Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang bekas pegawai RELA daerah Tenom dijatuhi hukuman penjara 14 hari dan denda RM147,160 atas tujuh pertuduhan mengemukakan dokumen palsu berkaitan tuntutan elaun Penugasan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Venantius Masingga, 63, turut berdepan penjara 21 bulan penjara sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Venantius yang mengaku bersalah terhadap tujuh pertuduhan di hadapan hakim Mahkamah Sesyen Jason Juga, mendakwa wang yang dituntut bukanlah untuk kegunaan peribadi, sebaliknya untuk membeli bakul makanan kepada anggota RELA Tenom yang terjejas pendapatan semasa PKP.
“Saya tiada niat untuk melakukan kesalahan ini, tetapi terpaksa demi membantu ahli RELA,” katanya yang mendakwa pernah berkhidmat sebagai tentera selama 22 tahun dan sebagai jurulatih jurulatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) selama enam tahun.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dua hari dan denda antara RM16,160 hingga RM27,680 atau tiga bulan penjara jika gagal bayar denda, bagi setiap pertuduhan.
Bagaimanapun, hakim memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak, menjadikan tempoh keseluruhan hukuman penjara hanya dua hari dan bukannya 14 hari.
Difahamkan, tertuduh gagal membayar denda tersebut.
Mengikut kertas pertuduhan, Venantius didakwa mengemukakan dokumen tuntutan elaun penugasan PKP atas nama isteri dan anaknya, sedangkan mereka tidak pernah bertugas, dengan niat memperdayakan Pengarah RELA Negeri Sabah.
Venantius melakukan kesalahan itu antara April dan Oktober 2020 di Ibu Pejabat RELA Sabah.
Tertuduh disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) Akta sama. Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh menjawat jawatan sebagai pegawai RELA Daerah Tenom sejak tahun 2016 sehingga Mei 2022.
Semasa PKP, tertuduh sebagai pegawai penyemak tuntutan telah memasukkan nama isteri dan anaknya dalam dokumen Tuntutan Elaun Penugasan Pelaksanaan PKP dari bulan April 2020 sehingga Oktober 2020.
Siasatan turut mengesahkan isteri dan anak perempuan tertuduh tidak pernah hadir bertugas dalam tempoh tersebut dan tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen tuntutan itu mengandungi butiran maklumat palsu.
Jumlah tuntutan bagi tujuh pertuduhan berjumlah RM 29,432 yang dikreditkan ke dalam dua akaun bank, masing-masing milik anak dan isteri tertuduh, digunakan oleh tertuduh dan keluarganya.
Tertuduh ditahan oleh pegawai SPRM pada 10 Mac 2025.
Terdahulu semasa rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan dikenakan kerana ini merupakan kesalahan pertamanya dan beliau telah Insaf.
Tertuduh turut memaklumkan bahawa beliau menghadapi masalah kewangan sehingga tidak mampu melantik peguam, selain menanggung keluarga termasuk anak-anak yang masih bersekolah.
“Isteri saya juga kurang sihat, ibu saya yang sudah tua masih di bawah tanggungan saya. Saya juga masih mempunyai hutang pinjaman bank dan pinjaman TEKUN (Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga) yang belum dijelaskan,” katanya.
Pegawai Pendakwa SPRM, Rekhraj Singh, memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan orang awam.
Sementara itu, 11 lagi pertuduhan sama terhadap tertuduh sebelum ini turut diambil kira (TIC) di bawah Seksyen 171A Kanun Tatacara Jenayah.
Sebelum ini, tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap 18 pertuduhan melibatkan jumlah tuntutan keseluruhan lebih RM63,000 antara Mac 2020 dan Ogos 2021 di Lokasi yang sama.
LINK TERDAHULU: https://sabahmedia.com/2025/03/14/bekas-pegawai-rela-didakwa-buat-tuntutan-palsu-elaun-pkp-rm63000/
]]>Oleh J. EVACHEL JOHN
KOTA KINABALU: Seorang bekas pegawai RELA daerah Tenom didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas 18 pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM63,000 berkaitan elaun Penugasan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Tertuduh, Venantius Masingga, 63, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Jason Juga.
Mengikut kertas pertuduhan, Venantius didakwa mengemukakan dokumen tuntutan elaun penugasan PKP atas nama isteri dan anaknya, sedangkan mereka tidak pernah bertugas, dengan niat menipu Pengarah RELA Negeri Sabah.
Venantius didakwa melakukan kesalahan itu antara Mac 2020 dan Ogos 2021 di Ibu Pejabat RELA Sabah.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 22 April untuk sebutan semula kes dan membenarkan jaminan RM15,000, tetapi hanya RM2,000 perlu didepositkan kepada mahkamah dengan seorang penjamin tempatan.
Mahkamah juga menetapkan syarat tambahan bagi tertuduh untuk melaporkan diri setiap bulan di pejabat SPRM berdekatan, menyerahkan pasport kepada mahkamah, serta dilarang mengganggu saksi pendakwaan.
Pegawai Pendakwa, Rekhraj Singh, mengendalikan pendakwaan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
]]>KOTA KINABALU: Kerajaan negeri sentiasa menghargai sumbangan dan pengorbanan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) sebagai sebuah pasukan keselamatan yang membantu menjaga keselamatan negara.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Jahid Jahim berkata, tanpa pengorbanan anggota keselamatan sudah tentu rakyat khususnya di negeri ini tidak dapat menikmati keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan dengan sebaiknya.
“Pengorbanan pasukan keselamatan sebagai anggota barisan hadapan (frontliners) dalam menjaga keselamatan awam sentiasa dihargai.
“Tanpa mereka, sudah tentu kita tidak dapat menikmati keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan seperti yang kita kecapi kini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan Ketua Pengarah RELA Malaysia KPjR Yahya Sulaiman dan Pengarah RELA Negeri Sabah, TPjR Mohammad Pauzi Jhumat, di pejabat beliau disini hari ini.
Kunjungan hormat tersebut bertujuan untuk mengeratkan hubungan kedua-dua pihak di samping bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai isu semasa.
Jahid berharap pertubuhan itu akan terus sukses, meningkatkan azam dan iltizam bersama anggota keselamatan lain bagi menjaga keselamatan dan ketenteraman awam khususnya di Sabah.
Kedua-dua pemimpin RELA tersebut turut mengucapkan selamat kembali ke tanahair kepada Jahid yang baharu balik menunaikan umrah di Mekah.
Sebelum ini, Jahid juga telah membuat kunjungan rasmi ke pejabat Yahya di Ibu Pejabat RELA, Putrajaya.
]]>RANAU : Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta agensi dibawahnya sentiasa bersedia membantu masyarakat khususnya ketika banjir dan pasca banjir termasuk di negeri ini.
Timbalan Menteri Dalam Negeri II Datuk Jonathan Yassin berkata, agensi seperti Polis dan RELA telah bertindak lebih awal membantu mangsa bencana banjir yang melanda negara baru-baru ini.
“Pihak KDN sejak awal lagi khususnya di peringkat bawah sudah bergerak membantu mangsa terlibat walaupun banyak yang mengatakan kita tidak datang cepat.
“Namun sebenarnya agensi dibawah KDN sudah bergerak lebih awal membantu mangsa terlibat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Veteran Komando Malaysia Sabah (PVKMS) Kali Ke-6 2021 di Dewan Kilimu disini hari ini.
Hadir sama Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM, Mejar Noor Khairi Abd Rahman.
Jonathan yang juga Ahli Parlimen Ranau berkata, sehingga kini agensi dibawah KDN masih bekerja keras membantu masyarakat khususnya mangsa yang terkesan akibat banjir di beberapa buah negeri di Semenanjung.
Sementara itu, beliau turut menyeru masyarakat khususnya penduduk di daerah ini untuk sentiasa berwaspada dan berjaga-jaga dengan perubahan cuaca.
Katanya, penduduk setempat juga diminta untuk sentiasa menjaga diri bagi mengelak penularan wabak COVID-19.
Terdahulu, pada majlis itu, Jonathan turut mengumumkan bantuan RM10,000 kepada PVMKS bagi ahli persatuan memperkasakan lagi aktiviti persatuan tersebut.
]]>KUALA LUMPUR – Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) akan melakukan siasatan dalaman berhubung kes beberapa individu yang mendakwa maklumat peribadi mereka digunakan untuk pendaftaran ahli anggota jabatan itu.
Pendaftaran sebagai anggota RELA itu dibuat secara automatik dalam sistem MyRela tanpa pengetahuan mereka.
RELA dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya mengesan perkara itu ekoran tular di media sosial.
“RELA ingin menegaskan dakwaan menggunakan data peribadi seseorang lain untuk didaftarkan sebagai anggota RELA secara automatik tanpa mendapat kebenaran individu berkenaan adalah tidak benar.
“Perbuatan ini bercanggah dengan perkara yang dinyatakan di Seksyen 6(1), Akta Perlindungan Data Peribadi 2010,” katanya kenyataan itu.
Selaku salah satu agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri, RELA merujuk kepada Seksyen 7(1) Pendaftaran sebagai anggota RELA, Akta Pasukan Sukarelawan Malaysia (Akta 752) tahun 2012 menyatakan seseorang orang yang berumur 18 tahun dan ke atas yang berupa seorang warganegara dan bukan seorang anggota tentera atau mana-mana pasukan atau skim sukarelawan yang ditubuhkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis boleh memohon secara bertulis kepada Ketua Pengarah untuk didaftarkan sebagai anggota RELA.

Manakala katanya, Seksyen 5(1) Akta (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat 1964 Peraturan-Peraturan Perlu (Ikatan Relawan Rakyat) 1966 Pindaan 1 Februari 2005 (telah dibatalkan) menyatakan bahawa kecuali diperuntukkan kemudiannya, setiap orang lelaki yang telah mencapai umur 18 tahun dan orang yang belum mencapai umur 55 tahun hendaklah bertanggungan untuk berkhidmat dalam Ikatan Relawan Rakyat.
Menurut RELA, pihaknya sedia maklum akan kegusaran orang ramai dan akan mengambil tindakan sewajarnya untuk menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti tatacara pendaftaran keanggotaan yang dilaksanakan sebelum Akta 752 berkuatkuasa.
“RELA tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak atau individu yang secara sengaja memproses atau menggunakan data peribadi seseorang bagi tujuan tertentu tanpa mendapat kebenaran individu terbabit.
“RELA juga dalam usaha melaksanakan program pemutihan keanggotaan di mana anggota yang tidak aktif dan telah mencapai tempoh lima tahun akan ditamatkan keanggotaan.
“Bagaimanapun, program pemutihan keanggotaan berdasarkan Seksyen 9 Akta ini digantung sementara kerana RELA sedang menumpukan usaha untuk melawan wabak Covid-19,” katanya.
Bagi anggota yang masih berminat untuk menyambung keanggotaan boleh berbuat demikian dengan memaklumkan secara bertulis kepada Ketua Pengarah RELA manakala individu terbabit yang mendapati telah didaftarkan sebagai anggota Rela dan ingin menamatkan keanggotaan sila hubungi talian berikut 03-8870 3770 dan emel [email protected] untuk dibatalkan keanggotaannya.
]]>