Regata lepa – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Mon, 29 Jun 2026 06:19:35 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.0.4 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png Regata lepa – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 Pameran marin Regatta Lepa tarik 654 pengunjung https://sabahmedia.com/2026/06/29/pameran-marin-regatta-lepa-tarik-654-pengunjung/ https://sabahmedia.com/2026/06/29/pameran-marin-regatta-lepa-tarik-654-pengunjung/#respond Mon, 29 Jun 2026 06:14:08 +0000 https://sabahmedia.com/?p=99067
Read Time:2 Minute, 1 Second

SEMPORNA: Seramai 654 pengunjung menyertai pameran kesedaran pemuliharaan marin yang diadakan sempena Pesta Regatta Lepa 2026, sekali gus meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan memelihara ekosistem marin unik di Semporna.

Pameran bertemakan Sayangi Laut Kita itu berlangsung selama tiga hari, dari 26 hingga 28 Jun lalu, hasil kerjasama Reef Check Malaysia dan Green Semporna dengan sokongan Kumpulan Pemuliharaan Marin Komuniti (Community Marine Conservation Groups – CMCGs) dari seluruh Semporna.

Pelbagai aktiviti pendidikan interaktif disediakan bagi menarik penyertaan semua lapisan masyarakat, termasuk permainan teka-teki bertemakan marin, penghasilan rantai kunci daripada plastik kitar semula, aktiviti mewarna kanak-kanak, cabaran “Touch and Tell”, roda putaran pemuliharaan, kuiz alam sekitar, bengkel mengait haiwan marin serta pelbagai permainan dan demonstrasi pendidikan lain.

Pameran itu turut memaparkan maklumat mengenai kepentingan pemuliharaan terumbu karang, biodiversiti marin, pengurusan sisa secara bertanggungjawab, perikanan mampan serta inisiatif pemuliharaan yang diterajui komuniti dalam melindungi ekosistem pesisir dan marin Semporna.

Pengurus Program Kanan, Reef Check Malaysia (Sabah), Adzmin Fatta berkata, pameran itu menjadi platform untuk memupuk kesedaran bahawa usaha melindungi lautan adalah tanggungjawab bersama.

“Pemuliharaan marin bermula dengan kesedaran, dan kesedaran berkembang melalui pengalaman yang bermakna. Apabila orang ramai, khususnya kanak-kanak dan golongan muda, berpeluang berinteraksi, bertanya soalan serta mengenali keajaiban alam marin, mereka akan membina rasa tanggungjawab yang lebih tinggi untuk melindunginya.

“Setiap perbualan, aktiviti dan tindakan kecil menyumbang kepada pembentukan komuniti yang menghargai serta memelihara lautan untuk generasi akan datang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, wakil Green Semporna, Melissa Mangalis berkata, sambutan menggalakkan daripada pengunjung pelbagai peringkat umur menjadi antara kejayaan utama pameran berkenaan.

Menurutnya, pengunjung didedahkan dengan pelbagai topik berkaitan pemuliharaan marin, termasuk kepentingan terumbu karang yang sihat serta peranan jerung dan pari dalam mengekalkan keseimbangan ekosistem lautan.

“Rasa ingin tahu, keterujaan dan kesungguhan mereka untuk belajar memberi harapan bahawa lebih ramai akan menjadi pencetus usaha pemuliharaan marin dalam komuniti masing-masing,” katanya.

Bagi memperingati kejayaan penganjuran Regatta Lepa 2026, Reef Check Malaysia bersama CMCGs akan menempatkan sebuah Spider Frame khas Regatta Lepa 2026 serta menjalankan penanaman semula karang sebagai simbol penghargaan kepada semua 654 pengunjung yang menyertai pameran itu.

Inisiatif itu dijangka menjadi legasi bermakna yang bukan sahaja memperingati festival berkenaan, malah menyumbang kepada usaha pemulihan terumbu karang di perairan Semporna.

Reef Check Malaysia turut merakamkan penghargaan kepada semua pengunjung, sukarelawan, Green Semporna, CMCGs serta Jawatankuasa Penganjur Regatta Lepa 2026 atas kerjasama menjayakan usaha meningkatkan kesedaran pemuliharaan marin sempena salah satu festival budaya paling ikonik di Sabah.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/06/29/pameran-marin-regatta-lepa-tarik-654-pengunjung/feed/ 0 99067
Orang ramai dijemput meriahkan Regatta Lepa Semporna 2025 https://sabahmedia.com/2025/05/13/orang-ramai-dijemput-meriahkan-regatta-lepa-semporna-2025/ https://sabahmedia.com/2025/05/13/orang-ramai-dijemput-meriahkan-regatta-lepa-semporna-2025/#respond Tue, 13 May 2025 07:12:47 +0000 https://sabahmedia.com/?p=73746
Read Time:1 Minute, 26 Second

Kota Kinabalu : Orang ramai dari seluruh negara dijemput hadir bagi memeriahkan festival kebudayaan ikonik, Regatta Lepa 2025 yang akan berlangsung di Semporna bermula 14 hingga 29 Jun ini.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Seri Christina Liew berkata, acara penutup yang dijadualkan pada 29 Jun itu akan menjadi kemuncak sambutan dengan pelbagai persembahan kebudayaan serta perarakan lepa berhias.

“Regatta Lepa kali ini menjanjikan pengalaman kebudayaan yang lebih meriah dengan kehadiran pelancong tempatan dan antarabangsa serta tetamu kenamaan yang dijangka hadir untuk menyatakan sokongan terhadap usaha memartabatkan budaya tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman, pada Selasa.

Kunjungan tersebut bertujuan menjemput Tun Musa hadir ke Majlis Penutupan Sambutan Regatta Lepa Semporna Kali Ke-30.

Beliau turut mengajak masyarakat agar tidak melepaskan peluang menyaksikan keunikan warisan budaya masyarakat Bajau yang menjadi kebanggaan daerah Semporna.

“Ini adalah masa terbaik untuk meluangkan masa bersama keluarga dan menikmati suasana kebudayaan yang penuh warna-warni dan kaya nilai tradisi, yang jarang didapati di tempat lain,” katanya.

Menurutnya, pelbagai program menarik turut disusun sepanjang festival dua minggu itu termasuk persembahan tarian tradisional, pertandingan lepa berhias serta aktiviti komuniti melibatkan penduduk tempatan.

“Kami yakin Regatta Lepa akan terus menjadi antara tarikan utama pelancongan Sabah. Kami juga berharap pelancong baharu dan pengunjung setia akan turut serta tahun ini,” katanya.

Orang ramai dinasihatkan supaya merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan kesesakan dan memastikan kelancaran sepanjang tempoh festival, yang bukan sahaja mengangkat budaya Bajau ke peringkat antarabangsa, malah turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi setempat.

Turut hadir, Pegawai Daerah Semporna Alexander Liew, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Josie Lai, dan Timbalan Setiausaha Tetap II KePKAS, Alesia Sion.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/05/13/orang-ramai-dijemput-meriahkan-regatta-lepa-semporna-2025/feed/ 0 73746
Regatta Lepa disenaraikan dalam kalendar pelancongan tahun 2025 https://sabahmedia.com/2024/11/24/regatta-lepa-disenaraikan-dalam-kalendar-pelancongan-tahun-2025/ https://sabahmedia.com/2024/11/24/regatta-lepa-disenaraikan-dalam-kalendar-pelancongan-tahun-2025/#respond Sun, 24 Nov 2024 00:46:02 +0000 https://sabahmedia.com/?p=64304
Read Time:2 Minute, 4 Second

Semporna: Pesta Regatta Lepa antara program kebudayaan yang akan disenaraikan dalam kalendar pelancongan negeri Sabah pada tahun hadapan selain Museum Festival 2025 dan Kraf Eksotika.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, usaha itu dapat meningkatkan daya saing pelancongan berasaskan komuniti, iaitu satu kaedah efektif untuk mengagihkan hasil pendapatan industri ini secara lebih inklusif dan saksama.

“Semua usaha ini juga adalah untuk memastikan khazanah budaya ini dapat dinikmati generasi masa ini dan akan datang. Dalam masa sama, dapat merancakkan lagi sektor pelancongan tempatan.

“Justeru, saya ingin mengajak seluruh rakyat Sabah untuk terus bersatu-padu dan menyokong setiap usaha kerajaan agar lebih banyak lagi pembangunan dapat dinikmati oleh rakyat di semua peringkat,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena perasmian Sambutan Regatta Lepa Semporna Ke-29 Tahun 2024 di Padang Bandar Semporna, di sini semalam.

Teks ucapan beliau disampaikan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Christina Liew.

Dalam pada itu, Hajiji berkata era komodenan masa kini tidak menghalang komitmen kerajaan negeri untuk terus memelihara khazanah budaya dan adat resam yang diwarisi sejak zaman nenek moyang lagi.

“Lepa bukan sekadar sebuah perahu, ia adalah lambang kemahiran, kebijaksanaan dan keunikan seni bina serta kejuruteraan tradisional yang diwarisi dari generasi ke generasi. 

“Kekayaan tradisi budaya dan kepelbagaian etnik merupakan ciri keunikan dan khazanah warisan yang akan terus dipelihara untuk diwarisi generasi akan datang.

“Melalui penganjuran Regatta Lepa ini, kita bukan sahaja menyemarakkan semangat perpaduan, tetapi juga memperkukuh jati diri kita sebagai masyarakat yang kaya dengan tradisi.Adalah menjadi tanggungjawab kita bersama-sama untuk memperkasakan sektor kebudayaan yang ada di negeri ini,” katanya.

Sementara itu, Hajiji berkata, keistimewaan dan keunikan negeri Sabah yang mempunyai kepelbagaian warisan, etnik, budaya dan kaum adalah aset yang penting sebagai tarikan pelancong dan terus dipelihara serta dilindungi sebagai lambang ketamadunan masyarakat negeri ini.

“Ini adalah selari dengan Pelan Induk Pembangunan Kebudayaan Negeri Sabah 2020- 2030 yang dilaksanakan merangkumi pembangunan Sistem Pemetaan Budaya, menaiktaraf kemudahan-kemudahan pelancongan, pemeliharaan dan pemuliharaan dokumentasi khazanah warisan dan budaya serta kawasan bersejarah,” katanya.

Sehubungan itu beliau mahu seluruh rakyat agar mengekalkan budaya perpaduan dan permuafakatan, demi masa depan yang lebih cemerlang untuk rakyat Sabah dan generasi yang akan datang.

“Ini seiring dengan tema pesta kali ini iaitu ‘Regatta Lepa; Lambang Perpaduan Masyarakat Madani’ yang jelas menunjukkan bahawa sambutan regatta mampu menjadi antara platform perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum di negeri ini.

“Kita perlu terus mempertahankan dan memperkukuhkan semangat perpaduan ini, jangan biarkan sebarang bentuk perpecahan menggangu keharmonian yang telah kita bina selama ini,” katanya. – SABAH MEDIA

]]>
https://sabahmedia.com/2024/11/24/regatta-lepa-disenaraikan-dalam-kalendar-pelancongan-tahun-2025/feed/ 0 64304