Radio Amatur – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Sat, 21 Nov 2026 05:41:59 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.1 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png Radio Amatur – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 Radio amatur diperkukuh sebagai komunikasi alternatif ketika bencana https://sabahmedia.com/2026/11/21/radio-amatur-diperkukuh-sebagai-komunikasi-alternatif-ketika-bencana/ https://sabahmedia.com/2026/11/21/radio-amatur-diperkukuh-sebagai-komunikasi-alternatif-ketika-bencana/#respond Sat, 21 Nov 2026 05:41:51 +0000 https://sabahmedia.com/?p=107168
Read Time:3 Minute, 3 Second

Oleh Normimie Diun

PAPAR: Penggunaan radio amatur sebagai komunikasi alternatif ketika bencana diperkukuh menerusi kerjasama kelab radio amatur dan agensi kerajaan bagi memastikan penyelarasan operasi bantuan serta penyampaian maklumat kecemasan kekal berfungsi ketika rangkaian telekomunikasi utama terganggu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup merangkap Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, usaha itu penting bagi meningkatkan kesiapsiagaan komunikasi bencana, khususnya di kawasan berisiko banjir dan tanah runtuh.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Kesiapsiagaan Menghadapi Bencana: Radio Amatur sebagai Komunikasi Alternatif Peringkat Negeri Sabah 2026 anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di sini, hari ini.

Menurutnya, komunikasi radio amatur membolehkan pengendali bertukar maklumat menggunakan gelombang radio tanpa bergantung kepada rangkaian telefon mudah alih atau internet.

“Dengan peralatan, sumber kuasa dan liputan yang bersesuaian, maklumat mengenai lokasi mangsa, keadaan laluan serta keperluan bantuan boleh disampaikan kepada stesen penerima sebelum disalurkan kepada agensi berkaitan,” katanya.

Program itu menghimpunkan 10 kelab radio amatur di Sabah bersama pelbagai agensi kerajaan, termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Pejabat Daerah Papar, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Kebajikan Masyarakat, Pejabat Kesihatan Daerah Papar, syarikat telekomunikasi dan Sabah Electricity.

Antara pengisian program ialah taklimat pengurusan bencana, pembentangan berkaitan standard dan spektrum radio, pertandingan reka cipta peralatan serta demonstrasi komunikasi jarak jauh atau DXing.

Pertandingan Amateur Radio Direction Finding (ARDF) atau Fox Hunting turut diadakan bagi menguji kemahiran peserta dalam pengesanan isyarat, navigasi dan kerjasama berpasukan.

Simulasi komunikasi bencana pula menghubungkan Pusat Kawalan Operasi Bencana di Pejabat Daerah Papar dengan Kampung Kaiduan serta pemancar ulang (repeater) Bukit Pohumpung.

Armizan berkata, pemilihan Papar sebagai lokasi program mengambil kira rekod kejadian banjir dan tanah runtuh di daerah itu serta kewujudan komuniti radio amatur yang aktif.

Katanya, stesen repeater di Bukit Pohumpung yang dibangunkan sendiri oleh Kelab Radio Amatur Papar (PARC) turut menyediakan kemudahan untuk menguji kesiapsiagaan komunikasi kecemasan.

“Berdasarkan rekod MCMC, Sabah mempunyai 1,313 callsign radio amatur aktif, termasuk 23 ahli PARC, selain 18 kemudahan stesen repeater,” jelasnya.

Beliau berkata, pengalaman bencana banjir dan tanah runtuh di Papar pada September 2025 memperlihatkan kepentingan komunikasi alternatif apabila gangguan jalan perhubungan, bekalan elektrik dan perkhidmatan telefon menyukarkan operasi menyelamat di beberapa kawasan terjejas.

Menurutnya, dalam kejadian itu, sebanyak 105 ketua isi rumah (KIR) terjejas, empat pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka dan lima kematian dilaporkan.

“Frekuensi 7.110 MHz turut diaktifkan pada 15 September bagi menyokong komunikasi kecemasan ketika kejadian berkenaan,” ujarnya.

Sehubungan itu, Armizan berkata kerjasama antara komuniti radio amatur dan agensi berkaitan perlu terus diperkukuh menerusi latihan serta simulasi secara berterusan bagi memastikan kelangsungan komunikasi, mempercepat tindak balas dan meningkatkan penyelarasan operasi ketika bencana.

Katanya, usaha itu selaras dengan komitmen Kerajaan MADANI dalam melindungi keselamatan dan kesejahteraan rakyat, selain memperkukuh keupayaan semua pihak untuk bertindak secara bersepadu.

Selain aspek komunikasi, beliau berkata, kerajaan turut memberi penekanan kepada pembangunan infrastruktur dan penyediaan aset kesiapsiagaan bencana.

“Menerusi Belanjawan 2027, sebanyak RM2.5 bilion diperuntukkan bagi projek rancangan tebatan banjir (RTB) di seluruh negara, manakala RM320 juta disediakan untuk membaiki dan menaik taraf cerun, parit serta longkang di kawasan pihak berkuasa tempatan.

“NADMA pula menerima peruntukan RM260 juta, dengan keutamaan kepada penyediaan lebih banyak Pusat Pemindahan Kekal Bencana serta perolehan aset dan peralatan kesiapsiagaan,” katanya.

Dalam pada itu, Armizan berkata, perubahan iklim global dan landskap risiko bencana yang semakin tidak menentu menuntut kesiapsiagaan berterusan, termasuk memperkukuh sistem komunikasi dan keupayaan tindak balas di semua peringkat.

Beliau turut merujuk laporan Global Risks Report oleh World Economic Forum (WEF) bagi 2024, 2025 dan 2026 yang secara konsisten meletakkan kejadian cuaca ekstrem dalam kelompok lima risiko paling serius untuk unjuran dua tahun, selain menduduki kedudukan pertama bagi unjuran 10 tahun.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/11/21/radio-amatur-diperkukuh-sebagai-komunikasi-alternatif-ketika-bencana/feed/ 0 107168