polis – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Thu, 03 Sep 2026 22:53:20 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.1 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png polis – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 PDRM Sabah terus perangi penyeludupan, pengedaran dadah https://sabahmedia.com/2026/09/04/pdrm-sabah-terus-perangi-penyeludupan-pengedaran-dadah/ https://sabahmedia.com/2026/09/04/pdrm-sabah-terus-perangi-penyeludupan-pengedaran-dadah/#respond Thu, 03 Sep 2026 22:52:11 +0000 https://sabahmedia.com/?p=102760
Read Time:1 Minute, 12 Second

KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah akan terus memperhebat usaha membanteras penyeludupan dan pengedaran dadah bagi memastikan negeri ini tidak dijadikan transit oleh sindiket dadah.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, usaha berkenaan turut memerlukan kerjasama berterusan daripada pelbagai agensi penguat kuasa bagi mengekang kemasukan dadah ke negeri ini.

“PDRM akan terus berusaha membanteras kemasukan dadah ke Sabah, manakala rampasan yang dilakukan setakat ini turut membuktikan hasil kerjasama dengan agensi-agensi lain.

“Kita mengharapkan pihak agensi akan terus bekerjasama dengan PDRM untuk mengatasi masalah yang menjadikan Sabah sebagai transit sindiket pengedaran dadah,” katanya.

Jauteh Dikun

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, di Istana Seri Kinabalu, di sini, pada Khamis.

Menurut Jauteh, kunjungan hormat itu turut bertujuan memperkenalkan barisan pegawai kanan baharu yang akan menerajui beberapa jabatan penting di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah.

Katanya, barisan berkenaan terdiri daripada Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, beberapa ketua jabatan serta ketua polis daerah yang baharu.

Dalam pada itu, Jauteh berkata PDRM Sabah turut mempergiat pendekatan Kepolisian Komuniti sebagai antara usaha mendidik masyarakat, khususnya golongan muda, mengenai bahaya penyalahgunaan dadah.

“Kita akan mengadakan beberapa siri program Kepolisian Komuniti bagi mendidik masyarakat supaya menjauhkan diri daripada penyalahgunaan dadah serta menyalurkan maklumat kepada PDRM sekiranya terdapat aktiviti dadah di kawasan mereka,” katanya.

Beliau berkata, penglibatan masyarakat amat penting dalam membantu pihak berkuasa mengesan serta mengekang kegiatan pengedaran dadah di kawasan masing-masing.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/09/04/pdrm-sabah-terus-perangi-penyeludupan-pengedaran-dadah/feed/ 0 102760
Lebih 400 anggota polis ditugaskan sepanjang HKHS di Kota Kinabalu https://sabahmedia.com/2026/08/27/lebih-400-anggota-polis-ditugaskan-sepanjang-hkhs-di-kota-kinabalu/ https://sabahmedia.com/2026/08/27/lebih-400-anggota-polis-ditugaskan-sepanjang-hkhs-di-kota-kinabalu/#respond Thu, 27 Aug 2026 00:41:29 +0000 https://sabahmedia.com/?p=102311
Read Time:1 Minute, 40 Second

KOTA KINABALU: Seramai 405 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditugaskan bagi memastikan keselamatan serta kelancaran aliran trafik sepanjang Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah (HKHS) 2026 di Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Polis Shahrudin Mat Husain berkata, penugasan anggota itu merangkumi tempoh raptai dan acara sebenar HKHS yang berlangsung di Dataran Bandaraya, Jalan Tun Fuad Stephens, pada 31 Ogos ini.

Katanya, PDRM turut merancang pelan strategi dan kawalan lalu lintas bagi memastikan pergerakan kenderaan awam keluar dan masuk ke pusat bandar dapat berjalan lancar sepanjang tempoh sambutan.

“Seramai 405 pegawai dan anggota akan ditugaskan sepanjang raptai dan acara sebenar HKHS bagi memastikan keselamatan serta kelancaran aliran trafik.

“Kawalan keselamatan juga tidak ketinggalan iaitu menjaga keselamatan orang-orang kenamaan serta orang ramai yang akan hadir pada program ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam program temu bual segmen ‘Sembang Ekspresi’ di konti SABAHfm kendalian DJ Darlynn, di sini, pada Rabu.

Shahrudin Mat Husain

Menurutnya, antara strategi yang dirancang termasuk penutupan beberapa laluan secara sementara serta penempatan anggota di lokasi dan laluan kritikal bagi mengawal pergerakan trafik.

Beliau berkata, langkah berkenaan penting bagi mengurangkan kesesakan dan memastikan pengguna jalan raya dapat bergerak dengan lebih teratur, khususnya di kawasan sekitar pusat bandar yang dijangka menerima jumlah kenderaan dan pengunjung yang tinggi.

Shahrudin turut menasihatkan orang ramai supaya mematuhi arahan anggota penguat kuasa yang ditempatkan di lokasi tertentu sepanjang raptai dan acara HKHS.

Katanya, orang ramai juga disaran merancang perjalanan lebih awal serta mendapatkan maklumat terkini mengenai keadaan trafik daripada PDRM, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Kita berharap orang ramai dapat merancang perjalanan dengan baik dan hadir lebih awal ke lokasi sambutan bagi mengelakkan kesesakan.

“Orang ramai juga boleh mempertimbangkan penggunaan pengangkutan awam seperti bas atau berkongsi kenderaan sebagai langkah mengurangkan jumlah kenderaan di jalan raya,” katanya.

Sambutan HKHS 2026 yang berlangsung pada 31 Ogos ini dijangka menghimpunkan orang ramai bagi menyaksikan acara sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah di sekitar Dataran Bandaraya serta kawasan berhampiran.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/08/27/lebih-400-anggota-polis-ditugaskan-sepanjang-hkhs-di-kota-kinabalu/feed/ 0 102311
Infografik laporan tangkapan kes khianat tular adalah palsu – Polis Penampang https://sabahmedia.com/2026/07/17/infografik-laporan-tangkapan-kes-khianat-tular-adalah-palsu-polis-penampang/ https://sabahmedia.com/2026/07/17/infografik-laporan-tangkapan-kes-khianat-tular-adalah-palsu-polis-penampang/#respond Fri, 17 Jul 2026 08:32:09 +0000 https://sabahmedia.com/?p=100018
Read Time:1 Minute, 22 Second

PENAMPANG: Polis Daerah Penampang menafikan kesahihan satu infografik bertajuk “Laporan Tangkapan Kes Khianat” yang tular di pelbagai platform media sosial sejak hari ini.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton, berkata infografik berkenaan adalah palsu, tidak sahih dan bukan dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurutnya, infografik itu menggunakan logo rasmi PDRM, format penyampaian serta memaparkan gambar dan maklumat individu tanpa kebenaran dengan tujuan mengelirukan orang ramai.

“Perbuatan menghasilkan, memiliki, memuat naik, berkongsi atau menyebarkan kandungan palsu seperti ini adalah tidak bertanggungjawab kerana boleh menjejaskan integriti PDRM, mengganggu ketenteraman awam serta mencemarkan nama baik individu yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kekeliruan, salah faham, kerosakan reputasi atau implikasi lain yang timbul akibat penyebaran infografik palsu tersebut.

Sehubungan itu, polis memberi amaran bahawa mana-mana individu yang didapati terbabit dalam penerbitan atau penyebaran kandungan berkenaan boleh disiasat dan dikenakan tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Antara peruntukan yang boleh digunakan ialah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] kerana menggunakan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi bagi penyebaran kandungan palsu atau jelik.

Selain itu, Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611] juga boleh dikuatkuasakan sekiranya penyebaran tersebut melibatkan gambar, identiti atau maklumat kanak-kanak yang dilindungi di bawah undang-undang.

Polis turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menjadi ejen penyebaran maklumat yang belum dipastikan kesahihannya.

Menurut Sammy, sebarang maklumat berkaitan siasatan atau tindakan polis hanya akan disalurkan menerusi saluran komunikasi rasmi PDRM.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai individu yang menghasilkan atau menyebarkan infografik palsu itu supaya menyalurkannya kepada IPD Penampang bagi membantu siasatan.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/07/17/infografik-laporan-tangkapan-kes-khianat-tular-adalah-palsu-polis-penampang/feed/ 0 100018
Polis siasat insiden pergaduhan tular di KDCA Penampang https://sabahmedia.com/2026/06/03/polis-siasat-insiden-pergaduhan-tular-di-kdca-penampang/ https://sabahmedia.com/2026/06/03/polis-siasat-insiden-pergaduhan-tular-di-kdca-penampang/#respond Wed, 03 Jun 2026 06:02:43 +0000 https://sabahmedia.com/?p=97648
Read Time:55 Second

PENAMPANG: Polis sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung beberapa rakaman video yang tular di media sosial memaparkan insiden pergaduhan yang berlaku di Kadazan Dusun Cultural Association (KDCA) sepanjang sambutan Pesta Kaamatan yang lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Erwansyah Abdul Basir berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara beberapa individu.

Menurut beliau, pergaduhan tersebut tidak melibatkan penggunaan sebarang senjata dan berjaya dileraikan oleh orang awam yang berada di lokasi kejadian.

“Setakat ini, beberapa individu telah diambil keterangan bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, polis kini sedang mengenal pasti semua individu yang terlibat selain mengesan saksi-saksi kejadian bagi membantu siasatan.

Katanya, rakaman video yang tular di media sosial turut sedang diteliti bagi mendapatkan maklumat lanjut dan melengkapkan siasatan.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih berhubung kejadian tersebut kerana ia boleh menjejaskan siasatan serta mengganggu ketenteraman awam.

Pada masa sama, polis meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan insiden berkenaan supaya tampil menyalurkan maklumat di balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/06/03/polis-siasat-insiden-pergaduhan-tular-di-kdca-penampang/feed/ 0 97648
Keselamatan negara tanggungjawab bersama masyarakat – Jauteh https://sabahmedia.com/2026/05/26/keselamatan-negara-tanggungjawab-bersama-masyarakat-jauteh/ https://sabahmedia.com/2026/05/26/keselamatan-negara-tanggungjawab-bersama-masyarakat-jauteh/#respond Tue, 26 May 2026 06:45:38 +0000 https://sabahmedia.com/?p=97314
Read Time:1 Minute, 30 Second

NABAWAN: Keselamatan negara bukan hanya terletak di bahu pihak berkuasa semata-mata, sebaliknya perlu dipikul bersama oleh seluruh lapisan masyarakat bagi memastikan keamanan dan ketenteraman terus terpelihara.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, kerjasama komuniti amat penting khususnya dalam membantu pihak berkuasa membendung pelbagai ancaman keselamatan termasuk jenayah rentas sempadan, penyeludupan dadah dan jenayah siber.

Menurut beliau, daerah Nabawan dipilih sebagai antara lokasi Program Community Policing kerana kedudukannya yang strategik berhampiran sempadan Indonesia sekali gus memerlukan tahap kesedaran keselamatan yang tinggi dalam kalangan penduduk setempat.

“Nabawan dipilih sebagai antara lokasi Program Community Policing memandangkan kedudukannya yang strategik berhampiran sempadan Indonesia, sekali gus menjadikannya kawasan yang memerlukan kesedaran keselamatan yang tinggi dalam kalangan penduduk tempatan.

“Kerjasama masyarakat amat penting dalam membantu pihak berkuasa membendung jenayah rentas sempadan, penyeludupan dadah, penipuan dalam talian serta pelbagai ancaman keselamatan lain yang boleh mengganggu ketenteraman awam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis penutupan Program Community Policing yang berlangsung di sini.

Dalam pada itu, Jauteh turut menyentuh mengenai pembangunan pesat yang sedang dinikmati daerah Nabawan terutama dari aspek infrastruktur seperti pembinaan jalan raya dan capaian internet yang semakin baik.

Bagaimanapun katanya, kemajuan fizikal itu perlu diseimbangkan dengan tahap kesedaran keselamatan dan kematangan komuniti dalam berdepan cabaran semasa.

“Utamakan keselamatan jalan raya termasuk memakai topi keledar ketika menunggang motosikal serta menggunakan internet dan media sosial secara berhemah bagi mengelakkan diri daripada terjebak dalam jenayah siber,” ujarnya.

Program selama tiga hari bermula 22 Mei itu diisi dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan interaktif melibatkan penyertaan agensi kerajaan serta penduduk setempat.

Antara aktiviti yang dijalankan termasuk gotong-royong membersihkan Masjid Al-Hidayah, Gereja St. Bede Nabawan serta tapak perkuburan Islam dan bukan Islam di Kampung 2 Nabawan.

Majlis itu turut menyaksikan pelancaran rasmi penubuhan Sukarelawan BOMBA Nabawan sebagai usaha memperkukuh kesiapsiagaan komuniti dalam aspek keselamatan dan kebajikan masyarakat.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/05/26/keselamatan-negara-tanggungjawab-bersama-masyarakat-jauteh/feed/ 0 97314
Polis buru suspek kes tetak dua lelaki di Sembulan Lama https://sabahmedia.com/2026/05/19/polis-buru-suspek-kes-tetak-dua-lelaki-di-sembulan-lama/ https://sabahmedia.com/2026/05/19/polis-buru-suspek-kes-tetak-dua-lelaki-di-sembulan-lama/#respond Tue, 19 May 2026 02:22:37 +0000 https://sabahmedia.com/?p=96928
Read Time:1 Minute, 11 Second

KOTA KINABALU: Polis sedang giat mengesan seorang lelaki dikenali sebagai “Totong” yang dipercayai terbabit dalam kejadian serangan menggunakan senjata tajam sehingga menyebabkan dua lelaki cedera di Kampung Sembulan Lama, di sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu yang berlaku kira-kira jam 8 malam di kawasan jambatan berhampiran Blok C kampung berkenaan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa bersama beberapa rakan berada di lokasi terbabit untuk membeli minuman sebelum berlaku salah faham dengan suspek.

“Susulan salah faham itu, berlaku pertengkaran sebelum suspek dipercayai pulang ke rumah untuk mengambil senjata tajam dipercayai sabit dan kapak.

“Suspek kemudian kembali semula ke lokasi kejadian lalu menyerang kedua-dua mangsa,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Kasim berkata, mangsa pertama mengalami kecederaan di bahagian belakang leher dan kaki, manakala mangsa kedua cedera di bahagian leher serta lengan.

Katanya, kedua-dua mangsa mendapatkan rawatan lanjut di hospital berhampiran dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

“Pihak polis telah menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian selain merakam percakapan pengadu dan beberapa saksi bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan senjata berbahaya.

Menurutnya, usaha mengesan dan menangkap suspek sedang giat dijalankan.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan dan tampil menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/05/19/polis-buru-suspek-kes-tetak-dua-lelaki-di-sembulan-lama/feed/ 0 96928
Laporan polis dibuat kes scam guna nama Ahli Parlimen Papar https://sabahmedia.com/2026/05/08/laporan-polis-dibuat-kes-scam-guna-nama-armizan/ https://sabahmedia.com/2026/05/08/laporan-polis-dibuat-kes-scam-guna-nama-armizan/#respond Fri, 08 May 2026 04:00:12 +0000 https://sabahmedia.com/?p=96326
Read Time:58 Second

KOTA KINABALU: Ketua Pegawai Perhubungan kepada Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali, Abd Rahim Aliudin membuat laporan polis di Balai Polis Daerah Papar malam tadi susulan kegiatan pihak tidak bertanggungjawab yang didakwa menyamar sebagai pegawai atau wakil kepada Ahli Parlimen berkenaan bagi tujuan penipuan.

Menurut Abd Rahim, individu terbabit dipercayai menggunakan nama dan kedudukan wakil kepada Datuk Armizan untuk memperdaya orang ramai, termasuk melibatkan urusan transaksi wang, bantuan, sumbangan dan urusan peribadi.

Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan sebarang mesej, panggilan telefon atau permintaan mencurigakan yang diterima daripada individu tidak dikenali.

“Segala urusan rasmi berkaitan Datuk Armizan hanya dibuat secara bertulis melalui Pejabat Parlimen Papar atau Pejabat Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), selain melalui pegawai yang dipertanggungjawabkan sahaja,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Katanya, laporan polis dibuat bagi membolehkan siasatan dan tindakan lanjut diambil terhadap pihak yang terlibat dalam kegiatan berkenaan.

Sehubungan itu, beliau turut meminta orang ramai supaya segera melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya menerima mesej atau panggilan yang meragukan.

“Mohon kerjasama semua pihak untuk turut menyebarkan peringatan ini agar lebih ramai tidak menjadi mangsa penipuan,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/05/08/laporan-polis-dibuat-kes-scam-guna-nama-armizan/feed/ 0 96326
Kes tipu: Menyamar sebagai polis minta sumbangan https://sabahmedia.com/2026/03/30/kes-tipu-menyamar-sebagai-polis-minta-sumbangan/ https://sabahmedia.com/2026/03/30/kes-tipu-menyamar-sebagai-polis-minta-sumbangan/#respond Mon, 30 Mar 2026 11:38:51 +0000 https://sabahmedia.com/?p=94011
Read Time:57 Second

KOTA KINABALU: Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Kota Kinabalu menerima laporan berhubung kes penipuan membabitkan individu menyamar sebagai anggota polis untuk memohon sumbangan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Kes berkenaan melibatkan permohonan sumbangan kononnya bagi Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Jabatan Trafik dan Pengangkutan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah tahun 2026.

Susulan itu, satu kertas siasatan telah dibuka dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Menurut pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman, hasil siasatan awal mendapati suspek menggunakan surat palsu yang memaparkan kepala surat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah bagi tujuan memohon sumbangan daripada orang ramai.

Katanya, modus operandi itu turut melibatkan penggunaan aplikasi WhatsApp bagi menyebarkan permohonan berkenaan.

“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan sebarang permohonan sumbangan yang meragukan, khususnya yang diterima menerusi aplikasi WhatsApp.

“Sebarang permohonan berkaitan aktiviti polis perlu disemak terlebih dahulu dengan pihak berkuasa sebelum membuat sebarang transaksi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut menegaskan bahawa Polis Diraja Malaysia menyeru orang ramai supaya sentiasa peka terhadap pelbagai taktik terkini jenayah penipuan bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/03/30/kes-tipu-menyamar-sebagai-polis-minta-sumbangan/feed/ 0 94011
Polis siasat penemuan bahagian tubuh manusia di Menggatal https://sabahmedia.com/2026/02/12/polis-siasat-penemuan-bahagian-tubuh-manusia-di-menggatal/ https://sabahmedia.com/2026/02/12/polis-siasat-penemuan-bahagian-tubuh-manusia-di-menggatal/#respond Thu, 12 Feb 2026 10:05:23 +0000 https://sabahmedia.com/?p=91522
Read Time:1 Minute, 26 Second

KOTA KINABALU: Polis sedang menjalankan siasatan berhubung satu kes bunuh susulan penemuan beberapa bahagian anggota tubuh manusia di kawasan rumah kedai Indah Permai, Menggatal, pagi tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, Pusat Kawalan Polis menerima maklumat awal mengenai kejadian itu kira-kira jam 8 pagi tadi (12 Feb).

Menurutnya, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu segera digerakkan ke lokasi bagi menjalankan siasatan lanjut.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati beberapa bahagian anggota tubuh manusia ditemui di dalam tong sampah serta di sekitar kawasan rumah kedai berkenaan. Kesemua bahagian yang dijumpai dipercayai milik mangsa yang sama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, identiti mangsa setakat ini masih belum dikenal pasti dan usaha sedang giat dijalankan untuk mengesahkan identiti serta mengesan waris terdekat.

Pasukan Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah, Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) serta Unit Anjing Pengesan (K9) turut menjalankan pemeriksaan terperinci di lokasi bagi tujuan pengumpulan bahan bukti.

Menurutnya, berdasarkan pemerhatian awal, polis tidak menolak kemungkinan mangsa dibunuh di lokasi lain sebelum bahagian tubuh berkenaan dibuang di kawasan tersebut.

“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik HQE I dan bedah siasat dijadualkan dijalankan jam 8.30 pagi, 13 Februari 2026 bagi mengenal pasti punca kematian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Sehubungan dengan itu, Syed Lot menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Asisten Superintendan Rahman di talian 012-310 6882 atau IPD Kota Kinabalu di talian 088-529222. Semua maklumat akan dirahsiakan.

“PDRM memberi jaminan siasatan akan dijalankan secara menyeluruh dan profesional bagi memastikan individu yang terlibat dibawa ke muka pengadilan,” ujarnya.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/02/12/polis-siasat-penemuan-bahagian-tubuh-manusia-di-menggatal/feed/ 0 91522
PDRM sokong penuh pelaksanaan ONSA 2025 https://sabahmedia.com/2026/01/01/pdrm-sokong-penuh-pelaksanaan-onsa-2025/ https://sabahmedia.com/2026/01/01/pdrm-sokong-penuh-pelaksanaan-onsa-2025/#respond Thu, 01 Jan 2026 11:26:19 +0000 https://sabahmedia.com/?p=89067
Read Time:1 Minute, 28 Second

KUALA LUMPUR : Polis Diraja Malaysia menyatakan sokongan penuh terhadap pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) yang diperkenalkan kerajaan sebagai rangka perundangan baharu bagi memperkukuh keselamatan pengguna dan memastikan ruang digital negara lebih selamat.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, PDRM mengambil maklum bahawa ancaman jenayah dalam talian semakin serius dan memberi Kesan langsung kepada kesejahteraan masyarakat.

“Berdasarkan rekod PDRM, rakyat Malaysia menanggung kerugian sebanyak RM2.77 bilion akibat jenayah penipuan dalam talian dari Januari 2023 hingga November 2025.

“Dalam tempoh yang sama, kes eksploitasi seksual kanak-kanak dalam talian turut menunjukkan peningkatan membimbangkan, dengan 688 kes dicatatkan dari Januari 2021 hingga November 2025.

“Selain itu, kes berkaitan Child Sexual Abuse Material (CSAM) merekodkan sebanyak 351 kes dari Januari 2021 hingga Oktober 2025,” katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

Mohd Khalid berkata, pelaksanaan ONSA merupakan langkah penting bagi memastikan platform digital bertanggungjawab mengekang penyebaran kandungan berbahaya, menutup ruang operasi penjenayah siber serta memperkukuh tindakan terhadap eksploitasi kanak-kanak.

Selain itu katanya, ONSA turut dapat menghalang penipuan dalam talian, penyalahgunaan identiti dan kandungan ekstremisme.

Menurutnya, pendekatan ini selaras dengan komitmen untuk melindungi rakyat dan memastikan mereka selamat dalam persekitaran siber masa hadapan.

“PDRM akan terus bekerjasama rapat dengan MCMC, kementerian berkaitan serta penyedia platform digital melalui pendekatan Whole-Of-Government, bagi memastikan tindakan terhadap jenayah siber dapat dilaksanakan dengan lebih pantas, tersusun dan berkesan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Khalid berkata,  PDRM akan terus komited memperkukuh kesiapsiagaan dalaman melalui peningkatan keupayaan pemantauan digital, penambahbaikan proses siasatan serta pengukuhan perkongsian maklumat strategik tanpa mendedahkan butiran operasi yang boleh menjejaskan keselamatan.

Beliau berkata, pihaknya yakin bahawa ONSA akan memperkukuh perlindungan kepada pengguna, meningkatkan integriti ruang digital negara, serta memastikan keselamatan generasi masa hadapan dalam menghadapi landskap siber yang semakin kompleks. – SABAH MEDIA

]]>
https://sabahmedia.com/2026/01/01/pdrm-sokong-penuh-pelaksanaan-onsa-2025/feed/ 0 89067