Pibks – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Sat, 12 Sep 2026 13:26:13 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.1 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png Pibks – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 Ibu bapa, sekolah, komuniti perlu berganding tangani buli siber https://sabahmedia.com/2026/09/12/ibu-bapa-sekolah-komuniti-perlu-berganding-tangani-buli-siber/ https://sabahmedia.com/2026/09/12/ibu-bapa-sekolah-komuniti-perlu-berganding-tangani-buli-siber/#respond Sat, 12 Sep 2026 13:26:01 +0000 https://sabahmedia.com/?p=103282
Read Time:2 Minute, 7 Second

KOTA KINABALU: Ibu bapa, pengurusan sekolah dan komuniti perlu berganding bahu dalam menangani ancaman buli siber yang semakin mencabar keselamatan serta kesejahteraan kanak-kanak dan remaja di alam digital.

Pengerusi Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS) Sabah, Datuk Mohammad Arif Sakaran berkata, buli siber tidak mengenal masa dan tempat, malah boleh terus berlaku walaupun seseorang murid sudah berada di rumah.

Menurutnya, berbeza dengan buli secara fizikal di sekolah yang lazimnya berakhir apabila murid pulang ke rumah, buli siber boleh terus mengekori mangsa melalui telefon, media sosial dan pelbagai platform digital.

“Buli di sekolah mungkin berhenti apabila anak pulang, tetapi buli siber boleh mengikut anak sampai ke rumah. Apa yang berlaku di alam maya boleh memberi kesan sebenar terhadap emosi, pembelajaran dan kesejahteraan mereka.

“Apabila anak datang mengadu, jangan terus marah atau menyalahkan mereka. Dengar dahulu, lindungi anak, simpan bukti dan laporkan melalui saluran yang betul,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menjadi panelis Forum “Hentikan Buli Siber” sempena Konvensyen PIBG Internet Selamat 2026 Peringkat Negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Sabtu.

Konvensyen bertemakan “Internet Selamat, Tanggungjawab Semua” itu dianjurkan Yayasan GoStrong Malaysia bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Program berkenaan menghimpunkan kira-kira 500 peserta dari empat daerah iaitu Kota Kinabalu, Papar, Penampang dan Tuaran, yang terdiri daripada Focal Person PIBKS Daerah, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Ahli Jawatankuasa PIBG, pengetua, guru besar serta guru.

Mohammad Arif berkata, penglibatan pelbagai pihak amat penting kerana usaha menangani buli siber tidak boleh diletakkan di bahu pihak sekolah atau ibu bapa semata-mata.

Katanya, PIBG dan PIBKS boleh memainkan peranan sebagai penghubung antara ibu bapa, sekolah dan komuniti bagi memastikan isu buli siber ditangani secara menyeluruh.

“PIBG dan PIBKS boleh menjadi jambatan yang menghubungkan ibu bapa, sekolah dan komuniti.

“Kita bukan mengambil alih tugas pentadbir sekolah, kaunselor atau pihak berkuasa, tetapi membantu memastikan aduan disalurkan
melalui saluran yang betul dan kebajikan mangsa sentiasa diberi perhatian,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan ibu bapa supaya lebih peka terhadap aktiviti digital anak-anak, selain mewujudkan suasana di rumah yang membolehkan mereka berasa selamat untuk berkongsi masalah yang dihadapi.

Menurutnya, komunikasi terbuka antara ibu bapa dan anak penting bagi membolehkan sebarang tanda awal tekanan atau gangguan dikenal pasti sebelum keadaan menjadi lebih serius.

Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya tidak menjadi sebahagian daripada rantaian buli siber dengan menyebarkan semula gambar, video, komen atau kandungan yang boleh mengaibkan serta memalukan seseorang.

“Jangan jadi pembuli, jangan jadi penyebar dan jangan berdiam diri apabila melihat buli siber. Internet selamat adalah tanggungjawab kita semua,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/09/12/ibu-bapa-sekolah-komuniti-perlu-berganding-tangani-buli-siber/feed/ 0 103282
PIBKS Sabah perkukuh peranan, bantu kurangkan keciciran calon SPM https://sabahmedia.com/2026/04/05/pibks-sabah-perkukuh-peranan-bantu-kurangkan-keciciran-calon-spm/ https://sabahmedia.com/2026/04/05/pibks-sabah-perkukuh-peranan-bantu-kurangkan-keciciran-calon-spm/#respond Sun, 05 Apr 2026 09:13:16 +0000 https://sabahmedia.com/?p=94313
Read Time:1 Minute, 48 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

KOTA KINABALU: Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Pihak Swasta (PIBKS) Sabah akan terus memainkan peranan sebagai penghubung antara sekolah, ibu bapa dan komuniti khususnya dalam memastikan tiada pelajar tercicir daripada menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pengerusi PIBKS Datuk Mohammad Arif Tun Sakaran berkata, pihaknya terlibat secara langsung dalam program turun padang ke kawasan kampung bagi menjejaki pelajar yang dikenal pasti mempunyai masalah kehadiran.

Beliau berkata, program turun padang itu turut bekerjasama rapat dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

Menurutnya, pendekatan bersemuka bersama ibu bapa menjadi antara strategi utama bagi memberi kesedaran tentang kepentingan pendidikan serta tanggungjawab memastikan anak-anak kekal berada dalam sistem persekolahan.

“PIBKS berperanan sebagai jambatan antara pihak sekolah dan komuniti. Kita turun bersama JPN dan PPD untuk bertemu ibu bapa serta memahami cabaran sebenar yang dihadapi pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya di sini pada Ahad.

Arif berkata, maklumat pelajar berisiko tidak menduduki peperiksaan SPM diperoleh melalui data kehadiran sekolah yang membolehkan pihak berkaitan mengenal pasti lebih awal pelajar terlibat.

Tambah beliau, penglibatan PIBKS memudahkan pendekatan kepada ibu bapa kerana elemen komuniti menjadikan perbincangan lebih terbuka dan mesra.

“Bila komuniti sendiri terlibat, ibu bapa lebih selesa untuk berbincang. Kita bukan sekadar menasihati, tetapi bersama-sama mencari jalan supaya anak mereka dapat terus belajar dan menduduki SPM,” katanya.

Sebelum itu, Pengarah JPN Sabah Datuk Raisin Saidin berkata, pihaknya meletakkan sasaran untuk mengurangkan jumlah calon SPM yang tidak hadir peperiksaan kepada dua digit pada tahun ini berbanding 699 orang calon yang direkodkan pada tahun 2025.

Katanya, sasaran itu merupakan komitmen bersama melibatkan pelbagai pihak termasuk Pejabat Pendidikan Daerah (PPD); pentadbir sekolah; guru; ibu bapa dan pelajar sendiri.

“Tahun ini 2026 dan tahun berikutnya saya meletakkan satu sasaran, tiga angka itu saya mahu kurangkan kepada dua angka. Ini bukan sasaran saya sahaja tetapi semua pihak. Dua digit itu bermakna adalah 10 atau 11 dan paling tinggi 99.

“Kalau itu kita dapat buat, saya ingat memang ini tiada yang mustahil. Sabah ini masih banyak ruang untuk kita bantu. Ibu bapa bersedia untuk berubah. Guru pun bersedia untuk melakukan yang terbaik,” katanya. – SABAH MEDIA

]]>
https://sabahmedia.com/2026/04/05/pibks-sabah-perkukuh-peranan-bantu-kurangkan-keciciran-calon-spm/feed/ 0 94313
PIBKS sambut baik peningkatan peruntukan pembangunan sekolah daif https://sabahmedia.com/2026/01/07/pibks-sambut-baik-peningkatan-peruntukan-pembangunan-sekolah-daif/ https://sabahmedia.com/2026/01/07/pibks-sambut-baik-peningkatan-peruntukan-pembangunan-sekolah-daif/#respond Wed, 07 Jan 2026 02:53:19 +0000 https://sabahmedia.com/?p=89350
Read Time:1 Minute, 7 Second

KOTA KINABALU : Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Pihak Swasta (PIBKS) Sabah menyambut baik peningkatan peruntukan penyelenggaraan bagi pelaksanaan projek pembangunan semula sekolah daif di seluruh negara.

Peningkatan peruntukan penyelenggaraan itu adalah melibatkan Sekolah Agama; Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

Pengerusi PIBKS Datuk Mohammad Arif Tun Sakaran berkata, inisiatif itu dilihat amat baik khususnya dalam memastikan fasiliti sekolah berada dalam tahap terbaik.

“Ini adalah salah satu inisiatif yang sangat baik daripada Kerajaan Persekutuan, yang dilihat mementingkan bagaimana pembangunan pendidikan harus diselenggara, harus dibangunkan dengan sempurna dan dibangun dengan teliti.

“Ya, sudah tentu, khususnya di negeri Sabah ini, yang mana kalau kita lihat dari segi pembangunan, kedaifan sekolah sangat tinggi.

“Jadi ini antara yang sangat memerlukan peruntukan dan sangat perlu dipantau, sangat perlu disegerakan segala pembangunan khususnya di negeri Sabah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Sabah Media di sini pada Selasa.

Pada Isnin, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan amanat Tahun Baharu menyatakan bahawa Kerajaan Madani memberi penekanan berterusan bagi meningkatkan akses pendidikan bagi semua murid.

Ini termasuk dengan menyegerakan pelaksanaan projek pembangunan semula sekolah daif.

Arif berkata, pihaknya berharap peruntukan yang disalurkan dapat diagihkan secara menyeluruh serta dilaksanakan dengan segera.

Katanya, dengan pemantauan rapi dan pelaksanaan yang cekap, peruntukan tersebut mampu memberi impak besar kepada pembangunan pendidikan, khususnya di negeri ini. – SABAH MEDIA

]]>
https://sabahmedia.com/2026/01/07/pibks-sambut-baik-peningkatan-peruntukan-pembangunan-sekolah-daif/feed/ 0 89350
Ibu bapa disaran pantau anak-anak, elak terjebak gejala buli https://sabahmedia.com/2025/09/04/ibu-bapa-disaran-pantau-anak-anak-elak-terjebak-gejala-buli/ https://sabahmedia.com/2025/09/04/ibu-bapa-disaran-pantau-anak-anak-elak-terjebak-gejala-buli/#respond Thu, 04 Sep 2025 07:25:24 +0000 https://sabahmedia.com/?p=80601
Read Time:1 Minute, 6 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

Kota Kinabalu : Para ibu bapa disarankan agar sentiasa memantau pergaulan dan tingkah laku anak-anak supaya tidak terlibat dalam gejala negatif khususnya kes buli yang kini semakin banyak dilaporkan di seluruh negara.

Pengerusi Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Sektor Swasta (PIBKS) Sabah Datuk Mohammad Arif Sakaran berkata, pendidikan dan pengawasan daripada ibu bapa amat penting bagi memastikan anak-anak mendapat asas bimbingan yang baik sejak dari rumah.

“Baru-baru ini banyak kita dengar berita berkaitan kes buli di seluruh negara.

“Saya berharap para ibu bapa sentiasa memberi didikan yang baik dan mengingatkan anak-anak supaya jangan terlibat dalam gejala tidak sihat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kejohanan Sukan Tahunan ke-31 Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Gaya 2025 di Stadium Likas di sini pada Khamis.

Arif berkata, ruang kasih sayang dan suasana pembelajaran yang sihat perlu diberi kepada anak-anak agar mereka lebih menitikberatkan keselamatan diri serta mementingkan pendidikan.

Mengenai kejohanan sukan itu, beliau berkata, penganjuran kejohanan sukan itu adalah bagi membina semangat kesukanan dikalangan anak-anak khususnya sekolah berkenaan.

Katanya, ia bukan sekadar satu kejohanan bagi mengukur kemampuan anak-anak bertanding, tetapi dapat membina keyakinan diri serta suntikan kreativiti dan inovasi dalam kalangan murid.

“Elemen ini sangat penting bagi mengiktiraf kebolehmampuan berfikir dalam menjana kemenjadian murid yang cemerlang,” katanya. – SABAH MEDIA

]]>
https://sabahmedia.com/2025/09/04/ibu-bapa-disaran-pantau-anak-anak-elak-terjebak-gejala-buli/feed/ 0 80601
PIBKS komited bantu atasi isu bekalan air di sekolah https://sabahmedia.com/2025/06/14/pibks-komited-bantu-atasi-isu-bekalan-air-di-sekolah/ https://sabahmedia.com/2025/06/14/pibks-komited-bantu-atasi-isu-bekalan-air-di-sekolah/#respond Sat, 14 Jun 2025 04:25:54 +0000 https://sabahmedia.com/?p=75517
Read Time:1 Minute, 28 Second

Kota Kinabalu :  Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Sektor Swasta (PIBKS) akan terus bekerjasama dengan pihak sekolah khususnya Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dalam memastikan bekalan air sentiasa mencukupi.

Pengerusi PIBKS Datuk Mohammad Arif Sakaran berkata, ia termasuklah membantu membekalkan tangki air sebagai langkah mengatasi masalah air selain beberapa inisiatif yang akan dilaksanakan kemudian.

Katanya, tekanan air rendah turut menjadi antara punca utama kerosakan peralatan termasuk pam air di sekolah terlibat khususnya di Sekolah Kebangsaan (SK) Sembulan.

“Tekanan air yang rendah menyebabkan sistem pam air di sekolah rosak dan tidak tahan lama. Keadaan ini menyukarkan pihak sekolah terutama dalam menguruskan keperluan pelajar, khususnya pelajar pendidikan khas yang memerlukan bekalan air yang mencukupi.

“Memandangkan kawasan Kota Kinabalu menerima hujan yang tinggi, tadahan air hujan juga boleh dimanfaatkan sebagai alternatif. Ini antara inisiatif yang kita usahakan bagi membantu sekolah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PIBG kali ke-50 SK Sembulan, di sini pada Sabtu.

Katanya, pihak sekolah turut berhubung dengan Jabatan Air Negeri Sabah, namun gangguan bekalan air yang berlaku secara tidak menentu turut menyumbang kepada kerosakan sistem dalaman sekolah.

“Apabila air ada, pam pula rosak. PIBG dan pihak sekolah tidak mempunyai sumber kewangan yang kukuh untuk menampung kos pembaikan segera, dan perlu memohon sumbangan dari masa ke masa,” katanya.

Dalam pada itu, Arif turut menyeru ibu bapa dan pihak sekolah jadikan PIBKS dan PIBG sebagai platform kukuh untuk menjalin kerjasama erat antara ibu bapa dan pihak sekolah dalam usaha meningkatkan mutu pendidikan dan kebajikan pelajar.

“Saya berharap ibu bapa dapat melihat PIBG ini bukan hanya sebagai satu persatuan, tetapi satu landasan penting untuk memperkukuh hubungan dengan pihak sekolah. 

“Dengan kerjasama yang berterusan, pelbagai program dapat dilaksanakan demi kemajuan anak-anak kita,” katanya. – SABAH MEDIA

]]>
https://sabahmedia.com/2025/06/14/pibks-komited-bantu-atasi-isu-bekalan-air-di-sekolah/feed/ 0 75517