami kekuatan saya dan memberi ruang untuk saya meneroka sesuatu yang berbeza,” katanya.
Pada suatu petang Khamis pada Januari 2017, Eruwan menerima e-mel yang tidak dijangka.

Pengurus Sumber Manusia PETRONAS di Sudan Selatan mahu berbincang dengannya mengenai peluang penugasan antarabangsa.
“Saya tidak pernah memohon untuk bertugas di luar negara.
“Saya selesa dengan tempat saya ketika itu. Tetapi saya tahu saya perlu terus berkembang dan mencabar diri,” katanya.
Beliau akhirnya menerima penugasan berkenaan.
Mewakili PETRONAS, beliau dilantik sebagai Pengurus Besar Pengeluaran di Sudd Petroleum Operating Company (SPOC), sebelum kemudiannya diberi tanggungjawab sebagai Presiden syarikat operasi bersama itu.
Cabaran terbesar bukan sekadar tugas yang dipikul, tetapi berjauhan daripada keluarga.
Sepanjang mengurus operasi di Sudan Selatan, isterinya menguruskan keluarga di tanah air.
“Isteri saya seorang yang sangat tabah. Tanpa sokongan beliau, saya tidak mungkin mampu melaluinya,” katanya.
Namun, cabaran tidak terhenti di situ.
Konflik bersenjata, sekatan keselamatan dan pandemik COVID-19 menjadi sebahagian daripada realiti kehidupan mereka di sana.
Antara detik paling mencabar ialah apabila beliau bersama pasukannya terpaksa kekal di Sudan Selatan selama enam bulan bagi menghidupkan semula operasi sebuah fasiliti yang terhenti selama tujuh tahun akibat konflik.
“Bagi saya dan pasukan, pencapaian itu amat bermakna. Ia membuktikan rakyat Malaysia mampu memberikan yang terbaik walaupun dalam keadaan paling mencabar,” katanya.
Pengalaman di Sudan Selatan turut mengubah cara beliau melihat kepimpinan.
“Apabila bekerja di luar negara, kita belajar menghargai perbezaan budaya. Cara kita bercakap juga boleh mempengaruhi bagaimana orang memandang kita.
“Pengalaman itu mengajar saya menjadi lebih berhati-hati dan berhemah ketika berkomunikasi,” katanya.

Selepas lebih dua dekad menimba pengalaman di Semenanjung Malaysia dan Sudan Selatan, perjalanan kerjaya Eruwan akhirnya membawanya pulang ke Sabah.
Kini, pada usia 47 tahun, beliau menerajui Sabah Asset, PETRONAS Carigali Sdn Bhd.
“Apabila peluang itu datang, saya bersyukur kerana dapat pulang dan berbakti kepada negeri sendiri,” katanya.
Ditanya mengenai pesanan kepada anak muda Sabah, Eruwan menekankan kepentingan keyakinan, pembelajaran berterusan dan keberanian mencuba sesuatu yang baharu.
“Semuanya bermula dengan keyakinan bahawa kita mampu membawa perubahan.
“Jangan berhenti belajar. Jangan takut mencuba pengalaman baharu.”
Beliau percaya peluang sentiasa hadir kepada mereka yang bersedia.
“Jika kita terus belajar, berani mencuba dan memberikan yang terbaik, peluang itu akan datang,” katanya.
Impian menjadi juruterbang mungkin tidak kesampaian. Namun, tanpa disedari, perjalanan kerjaya bersama PETRONAS akhirnya membawa Eruwan dari Kampung Likas ke persada dunia membuktikan bahawa laluan hidup yang tidak dirancang sekalipun mampu membawa seseorang kepada destinasi yang lebih besar.
]]>KOTA KINABALU: PETRONAS terus memperkukuh pembangunan tenaga kerja industri minyak dan gas di Sabah menerusi pelancaran dua platform digital, iaitu Permohonan Online Pekerjaan dan Latihan Dalam Industri Minyak dan Gas (POMIGAS) serta Sabah Work Pass Online System, hasil kerjasama dengan Kerajaan Negeri dan dibiayai syarikat itu.
Kedua-dua platform berkenaan dilancarkan oleh Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan di bawah Jabatan Ketua Menteri Sabah, Datuk Awang Shahminan Awang Sahari, sempena Sabah Oil & Gas Industry Talent Alignment Forum (SOGITAF) 2.0, di sini, pada Selasa.
POMIGAS merupakan platform dalam talian yang diintegrasikan dengan Sabah Job Portal bagi memudahkan akses kepada peluang pekerjaan dan latihan dalam industri minyak dan gas, khususnya kepada belia dan graduan Sabah.
Platform itu turut menghubungkan bakat tempatan dengan keperluan industri sekali gus memperkukuh pembangunan tenaga kerja mahir bagi sektor minyak dan gas di negeri ini.
Sementara itu, Sabah Work Pass Online System dibangunkan bagi memudah cara proses permohonan dan pengurusan pas kerja di Sabah.
Melalui platform berkenaan, majikan boleh mengemukakan dokumen, memantau status permohonan serta mempercepatkan proses kelulusan pas kerja menerusi penyelarasan dengan pihak berkuasa buruh dan imigresen berkaitan.
Awang Shahminan berkata, kedua-dua platform itu mencerminkan kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan PETRONAS dalam memperkukuh ekosistem tenaga kerja industri minyak dan gas di Sabah.
“Kedua-dua platform ini mencerminkan kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan PETRONAS dalam memperkukuh ekosistem tenaga kerja industri minyak dan gas di Sabah menerusi peluasan akses dan penyertaan kepada peluang dalam industri, pembangunan bakat tempatan serta pendekatan yang lebih terselaras dalam menghubungkan bakat tempatan dengan keperluan industri,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Sementara itu, dalam kenyataan sama, Pengurus Besar PETRONAS Pejabat Wilayah Sabah dan Labuan, Datuk Siti Ayu Abdul Wahab berkata, PETRONAS akan terus memperkasa potensi bakat tempatan melalui pelbagai inisiatif yang memberi nilai tambah kepada pembangunan modal insan negeri.
“PETRONAS akan terus memperkasa potensi bakat tempatan melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif yang meningkatkan keupayaan tenaga kerja, memperluas akses kepada peluang dalam industri serta menyokong pembangunan tenaga kerja minyak dan gas yang berkemahiran dan bersedia memenuhi keperluan masa hadapan,” katanya.
Inisiatif itu dikendalikan oleh Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan, Jabatan Ketua Menteri Sabah, dengan POMIGAS mula beroperasi pada awal tahun ini, manakala Sabah Work Pass Online System dijadualkan mula beroperasi pada 1 September 2026.
Selaras dengan usaha memperkukuh ekosistem industri minyak dan gas di Sabah, SOGITAF berfungsi sebagai platform yang menghimpunkan Petroleum Arrangement Contractors (PAC) bersama agensi-agensi Kerajaan Negeri bagi memperkukuh kerjasama, meningkatkan pemahaman terhadap keperluan kawal selia serta membincangkan isu berkaitan industri.
Forum itu turut meningkatkan kesedaran mengenai dasar dan prosedur berkaitan bagi menyokong kelancaran operasi industri.
]]>LABUAN: PETRONAS menganjurkan Forum Pengawalseliaan Labuan bagi memperkukuh kerjasama antara pemain industri dan badan pengawal selia, sekali gus meningkatkan pematuhan terhadap keperluan kawal selia serta menyokong operasi minyak dan gas yang selamat dan boleh dipercayai di Labuan.
Forum yang diadakan baru-baru ini dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Labuan itu menghimpunkan lebih 100 peserta daripada pelbagai agensi kerajaan dan syarikat berkaitan industri minyak dan gas.
Program berkenaan menampilkan sesi perkongsian mengenai keperluan terkini berkaitan kastam, imigresen, percukaian serta aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang melibatkan industri minyak dan gas.
Selain itu, forum tersebut turut menjadi platform kepada pihak pengawal selia dan pemain industri untuk bertukar pandangan mengenai perkembangan kawal selia, isu operasi semasa serta amalan terbaik dalam industri.
Pengurus Besar Pejabat PETRONAS Wilayah Sabah dan Labuan, Datuk Siti Ayu Abdul Wahab, berkata kerjasama erat antara pihak pengawal selia dan industri amat penting bagi memastikan kelancaran operasi dalam persekitaran yang semakin mencabar.
“Forum Pengawalseliaan Labuan membolehkan kita berinteraksi secara terbuka, berkongsi pandangan serta memperkukuh kefahaman bersama untuk menyokong operasi yang selamat dan bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan media.
Forum itu dihadiri wakil agensi kerajaan, entiti PETRONAS, kontraktor petroleum, penyedia perkhidmatan logistik serta syarikat-syarikat perkhidmatan yang terlibat dalam ekosistem industri minyak dan gas.
Penganjuran forum berkenaan mencerminkan komitmen berterusan PETRONAS dalam memperkukuh kerjasama strategik dengan pihak berkepentingan, di samping memastikan pematuhan terhadap keperluan kawal selia bagi menyokong pembangunan industri minyak dan gas yang mampan di Labuan.
]]>KOTA KINABALU: PETRONAS menyalurkan sumbangan bantuan kepada mangsa kebakaran di Kampung Bahagia, Sandakan, sebagai sebahagian usaha membantu keluarga yang terjejas akibat insiden berkenaan.
Sumbangan itu akan diagihkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dan Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), merangkumi keperluan asas seperti air minuman, selimut, tuala mandi, barangan mandian, tuala wanita, peralatan dapur, tisu basah bayi serta beg sampah.
Pengurus Besar Pejabat Wilayah PETRONAS Sabah dan Labuan, Datuk Siti Ayu Abdul Wahab berkata, pihaknya berharap bantuan berkenaan dapat meringankan beban mangsa.
“Kami akan terus bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi memastikan bantuan sampai kepada mereka yang memerlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyerahkan sumbangan kepada Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan, Jabatan Ketua Menteri, Datuk Awang Shahminan Awang Sahari yang juga Setiausaha JPBN Sabah, di depot Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah, hari ini.
Terdahulu, penyerahan simbolik turut diadakan bersama Presiden MPS, Datuk Walter Kenson, disaksikan Timbalan Pengarah Operasi JPKA, Asnah Kasim.
Tahun lalu, PETRONAS menyumbang kira-kira RM1.1 juta bagi menyokong usaha bantuan bencana di seluruh Sabah, manakala setakat tahun ini sebanyak RM398,000 telah disalurkan untuk inisiatif sama.
]]>KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menyambut baik komitmen Petronas untuk meneroka kerjasama lanjut bagi memperluas penyertaan Sabah dalam industri minyak dan gas.
Dalam pertemuan bersama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz, Ketua Menteri telah diberi taklimat mengenai hala tuju kerjasama strategik serta status semasa operasi Petronas di negeri ini.
Tengku Muhammad Taufik turut memaklumkan kepada Ketua Menteri mengenai usaha bantuan banjir Petronas bagi menyokong usaha Kerajaan Negeri dalam membantu komuniti yang terjejas di Sabah baru-baru ini.
Delegasi Petronas turut disertai oleh Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Gas & Maritim, Datuk Adif Zulkifli, Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Malaysia (MPM), Datuk Bacho Pilong, Naib Presiden Hubungan Strategik & Komunikasi Kumpulan, Ir. Norafizal Mat Saad serta pegawai-pegawai kanan Petronas.
]]>KOTA KINABALU: PETRONAS bersama Kerajaan Negeri Sabah mengiktiraf 98 vendor Perkhidmatan dan Peralatan Minyak dan Gas (OGSE) berpangkalan di negeri ini atas pencapaian mereka dalam memperkukuh ekosistem industri tempatan yang mampan dan berdaya saing.
Pengiktirafan itu susulan peningkatan ketara jumlah kontrak yang diraih vendor tempatan sejak pelaksanaan Perjanjian Kolaborasi Komersial (CCA) Sabah pada 2021.
Sebanyak 133 kontrak direkodkan pada 2021 sebelum meningkat kepada 499 kontrak pada 2025, sekali gus mencerminkan pertumbuhan konsisten serta kematangan keupayaan industri tempatan.
Majlis yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) itu disaksikan Pembantu Menteri Kewangan II Sabah, Datuk Sr Mohd Ishak Datuk Ayub, mewakili Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Negeri Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun.
Pengiktirafan disampaikan Naib Presiden Perolehan Kumpulan PETRONAS, Rashidah Alias, manakala Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Malaysia (MPM) PETRONAS, Datuk Ir Bacho Pilong, turut hadir.
Ir Bacho dalam ucapannya berkata, landskap tenaga global yang semakin dinamik menuntut sektor OGSE terus memainkan peranan penting sebagai tunjang ekonomi negara.
“Sektor OGSE terus menjadi pemacu ekonomi Malaysia. Dengan sokongan dan kerjasama berterusan bersama Kerajaan Negeri Sabah, kita mampu membina rantaian bekalan OGSE yang lebih berdaya tahan serta meletakkan Sabah sebagai destinasi pelaburan pilihan,” katanya.
Vendor yang menerima pengiktirafan meliputi skop kerja sederhana hingga kompleks, termasuk penyelenggaraan turbin gas, perkhidmatan Kapal Sokongan Pengeluaran bagi operasi penggerudian laut dalam, penyelenggaraan kepala telaga dan terminal, kerja penyelenggaraan serta pengubahsuaian, selain operasi marin.
Mereka turut memperkukuh kerjasama industri melalui kontrak usahasama membabitkan kerja penyelenggaraan, pembinaan dan pengubahsuaian luar pesisir, termasuk kerja sambungan dan pentauliahan.
Pada majlis sama, dua syarikat Sabah diumumkan sebagai peserta baharu Program Pembangunan Vendor (VDP), iaitu Seascape Synergy Services Sdn Bhd bagi penyelenggaraan rakit dan bot penyelamat serta GMB Dynamic Sdn Bhd bagi penyelenggaraan jentera bomba.
Penyertaan itu mencerminkan peningkatan standard keupayaan vendor tempatan dari segi aspek keselamatan, kualiti dan kecemerlangan operasi.
PETRONAS dan Kerajaan Negeri Sabah turut merakamkan penghargaan kepada rakan strategik, persatuan industri serta vendor atas komitmen berterusan dalam memperkukuh ekosistem OGSE Sabah, selain menegaskan komitmen membangunkan industri yang mampan, inklusif dan berdaya saing demi masa depan lebih kukuh.
]]>KUCHING : Tindakan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) memfailkan kes berkaitan hak minyak dan gas Sarawak di Mahkamah Persekutuan disifatkan berpotensi menjejaskan semangat persekutuan serta hubungan antara kerajaan negeri dan Persekutuan.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato’ Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, langkah membawa pertikaian tersebut ke saluran kehakiman seolah-olah bercanggah dengan semangat rundingan yang telah lama menjadi asas penyelesaian isu antara kedua-dua pihak.
“Isu ini bukan perkara baharu. Ia telah dibincangkan berulang kali melalui rundingan antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan.
“Jika wujud perbezaan pandangan, saluran dialog seharusnya diutamakan, bukan tindakan mahkamah,” katanya dalam satu video di laman rasmi tiktoknya semalam.
Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak berkata, tindakan Petronas yang dilihat dilakukan secara “tiba-tiba” turut menimbulkan persoalan sama ada ia dibuat dengan pengetahuan dan restu pihak tertinggi kerajaan Persekutuan, memandangkan syarikat minyak nasional itu berada di bawah bidang kuasa Perdana Menteri.
Beliau menegaskan bahawa sebarang keputusan Mahkamah Persekutuan, sama ada memihak kepada kerajaan Persekutuan atau Sarawak, tidak semestinya dapat meredakan rasa tidak puas hati di peringkat akar umbi.
“Keputusan undang-undang mungkin memberikan kejelasan dari sudut perundangan, tetapi ia tidak akan menyelesaikan persoalan kepercayaan, rasa tidak selamat dan keresahan rakyat,” katanya.
Menurut beliau, kenyataan seorang menteri Persekutuan baru-baru ini yang mendakwa bahawa Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tidak menyentuh langsung isu minyak dan gas, ketika kes masih belum diputuskan, turut mencetuskan kebimbangan mengenai prinsip sub judice dan persepsi campur tangan terhadap proses kehakiman.
Abdul Karim berkata, sentimen yang tercetus bukan bertujuan mempersoalkan kedudukan Sarawak dalam Persekutuan, tetapi mencerminkan kekecewaan terhadap cara isu sensitif itu ditangani.
“Kami mahu Malaysia yang aman, bersatu dan progresif. Namun, jika pertikaian terus dibawa ke mahkamah tanpa usaha ikhlas untuk berdialog, ia hanya akan menjarakkan lagi hubungan antara negeri dan Persekutuan,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa dalam mana-mana sistem persekutuan, termasuk di Australia dan Kanada, pertikaian antara kerajaan pusat dan negeri lazimnya diselesaikan melalui perundingan, bukannya semata-mata bergantung kepada keputusan kehakiman.
“Jika kita benar-benar mahu menjaga perpaduan negara, maka semangat federalisme yang berteraskan rundingan dan saling menghormati mesti dikembalikan,” katanya.
]]>MATUNGGONG : Seramai 300 keluarga di kawasan Matunggong menerima sumbangan pek perayaan daripada Yayasan PETRONAS sempena sambutan Krismas menerusi program Memacu Kehidupan.
Majlis penyampaian sumbangan tersebut berlangsung di Dewan Mini KDCA Kampung Toporoi di sini baru-baru ini dan disempurnakan oleh Pengurus Besar Pejabat Wilayah PETRONAS Sabah dan Labuan, Siti Ayu Abdul Wahab.
Majlis penyampaian turut disaksikan Timbalan Setiausaha Tetap (Sektor Dasar dan Pengurusan), Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Henry Idol.
Setiap penerima menerima pek perayaan yang mengandungi barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, gula, tepung dan teh bagi membantu meringankan beban perbelanjaan keluarga sepanjang musim perayaan.
Menurut Siti Ayu, sumbangan itu mencerminkan keprihatinan Yayasan PETRONAS terhadap kesejahteraan masyarakat setempat, khususnya golongan yang memerlukan.
“Inisiatif ini diharap dapat membawa keceriaan kepada keluarga penerima serta menyemarakkan semangat perpaduan sempena musim perayaan,” katanya.
Program Memacu Kehidupan merupakan sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat Yayasan PETRONAS dalam memperkasa komuniti serta menggalakkan semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Sabah.
Di Sabah, PETRONAS terus memainkan peranan aktif menyokong pembangunan masyarakat melalui pelbagai inisiatif yang bertujuan meningkatkan daya tahan komuniti serta menyumbang kepada kemajuan sosioekonomi rakyat negeri ini.
]]>KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menzahirkan penghargaan kepada syarikat-syarikat korporat, GLC dan NGO’s yang tampil membantu mangsa bencana di Sabah.
Katanya, ini termasuklah PETRONAS dan Yayasan PETRONAS yang menyalurkan bantuan bernilai RM980,000 pada tahun ini.
Menurutnya, sumbangan itu bukan sahaja meringankan beban mangsa banjir, malah membuktikan keprihatinan sektor swasta dalam berkongsi tanggungjawab bersama Kerajaan Negeri menjaga kebajikan rakyat.
“Kerajaan Negeri amat menghargai sumbangan PETRONAS dan Yayasan PETRONAS. Usaha ini memperlihatkan komitmen tinggi syarikat tenaga negara dalam memastikan kesejahteraan rakyat Sabah terus terbela, terutama ketika menghadapi bencana banjir,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyaksikan penyerahan Sumbangan Bantuan Bencana daripada PETRONAS di Menara Kinabalu, di sini pada Rabu.
Sumbangan itu termasuk bekalan asas dan pelbagai yang disampaikan hari ini oleh Pengurus Besar Pejabat Wilayah PETRONAS Sabah dan Labuan, Siti Ayu Abdul Wahab kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr. Safar Untong yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri.
Sumbangan terbaharu itu adalah sebagai persediaan menghadapi musim tengkujuh yang akan datang.
Sementara itu, Siti Ayu berkata, inisiatif berkenaan adalah sebahagian daripada komitmen berterusan PETRONAS dalam menyokong kesiapsiagaan dan bantuan bencana di Sabah.
“Melalui kerjasama erat dengan agensi negeri dan persekutuan, kami mahu memastikan bantuan sampai tepat pada masanya apabila diperlukan.
“Inisiatif ini juga dirancang secara proaktif setiap tahun bagi menyokong usaha kesiapsiagaan menghadapi musim banjir,” katanya.
Menurutnya, PETRONAS turut menyumbang peralatan, termasuk tilam lipat, kanopi, kipas dan bekalan air minuman.
Turut diserahkan ialah bekalan makanan paket kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta kad sumbangan bernilai RM10,000 untuk pembelian bahan api bagi operasi bantuan.
Siti Ayu berkata, setakat ini PETRONAS dan Yayasan PETRONAS telah menyalurkan sebanyak RM980,000 bagi menyokong kesiapsiagaan serta bantuan pasca bencana di Sabah, termasuk sumbangan yang telah diberikan awal tahun ini.
Terdahulu, Hajiji menegaskan, sokongan sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO’s) amat penting dalam melengkapi usaha kerajaan, sekali gus mempercepatkan pemulihan mangsa bencana.
“Kerajaan Negeri berharap lebih banyak syarikat korporat tampil membantu. Dengan adanya sokongan padu seperti ini, kita dapat memastikan bantuan sampai segera dan berkesan kepada rakyat yang memerlukan,” katanya.
]]>Oleh Normimie Diun
KOTA KINABALU: “Kita buat kerja diam-diam, tapi ada hasil.” Itu reaksi Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berhubung persoalan penglibatan syarikat milik penuh Sabah dalam industri minyak dan gas, terutama susulan penganugerahan kontrak Mutiara Cluster kepada syarikat tersenarai dari Semenanjung oleh Petronas.
Menjawab soalan tambahan yang dibangkitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dalam sesi soal jawab Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di sini hari ini, Masidi berkata penglibatan Sabah dalam sektor itu bukan mustahil, namun perlu dilihat secara realistik berdasarkan kemampuan semasa.
“Saya tahu ramai yang tanya kenapa bukan SMJ Energy dan SIP (Sabah International Petroleum) yang dapat kontrak itu. Pertama, kita belum ada kepakaran dan keupayaan kewangan untuk turut serta dalam bidaan antarabangsa peringkat eksplorasi minyak, yang memerlukan modal berbilion ringgit.
“Tetapi, itu tidak bermakna Sabah tiada penglibatan langsung. Percayalah, SMJ ada peranan, skop penglibatan itu akan diumumkan tidak lama lagi. Ini baru peringkat awal pencarian (exploration), minyak pun belum kita dapat lagi,” katanya.
Masidi menjelaskan, perbezaan antara Sabah dan Sarawak dalam industri minyak dan gas turut perlu difahami secara kontekstual kerana negeri jiran itu telah lebih awal mempunyai struktur dan pengalaman lebih 100 tahun, sedangkan Sabah masih dalam peringkat ‘merangkak’.
“Saya harap Senallang melihat isu ini dalam perspektif lebih luas. Kita tidak boleh banding terus dengan Sarawak. Mereka sudah lama dalam bidang ini, kita baru bermula,” katanya.
Dalam nada tegas tetapi diplomatik, Masidi turut menjawab pertanyaan Shafie yang meminta penjelasan tentang pendirian Sabah dalam melindungi hak terhadap sumber asli serta peranan dalam sektor hiliran.
“Saya fikir, tidak ada apa yang diberi kepada Sarawak yang tidak diberikan kepada Sabah. Dasar kita sekarang terbit daripada perjanjian Commercial Collaboration Agreement (CCA) dengan Petronas. Kita ada hak dan jawatankuasa khas untuk menentukan penglibatan negeri.
“Bezanya kita buat kerja diam-diam ada hasil, ada orang lain cakap tapi hasil tiada,” katanya.
Beliau turut memberi jaminan bahawa masa depan Sabah dalam industri minyak dan gas akan terus diperluas dengan pendekatan berfasa serta berlandaskan kemampuan sebenar.
“Saya tahu tentang industri ini walaupun saya baru. Tapi percayalah, kita sedang susun langkah. Insya-Allah, Sabah akan terus mendapat tempat sewajarnya dalam sektor ini,” katanya.
]]>