PPU Benoni – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Thu, 24 Sep 2026 07:13:06 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.1 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png PPU Benoni – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 PPU Benoni perkukuh sistem agihan elektrik Papar https://sabahmedia.com/2026/09/24/ppu-benoni-perkukuh-sistem-agihan-elektrik-papar/ https://sabahmedia.com/2026/09/24/ppu-benoni-perkukuh-sistem-agihan-elektrik-papar/#respond Thu, 24 Sep 2026 06:56:33 +0000 https://sabahmedia.com/?p=104056
Read Time:2 Minute, 56 Second

Oleh Normimie Diun

PAPAR: Pengoperasian Pencawang Pembahagian Utama (PPU) Benoni 33/11kV memperkukuh sistem pengagihan elektrik di Papar, selain menyediakan kapasiti dan daya tahan tambahan bagi menampung pertumbuhan permintaan elektrik di kawasan berkenaan.

PPU Benoni

Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, projek yang dimulakan pada Ogos 2024 itu merupakan aset infrastruktur strategik yang memberi manfaat kepada pengguna domestik, sektor komersial dan industri di Benoni serta kawasan sekitarnya.

Menurutnya, PPU Benoni turut menyediakan kemudahan bekalan sandaran N-1 bagi Pencawang Masuk Utama (PMU) Papar dan PPU Kimanis, sekali gus meningkatkan daya tahan sistem ketika kerja penyelenggaraan atau berlaku gangguan tidak dirancang.

“PPU Benoni 33/11kV merupakan aset infrastruktur elektrik yang amat strategik bagi memperkukuh sistem pengagihan elektrik di daerah Papar,” katanya pada sidang media selepas merasmikan pengoperasian PPU Benoni, di sini, hari ini.

Armizan berkata, projek berkenaan turut memperkukuh rangkaian pengagihan 33/11kV sedia ada bagi memastikan bekalan elektrik lebih stabil serta mampu menampung peningkatan permintaan pada masa hadapan.

Katanya, pembangunan PPU Benoni merupakan sebahagian daripada usaha penstabilan bekalan elektrik di Parlimen Papar yang turut melibatkan pembinaan 16 Pencawang Elektrik (PE) baharu oleh Sabah Electricity sejak 2023 hingga Ogos 2026.

Menurutnya, tujuh PE dibina bagi menangani masalah kesusutan voltan atau voltage drop yang berlarutan di beberapa kampung, manakala sembilan lagi dibangunkan bagi menyokong pertumbuhan kawasan komersial, industri dan perumahan.

Tujuh kampung yang menerima manfaat pembinaan PE baharu itu ialah Kampung Beringgis, Kampung Skayan, Kampung Kawakahan, Kampung Sagang, Kampung Takis Tabasan, Kampung Sri Tanjung dan Kampung Benoni Darat.

“Antara isu yang dapat ditangani ialah gangguan dalam bentuk kesusutan voltan yang berlarutan sekian lama di sebahagian lokaliti sehingga menyebabkan kerosakan barangan elektrik isi rumah,” katanya.

Armizan berkata, selain tujuh PE di kampung berkenaan, lapan unit dibina di Parklane City Benoni dan satu unit di Taman Alamanda bagi memenuhi keperluan pertumbuhan sektor industri, komersial dan perumahan.

Beliau berkata, pembinaan PPU dan PE merupakan antara projek penting dalam komponen pengagihan elektrik yang melengkapkan sistem penjanaan dan penghantaran bagi memastikan bekalan dapat disalurkan kepada pengguna dengan lebih stabil.

Dalam perkembangan berkaitan, Armizan menyambut baik peningkatan jidar simpanan atau reserve margin penjanaan elektrik Sabah daripada lapan peratus pada 2024 kepada 19 peratus setakat Ogos 2026.

Katanya, jidar simpanan itu disasarkan meningkat kepada 26 peratus menjelang akhir tahun ini dengan siapnya beberapa lagi projek penjanaan elektrik.

“Ini menunjukkan terdapat perkembangan positif dalam aspek penjanaan, namun masih ada cabaran yang perlu ditangani, termasuk dalam komponen pengagihan,” katanya.

Beliau turut menghargai komitmen Kerajaan Negeri dalam melaksanakan proses pengambilalihan kuasa kawal selia gas pada 2023 serta elektrik dan tenaga boleh baharu pada 2024.

Katanya, peralihan kuasa kawal selia daripada Suruhanjaya Tenaga (ST) kepada Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) membolehkan perancangan dan pelaksanaan berkaitan elektrik, gas serta tenaga boleh baharu diselaraskan dengan lebih berfokus di peringkat negeri.

Menurutnya, usaha memperkukuh sistem elektrik Sabah turut dipandu menerusi perancangan jangka panjang seperti Sabah Energy Roadmap and Master Plan (SE-RAMP 2040) dan Pelan Pembangunan Penjanaan Elektrik Sabah (PDP2026).

Armizan dan Saadiah semasa sidang media di sini, hari ini. Turut sama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sabah Electricity Datuk Ir. Ts. Mohd Yaakob Jaafar (tengah).

Sementara itu, Pengerusi Sabah Electricity, Datuk Saadiah Aziz berkata, dua lagi projek PPU iaitu PPU Kopogon dan PPU Damar sedang dalam perancangan bagi memenuhi keperluan pembangunan di Papar.

Beliau berkata, kedua-dua projek itu akan membantu memperkukuh infrastruktur bekalan elektrik selaras dengan perkembangan kawasan industri, komersial dan perumahan.

Saadiah berkata, Sabah Electricity akan terus bekerjasama dengan Kerajaan Negeri dan pihak berkaitan bagi memastikan pembangunan infrastruktur elektrik dapat dilaksanakan seiring dengan pertumbuhan permintaan tenaga di Papar.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/09/24/ppu-benoni-perkukuh-sistem-agihan-elektrik-papar/feed/ 0 104056