pm – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Tue, 14 Jul 2026 08:04:35 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.0.4 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png pm – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 PM raikan 1,000 pengamal media pada MWM 2026, Hadiah Kajai jadi tumpuan https://sabahmedia.com/2026/07/14/pm-raikan-1000-pengamal-media-pada-mwm-2026-hadiah-kajai-jadi-tumpuan/ https://sabahmedia.com/2026/07/14/pm-raikan-1000-pengamal-media-pada-mwm-2026-hadiah-kajai-jadi-tumpuan/#respond Tue, 14 Jul 2026 08:04:30 +0000 https://sabahmedia.com/?p=99857
Read Time:1 Minute, 45 Second

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menghadiri Malam Wartawan Malaysia (MWM) 2026 dan Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) MPI-PETRONAS 2025 yang akan berlangsung di Hotel The Majestic Kuala Lumpur pada 17 Julai ini.

Majlis anjuran Malaysian Press Institute (MPI) itu dijangka menghimpunkan kira-kira 1,000 tetamu terdiri daripada ketua pengarang, editor, wartawan, pengamal media, wakil kementerian dan agensi kerajaan, syarikat korporat, institusi pengajian tinggi serta rakan strategik industri media.

Bertemakan “Newsroom”, MWM 2026 mengangkat bilik berita sebagai nadi kewartawanan yang terus memainkan peranan penting dalam memastikan setiap laporan disemak, disahkan dan diterbitkan secara beretika, meskipun industri media kini berdepan perubahan pesat susulan perkembangan platform digital, media sosial dan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Dr Ainol Amriz Ismail berkata, kehadiran Perdana Menteri mencerminkan penghargaan kerajaan terhadap peranan media sebagai rakan strategik dalam pembangunan negara dan pembentukan masyarakat yang bermaklumat.

“Malam Wartawan Malaysia bukan sekadar majlis penghargaan, tetapi simbol pengiktirafan kepada profesionalisme, keberanian dan integriti wartawan dalam melaksanakan tanggungjawab kepada masyarakat.

“Dalam era lambakan maklumat dan teknologi AI, kewartawanan yang beretika serta berasaskan fakta menjadi semakin penting bagi mengekalkan kepercayaan rakyat terhadap media,” katanya.

Kemuncak majlis ialah penyampaian Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-PETRONAS 2025, anugerah kewartawanan paling berprestij di negara ini yang mengiktiraf karya terbaik dalam 21 kategori meliputi media cetak, penyiaran, radio, multimedia, fotografi, dokumentari, kewartawanan penyiasatan, kewartawanan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), serta beberapa kategori lain.

Perdana Menteri turut dijadual menyampaikan Hadiah Kajai, pengiktirafan tertinggi kepada wartawan yang menghasilkan karya paling cemerlang dan berimpak.

HKM MPI-PETRONAS 2025 menerima tajaan utama PETRONAS berjumlah RM450,000, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan sektor korporat dalam memperkukuh ekosistem kewartawanan serta pembangunan media berkualiti di Malaysia.

Pada majlis sama, Perdana Menteri turut meraikan penulis buku Di Sebalik Tabir Kerjaya Wartawan, terbitan khas MPI yang menghimpunkan pengalaman 23 pengamal media daripada pelbagai organisasi sebagai dokumentasi perjalanan profesion kewartawanan dan warisan ilmu kepada generasi akan datang.

Malam Wartawan Malaysia merupakan acara tahunan paling berprestij anjuran MPI yang menjadi platform menghargai sumbangan pengamal media, mengiktiraf kecemerlangan kewartawanan serta memperkukuh hubungan strategik antara industri media, kerajaan dan sektor korporat.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/07/14/pm-raikan-1000-pengamal-media-pada-mwm-2026-hadiah-kajai-jadi-tumpuan/feed/ 0 99857
PM umum cuti tambahan sempena Aidilfitri https://sabahmedia.com/2026/03/15/pm-umum-cuti-tambahan-sempena-aidilfitri/ https://sabahmedia.com/2026/03/15/pm-umum-cuti-tambahan-sempena-aidilfitri/#respond Sun, 15 Mar 2026 05:16:44 +0000 https://sabahmedia.com/?p=93326
Read Time:44 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan kerajaan akan memberikan cuti tambahan kepada penjawat awam sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini bagi menghargai usaha dan komitmen mereka sepanjang bulan Ramadan.

Beliau mengumumkan perkara itu ketika berucap sempena sambutan Hari Pengguna Kebangsaan 2026 di Suria Sabah Shopping Mall di sini, hari ini.

Beliau berkata, sekiranya Aidilfitri jatuh pada hari Jumaat, 20 Mac, maka cuti tambahan akan diberikan pada Isnin, 23 Mac. Namun jika Aidilfitri disambut pada Sabtu, 21 Mac, cuti tambahan akan diberikan sehari lebih awal iaitu pada Jumaat, 20 Mac.

Menurutnya, pengumuman awal dibuat bagi membolehkan orang ramai membuat perancangan lebih teratur untuk menyambut perayaan bersama keluarga.

“Dalam tradisi kita, kita tahu Hari Raya akan jatuh sama ada pada Jumaat atau Sabtu, tetapi kita tidak boleh tentukan sekarang. Apa pun keputusannya nanti, jangan bimbang kerana kerajaan akan memberikan cuti tambahan,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/03/15/pm-umum-cuti-tambahan-sempena-aidilfitri/feed/ 0 93326
PMX turun padang, dengar rintihan mangsa banjir di Penampang https://sabahmedia.com/2025/09/19/pmx-turun-padang-dengar-rintihan-mangsa-banjir-di-penampang/ https://sabahmedia.com/2025/09/19/pmx-turun-padang-dengar-rintihan-mangsa-banjir-di-penampang/#respond Fri, 19 Sep 2025 11:49:27 +0000 https://sabahmedia.com/?p=81658
Read Time:2 Minute, 33 Second

Oleh Florieta Diet

PENAMPANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini menyantuni mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kolopis dan Sarapung, di sini.

Rata-rata mangsa di PPS Kolopis ketika ditemui Sabah Media meluahkan rasa teruja dapat bertemu dengan Perdana Menteri (PMX) meskipun seketika sahaja, memandangkan jadual beliau yang padat.

Pada lawatan itu, PMX menyerahkan bakul bantuan banjir kepada 400 ketua isi rumah (KIR), melibatkan 170 KIR di PPS Kolopis, 170 KIR di PPS Sarapung, dan 60 KIR dari Kampung Inobong. Sumbangan berkenaan disalurkan melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia.

Noiti

Penyelaras PPS Kolopis, Noiti Ibot @ Anna Nati, 54, yang turut terkesan banjir, berkata beliau gembira dengan kehadiran PMX bersama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick, serta wakil rakyat lain yang hadir melawat dan memberikan sumbangan.

“Tidak juga lupa kepada pihak Sekolah Kebangsaan St. Paul Kolopis yang menyediakan tempat tinggal sementara kepada kami dan menyediakan makanan untuk hari pertama.

Badan bukan kerajaan dan orang perseorangan turut menghantar bantuan makanan serta pakaian kepada kami.

“Terima kasih kerana tidak membelakangkan kami ketika ditimpa kesusahan. Pada awal dipindahkan ke sini, kami memang serba kekurangan. Namun pihak sekolah menghulurkan makanan sementara menunggu bantuan tiba. Sehari selepas itu, barulah kami menerima bantuan daripada badan bukan kerajaan dan orang perseorangan,” katanya.

Menurutnya, masih terdapat beberapa keluarga yang tinggal di PPS kerana rumah mereka rosak dan belum dibaiki.

“Saya berharap pihak berkuasa dapat mencarikan tempat tinggal sementara kerana PPS ini berada di kawasan sekolah dan mungkin akan mengganggu sesi pembelajaran pelajar,” tambahnya.

Sementara itu, Murjana Adzrik, 47, berkata beliau terharu dengan kehadiran PMX.

Murjana

“Saya rasa bangga kerana kita mempunyai Perdana Menteri yang begitu prihatin terhadap rakyat tanpa mengira bangsa dan agama. Beliau sendiri turun padang melihat keadaan kami. Kami bersyukur atas bantuan kerajaan negeri dan persekutuan yang meringankan beban kami ketika ini,” katanya.

Menurut Murjana, kawasan tempat tinggal mereka sering dilanda banjir.

“Dalam tahun ini sahaja sudah tiga kali berlaku, tetapi tidak teruk .. sekadar menjejaskan kawasan dapur kerana lantainya rendah. Namun banjir kali ini paling teruk sehingga memaksa saya bersama keluarga berpindah segera ke PPS Kolopis,” jelasnya.

Seorang lagi mangsa, Mohammad Akif, 33, turut berkongsi keterujaan dengan lawatan PMX.

Mohammad Akif

“Saya sangat gembira kerana beliau sanggup datang dari jauh untuk bertanya khabar walaupun sekejap sahaja,” katanya.

Tambahnya, hujan lebat baru-baru ini menyebabkan air naik dengan cepat. Demi keselamatan, beliau bersama isteri dan dua anak berpindah segera ke PPS Kolopis dan hanya mampu menunggu bantuan makanan serta ubat-ubatan daripada pihak berkuasa.

“Kami hanya mampu mengharapkan bantuan kerana tidak dapat berbuat apa-apa ketika itu,” katanya.

Ewon dalam kenyataannya hari ini berkata, tujuh agensi di bawah kementeriannya telah menyalurkan sumbangan tanggungjawab sosial korporat bernilai hampir RM200,000 kepada mangsa banjir dan tanah runtuh di Sabah.

“Sumbangan berupa bakul makanan, ubat-ubatan serta keperluan harian lain seperti lampin pakai buang telah mula diagihkan hari ini kepada penerima di Penampang, Kadamaian dan Papar,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Penampang menambah, bantuan seterusnya akan diagihkan secara berfasa sehingga semua sumbangan selesai disampaikan kepada 1,907 penerima.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/09/19/pmx-turun-padang-dengar-rintihan-mangsa-banjir-di-penampang/feed/ 0 81658
PM arah bantuan banjir dan tanah runtuh dipercepat di Sabah https://sabahmedia.com/2025/09/19/pm-arah-bantuan-banjir-dan-runtuhan-dipercepat-di-sabah/ https://sabahmedia.com/2025/09/19/pm-arah-bantuan-banjir-dan-runtuhan-dipercepat-di-sabah/#respond Fri, 19 Sep 2025 10:39:58 +0000 https://sabahmedia.com/?p=81644
Read Time:1 Minute, 23 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan semua proses penyaluran bantuan dan kerja-kerja pemulihan akibat banjir serta tanah runtuh di Sabah akan dipercepatkan tanpa terikat dengan prosedur biasa.

Menurut beliau, langkah itu penting bagi memastikan mangsa segera mendapat bantuan sewajarnya termasuk makanan, penempatan sementara serta pemulihan prasarana asas.

“Kalau ikut proses biasa, untuk siap jalan dan kemudahan akan ambil masa terlalu lama. Oleh itu saya sudah minta supaya ia dipercepatkan,” katanya pada sidang media selepas meninjau kawasan tanah runtuh di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya, di sini, hari ini.

Anwar turut memberi jaminan bahawa kerajaan persekutuan akan bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri Sabah dalam menangani kesan bencana, termasuk di IPG berkenaan.

Katanya, beliau sebelum ini mengumumkan peruntukan awal sebanyak RM10 juta ketika berada di Doha, namun tambahan sedang dikenal pasti bagi menampung kerosakan infrastruktur.

“Sekarang kita lihat ada beberapa keperluan yang memerlukan peruntukan lebih besar. Buat masa ini, fokus kita ialah membantu keluarga terlibat termasuk makan minum dan penempatan sementara. Soal prasarana seperti jalan raya dan kedudukan IPG ini juga diberi keutamaan,” katanya.

Beliau menjelaskan, kerajaan masih menunggu laporan penuh daripada pihak kejuruteraan sama ada kampus IPG berkenaan boleh dibangunkan semula di tapak asal atau perlu dipindahkan ke lokasi baharu dengan kerjasama kerajaan negeri.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, kerajaan negeri serta semua jentera persekutuan dan negeri yang bertungkus lumus membantu mangsa, termasuk pasukan tenaga elektrik.

“Saya lihat rakyat bangga dengan kesiap siagaan dan pengorbanan staf di lapangan. Insya-Allah, kerajaan negeri dan persekutuan akan terus selaraskan segala keperluan sama ada di bawah tanggungan negeri atau persekutuan,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/09/19/pm-arah-bantuan-banjir-dan-runtuhan-dipercepat-di-sabah/feed/ 0 81644
Pengumuman PM bantu rakyat luar bandar – Pemuda UPKO https://sabahmedia.com/2025/07/23/pengumuman-pm-bantu-rakyat-luar-bandar-pemuda-upko/ https://sabahmedia.com/2025/07/23/pengumuman-pm-bantu-rakyat-luar-bandar-pemuda-upko/#respond Wed, 23 Jul 2025 08:23:47 +0000 https://sabahmedia.com/?p=77793
Read Time:1 Minute, 17 Second

Oleh J.Evachel John

TELUPID: Ketua Pemuda UPKO Nasional, Felix Joseph Saang menyambut baik pengumuman beberapa inisiatif penting oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijangka beri manfaat besar kepada rakyat luar bandar.

Antara pengumuman utama ialah sumbangan tunai RM100 kepada semua rakyat berusia 18 tahun ke atas, penurunan kadar bil elektrik, cuti umum sempena Hari Malaysia, serta peluasan Program Jualan Rahmah ke kawasan pedalaman.

Menurut Felix, inisiatif ini bukti komitmen kerajaan perpaduan mendahulukan kebajikan rakyat, khususnya golongan B40 dan M40 yang terus tertekan dengan kos sara hidup.

“Sumbangan tunai RM100 mungkin kelihatan kecil di atas kertas, namun bagi ramai keluarga berpendapatan rendah di luar bandar, ia mampu membantu menampung keperluan asas seperti makanan, susu anak atau minyak kenderaan untuk sebulan,” katanya.

Penurunan kadar elektrik juga dilihat langkah bijak, membantu pengguna luar bandar yang sebelum ini terbeban dengan caj utiliti tinggi.

Felix yang juga Ketua Bahagian UPKO Beluran turut menyambut baik pengumuman cuti umum pada Hari Malaysia sebagai simbol penyatuan dan penghargaan kepada rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak yang sering merasakan tarikh keramat 16 September kurang diberi perhatian sebelum ini.

Beliau turut memuji peluasan Program Jualan Rahmah ke kawasan pedalaman, yang dapat mengurangkan kos sara hidup dan meningkatkan kehadiran kerajaan di lapangan.

“UPKO Bahagian Beluran khusus sekali kawasan daerah Telupid, bersedia jadi rakan pelaksana di peringkat akar umbi, memastikan program ini sampai ke kampung-kampung terpencil, bukan hanya di bandar.”

Felix menzahirkan keyakinan bahawa pendekatan berfokus rakyat ini akan terus dikembangkan oleh kepimpinan negara demi memastikan tiada sesiapa yang tercicir dalam arus pembangunan negara.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/07/23/pengumuman-pm-bantu-rakyat-luar-bandar-pemuda-upko/feed/ 0 77793
PM usul Sabah mesti miliki jaringan lebih kuat dengan Kerajaan Persekutuan https://sabahmedia.com/2025/05/30/pm-usul-sabah-mesti-miliki-jaringan-lebih-kuat-dengan-kerajaan-persekutuan/ https://sabahmedia.com/2025/05/30/pm-usul-sabah-mesti-miliki-jaringan-lebih-kuat-dengan-kerajaan-persekutuan/#respond Thu, 29 May 2025 16:08:21 +0000 https://sabahmedia.com/?p=74788
Read Time:2 Minute, 33 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengusulkan agar Sabah membina jaringan yang lebih kukuh dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan pembangunan negeri itu dapat dilaksanakan secara lebih menyeluruh dan berkesan.

Beliau berkata hubungan yang baik antara negeri dan pusat perlu berlandaskan kepercayaan dan persefahaman, sebagaimana yang telah dibina bersama Kerajaan Sarawak dalam pelaksanaan dasar serta penyelesaian isu-isu berbangkit termasuk Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Saya yakin, kalau kita mahu membela nasib negeri dan rakyat Sabah, hubungan negeri dengan Persekutuan harus intim dan berdasarkan saling percaya. Kita telah buktikan ini dengan Sarawak, dan sebab itu saya usulkan agar rakyat Sabah wujudkan jaringan yang lebih kuat dengan Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika bertemu barisan kepimpinan Pakatan Harapan (PH) Sabah yang terdiri daripada wakil-wakil Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP, Amanah dan UPKO di sini malam tadi.

Anwar turut menjelaskan bahawa kunjungannya ke Sabah memberi peluang kepada beliau untuk mendengar pandangan daripada pimpinan PH negeri dalam menentukan keutamaan manifesto dan strategi rundingan kerusi bersama rakan politik seperti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN).

“Pandangan yang saya dengar ini akan dibawa ke perhatian rakan-rakan di peringkat pusat. Keputusan kita adalah untuk menyerahkan sepenuhnya pengendalian Pilihan Raya Negeri kepada PH Sabah,” katanya.

Mengulas lanjut, Anwar menegaskan komitmen Kerajaan Persekutuan terhadap pelaksanaan MA63 bukan sekadar retorik politik menjelang pilihan raya, sebaliknya telah dibuktikan melalui penyelesaian sembilan perkara utama yang tertangguh selama puluhan tahun.

“Sejak dua tahun saya memegang jawatan ini, kita beri keutamaan kepada MA63 yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof bersama menteri-menteri dari Sabah dan Sarawak. Kita juga berjaya selesaikan isu-isu lebih besar seperti minyak dan gas dengan Sarawak,” katanya.

Menurut beliau, pendekatan sama akan digunakan untuk memastikan Sabah turut mendapat hasil yang lebih terjamin dan tidak disalahgunakan, seiring prinsip ketelusan dan tadbir urus yang baik.

“Saya tidak mahu pemimpin berebut kekayaan, tetapi guna kesempatan untuk membela hak Sabah, termasuk dalam isu tuntutan Sulu. Ini soal maruah negara. Kita telah belanja besar untuk mempertahankan hak negeri dan negara,” tegasnya.

Dalam pada itu, Anwar turut menyentuh tentang kejayaan Kerajaan Persekutuan mempertahankan kedudukan pejabat ASEAN dan BIM-EAGA di Kota Kinabalu, sebagai antara usaha mempertahankan kepentingan Sabah di peringkat serantau.

“Setiap kali saya datang, saya dengar dan bawa ke Jemaah Menteri untuk dilaksanakan,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai strategi PH Sabah, Anwar memaklumkan bahawa empat pimpinan utama PH negeri telah diberi tanggungjawab untuk memimpin rundingan dengan GRS dan BN di peringkat negeri.

“Rundingan dibuat di peringkat negeri, saya beri sokongan penuh. Saya juga telah bertemu Datuk Seri Hajiji dan Datuk Seri Zahid. Kita baik dengan kedua-duanya dan ruang perbincangan politik tidak pernah ditutup. Yang penting ialah kestabilan politik dan hubungan rapat dengan Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Sempena Hari Wartawan Nasional, Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada warga media atas dedikasi dan komitmen mereka dalam menjalankan tugas.

“Saya ucapkan terima kasih dan penghargaan kepada semua wartawan. Tugas mereka luar biasa kritikal, menyokong dan menegur, tetapi yang penting berperanan untuk rakyat. Teruskan bekerja dengan semangat demi kejayaan negeri Sabah dan negara tercinta,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/05/30/pm-usul-sabah-mesti-miliki-jaringan-lebih-kuat-dengan-kerajaan-persekutuan/feed/ 0 74788
Kerjasama PETRONAS-PETROS: Lonjakan Baru Industri Petroleum Sarawak – PM https://sabahmedia.com/2025/02/17/kerjasama-petronas-petros-lonjakan-baru-industri-petroleum-sarawak-pm/ https://sabahmedia.com/2025/02/17/kerjasama-petronas-petros-lonjakan-baru-industri-petroleum-sarawak-pm/#respond Mon, 17 Feb 2025 04:45:06 +0000 https://sabahmedia.com/?p=68882
Read Time:1 Minute, 42 Second

PARLIMEN — Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan langkah penting dalam pembangunan industri petroleum di Sarawak dengan memperkukuh peranan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) dalam sektor minyak dan gas negeri tersebut.

Katanya Keputusan itu  dibuat selaras dengan Akta Kemajuan Petroleum 1974 (PDA 1974) dan Ordinan Pengagihan Gas 2016 (DGO), yang akan berkuat kuasa pada 1 Mac 2025.

Menurut Anwar, PETROS di bawah DGO dijamin memperolehi gas asli sehingga 1.2 billion kakipadu sehari untuk keperluan domestik Sarawak dengan jaminan penambahan berdasarkan keperluan berikutnya. PETROS juga berwewenang meluaskan kegiatan yang baru dan memanfaatkan kerjasama dengan PETRONAS;

“ Syarikat minyak negeri ini juga diberikan kuasa untuk mengembangkan operasinya serta menjalin kerjasama strategik dengan PETRONAS dalam mengukuhkan industri petroleum tempatan” katanya ketika sesi Penerangan Yab Perdana Menteri Mengenai Aktiviti Petroleum Di Sarawak (Petronas-Petros) di Parlimen pagi ini.

Tambah Anwar lagi meskipun PETROS diberikan peranan yang lebih besar, PETRONAS tetap mengekalkan hak dan kontrak domestik serta antarabangsa yang sedia ada. Kedua-dua entiti ini akan bekerjasama erat bagi memastikan kepentingan ekonomi negara dan negeri Sarawak terus dipelihara.

Menurut Anwar lagi, Kerajaan Persekutuan turut mengumumkan beberapa pencapaian ekonomi hasil industri petroleum di Sarawak, antaranya:

Bayaran tunai kepada Sarawak sebanyak RM49 bilion sehingga Disember 2024, Cukai jualan yang dikutip sebanyak RM18.66 bilion sehingga suku ketiga 2024 serta Dividen RM28.6 bilion yang diperoleh melalui pegangan saham State Financial Secretary of Sarawak (SFS) dalam syarikat kumpulan MLNG.

Katanya lagi,  Sejak 1976, Sarawak telah menerima pelaburan melebihi RM280 bilion dalam industri minyak dan gas.

“ Dalam tempoh sepuluh tahun terakhir, RM90 bilion telah dibelanjakan untuk projek berkaitan dengan lebih RM40 bilion diberikan kepada vendor tempatan”

“ Dari aspek pembangunan modal insan, PETRONAS telah melabur lebih RM600 juta dalam pendidikan dan latihan, dengan lebih 680,000 warga Sarawak menerima tajaan serta lebih 4,300 orang memperoleh peluang pekerjaan”

Tambah Anwar lagi, keputusan ini mencerminkan semangat Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963, serta menghargai sumbangan besar Sarawak kepada ekonomi negara.

“Kerjasama antara PETRONAS dan PETROS akan terus diperkukuh bagi memastikan manfaat ekonomi dan pembangunan dapat dirasai oleh rakyat Sarawak,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/02/17/kerjasama-petronas-petros-lonjakan-baru-industri-petroleum-sarawak-pm/feed/ 0 68882
Malaysia Lebih Selektif Pilih Pelaburan Asing Demi Manfaat Negara — PM Anwar https://sabahmedia.com/2024/09/26/malaysia-lebih-selektif-pilih-pelaburan-asing-demi-manfaat-negara-pm-anwar/ https://sabahmedia.com/2024/09/26/malaysia-lebih-selektif-pilih-pelaburan-asing-demi-manfaat-negara-pm-anwar/#respond Thu, 26 Sep 2024 03:13:59 +0000 https://sabahmedia.com/?p=61234
Read Time:1 Minute, 33 Second

KUALA LUMPUR,  – Malaysia kini lebih selektif dalam memilih pelaburan langsung asing dengan menfokuskan kepada projek-projek yang memberi manfaat besar kepada negara, terutamanya dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan teknologi data, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata pembukaan pusat data yang dahulunya bergantung kepada tenaga dan air yang murah untuk menggerakkan serta menyejukkan sistem-sistem operasi, kini menunjukkan kedua-dua elemen itu tidak mencukupi tanpa keupayaan teknologi yang dipertingkatkan. 

“Sekarang, jika mahu (tubuhkan) pusat data, anda mesti ada AI,” katanya sambil merujuk kepada projek seperti Nvidia di Johor yang menjadi contoh bagaimana teknologi sangat penting untuk kekal relevan di peringkat global dalam usaha menarik pelabur.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Forum Ilmuan Malaysia MADANI (FIM) yang julung-julung kali diadakan anjuran Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang bekerjasama dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) malam tadi - Foto FB Rasmi PM

Beliau berkata demikian pada majlis Forum Ilmuan Malaysia MADANI di sini anjuran Tenaga Nasional Bhd pada Rabu.

Anwar berkata dalam menjuarai teknologi yang pesat berubah, institusi pengajian tinggi di negara ini juga harus diperkasakan untuk melahirkan tenaga kerja yang berkemahiran dalam bidang AI dan kejuruteraan, bagi memenuhi keperluan pelabur.

“Jadi, kita sekarang ini lebih selektif memilih pelaburan yang boleh memberi manfaat lebih besar kepada negara,” jelas Perdana Menteri.

Untuk rekod pada mac lalu, YTL Power International mengumumkan pembentukan YTL AI Cloud, penyedia khusus bagi pengkomputeran dipercepatkan berasaskan GPU berskala besar, dan akan menggunakan serta mengurus salah satu superkomputer paling canggih di dunia yang dikuasakan oleh NVIDIA Grace Blackwell melalui DGX Cloud – sebuah superkomputer AI untuk mempercepatkan pembangunan AI generatif.

Pusat data AI YTL terletak di kampus YTL Green Data Center dengan keluasan 1640 ekar di Johor. Ia juga menggunakan sumber solar 500MW bagi memastikan kelestarian dan YTL AI  adalah antara syarikat pertama yang mengguna pakai NVIDIA GB200 NVL72, iaitu sistem berskala rak berbilang nod dengan penyejukan cecair serta NVLink generasi kelima

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Jensen Huang, superkomputer YTL ini akan menawarkan kemampuan perkomputeran DGX Cloud yang berkuasa untuk rantau Asia Pasifik

]]>
https://sabahmedia.com/2024/09/26/malaysia-lebih-selektif-pilih-pelaburan-asing-demi-manfaat-negara-pm-anwar/feed/ 0 61234
Persefahaman Rakan Gabungan : PM Yakin Untuk Terus Laksanakan Pembaharuan https://sabahmedia.com/2024/05/14/persefahaman-rakan-gabungan-pm-yakin-untuk-terus-laksanakan-pembaharuan/ https://sabahmedia.com/2024/05/14/persefahaman-rakan-gabungan-pm-yakin-untuk-terus-laksanakan-pembaharuan/#respond Tue, 14 May 2024 00:39:17 +0000 https://sabahmedia.com/?p=54371
Read Time:1 Minute, 37 Second

BERNAMA

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyatakan keyakinannya untuk melaksanakan lebih banyak pembaharuan dalam kerajaan, berikutan persefahaman yang kukuh dalam kalangan semua pihak di bawah Kerajaan MADANI.

Walaupun pada permulaan penggalnya Kerajaan MADANI berhadapan dengan skeptisisme, beliau berkata semua parti di bawah gabungan itu terus berusaha melakukan pembaharuan, terutama dalam memastikan kesejahteraan rakyat.

“Dan saya  rasa, penghargaan perlu diberikan kepada parti yang saya pimpin dan gabungan itu, termasuk gabungan dari Sarawak dan Sabah.

“Saya katakan, sudah satu setengah tahun, tiada siapa, dan tanpa keterlaluan, tiada seorang pun daripada mereka (gabungan) cuba dan datang kepada saya dan berkata, tidak Anwar, perlahankan tindakan terhadap antirasuah ini, atau kami akan menolak pembaharuan ini atau…Tiada!.

“Jadi sebab itulah saya boleh melakukannya dengan penuh semangat dan keyakinan, dan saya percaya Malaysia boleh meneruskannya (pembaharuan),” katanya semasa syarahan umum di Perpustakaan Kebangsaan Qatar, Universiti Hamad bin Khalifa, di sini hari ini.

Sambil mengucapkan rasa syukur, Anwar yang juga Presiden PKR berkata pada permulaan pembentukan gabungan itu, beliau berkata setiap parti terlibat berbincang mengikut prinsip masing-masing.

“Tiada seorang pun dari mereka bercakap mengenai kedudukan mereka, mereka mahukan menteri ini, berapa menteri, tiada, kerana mereka kenal saya. Jika mereka letakkan syarat, saya akan katakan tiada perbincangan.

“Tetapi saya mesti berikan kredit kepada mereka kerana mereka hanya memerlukan jaminan tertentu,” kata Anwar dan menambah, ini termasuk mengiktiraf hak majoriti Melayu dan raja berperlembagaan, seperti yang dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan sama ada usaha untuk pembaharuannya itu menghadapi kesukaran semasa memimpin Kerajaan MADANI, yang disokong oleh banyak parti komponen.

Turut hadir pada syarahan umum itu ialah Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, yang juga Timbalan Presiden UMNO; Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir; dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Perdana Menteri kini sedang dalam lawatan rasmi tiga hari ke Qatar, yang merupakan lawatan sulungnya ke negara Teluk itu, selepas mengangkat sumpah pada 24 Nov 2022.

]]>
https://sabahmedia.com/2024/05/14/persefahaman-rakan-gabungan-pm-yakin-untuk-terus-laksanakan-pembaharuan/feed/ 0 54371
PM Mahu Integriti Penjawat Awam Setimpal Dengan Pengiktirafan Diberi Kerajaan https://sabahmedia.com/2024/05/06/pm-mahu-integriti-penjawat-awam-setimpal-dengan-pengiktirafan-diberi-kerajaan/ https://sabahmedia.com/2024/05/06/pm-mahu-integriti-penjawat-awam-setimpal-dengan-pengiktirafan-diberi-kerajaan/#respond Mon, 06 May 2024 03:50:28 +0000 https://sabahmedia.com/?p=54011
Read Time:2 Minute, 32 Second

BERNAMA

PUTRAJAYA — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu nilai integriti penjawat awam setimpal dengan pengikitirafan dan keyakinan yang diberikan kerajaan melalui pelarasan gaji di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

Berucap pada Majlis Perjumpaan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri bagi bulan Mei di sini hari ini, beliau berkata justeru itu, penjawat awam diminta mengenal pasti individu yang merosakkan nama baik perkhidmatan awam.

“Jadi saya minta sementara kita beri satu anjakan yang agak radikal dari segi memberikan pengiktirafan dan habuan kepada penjawat awam, saya minta saudara-saudara untuk mengawal sendiri jabatan dan kawan-kawan supaya dikenal pasti orang-orang yang merosakkan nama baik penjawat awam.

“Ada golongan kecil yang rasuah, tak datang kerja, pelbagai masalah. Apakah harus kita beri layanan yang sama pada kumpulan kecil itu, jawab saya, tidak, kita tidak akan beri layanan sama,” katanya.

Turut hadir kedua-dua Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan telah mengambil keputusan yang radikal dan berani apabila membuat keputusan menaikkan gaji penjawat awam di kala negara masih belum pulih sepenuhnya dari ketidaktentuan ekonomi serta masalah seperti ketirisan dan rasuah.

“Kalau ikut pertimbangan ekonomi, teori ekonomi biasa, semua kenaikan gaji ditangguh sehingga ekonomi itu lebih stabil, maknanya hutang kurang.

“Tetapi saya lihat dari segi MADANI, ihsan, kemanusiaan, tahap kecekapan, kemampanan. Bagaimana boleh kita bebankan kepada penjawat awam kesalahan yang bukan semuanya berpunca dari mereka, kadang-kadang dari segi pengurusan dan dari segi kecuaian banyak pihak lain.

“Jadi kita pertimbangkan itu, tak boleh dibebankan, dan ada kewajaran kita sebagai bapa dalam keluarga besar, kerajaan harus beri pertimbangan, itulah sebabnya mengapa kita ambil keputusan yang berani (naikkan gaji penjawat awam),” katanya.

Beliau berkata keputusan menaikkan gaji penjawat awam juga telah dibincangkan dengan teliti dan agak mendalam bersama pengurusan tertinggi kerajaan seperti Mohd Zuki dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Justeru kata Anwar, kerajaan membuat keputusan menaikkan gaji penjawat awam bagi memberi keyakinan kepada pekerja sektor awam bahawa pimpinan kerajaan MADANI betul-betul serius mencari jalan sebaik mungkin untuk membantu.

Anwar berkata beliau juga yakin cadangan kerajaan menaikkan gaji penjawat awam akan diluluskan Parlimen semasa pembentangan Belanjawan 2025 dijangka pada Oktober ini.

“Ada yang pertikai, maknanya belum muktamad lah tu, mana tahu Parlimen tak luluskan. 

“Saya nak tanya Ahli Parlimen mana yang nak bantah? Kalaupun bantah, ada Pakatan Harapan, Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak, Gabungan Rakyat Sabah, majoriti tetap dua pertiga, Insya-Allah,” katanya.

Pada 1 Mei lepas, sempena sambutan Hari Pekerja 2024 peringkat Kebangsaan, Anwar mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam lebih 13 peratus bermula Disember ini, melibatkan peruntukan lebih RM10 bilion.

Anwar berkata di bawah SSPA yang sedang disemak, kerajaan akan memastikan gaji minimum keseluruhan penjawat awam juga melebihi RM2,000 sebulan.

]]>
https://sabahmedia.com/2024/05/06/pm-mahu-integriti-penjawat-awam-setimpal-dengan-pengiktirafan-diberi-kerajaan/feed/ 0 54011