Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang penjaga restoran di Penampang didenda RM5,500 atau penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini kerana menjual kari kepala ikan yang didapati tercemar.
Mohamed Yakoob Mohamed Shaik Allaudeen mengaku bersalah di hadapan Majistret Marilyn Kelvin terhadap pertuduhan menjual kari kepala ikan berharga RM26 yang mengandungi bakteria Coliform pada paras 110 MPN/g, melebihi had standard yang dibenarkan.
Kesalahan itu dilakukan pada 7 Julai lalu kira-kira jam 9 pagi di premis Nasi Kandar Anak Mami the Restaurant di Bundusan, Penampang.
Berdasarkan peraturan, bacaan Coliform tidak boleh melebihi 5×10/g seperti dinyatakan di bawah Peraturan 39(3), Peraturan-Peraturan Makanan 1985.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 13B(1) dibaca bersama Seksyen 13B(2)(e) Akta Makanan 1983 dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehinga RM20,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya dibawah Seksyen 13B(4) dibawah Akta yang sama.
Mengikut fakta kes, dua Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran telah hadir ke premis berkenaan, menunjukkan kad kuasa dan memaklumkan bahawa rutin pensampelan makanan akan dijalankan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985.
Dua jenis lauk yang telah siap dimasak dipilih sebagai sampel iaitu kari kepala ikan dan daging masak kicap. Sampel tersebut kemudian dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kota Kinabalu.
Pada 17 Julai, laporan makmal mengesahkan bahawa sampel kari kepala ikan mencatatkan bacaan Coliform 110 MPN/g, melebihi piawaian di bawah Jadual Kelima Belas Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dan melanggar Peraturan 39(3).
Sampel daging masak kicap pula mencatatkan 24 MPN/g, dan tiada E. coli (Escherichia Coli) dikesan.
Semasa rayuan, Yaakob yang tidak diwakili peguam memohon hukuman diringankan dan mendakwa bahawa kepala ikan yang digunakan baharu dibeli.
Pegawai pendakwa, Adeno Majus dari Unit Inspektorat dan Perundangan Jabatan Kesihatan Sabah (Pejabat Kesihatan Penampang), memohon mahkamah mengenakan hukuman lebih berat, memandangkan premis tersebut sudah mempunyai rekod aduan awam berhubung pelanggaran Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 sebelum tindakan penguatkuasaan diambil.
Aduan terdahulu melibatkan makanan yang dihidangkan tanpa penutup, terdedah kepada lalat, serta kawasan penyediaan makanan yang tidak bersih, kesemuanya melanggar keperluan penyimpanan dan pendedahan makanan di bawah peraturan berkenaan.
Menurut Adeno, aduan berulang itu menunjukkan premis berkenaan mempunyai masalah kebersihan kronik dan penemuan makmal selari dengan aduan lama, membuktikan ketidakpatuhan terhadap peraturan kebersihan merupakan amalan berterusan, bukan insiden terpencil.
“Memandangkan tertuduh telah pernah ditegur sebelum ini tetapi gagal mematuhi piawaian kebersihan, hukuman lebih tegas adalah perlu sebagai pengajaran serta amaran kepada semua pengusaha premis makanan,” katanya.
]]>Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara selama sebulan oleh Mahkamah Majistret di sini kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang lelaki yang sedang makan di sebuah restoran.
Majistret Wan Farrah Farriza Wan Ghazali menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Md Edyie Rafiy Lismin, 35, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Md Edyie telah mencederakan mangsa, seorang lelaki berusia 21 tahun di sebuah restoran di Putatan pada 18 Julai lalu.
Mengikut fakta kes, ketika mangsa sedang makan di restoran tersebut, dia telah didatangi oleh seorang lelaki tidak dikenali, iaitu Md Edyie.
Md Edyie telah memukul mangsa menggunakan sebuah topi keledar di bahagian kepala sebanyak tiga kali dan menumbuk di bahagian mata sebelah kanan pengadu sebanyak dua kali.
Akibat kejadian tersebut mangsa mengalami kecederaan lebam pada mata kanan dan sakit pada bahagian kepala.
Mangsa kemudiannya membuat laporan polis bagi tindakan lanjut diambil.
]]>SEMPORNA: Satu kejadian kebakaran memusnahkan bahagian ruang restoran dan penginapan pekerja The Buwan Dive Resort, salah sebuah pusat peranginan di sini, tengahari tadi.
Ketua Balai Bomba Semporna Madzlan Sarman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 12.26 tengahari tadi (3 Mei), seramai 14 anggota terdiri daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna (8) dan BBP Air Semporna (6) bersama tiga jentera bergegas ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian mendapati satu kebakaran melibatkan restoran dan penginapan pekerja di pusat peranginan tersebut telah musnah terbakar.
“Operasi pemadaman kebakaran terkawal pada jam 1.25 petang dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.19 petang,” katanya ketika dihubungi Sabah Media hari ini.
Bagaimanapun, katanya, tiada kemalangan jiwa atau mangsa dilaporkan terlibat dalam kebakaran itu.
]]>KOTA KINABALU : Sabah membenarkan pemilik premis restoran untuk meletakkan meja di ruang legar atau kaki lima ketika waktu operasi sepanjang pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Kedua.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kebenaran itu tertakluk kepada syarat yang ditetapkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) selain prosedur standard operasi (SOP) yang sedang dikuatkuasakan.
“Keputusan ini dilaksanakan selepas Sabah telah mencapai nilai ambang vaksinasi penuh melebihi 40 peratus populasi dewasanya pada 31 Ogos 2021 iaitu semalam.
“Sehubungan dengan itu, kerajaan negeri memutuskan untuk membenarkan premis-premis restoran memasang meja di ruang legar atau kaki lima restoran berkuatkuasa mulai esok iaitu 2 September,” katanya dalam kenyataan disini hari ini.
Dalam pada itu, Masidi berkata, sejumlah 164 sekatan jalan raya (SJR) dilaksana dalam tempoh 24 jam yang lalu melibatkan pemeriksaan 32,336 buah kenderaan.
Katanya, daripada jumlah tersebut sebanyak 390 buah kenderaan diarah berpatah balik.
]]>KOTA KINABALU : Semua operasi perniagaan restoran termasuk yang berada dalam premis hotel dibenarkan beroperasi sehingga jam 10 malam.
Ia adalah berdasarkan Prosedur Standard Operasi (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Dua Negeri Sabah yang telah dikemaskini oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 22 Julai.
Selain restoran, kafe, kedai makan, gerai makan, kenderaan bersaji (food truck), penjaja tepi jalan, penjaja beredar, medan selera, pusat penjaja, gerai makan tepi jalan atau kiosk turut dibenarkan beroperasi sehingga 10 malam.
Semua premis berkenaan hanya dibenarkan untuk menjual makanan atau aktiviti ‘Dine-in’ sahaja dan sebarang aktiviti sosial, poolbar, majlis atau aktiviti yang menyebabkan perkumpulan adalah tidak dibenarkan.
SOP dipremis kedai makan membenarkan terhad kepada dua orang semeja dan susun atur meja hendaklah dihadkan di dalam ruangan premis sahaja.
Selain itu, hidangan secara buffet dibenarkan dengan syarat menggunakan sarung tangan plastik (jenis pakai buang) perlu disediakan untuk semua pelanggan.
Manakala kanak-kanak berusia di bawah 12 tahun adalah tidak dibenarkan.
]]>KOTA KINABALU : Operasi restoran dan kedai makan termasuk di hotel di sekitar Kota Kinabalu dibenarkan untuk meneruskan aktiviti makan di premis (dine-in) selaras dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) Sabah yang baharu bagi Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Kedua yang bermula Sabtu lalu.
Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menerusi kenyataan di laman sosial rasmi DBKK menyatakan waktu operasi restoran dan kedai makan adalah bermula jam 6 pagi sehingga 9 malam.
Bagi operasi kedai runcit, kedai serbaneka, pasaraya mini dan pasaraya serta operasi Kompleks Membeli Belah meliputi seksyen makanan; minuman; keperluan asas; kedai farmasi dan perniagaan yang dibenarkan sahaja turut dibenarkan beroperasi bermula jam 6 pagi sehingga 8 malam.
Kenyataan itu turut menyatakan stesen mintak termasuk kedai serbaneka di stesen minyak akan mula beroperasi bermula jam 5 pagi sehingga 10 malam.
Sementara itu, DBKK turut membenarkan taman awam beroperasi bermula esok (13 Julai) dengan pematuhan SOP yang ditetapkan.
Taman awam yang dibenarkan beroperasi adalah Taman Ujana Rimba Tropika dan Taman Tun Fuad Stephens bermula jam 6 pagi sehingga 6 petang manakala had kemasukan adalah seramai 50 orang bagi setiap dua jam.
Antara aktiviti yang dibenarkan adalah jogging; Tai Chi; Yoga; Senamrobik (Tidak melebihi 10 orang dalam satu masa).
Selain itu taman yang dikendalikan swasta seperti Perdana Park Tanjung Aru adalah tertakluk kepada pengurusan masing-masing mengikut SOP yang ditetapkan.
]]>KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri kekal dengan keputusan membenarkan Dine-in di dalam restoran, kedai makan dan restoran dalam premis hotel di negeri ini.
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata dalam kenyataan media hari ini, arahan untuk membenarkan aktiviti itu dikuatkuasakan Kerajaan Negeri pada 29 Jun lalu, berikutan pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara – Fasa 1 masih berkuatkuasa, “Ini pendirian kita,” kata Hajiji.
Berikutan beberapa Prosedur Standard Operasi (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Kedua bagi negeri Sabah yang bermula hari ini khususnya yang melibatkan aktiviti ekonomi menjadi tanda tanya pelbagai pihak.
Namun SOP yang dikeluarkan khususnya operasi melibatkan restoran, café, kedai makan, gerai makan, kenderaan bersaji(foodtruck) ,penjaja tepi jalan, penjaja beredar, medan selera, pusat penjaja, gerai makan tepi jalan, atau kiosk dibenarkan beroperasi antara jam 6 pagi hingga 9 malam.
Meskipun dibenarkan beroperasi, SOP berkenaan menyatakan hanya secara bawa pulang, pandu lalu atau penghantaran dan tidak menyatakan larangan ‘Dine-In’ dan perkhidmatan ‘Park & Dine’.
Sebelum ini, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Kota Kinabalu; Keningau; Sandakan dan beberapa daerah lain telah membenarkan ‘Dine-In’ berdasarkan pengumuman Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor pada 28 Jun lalu.
]]>KOTA KINABALU : Semua peniaga restoran dan gerai di Sandakan dibenarkan beroperasi secara ‘dine-in’ mulai esok.
Memetik laporan Astro Awani malam ini, Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Wong Foo Tin berkata, pihaknya membenarkan perkara itu selepas mengikuti pengumuman yang dikeluarkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor pada Isnin.
Katanya, hanya dua orang satu meja makan dibenarkan selain 50 peratus individu sahaja boleh berada di dalam premis makanan.
“Makan di restoran memang dibolehkan bermula esok. Seperti Ketua Menteri Sabah katakan sebelum ini.
“Masa berniaga iaitu bermula jam 6 pagi sehingga jam 8 malam sahaja. Sebuah meja hanya dibenarkan untuk dua orang sahaja atau jumlah kehadiran dalam sebuah premis makanan hanya 50 peratus sahaja,” katanya.
Foo Tin berkata, pihaknya juga menasihatkan peniaga dan masyarakat setempat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“SOP seperti memeriksa suhu sebelum masuk ke premis dan mengimbaskan kod pantas (QR) MySejahtera juga wajib dibuat,” katanya.
Terdahulu, isu makan di restoran hangat diperkatakan di negeri Sabah sejak Isnin lalu.
Pada Isnin Ketua Menteri Sabah mengumumkan kebenaran kepada para peniaga untuk beroperasi dengan makan di restoran.
Peniaga kemudiannya membenarkan pelanggan makan di restoran.
Namun pada sebelah petang peniaga di Sabah termasuk Sandakan menghentikan kaedah berniaga secara ‘dine-in’ selepas mendapati tiada SOP mengenainya dikeluarkan oleh pihak berkaitan. AWANI
]]>KOTA KINABALU: Sabah masih kekal melaksanakan semua prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dilaksanakan di negeri ini.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, ia termasuk waktu perniagaan kedai makan dan restoran yang beroperasi bermula jam 7 pagi hingga 7 malam.
“Tunggu pengumuman esok selepas mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) ,”katanya kepada Sabah Media menerusi aplikasi WhatsApp disini malam ini.
Terdahulu, Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob mengumumkan operasi kedai makan dan restoran dibenarkan bermula jam 6 pagi sehingga 10 malam, bermula Isnin.
Katanya, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira rayuan dan pandangan pengusaha kedai makan.
]]>8 Jun 2021
Normimie Diun
BEAUFORT: Tidak serik atas kesalahan kes jenayah lampau, seorang lelaki bekas banduan bakal dikenakan hukuman penjara selepas memecah masuk sebuah restoran di sini.
Dalam kejadian Ahad lalu, suspek berumur 38 tahun itu telah memecah masuk sebuah restoran hasil aduan dari pemilik premis tersebut.
Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintendan, Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, pihak polis telah menjalankan siasatan menyeluruh di dalam premis terbabit termasuk mengesan cap jari suspek.
Setelah pihak polis mengenalpasti segala maklumat, suspek berjaya ditahan di Anjung Jaya di sini kira-kira jam 8 malam.
Hasil soal siasat yang dijalankan terhadap suspek, akhirnya suspek mengaku melakukan jenayah berkenaan dan telah menjual semua barangan yang dicuri di sekitar daerah ini.
“Antara barangan yang dilaporkan hilang termasuklah tiga projektor TV, mesin pencetak, basikal jenis Mountain Bike, balang berisi duit syiling dan empat kanvas.
“Siasatan lanjut mendapati suspek turut mempunyai empat kes jenayah lampau dan pernah dijatuhi hukuman sebelum ini,” katanya.
Tambahnya, suspek akan dirujuk ke mahkamah untuk mendapatkan kelulusan permohonan tahanan reman bagi membantu siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh didenda atau sebat bagi kesalahan kedua dan seterusnya.
]]>