KOTA KINABALU: Kumpulan Yayasan Sabah (KYS) mengumumkan pelanjutan Program Rebat Madani sebanyak 30 peratus kepada para peminjam pinjaman pengajian sehingga 31 Disember ini.
Pengarah Yayasan Sabah, Dato’ Sri Gulamhaidar @ Yusof Khan Bahadar berkata, pelanjutan itu berikutan sambutan luar biasa sejak dilancarkan pada April lalu.
Katanya, pelanjutan itu memberi peluang kepada lebih ramai peminjam untuk menikmati rebat khas dengan syarat mereka membuat pembayaran penuh secara sekaligus dalam tempoh tawaran tersebut.
Menurutnya, program itu bukan sahaja membantu meringankan beban kewangan peminjam, malah mempercepatkan pusingan dana pendidikan Yayasan Sabah.
“Melalui inisiatif ini, hanya pembayaran penuh secara sekaligus akan melayakkan peminjam menikmati rebat 30 peratus. Pembayaran separa atau berperingkat tidak termasuk dalam tawaran ini,” katanya dalam kenyataan di sini.
Sejak program ini diperkenalkan pada 1 April 2025, seramai 230 peminjam telah menyertai program tersebut dengan jumlah rebat keseluruhan sebanyak RM818,815.01, hasil pembayaran penuh bernilai RM2,024,437.49.

Menurut Gulamhaidar, pencapaian ini membuktikan keprihatinan KYS terhadap kumpulan sasar dalam membantu mereka menunaikan tanggungjawab membayar balik pinjaman, sejajar dengan matlamat Yayasan Sabah untuk memperkukuh pembangunan pendidikan negeri.
“Kami menyeru lebih ramai peminjam yang berkemampuan untuk mengambil peluang ini, bukan sahaja menikmati rebat khas, tetapi turut berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah menarik,” katanya.
Sementara itu, beliau turut mengingatkan peminjam yang masih belum memulakan atau telah berhenti membayar pinjaman agar menunaikan tanggungjawab mereka.
“Pembayaran balik pinjaman ini penting untuk memastikan kelestarian dana pendidikan Yayasan Sabah supaya generasi baharu juga dapat menikmati peluang pengajian tinggi pada masa depan,” katanya.
Untuk maklumat lanjut mengenai Program Rebat Madani, orang ramai boleh melayari Facebook rasmi KYS-Kumpulan Yayasan Sabah, menghubungi talian 011-33181088, atau menghantar emel ke [email protected]. – SABAH MEDIA
]]>Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Lima lelaki dan dua wanita didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan melakukan pakat jahat jenayah dengan menawarkan pinjaman tidak wujud melalui panggilan telefon.
Tertuduh adalah Mohd Kamal Jalali, 32, Abdul Zaini Salun, 32, Edgar Quisol, 38, Hasmir Han Abdul Ghazir, 19, Iskandar Harun, 32, Eriana Faizal, 27, dan Yuni Ordanza Eduardo, 18.
Kesemua tertuduh masing-masing mengaku tidak bersalah di hadapan hakim Elsie Primus, kelmarin.
Mereka didakwa terlibat dalam pakat jahat jenayah tersebut pada 2 Mei lalu, jam 11.40 pagi, di sebuah unit kondominium di Kingfisher Inanam, Jalan Kionsom Inanam, di sini.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 120B(1) kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 18 Jun ini untuk pengurusan kes, manakala tarikh perbicaraan ditetapkan pada 29 dan 30 September serta 1 hingga 3 Oktober tahun ini.
Kesemua tertuduh dibenarkan diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan dua penjamin tempatan, kecuali Eriana dan Yuni yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.
Hasmir diarahkan membayar deposit jaminan sebanyak RM5,000, manakala yang lain perlu membayar deposit RM8,000.
Mahkamah turut mengenakan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri dua kali sebulan di balai polis terdekat.
Sementara itu, Eriana dan Yuni diperintahkan untuk ditahan reman sehingga kes selesai.
Pihak pendakwaan memaklumkan akan memanggil kira-kira 13 orang saksi sepanjang perbicaraan nanti.
Peguam Nigel Neong Kaning mewakili Abdul Zaini, manakala tertuduh lain diwakili oleh peguam Luke Ressa Balang.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Eugenie A. Gilbert.
]]>Oleh NORMIMIE DIUN
PENAMPANG: Perbadanan Pinjaman Sabah (PPS) telah diberi kebenaran untuk memberi pinjaman perumahan kepada penjawat awam negeri Sabah.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan perkara tersebut bahawa kerajaan negeri memberi kebenaran kepada PPS supaya memberi kemudahan pinjaman perumahan kepada penjawat awam negeri untuk memiliki rumah sendiri.
“InshaAllah dengan kebenaran ini, kerajaan memberi kemudahan kepada penjawat awam negeri untuk memiliki rumah sendiri sama ada membeli atau membina rumah.
“Justeru, saya berharap PPS akan terus maju sebagai satu agensi kerajaan yang dibanggakan. Daripada taklimat yang diberikan oleh PPS, jelas perbadanan ini adalah agensi yang mantap dan perlu dicontohi oleh mana-mana agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di negeri ini,” katanya sempena majlis Penyerahan Dividen, Faedah dan Zakat Perniagaan PPS kepada Kerajaan Negeri Sabah di Wisma Perbadanan Pinjaman Sabah di Penampang, di sini pada Khamis.
Hajiji juga meminta semua GLC di negeri ini akan mampu menghasilkan keuntungan dan perkhidmatan terbaik dapat diberikan kepada pelanggan serta rakyat.
“Saya mahu kepada GLC lain yang mahu terus mencapai perkhidmatan yang terbaik agar dapat merombak atau menyusun semula pentadbiran mereka untuk menjadi GLC yang boleh dibanggakan seperti mana harapan kerajaan,” katanya.
Sempena majlis itu kerajaan Sabah menerima dividen sebanyak RM17.5 juta daripada PPS selain RM576,421.44 sebagai pembayaran faedah, bagi tahun 2020. Perbadanan Pinjaman Sabah turut membayar zakat perniagaan berjumlah RM263,690.55, bagi tempoh yang sama.
“Kerajaan negeri merakamkan syabas kepada PPS kerana tidak pernah gagal untuk membayar dividen sejak 2002.
“Walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran dan terkesan dengan perubahan landskap ekonomi susulan pandemik COVID-19 sejak lebih setahun lalu, ahli lembaga, pihak pengurusan dan semua warga PPS masih mampu menunjukkan daya saing yang cemerlang serta mampu menghasilkan keputusan yang memberangsangkan.
“Sejak tahun 2002, PPS tidak pernah gagal untuk membayar dividen kepada kerajaan negeri dan usaha ini amat dihargai. Saya berharap pemberian dividen oleh PPS yang bermula sejak 19 tahun lalu, terus dikekalkan untuk tahun-tahun seterusnya selain mengekalkan prestasi cemerlang,” katanya.
Hajiji turut menyatakan ekspektasi atau harapan pelanggan kepada penyampaian perkhidmatan kerajaan telah berubah pada unjuran yang besar berikutan perubahan teknologi terutama sekali di media sosial.
“Justeru, saya mahu setiap agensi kerajaan menyahut cabaran itu untuk memberi khidmat yang terbaik dan jika boleh, melebihi ekspektasi kepuasan setiap pelanggan. Saya berharap lembaga pengarah dan pengurusan PPS akan terus meningkatkan mutu perkhidmatan mereka sekali gus meneroka di luar daripada zon selesanya dan melaksanakan lebih banyak bidang perniagaan,” katanya.
Katanya, selama bertahun-tahun, PPS bukan sahaja telah mencapai prestasi melebihi jangkaan tetapi ia telah menjangkaui perniagaan untuk mendekati hati dan minda (hearts and minds) bagi membantu masyarakat melalui program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang dilaksanakan perbadanan berkenaan.
“Ini termasuk pemberian bantuan alat-alat perubatan kritikal kepada setiap hospital akibat pandemik COVID-19 di samping membantu mangsa yang terkesan daripada pelbagai bencana alam yang berlaku,” katanya sambil berharap usaha PPS ini akan dicontohi agensi atau sektor swasta di negeri ini.
]]>