Polis bantuan – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Tue, 23 Dec 2025 09:07:00 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.0.2 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png Polis bantuan – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 Khidmat polis bantuan tidak boleh disalah guna, dikomersialkan https://sabahmedia.com/2025/12/23/khidmat-polis-bantuan-tidak-boleh-disalah-guna-dikomersialkan/ https://sabahmedia.com/2025/12/23/khidmat-polis-bantuan-tidak-boleh-disalah-guna-dikomersialkan/#respond Tue, 23 Dec 2025 09:06:55 +0000 https://sabahmedia.com/?p=88757
Read Time:1 Minute, 44 Second

BERNAMA

KUALA LUMPUR: Pihak yang menggunakan khidmat polis bantuan diingatkan supaya tidak menyalah tafsir fungsi pasukan itu atau menggunakannya bagi tujuan komersial.

Timbalan Pengarah (Operasi Pencegahan/Koordinasi Sumber Sokongan) Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata polis bantuan diwujudkan bagi menyokong ekosistem keselamatan negara serta membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam skop tanggungjawab yang ditetapkan.

Beliau berkata sebarang bentuk penyalahgunaan kuasa, penugasan di luar kelulusan, penggunaan anggota atau aset bagi tujuan komersial di samping pelaksanaan tugas yang bercanggah dengan peraturan adalah tidak dibenarkan sama sekali.

“Amalan sedemikian bukan sahaja menyalahi peraturan, malah boleh menjejaskan kredibiliti serta kepercayaan masyarakat terhadap institusi keselamatan,” katanya dalam ucapan penutup Persidangan Tahunan Persatuan Polis Bantuan Malaysia (MAPA) ke-36 di sini hari ini.

Nik Ros Azhan berkata isu pengisian perjawatan polis bantuan perlu diberi perhatian serius kerana kekurangan anggota, penugasan tidak seimbang serta perancangan sumber manusia tidak teratur boleh memberi kesan langsung terhadap kecekapan operasi dan tahap keselamatan di premis masing-masing.

“Saya menyeru setiap agensi agar merancang pengisian perjawatan secara lebih strategik dan berfasa, berpandukan keperluan sebenar operasi bagi meningkatkan keberkesanan tugas serta memastikan kebajikan anggota terpelihara,” katanya.

Beliau berkata sebanyak 57,000 jawatan polis bantuan telah diluluskan, namun hanya 27,000 daripadanya digazetkan setakat ini.

Nik Ros Azhan berkata tahap profesionalisme dan kompetensi anggota polis bantuan juga perlu diperkasakan secara berterusan sejajar dengan perkembangan ancaman keselamatan dan kemajuan teknologi.

“Peningkatan kemahiran perlu dilaksanakan secara sistematik dan berfokus kerana polis bantuan kini bukan sahaja berdepan ancaman fizikal, malah turut terdedah kepada cabaran teknologi, keselamatan siber, pengurusan krisis serta interaksi bersama masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Presiden MAPA Datin Seri Asmawati Ahmad berharap lebih banyak agensi berdaftar dengan MAPA bagi memudahkan mereka berusan dengan PDRM khusunya JPJKK Bukit Aman dari segi program latihan termasuk mendapatkan khidmat nasihat berkaitan polis bantuan.

“Ketika ini, 181 agensi berdaftar di bawah MAPA daripada jumlah keseluruhan 281 agensi yang direkodkan menggunakan khidmat polis bantuan di seluruh negara dengan Malaysia Airport Holding Berhad, FGV Holding Berhad dan syarikat di pelabuhan antara paling ramai menggunakan khidmatan pasukan itu,” katanya. – BERNAMA

]]>
https://sabahmedia.com/2025/12/23/khidmat-polis-bantuan-tidak-boleh-disalah-guna-dikomersialkan/feed/ 0 88757
Pecut elak polis bantuan: Lelaki dipenjara, didenda sebabkan kemalangan https://sabahmedia.com/2025/07/02/pecut-elak-polis-bantuan-lelaki-dipenjara-didenda-sebabkan-kemalangan/ https://sabahmedia.com/2025/07/02/pecut-elak-polis-bantuan-lelaki-dipenjara-didenda-sebabkan-kemalangan/#respond Wed, 02 Jul 2025 14:12:19 +0000 https://sabahmedia.com/?p=76582
Read Time:1 Minute, 21 Second

Oleh J. Evachel John

KOTA KINABALU: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 10 bulan dan denda RM6,000 kerana memandu secara melulu di sebuah universiti sehingga melanggar seorang penunggang motosikal.

Sekiranya gagal membayar denda berkenaan, Mohd Faddlie Shah Roslee akan menjalani tambahan hukuman penjara selama dua bulan.

Mahkamah turut memerintahkan supaya lesen memandu Mohd Faddlie digantung selama lima tahun.

Majistret Dzul Elmy Yunus menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh mengaku bersalah.

Mengikut kertas pertuduhan, Mohd Faddlie, sebagai pemandu kenderaan Perodua Axia, telah memandu kenderaan tersebut secara melulu sehingga melanggar sebuah motosikal jenis Honda Wave yang ditunggang oleh seorang lelaki berusia 23 tahun, sehingga menyebabkan penunggang tersebut jatuh dan mengalami kecederaan.

Kejadian berlaku pada 4 Disember 2023, jam lebih kurang 10.15 pagi, bertempat di Pintu Masuk Utama Universiti Malaysia Sabah (UMS), Jalan UMS.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih daripada RM15,000. Dalam hal sabitan kali kedua atau berikutnya, pesalah boleh dikenakan penjara tidak melebihi 10 tahun dan denda antara RM10,000 hingga RM20,000.

Mengikut fakta kes, Mohd Faddlie, 41, cuba melarikan diri selepas diarahkan berhenti oleh polis bantuan yang sedang bertugas di universiti berkenaan.

Tertuduh memecut lalu merempuh pintu pagar keluar utama UMS sehingga menyebabkan pagar tersebut tercabut dan rosak. Kenderaan tertuduh turut merempuh mangsa yang sedang menunggang motosikal dari arah belakang.

Mangsa, yang merupakan penuntut UMS, tercampak ke atas jalan raya dan mengalami kecederaan.

Mohd Faddlie, yang bekerja sendiri, tidak diwakili oleh mana-mana peguam. Pegawai pendakwa trafik, Inspektor Mohammad Khairul Nizam Mokhtar mengendalikan pendakwaan.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/07/02/pecut-elak-polis-bantuan-lelaki-dipenjara-didenda-sebabkan-kemalangan/feed/ 0 76582