promosi – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Thu, 07 Apr 2022 05:09:31 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.0.2 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png promosi – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 Promosi Sabah Melalui Industri Perfileman https://sabahmedia.com/2022/04/07/promosi-sabah-melalui-industri-perfileman/ https://sabahmedia.com/2022/04/07/promosi-sabah-melalui-industri-perfileman/#respond Thu, 07 Apr 2022 05:30:00 +0000 https://sabahmedia.com/?p=14013
Read Time:2 Minute, 12 Second

KOTA KINABALU: Pihak Lembaga Pelancongan Sabah memuji usaha pembikin filem tempatan mempromosikan negeri dan destinasi luar bandar dalam karya mereka.

Pada Rabu, rombongan yang diketuai penerbit filem Chester Pang bertemu dengan pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah, Datuk Joniston Bangkuai, untuk membincangkan potensi pelancongan filem di negeri itu.

Rombongan itu juga membincangkan perancangan mereka untuk mempamerkan daya tarikan Sabah melalui filem dan pembikinan video promosi yang mampu menarik minat orang ramai melawat Sabah.

Antara karya tersebut ialah video pendek ‘Discover Kiulu’ dan filem komedi dalam bahasa Mandarin ‘Craze Below The Wind’.

“Ini adalah usaha yang baik untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang pelbagai tarikan yang ada di Sabah, dan merangsang rasa ingin tahu mereka terhadap negeri ini,” kata Joniston, yang juga Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar.

“Kiulu, sebagai contoh, telah dipilih oleh Kerajaan Negeri sebagai model pelancongan luar bandar. Tidak lama lagi Kiulu akan mempunyai pusat informasi pelancongan, di mana klip video seperti ini boleh dipaparkan.

“Kita juga berharap agar destinasi-destinasi lain menjadi inspirasi para pembikin filem untuk dipaparkan dalam karya produksi filem. Kebanyakan produk luar bandar adalah hampir sama. Oleh itu, pembikin filem juga harus mencari tarikan baharu untuk ditonjolkan,” tambahnya.

Sebagai sebahagian daripada Borneo, Joniston berkata Sabah perlu membezakan dirinya daripada Sarawak dan Kalimantan, di mana pembangunan ibu negara baru Nusantara sedang dilaksanakan.

Tambah beliau, Lembaga Pelancongan Sabah sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan penerbit filem tempatan untuk mempromosikan elemen and aspek pelancongan Sabah tersendiri.

Turut hadir pada pertemuan itu adalah penerbit dan pengarah Froggy Planet, Katak Chua, timbalan presiden Persatuan Pelancongan Kiulu Lasmen Lopuk, wakil Pro-Merge Vision, dan pengarah filem tempatan Ramli Carlo.

Penggambaran untuk ‘Discover Kiulu’ dijangka siap pada penghujung bulan ini, kata Chester, yang merupakan penerbit dari Can Bah Production.

Katanya, video promosi berdurasi 90 saat itu juga bakal dipaparkan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah.

Bagi filem ‘Craze Below The Wind’ yang berdurasi 90 minit, ia bakal ditayangkan pada bulan Mei.

Diterbitkan oleh Can Bah Production, ‘Craze Below The Wind’ mengisahkan tentang dua beradik yang berdepan dengan masalah dan terpaksa mengembara ke seluruh Sabah dengan membawa beg pakaian misteri.

Chester berkata bahawa filem itu, yang ditangguh sejak 2020 akibat pandemik, akan ditayangkan di 53 pawagam, termasuk di Brunei.

Sementara itu, Katak berkata filem tersebut telah mendapat sambutan positif semasa ujian tayangan, dengan tujuh daripada 10 responden menyatakan minat untuk melawat Sabah.

“Pembikinan filem itu melibatkan seramai 52 krew, dan 80 peratus daripada mereka adalah rakyat Sabah. Kami mahu mempromosikan pelancongan melalui industri perfileman kerana ia boleh memberi peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

“Kami berharap Lembaga Pelancongan Sabah dapat bekerjasama dengan pembikin filem untuk menjayakan industri pelancongan filem di negeri ini,” kata pengarah filem itu.

]]>
https://sabahmedia.com/2022/04/07/promosi-sabah-melalui-industri-perfileman/feed/ 0 14013
Sabah Dalam Usaha Promosi Pelancongan Ke Negara Turki https://sabahmedia.com/2021/12/25/sabah-dalam-usaha-promosi-pelancongan-ke-negara-turki/ https://sabahmedia.com/2021/12/25/sabah-dalam-usaha-promosi-pelancongan-ke-negara-turki/#respond Sat, 25 Dec 2021 11:49:59 +0000 https://sabahmedia.com/?p=10297
Read Time:1 Minute, 8 Second

KOTA KINABALU: Sabah kini dalam usaha memacu kegiatan promosi pelancongan ke negara Turki.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, Sabah mempunyai banyak destinasi pelancongan menarik yang mampu memikat hati pelancong Turki.

“Sabah miliki banyak kawasan pemandangan indah khususnya produk pelancongan alam semulajadi, dan keunikan budaya yang tersendiri. Rakyat Turki juga gemarkan aktiviti seperti menyelam, saya pasti mereka akan melancong ke Sabah kerana salah satu tapak menyelam iaitu Pulau Sipadan merupakan antara tapak menyelam terunggul didunia,” kata Jafry dalam satu pertemuan khas dengan Konsul Jeneral Malaysia di Istanbul, Tengku Mohd Dzaraif Raja Abdul Kadir, kelmarin.
 
Antara perkara lain yang turut dibincangkan adalah termasuk cabaran industri pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19, serta inisiatif bagi memulihkan semula industri pelancongan dan kebudayaan.

Dalam pada masa yang sama, Tengku Mohd Dzaraif Raja Abdul Kadir turut berkongsi maklumat berkenaan promosi pelancongan yang boleh dilakukan di Turki.

Antaranya adalah menerusi ekspo dan pameran seterusnya melalui platform digital.

Selain itu, Lembaga Pelancongan Sabah turut mengadakan persembahan produk pelancongan menerusi majlis makan tengahari bersama pemain pemain industri pelancongan Turki.

Ia dijangka bakal membuka ruang dan peluang rangkaian kerjasama dalam sektor pelancongan yang dapat membawa kebaikan kepada kedua-dua negara.

Untuk rekod, jumlah kemasukan pelancong dari Turki ke Malaysia pada tahun 2019 adalah seramai 15,290 orang daripada jumlah keseluruhan pelancong antarabangsa sebanyak 26.1 juta.

]]>
https://sabahmedia.com/2021/12/25/sabah-dalam-usaha-promosi-pelancongan-ke-negara-turki/feed/ 0 10297
Delegasi Ke Festival Kuala Lumpur Promosi Keunikan Budaya & Alam Semulajadi Sabah https://sabahmedia.com/2021/12/13/delegasi-ke-festival-kuala-lumpur-promosi-keunikan-budaya-alam-semulajadi-sabah/ https://sabahmedia.com/2021/12/13/delegasi-ke-festival-kuala-lumpur-promosi-keunikan-budaya-alam-semulajadi-sabah/#respond Mon, 13 Dec 2021 04:04:03 +0000 https://sabahmedia.com/?p=9808
Read Time:2 Minute, 39 Second

KOTA KINABALU: Penyertaan Sabah dalam sambutan Festival KLWKND di Kuala Lumpur baru-baru ini membuahkan hasil yang dapat membantu ekonomi negeri.

Festival itu disertai Pusat Kreatif Ekonomi dan Inovasi Sabah (SCENIC), sebuah agensi kerajaan negeri berkaitan teknologi industri, inovasi dan kreativiti atas jemputan agensi persekutuan.

Pengurus delegasi Sabah ke festival berkenaan, Eva Chris Anthony, berkata kolaborasi dengan Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (CENDANA) itu adalah satu daripada inisiatif kerajaan untuk memulihkan industri pelancongan.

“Berdasarkan Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ), pelancongan adalah satu daripada industri utama di Sabah. SCENIC mengambil langkah proaktif ini untuk bekerjasama dengan pemegang taruh negeri dan persekutuan dalam mengukuhkan imej Sabah yang kaya dengan sumber semulajadi, hutan tropika dan adat budaya.

“SCENIC melihat kolaborasi ini sebagai satu peluang untuk menghidupkan semula ekonomi Sabah, khususnya dalam sektor pelancongan yang terjejas akibat pandemik dengan membawa kekayaan budaya dan kraftangan Sabah ke Kuala Lumpur.

“Ia secara tidak langsung menarik ramai pelancong untuk datang semula ke Sabah dan membantu sektor pelancongannya,” katanya.

Sepanjang festival yang bermula pada 25 November hingga 28 November lalu, SCENIC mengambil bahagian dalam tiga segmen utama iaitu Artisan Terbaik Malaysia, Penyembuhan Alam Semulajadi dan Hutan di Bandar Raya.

Eva yang juga Penolong Pakar Program & Pembangun Komuniti SCENIC, berkata usahawan Sabah yang ditaja oleh SCENIC dan Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS) berjaya mengutip RM45,050 hasil jualan.

Katanya, mereka sangat berbangga diberi peluang untuk menyertai Festival KLWKND.

Antara usahawan yang menyertai festival itu ialah Juddy Lasius (Koondos), Armand (Koko Loko), Kraftangan Persatuan Wanita Pulau Omadal (WAPO), Kraftangan Kelarai Batu Lunguyan oleh Emily Jeneble Saring Handmade Borneo Natives Jewelry oleh Jassica Lintanga dan Pengkraf Manik Murut Boakan oleh Rasmah Rumambai.

Jurucakap LKNS berkata, pengkarya terbabit dipilih menyertai acara itu berdasarkan keunikan produk buatan tangan yang mereka hasilkan.

“Bukan itu saja, teknik mereka dalam menghasilkan produk terbabit juga sangat jarang dilihat pada hari ini, khususnya dalam kalangan generasi muda.

“Hasil jualan mereka juga sangat menggalakkan kerana banyak produk mereka habis dijual. Mereka juga berkata hasil sepanjang festival itu adalah yang tertinggi jika dibandingkan dengan hasil yang pernah diperolehi di tempat lain sebelum ini,” katanya.

Beliau menambah, kraftangan terbabit khususnya aksesori sesuai untuk semua acara setiap hari dan semua peringkat umur.

Pengunjung melawat gerai UMS sambil menonton video 360 darjah “The Healing Spirit of Kinabatangan” di segmen “Forest in the city” semasa KLWKND. – Foto ihsan SCENIC

SCENIC turut bekerjasama dengan pakar dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Borneo Eco Tours untuk mempersembahkan pertunjukan video 360 darjah ‘The Healing of Kinabatangan’ untuk segmen Hutan di Bandar Raya ketika festival berkenaan.

Jurucakap UMS, Prof Madya Dr Jidon @ Adrian Janaun, berkata mereka mempromosikan Kinabatangan sebagai hutan yang tenang yang memiliki kuasa penyembuhan alam semulajadi kepada minda yang sibuk dan keletihan.

“Ia juga sejajar dengan tema Hutan di Bandar Raya, satu daripada acara dalam KLWKND, yang mana hutan semulajadi dapat membantu membawa keamanan dan ketenangan kepada minda.

“Kita menerima maklum balas yang sangat positif. Pengunjung berterima kasih atas peluang mengalami sendiri apa yang ada dalam persembahan itu.

“Mereka dapat menikmati ketenangan hutan Kinabatangan. Mereka berminat untuk melihat lebih banyak persembahan seperti itu supaya mereka boleh datang dan menikmatinya pada bila-bila masa,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2021/12/13/delegasi-ke-festival-kuala-lumpur-promosi-keunikan-budaya-alam-semulajadi-sabah/feed/ 0 9808
STB Sedia Bantu Promosi Pelancongan Berasaskan Budaya https://sabahmedia.com/2021/11/18/stb-sedia-bantu-promosi-pelancongan-berasaskan-budaya/ https://sabahmedia.com/2021/11/18/stb-sedia-bantu-promosi-pelancongan-berasaskan-budaya/#respond Thu, 18 Nov 2021 10:46:48 +0000 https://sabahmedia.com/?p=8597
Read Time:1 Minute, 24 Second

KOTA KINABALU: Lembaga Pelancongan Sabah (STB) akan bekerjasama dengan Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS) untuk mencari strategi baru bagi mempromosikan pelancongan berasaskan budaya, khususnya di kawasan luar bandar.

Pengerusi STB, Datuk Joniston Bangkuai berkata, pelancongan berasaskan budaya boleh membantu merancakkan sektor pelancongan di negeri ini jika dipasarkan secara efektif.

“Kita perlu mencari pendekatan strategik bagaimana STB dan LKNS boleh bekerjasama kerana kedua-dua agensi saling melengkapi.

“Sebagai contoh, kita boleh mempamerkan kraftangan dan tarian kebudayaan kepada pengunjung sebelum mereka melakukan aktiviti trekking di pusat pelancongan luar bandar.

“Kita juga harus mencari jalan untuk menggalakkan orang ramai, khususnya pelancong asing melancong ke daerah luar bandar dan seterusnya melawat pusat kebudayaan sedia ada,” katanya.

Pada Selesa lepas, deligasi LKNS diketuai oleh pengerusi Datuk Titing Putang, mengadakan pertemuan dengan Joniston untuk berbincang hal berkisar kepada promosi pelancongan kebudayaan.

Dalam perjumpaan itu, perwakilan LKNS membangkitkan antaranya keperluan mempromosikan Pusat Kebudayaan Murut di daerah Tenom.

Pusat kebudayaan yang dibuka pada 1996 itu adalah kedua terbesar selepas Pusat Kebudayaan Penampang. Pusat Kebudayaan Murut mencatatkan kira-kira 10,000 pengunjung setiap tahun dan lebih kurang 200 daripadanya adalah pelancong asing.

Titing berkata pelancongan di kawasan pedalaman adalah menarik, terutamanya dari segi budaya, tetapi promosinya kurang mendapat sambutan.

“Pusat Kebudayaan Murut menampilkan muzik tradisional dan pakaian tradisi daripada 13 sub-etnik Murut. Ia adalah sia-sia untuk hanya memaparkannya tanpa ada sesiapa yang melihatnya. Jika ada pelancong yang datang, ia pasti memberi manfaat kepada semua,” katanya.

Beliau turut bersetuju betapa pentingnya kerjasama bagi mewujudkan pakej pelancongan berasaskan budaya yang lebih berkesan bersama-sama dengan eko-agropelancongan di Tenom dan Keningau.

Beliau menambah LKNS juga bekerjasama dengan masyarakat Tiong Hua di kedua-dua daerah ini untuk membantu mempromosikan budaya mereka.

]]>
https://sabahmedia.com/2021/11/18/stb-sedia-bantu-promosi-pelancongan-berasaskan-budaya/feed/ 0 8597