renjatan elektrik – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Sat, 22 Aug 2026 16:06:33 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.1 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png renjatan elektrik – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 Pekerja kontraktor elektrik maut terkena renjatan di Sandakan https://sabahmedia.com/2026/08/23/pekerja-kontraktor-elektrik-maut-terkena-renjatan-di-sandakan/ https://sabahmedia.com/2026/08/23/pekerja-kontraktor-elektrik-maut-terkena-renjatan-di-sandakan/#respond Sat, 22 Aug 2026 16:06:26 +0000 https://sabahmedia.com/?p=102116
Read Time:1 Minute, 1 Second

SANDAKAN: Seorang lelaki berusia 30 tahun maut selepas terkena renjatan elektrik ketika menjalankan kerja pemasangan tiang elektrik di Bandar Tabin Jaya, di sini, malam tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 7.53 malam sebelum tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan dikejarkan ke lokasi.

Katanya, jentera tiba di lokasi pada jam 8.03 malam, kira-kira sembilan kilometer dari balai.

“Setibanya pasukan bomba, mangsa yang dipercayai pekerja kontraktor elektrik didapati masih berada di atas tiang elektrik selepas terkena renjatan ketika menjalankan kerja pemasangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba menjalankan operasi menyelamat dengan menurunkan mangsa menggunakan peralatan khas selepas bekalan elektrik diputuskan oleh pihak Sabah Electricity bagi memastikan operasi dapat dijalankan dengan selamat.

“Mangsa berjaya diturunkan dan diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk pemeriksaan lanjut.

“Bagaimanapun, pegawai perubatan KKM mengesahkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan dan siasatan lanjut,” katanya.

Operasi yang turut melibatkan lima anggota Sabah Electricity, dua anggota PDRM dan dua anggota KKM itu ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.40 malam selepas keadaan di lokasi disahkan selamat.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/08/23/pekerja-kontraktor-elektrik-maut-terkena-renjatan-di-sandakan/feed/ 0 102116
Tiga anggota polis maut terkena renjatan elektrik di Kg Weston https://sabahmedia.com/2026/08/06/tiga-dipercayai-anggota-polis-terkena-renjatan-elektrik-di-kg-weston/ https://sabahmedia.com/2026/08/06/tiga-dipercayai-anggota-polis-terkena-renjatan-elektrik-di-kg-weston/#respond Thu, 06 Aug 2026 11:20:46 +0000 https://sabahmedia.com/?p=101079
Read Time:1 Minute, 13 Second

Oleh Normimie Diun

BEAUFORT: Tiga anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) disahkan meninggal dunia selepas dipercayai terkena renjatan elektrik dalam kejadian di Jalan Weston, Kampung Weston, di sini, petang Khamis.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 pada jam 5.56 petang sebelum sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort dikejarkan ke lokasi yang terletak kira-kira 28 kilometer dari balai.

Katanya, pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 6.25 petang dan operasi berjaya dikawal pada jam 7 malam sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.45 malam.

Menurutnya laporan awal daripada Komander Operasi mendapati ketiga-tiga mangsa yang juga anggota PDRM dipercayai terkena renjatan elektrik ketika menggunakan penjolok besi untuk mengambil buah kelapa sebelum alat berkenaan terkena kabel elektrik.

“Orang awam dilaporkan bertindak awal memadam kebakaran kecil menggunakan dua unit alat pemadam api jenis serbuk sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Pasukan bomba kemudian memasang sawar keselamatan dan menjalankan penilaian di lokasi, manakala Sabah Electricity berjaya memutuskan bekalan elektrik bagi memastikan kawasan kejadian selamat.

Selepas bekalan elektrik diputuskan, pasukan bomba bersama PDRM mengeluarkan mangsa sebelum mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Ketiga-tiga mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Chiu Teck Siong, 40; Mohamad Nur Hafiz Ibrahim, 29; dan Muhammad Raimi Ismarubee, 26, yang kesemuanya bertugas di Balai Polis Weston.

Operasi melibatkan tujuh anggota BBP Beaufort dengan kerjasama PDRM dan Sabah Electricity.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/08/06/tiga-dipercayai-anggota-polis-terkena-renjatan-elektrik-di-kg-weston/feed/ 0 101079
Lelaki maut terkena renjatan elektrik di atas bumbung https://sabahmedia.com/2026/05/10/lelaki-maut-terkena-renjatan-elektrik-di-atas-bumbung/ https://sabahmedia.com/2026/05/10/lelaki-maut-terkena-renjatan-elektrik-di-atas-bumbung/#respond Sun, 10 May 2026 03:24:31 +0000 https://sabahmedia.com/?p=96431
Read Time:1 Minute, 34 Second

KOTA KINABALU: Seorang lelaki ditemukan maut dipercayai akibat terkena renjatan elektrik di atas bumbung sebuah restoran makanan laut di Sepanggar, di sini, dalam kejadian petang Sabtu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, pihaknya menerima laporan daripada orang awam kira-kira jam 1.00 petang semalam (9 Mei) memaklumkan terdapat seorang lelaki terbaring tidak sedarkan diri di atas bumbung premis berkenaan.

Menurutnya, sepasukan polis bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta pihak Sabah Electricity Sdn Bhd telah digerakkan ke lokasi bagi tindakan keselamatan dan siasatan lanjut.

“Pemeriksaan awal oleh pegawai perubatan dari Hospital Likas mengesahkan mangsa meninggal dunia pada jam lebih kurang 3.02 petang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I untuk proses bedah siasat.

Hasil siasatan awal di lokasi mendapati mangsa dipercayai cuba memotong wayar elektrik di atas bumbung sebelum terkena renjatan elektrik. Pemeriksaan turut menemui kesan terbakar dan melecur pada jari kanan mangsa.

Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan tiada unsur jenayah dikesan.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan di Luyang pada hari yang sama, seorang lelaki tidak dikenali turut ditemukan meninggal dunia di belakang sebuah rumah.

Syed Lot berkata, Balai Polis Luyang menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 5.30 petang daripada pengadu yang memaklumkan penemuan lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri di kawasan berkenaan.

Katanya, pegawai perubatan dari Hospital Queen Elizabeth II mengesahkan lelaki itu meninggal dunia pada jam 6.34 petang.

“Hasil pemeriksaan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Kota Kinabalu bersama pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) mendapati tiada unsur jenayah pada tubuh mangsa.

“Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I untuk bedah siasat dan kes turut diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan spekulasi atau maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan pihak berkuasa.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/05/10/lelaki-maut-terkena-renjatan-elektrik-di-atas-bumbung/feed/ 0 96431
Lelaki maut terkena renjatan elektrik ketika mengecat rumah https://sabahmedia.com/2025/12/31/lelaki-maut-terkena-renjatan-elektrik-ketika-mengecat-rumah/ https://sabahmedia.com/2025/12/31/lelaki-maut-terkena-renjatan-elektrik-ketika-mengecat-rumah/#respond Wed, 31 Dec 2025 12:38:30 +0000 https://sabahmedia.com/?p=89042
Read Time:49 Second

KOTA KINABALU: Seorang lelaki berusia lingkungan 40-an maut selepas terkena renjatan elektrik ketika menjalankan kerja-kerja mengecat sebuah rumah di Kampung Likas, di sini, pagi tadi.

Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 10.03 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas digerakkan ke lokasi kejadian.

“Pasukan bomba tiba di lokasi kejadian dan mendapati seorang lelaki mengalami kecederaan parah akibat renjatan elektrik semasa melakukan kerja mengecat.

“Mangsa didapati mengalami kesan terbakar serta putus pergelangan tangan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.

“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanju,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Operasi melibatkan seramai 10 anggota BBP Lintas turut dibantu agensi lain termasuk Sabah Electricity, PDRM dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Seterusnya, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.10 pagi selepas pasukan bomba memastikan keadaan di lokasi selamat dan tiada bahaya lain.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/12/31/lelaki-maut-terkena-renjatan-elektrik-ketika-mengecat-rumah/feed/ 0 89042
Subkontraktor didenda RM12,000 sebabkan kematian akibat renjatan elektrik https://sabahmedia.com/2025/10/29/subkontraktor-didenda-rm12000-sebabkan-kematian-akibat-renjatan-elektrik/ https://sabahmedia.com/2025/10/29/subkontraktor-didenda-rm12000-sebabkan-kematian-akibat-renjatan-elektrik/#respond Wed, 29 Oct 2025 12:55:26 +0000 https://sabahmedia.com/?p=84447
Read Time:3 Minute, 7 Second

Oleh J. Evachel John

KOTA KINABALU: Seorang subkontraktor dijatuhi hukuman denda RM12,000 atau empat bulan penjara oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah menyebabkan kemalangan elektrik yang mengakibatkan kematian adik kandungnya.

Tertuduh, Mohd Norazmie Madang, 31, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Marlina Ibrahim.

Mengikut pertuduhan, Mohd Norazmie telah menjalankan kerja pemasangan sistem internet gentian optik (YES Home Fibre Internet) berhampiran talian elektrik voltan tinggi 11kV milik Sabah Electricity (SE) tanpa kebenaran sah daripada pemegang lesen.

Tindakan tersebut menyebabkan kemalangan elektrik yang mengakibatkan kematian adiknya, Mohammad Roy Zaimie Madang, 19.

Kesalahan itu dilakukan pada 14 Januari 2025 sekitar jam 4.48 petang di Kampung Sinoko, Jalan Bambangan, Membakut, Sabah.

Tertuduh didakwa di bawah Subseksyen 55(1) Enakmen Bekalan Elektrik 2024 dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 55(2) Enakmen yang sama, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM300,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Menurut fakta kes, mangsa yang bekerja sebagai juruteknik pemasangan (Installer) di bawah syarikat Orex Enterprise, milik tertuduh, terkena renjatan elektrik selepas kabel gentian optik yang dilemparkan menyentuh talian 11kV milik SE yang masih berarus.

Kejadian berlaku semasa kerja-kerja pemasangan sistem internet gentian optik (YES Home Fibre Internet) sedang dijalankan berhampiran talian voltan tinggi 11kV milik SE.

Semasa kejadian, mangsa telah melemparkan kabel gentian optik ke atas talian voltan tinggi SE yang tidak berpenebat dan masih berarus elektrik. Semasa menggulung kembali kabel tersebut, telah berlaku renjatan elektrik yang menyebabkan mangsa terkena percikan elektrik dan terbakar.

Siasatan mendapati, kerja-kerja yang dilakukan ini tidak mendapat kebenaran daripada pihak SE dan permohonan Permit Mula Kerja tidak pernah dipohon oleh tertuduh. Selain itu, pekerja di tapak kejadian, termasuk mangsa, didapati tidak memakai Peralatan Pelindung Diri (PPE) yang lengkap seperti kasut keselamatan, topi keselamatan, dan sarung tangan.

Akibat daripada itu, talian tersebut masih berarus tinggi dan elektrik masih mengalir kerana penutupan bekalan tidak dilakukan oleh pihak SE disebabkan kerja-kerja dilakukan oleh tertuduh adalah tanpa pengetahuan SE secara sah.

Fakta kes turut mendedahkan bahawa SwiF Fintech Sdn Bhd telah dilantik sebagai kontraktor utama oleh YTL Communications Sdn Bhd untuk penyediaan perkhidmatan pemasangan dan sokongan YES Home Fibre Internet. SwiF Fintech seterusnya telah melantik Orex Enterprise sebagai subkontraktor untuk melaksanakan kerja-kerja pemasangan sistem gentian optik.

Semasa rayuan, peguam Azhier Farhan, yang mewakili tertuduh, merayu agar mahkamah menjatuhkan hukuman ringan, dengan mengambil kira bahawa kejadian tersebut merupakan sebuah tragedi keluarga, memandangkan mangsa ialah adik kandung tertuduh sendiri.

Beliau menjelaskan bahawa tertuduh amat kesal dan masih menanggung trauma serta rasa bersalah yang mendalam atas kehilangan tersebut.

“Tertuduh tidak bertindak dengan niat cuai, sebaliknya disebabkan kejahilan mengenai keperluan mendapatkan kebenaran bertulis daripada pemegang lesen. Sepanjang siasatan, beliau memberikan kerjasama penuh dan mengaku bersalah pada peringkat awal, menunjukkan penyesalan yang tulus serta rasa tanggungjawab,” katanya.

Azhier berkata, tertuduh mempunyai tiga orang anak kecil, selain menanggung ibu bapa yang sudah lanjut usia serta seorang adik yang masih belajar.

Menurutnya, hukuman penjara hanya akan menambah penderitaan keluarga tertuduh, yang bergantung sepenuhnya kepadanya.

Sementara itu, pegawai pendakwa dari Suruhanjaya Tenaga Sabah, Andryeno Thomas, berhujah bahawa tindakan tertuduh menunjukkan pengabaian melampau terhadap terhadap peraturan keselamatan elektrik yang bertujuan melindungi nyawa dan harta benda.

“Kemalangan ini bukanlah suatu kejadian luar jangka, sebaliknya boleh dielakkan sepenuhnya sekiranya tertuduh mematuhi keperluan undang-undang dan tatacara keselamatan yang ditetapkan. Kegagalan tertuduh menunjukkan pengabaian ketara terhadap keselamatan pekerja dan orang awam, serta ketidakpatuhan terang-terangan terhadap kuasa dan peranan pihak berlesen (Sabah Electricity).

“Hukuman berat diperlukan bagi memberi mesej pencegahan (deterrence) kepada semua pihak dalam industri agar mematuhi sepenuhnya peruntukan Enakmen Bekalan Elektrik 2024,” katanya.

Untuk rekod, SwiF Fintech Sdn Bhd telah dikenakan denda RM18,000 kerana gagal memastikan pematuhan perundangan oleh mana-mana pihak ketiga/subkontraktor yang dilantik, sehingga menyebabkan kemalangan elektrik yang mengakibatkan kematian.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/10/29/subkontraktor-didenda-rm12000-sebabkan-kematian-akibat-renjatan-elektrik/feed/ 0 84447
Kontraktor didenda RM15,000 berhubung insiden tiga pekerja maut terkena renjatan elektrik di JKR Ranau https://sabahmedia.com/2025/08/07/kontraktor-didenda-rm15000-berhubung-insiden-tiga-pekerja-maut-terkena-renjatan-elektrik-di-jkr-ranau/ https://sabahmedia.com/2025/08/07/kontraktor-didenda-rm15000-berhubung-insiden-tiga-pekerja-maut-terkena-renjatan-elektrik-di-jkr-ranau/#respond Thu, 07 Aug 2025 09:03:40 +0000 https://sabahmedia.com/?p=78751
Read Time:2 Minute, 43 Second

Oleh J. Evachel John

KOTA KINABALU: Seorang kontraktor yang menjalankan kerja berhampiran pepasangan elektrik tanpa kebenaran hingga menyebabkan kemalangan elektrik yang meragut tiga nyawa dijatuhi hukuman denda RM15,000, oleh Mahkamah Sesyen, hari ini.

E. Royston Tan, 37, yang mengaku bersalah di hadapan hakim Hurman Hussain juga berdepan penjara 12 bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Mengikut kertas pertuduhan, Royston sebagai orang yang mempunyai kawalan dan pengurusan terhadap kerja-kerja pemasangan lampu solar berhampiran pepasangan elektrik talian 11kV bervoltan tinggi milik Sabah Electricity (SE) didapati tidak mendapat kebenaran sah daripada pemegang lesen iaitu SE.

Insiden tersebut menyebabkan kemalangan elektrik yang mengakibatkan kematian tiga mangsa, iaitu Wong Yee Ming, 61; Salih Laurel, 35; dan Jimal, 25.

Kejadian berlaku pada 13 Disember 2024, kira-kira jam 10.44 pagi di Jabatan Kerja Raya (JKR) Ranau, Pekan Ranau.

Tertuduh didakwa di bawah subseksyen 55(1) Enakmen Bekalan Elektrik 2024, dan boleh dihukum di bawah subseksyen 55(2) Enakmen yang sama, yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM300,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, Royz Enterprise merupakan kontraktor yang dilantik untuk menjalankan kerja-kerja menaik taraf pencahayaan itu dan Royz Enterprise merupakan perniagaan jenis milikan tunggal yang berdaftar di bawah nama tertuduh.

Sekitar jam 10.35 pagi, talian utama elektrik voltan tinggi 11kV F.LDAU01 terpelantik akibat kerosakan bumi (earth fault), dan ditenagakan semula lima minit kemudian, jam 10.40 pagi oleh SE.

Ketika itu, Salih dan Jimal berada di atas perancah (scaffolding) untuk memasang panel solar pada tiang lampu ke-12.

Panel tersebut menyentuh talian atas 11kV, menyebabkan renjatan elektrik dan percikan api, lalu kedua-dua mangsa terjatuh.

Wong Yee Ming yang cuba membantu Salih disyaki turut terkena renjatan selepas menyentuh struktur perancah yang telah beraliran elektrik.

Ketiga-tiga mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi.

Jarak antara perancah dan kabel elektrik sangat dekat, hanya kira-kira 0.5 meter. Manakala tiang lampu hanya 1.3 meter dari kabel voltan tinggi, sedangkan jarak kelegaan minimum yang ditetapkan Enakmen Bekalan Elektrik ialah 4.57 meter

Pada jam 10.44 pagi, JKR Ranau melaporkan kemalangan kepada SE.

Pemeriksaan di tempat kejadian mendapati terdapat kesan terbakar pada panel solar, tiang lampu, struktur perancah, dan tubuh mangsa, menunjukkan mereka telah terkena renjatan elektrik yang kuat 11kV.

Kerja-kerja ini dijalankan tanpa kebenaran sah daripada SE dan tertuduh tidak pernah memohon Permit Mula Kerja.

Akibatnya, talian tersebut masih aktif ketika kerja dijalankan, kerana SE tidak menutup bekalan elektrik memandangkan tiada makluman rasmi mengenai kerja-kerja itu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Penolong Pengarah (Pendakwaan), Hal Ehwal Undang-Undang, Energy Commission of Sabah (ECoS), Andryeno Thomas.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam telah membayar denda tersebut.

Semasa rayuan, tertuduh antara lain meminta hukuman ringan kerana telah membayar pampasan kepada keluarga mangsa dan menyesali perbuatannya.

Manakala, pihak pendakwaan memohon hukuman berat sebagai pengajaran agar undang-undang keselamatan elektrik mesti dipatuhi.

Menurutnya, fakta kes jelas menunjukkan kecuaian tertuduh mengakibatkan tiga pekerja maut terkena renjatan elektrik.

Tertuduh, sebagai kontraktor elektrik berdaftar, bertanggungjawab memastikan semua kerja berhampiran talian elektrik dijalankan dengan selamat, termasuk mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa seperti SE dan ECoS.

Namun, tertuduh antara lain gagal memohon permit, tidak memberi notis kerja, tidak memastikan penutupan bekalan elektrik walaupun jarak kerja sangat dekat, dan tidak memberikan latihan keselamatan kepada pekerja.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/08/07/kontraktor-didenda-rm15000-berhubung-insiden-tiga-pekerja-maut-terkena-renjatan-elektrik-di-jkr-ranau/feed/ 0 78751
Lelaki maut terkena renjatan elektrik ketika ambil buah mangga guna batang besi https://sabahmedia.com/2025/06/08/lelaki-maut-terkena-renjatan-elektrik-ketika-ambil-buah-mangga-guna-batang-besi/ https://sabahmedia.com/2025/06/08/lelaki-maut-terkena-renjatan-elektrik-ketika-ambil-buah-mangga-guna-batang-besi/#respond Sun, 08 Jun 2025 11:41:57 +0000 https://sabahmedia.com/?p=75225
Read Time:50 Second

PAPAR: Seorang lelaki berusia 42 tahun maut selepas terkena renjatan elektrik ketika cuba mengambil buah mangga menggunakan sebatang besi dalam kejadian di Kampung Bambangan, petang tadi (8 Jun).

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada jam 3.08 petang.

Menurut Komander Operasi, siasatan awal mendapati mangsa memanjat pokok mangga dan menggunakan sebatang penjolok besi untuk mengambil buah tersebut.

“Bagaimanapun, batang besi yang digunakan mangsa dipercayai telah tersentuh kabel elektrik berhampiran, menyebabkan mangsa terkena renjatan elektrik dan tidak sedarkan diri,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Pasukan bomba kemudiannya bertindak menurunkan mangsa dari atas pokok menggunakan tangga dan tali penyelamat, selepas bekalan elektrik diputuskan oleh pihak Sabah Electricity Sdn Bhd (Sabah Electricity).

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), dan mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Operasi ditamatkan sepenuhnya kira-kira jam 4.00 petang selepas pihak bomba memastikan kawasan kejadian selamat daripada sebarang bahaya.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/06/08/lelaki-maut-terkena-renjatan-elektrik-ketika-ambil-buah-mangga-guna-batang-besi/feed/ 0 75225
Insiden Renjatan Elektrik: SE Ambil Langkah Tegas https://sabahmedia.com/2025/01/16/insiden-renjatan-elektrik-se-ambil-langkah-tegas/ https://sabahmedia.com/2025/01/16/insiden-renjatan-elektrik-se-ambil-langkah-tegas/#respond Thu, 16 Jan 2025 13:22:40 +0000 https://sabahmedia.com/?p=67034
Read Time:1 Minute, 11 Second

KOTA KINABALU: Sabah Electricity (SE) akan berhubung dengan pihak Suruhanjaya Komunikasi Malaysia dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Jabatan Kerajaan agar tindakan segera dapat diambil ke atas kontraktor dan pekerja yang melakukan kerja-kerja telekomunikasi.

Ketua Pegawai Operasi, Ir. Mohd Yusmanizam Mohd Yusof berkata, kejadian renjatan elektrik semakin kerap berlaku dan kejadian itu membimbangkan SE.

Menurut beliau, SE akan mengadakan satu taklimat untuk menyampaikan maklumat mengenai keselamatan elektrik kepada pihak-pihak berkaitan.

Beliau turut menasihati kontraktor yang ingin melaksanakan kerja-kerja melibatkan pendawaian elektrik di pepasangan SE untuk berwaspada dan menghubungi pejabat SE berdekatan bagi mendapatkan kebenaran sebelum melakukan kerja-kerja sedemikian.

Justeru beliau ingin memaklumkan orang awam serta semua pihak untuk menghubungi pejabat SE berdekatan sebelum melakukan kerja-kerja melibatkan pepasangan elektrik.

“Tindakan ini adalah untuk memastikan pihak SE dapat menutup bekalan sekiranya perlu dan pendekatan ini perlu diambil serius bagi memastikan aspek-aspek keselamatan diberikan keutamaan bagi mengelak kejadian yang tidak diingini berlaku.

“Kita tidak mahu kejadian-kejadian yang boleh menjejaskan keselamatan diri dan kerosakan aset berlaku,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Yusmanizam berkata kes seumpama itu pernah berlaku pada awal tahun lalu di mana dua pekerja kontrak maut akibat terkena renjatan elektrik yang tinggi ketika menjalankan kerja pemasangan kabel gentian optik talian sebuah syarikat telekomunikasi di Kota Marudu.

Siasatan lengkap ke atas kejadian itu masih dijalankan oleh pihak berkuasa dan SE mengucapkan takziah dan simpati kepada keluarga mangsa.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/01/16/insiden-renjatan-elektrik-se-ambil-langkah-tegas/feed/ 0 67034
Lelaki 19 tahun maut terkena renjatan elektrik di Membakut https://sabahmedia.com/2025/01/14/lelaki-19-tahun-maut-terkena-renjatan-elektrik-di-membakut/ https://sabahmedia.com/2025/01/14/lelaki-19-tahun-maut-terkena-renjatan-elektrik-di-membakut/#respond Tue, 14 Jan 2025 14:55:50 +0000 https://sabahmedia.com/?p=66935
Read Time:40 Second

MEMBAKUT: Seorang lelaki berusia 19 tahun maut selepas terkena renjatan elektrik semasa menjalankan aktiviti memasang talian internet sebuah syarikat telekomunikasi di tiang elektrik di Kampung Sinoko, Jalan Bambangan dekat sini, petang tadi.

Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 4.20 petang melalui panggilan MERS999.

“Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Kimanis tiba di lokasi kejadian mendapati mangsa seorang lelaki dipercayai terkena renjatan elektrik ketika menjalankan kerja-kerja memasang kabel talian internet sebuah syarikat telekomunikasi di tiang elektrik.

“Mangsa berusia 19 tahun itu telah dihantar ke hospital oleh rakan sekerja sebelum ketibaan pasukan bomba, namun disahkan meninggal dunia oleh doktor bertugas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Setelah memastikan keadaan di lokasi selamat, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.12 petang.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/01/14/lelaki-19-tahun-maut-terkena-renjatan-elektrik-di-membakut/feed/ 0 66935