9 Jun 2021
Erdie Ab Wahid
[email protected]
KOTA KINABALU : Beberapa kawasan di Sabah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula Jumaat ini sehingga 24 Jun depan.
Antara kawasan yang terlibat adalah di Perumahan Kilang, Ladang Ong Ya Hoo Kinabatangan dan dua lokaliti di Kudat iaitu Kampung Singgahmata Banggi dan Kampung Sin San.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, pelaksanaan PKPD itu adalah bagi memudahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjalankan pegesanan awal kes bagi tujuan pengasingan serta melaksanakan saringan bagi kontak rapat.
“Selain itu, PKPD dikawasan ini dilaksanakan adalah bagi mengawal pergerakan penghuni di lokaliti terlibat seterusnya mengekang jangkitan COVID-19 ke komuniti lain.
“Bagi PKP di Perumahan Kilang Ladang Ong Ya Hoo, Kinabatangan KKM telah melaksanakan 151 ujian saringan dan daripada jumlah itu 28 orang didapati positif COVID-19,”katanya dalam kenyataan malam ini.
Katanya yang juga jurucakap rasmi COVID-19 Sabah berkata, PKPD di dua lokaliti di Kudat telah merekodkan seramai lapan positif COVID-19 di Kampung Singgahmata, Banggi selepas lapan penduduk disaring manakala di Kampung Sin San, 22 ujian saringan dilakukan dan sembilan dilaporkan positif.
“Bagi kawasan yang dikenakan PKPD sebelum ini iaitu di PKPD di Kampung Pirasan Ulu Kota Belud dan PKPD Taman Sawit Balung Tawau akan tamat seperti yang dijadualkan pada 10 Jun (11.59 malam),”katanya.
Dalam perkembangan lain, Masidi berkata, kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah (COVID-19) memutuskan untuk membenarkan fasiliti di hospital beroperasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Sabah.
Katanya fasiliti yang dibenarkan ialah kedai runcit, kedai serbaneka dan kantin (take away sahaja) iaitu fasiliti dalam hospital kerajaan dan swasta beroperasi 24 jam berkuatkuasa serta merta.
]]>7 Jun 2021
Erdie Ab Wahid
[email protected]
BEAUFORT: Pertubuhan Masyarakat Berpadu Sabah (BERPADU) menggesa rakyat khususnya di Sabah untuk membantu kerajaan dalam mencapai sasaran imuniti kelompok dengan mendaftarkan diri sebagai penerima vaksin COVID-19.
Pengerusi BERPADU, Mohammad Norizhuan Awang berkata, peratus rakyat negeri ini yang mendaftar sebagai penerima vaksin masih ditahap rendah dengan peratusan sebanyak 19.75 peratus melibatkan 579,309 orang .
“Setakat 5 Jun lalu, data yang dikeluarkan melalui laman web Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan COVID-19 (JKJAV) mendapati masih ramai yang belum mendaftar sebagai penerima.
“Usah takut dan jangan terpengaruh dengan pelbagai hasutan daripada pihak tidak bertanggungjawab. Kita perlu membantu kerajaan mencapai sasaran imuniti kelompok yang ditetapkan sebelum ini,”katanya ketika dihubungi disini hari ini.
Katanya, pihaknya bercadang untuk mengadakan program pendaftaran penerimaan vaksin kepada penduduk setempat khususnya yang berada dikawasan pedalaman dan tidak mempunyai akses internet.
“Jika tidak ada halangan, pihak kami akan melaksanakan program pendaftaran untuk penduduk yang berada dipedalaman apabila keadaan sudah mengizinkan dan mendapat kebenaran dari pihak berwajib.
“Selain itu, kami juga dalam perancangan untuk menyediakan perkhidmatan kenderaan percumaan untuk membawa warga emas atau golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) selain golongan asnaf untuk ke Pusat Penerimaan Vaksin (PPV),”katanya.
Namun katanya, perancangan itu bergantung kepada kelulusan dan kebenaran pihak berwajib khususnya pihak polis.
Dalam pada itu, Mohammad Norizhuan berkata, kerajaan pusat mahupun negeri perlu lebih proaktif dalam memastikan rakyat Sabah yang telah mendaftar mendapat vaksinasi dengan segera.
]]>6 Jun 2021
Erdie Ab Wahid
[email protected]
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah (COVID-19) memutuskan daerah Kota Kinabalu, Putatan dan Penampang tidak lagi dikategorikan sebagai satu daerah.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, keputusan itu dibuat setelah mengambilkira bilangan kes positif COVID-19 di daerah berkenaan yang mencapai 70 kes hari ini.
“Sebagai usaha mengurangkan perjalanan yang tidak perlu maka orang awam tidak dibenarkan rentas daerah kecuali untuk perkhidmatan perlu dan barang perlu.
“Pelaksanaan ini berkuatkuasa bermula esok (Isnin) dan pihak polis akan melaksanakan pemeriksaan ketat kawalan larangan rentas daerah melibatkan tidak daerah ini,”katanya dalam kenyataan disini malam ini.
Dalam perkembangan lain, Masidi yang juga Jurucakap Rasmi COVID-19 Sabah berkata, peratus kehadiran ke pejabat penjawat awam negeri Sabah hendaklah sekurang-kurangnya 30 peratus di pejabat masing-masing.
“Manakala 70 peratus lagi perlu bekerja dari rumah dan arahan ini adalah berkuat kuasa serta merta.
“Pelaksanaan ini berikutan peningkatan kes COVID-19 dalam kalangan penjawat awam di samping kewujudan pelbagai kluster di seluruh daerah,”katanya.
]]>6 Jun 2021
Erdie Ab Wahid
[email protected]
KOTA KINABALU : Vaksinasi COVID-19 kini boleh didapati di Hospital Gleneagles bermula Isnin ini selepas hospital itu menjadi hospital swasta pertama di Sabah membuka Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Gleneagles Dr Tan Bee Hwai berkata, PPV itu adalah bagi membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempercepatkan lagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di negeri ini.
“Pihak kami sudah bersedia untuk memberikan suntikan vaksin COVID-19 kepada kira-kira 500 individu seminggu bermula Isnin ini.
“Kami gembira dapat membantu KKM bagi melaksanakan program ini kepada orang ramai dan akan mengerahkan sumber yang ada dalam pemberian vaksin secara besar-besaran bagi melindungi kesihatan serta keselamatan komuniti setempat,”katanya dalam kenyataan disini kelmarin.
Dr Tan berkata, PPV Hospital Gleneagles Kota Kinabalu beroperasi dari Isnin hingga Jumaat, bermula 9 pagi hingga 5 petang.

Katanya, janji temu bagi pemberian vaksin di hospital itu juga ditentukan melalui aplikasi MySejahtera.
Pertanyaan lanjut mengenai perkara itu boleh diperoleh dengan menghubungi talian 088-518888 atau Whatsapp di talian 012-9239442 ketika waktu pejabat, selain melalui emel [email protected].
Terdahulu sebelum ini, Menteri Penyelaras PICK Khairy Jamaluddin, mengumumkan sebanyak 1,000 klinik perubatan am swasta dan hospital swasta di seluruh negara dijadikan sebagai PPV sebelum 30 Jun ini.
Kerajaan Sabah sebelum ini mengumumkan sebanyak 20 hospital dan klinik swasta disenaraikan sebagai PPV bagi membantu mempercepatkan pelaksanaan PICK di negeri ini.
]]>5 Jun 2021
Erdie Ab Wahid
[email protected]
KOTA KINABALU : Operasi perniagaan di daerah Tawau dan Kalabakan dihadkan serta merta susulan situasi semasa penularan wabak COVID-19 yang amat membimbangkan.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, masa operasi perniagaan yang dibenarkan adalah bermula 9 pagi sehingga 5 petang.
“Susulan dengan situasi semasa penularan wabak COVID-19 di Tawau, kerajaan negeri memutuskan untuk mengehadkan masa operasi bagi semua operasi perniagaan.
“Dengan mengambilkira juga situasi yang sedang berlaku di daerah ini, maka masa operasi bagi semua operasi perniagaan di daerah Kalabakan turut dihadkan,”katanya dalam kenyataan disini malam ini.
Masidi yang juga Jurucakap Rasmi COVID-19 Sabah berkata, masyarakat di dua daerah ini adalah dikehendaki mematuhi masa operasi yang ditetapkan bagi mengekang penularan wabak COVID-19.
Hari ini Sabah mencatatkan kes COVID-19 sebanyak 259 kes dimana Tawau mencatatkan 58 kes manakala Kalabakan merekodkan dua kes jangkitan virus berkenaan.
]]>5 Jun 2021
Erdie Ab Wahid
[email protected]
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menyeru rakyat di negeri ini supaya memberikan komitmen penuh dengan mendaftarkan diri bagi mendapatkan vaksin COVID-19.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, rakyat juga diminta untuk tidak mempercayai khabar angin atau berita yang tidak sahih berhubung pemberian vaksin yang dilaksanakan di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
“Pertamanya saya minta dan menyeru kepada seluruh rakyat di negeri ini untuk segera mendaftar diri bagi mendapatkan vaksin, jangan takut untuk mendaftar.
“Saya juga minta agar rakyat tidak terlalu percaya kepada khabar-khabar angin menyebabkan ramai yang takut kerana menjadi mangsa berita palsu di luar sana,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Tadau Kaamatan Harmoni Om Aidilfitri (TKHOA) Online disini pagi tadi.
Hadir sama Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Mansur Asun
Masidi yang juga Jurucakap Rasmi Covid-19 Sabah berkata, pihaknya juga meminta agar rakyat di negeri ini untuk sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang dikuatkuasakan kini.
“Sehingga kelmarin, kadar pematuhan penduduk terhadap SOP PKP di Sabah adalah sekitar 96 peratus secara keseluruhan.
“Kita haruslah mematuhi SOP kerana itulah benteng paling ampuh untuk kita memastikan kita selamat daripada jangkitan virus Covid-19 dan sentiasalah jaga diri dan keluarga kita,”katanya.
Terdahulu, program yang diadakan secara hibrid itu turut melibatkan masyarakat Kadazan Dusun Murut Rungus (KDMR) dari seluruh pelusuk negeri Sabah dan negeri lain di Negara ini.
]]>Kes positif baharu COVID-19 di Sabah kembali turun kepada dua angka iaitu 82 kes hari ini selepas lebih seminggu merekodkan kes positif harian tiga angka.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun berkata angka hari ini menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 56,992 kes dengan satu kematian di Tawau.
“Sebanyak 48 kes atau 58.5 peratus daripada jumlah kes baharu itu adalah berpunca daripada saringan kontak rapat; 13 kes (15.9 peratus) saringan bergejala, 14 kes (17.1 peratus) kluster sedia ada dan tujuh kes (8.5 peratus) lain-lain kategori,” katanya dalam kenyataan di sini malam ini.
Masidi yang juga jurucakap kerajaan negeri berkaitan COVID-19 berkata seramai 107 pesakit telah sembuh dan dibenarkan keluar dari hospital menjadikan jumlah kumulatif pesakit sembuh di Sabah sebanyak 55,361 orang.
Beliau berkata seramai 1,010 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 313 orang di hospital, 632 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah Awam manakala 65 lagi di Pusat Tahanan Sementara dan penjara.
Dalam pada itu, Masidi berkata enam daerah di Sabah dikategorikan dalam zon merah, empat daerah zon jingga, zon kuning (12 daerah) dan lima daerah zon hijau iaitu Tambunan; Tenom; Kota Marudu; Telupid serta Tongod.
Mengenai Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan peringkat negeri, Masidi berkata 51,787 orang telah menerima suntikan dos pertama manakala 42,178 orang telah melengkapkan kedua-dua dos.
— BERNAMA
]]>