pibg – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Wed, 05 Aug 2026 08:56:06 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.1 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png pibg – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 PIBG perlu patuh Perlembagaan bagi perkasa tadbir urus sekolah https://sabahmedia.com/2026/08/05/pibg-perlu-patuh-perlembagaan-bagi-perkasa-tadbir-urus-sekolah/ https://sabahmedia.com/2026/08/05/pibg-perlu-patuh-perlembagaan-bagi-perkasa-tadbir-urus-sekolah/#respond Wed, 05 Aug 2026 08:56:00 +0000 https://sabahmedia.com/?p=101021
Read Time:2 Minute, 4 Second

SANDAKAN: Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di seluruh Sabah perlu sentiasa mematuhi Perlembagaan PIBG bagi memastikan tadbir urus persatuan dilaksanakan secara telus, berintegriti dan berkesan demi menyokong pembangunan pendidikan serta kesejahteraan murid.

Pengerusi Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS) Sabah, Datuk Mohammad Arif Sakaran berkata, Perlembagaan PIBG merupakan dokumen utama yang menjadi panduan dalam setiap aspek pengurusan persatuan termasuk proses membuat keputusan, pelaksanaan mesyuarat, pengurusan kewangan, pelantikan jawatankuasa dan pelaksanaan program.

Menurut beliau, pematuhan terhadap perlembagaan itu penting bagi memastikan setiap tindakan yang diambil oleh kepimpinan PIBG selaras dengan ketetapan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), sekali gus mengelakkan sebarang isu berkaitan tadbir urus.

Arif Sakaran

“Perlembagaan PIBG bukan sekadar dokumen pentadbiran, malah menjadi asas kepada pengurusan persatuan yang sistematik, telus dan berakauntabiliti. Semua keputusan hendaklah dibuat berpandukan perlembagaan serta mengutamakan kepentingan murid,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Libat Urus Perlembagaan PIBG yang menghimpunkan kepimpinan PIBG Daerah Sandakan.

Mohammad Arif berkata, PIBG memainkan peranan penting sebagai penghubung antara ibu bapa dengan pihak sekolah dalam membantu meningkatkan pencapaian akademik, pembentukan sahsiah, kebajikan murid, pembangunan infrastruktur serta aspek keselamatan dan disiplin.

Katanya, peranan itu bagaimanapun perlu dilaksanakan sebagai rakan strategik kepada pihak sekolah dan bukannya mengambil alih tanggungjawab pentadbiran sekolah.

Beliau turut mengingatkan bahawa aspirasi memperkukuhkan penglibatan ibu bapa dan komuniti yang digariskan menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013–2025 akan diteruskan dalam Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035, khususnya menerusi Teras Ke-5 yang memberi penekanan kepada pengukuhan sinergi antara KPM, ibu bapa, komuniti, sektor swasta dan semua pihak berkepentingan.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua PIBG supaya terus memperkukuhkan tadbir urus dengan mematuhi Perlembagaan PIBG, mengurus kewangan secara berhemah, meningkatkan komunikasi dengan ibu bapa, memanfaatkan teknologi digital serta memperluaskan kerjasama melalui inisiatif PIBKS.

Dalam pada itu, beliau berkata, Yang Dipertua, Setiausaha dan Bendahari PIBG perlu melaksanakan tanggungjawab masing-masing secara profesional dengan memastikan setiap keputusan dibuat berdasarkan Perlembagaan PIBG, pekeliling KPM serta prinsip ketelusan dan akauntabiliti.

“Marilah kita menjadikan program ini sebagai platform untuk menambah ilmu, berkongsi pengalaman dan memperkukuhkan kerjasama bagi melahirkan PIBG yang profesional, berintegriti dan berkesan demi kecemerlangan pendidikan serta masa depan anak-anak,” katanya.

Program Libat Urus Perlembagaan PIBG itu mencatat kehadiran penuh daripada 89 buah sekolah di daerah Sandakan yang terdiri daripada 66 sekolah rendah dan 23 sekolah menengah.

Program berkenaan melibatkan penyertaan 267 orang kepimpinan PIBG, merangkumi 89 Yang Dipertua (YDP) PIBG, 89 Setiausaha dan 89 Bendahari.

Turut terlibat ialah 20 orang Ahli Jawatankuasa (AJK) Pelaksana, menjadikan keseluruhan kehadiran program seramai 287 peserta.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/08/05/pibg-perlu-patuh-perlembagaan-bagi-perkasa-tadbir-urus-sekolah/feed/ 0 101021
Jamawi gesa PIBG, sekolah perhebat kempen anti buli https://sabahmedia.com/2026/06/24/jamawi-gesa-pibg-sekolah-perhebat-kempen-anti-buli-serah-siasatan-kepada-polis/ https://sabahmedia.com/2026/06/24/jamawi-gesa-pibg-sekolah-perhebat-kempen-anti-buli-serah-siasatan-kepada-polis/#respond Wed, 24 Jun 2026 02:47:58 +0000 https://sabahmedia.com/?p=98773
Read Time:1 Minute, 56 Second

TENOM: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Datuk Jamawi Jaafar menggesa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta pihak sekolah mempergiatkan usaha kesedaran bagi membendung gejala buli dalam kalangan pelajar susulan insiden membabitkan seorang murid perempuan di sebuah asrama sekolah di daerah ini.

Pada masa sama, beliau meminta orang ramai supaya tidak menularkan gambar atau video kejadian yang kini sedang disiasat polis, sebaliknya menyerahkan sepenuhnya proses siasatan kepada pihak berkuasa.

Menurutnya, semua pihak perlu menghormati permintaan ahli keluarga mangsa dan para pelajar agar rakaman kejadian itu tidak terus disebarkan di media sosial.

“Kita serahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Kita harus hormati permintaan ahli keluarga mangsa dan pelajar untuk tidak menularkan gambar dan video tersebut,” katanya ketika dihubungi media, hari ini.

Jamawi berkata, kerjasama semua pihak amat penting dalam memastikan budaya buli dapat dibendung dan tidak berulang di sekolah.

“Kita mengharapkan kerjasama semua pihak terutamanya PIBG dan sekolah agar mengambil langkah-langkah kesedaran ‘Elakkan Buli’ di sekolah masing-masing.

“Semoga ia menjadi pengajaran penting untuk kita semua,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tenom, Superintenden Azmir Abdul Razak mengesahkan pihaknya menerima satu laporan berhubung kejadian seorang murid perempuan yang dipercayai menjadi mangsa buli di sebuah asrama sekolah di daerah itu sebagaimana yang tular di media sosial.

Beliau berkata, susulan laporan yang diterima pada 23 Jun lalu, satu kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan, Seksyen 507B Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Hasil siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku pada 11 Jun lalu di sebuah asrama sekolah di daerah ini.

“Mangsa dilaporkan mengalami kecederaan dan telah dirujuk ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan media.

Menurutnya, setakat ini tiga individu telah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tenom bagi membantu siasatan, termasuk pelaku serta individu yang dipercayai terlibat dalam rakaman dan penyebaran video kejadian.

Beliau berkata, beberapa barang kes turut dirampas bagi tujuan siasatan.

Azmir menegaskan polis memandang serius sebarang bentuk perbuatan buli, keganasan serta penyebaran kandungan yang boleh mengaibkan atau mengancam mangsa.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati terlibat mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan semula video kejadian kerana tindakan itu boleh menjejaskan siasatan serta memberi kesan terhadap kebajikan dan emosi mangsa yang masih di bawah umur.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/06/24/jamawi-gesa-pibg-sekolah-perhebat-kempen-anti-buli-serah-siasatan-kepada-polis/feed/ 0 98773
PIBKS komited bantu atasi isu bekalan air di sekolah https://sabahmedia.com/2025/06/14/pibks-komited-bantu-atasi-isu-bekalan-air-di-sekolah/ https://sabahmedia.com/2025/06/14/pibks-komited-bantu-atasi-isu-bekalan-air-di-sekolah/#respond Sat, 14 Jun 2025 04:25:54 +0000 https://sabahmedia.com/?p=75517
Read Time:1 Minute, 28 Second

Kota Kinabalu :  Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Sektor Swasta (PIBKS) akan terus bekerjasama dengan pihak sekolah khususnya Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dalam memastikan bekalan air sentiasa mencukupi.

Pengerusi PIBKS Datuk Mohammad Arif Sakaran berkata, ia termasuklah membantu membekalkan tangki air sebagai langkah mengatasi masalah air selain beberapa inisiatif yang akan dilaksanakan kemudian.

Katanya, tekanan air rendah turut menjadi antara punca utama kerosakan peralatan termasuk pam air di sekolah terlibat khususnya di Sekolah Kebangsaan (SK) Sembulan.

“Tekanan air yang rendah menyebabkan sistem pam air di sekolah rosak dan tidak tahan lama. Keadaan ini menyukarkan pihak sekolah terutama dalam menguruskan keperluan pelajar, khususnya pelajar pendidikan khas yang memerlukan bekalan air yang mencukupi.

“Memandangkan kawasan Kota Kinabalu menerima hujan yang tinggi, tadahan air hujan juga boleh dimanfaatkan sebagai alternatif. Ini antara inisiatif yang kita usahakan bagi membantu sekolah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PIBG kali ke-50 SK Sembulan, di sini pada Sabtu.

Katanya, pihak sekolah turut berhubung dengan Jabatan Air Negeri Sabah, namun gangguan bekalan air yang berlaku secara tidak menentu turut menyumbang kepada kerosakan sistem dalaman sekolah.

“Apabila air ada, pam pula rosak. PIBG dan pihak sekolah tidak mempunyai sumber kewangan yang kukuh untuk menampung kos pembaikan segera, dan perlu memohon sumbangan dari masa ke masa,” katanya.

Dalam pada itu, Arif turut menyeru ibu bapa dan pihak sekolah jadikan PIBKS dan PIBG sebagai platform kukuh untuk menjalin kerjasama erat antara ibu bapa dan pihak sekolah dalam usaha meningkatkan mutu pendidikan dan kebajikan pelajar.

“Saya berharap ibu bapa dapat melihat PIBG ini bukan hanya sebagai satu persatuan, tetapi satu landasan penting untuk memperkukuh hubungan dengan pihak sekolah. 

“Dengan kerjasama yang berterusan, pelbagai program dapat dilaksanakan demi kemajuan anak-anak kita,” katanya. – SABAH MEDIA

]]>
https://sabahmedia.com/2025/06/14/pibks-komited-bantu-atasi-isu-bekalan-air-di-sekolah/feed/ 0 75517
PIBG jadi platform rancang, laksana pelbagai program akademik https://sabahmedia.com/2025/03/16/pibg-jadi-platform-rancang-laksana-pelbagai-program-akademik/ https://sabahmedia.com/2025/03/16/pibg-jadi-platform-rancang-laksana-pelbagai-program-akademik/#respond Sun, 16 Mar 2025 03:45:31 +0000 https://sabahmedia.com/?p=70503
Read Time:56 Second

Kota Kinabalu : Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) memainkan peranan yang amat penting dalam sistem pendidikan di negara ini.

Focal Person Kebangsaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Datuk Mohammad Arif Tun Sakaran berkata, ia bukan sahaja menjadi jambatan penghubung antara pihak sekolah dan ibu bapa, tetapi menjadi platform bagi merancang dan melaksanakan pelbagai inisiatif demi kecemerlangan akademik, kokurikulum, serta pembangunan sahsiah murid-murid.

“Kerjasama erat antara pihak sekolah dan ibu bapa adalah kunci kejayaan dalam membentuk generasi yang berilmu dan berdaya saing.

“Saya amat menghargai komitmen semua pihak yang sentiasa memberikan sokongan terhadap setiap usaha yang dijalankan oleh sekolah.

“Kejayaan anak-anak kita bukan hanya terletak di bahu guru semata-mata, tetapi juga bergantung pada sokongan serta bimbingan ibu bapa di rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PIBG Sekolah Kebangsaan (SK) Kepayan di sini semalam.

Arif berkata, pihaknya percaya melalui mesyuarat itu ianya akan dapat merangka strategi yang lebih berkesan dalam meningkatkan mutu pendidikan dan kebajikan murid-murid.

Katanya, dengan semangat kerjasama dan kesepaduan yang kukuh, pihaknya yakin PIBG akan terus memainkan peranannya dalam memajukan sekolah serta melahirkan generasi yang cemerlang. – SABAH MEDIA

]]>
https://sabahmedia.com/2025/03/16/pibg-jadi-platform-rancang-laksana-pelbagai-program-akademik/feed/ 0 70503
Perincikan Kriteria Pemberian Laptop Percuma Kepada Pelajar https://sabahmedia.com/2021/02/16/perincikan-kriteria-pemberian-laptop-percuma-kepada-pelajar/ https://sabahmedia.com/2021/02/16/perincikan-kriteria-pemberian-laptop-percuma-kepada-pelajar/#respond Tue, 16 Feb 2021 11:38:52 +0000 http://18.136.128.23/?p=179
Read Time:2 Minute, 1 Second

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) diminta memperincikan kriteria pemberiaan laptop percuma kepada pelajar dari keluarga B40.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Konvent St.Cecilia Sandakan Dr.Peter Naintin berkata, ia kerana ramai guru-guru, ibubapa mahupun pelajar yang masih tertanya-tanya tentang syarat-syarat untuk mendapatkan kemudahan laptop percuma itu.

Beliau berkata, bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai pengagihan laptop percuma itu, beliau menghubungi Yayasan Hasanah bagi pihak sekolah dan pelajar SMK Konvent St.Cecilia.

“Menurut Yayasan itu, KPM yang memilih sekolah dan murid, bagaimanapun tidak perlu membuat sebarang permohonan.

“Tujuan saya menghubungi Yayasan Hasanah ialah untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut bagaimana memohon seterusnya menulis surat permohonan bagi pihak sekolah kami untuk mendapatkan bantuan itu sebab kami tidak tahu sama ada sekolah kami disenaraikan atau tidak.

“Saya juga bertanya sama ada pemberiann komputer itu disertakan dengan jalur lebar dan mereka mengatakan bahawa mereka akan bekerjasama dengan syarikat pengendali telco untuk menyediakan rangkaian internet,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Dr.Peter berkata, SMK Konvent St.Cecilia Sandakan mempunyai seramai 802 daripada 933 pelajar adalah daripada keluarga B40.

Beliau juga ingin tahu apakah kriteria pemilihan sekolah untuk melayakkan sekolah berkenaan dipilih untuk mendapat laptop percuma.

“Kita tidak tahu berapa sekolah dan pelajar dari keluarga B40 di Sabah yang akan menerima laptop percuma itu.

“Saya berharap ada ketelusan dan keadilan dalam pemilihan sekolah dan tidak mengetepikan sekolah-sekolah mission kerana mereka juga memerlukan bantuan laptop bagi memudahkan pembelajaran secara online,” katanya.

Beliau menjelaskan ramai pelajar di Sabah dari keluarga B40 dan tidak mempunyai laptop telefon bimbit untuk belajar online. 

“Selain masalah telefon bimbit atau laptop, banyak kawasan di Sabah terutamanya di kawasan luar bandar tidak mempunyai rangkaian internet,” katanya.

Beliau berkata, di Sandakan sahaja terdapat sebanyak 88 buah sekolah rendah dan sekolah menengah yang kebanyakannya pelajar dari keluarga B40.

Untuk rekod, pada 6 Nov tahun lalu, seramai 150,000 murid dari 500 buah sekolah rintis di seluruh negara dilaporkan akan menerima komputer riba secara percuma bagi memudahkan proses pembelajaran dalam talian di rumah.

Baru-baru ini Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dipetik sebagai berkata, pemberian 150,000 komputer riba oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dipercepatkan bulan ini bagi memastikan anak-anak dari keluarga B40 dapat meneruskan pelajaran secara dalam talian walaupun dari rumah.

KPM bekerjasama rapat dengan Yayasan Hasanah untuk mempercepatkan penyampaian komputer riba oleh GLC dan GLIC bermula Februari ini.

]]>
https://sabahmedia.com/2021/02/16/perincikan-kriteria-pemberian-laptop-percuma-kepada-pelajar/feed/ 0 179